SURAH AL-ISRA\’ : AYAT 22-25

\"\"

Full video di: https://youtu.be/uKaz6OKDq-0

MUQADDIMAH:
Siri lepas Allah s.w.t telah terangkan bahawa manusia ini ada DUA kumpulan:
1- Yang mahu dunia sahaja; maka mereka layak mendapat azab Allah s.w.t.
2. Inginkan akhirat dengan melakukan ketaatan dan amal ibadat semata-mata kerana Allah s.w.t, maka mereka layak mendapat balasan yang penuh nikmat kebaikan.
3. Syarat amal yang baik dan diterima itu ialah:
i- Lillahi Taala. Ikhlas kerana Allah swt.
ii- Amalan yang baik bertepatan dengan bekalan akhirat.
iii- Hendaklah beriman
Maka dalam ayat berikutnya diterangkan cara mencapai kejayaan ini yang dimulakan dengan pemurniaan tauhid dari segala bentuk syirik.

AYAT 22- {JANGANLAH ENGKAU ADAKAN TUHAN YANG LAIN BERSAMA ALLAH (DALAM IBADATMU), KERANA AKIBATNYA ENGKAU AKAN TINGGAL DALAM KEADAAN TERCELA DAN KECEWA DARI MENDAPAT PERTOLONGAN.} (AL-ISRAA\’ 17:22)

Kewajipan Melaksanakan Tauhid.
1. Setelah Allah s.w.t menerangkan bahawa kebahagiaan dunia akhirat dapat dicapai dengan iman yang ikhlas dan amal ibadat yang baik maka diperintahkan supaya mentauhidkan Allah s.w.t dan menjauhkan syirik.
2. Syirik ini akibatnya akan membawa kepada azab di akhirat dan tercela.

AYAT 23- {DAN TUHANMU TELAH PERINTAHKAN, SUPAYA ENGKAU TIDAK MENYEMBAH MELAINKAN KEPADANYA SEMATA-MATA, DAN HENDAKLAH ENGKAU BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA. JIKA SALAH SEORANG DARI KEDUANYA, ATAU KEDUA-DUANYA SEKALI, SAMPAI KEPADA UMUR TUA DALAM JAGAAN DAN PELIHARAANMU, MAKA JANGANLAH ENGKAU BERKATA KEPADA MEREKA (SEBARANG PERKATAAN KASAR) SEKALIPUN PERKATAAN \”HA\”, DAN JANGANLAH ENGKAU MENENGKING MENYERGAH MEREKA, TETAPI KATAKANLAH KEPADA MEREKA PERKATAAN YANG MULIA (YANG BERSOPAN SANTUN).} (AL-ISRAA\’ 17:23)

Syi\’ar Iman:
1. Menyembah hanya Allah s.w.t semata2.
Firman Allah s.w.t: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
{Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan} (Al-Fatihah: 5)
2. Allah s.w.t memerintahkan untuk berbuat kebaikan kepada kedua ibubapa dengan semua jenis perbuatan, percakapan dan urusan. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggabungkan dua perintah ini, jangan berbuat syirik dan berbuat baik kepada dua ibubapa.
Firman Allah s.w.t: {Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa} [An-Nisaa\’:36].
3. Juga banyak hadis-hadis Nabi s.a.w tentang ini:
4. Allah s.w.t ajar juga cara menjaga ibubapa yang telah tua, yang masih dalam peliharaan kamu, agar:
i- Jangan sekali-kali mengeluarkan perkataan kasar hatta: “Uff” atau aah, huh dan seumpamanya. Jika ini pun yang minimum tidak boleh apatah lagi perkataan lain.
ii- Jangan herdik, jerkah dan guna perkataan kasar dengan ibubapa.
iii- Hendaklah bercakap dengan perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

5. Kata ulama\’, ayat ini walaupun gaya bahasa percakapan ditujukan kepada Nabi s.a.w, tetapi maksudnya untuk mengajar seluruh manusia umatnya. Ini kerana ibubapa Baginda s.a.w telah tiada, wafat semasa kecil dan dalam kandungan lagi.

AYAT 24- {DAN HENDAKLAH ENGKAU MERENDAH DIRI KEPADA KEDUANYA KERANA BELAS KASIHAN DAN KASIH SAYANGMU, DAN DOAKANLAH (UNTUK MEREKA, DENGAN BERKATA): \”WAHAI TUHANKU! CUCURILAH RAHMAT KEPADA MEREKA BERDUA SEBAGAIMANA MEREKA TELAH MENCURAHKAN KASIH SAYANGNYA MEMELIHARA DAN MENDIDIKKU SEMASA KECIL.\”} (AL-ISRAA\’ 17:24)

Cara dan Adab Berbakti Kepada Ibubapa:
1. Allah juga memerintahkan lagi supaya anak-anak:
i- Merendahkan diri kepada dua ibu bapa kerana sayang kepada kedua-duanya,
ii- Berdoa untuk kedua-duanya supaya Allah mengasihani ibu bapa sebagaimana ibu bapa mengasihaninya semasa dia kecil.
رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
2. Tetapi sekiranya kedua-dua ibu bapa itu mendesak anak mereka supaya melakukan syirik terhadap Allah dengan sesuatu, maka janganlah taat kepada mereka dalam perkara itu. Sama dengan syirik ialah kekufuran dan kemunafikan. Begitu juga jika mereka menyuruh untuk berlaku derhaka kepada Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
«لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ»
صحيح مسلم (3 / 1469):
Bermaksud: Tiada ketaatan dalam maksiat kepada Allah, bahawasanya taat itu dalam perkara makruf. [HR Muslim].
Firman Allah s.w.t: {Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.} [Luqman: 15]
3. Kesimpulannya hak ibubapa terhadap anak-anak amat besar, bukan sahaja semasa hidup mereka bahkan selepas kematian mereka. Iaitu dengan mendoakan kepada mereka, menunaikan amanahnya, menghubungkan silaturrahim dengan keluarganya dan menziarahi kawan-kawannya dulu.

4. Kitab yang menarik: KEINDAHAN ISLAM – Ada hak ibubapa juga Hak anak2 serta pelbagai pemjelasan dan hikmah tentang hukum Islam.

AYAT 25- {TUHAN KAMU LEBIH MENGETAHUI AKAN APA YANG ADA PADA HATI KAMU; KALAULAH KAMU ORANG-ORANG YANG BERTUJUAN BAIK MEMATUHI PERINTAH-NYA, MAKA SESUNGGUHNYA DIA ADALAH MAHA PENGAMPUN BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT.} (AL-ISRAA\’ 17:25)
1. Allah s.w.t Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati kamu. Ini samada dari segi Tauhid atau niat baik dalam melayani ibubapa tetapi jika kamu terlanjur tersilap terkasar dengan mereka, lalu kamu insaf dan bertaubat, maka;
2. Ingatlah bahawa Allah s.w.t itu Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.
3. Maka sesiapa yang masih ada ibubapa itu ambillah peluang untuk berbakti dan berkhidmat kepada ibubapa kerana Islam amat menekannya dan besar pahalanya.

PENUTUP:
Allah s.w.t memerintahkan untuk berbuat kebaikan kepada kedua ibubapa dengan semua jenis perbuatan, percakapan dan urusan. Antara yang diajar dalam al-Quran:
1. Jangan mengeluarkan perkataan kasar hatta: “Uff” atau aah, huh dan seumpamanya. Jika ini yang minimum pun tidak boleh apatah lagi perkataan lain.
2. Jangan herdik, jerkah dan guna perkataan kasar dengan ibubapa.
3. Hendaklah bercakap dengan perkataan yang mulia dan bersopan santun.
4. Merendahkan diri kepada dua ibu bapa kerana sayang kepada kedua-duanya.
5. Berdoa untuk kedua-duanya supaya Allah mengasihani ibu bapa sebagaimana ibu bapa mengasihaninya semasa dia kecil.
رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
6. Selepas kematian mereka pula- terus mendoakan kepada mereka, menunaikan amanahnya, menghubungkan silaturrahim dengan keluarganya dan menziarahi kawan-kawannya dulu.
Jagalah diri agar kita tidak termasuk dalam mereka yang melakukan dosa besar iaitu derhaka kepada kedua ibubapa. Nauzubillah.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs