SURAH AL-AHZAB : AYAT 32-34

\"\"

7 CIRI KEISTIMEWAAN ISTERI-ISTERI NABI S.A.W, ADAB BERCAKAP DAN BERPAKAIAN MEREKA & ARAHAN MEMPELAJARI AL-QURAN DAN SUNNAH.

Full video : https://youtu.be/8nLKBw2x8hg

MUQADDIMAH :

1. Dalam siri ini kita masih lagi dalam episod tentang Ummahatul-Mukminin iaitu para isteri Rasulullah s.a.w.

Sebagai ibu orang mukmin mereka ini ada etika dan ciri-ciri keistimewaan khas kerana mereka dipilih Allah s.w.t untuk menjadi orang yang paling rapat dengan Rasulullah s.a.w.

2. Mereka duduk bersama dengan Nabi S.A., perhubungan sebagai suami isteri, banyak rahsia yang mereka dapat tahu, belajar lalu menukilkan kepada kita apa yang berlaku dalam rumah mereka, apa yang sepatutnya dimaklumkan dan boleh diberitahu dari segi perundangan atau kehidupan biasa.

Jasa mereka sangat besar.

3. Kerana itu Allah s.w.t pilih dari kalangan Ummahatul-Mukminin itu wanita dari pelbagai umur, latar-belakang dan juga keturunan, ada Arab Quraisy, ada yang bukan Quraisy bahkan ada dari kalangan bani Israil seperti Sofiyyah binti Huyai. Kepelbagaian ini memberi ruang untuk melengkapkan Sirah nabi s.a.w, menunjukkan keluasan dan betapa syumulnya (lengkapnya) ia untuk dijadikan ikutan (qudwah) dan contoh (uswah) hasanah.

4. Dalam siri yang lepas kita telah lihat bahawa Allah s.w.t telah larang kepada para Ummahatul-Mukminin agar jangan buat benda tidak baik. Jika tidak akan digandakan azab-Nya.

5. Sedangkan sebelum ini Allah telah katakan sesiapa yang buat baik, akan mendapat pahala yang besar.

Kemudian Allah kembarkan tentang bergandanya juga pahala bagi yang berbuat baik dengan sebab masa, tempat dan kedudukan seorang itu.

Sama juga dengan dosa yang berganda dengan sebab ini.

6. Kali ini kita akan lihat tujuh ciri keistimewaan yang Allah s.w.t beri kepada para Ummahatul-Mukminin bermula dari ayat ke-31 sehingga ayat ke-34 yang kita baca hari ini.

7. Tujuh ciri keistimewaan itu ialah:

i- Berganda pahala dan darjatnya jika bertaqwa dan buat amal kebajikan.

ii- Anugerah kedudukan yang lebih tinggi daripada para wanita lain seluruhnya.

iii- Mereka dilarang dari bercakap dengan lembut manja dengan lelaki asing.

iv- Mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing tanpa hajat.

v- Diperintah agar mereka tidak berhias seperti tabarruj (berhias) cara jahiliyyah.

vi- Agar sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah.

vii- Agar sentiasa belajar, baca al-Quran dan belajar ilmu, ambil hukum dari al-Quran dan hikmah iaitu hadis-hadis Rasulullah.

AYAT 32-{WAHAI ISTERI-ISTERI NABI, KAMU SEMUA BUKANLAH SEPERTI MANA-MANA PEREMPUAN YANG LAIN KALAU KAMU TETAP BERTAQWA. OLEH ITU JANGANLAH KAMU BERKATA-KATA DENGAN LEMBUT MANJA (SEMASA BERCAKAP DENGAN LELAKI ASING) KERANA YANG DEMIKIAN BOLEH MENIMBULKAN KEINGINAN ORANG YANG ADA PENYAKIT DALAM HATINYA (MENARUH TUJUAN BURUK KEPADA KAMU), DAN SEBALIKNYA BERKATALAH DENGAN KATA-KATA YANG BAIK (SESUAI DAN SOPAN).} (AL-AHZAAB 33:32)

1. Allah s.w.t menyeru sekali lagi di sini: {Wahai isteri-isteri Nabi..} sebagaimana kita pelajari Allah s.w.t tidak menyebut nama Nabi Muhammad s.a.w kecuali dengan gelarannya. Dalam ayat ini walaupun sandaran kepadanya disebut Nabi.

