ANCAMAN ROSAKKAN PANCAINDERA, TUGAS RASUL & NABI SAW TIDAK TAHU PERKARA GHAIB.
Full video : https://youtu.be/IO5gXRNDqqA?si=LaKyVEFTvDOGJkhw
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 46 sehingga ayat 50 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang ancaman kepada sesiapa yang tidak dengar, Allah akan rosakkan pancaindera mereka; akan jadi buta tuli & bisu.
Yang berat lagi Allah akan copkan ke atas hati mereka, mati tidak terfikir lagi untuk beriman kepada Allah!
- Kemudian dibawa persoalan Allah suruh Nabi tanya kepada kaum kafir itu:
i- Apakah ada Tuhan lain yang dapat hidupkan hati mereka yang telah mati itu.
ii- Jikalah Allah bawa azab segera ke atas mereka yang membinasakan, adakah Tuhan lain yang dapat menyelamatkan mereka????
- Kemudian Allah nyatakan bahawa tugas rasul & Nabi SAW adalah menyampaikan khabar gembira & memberi amaran.
Sesiapa yang ingkar & lawan Allah akan binasakan.
- Di akhir ayat Allah tegaskan bahawa Nabi SAW tidak tahu perkara ghaib, Nabi hanya menyampaikan apa yang Allah wahyukan kepada Baginda.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah bawa & nyatakan bermacam peringatan.
Pertama Allah bawa bala bencana, tak peduli kemudian tukar dengan beri nikmat tetapi tetap tak jadi juga! Jadi kamu nak apa sebenarnya!
ii- Kemudian datang ayat ini Allah bawa amaran untuk puak yang keras kepala itu. Apa yang akan terjadi jika dirosakkan pendengaran, penglihatan & gelapkan hati kamu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 46- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “BAGAIMANA FIKIRAN KAMU, JIKA ALLAH MELENYAPKAN PENDENGARAN SERTA PENGLIHATAN KAMU, DAN IA PULA MEMETERAIKAN ATAS HATI KAMU? SIAPAKAH TUHAN SELAIN ALLAH YANG BERKUASA MENGEMBALIKANNYA KEPADA KAMU?” LIHATLAH BAGAIMANA KAMI BERULANG-ULANG MENERANGKAN TANDA-TANDA KEBESARAN KAMI (DENGAN BERBAGAI CARA), DALAM PADA ITU, MEREKA TETAP JUGA BERPALING – INGKAR.} (AL-AN’AM 6:46)
- Allah perintahkan Rasulullah SAW bertanya kepada orang kafir itu dengan memberi ancaman jika Allah tarik nikmat pendengaran, penglihatan dan gelapkan hati mereka apakah ada Tuhan lain dapat mengembalikan & memulihkan semula semua kerosakan itu!
- Munasabah ayat:
i- Apabila Allah telah tunjukkan dalil-dalil akan keEsaan-Nya, benarnya Rasulullah SAW dan menolak segala keraguan syubhat yang ditimbulkan;
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan peliknya manusia ini; datang hujjah, datang dalil tetapi masih lagi sombong dan menolak.
Ini menunjukan keras kepala mereka!
- Lihat juga bagaimana Allah telah berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran-Nya dengan berbagai cara!
Tetap tak mahu, ingkar menolak & keras kepala walaupun telah dibawa bertalu-talu hujjah dan silih berganti contoh bandingan!
Ini adalah ayat murka & amaran!
- Maka Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk meneruskan dakwahnya jangan layan mereka ini hanya merugikan masa & tenaga.
Orang menerima alhamdulillah orang menolak dia jawablah sendiri!
Kamu buat kerja kamu teruskan berdakwah menyampaikan perintah Allah.
AYAT 47- {KATAKANLAH:” BAGAIMANA FIKIRAN KAMU, JIKA DATANG KEPADA KAMU AZAB ALLAH DENGAN TIBA-TIBA, ATAU DENGAN TERANG-TERANG (SETELAH DIPERLIHATKAN TANDA-TANDA YANG MENUNJUKKAN KEDATANGANNYA), SIAPAKAH YANG AKAN BINASA, SELAIN DARI KAUM YANG ZALIM?”.} (AL-AN’AM 6:47)
- Katakan lagi kepada mereka wahai Muhammad SAW agar mereka sedar & sentap!
Ceritakan kepada mereka jika datang balasan Allah ke atas mereka secara tiba-tiba dengan sebab mereka syirik itu setelah datang penjelasan!
- Apa yang mereka akan fikir jika tiba-tiba Allah hantar kepada mereka azab secara mengejut seperti angit taufan, ribut kencang gempa bumi dan sebagainya yang akan membinasakan mereka!
Atau Allah tunjukkan tanda kedatangan secara zahir akan kedatangan azab itu!
- Allah juga nyatakan bahawa kaum yang zalim akan binasa!
Dan kezaliman yang paling besar ialah syirik!
- Firman Allah SWT yang bermaksud:
{Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.} (Al-An’AM 6:82)
Zalim di sini bermakna syirik. Siapa yang campurkan iman dengan syirik maka rosaklah amalannya.
- Sebagaimana firman Allah: { إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌۭ }
Maksudnya: {… sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.} [Luqman 31: 33].
AYAT 48- {DAN TIADALAH KAMI UTUSKAN RASUL-RASUL ITU MELAINKAN SEBAGAI PEMBAWA BERITA GEMBIRA DAN PEMBAWA AMARAN; KEMUDIAN SESIAPA YANG BERAMAL SOLEH, MAKA TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARI BERLAKUNYA KEJADIAN YANG TIDAK BAIK) TERHADAP MEREKA, DAN MEREKA TIDAK AKAN BERDUKACITA.} (AL-AN’AM 6:48)
- Munasabah ayat ini:
i- Puak kafir dalam ayat lepas berpaling, tak peduli dengan amaran, tak dengar nasihat & amaran!
ii- Maka datang ayat ini Allah menyatakan bahawa kerja rasul ialah menyampaikan, memberi peringatan & amaran.
Orang nak ikut ikut yang tidak mahu biarkan. Tak perlu layan mereka yang ingkar dan meminta yang pelik-pelik!
- Allah kata Dia tidak hantar para rasul kecuali:
i- Untuk memberi khabar gembira bagi orang yang taat yang akan mendapat kejayaan & nikmat ke yang besar.
ii- Serta amaran & khabar buruk bagi orang derhaka dengan ancaman azab dan seumpamanya.
- Sesiapa yang beriman dengan apa yang rasul bawa dan beramal soleh yang baik iaitu ikhlas dan ikut ajaran Nabi SAW. mereka akan tenang di dunia & aman di Akhirat.
YANG peliknya ada orang yang kata walaupun Rasulullah SAW larang dia nak buat juga perkara itu untuk menunjukkan cintanya kepada Baginda! Ini adalah kekarutan yang nyata!
- Kata Syeikh Fudhail bin Iyadh rahimahullah : Inilah dua syarat amalan untuk menjadi soleh dan diterima Allah SWT:
i- Ikhlas
ii- Bertepatan dengan ajaran Nabi SAW.
- Mereka ini tidak akan:
i- Tidak ada kebimbangan dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap mereka.
Tidak perlu runsing dan bimbang untuk masa akan datang.
ii- Dan mereka tidak akan berdukacita dengan peristiwa yang telah lepas. Tidak memikirkannya lagi!
AYAT 49- {DAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, MEREKA AKAN DIKENAKAN AZAB SEKSA DENGAN SEBAB MEREKA BERLAKU FASIK.} (AL-AN’AM 6:49)
- Allah bawa ayat ini pula untuk menyatakan keadaan orang yang rosak iman, rosak akhlak & perjalanan hidupnya.
- Iaitu sesiapa yang mendustakan rasul Allah & menolak segala hujjah yang Allah kemukakan maka:
i- Mereka telah keluar dari arahan dan perintah Allah dengan melakukan larangan Allah!
ii- Maka mereka akan mendapat azab balasan atas perbuatan mereka itu.
- Maka jika nak selamat kita kena ikut arahan Allah & ikut apa yang ditinggalkan Rasulullah SAW.
Biarlah walaupun kita terpaksa menjadi golongan terasing di mata orang ramai atas dunia ini; asal kita tidak diasingkan daripada golongan yang mendapat rahmat Allah di Akhirat kelak!!
AYAT 50- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD); “AKU TIDAK MENGATAKAN KEPADA KAMU (BAHAWA) PERBENDAHARAAN ALLAH ADA DI SISIKU, DAN AKU PULA TIDAK MENGETAHUI PERKARA-PERKARA YANG GHAIB; AKU JUGA TIDAK MENGATAKAN KEPADA KAMU BAHAWASANYA AKU INI MALAIKAT, AKU TIDAK MENURUT MELAINKAN APA YANG DIWAHYUKAN KEPADAKU”. BERTANYALAH (KEPADA MEREKA): “ADAKAH SAMA ORANG YANG BUTA DENGAN ORANG YANG CELIK? TIDAKKAH KAMU MAHU BERFIKIR?”} (AL-AN’AM 6:50)
- Allah juga perintahkan Rasulullah SAW untuk menyatakan kepada puak musyrikin itu bahawa:
i- Nabi SAW tidak mengaku perbendaharaan Allah ada di sisinya, Nabi bukan pemegang khazanah Tuhan yakni rezeki bukan ditangan Baginda SAW!
ii- Dan Nabi juga tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
Kerana itu kita pun jika ada orang yang mengaku perkara ghaib seperti nujum, tilik nasib dan seumpamanya, jangan kita percaya!
Manakala ramalan cuaca itu berdasarkan ilmu yang mengkaji pergerakan angin lalu dijangka ketibaannya di sekian tempat mengikut kelajuannya bergerak.
Angin & awan itu pula sama ada bawa hujan atau sebagainya.
Maka bolehlah kita berdoa agar awan atau hujan itu dibawa ke tempat lain yang tidak memberi mudharat kepada manusia & haiwan.
iii- Baginda juga tidak mengatakan bahawasa dia adalah malaikat.
Baginda adalah manusia biasa seperti kamu. Malaikat mempunyai kuasa ghaib & amat kuat.
iv- Baginda tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan Allah kepadanya.
Tidak lebih dan tidak kurang, apa yang Allah berikan itu yang Nabi sampaikan!
Segala ilmu yang Baginda ada & tahu juga berdasarkam ilmu & wahyu yang Allah berikan juga!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah perintahkan Nabi SAW untuk pergi berhujjah dengan puak kafir dan Baginda telah berjaya mematahkan hujjah mereka.
Kemudian Allah nyatakan juga bahawa tugas para rasul itu menyampaikan dengan memberi khabar gembira & amaran.
ii- Maka datang ayat ini menyatakan bahawa Nabi SAW hanyalah rasul yang menyampaikan tugas yang Allah berikan kepadanya.
Baginda juga tidak perkara ghaib, tidak memiliki ilmu & khazanah rezeki yang Allah miliki.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
Maksudnya: {Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.} (Al-A’raf 7:188)
- Kemudian Allah suruh Rasulullah SAW bertanya lagi kepada mereka: “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?
Pastilah tidak sama- sama sekali. Yakni puak kamu ini jika tidak mahu beriman juga, tidak mahu dengar nasihat juga, maka serupalah dengan orang yang buta!
- Firman Allah SWT juga:
Maksudnya: {Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.} (Ar-Ra’d 13:19)
- Di akhir ayat Allah bertanya apakah kamu tidak berfikir?
Apakah kamu tiada otak & akal?
Apakah kamu lupa dan mahu lari daripada tanda-tanda kebenaran yang telah Allah turunkan?
Tidakkan kamu berfikir sehingga kamu faham? Sedangkan kamu tahu apa Allah bawa itu betul, maka pilihlah jalan yang benar gunakan otak itu!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 46- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu, dan Ia pula memeteraikan atas hati kamu?}-
Tanyakan kepada orang kafir itu jika Allah ambil balik fungsi mata, telinga dan otak mereka!
Ayat ini bagi orang Islam kena ambil pengajaran betapa unik dan lengkapnya pancaindera yang Allah berikan kepada kita.
Begitu berguna dan penuh dengan faedah & sempurna.
Allah cipta lemak di dalam mata supaya mata kita tidak kering.
Kerana itu Allah jadikan air mata kita masin supaya tidak busuk lemak yang ada dalam mata itu.
Sebagaimana air laut yang masin untuk memproses bangkai haiwan dan sampah yang ada di dalamnya.
Lalu Allah peringatkan kita supaya bersyukur dan guna semua nikmat yang Allah beri itu dengan kebaikan.
Kerana jika Allah ambil balik, melenyapkan pendengaran serta penglihatan apa yang akan terjadi ke atas kita dan siapa lagi yang dapat menolong kita!
- Ayat 46- {… Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling – ingkar.}-
Lihatlah bagaimana kami berulang-ulang membawa dan menyatakan tanda kebesaran kami; tetapi mereka tetap lari berpaling dan menginkarinya!
Ayat ini menyatakan rahmat Allah, berulang kali Allah bawakan bukti, dalil dan hujjah untuk kamu berifikir dan beriman! Kita baca saja al-Quran bermula dari awal hingga akhir akan jumpa saja bukti & tanda-tanda kebesaran, keEsaan dan keagungan Allah SWT.
Tetapi malangnya manusia yang degil keras kepala tetap menolak tidak mahu menerima kebenaran yang jelas di depan mata!
Cakaplah apa saja mereka tetap begitu, begitulah perangai apabila mereka tidak mahu!
Jika mereka nak terima ajaran yang pelik karut dan tak logik boleh mereka ikut & terima sehingga saggup minum air basuhan kaki tok syekh mereka!!!
- Ayat 47- {Katakanlah:” Bagaimana fikiran kamu, jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba, atau dengan terang-terang…}-
Kamu fikirkanlah jika datang azab secara mengejut; macamana kamu nak selamat????
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini memberi amaran kepada orang beriman agar jangan berani melawan hukum Tuhan.
Sedang buat maksiat, mungkar dan keburukan yang besar, tiba-tiba datang azab Allah atau malaikat maut untuk mencabut nyawa dengan mengejut!
Kita nak kata apa lagi ???
Allah mahu peringatkan kita manusia ini supaya sentiasa beringat dan berwaspada.
- Ayat 48- {… kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.}-
Siapa yang beriman dan bermaal soleh, kamu jangan takut lagi, Allah jamin akan beri sebaik balasan!
Allah nyatakan: Wahai orang yang beriman dan beramal soleh, kamu jangan takut untuk kembali bertemu dengan Allah, jangan bimbang dan runsing untuk meninggalkan anak isteri kamu, Allah akan jaga mereka yang soleh!
Orang yang takut itu ialah yang tidak lengkap & sedikit amalan kebaikannya.
Atau buat banyak dah tetapi tidak ikhlas & tidak beriman maka tiada ganjarannya juga!
Muhasabahlah diri kita sentiasa.
Ayat ini menggalakkan manusia untuk menjaga iman & banyak beramal soleh serta sentiasa mengingati kesan buruk akibat perbuatan ini.
Dua sifat ini mesti berkembar, tiada guna beriman jika tidak beramal dan tiada guna beramal jika tidak ikut Sunnah Nabi SAW!
Iman saja mungkin lepas daripada kekal dalam neraka; tetapi ingat akan kena azab juga sebelum itu! Wal ‘iyazubillah.
- Ayat 50- {… Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”}-
Allah suruh Nabi tanya apakah sama orang yang buta & orang yang celik.
Allah nak kita berfikir!
Ulama’ kata : Ayat ini mengajar kepada kita untuk banyak berfikir & bertafakkur.
Galakan untuk berfikir ini datang dari al-Quran dan berfikir ikut SOP panduan al-Quran bukan ikut suka kita.
Contoh kenapa banjir hari ini adalah satu bala & amat membinasakan?
Ini adalah amaran dari Allah untuk kita berfikir muhasabah diri, ini adalah amaran dan peringatan dari Allah.
Bala yang datang kerana banyaknya kemungkaran dan maksiat atas muka bumi ini!
Kita kena banyakkan berdoa & beristighfar kepada Allah Azza wa Jalla dalam semua keadaan.
Banjir pun kita kena istighfar, kemaraupun kita kena istighfar!
Kita berdoa kepada Allah agar selamatkan kita semua dari bala bencana yang datang dari Allah!
Kita jalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar selalu.
Alhamdulillah tamatlah perbincangan ringkas kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga memberi manfaat.
Misi Bantuan Kepada Mangsa Banjir:
Misi bantuan kepada mangsa banjir diteruskan dengan kolabrasi beberapa pertubuhan NGO dengan YPSD.
Kita ucapkan terimakasih atas sumbangan orang ramai serta para NGO dan sukarelawan yang turun padang menyumbankan tenaga dan diri untuk membantu mangsa yang kesusahan!
جزاكم الله خير الجزاء
Untuk bantuan banjir:
Derma dan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun berikut:
Nama: Pertubuhan Masyarakat Sejahtera Kuala Krai
Akaun: 1102217376 (Bank Rakyat)
Kami dahulukan dengan ucapan terima kasih dan جزاكم الله خيرا كثيرا.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.