SURAH TO-HA : AYAT 115-123

\"\"

KISAH NABI ADAM DALAM SYURGA, SYAITAN BERJAYA WASWASKAN ADAM & ALLAH TERIMA TAUBATNYA.

Full video: https://youtu.be/F7WU8t-Q2iE

MUQADDIMAH :

1. Dalam ayat yang lepas kita telah bincangkan tentang isi kandungan al-Quran dan adab-adab menerimanya.
2. Jangan gopoh, dengar kemudian bentangkan balik kepada guru (tasmik-perdengarkan). Jangan terburu-buru dalam segenap perkara terutamanya dalam belajar al-Quran.
3. Di akhir ayat ini Rasulullah s.a.w diajar untuk berdoa meminta ilmu. Bukan meminta apa-apa kemewahan duniawi . وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا
4. Kali ini kisah Nabi Adam a.s dengan godaan syaitan yang menyebabkanya diturunkan ke bumi.
5. Ini merupakan kali ke enam Allah s.w.t menyebut tentang Nabi Adam a.s bermula dari surah al-Baqarah, al-A’raf, al-Hijri, al-Isra’, surah al-Kahfi sehingga ke surah To-Ha kita ini. Kisah penuh boleh baca dalam kitab: Qasasul-Quran, Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi. صلاح عبد الفتاح الخالدي
6. Lalu dalam ayat ini diberi peringatan tentang apa yang terjadi kepada bapa manusia, Adam a.s akibat melupakan apa yang dipesan Allah s.w.t kepadanya, iaitu agar jangan mendekati pokok khuldi.
7. Demikianlah cerita-cerita umat terdahulu yang diceritakan kepada Rasulullah s.a.w dalam al-Quran ini. Seperti kisah nabi Musa a.s yang panjang lebar di awal surah ini, kemudian kisah Nabi Adam a.s yang lupa ini.

AYAT 115- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH BERPESAN KEPADA ADAM PADA MASA YANG LALU, TETAPI IA LUPA; DAN KAMI TIDAK MENDAPATINYA MEMPUNYAI KEAZAMAN YANG TEGUH.} (TAHA 20:115)
1. Allah s.w.t menceritakan bagaimana Adam a.s semasa masih di dalam syurga lupa akan pesanan Allah s.w.t agar:
i- Jangan mendekati pokok khuldi itu apatah lgai memakannya.
ii- Bahawa syaitan itu musuh utama mereka.
2. Lalu apabila syaitan datang menggoda, dia lupa akan pesanan Allah s.w.t lalu terikut hasutannya lalu melanggar larangan Allah s.w.t. dengan memakan buah itu.
3. Apa maksud firman Allah s.w.t: {… tetapi ia lupa}. Ada ulama\’ kata:
i- Dia tinggal arahan.
ii- Dia lupa sungguh.
4. Kenapa Adam a.s tetap dikira salah walaupun dia lupa? Tidak diberi keuzuran?
Jawapan: Ini kerana kemaafan/keuzuran kerana lupa ini hanya ciri-ciri istimewa yang dikhaskan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w sahaja.
5. Apa maksud.. { keazaman yang teguh.} pula? Ini bermakna dia tidak teguh keazaman dan ketahanannya. Lalu menjadi mangsa hasutan syaitan.
6. Terdapat 5 orang rasul-rasul yang mempunyai keazaman yang tingi iaitu Ulul-Azmi:
i. Nabi Nuh A.S
ii. Nabi Ibrahim A.S
iii. Nabi Musa A.S
iv. Nabi Isa A.S
v. Nabi Muhammad S.A.W.

AYAT 116- {DAN (INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA KAMI BERFIRMAN KEPADA MALAIKAT: \”SUJUDLAH KAMU KEPADA ADAM\”, LALU MEREKA SUJUD, MELAINKAN IBLIS, IA ENGGAN SUJUD.} (TAHA 20:116)
1. Kisah apabila Allah s.w.t memerintahkan kepada seluruh malaikat agar bersujud Adam a.s (sujud penghormatan) bukan sujud ibadat kerana sesama makhluk.
2. Lalu semua malaikat bersujud kecuali iblis kerana dia rasa tidak layak.
3. Iblis ini adalah golongan jin, satu golongan khas, bukan dari golongan manusia atau malaikat.

AYAT 117- {MAKA, KAMI BERFIRMAN: \”WAHAI ADAM SESUNGGUHNYA IBLIS INI MUSUH BAGIMU DAN BAGI ISTERIMU; OLEH ITU, JANGANLAH IA MENYEBABKAN KAMU BERDUA KELUAR DARI SYURGA, KERANA DENGAN YANG DEMIKIAN ENGKAU (DAN ISTERIMU) AKAN MENDERITA. (TAHA 20:117)
1. Allah s.w.t telah pesan dan maktubkan bahawa iblis itu musuh bagi Adam dan bagi isterinya Hawa.
2. Maka beringat dan berhati-hatilah agar janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, dan kamu akan hidup susah dan menderita.

AYAT 118- {\”SESUNGGUHNYA TELAH DIKURNIAKAN BERBAGAI NIKMAT BAGIMU, BAHAWA ENGKAU TIDAK AKAN LAPAR DALAM SYURGA ITU DAN TIDAK AKAN BERTELANJANG.} (TAHA 20:118)
1. Dikurniakan kepada Adam dan Hawa di dalam syurga berbagai nikmat. Makanan dan pakaian yang mecukupi.

AYAT 119- {\”DAN SESUNGGUHNYA ENGKAU JUGA TIDAK AKAN DAHAGA DALAM SYURGA ITU, DAN TIDAK AKAN MERASA PANAS MATAHARI\”.} (TAHA 20:119)
1. Antara nikmat syurga lagi, tidak akan merasa kepanasan dan dahaga selamanya.
2. Tiada matahari dalam syurga kerana itu masa tidak bergerak atau berubah dalam syurga, penghuninya sentiasa muda remaja tidak bertambah umurnya.

AYAT 120- {SETELAH ITU MAKA SYAITAN MEMBISIKKAN (HASUTAN) KEPADANYA, DENGAN BERKATA: \”WAHAI ADAM, MAHUKAH, AKU TUNJUKKAN KEPADAMU POHON YANG MENYEBABKAN HIDUP SELAMA-LAMANYA, DAN KEKUASAAN YANG TIDAK AKAN HILANG LENYAP?\”} (TAHA 20:120)
1. Bisikan waswas (bisikan syaitan) yang datang menghasut Adam. Supaya melakukan sebaliknya apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.
2. Iblis berjanji untuk tunjukkan pokok yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap.
3. Lalu kerana tergoda dengan kuasa yang dinikmati, takut akan hilang kuasa, lalu tergoda dengan hasutan syaitan.
4. Hasutan syaitan- umur panjang dan kekuasaan yang kekal. Inilah yang menjadi dambaan setiap manusia.

AYAT 121- {KEMUDIAN MEREKA BERDUA MEMAKAN DARI POHON ITU, LALU TERDEDAHLAH KEPADA MEREKA AURAT MASING-MASING, DAN MEREKA MULAILAH MENUTUPNYA DENGAN DAUN-DAUN DARI SYURGA; DAN DENGAN ITU DERHAKALAH ADAM KEPADA TUHANNYA, LALU TERSALAH JALAN (DARI MENCAPAI HAJATNYA).} (TAHA 20:121)
1. Lalu mereka berdua, Adam dan Hawa terpedaya dengan perangkap godaan dan janji palsu iblis, lalu makanlah buah daripada pokok itu, yakni melanggar larangan Allah s.w.t.
2. Sebaik saja makan buah itu, terlucutlah pakaian kebesaran syurga yang mereka pakai selama ini dan terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing. Hukuman segera akibat kesalah itu, lucut nikmat pakaian.
3. Lalu untuk menutup auratnya mereka mengambil daun-daun pokok syurga yang lain.
4. Dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan kerana mengikut godaan iblis.
5. Kerana itu kita hari ini pun jika ada orang yang cuba menghasut untuk mendapat sesuatu dengan jalan pintas,jangan mudah percaya dan tergoda.
6. Kerana nabi-nabi itu maksum (terpelihara) dari melakukan kesalahan maka perbuatan Adam itu dikira kerana dia terlupa, maka Allah s.w.t tetap menghukumnya dengan berat. Tetapi Allah s.w.t telah mengampunkannya setelah dia bertaubat.
7. Jika orang yang mulia atau ada ilmu, dipandang hormat oleh masyarakat melakukan kesalahan, kesalahannya dikira lebih besar daripada jika dibuat orang yang biasa. Contoh imam/ustaz hisap rokok ATAU pak imam panggil pondan sebagai jurumekapnya anak perempuannya, maka itu adalah satu kesalahan yang amat berat!!! Kerana masyarakat akan menggunakannya sebagai hujjah untuk membolehkan mereka juga mengikut dan melakukannya.

AYAT 122- {KEMUDIAN TUHANNYA MEMILIHNYA (DENGAN DIBERI TAUFIQ UNTUK BERTAUBAT), LALU ALLAH MENERIMA TAUBATNYA SERTA DIBERI PETUNJUK.} (TAHA 20:122)
1. Apabila Nabi Adam a,s bertaubat dan menyesal, lalu Allah s.w.t menerima taubatnya serta diberi petunjuk.

AYAT 123- {ALLAH BERFIRMAN: \”TURUNLAH KAMU BERDUA DARI SYURGA ITU, BERSAMA-SAMA, DALAM KEADAAN SETENGAH KAMU MENJADI MUSUH BAGI SETENGAHNYA YANG LAIN; KEMUDIAN JIKA DATANG KEPADA KAMU PETUNJUK DARIKU, MAKA SESIAPA YANG MENGIKUT PETUNJUKKU ITU NESCAYA IA TIDAK AKAN SESAT DAN IA PULA TIDAK AKAN MENDERITA AZAB SENGSARA.} (TAHA 20:123)
1. Lalu Allah s.w.t memerintahkan mereka untuk keluar dari syurga.
2. Allah s.w.t juga mengingatkan bahawa anak cucu keturunan Adam nanti akan bermusuh sesama mereka kerana berebutkan habuan dunia.
3. Apabila seorang lelaki mencerca saudaranya di hadapan seorang syeikh, syeikh bertanya: “Pernahkah kamu berlawan dengan Rom, parsi dan lain-lain kafir musuh Islam? Jawabnya tidak. Kata syeikh lagi: Masya\’ Allah, semua kafir selamat daripadamu, tetapi saudara sesama Islam kamu tidak selamat dari cercaanmu!!!”
4. Allah s.w.t mengatakan lagi jika mahu selamat dari azab sengsara dan agar tidak sesat, maka hendaklah kita mengikut petunjuk dan ajaran Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
1. Tentang tempat turun Adam dan Hawa di bumi, serta tempat pertemuan mereka, semuanya itu tiada sumber yang sahih kecuali melalui jalur israiliyyat. Maka tidak perlu kita mengorek dan berbahas tentangnya.
2. Sabda Rasulullah S.A.W: “Nabi Musa A.S telah berhujjah ke atas nabi Adam A.S, dengan berkata kepada nabi Adam: Engkaulah yang menyebabkan manusia dikeluarkan daripada syurga dengan sebab dosa kamu dan engkaulah yang menyebabkan manusia menjadi celaka.”
Lalu Adam menjawab: “Wahai Musa! Engkau yang telah dipilih oleh Allah dengan menjadi rasul, dikurniakan kepada kamu dengan kalam-Ny,a adakah engkau menyakiti ku dengan suatu perkara yang Allah telah putuskan sebelum aku diciptakan atau Allah telah takdirkan sebelum aku dijadikan?”
Sabda Rasulullah S.A.W: “Lalu Adam berjaya menghujjahkan (menang ke atas) nabi Musa.” [HR Bukhari].
3. Tetapi Hadis ini tidak boleh dibuat dalil untuk manusia berhujjah dengan takdir kecuali kita seperti Nabi Adam a.s. yang memang telah dicipta sebagai bapa manusia yang membiak dan menjadi penghuni di atas muka bumi ini.


Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs