SURAH TO-HA : AYAT 77-82

\"\"

NABI MUSA BAWA BANI ISRAEL MENYEBERANGI LAUT MERAH, FIRAUN DAN KUNCUNYA TENGGELAM & ALLAH SEBUT BEBERAPA NIKMAT KEPADA BANI ISRAEL.

Full video: https://youtu.be/IxOWSsqSmf8

MUQADDIMAH :
1. Dalam siri yang lepas diceritakan tentang apa yang berlaku kepada Firaun dan ahli sihirnya selepas perlawanan dengan Musa a.s.
2. Selepas melihat kebenaran yang dibawa oleh Musa a.s adalah bukan sihir seperti yang mereka pelajari, lalu para ahli sihir terus sujud dan beriman kepada Allah s.w.t.
3. Mereka juga meminta ampun kepada Allah s.w.t atas apa yang dipaksa oleh Firaun ke atas mereka. Ulama\’ kata samada paksa:
i) Paksa belajar ilmu sihir sejak kecil lagi. ii) Paksa datang berlawan dengan Musa a.s.
4. Lalu ulama\’ khilaf pendapat pula tentang kesudahan nasib ahli sihir ini samada:
i- memang dibunuh oleh Firaun dan menjadi syuhada’ yang diredhai Allah s.w.t.
ii- atau terselamat kerana menjadi pengikut Musa a.s dan Harun yang diberi kemenangan oleh Allah s.w.t. di dunia dan akhirat. Wallahu a’lam.
5. Penentangan Firaun selepas itu semakin berat dan zalim, Allah s.w.t juga telah mengantar beberapa bala dan ujian kepada Firaun dan kaumnya, tetapi mereka tetap tidak insaf, enggan dan tidak beriman.
6. Episod kali ini perintah Allah s.w.t supaya Musa a.s keluar bersama pengikutnya, kaum Bani Israil yang beriman dari Mesir berlaku selepas tempoh masa yang panjang.

AYAT 77- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH WAHYUKAN KEPADA NABI MUSA: \”HENDAKLAH ENGKAU MEMBAWA HAMBA-HAMBA-KU (KAUMMU) KELUAR MEMGEMBARA PADA WAKTU MALAM, KEMUDIAN PUKULAH AIR LAUT DENGAN TONGKATMU, UNTUK MENGADAKAN JALAN YANG KERING BAGI MEREKA DI LAUT ITU; JANGANLAH ENGKAU MENARUH BIMBANG DARIPADA DITANGKAP OLEH MUSUH, DAN JANGAN PULA ENGKAU TAKUT TENGGELAM\”.} (TAHA 20:77) .
1. Selepas itu Firaun masih sombong dan enggan menerima kebenaran, bahkan kezalimannya semakin kemuncak menyiksa bani Israil dan Musa dan Harun a.s.
2. Golongan muda pun semakin ramai menjadi pengikut Musa a.s yang menyebabkna Firaun semakin tidak senang dan mengganas.
3. Lalu Allah s.w.t mewahyukan kepada Musa a.s untuk keluar dari Mesir pada waktu malam, membawa pengikutnya bani Israil yang beriman. Juga diberitahu bahawa Firaun dan tenteranya akan mengikutinya.
4. Hikmah Allah perintah keluar pada waktu malam:
i- senang berkumpul untuk keluar bersama supaya orang tidak nampak.
ii- dalam gelap lebih sukar untuk dijejaki.
iii- dalam gelap malam saling tidak nampak antara dua pasukan.
5. Diarahkan pula untuk keluar menuju je arah laut. Lalu Firaun yang mengetahui pergerakan ini segera mengikut dengan rombongan tenteranya yang besar.
6. Akhirnya Musa a.s dan rombongannya tiba di pinggir laut. Dikenal-pasti tempat itu adalah Laut Merah sekarang atau namanya dalam sejarah dulu Laut Qulzum [ bahasa arab: بحر القُلْزُم] dalam sastera lama).
7. Lalu Allah s.w.t perintahkan Musa a.s: {…pukulah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam}.
8. Laut terbelah dan menjadi lorong yang kering dan luas. Dengan dua dindingnya adalah air laut yang seolah membeku. Lalu Allah s.w.t memberitahu agar jangan takut, Musa a.s dan pengikutnya terus menyeberang dengan selamat.
Inilah muka bumi yang hanya terkena sekali sahaja cahaya matahari sepanjang zamannya.

AYAT 78- {MAKA FIRAUN PUN MENGEJAR MEREKA BERSAMA-SAMA DENGAN TENTERANYA, LALU IA DAN ORANG-ORANGNYA DILIPUTI OLEH AIR LAUT YANG MENENGGELAMKAN MEREKA SEMUANYA DENGAN CARA YANG SEDAHSYAT-DAHSYATNYA.} (TAHA 20:78)
1. Lalu Firaun pun mengejar mereka bersama seluruh tenteranya.
2. Apabila mereka semua berada ditengah-tengah laut keseluruhannya, Allah s.w.t lalu menutup semula jalan itu, air laut bercantum kembali menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.
3. Cerita detail dalam surah Yunus: ayat 90-92.
Firman Allah s.w.t: {Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): \”Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)\”.}
{(Allah berfirman): \”Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.}
{\”Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!\”.} [Yunus: 90- 92].

AYAT 79- {DAN DENGAN ITU FIRAUN TELAH MENJERUMUSKAN KAUMNYA KE TEMPAT KEBINASAAN, DAN TIDAKLAH IA MEMBAWA MEREKA KE JALAN YANG BENAR.} (TAHA 20:79)
1. Maka musnahlah Firaun dan seluruh tentera pengikutnya, dia telah membawa mereka ke arah kebinasaan, jauh sekali dari jalan kebenaran.

AYAT 80- {WAHAI BANI LSRAIL! SESUNGGUHNYA KAMI TELAH SELAMATKAN KAMU DARI MUSUH KAMU, DAN KAMI TELAH JANJIKAN KAMU (DENGAN MEMBERI WAHYU KEPADA NABI MUSA) DI SEBELAH KANAN GUNUNG TURSINA ITU, DAN KAMI TURUNKAN KEPADA KAMU \”MANN\” DAN \”SALWA\”,} (TAHA 20:80)
1. Allah s.w.t menyebut pula nikmat yang telah diberikan kepada Musa a.s.
2. Pertama telah selamatkannya dari musuhnya iaitu Firaun.,
3. Memberi wahyu dan berjanji untuk bertemu di sebelah kanan Gunung Tursina untuk diberi Kitab Taurat dengan turut disaksikan oleh kaum bani Israil.
4. Apabila mereka selamat dari laut dan Firaun, lalu terdampar di padang pasir, Allah s.w.t turunkan ke atas mereka \”Mann\” dan \”Salwa\” sebagai makanan.
i- \”Mann\” sejenis getah manis (madu) yang menitis turun dari langit seolah embun.
ii- \”Salwa\”, sejenis burung seperti puyuh.

AYAT 81- {SERTA KAMI KATAKAN: MAKANLAH DARI BENDA-BENDA YANG BAIK YANG KAMI KURNIAKAN KEPADA KAMU, DAN JANGANLAH KAMU MELAMPAUI BATAS PADANYA, KERANA DENGAN YANG DEMIKIAN KAMU AKAN DITIMPA KEMURKAANKU; DAN SESIAPA YANG DITIMPA KEMURKAANKU, MAKA SESUNGGUHNYA BINASALAH IA.} (TAHA 20:81)
1. Allah perintahkan mereka untuk makan dari benda-benda yang baik yang Allah kurniakan kepada mereka.
2. Dan jangan melampaui batas padanya, kerana jika tidak akan ditimpa kemurkaan-Nya; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaan Allah s.w.t, maka sesungguhnya binasalah ia.
3. Apa maksud jangan melampaui batas? Kata ulama\’:
i- Jangan buat zalim ke atas satu sama lain.
ii- Jangan zalim ke atas diri sendiri iaitu dengan buat maksiat.
iii- Jangan kufur nikmat Allah s.w.t.

AYAT 82- {DAN SESUNGGUHNYA AKU YANG AMAT MEMBERI AMPUN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT SERTA BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, KEMUDIAN IA TETAP TEGUH MENURUT PETUNJUK YANG DIBERIKAN KEPADANYA.} (TAHA 20:82)
1. Allah s.w.t memberi janji bahawa Dia akan memberi keampunan kepada:
i- Orang-orang yang bertaubat
ii- Yang beriman
iii- Yang beramal soleh
iv- Dan kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.
2. Maka sempena Ramadhan ini banyakkanlah kita memohon keampunan kepada Allah s.w.t semoga kita termasuk dalam golongan yang dinyatakan ini.

PENUTUP :
1. Hadis Nabi s.a.w. Dari UM Aisyah R.A, beliau bertanya kepada Nabi S.A.W:
Maksudnya: Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam merupakan Lailatul Qadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu?
Baginda menjawab: Ucapkanlah:
اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” [HR. Ahmad, At-Tirmizi dll).
2. Doa ini membawa maksud yang jelas bahawa perkara pertama yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w kepada UM Aisyah adalah agar memohon keampunan dari Allah s.w.t.
3. Malam yang sangat berharga tapi Baginda Nabi S.A.W hanya menganugerahkan doa yang pendek sahaja kepada permintaan Sayyidah ‘Aisyah R.Anha kenapa?
Jawapan yang mantap telah diberikan oleh Sheikh Ibn Al-Qayyim R.A: “Jika anda sedang berdoa, tetapi waktunya terlalu sempit berbanding hajat dan permintaan yang terlalu banyak, maka jadikan seluruh doa anda memohon agar Allah memberi kemaafan kepada anda, kerana jika Allah telah memaafkan anda, segala hajat dan permintaan akan datang dengan sendiri tanpa dipinta lagi” – Ibnul Qayyim.
4. Oleh itu mari kita amalkan doa ini sepanjang bulan Ramadan ini kerana ia adalah doa yang diajarkan sendiri oleh Nabi s.a.w.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs