SURAH YAASIN : AYAT 45-47

\"\"

MENJELASKAN KEJAHILAN MUSYRIKIN, SEMUA TANDA KEBENARAN DITOLAKNYA & SIFAT KAFIR; BAKHIL, PERLI MUKMIN.

Full video : https://youtu.be/WYkfh4AUdAc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menjelaskan tentang kejahilan golongan musyrikin yang berterusan dalam kesesatan mereka kerana tidak mahu berubah menerima kebenaran.
  2. Walaupun telah ditunjukkan bukti yang sangat nyata, ditunjukkan tentang kebinasaan umat yang terdahulu mereka tetap tidak insaf dan terus menolak. (مُعْرِضِينَ).
  3. Allah s.w.t juga telah membawa sebelum ini tiga dalil di langit (angkasa, bumi dan lautan.
  4. Kali ini dibawa pula cabara untuk infaq dan bersedekah kepada golongan yang lemah. Sekali lagi mereka ini menolaknya dengan cara memerli dan mempersendakan (استهزاء) arahan Allah dan Rasul-Nya ini.
  5. Kesinambungan ayat: Sebelumnya Allah s.w.t mulakan bawa dalil dengan tanda kekuasaan-Nya di atas muka bumi, kemudian dengan dalil malam dan cakerawala serta segala makhluk yang wujud di atas. Kemudian Allah s.w.t bawa pula dalil tentang keturunan manusia yang Allah jaga, serta dalil di lautan pula.
  6. Semua ayat-ayat ini sepatutnya sudah memadai dan mencukupi memberi keyakinan bagi sesiapa yang mahu menerima kebenaran!
    Tetapi org kafir itu tetap ingkar menolaknya berpaling (مُعْرِضِينَ) dari rahmat Allah s.w.t, hatinya telah buta tertutup daripada menerima kebenaran yang jelas di depan mata yang tidak buta!

AYAT 45- {DAN APABILA DIKATAKAN KEPADA MEREKA: \”BERJAGA-JAGALAH KAMU AKAN APA YANG ADA DI HADAPAN KAMU (DARI URUSAN-URUSAN HIDUP DI DUNIA INI), DAN APA YANG ADA DI BELAKANG KAMU (DARI HURU-HARA DAN BALASAN AKHIRAT), SUPAYA KAMU BEROLEH RAHMAT\”, (MEREKA TIDAK MENGINDAHKANNYA).} (YAA SIIN 36:45)

  1. Apabila diberi peringatan kepada mereka apa yang apa berlaku di belakang hari (masa depan). Iaitu golongan yang ingkar itu (puak musyrikin) diingatakan supaya berhati-hati dalam urusan hidup mereka atas dunia serta akibat yang akan diterima di akhirat kelak.
  2. Juga telah diberi peringatan tentang umat yang telah lepas, yang musnah akibat keingkaran dan kekufuran mereka. Maka kamu beringat dan berhati-hatilah agar kamu tidak akan menerima nasib yang sama di masa akan datang. Ayat ini untuk cuit mereka dan terus untuk memberi peringatan dan ajakan nasihat.
  3. Semua peringatan dan nasihat ini agar kamu mendapat rahmat Allah s.w.t; iaitu selamat dari bala bencana di dunia, selamat dari huru-hara dan balasan akhirat.
  4. Ulama\’ menafsirkan apakah maksud firman Allah s.w.t ini:
    i- {apa yang ada di hadapan kamu}- (مَا بَيْنَ أَيْدِيكُمْ)- yang sudah lepas iaitu kaum terdahulu yang kena azab dan telah musnah atas dunia lagi itu.

ii- {dan apa yang ada di belakang kamu } (وَمَا خَلْفَكُمْ) – iaitu azab di Akhirat kelak, yang akan datang.

  1. Manakala tafsiran yang kedua sebaliknya.
    Ada juga ulama\’ kata maksudnya:
    i- {apa yang ada di hadapan kamu}- (مَا بَيْنَ أَيْدِيكُمْ)- hendaklah kamu buat persiapan untuk Akhirat. Yakni di masa hadapan ialah apa yang akan kita hadapi iaitu hari Akhirat.

ii- {dan apa yang ada di belakang kamu } (وَمَا خَلْفَكُمْ)- manakala apa yang di belakang adalah yang telah lepas dari hari-hari kehidupan di dunia ini. Ia juga adalah kecil sahaja berbanding dengan Akhirat.

  1. Syeikh al-\’Alusi berkata setelah mendengar dua tafsiran dan pandangan ulama\’ ini yang berbeza ini: Kesimpulannya Allah s.w.t mahu kita takut akan azab yang akan menimpa jika ingkar dan degil juga.
  2. Semua nasihat dan peringatan ini supaya kamu beroleh rahmat (لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ) iaitu berharap, mudah-mudahan.
    Tujuannya supaya dapat rahmat Allah.
  3. Nak rahmat Allah kena bertaubat dan insaf, tinggalkan maksiat kembali kepada Allah s.w.t nescaya Allah s.w.t beri rahmat kepada kita. Taubat- menyesali perbuatan yang lalu, berazam tidak akan buat lagi, meninggalkannya terus dan berbuat kebaikan.

AYAT 46- {DAN (ITULAH TABIAT MEREKA) TIDAK ADA SESUATU KETERANGAN YANG SAMPAI KEPADA MEREKA DARI KETERANGAN-KETERANGAN TUHAN MEREKA MELAINKAN MEREKA SELALU BERPALING DARIPADANYA (ENGGAN MENERIMANYA).} (YAA SIIN 36:46)

  1. Ayat ini menjelaskan bahawa tidak datang kepada mereka suatu keterangan dan dalil (آيَةٍ مِنْ آيَاتِ) dari Tuhan kecuali mereka terus berpaling tidak mahu mendengarnya apatah lagi untuk berfikir dan menerimanya!
  2. Mereka tidak ambil peduli, tidak buka minda untuk menerima kebenaran, maka tidak akan dapat manfat darinnya.
  3. Kata Ibnu al-Jauzi rhm. makna (آيَةٍ) di sini ialah:
    i- al-Quran, iaitu apabila datang kepada mereka al-Quran mereka menolaknya.

ii- iaitu mukjizat yang Allah beri kepada Rasulullah s.a.w. Seperti terbelah bulan dan lain-lain.

  1. Syeikh al-Wahidi pula berkata makna (آيَةٍ) ini ialah:
    Semua tanda dan dalil yang Allah s.w.t tunjukkan kepada puak kafir tentang tauhid dan benarnya dakwah Rasulullah s.a.w, keterangan yang jelas di depan mata yang mereka boleh nampak seperti kejadian langit dan bumi.
    Tetapi mereka tetap tutup mata & hati daripada melihat dan menerimanya!
    Maka semua perkara tidak akan jelas dan kabur bagi mereka.
  2. Firman Allah s.w.t yang hampir sama:
    i- {Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.} (Yusuf 12:105)

ii- {Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.} {Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.} (Al-Qamar 54: 1& 2)

  1. Mereka tetap berdegil keras kepala, tidak mahu beriman, apa yang mereka mahu adalah syirik! Maka terimalah azab yang pedih di Akhirat kelak!
  2. Kata-kata ulama\’ usul dalam kaedah untuk menjatuhkah hukuman:
    (قاعدة الحكم على الشيء فرع عن تصوره)
    Untuk menjatuhkan hukum bagi sesuatu perkara itu kita kena lihat gambaran yang jelas di depan mata, dalil & tanda dan maklumat yang ada.
    Sama seperti penghakiman dalam mahkamah kena dengar dan ambil kira hujjah yang diberi oleh kedua pihak.
  3. Begitu juga dalam menentukan hukuman dan kaedah dalam sesuatu masalah kena dengar pandangan para pakar/ulama\’nya.
  4. Sebagai contoh Majma\’ Fiqh Islami (مجمع الفقه الإسلامي) Akademik Feqah Antarabangsa (International Islamic Fiqh Academy) sebelum mengeluarkan sesuatu keputusan dan fatwa akan dipanggil para pakar dalam setiap bidang yang berkenaan, dengar hujjah dan pandangan mereka baru boleh bersetuju untuk sesuatu keputusan dan fatwa.
  5. Sepatutnya mereka tengok, dengar dan timbangnya dulu. Buat kajian sebelum jatuhkan hukuman, lihat dan dengar sendiri! Jika tidak ini bermakna hati dan fikiran telah dikunci dari awal daripada menerima kebenaran, maka akan terus berada dalam kesesatan selamanya.

AYAT 47- {DAN APABILA DIKATAKAN KEPADA MEREKA: \”DERMAKANLAH SEBAHAGIAN DARI REZEKI YANG DIKURNIAKAN ALLAH KEPADA KAMU\”, BERKATALAH ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN (SECARA MENGEJEK-EJEK): \”PATUTKAH KAMI MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG JIKA ALLAH KEHENDAKI TENTULAH IA AKAN MEMBERINYA MAKAN? KAMU INI HANYALAH BERADA DALAM KESESATAN YANG NYATA\”.} (YAA SIIN 36:47)

  1. Dalam ayat ini adalah ujian dalam harta. Apabila mereka diperintahkan untuk membelanjakan sebahagian dari rezeki yang diberikan oleh Allah kepada mereka untuk kaum fakir miskin, kaum kafir ini menolak dan memerli.
  2. Yakni dikatakan kepada golongan kaum musyrikin, untuk memberi pertolongan dan bantuan kepada kaum keluarga dan anak beranak mereka yang lemah, yang muslim.
  3. Mereka golongan kafir itu menjawab dengan memerli, berkata kepada orang mukmin yang meminta mereka untuk berinfak dengan nada sinis, menentang, mengejek dan berhujjah dengan kehendak dan taqdir Allah.
  4. Katanya: Sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia memberikan kecukupan dan memberi kaum fakir miskin itu makan dari rezeki yang diberikan-Nya kepada mereka, dan kami sependapat dengan kehendak Allah s.w.t. terhadap mereka.
  5. Mereka juga mengatakan orang-orang mukmin itu benar-benar sesat kerana memerintahkan demikian kepada mereka.
    Mereka menunjukkan kebodohannya atau pura-pura bodoh kerana tidak mahu berinfaq.
  6. Mereka ini samada guna hujjah taqdir dan kehendak Allah s.w.t. sambil memerli orang mukmin.
  7. Timbul perbincangan siapa yang kata ini?: {Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata\”.}:
    i- ada ulama\’ kata ini adalah kata-kata perlian orang kafir kepada orang mukmin apabila diseru untuk bersedekah ini.

ii- ada yang kata inilah hukuman Allah s.w.t kepada orang kafir, bahawa mereka sesat.

iii- kata-kata orang mukmin kepada orang kafir yang sesat dan tidak mahu mengeluarkan infaq itu!

