SURAH AL-AHZAB : AYAT 27

\"\"

KESIMPULAN KISAH AL-AHZAB DAN BANI QURAIZAH, PERANAN YAHUDI DAN MUNAFIQ MENCELARUKAN MASYARAKAT & JANJI ALLAH S.W.T UMAT ISLAM AKAN MENGUASAI BUMI KAFIR.

Full video : https://youtu.be/qECmf7fTE10

MUQADDIMAH :

  1. Kisah dalam siri ini adalah penutup kepada dua peristiwa perang besar yang berlaku di Madinah iaitu Perang Ahzab dan Pengepungan yahudi Bani Quraizah.
  2. Dua ayat sebelumnya telah kita baca dalam siri yang lepas, hari ini kita baca sambungannya ayat ke-27 sebagai penamat kepada 2 peperangan ini.
  3. Sejarah yang berlaku banyak mengandungi pengajaran dan iktibar. Sirah Nabi s.a.w bukan hanya sekadar untuk dibaca, ia perlu dikorek, digilap diserlahkan dari sudut sejarah, ibrah, pengajaran, pelajaran, agar dapat dikutip faedah diambil iktibar garis panduan daripada peristiwa yang berlaku.
  4. Sebahagian ulama\’ yang menulis dan menyusun Sirah Nabi s.a.w dengan tajuk Sirah Nabi dengan beberapa pelajaran dan ibrah. السيرة النبوية: دروس وعبر

AYAT 27- {DAN IA MENJADIKAN KAMU MEWARISI TANAH-TANAH DAN RUMAH-RUMAH SERTA HARTA BENDA MEREKA, DAN JUGA TANAH-TANAH (DI NEGERI-NEGERI LAIN) YANG BELUM KAMU MENJEJAKNYA. DAN (INGATLAH) ADALAH ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-AHZAAB 33:27)

  1. Allah s.w.t ceritakan dalam ayat ini bahawa Allah akan menjadikan orang muslim mempusakai (mewarisi) menjadi milik kamu, tanah-tanah mereka. Serta mereka sendiri ada yang diambil menjadi tawanan, serta rumah dan harta benda mereka diambil.
  2. Ulama\’ tafsir menafsirkan harta yang diambil ini ialah termasuk semua sekali:
    i- أَرْضَهُمْ tanah mereka, yakni bumi dan pokok-pokok yang ada di dalam nya seperti tamar.
    ii- وَدِيَارَهُمْ -Negeri atau rumah ialah kubu-kubu, kota mereka,
    iii- وَأَمْوَالَهُمْ -harta pula ialah haiwan dan ternakan mereka.
  3. Oleh kerana kita masih di dalam episod penawanan bani Quraizah maka kontek mewarisi harta dalam ayat ini ialah tentang harta rampasan atau peninggalan yahudi Bani Quraizah. Allah memberi orang Islam memiliki semua harta benda bani Quraizah yang ditawan dan harta di negeri-negeri lain nanti.
  4. Manakala maksud negeri lain yang belum kamu jejaki (وَأَرْضًا لَمْ تَطَئُوهَا) pula ialah panjang sekali perbahasannya oleh para ulama\’.
  5. Terdapat lima pandangan ulama\’ yang menghuraikan tentang ini وَأَرْضًا لَمْ تَطَئُوهَا:
    i- bumi Khaibar, pada tahun ke-7H. Khaibar dan lain-lain bumi kafir.
    ii- pembukaan Makkah pada tahun ke-8H. Selepas perjanjian Hudaibiyah iaitu janji genjatan senjata selama 10 tahun dikhianati oleh Quraisy.
    iii- kejatuhan bumi Parsi & Rom, bukan pada zaman Nabi s.a.w, ini berlaku pada zaman khalifah Umar al-Khattab. Ini telah dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w semasa memukul batu ketika menggali parit dulu, bahawa Yaman, Parsi dan Rom akan jatuh.
    iv- bumi Bani Nadhir, di Madinah. iaitu di kawasan kota Kaab bin Al-Asyraf. Kerana kaum muslim mendapatnya tanpa pertumpahan darah juga, mereka menyerah diri dan lari keluar.
    v- Imam at-Tobari mengatakan semuanya itu betul, kerana ia semuanya negeri yang belum diambil oleh kaum muslim. Kerana Allah s.w.t kata mereka mewarisinya – mendapat miliknya tanpa perlu susah payah dan diusahakan. Seperti seseorang yang mati meninggalkan hartanya kepada anaknya secara automatik, tanpa perlu buat apa-apa.
  6. Dapat kita lihat betapa banyak janji-janji Allah yang telah terjadi dan benar.
  7. Bumi Khaibar adalah bumi yang subur dan kaya sekali. Puak yahudi ini adalah pakar dalam pertanian dan bertukang besi. Kerana itu banyak sekali hasil ghanimah yang didapati. Keadaan umat Islam di Madinah selepas peperangan Khaibar berbeza sikit. Kerana peperangan sebelum ini tiada yang dapat hasil dan rampasan begitu.
  8. Allah s.w.t mengingatkan lagi kepada kita bahawa adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, tidak ada sesuatu yang dapat melawan dan melemahkan kuasa-Nya. Antara kuasa-Nya ialah Dia berikan pertolongan kepada mereka dan mewariskan bumi orang kafir kepada mereka.

SINOPSIS RINGKAS SIRAH RASULULLAH S.A.W DI MADINAH :

  1. Tahun pertama Hijrah, Rasulullah s.a.w membina Masjid, bina rumahnya, mempersaudarakan antara muhajirin Makkah dengan penduduk Ansar Madinah. Menyusun masyarakat Islam yang baru, sebagai mujtama\’ Madani.
  2. Madinah ini ada pelbagai suku kaum Arab seperti Aus, Khazraj, juga kaum yahudi sebagai salah satu penduduknya. Satu masyarakat majmuk! Jadi yahudi ini untuk menjamin keamanan dan keselamatan, mereka membuat perjanjian damai dengan Rasulullah s.a.w.
  3. Sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, sudah ada tiga kabilah besar bangsa Yahudi yang menetap di sana. Mereka adalah Bani Qainuqa\’, Bani an-Nadhir, dan Bani Quraizhah. Masing-masing mempunyai sekutu dari kalangan penduduk asli Madinah. Bani Qainuqa\’ dan Bani Nadhir bersekutu dengan Khazraj, manakala Bani Quraizhah menjadi sekutu \’Aus.
  4. Setiap kali terjadi peperangan di antara mereka dengan sekutu masing-masing, orang-orang Yahudi bersikap berlepas diri sambil mengancam kaum musyrikin (\’Aus dan Khazraj) ketika itu dengan mengatakan pemberitaan Nabi Akhir Zaman;
    إنه سيبعث نبي في آخر الزمان نقتلكم معه قتل عاد وإرم
    \”Akan tiba masanya kebangkitan seorang Nabi di akhir zaman. Kami bersamanya memerangi kamu seperti memerangi \’Ad dan Iram.\”
  5. Namun, apabila Rasulullah s.a.w telah muncul dari kalangan bangsa Arab Quraisy, berimanlah \’Aus dan Khazraj, sementara orang-orang Yahudi masih terus mendustai kebenaran Baginda s.a.w dek kerana dengki dan tidak dapat menerima kenyataan Baginda bukan dari keturunan yahudi!.
  6. Di celah yahudi dan Arab ini pula muncul satu golongan munafiq yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Ini akibat sakit hati dan kekecewaannya yang tidak jadi ditabal menjadi ketua/raja kota Madinah dengan kehadiran Rasulullah s.a.w. Mereka menyerlah selepas kemenangan kaum muslimin dalam peperangan Badar pada tahun ke-2H yang menunjukkan kekuatan Islam dan kaumnya. Mereka ini telah menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan yang memberi kesan amat buruk dan sentiasa mengkhianati kaum muslimin!
  7. Pada tahun ke-2H juga terjadi pengusiran yahudi Bani Qainuqa\’ akibat mereka membatalkan perjanjian damai dengan Rasulullah s.a.w.
    i- Mereka sangat jahat selalu menjadi batu api melaga-lagakan antara kaum Aus dan Khazraj. Perkerjaan utama mereka ialah bertukang emas dan besi, jadi banyaklah alat senjata diperkampungan mereka. Kerana itu Rasulullah s.a.w selalu runsing takut jika mereka khianat.

ii. Untuk menjadi sebab dan cerita: Salah seorang Yahudi Madinah mengganggu seorang Muslimah yang berjual di pasar mereka dengan mengikat hujung pakaian bahagian belakang Muslimah tersebut ke bahagian yang lainnya. Sehingga ketika si wanita itu bangkit dari duduknya tersingkaplah aurat bahagian belakangnya. Dia pun berteriak meminta tolong kepada kaum Muslimin. Salah seorang kaum Muslimin yang mendengar teriakan ini, bergegas datang menolongnya dan Berjaya membunuh Yahudi tersebut.
iii. Melihat rakannya diserang, serta merta kaum Yahudi menyerbu lelaki Muslim itu sehingga meninggal juga. Kaum Muslimin yang menyaksikan peristiwa ini meminta tolong kepada kaum Muslimin lainnya untuk melawan kaum Yahudi, sehingga terjadilah sesuatu yang tidak diinginkan antara kaum Muslimin dan dengan Kaum Yahudi, Bani Qainuqa\’.
iv. Kisah pengepungan Bani Qainuqa\’ telah dijelaskan dalam Kitab Sahih Bukhari dan Muslim. Sedangkan penjelasan secara terperinci tentang peristiwa ini diriwayatkan oleh ramai para ahli sejarah.
v. Rasulullah S.A.W. mengepung mereka selama lima belas hari. Ketika Bani Qainuqa\’ merasa tertekan dengan pengepungan ini, akhirnya mereka bersedia menerima keputusan Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. memerintahkan agar kaum lelaki mereka diikat. Dalam keadaan ini, muncullah \’Abdullah bin Ubai, munafik yang terus-menerus meminta kepada Rasulullah S.A.W. agar mereka dilepaskan kerana mereka ini adalah para sekutunya. Kerana diminta dengan bersungguh-sungguh, akhirnya Rasulullah S.A.W. memenuhi permintaan untuk melepaskan mereka dari ikatan dan memerintahkan mereka agar meninggalkan Madinah. Inilah pengusiran kali pertama sebagaimana yang termaktub dalam surah al-Hasyr – Pengusiran Pertama.

  1. Pengepungan Kubu Bani Nadhir pada tahun ke-4H.
    i. Bani Nadhir juga merupakan salah satu kabilah terbesar dari bangsa Yahudi yang tinggal berjiran dengan bangsa Arab (\’Aus dan Khazraj) di Madinah. Setelah kedatangan Rasulullah s.a.w, mereka memeterai perjanjian dengan orang Islam sebagaimana yang terdapat dalam perjanjian keamanan dan kerjasama yang disebut \”Piagam Madinah\” – Mithaaq al-Madinah – namun tabiat khianat yang berakar umbi dalam jiwa Yahudi, mendorong mereka untuk melanggar perjanjian tersebut.
    ii. Kisah ini diriwayatkan oleh Ibnu Saad dan ianya berlaku pada tahun Ke-4 Hijrah. Pada ketika itu seorang sahabat Nabi yang bernama Amru bin Umayyah Ad-Dhamri tanpa sengaja telah membunuh dua orang dari Kabilah Kilab. Dan ketika itu, Rasulullah S.A.W telah memberi perlindungan kepada Kabilah Bani Kilab ini.
    iii. Maka sebagai ganti dari perbuatan itu, baginda S.A.W telah bersetuju untuk menjatuhi hukuman Diyat ke atas sahabat yang berkenaan. Untuk membayar Diyat ini baginda S.A.W memohon bantuan daripada Yahudi Bani Nadhir. Pada awalnya mereka bersetuju untuk membantu Rasulullah S.A.W sebagaimana yang dipersetujui didalam Piagam Madinah.
    iv. Pada ketika itu, Rasulullah S.A.W dan sahabat telah berdiri di tepi dinding atau tembok Bani Nadhir. Yahudi Bani Nadhir merancang satu pengkhianatan ke atas Rasulullah S.A.W. apabila seorang pemuka Yahudi yang bernama Amru bin Juhash Al-Nadhri berkata: \”Aku akan naik ke atas rumah dan aku akan hempaskan batu besar ke atasnya.\”
    v. Pada ketika itu, Salam bin Miskam telah menegur perbuatan Amru bin Juhash ini dengan mengatakan \”Jangan kamu lakukan kerana Allah akan menyampaikan kepadanya tentang apa yang kamu rancangkan dan ini adalah pencabulan perjanjian yang telah kita metrai bersamanya.\” Mereka sedar akan hal ini kerana mereka juga adalah ahli-kitab asalnya.
    vi. Rancangan jahat Yahudi Bani Nadhir itu telah sampai ke pengetahuan Baginda S.A.W. Lantas, Rasulullah S.A.W bingkas bangun dan berlalu pergi dari perkampungan Bani Nadhir itu. Kemudian, Rasulullah S.A.W mengirim utusan ke perkampungan Bani Nadhir. Pesanan itu berbunyi: \”Kamu mesti keluar dari negerimu kerana kamu telah merancang sebagaimana yang telah kamu cuba laksanakan. Aku bagi tempoh kepada kamu sepuluh hari. Sesiapa di antara kamu yang masih ternampak lagi di Madinah ini akan dipenggal lehernya.\”
    vii. Mendapat perintah itu, Yahudi Bani Nadhir bersiap untuk keluar dari Madinah.Tiba-tiba datang si munafiq Abdullah bin Ubai bin Salul kepada mereka dan menyatakan supaya jangan keluar dari negeri ini dan pertahankan perkampungan mereka di dalam kubu-kubu pertahanan mereka. Abdullah bin Ubai juga menjanjikan 2000 orang tentera yang siap bersama mereka.
    viii. Mendengar hal itu,Yahudi Bani Nadhir tidak jadi untuk keluar dari Madinah bahkan mereka melakukan persediaan untuk menghadapi pasukan Muslimin. Rasulullah S.A.W mula menyediakan pasukan untuk menyerbu perkampungan Yahudi Bani Nadhir. Rasulullah S.A.W tiba di perkampungan Yahudi Bani Nadhir dan mengepungnya.
    ix. Pemimpin Yahudi Bani Nadhir masih mengharapkan bantuan yang dijanjikan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul kepada mereka. Namun, bantuan yang dinanti tidak kunjung tiba. Akhirnya,mereka meminta untuk berunding dengan Rasulullah S.A.W. Mereka meminta agar diberi perlepasan seperti perintah yang diterima mereka dahulu.
    x. Namun, Rasulullah S.A.W menolak permintaan mereka dan Rasulullah S.A.W memerintahkan agar mereka agar membawa keluar nyawa mereka dan harta yang dapat diangkut dengan unta mereka sahaja tidak termasuk dengan senjata. Maka Yahudi Bani Nadhir pun akur dengan perintah itu dan mereka keluar dari Kota Madinah disebabkan pengkhianatan mereka kepada Rasulullah S.A.W.
    xi. Kisah mereka juga termaktub dalam al-Quran. Inilah pengusiran kali kedua sebagaimana yang diceritakan dalam surah al-Hasyr – Pengusiran Kedua.
    Mereka keluar membuka perkampungan baru di Khaibar yang berkembang biak dan maju semula.
  2. Tahun ke5H berlakunya Peperangan Ahzab yang menyerlahkan banyak rahsia seperti tembelang kaum yahudi dan perangai sebenar munafiq.
    i- Peranan ketua munafiq Abdullah bin Ubai yang menghasut dan memberi sokongan dari belakang.
    i- Pengkhianatan yahudi bani Nadhir dari Khaibar mendekati kaum Quraisy di Makkah untuk melanyak kaum muslimin di Madinah. Mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan beberapa golongan lain lagi.
    ii- Ketuanya Huyai juga menyusup masuk ke Madinah dan menghasut Bani Quraizah yang masih di Madinah untuk belot dan menyertai gabungan mereka dengan Quraisy. Pada awalnya ketua Bani Quraizah menolak dan tidak mahu ikut kerana runsing akan kedudukan mereka nanti setelah ditinggalkan oleh sekutu dari luar Madinah. Tetapi kerana hasutan dan asakan yang kuat akhirnya mereka bersetuju untuk khianat perjanjian mereka dengan Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin, maka berlakulah apa yang telah berlaku, yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, nasib mereka untuk dihapuskan akibat khianat.
  3. Apabila mendengar tentera Ahzab yang ramai Rasulullah bermesyurat dengan para sahabat dan mendapat strategi gali parit dari idea Salman yang mengambil pengalaman dari negara asalnya di Parsi.
  4. Pengepungan perlaku dari awal Syawal dan berkahir pada Zul-Qa\’dah tahun yang sama iaitu 5H. Natijah perangkaum Islam menang dengan pertolongan Allah s.w.t sebagaimana di dalam ayat yang sebelum ini.
    Dalam buku sejarah ulama\’ mengatakan hanya tujuh (7) orang yang mati syahid akibat dari terkena lontaran tombak atau panah saja, bukan sebab pertempuran berhadapan. Mereka yang syahid itu ialah:
    i- Anas bin Aus bin Atiq
    ii- Abdullah bin Sahl
    iii- Thufail bin Nu\’man
    iv- Tha\’labah bin Ghanamah.
    v- Ka\’ab bin Zaid
    iv- Sinan bin Saifi
    iv- Abdullah bin Abi Khalid
    Manakala Saad bin Muaz r.a yang kisah kematiannya kita cerita dalam siri yang lepas, tidak dikira syahid terus dari peperangan itu kerana dia masih hidup beberapa hari selepas tamat peperangan dan sempat dibawa keluar dari tempat rawatannya, untuk menjatuhkan hukuman ke atas yahudi bani Quraizah. Jenazahnya dikebumikan di perkuburan Baqi\’, ada tanda khas dan dikenali.
  5. Ayat ke-25 yang kita baca ini menekankan bahawa orang kafir tidak mendapat apa-apa faedah yang mereka mahukan. Tiada hasil dan tidak dapat menawan kerana Allah s.w.t telah menjamin untuk membantu orang Islam tanpa perlu mereka berperang mengangkat senjata. Kekalahan dalam peperangan ini menyebabkan pihak Quraisy kehilangan kuasa dalam perdagangan serta darjat mereka.
  6. Juga jangan lupa akan peranan Nu\’aim bin Mas\’ud dari kaum Ghatafan yang memainkan perang saraf memecah-belahkan kepercayaan di kalangan tentera Ahzab, antara yahudi dan Quraisy dan sekutu lain. Sehingga akhirnya mereka saling curiga-mencurigai dan hilang kepercayaan antara satu sama lain. Nu\’aim memeluk di Islam di saat yang begitu genting dan telah memberi sumbangan yang begitu berkesan dan besar.
  7. Akhirnya Allah s.w.t hantar tenteranya lalu tentera Ahzab kucar-kacir dan lari balik ke Makkah, Rasulullah s.a.w pun kembali ke rumahnya untuk membersihkan diri dan berehat. Tiba-tiba datang malaikat Jibril memberitahu bahawa para malaikat belum meletakkan senjata lagi, membawa arahan untuk Rasulullah ke Bani Quraizah. Lalu Rasulullah memerintahkan para sahabat untuk kembali bersedia dan bersegera untuk memerangi Bani Quraizah pula.
  8. Lalu keluarlah hadis yang menyebabkan para sahabat berkhilaf. Kisah yang terperinci ada di dalam siri sebelum ini. Khilaf dalam memahami nas ini- tidak menjadi masalah hatta timbul dua aliran fahaman pada zaman sahabat iaitu:
    i- Madrasah Ahlu Hadis di bawah Ibnu Abbas dan UM Aisyah r.a yang berpusat di Madinah.
    ii- Madarasah Ahlu ar-Ra\’yi di bawah Ibnu Mas\’ud r.a yang berpusat di Iraq.
    Boleh baca dalam buku susunan DAAM ini:
    http://www.dartaibah.com/…
  9. Maka akhirnya bani Quraizah berjaya ditawan dan dijatuhkan hukuman sebagaimana yang diberikan oleh Saad bin Muaz r.a yang diminta oleh mereka untuk menjadi hakimnya. Hukuman Saad ini sangat diredhai oleh Allah dan rasul-Nya. Dikatakan antara 600-800 orang kaum lelaki yang dibunuh ini termasuk juga Huyai bin Akhtab yang menjadi batu api.
    Dikatakan seorang sahabat yang syahid dalam pengepungan ini. Seorang bernama Khallad bin Suwaid yang kena campak batu atas kepalanya oleh seorang wanita yahudi. Seorang sahabat lagi, Abu Sinan bin Mihsan, adik beradik kepada Ukasyah, pula mati di atas kudanya.
  10. Inilah dua peperangan yang besar yang berlaku serentak pada tahun ke-5H yang Allah s.w.t sebutkan dalam al-Quran. Kesimpulan yang besar ialah tentang kejahatan golongan munafiq yang menjadi duri dalam daging bagi orang Islam dalam semua peperangan yang berlaku, juga kejahatan kaum yahudi di Madinah.
  11. Ketua bani Nadhir yang bernama Huyai bin Akhtab tadi ialah bapa kepada UM Sofiyyah bt Huyai r.a, yang menjadi tawanan dari pengepungan kubu mereka di Khaibar tadi. Rasulullah s.a.w memerdeka dan mengambilnya sebagai isteri untuk memuliakannya dan melembutkan hati tawanan yang lain sehingga mereka menerima Islam.
    Untuk bacaan yang lebih panjang dan terperinci yang Sirah Rasulullah s.a.w yang sahih boleh baca Kitab Ar-Rahiqul-Makhtum susunan Syeikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri. Atau buku susunan Dr Abu Anas Madani: Madinah Munawwarah Kelebihan dan Sejarah. Dapatkan di:
    http://www.dartaibah.com/…

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 25- {Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan.} – mereka lari balik dalam keadaan amat kecewa dan hampa, menunjukkan pertolongan Allah s.w.t sentiasa ada, kerana itu pejuang Islam jangan mudah putus asa, teruskan perjuangan selagi ada kemampuan.
  2. Ayat 25- {mereka tidak mendapat sebarang keuntungan.} – walaupun gabungan tentera begitu ramai tetapi tidak dapat apa-apa hasil – ini menunjukkan mukjizat yang Allah berikan kepada Rasulullah s.a.w.
  3. Ayat 25- { Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu} – tanpa perlu berperang secara bersemuka tentera musuh lari balik kekalahan. Lalu selepas itu Rasulullah s.a.w mengeluarkan satu kenyataan yang ternyata benar sehingga ke hari ini:
    Nabi s.a.w bersabda: \”(Selepas pertempuran ini) kita akan menyerang mereka (yakni orang kafir) dan mereka tidak akan datang menyerang kita lagi.\” [HR Bukhari].
  4. Ayat 25- {Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu} – Allah s.w.t akan memberi pertolonan kepada orang yang beriman. Syarat untuk mendapat pertolongan Allah sudah ada di situ, beriman dan berjuang.
  5. Ayat 25- Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.} – menunjukkan bahawa kuasa dan pertolongan Allah s.w.t itu berbagai cara. Seperti yang kita tidak nampak dan di luar kuasa kita seperti angin kencang dan tentera malaikat. Yang boleh dilihat ialah seperti dihantar Nu\’aim bin Mas\’ud yang memeluk Islam di saat yang begitu genting! Manakala dari sebelah pihak kafir ialah peranan yang dimainkan oleh Huyai bin Ahktab yang membawa kemusnahan kepada seluruh yahudi bani Quraizah dan Bani Nadhir serta peranan Abdullah bin Ubai si bapa munafiq.
  6. Ayat 27- {Dan Ia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah}- kenapa Allah s.w.t sebut kamu mewarisi (وَأَوْرَثَكُمْ) bukan mendapat biasa? Ayat ini kerana Allah s.w.t nak beritahu apa yang Allah janjikan itu pasti akan berlaku dengan benar dan pasti. Ini kerana mendapat harta secara warisan/pusaka itu lebih TEGUH daripada mendapat harta secara urusan lain! Harta dan tanah bani Quraizah & Khaibar semuanya menjadi milik kaum muslimin.
  7. Ayat 27- {Dan Ia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah} – menunjukkan halal harta orang kafir yang didapati melalui perang (ghanimah). Alhamdulillah selepas peperangan Khaibar kedudukan ekonomi umat Islam berubah sedikit dengan harta-harta itu. Umat sebelum ini tidak boleh memakan dan mengunakan harta musuh, ia dikumpul dan dilupuskan begitu sahaja. Dalil hadis Nabi s.a.w:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ قَبْلِي كَانَ كُلُّ نَبِيٍّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى كُلِّ أَحْمَرَ وَأَسْوَدَ وَأُحِلَّتْ لِيَ الْغَنَائِمُ وَلَمْ تُحَلَّ لِأَحَدٍ قَبْلِي وَجُعِلَتْ لِيَ الْأَرْضُ طَيِّبَةً طَهُورًا وَمَسْجِدًا فَأَيُّمَا رَجُلٍ أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةُ صَلَّى حَيْثُ كَانَ وَنُصِرْتُ بِالرُّعْبِ بَيْنَ يَدَيْ مَسِيرَةِ شَهْرٍ وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ
Dari Jabir bin Abdullah Al-Ansori dia berkata, \”Rasulullah s.a.w bersabda, \”Aku diberikan lima perkara yang mana belum pernah diberikan kepada seorang pun sebelumku.
Pertama, dahulu setiap nabi diutus kepada kaumnya secara khusus, sedangkan aku diutus kepada setiap bangsa merah dan hitam.
Kedua, ghanimah dihalalkan untukku, namun tidak dihalalkan untuk seorang pun sebelumku.
Ketiga, dan bumi itu dijadikan untukku dalam keadaan suci dan mensucikan dan (sebagai) masjid juga, maka siapa pun yang mana waktu solat mendapatinya maka dia boleh solat di mana pun dia berada.
Keempat, aku ditolong dengan rasa takut (yang menusuk dalam hati musuh di hadapanku) sejauh jarak perjalanan satu bulan.
Kelima, aku diberi syafaat\’.\” [HR Bukhari &Muslim].