2. Allah s.w.t telah anugerahkan kepada para isteri Nabi s.a.w Ummahatul-Mukminin itu, kedudukan yang lebih tinggi daripada para wanita lain seluruhnya. Ini adalah ciri-ciri yang kedua.

3. Bukanlah mereka itu seperti mana-mana perempuan lain dengan syarat mereka bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Syarat ini disebut sebagai peringatan sedangkan mereka itu memang adalah para wanita yang bertaqwa.

4. Kecuali ada beberapa nama yang telah disebut khas oleh Rasulullah s.a.w iaitu Fatimah bt Rasulullah sebagai penghulu wanita di dalam Syurga, Asiah isteri Firaun dan Maryam ibu kepada Nabi Isa a.s, mereka adalah wanita istimewa pada zaman mereka masing-masing.

5. Mereka juga dilarang dari bercakap dengan lembut manja semasa bercakap dengan lelaki asing.

Walaupun arahan ini kepada isteri Rasulullah s.a.w, inilah larangan umum kepada semua wanita mukmin yang lain.

6. Ini kerana perbuatan itu, bercakap lembut dan manja itu boleh menimbulkan keinginan bagi orang yang ada penyakit dalam hatinya lalu menyebabkan mereka menaruh tujuan buruk kepada kamu.

7. Allah s.w.t juga mengajar untuk bercakap dengan kata-kata yang baik, sesuai dan sopan. Yakni cara biasa dan sederhana, bukan kasar dan garang bukan juga dengan cara yang manja tadi.

8. Ini kerana sebagai penghormatan seperti seorang ibu untuk mereka sebagai Ummahatul-Mukminin, tetapi bukan dari segi hukum lain, tetap tidak boleh bermesra dan berkhalwat dengan mereka.

AYAT 33-{DAN HENDAKLAH KAMU TETAP DIAM DI RUMAH KAMU SERTA JANGANLAH KAMU MENDEDAHKAN DIRI SEPERTI YANG DILAKUKAN OLEH ORANG-ORANG JAHILIYAH ZAMAN DAHULU; DAN DIRIKANLAH SEMBAHYANG SERTA BERILAH ZAKAT; DAN TAATLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN RASULNYA. SESUNGGUHNYA ALLAH (PERINTAHKAN KAMU DENGAN SEMUANYA ITU) HANYALAH KERANA HENDAK MENGHAPUSKAN PERKARA-PERKARA YANG MENCEMARKAN DIRI KAMU – WAHAI \”AHLULBAIT\” DAN HENDAK MEMBERSIHKAN KAMU SEBERSIH-BERSIHNYA (DARI SEGALA PERKARA YANG KEJI).} (AL-AHZAAB 33:33)

1. Dalam ayat ini dua lagi hukum dan arahan.

2. Mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing tanpa hajat, kecuali ada hal dan keperluan yang mustahak.

3. Hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dari Ummul Mukminin ‘Aisyah, Umar bin al-Khattab pernah berkata kepada Rasulullah: “Berilah arahan berhijab kepada isteri-isteri tuan.” Namun Rasulullah s.a.w tidak melakukannya.

Pada suatu malam di waktu Isya, UM Saudah binti Zam’ah r.a, isteri Rasulullah, keluar (untuk buang hajat). Dan Saudah adalah seorang wanita yang berbadan tinggi dan telah dicami oleh Umar. Umar lalu berseru kepadanya, “Sungguh, aku mengenalmu wahai Saudah!“ Umar mengucapkan demikian dengan harapan ingin agar ayat hijab diturunkan.

Setelah itu, Umar kembali mendatangi Rasulullah lalu berkata, “Ya Rasulullah, yang datang kepada engkau ada orang baik, ada juga orang jahat. Sebaiknya Ummahatul Mukminin diperintahkan untuk mengenakan hijab.

Tidak lama kemudian turunlah firman Allah s.w.t ini:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلا مَعْرُوفًا (٣٢) وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى وَأَقِمْنَ الصَّلاةَ وآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا ٣٣

{Wahai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik, dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.} (`Al-Ahzab Ayat 32-33).

4. Juga perintah agar mereka tidak berhias seperti tabarruj (berhias) cara jahiliyyah iaitu:

i- berpakaian sopan.

ii- jangan mendedahkan aurat.

5. Maksud at-Tabarruj تَبَرُّجَ dalam ayat ini ialah kata ulama\’ – keluar dengan keadaan sombong, berhias dengan menzahirkan perhiasan, memakai wangian dan seumpamanya yang tidak lulus Syariat Islam, seperti wanita pada zaman jahiliyyah الْجَاهِلِيَّةِ sebelum Islam ini.

*Hadis hukum perempuan berwangi: Daripada Abu Musa al-Asy`ari R.A bahawa Nabi S.A.W telah bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

Maksudnya: Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina. [HR Abu Daud & Al-Nasa’ie ].

6. Arahan kelima agar sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah s.a.w serta amal ibadat seperti:

i- mendirikan solat.

ii- tunaikan zakat jika ada harta.

Ini adalah arahan dalam perbuatan dan kehidupan sosial para Ummahatul-Mukminin.

7. Allah s.w.t juga berikan kepada mereka para Ummahatul-Mukminin satu kedudukan yang tinggi. Iaitu dengan perintah yang diarahkan kepada para ahlul bait (keluarga Nabi iaitu anak dan isteri-isterinya- أَهْلَ الْبَيْتِ) semuanya ini ialah untuk menghilangkan dosa mereka dan membersihkan mereka dari semua kotoran perkara yang tidak baik yang boleh mencemarkan maruah mereka. Ini adalah ciri yang keenam.

AYAT 34- {DAN INGATLAH (SERTA AMALKANLAH) APA YANG DIBACA DI RUMAH KAMU DARI AYAT-AYAT ALLAH (AL-QURAN) DAN HIKMAH PENGETAHUAN (HADIS-HADIS RASULULLAH). SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA HALUS TADBIRNYA, LAGI MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA.} (AL-AHZAAB 33:34)

1. Dalam ayat ini adalah arahan dan ciri yang ketujuh: Agar mengaji: baca al-Quran dan belajar ilmu, ambil hukum dari al-Quran dan hikmah iaitu hadis-hadis Rasulullah. Ambil kesempatan dari menjadi ahli dan isteri Rasulullah s.a.w.

2. Jadi ciri-ciri mereka adalah wanita solehah yang bijak, alim dan berilmu. Mereka memanfaatkan masa dan peluang bersama Rasulullah s.a.w untuk menggali khazanah ilmu yang tiada sempadan.

3. Kerana itu selepas kewafatan Rasulullah s.a.w ramai para sahabat yang pergi belajar dan merujuk masalah kepada UM Aisyah r.a seorang yang alim yang banyak ilmu pengetahuannya.

4. Ilmu dan kesolehan tidak dapat diwarisi. Kena didik anak isteri sendiri walaupun ustaz/ulama\’- kena belajar dan mengaji kerana para isteri Nabi s.a.w pun Allah suruh belajar dan menuntut ilmu!

Apatah lagi jika seseorang itu adalah ustazah sendiri.

Jangan suami atau bapa sibuk dok berceramah dan live situ sini, pergi Kuliah jauh dan dekat, forum sana sini, sedangkan ahli rumahnya sendiri terbiar dan tidak mendapat didikan dan teguran yang sepatutnya.

5. Ingatlah sesungguhnya Allah Maha Halus tadbir-Nya, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.Yakni Allah s.w.t mengetahui segalanya yang zahir atau yang batin, terang atau tersembunyi!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

1. Ayat 32– {Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa.} – ada kala darjat seseorang itu naik kerana hubungannya dengan seseorang yang mulia dan terhormat.

Para isteri Nabi mulia kerana mereka duduk dengan Nabi s.a.w.

Maka para ustaz dan pak imam kena jaga dan didiklah ahi rumah biar sesuai dengan kedudukan dan tanggung-jawab.

Sepertimana nama anjing disebut beberapa kali dalam surah al-Kahfi kerana ia bersahabat dengan para pemuda yang soleh.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap”. (HR Bukhari No: 1959).

2. Ayat 32– {Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)}- ayat ini juga mengajar wanita agar menjaga penampilan diri, kehormatan diri dan kelakuannya.

Sebagaimana kata seorang penyair Ahmad Syauqi: Lihat, senyum, salam, bercakap, temujanji, akhirnya bertemu…

Kerana semua itu datang dari pandangan mata, maka akan masuk ke dalam hati dan berpanjangan.

Ini kerana ramai lelaki di luar sana yang hatinya sakit, akan mengambil peluang jahat.

3. Ayat 32– {Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)} – ayat ini melarang para wanita daripada berinteraksi dengan lelaki ajnabi jika tiada keperluan apatah lagi bercakap dengan suara manja dan mengggoda, adalah haram.

Kalaulah wanita yang baik seperti para isteri Nabi ini dilarang, maka wanita lain yang biasa pastilah lebih perlu lagi menjaga semua ini.

4. Ayat 32– {kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya} – penyakit dalam hati kerana wanita adalah seperti kanser yang akan memburuk dan merebak.

Fitnah wanita itu datang dari dalam hati, maka mana-mana lelaki yang mula tertarik dengan seorang wanita ajnabi segera potongnya samada dengan kembali kepada isterinnya.

Kerana itu Rasulullah s.a.w ajar jika tidak mampu maka berpuasalah.

Daripada Usamah bin Zaid R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda, “Aku tidak meninggalkan satu fitnah pun yang lebih membahayakan para lelaki selain fitnah wanita.” (Bukhari 5096 Muslim 2740)

5. Ayat 32– {Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)} – wanita kena jaga dirinya daripada semua perkara dan sifat yang boleh menarik minat atau menaikkan syahwat para lelaki.

Maka timbul persoalan adakah suara wanita itu aurat atau tidak?

Jika bercakap biasa dan ada keperluan untuk bercakap tiada masalah, Rasulullah s.a.w juga tidak melarangnya.

Tetapi dilarang jika suara itu dilunakkan, apatahlagi menyanyi, bernasyid melenggang lenggok dengan suara merdu, juga termasuk berlagu bertaranum tanpa keperluan dan hajat adalah tidak dibolehkan maka ia telah bertukar menjadi HARAM sekiranya boleh menimbulkan fitnah!!

6. Ayat 33– {Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya.} – orang yang melakukan ibadat seperti solat dan zakat wajib juga menjaga aurat dan penampilannya. Bukan hanya buat separuh-separauh atau sebahagian sahaja larangan dan perintah Allah.

7. Ayat 34– {Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu} – siapa yang diberi ilmu maka mintalah agar diberi istiqomah juga.

Maka di sini Allah s.w.t peringatkan supaya mereka istiqomah dan mengamalkan apa yang dipelajari dari ilmu yang sudah ada. Seperti wanita yang berhias itu, bukan dia tidak tahu bahawa salah, tetapi kerana nak ikut trend dan lain-lain. Bukan setakat tahu dan ada ilmu, tetapi kena ingat dan amal kepada ilmunya!

8. Ayat 32– {Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain} – ulama\’ kata ini adalah dalil bahawa sesiapa yang tinggi kedudukannya di sisi Allah s.w.t, segala amalannya samada dosa atau pahala akan berganda! Maka beringat dan berhati-hatilah kita semua.

Imam Ghazali telah menjelaskan beberapa sebab dosa kecil boleh menjadi besar, antaranya kerana orang alim buat benda mungkar sehingga orang jahil menyangkanya baik dan betul.

9. Ayat 32– {Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain..} – ini adalah dalil bahawa mereka para Ummahatul-Mukminin itu secara mutlak (umumnya) mengatasi darjat wanita yang lain, wanita yang paling afdhal dan tertinggi darjatnya di atas dunia ini. Kecuali pengeculian yang Nabi s.a.w sebut 3 orang tadi.

10. Ayat 32– {Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu),} – kata ulama\’ usul ayat ini adalah dalil kepada ( الوسائل تأخذ أحكام المقاصد ) maksudnya: hukum wasilah (jalan/alat) kepada natijah/maksud, itu mengambil hukum yang sama dengan natijahnya. Seperti ZINA yang hukumnya jelas haram, maka semua wasilah; iaitu jalan atau alat yang boleh membawa kepadanya (zina) adalah HARAM juga.

Contoh wasilah kepada zina seperti wanita manjakan dan lunakkan suara, berhias dan berwangian seperti tabarruj jahiliyah, ikhtilat pergaulan bebas lelaki dan perempuan, dan yang seumpamanya, semua ini juga adalah HARAM!

Haramnya semua ini adalah menutup pintu ke arah zina atau perogolan!

Allahu Akbar betapa indahnya Maqasid Syariah Islam.

Wallahu a\’alam.

Powered by BetterDocs