SURAH ASY-SYU\’ARA\’ : AYAT 210-220

\"\"

SYAITAN TIDAK BOLEH LAWAN AL-QURAN, PERANAN PENDAKWAH TERHADAP KELUARGA DAN MASYARAKAT & KEWAJIPAN BERTAWAKKAL KEPADA ALLAH S.W.T.

Full video : https://youtu.be/ifFURvMnZI8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini bermula dari ayat 210-220. Iaitu tentang menjawab tuduhan puak Quraisy yang mengatakan al-Quran ini adalah datang dari kalam syaitan. Bermacam tuduhan jahat mereka kepada Rasulullah s.a.w sebagai ahli sihir, pawang, penyair, orang gila dan lain-lain.
  2. Lalu Allah s.w.t bawa ayat ini untuk Rasulullah s.a.w menjawab tuduhan mereka bahawa syaitan itu tidak akan dapat mereka dan melawan al-Quran, bahkan dia akan terbakar dan mati, kalah dengan al-Quran.
  3. Lalu dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t mendedahkan kepalsuan tuduhan itu, syaitan hanya membawa berita dusta hanya kepada kuncu-kuncunya pemujanya, sedangkan Rasulullah s.a.w seorang yang benar lagi mulia.

AYAT 210- {DAN AL-QURAN ITU PULA TIDAK SEKALI-KALI DIBAWA TURUN OLEH SYAITAN-SYAITAN. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:210)

  1. Musyrikin Quraisy pernah menuduh Rasulullah s.a.w sebagai pawang/bomoh yang sentiasa berhubung dengan syaitan, maka apa yang dibawanya adalah apa yang diturunkan oleh syaitan kepada para pemujanya.
  2. Maka Allah s.w.t bawa ayat ini untuk menangkis dan membatalkan tuduhan itu.
  3. Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t tegaskan kenabian Rasulullah s.a.w, dan al-Quran itu turun dari Allah s.w.t Tuhan Sekelian Alam, untuk menguatkan hujjah kepada Rasulullah s.a.w adalah dalam menyampaikan dakwahnya, menjadi panduan kehidupan serta hukum perundangan.
  4. Firman Allah s.w.t: {Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.} (At-Takwiir 81:25) |

AYAT 211- {DAN TIDAK LAYAK BAGI SYAITAN-SYAITAN ITU BERBUAT DEMIKIAN, DAN MEREKA JUGA TIDAK AKAN DAPAT MELAKUKANNYA. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:211)

  1. Allah s.w.t menafikan lagi bahawa mereka tidak layak untuk melakukannya.
  2. Bahkan hanya malaikat yang terpilih iaitu Jibril a.s yang diserahkan tugas itu.
  3. Allah s.w.t menafikan sekali lagi buat kali ketiga, syaitan itu tidak akan dapat melakukannya sama sekali!
    Cukuplah tiga kali penafian besar ini untuk membatalkan segala tuduhan mereka.

AYAT 212- {SESUNGGUHNYA MEREKA DIHALANG SAMA SEKALI DARIPADA MENDENGAR WAHYU YANG DIBAWA OLEH MALAIKAT. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:212)

  1. Syaitan itu bukan sahaja tidak dapat menurunkan al-Quran, bahkan mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat.
  2. Selepas kebangkitan Rasulullah s.a.w syaitan telah dihalang dari naik ke langit untuk mencuri dengar maklumat,mereka akan dipanah oleh para malaikat penjaga langit.
  3. Allah gambarkan ini dengan jelas dalam firman-Nya: {Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.} (Al-Jin: 😎
    {Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.} (Al-Jin: 9)

AYAT 213- {MAKA JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MENYEMBAH TUHAN YANG LAIN BERSAMA-SAMA ALLAH, AKIBATNYA ENGKAU AKAN MENJADI DARI GOLONGAN YANG DIKENAKAN AZAB SEKSA. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:213)

  1. Ini perintah pertama Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w dan ditujukan kepada seluruh umatnya, iaitu supaya tetap di atas dasar tauhid hanya menyembah Allah s.w.t semata, tidak menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah.
  2. Walaupun ayat ini, khitabnya (ditujukan seruan) kepada Nabi s.a.w tetapi perintahnya kepada ummat Baginda s.a.w. ini kerana Baginda sudah terjaga oleh Allah (ma\’sum).
  3. Munasabah ayat, setelah Allah s.w.t sebut bahawa al-Quran itu turun dari sisi-Nya dan sudah tersebut tentang kebenarannya dalam kitab-kitab terdahulu, bahkan sebahagian ulama\’ mereka yang jujur telah mengakuinya dan memeluk Islam seperti Abdullah bin Salam dan Salaman al-Farisi.
  4. Maka diperintahkan agar JANGAN syirik supaya tidak menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa di akhirat nanti.

AYAT 214- {DAN BERILAH PERINGATAN SERTA AMARAN KEPADA KAUM KERABATMU YANG DEKAT.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:214)

  1. Perintah Allah s.w.t yang kedua kepada Rasulullah s.a.w:
  2. Untuk berdakwah memberi peringatan serta amaran kepada kaum keluarganya yang dekat.
  3. Ini kerana apabila kaum keluarga sendiri sudah beriman maka senanglah untuk berdakwah kepada orang lain pula.
  4. Antara yang terawal dalam kalangan keluarga ialah:
    i- UM Sayyidah Khadijah r.a, isteri Baginda, mewakili kalangan keluarga & wanita.
    ii- Ali r.a dari kalangan kanak-kanak juga dari kalangan keluarga.
    iii- Abu Bakar As-Siddiq r.a mewakili golongan bangsawan.
    iv- Zaib bin Harithah r.a – mewakili golongan hamba.
  5. Inilah fokus dakwah yang penting pada peringkat awal. Dakwah juga berjalan secara sembunyi, ada ulama\’ kata dalam tempoh 3 tahun. Ini marhalah awal Dakwah Makkiyyah- sirriyyah. Kemudian barulah masuk marhalah jahriyyah iaitu secara berdepan. Begitu juga ada marhalah sebelum dan selepas Umar al-Khattab r.a masuk Islam, juga dengan keislaman Hamzah bin Abdul Mutalib r.a, bapa saudara Baginda.
  6. Hadis Rasulullah s.a.w:
    عن أبي هريرة:] والذي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بيَدِهِ، لا يَسْمَعُ بي أحَدٌ مِن هذِه الأُمَّةِ يَهُودِيٌّ، ولا نَصْرانِيٌّ، ثُمَّ يَمُوتُ ولَمْ يُؤْمِنْ بالَّذِي أُرْسِلْتُ به، إلّا كانَ مِن أصْحابِ النّارِ. مسلم (ت 7٦١)، صحيح مسلم ١٥٣ • [صحيح]

\”Demi Allah yang jiwaku berada di dalam tangan-Nya. Tiada seorang pun dari kalangan umat ini, yang sampai kepadanya dan dia dengar dakwahku, samada dia yahudi atau Nasrani, kemudian dia mati tanpa beriman dengan apa yang aku diutuskan dengannya, kecuali dia akan menjadi ahli neraka.\” [HR Muslim].

  1. Hadis Rasulullah s.a.w naik atas bukit Safa. Pertama kali dakwah secara terbuka inilah Rasulullah menyeru beberapa sanak saudaranya agar berkumpul di Bukit Safa. Rasulullah bermaksud menyampaikan ajaran dari Allah kerana itulah tugasnya seorang rasul serta untuk melihat penerimaan kaumnya.
    Imam Bukhari meriwayatkan hadits ini. yaitu hadits yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas, dia berkata:
    \”Apabila turun ayat, {Dan berikanlah peringatan kepada keluargamu yang terdekat.} [asy-Syu\’ara\’: 214]\’ Nabi S.A.W naik ke atas bukit Sofa lalu menyeru, \’Wahai Bani Fihr! Wahai Bani Adi!,\’ Seruan itu dimaksudkan kepada kabilah-kabilah dalam kaum Quraisy. Kemudian tak beberapa lama mereka pun berkumpul. Kerana begitu pentingnya panggilan itu, seseorang yang tidak mampu keluar memenuhinya, mengirimkan utusan untuk melihat apa gerangan yang terjadi. Maka tak terkecuali Abu Lahab dan kaum Quarisy lain pun berkumpul juga. Kemudian Baginda S.A.W berkata, \’Bagaimana menurut pendapat kamu jika aku beritahukan bahawa ada segerombolan pasukan berkuda di lembah sana yang ingin menyerang kamu, apakah kamu akan mempercayaiku?\’
    Mereka menjawab, \’Ya! Kami tidak pernah tahu dari dirimu selain kejujuran.\’
    Rasulullah s.a.w pun bersabda: \’Sesungguhnya, aku adalah pemberi peringatan kepada kamu akan azab yang amat pedih,\’
    Abu Lahab menjawab, \’Celakalah engkau sepanjang hari ini! Apakah hanya untuk ini engkau mengumpulkan kami?\’
    Kerana itulah Allah s.w.t turunkan ayat: {Binasalah tangan Abu Lahab…} (al-Massad: 1).
  2. Imam Muslim meriwayatkan: \”Apabila ayat 214 ini turun, Rasulullah S.A.W mendakwahi mereka. Sesekali bersifat umum dan sesekali bersifat khusus. Rasulullah S.A.W berkata, \’Wahai kaum Quraisy! Selamatkanlah diri kamu dari api neraka. Wahai Bani Ka\’ab! Selamatkanlah diri kamu dari api neraka. Wahai Fatimah binti Muhammad! Selamatkanlah dirimu dari api neraka. Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak memiliki sesuatu pun (untuk menyelamatkan kamu) dari azab Allah, hanya saja kamu memiliki ikatan kerabat (denganku) yang sentiasa akan kusambung.\”
  3. Anak beranak dan kaum keluargalah yang kita kena jaga dan beri nasihat bimbingan terlebih dahulu sebelum keluar berdakwah ke luar rumah.

AYAT 215- {DAN HENDAKLAH ENGKAU MERENDAH DIRI KEPADA PENGIKUT-PENGIKUTMU DARI ORANG-ORANG YANG BERIMAN. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:215)

  1. Arahan yang ketiga; apabila sudah memulakan dakwah secara terang-terangan, maka pasti sekali akan timbul dua kumpulan, yang akan menjadi pengikut yang taat setia dan yang akan menentang dengan lebih hebat.
  2. Maka Rasulullah s.a.w diajar untuk menjaga dan mengambil hati orang-orang yang beriman dengan merendah diri kepada pengikut-pengikutnya.

AYAT 216- {KEMUDIAN JIKA MEREKA BERLAKU INGKAR KEPADAMU, MAKA KATAKANLAH: \”SESUNGGUHNYA AKU BERLEPAS DIRI DARI APA YANG KAMU LAKUKAN!\” (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:216)

  1. Manakala dengan golongan yang ingkar dan terang-terangan menentang, lawanlah mereka juga serta katakan kepada mereka: \”Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan!\”
  2. Yakni selepas memberi nasihat, bimbingan, amaran dan segala jalan dakwah yang mampu, jika mereka masih ingkar lagi, maka boleh berlepas diri dari mereka.

AYAT 217- {DAN BERSERAHLAH KEPADA ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGASIHANI, (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:217)

  1. Selepas mengisytihar untuk melawan golongan yang menentang, yakni untuk terus menyampaikan dakwah dan ajaran, maka pasti sekali diperlukan senjata yang dapat membantu.
  2. Perlu ada kekuatan dan sandaran yang kuat untuk menegur dan membimbing masyarakat. Jika tidak, seorang pendakwah itu akan terasa bimbang dan tidak berani melawan arus dan menegur kesilapan yang dialkukan orang ramai, sedangkan melewatkan penjelasan ketika berhajat tidak boleh!
  3. Maka ini adalah perintah yang keempat- Allah s.w.t mengajar Rasulullah s.a.w supaya bertawakkal dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ barulah ada kekuatan dan keyakinan kerana semua itu adalah kerana menurut perintah Allah s.w.t yang Maha Gagah Perkasa dan jika mereka tidak beriman tidak mengapa kerana Allah s.w.t juga Maha Mengasihani.
  4. Allah s.w.t telah mengulang sebutan tentang sifatnya yang Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ ini sebanyak lapan kali sebelum ini.

AYAT 218- {YANG MELIHATMU SEMASA ENGKAU BERDIRI (MENGERJAKAN SEMBAHYANG), (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:218)

  1. Allah s.w.t yang sentiasa melihat semasa kita bangun beribadat untuk solat.

AYAT 219- {DAN (MELIHAT) GERAK-GERIMU DI ANTARA ORANG-ORANG YANG SUJUD. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:219)

  1. Dia juga Maha Melihat semasa kita sujud beribadat di kalangan orang yang sujud. Yakni solat dalam jamaah. Ini adalah galakan solat jamaah. Jika musim PKP ini jangan lupa untuk berjamaah juga walaupun berada di rumah.
  2. Antara Syi\’ar Islam ialah solat Jemaah dan makmurnya masjid-masjid.

AYAT 220- {SESUNGGUHNYA DIA LAH JUA YANG MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:220)

  1. Allah juga Maha Mendengar, dengar apa yang kita ucapkan dan baca dalam solat kita, mendengar semua suara.
  2. Dia juga Maha mengetahui segala perbuatan kita.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat Ayat 214 – Bertanggung-jawab menyampaikan dakwah kepada kaum keluarga. Dalil WAJIB bagi manusia untuk menyampaikan dakwah kepada anak isteri dan keluarga yang terdekat.
  2. Ayat Ayat 215 – Arahan untuk berlemah lembut dengan pengikut menunjukkan kepada arahan untuk bersifat tawadhuk dan berkasih sayang. Kerana itu Rasulullah s.a.w melarang semua perbuatan yang boleh membawa kepada permusuhan.
  3. Ulama\’ juga kata ayat 215 ini menunjukkan akhlak dan sifat Rasulullah s.a.w dengan semua orang, dalam semua keadaan. Rahmat Nabi s.a.w kepada keluarga, sahabat, hatta terhadap musuh Baginda dan haiwan.
  4. Ayat 216- siapa lawan dan derhaka hukum agama. Kita kena tegas dan jalankan undang-undang. Tangan Rasulullah s.a.w yang rahmat dan lembut itulah yang menjatuhkan hukuman rejam kepada penzinan, sebat kepada peminum arak dan lain-lain hukuman. Sifat rahmatan lil-\’Alamin bukan bermakna kena lemah dalam menjalankan hukuman Syariah.
  5. Ayat 217- kewajipan bertawakkal. Menunjukkan sebesar-besar bantuan dan sokongan kepada seorang pendakwah itu ialah tawakkal kepada Allah s.w.t. Tiada guna mengharapkan bantuan dan sokongan manusia yang bila-bila masa saja boleh berubah dan bertukar kesetiaannya.
  6. Ayat 218 – Allah s.w.t yang Maha Melihat kita dalam semua keadaan. Apabila kita boleh pasak perasaan ini dalam diri kita, maka akan lahirlah sifat ihsan. Sebagaimana dalam hadis Jibril yang panjang tentang erti ihsan:
    Rasulullah s.a.w. bersabda: \”Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.\” (HR. Muslim)
  7. Syaitan itu lari apabila mendengar ayat al-Quran. Sabda Rasulullah s.a.w antara ayat yang syaitan takut ialah ayat al-Kursi dan surah al-Baqarah.
  8. Syaitan juga tidak mahu mendengar al-Quran. Maka sesiapa yang ikut syaitan akan menjauhkan dirinya dari al-Quran. Tidak suka dengar, baca, tadabbur dan belajar al-Quran. Apatah lagi jika tidak mahu beramal dan berhukum dengan Syariatnya.
  9. Rahsia kenapa Allah s.w.t perintahkan Rasulullah untuk memulakan dakwahnya dengan keluarga terdekat. Ini kerana apabila keluarga dekat seperti ibu bapa dan anak isteri sokong dan menerima dakwah, maka pastilah lebih mudah juga untuk berdakwah kepada orang lain pula.
  10. Ayat 215- siapa yang mengikutmu dari kalangan orang-orang yang beriman. Dalil merealisasikan iman dalam kehidupan orang beriman ialah dengan mengikut Rasul. Maka jangan kita cari ajaran dan amalan yang lain, sunnah Nabi s.a.w itu alhamdulillah sudah cukup banyak dan kaya untuk kita beramal dengannya. Jangan mengaku terima dari sumber yang tidak jelas, ilmu itu ada disiplinnya yang kita kena belajar.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs