Surah Al-Baqarah : Ayat 135-137

PROVOKASI YAHUDI-NASARA, IKUTLAH PARA RASUL TERDAHULU & TAWARAN IMAN UNTUK AHLI KITAB.

Full video : https://youtu.be/YkkLMJ3BRSs?si=IaZJCU8Ugj9MgdKq

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 135 sehingga ayat 137 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang provokasi Yahudi Nasara supaya orang ikut mereka, mereka mendakwa bahawa hanya agama mereka yang benar & ikut mereka baru msuk syurga!
  1. Allah nafikan dakwaan mereka itu & nyatakan jika mereka betul-betul ikut agama nabi Ibrahim, mak ikutlah para rasul terdahulu dari anak cucunya, seperti nabi Ismail, Ishak, Ya’kob dan para asbat dan lain-lain lagi anak cucu nabi Ibrahim, yang terakhir ialah Nabi Muhammad SAW.
  1. Kemudian Allah beri tawaran kepada Ahli Kitab supaya kembali kepada Kitab Allah, beriman kepada Al-Quran yang benar, yang Allah jamin ketulenannya yang tidak boleh diubah, tinggalkan Taurat & Injil yang telah diselewengkan.
  1. Maka ayat-ayat ini adalah untuk membatalkan dakwaan yahudi & nasrani yang batil itu!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 135- {DAN MEREKA (KAUM YAHUDI DAN NASRANI) BERKATA: “JADILAH KAMU PEMELUK AGAMA YAHUDI ATAU PEMELUK AGAMA NASRANI, NESCAYA KAMU AKAN MENDAPAT PETUNJUK”. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD: “KAMI ORANG-ORANG ISLAM TIDAK AKAN MENURUT APA YANG KAMU KATAKAN ITU) BAHKAN KAMI MENGIKUT AGAMA NABI IBRAHIM YANG TETAP DI ATAS DASAR TAUHID, DAN BUKANLAH IA DARI ORANG-ORANG MUSYRIK”.} (AL-BAQARAH 2:135)

  1. Mereka Yahudi & Nasrani ini asalnya berbalah & berpecah sesama mereka, masing-masing mendakwa hanya mereka yang benar.
    Tetapi apabila nak lawan Islam mereka bergabung & bersatu, (ahzab).
  1. Dalam kes ini mereka bergabung mendakwa bahawa hanya agama mereka yang benar, masing-masing mengajak orang Islam untuk memeluk agama mereka barulah akan mendapat petunjuk!
    Semua mereka mengatakan yang benar hanyalah agama mereka saja!
    Mereka menyangka siapa yang mengikut mereka agama itulah hanya yang benar & mendapat petunjuk!
  1. Jadi Allah sangkal & nafikan dakwaan mereka itu dengan perintahkan Rasulullah SAW untuk menyatakan kepada mereka dengan tegas bahawa orang Islam tidak akan sesekali menerima agama mereka & akan terus berpegang dengan agama Islam yang benar, agama tauhid yang dibawa oleh nabi Ibrahim & tidak akan bersama kaum musyrikin!
  1. Kaum Yahudi di Madinah & kaum Nasrani di Najran. Dulu di bawah Yaman, sekarang sudah masuk dalam Arab Saudi.
    Mengikut ahli sejarah, di Najran inilah berlakunnya peristiwa Ashabul-Ukhdud. Dimana raja kristian gali parit & nyalakan api dan membakar hidup-hidup semua orang yang beriman kepada Allah.
    Katanya masih ada kesan-kesan itu. Wallahu a’lam.
    Mereka ini masing-masing mengajak orang Islam supaya memeluk agama mereka!
  1. Maka dalam ayat suci ini Allah memerintahkan orang Islam agar menolak ajakan kaum kafir itu dan berpegang teguh dengan agama Islam, agama nabi Ibrahim AS yang kemudiannya disampaikan & diteguhkan oleh Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari Kiamat!
  1. Kita kena jawab jangan tak jawab, jika tak ingkari ajakan mereka, nescaya mereka akan menyangka bahawa sangkaan mereka itu benar!
    Petunjuk yang benar itu bukan duduk dalam agama kamu, dengan Yahudi & Nasrani tetapi yang benar itu ialah apabila kamu menganut agama nabi Ibrahim AS yang hakikatnya istiqomah menegakkan tauhid kepada Allah SWT & menjauhkan dari segala bentuk syirik!
  1. Kata ahli fikir : Apabila orang yang benar diam tidak bercakap; maka orang yang batil (salah) sangka mereka benar!
    Maka para asatizah & pendakwah yang mendapat maklumat dan ilmu yang jelas dari Al-Quran & Sunnah dan kefahaman salafus-soleh. Jangan diam di saat masyarakat mencari kebenaran atau pada saat syubhah disebar di sana sini! Jika kita diam seolah kita akur & membenarkan apa yang sedang berlaku itu!
  1. Ayat ini ditafsirkan oleh firman Allah SWT ini juga:
    i- {Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.} (Ali-‘Imraan 3:67)

    ii- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik”.} (Al-An’aam 6:161)

    iii- {Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.} (Al-Nahl 16:123)
  1. Ketiga-tiga ayat ini menafikan dakwaan mereka yang mengatakan hanya agama mereka yang benar- serta menegaskan bahawa jalan yang benar ialah yang dibawa oleh nabi Ibrahim AS dan para nabi selepasnya kemudian diakhiri dengan dakwah Nabi Muhammad SAW.

AYAT 136- {KATAKANLAH (WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN): “KAMI BERIMAN KEPADA ALLAH, DAN KEPADA APA YANG DITURUNKAN KEPADA KAMI (AL-QURAN), DAN KEPADA APA YANG DITURUNKAN KEPADA NABI IBRAHIM DAN NABI ISMAIL DAN NABI ISHAK DAN NABI YAAKUB SERTA ANAK-ANAKNYA, DAN JUGA KEPADA APA YANG DIBERIKAN KEPADA NABI MUSA (TAURAT) DAN NABI ISA (INJIL), DAN KEPADA APA YANG DIBERIKAN KEPADA NABI-NABI DARI TUHAN MEREKA; KAMI TIDAK MEMBEZA-BEZAKAN ANTARA SESEORANG DARI MEREKA (SEBAGAIMANA YANG KAMU – YAHUDI DAN NASRANI – MEMBEZA-BEZAKANNYA); DAN KAMI SEMUA ADALAH ISLAM (BERSERAH DIRI, TUNDUK TAAT) KEPADA ALLAH SEMATA-MATA”.} (AL-BAQARAH 2:136)

  1. Allah perintahkan kepada orang beriman supaya buat akuan (قُولُوٓا۟) untuk iklankan, zahirkan & nyatakan keimanan kita kepada Allah Azza wa Jalla. Iaitu nyatakan dengan tegas bahawa: “Kami beriman kepada Allah, dan kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi kami Muhammad SAW!
  1. Hadis- riwayat dari Abu Hurairah RA yang berkata: Adalah ahli kitab itu membaca kitab Taurat mereka dalam bahasa Ibrani (Hebrew) kemudian mereka menjelaskannya dengan bahasa Arab kepada orang Islam.

    Lalu Rasulullah SAW bersabda: لا تصدقوا أهل الكتاب ولا تكذبوهم، وقولوا: آمَنَّا بِالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَأُنْزِلَ إِلَيْكُمْ
    Maksud: “Janganlah kalian membenarkan Ahli Kitab dan jangan pula mendustakannya. Sebaliknya ucapkanlah: Kami beriman dengan kitab yang diturunkan kepada kami (Al-Quran) dan kitab yang diturunkan kepada kalian.” (HR Bukhari, no. 7362)
  1. Yakni apabila kita mendengar cerita dari ahli kitab kita hanya dengar, jangan membenarkan atau mendustakan mereka kerana kita tidak tahu apakah cerita itu benar atau tidak!
  1. Kisah-kisah Israiliyyat yang datang dari jalur bani Israel atau yahudi (ahli Kitab), kita dengar saja, jangan percaya atau ingkar seperti tentang umur para nabi, bilangan anak dan lain-lain. Kecuali riwayat itu telah diikrarkan oleh Rasulullah SAW maka kita boleh percayanya 100%.
  1. Jika dia kata benda yang bercanggah dengan Al-Quran atau yang bercanggah dengan akal & Al-Quran, atau menghina kemuliaan para nabi wajib kita ingkar!
    Contohnya beberapa kisah para nabi yang amat menyentuh kesuciaan.
  1. Hadis Rasulullah SAW baca ayat ini dalam solat sunat fajar selepas azan subuh:
    i- Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca ayat 136 ini.

    ii- Rakaat kedua ayat 64 dari surah Ali-‘Imraan. [HR Imam Muslim]
  1. Kemudian dinyatakan juga bahawa kami beriman, kami ikrar & membenarkan apa yang Allah turunkan kepada para rasul ini sebelum diseleweng & diubah oleh Yahudi & Nasrani:
    i- Kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak.

    ii- Dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya { وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطِ},

    iii- Dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil),

    iv- Dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi lain yang terdahulu dari Tuhan mereka.
  1. Kami orang Islam tidak membeza-bezakan antara seseorang nabi dari yang lain. Sebagaimana yang kamu Yahudi dan Nasrani, membeza-bezakannya, nabi kamu, kamu terima, tetapi nabi orang lain kamu dustakannya!
  1. Fakta dari kitab tafsir al-Munir:
    i- Maksudnya {ٱلْأَسْبَاطِ} ini ialah anak-anak nabi Ya’kob. Kembang biaknya keturunan nabi Ibrahim melalui anak cucu nabi Ya’kob AS.

    ii- Nabi Ya’kob mempunyai 12 anak lelaki.
    Setiap dari mereka menjadi satu ummat (kabilah dalam bahasa Arab) tetapi dipangil Sibton-Asbat (سبط-اسباط) di kalangan Yahudi. Ia bermakna berturutan atau bersambung.
  1. Kata Ibnu Abbas RA : Semua rasul dan nabi itu adalah datang dari Bani Israel kecuali 10 orang sahaja iaitu: Nuh, Syu’aib, Hud, Soleh, Lut, Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya’kob (kerana dia bapa & Israel sendiri) dan Nabi Muhammad SAW.
    Ini riwayat Ibnu Abbas. Wallahu a’lam.
  1. Tidak ada nabi yang ada dua nama kecuali nabi Ya’kob / Israel & Isa / Al-Masih.
    Nabi Muhammad SAW mempunyai banyak nama & gelaran tetapi bukan dari bani Israel.
  1. Kita umat Islam tidak membezakan antara nabi-nabi ini, kita beriman dengan kesemuanya bermula dari Adam AS sehinggalah Rasulullah SAW.
    Jika ambil atau percaya separuh atau sebahagiannya saja maka akan akan kafir. Inilah matematik aqidah! wajib kesemua sekali, tolak 1 saja pun akan menjadi kosong!
  1. Di akhir ayat Allah kata: {وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ} yakni kami berserah diri taat tunduk kepada Allah SWT.
    Semua agama yang terdahulu pun adalah agama Islam, tunduk menyerah diri kepada Allah yang Esa. Tiada agama yang selain Islam yang datang dari Allah!

AYAT 137- {MAKA KALAU MEREKA BERIMAN SEBAGAIMANA KAMU BERIMAN (DENGAN KITAB-KITAB ALLAH DAN RASUL-RASULNYA), MAKA SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH BEROLEH PETUNJUK; DAN JIKA MEREKA BERPALING (SERTA TIDAK MAHU BERIMAN DENGAN SEBENAR-BENAR IMAN) MAKA SESUNGGUHNYA MEREKA AKAN TINGGAL BERKEKALAN DALAM PERBALAHAN DAN PERMUSUHAN (DENGAN KAMU); OLEH ITU (JANGANLAH ENGKAU KHUATIR WAHAI MUHAMMAD) KERANA ALLAH AKAN MEMELIHARAMU (DAN UMATMU) DARI KEJAHATAN MEREKA; DAN DIA LAH JUA YANG MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-BAQARAH 2:137)

  1. Ayat ini adalah tawaran istimewa dari Allah untuk ahli kitab yahudi & nasrani agar kembali beriman kepada Allah, kepada apa yang dibawa oleh Nabi SAW.
  1. Jika mereka nak selamat, kembalilah kepada kitab Allah & rasul-rasul-Nya, yakni apa yang mereka ingkari sebelum ini, maka merekalah yang cerdik, yang akan mendapat petunjuk dari Allah untuk menerima taufiq & kebaikan!
  1. Tetapi jika mereka berpaling, masih lagi degil, serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman, maka mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan & permusuhan sehingga ke hari Kiamat!
  1. Kita bermusuh dengan mereka kerana sebab aqidah. Kita kata Allah yang Esa mereka kata Uzair anak Allah, kita Allah yang Tunggal mereka kata Tuhan ada tiga! Mereka juga sekali-kali tidak akan redha selagi orang Islam tidak tinggalkan agamanya dan ikut agama mereka!
  1. Maka Allah bagi jaminan kepada Rasulullah SAW, cukuplah bagi kamu Allah, jangan bimbang & khuatir Dia akan memelihara kamu & umatmu dari kejahatan ahli kitab.
  1. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui!
  1. Yakni Allah akan jaga Nabi, jaga agama ini, jaga Al-Quran. Yahudi & Nasrani tak boleh kacau Al-Quran tetapi mereka boleh kacau ahli Quran berbalah dalam hal nak musabaqah atau tidak.
  1. Mereka juga berjaya memisahkan umat Islam daripada undang-undang Al-Quran dalam bab jenayah & hudud, mereka lansung tak benarkan undang-undang ini dilaksanakan dalam negara umat Islam.
    Kita pun lemah tak mampu nak membantahnya! Hati-hatilah kita dalam ucapan & perlakuan kita!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 135- {Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”.}-

    Kaum Yahudi & Nasrani berusaha tanpa jemu, berkerja bermati-matian masuk kampung keluar kampung berdakyah untuk orang masih tiada agama & memesongkan orang Islam dari agama Islam agar menjadi seperti mereka menjadi pengikut ajaran batil!
    Jika kita orang Islam tahu mereka sesat, tahu di’ayah yang bawa adalah bahaya, jadi mengapa kita masih berdiam diri? Tidak berdakwah? Tidak berkerja berusaha untuk sampaikan Islam yang benar ini kepada orang bukan Islam & orang yang masih tidak ada agama???
    Ada di kalangan masyarakat yang masih tidak ada agama, tidak menyembah atau percaya kepada apa-apa.
    Terdapat juga gerakan yang dianjurkan oleh anak orang Islam sendiri untuk membebaskan wanita dari berhijab & mengajak ke arah tabarruj, pergaulan bebas dan seumpamanya.

    Kita katakan ini bukan nak bebaskan wanita daripada kongkongan hijab tetapi nak bebaskan wanita dari ikatan agama!
    Maka hati-hatilah wahai para muslimah!
  1. Ayat 135- {Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik”.}-

    Dalam ayat ini Allah SWT menafikan dakwaan mereka, bahawa Ibrahim bukan seorang yang syirik atau yahudi seperti yang mereka dakwa.
    Bahkan Ibrahim adalah tetap di atas agama tauhid yang suci kepada Allah Azza wa Jalla.
    Ayat ini mengajar dari segi tadabbur, jika tidak percayakan kepada orang, kena beritahu dengan jelas bahawa: Kami tidak ikut kamu! Kena yakin & berani jangan lemah & lembik tengkok!
    Isu Palestine pun lemah, sekali ada yang celik mata melarang budak-budak sekolah daripada berdemo, bersolidariti kepada umat Islam di Palestine, geng-geng dia pun pun terus koyak dan akur!

    Ingatlah, berkawan dengan orang kafir berpada-padalah jangan sampai masuk ke dalam hati perasaan sayang, patuh taat & cintakan kepada orang kafir lebih daripada sayangkan orang beriman! Kerana itu akan menyentuh kesucian aqidah kita.
  1. Ayat 136- {Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah,…… dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.}-

    Dalam ayat ini Allah perintah: Katakan { قُولُوٓا۟} bahawa kami ini orang beriman & Islam (berserah) diri kepada Allah!
    Dari ayat ini kata ulama’ tadabbur : Wajib ke atas orang berima untuk mengakui bahawa kami semua adalah orang Islam yang beriman patut taat kepada Allah semata-mata!
    Kata ulama’ juga : Wajib kita orang beriman untuk merasakan kita sesama muslim sebagai satu badan yang sehati sejiwa, dia beriman, aku pun beriman; kami semua orang Islam. Kita letakkan kepentingan Islam di hadapan, lebih daripada segala-galanya!
    Kita sayangkan mereka atas dasar agama, walaupun mungkin kita ada pebezaan dari sudut pemikiran atau apa saja- hatta dalam Al-Quran kata setiap manusia ada citarasa yang berbeza.
    Kita letakkan ukhuwwah & kasih sayang atas dasar agama. Perbezaan yang kecil kita ketepikan, jangan besarkan perkara halus yang tidak penting, jangan jadikan sebiji gandum seperti satu kubah (dome) yang besar. Ingatlah kita orang Islam (نَحْنُ مُسْلِمُونَ).

    Tetapi sekarang ini lain. Gerakan-gerakan orang yang beragama, macam-macam NGO yang dibuat sekarang ini semata-mata untuk mengetepikan sebahagian para pendakwah & orang Islam yang mengatakan nak ikut nabi & nak ikut para salafus-soleh.
    Mereka ini diketepikan kerana berbeza cara pemikiran, cara nak mengenali Tuhan!
    Kita katakan ini juga satu perbuatan yang memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Yang memecahkan umat Islam ialah bukan golongan yang berpegang dengan Al-Quran & Sunnah tetapi geng-geng NGO yang kasar & suka mengata menuduh!
  1. Ayat 136- {Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya,…..}-

    Dalam ayat ini Allah SWT menyebut kitab Al-Quran dulu kemudian baru disebut kitab-kitab lain yang sebelumnya seperti Suhuf Ibrahim dan lain-lain.
    Al-Quran itu adalah kitab yang terakhir diturunkan oleh Allah tetapi disebut dulu & lebih awal daripada kitab-kitab lain untuk memberi isyarat bahawa Al-Quran adalah kitab yang paling afdhal & mulia yang diturunkan ke atas manusia seluruh alam ini!
    Maka jika kita nak jadi mulia jadilah ahli Quran dan yang bersamanya!
  1. Ayat 137- {dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu);}-

    Sekiranya kita telah ajak, dakwah & kempen, mereka tidak mahu ikut juga maka kita tahulah hanya orang tidak mahu kebenaran akan lari dari Allah Azza wa Jalla.
    Allah beri jaminan kepada Rasulullah SAW jika mereka lari berpaling, lawan berperang dengan kamu-kamu jangan takut. Allah akan jaga kamu!

    Kisah Rasulullah SAW & tiang pengawal.
    Pada setiap malam, para sahabat akan berkawal di rumah Rasulullah SAW kerana risau akan keselamatan baginda, takut dikhianati oleh musuh & Yahudi. Sehinggalah Allah SWT menurunkan ayat ini: { oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.} mereka tidak lagi berkawal kerana Allah telah memberi jaminan bahawa Dia sendiri yang akan menjaga Rasulullah SAW dari kejahatan segala makhluk! Ayat ini juga sebagai isyarat kepada para pendakwah untuk meletakkan pergantungan hati & tawakkal kepada Allah SWT semata-mata. Hanya Allah SWT yang Esa yang maha Kuasa yang mampu menjaga kita. Jangan sedih jangan runsing jika orang tolak & tidak menerima dakwah kamu! Berdakwahlah kepada Allah di mana saja tempat yang terima atau atas platform mana yang kamu boleh, jika kamu disekat jangan runsing itu hanya atas dunia & pertolongan Allah sentiasa ada untuk para walinya! Cukuplah Allah bagi kamu- bergantung & berharap kepada manusia biasa tidak menjamin keselamatan & pertolongan! Jangan takut juga kepada manusia. Kamu nak sekat, sekatlah! Apa yang Allah tentukan tiada siapa yang boleh tahannya! Buatlah senarai & list yang ikut nasihat & anjuran iblis untuk menyekat orang yang berdakwah, yang berkata firman Allah & sabda Rasulullah SAW! Atas dunia ini kamu berkuasa tetapi di akhirat kelak, Allah-lah yang akan membalas segalanya.

    Firman Allah SWT:
    {Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.} (At-Talaaq 65:3)

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.

Powered by BetterDocs