  1. Ayat ini menunjukkan bahawa sifat bakhil adalah satu sifat yang amat buruk. Manakala kebakhilan yang paling buruk ialah orang yang bakhil dengan harta orang lain. Iaitu seperti contohnya pemegang amanah tabung masjid dan lain-lain.
  2. Jangan kita tidak mahu derma dan bersedekah kerana takut bakhil, ini kerana semua rezeki ini adalah dari Allah s.w.t! Allah s.w.t akan gantikannya dengan yang lebih baik insya\’ Allah!
    Allah itu Pemberi Rezeki yang asal, kita hanya sebagai orang tengah yang tolong menyampaikan.
  3. Ayat ini menunjukkan bahawa bakhil itu adalah sifat orang KAFIR!
    Maka kita orang mukmin jangan sekali-kali bersifat bakhli seperti mereka!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 45- {Dan apabila dikatakan kepada mereka: \”berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat\”, (mereka tidak mengindahkannya).}- takutlah kepada Allah s.w.t, lihatlah apa yang telah berlaku kepada umat dahulu dan azab yang akan datang!
    Ayat ini menunjukkan mana-mana manusia yang menentang, enggan beriman maka dia telah melayakkan dirinya untuk menerima azab Allah s.w.t samada di dunia atau di Akhirat.
  2. Ayat 45- {supaya kamu beroleh rahmat\”, (mereka tidak mengindahkannya).}- ayat ini menyatakan sebab (لَعَلَّكُمْ) – mudah-mudahan, Menunjukkan sebab itu memberi kesan, dengan izin Allah, seperti ada api masaknya nasi, sebab turun hujan tumbuhnya pokok, dan seumpamanya.
    Dari segi hukum alam, sebab itu memeberi kesan secara asasnya, tetapi tidak semesti semua menjadi apa yang dihajatkan.
    Maka ayat ini mengajar kita untuk mengambil langkah dan usaha yang sesuai untuk mencapai sesuatu hajat dan keinginan. Seperti nak pandai kena belajar, nak sihat kena makan ubat dan jaga kesihatan dan lain-lain.
  3. Ayat 46- {Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka}- semua mukjizat (آيَةٍ مِنْ آيَاتِ رَبِّهِمْ) yang Allah s.w.t berikan kepada para nabi-Nya. Setiap nabi ada mukjizatnya seperti Musa ada tongkat, Nuh ada bahtera, nabi Soleh ada unta dan seumpamanya.
    Serta Rasul kita s.a.w juga banyak mukjizatknya, yang teragung adalah al-Quran, terbelah bulan, air keluar dari jari, kambing seeokr cukup dimakan satu pasukan tentera dan lain-lain.
    Setiap mukjizat yang Allah berikan itu biasanya boleh menjadikan manusia itu boleh percaya dan terima, supaya manusia bertambah yakin dengan mata kepalanya bahawa benar apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
  4. Ayat 46- {dari keterangan-keterangan tuhan mereka} – Allah s.w.t sandarkan segala dalil ayat dan mukjizat ini kepada diri-Nya sendiri. (مِنْ آيَاتِ رَبِّهِمْ)- semua ayat dan mukjizat yang Allah s.w.t hantar itu jelas dan nyata, yang sepatutnya apabila mereka melihat dan kajinya akan menerima dan beriman.
    Seperti al-Quran yang didepan kita ini jelas, siapa yang mengaji dan mengkaji akan faham dan terima al-Quran.
  5. Ayat 47- {Dan apabila dikatakan kepada mereka: \”Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu\”}- ingatan bahawa rezeki dan harta itu adalah dari Allah s.w.t, kamu hanya pemegangnya sahaja.
    Rezeki itu dari dan milik Allah s.w.t, kita hanya tolong mengagihkannya.
    Contohnya jelas seperti bendahari masjid dan pemegang amanah mana-mana tabung! Kena amanah dan bertanggung-jawab, jangan terlalu boros dan cuai atau terlalu bakhil.
  6. Ayat 47- {berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek):} – ayat ini mencela orang-orang yang enggan atau berdalih apabila diperintahkan untuk menginfaq dan memberi bantuan. Mereka berhujjah dan memberi alasan dengan taqdir Allah s.w.t, tanpa berusaha untuk membantu dan berinfaq!
  7. Ayat 47- { Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan?}- ayat ini adalah perkataan dan alasan kaum kafir itu! Ini menunjukkan Kalimah atau ayat yang benar tetapi penggunaan dan maksud yang dikehendakinya adalah BATIL!
    Seperti orang yang apabila diberi nasihat untuk berbuat baik; dijawab bahawa iman adalah di dalam dada, atau kubur masing-masing – kenyataan ini benar tetapi maksud yang dikehendakinya adalah supaya tak perlu nasihat mereka, mereka tidak mahu dengar!
    Alasan nampak baik tetapi maksud yang dikehendaki tidak baik!
  8. Ayat 47- {Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan?} – ayat ini keseluruhannya menunjukkan cara yang salah dalam berhujjah dengan kehendak Allah s.w.t. Hujjah ini ni menunjukkan kejahilan mereka yang besar atau saja mereka buat-buat jahil dan bodoh. Kita orang muslim akui bahawa semua yang berlaku adalah dengan Kehendak Allah s.w.t, tetapi kita manusia diberi akal dan pilihan untuk memilih apa yang baik dan buruk. Jangan berhujjah dengan taqdir untuk menghalalkan perbuatan buruk dan dosa kita. Jika tidak polis tidak akan dapat bertugas, semua orang nk berlepas diri buat jenayah kerana taqdir Allah!!
  9. Ayat 47- { Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan?} – ayat ini menunjukkan bahawa puak musyrikin itu tahu ada Kehendak Allah, akui akan ketuhanan Rububiyyah Allah s.w.t, tetapi mereka tetap ingkar tidak mahu mengakui dan beriman. Semua ini kerana sombong dan takabbur.

Sebagaimana firman Allah s.w.t:
i- {Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.} (An-Naml 27:14)

ii- {Nabi Musa menjawab: \”Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa\”.} (Al-Israa\’ 17:102)

  1. Ayat 47- {berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): \”Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata\”.}- begitulah sifat puak kafir ini mereka akan guna hujjah ikut kehendak dan kepentingan diri mereka.
    Dalam ayat ini mereka pula tuduh dan beri gelaran sesat ke atas orang mukmin yang memberi nasihat kepada mereka.
    Mereka akan sentiasa berdolak-dalik melepaskan diri dari menerima perintah dan ajaran Rasulullah s.a.w.
    Sunnah Rasulullah s.a.w adalah seolah bahtera penyelamat Nabi Nuh a.s, sesiapa yang naik akan selamat!

Powered by BetterDocs