  1. Ayat 27- {dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya.} – ayat ini menjadi berita dan janji gembira bahawa umat Islam akan menang dan menguasai menakluk negara-negara besar dalam dunia ini. Seperti mana Islam memerintah Cordova, Andalusia selama 800 tahun, sekarang ini hanya kenang-kenangan. Kita doakan semoga Islam kembali berkuasa di dunia ini.
  2. Umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dan tidak mendedahkan diri kepada risiko. Rasulullah s.a.w apabila nerasa berat hati dan tidak mampu untuk melawan tentera Ahzab itu, Rasulullah s.a.w bermusyawarah dengan para sahabat dan menerima cadangan Salman al-Farisi untuk menggali parit sebagai satu langkah pertahanan. Menunjukkan Rasulullah s.a.w juga beriikhtiar dan mengambil langkah keselamatan dan pertahanan dalam peperangan. Bukan hanya menunggu dengan doa dan jampi sahaja, bukan tidak bertawakkal tetapi wajib usaha dulu!
  3. Pemimpin orang Islam mesti kena peka dan jangan mudah goyah dan percaya akan khabar berita yang belum pasti terutamannya dalam peperangan. Seperti strategi yang diguna oleh Rasulullah s.a.w melalui Nu\’aim bin Mas\’ud. Strategi ini digunakan untuk memecah-belahkan gabungan tentera kafir, bukan diguanakan sesama Islam. Maka kita boleh guna segala strategi dan taktik yang ada untuk menyampaikan dakwah dan menyekat perbuatan tidak baik yang digunakan oleh orang kafir.

Sekali lagi boleh rujuk buku-buku Sirah yang muktabar untuk menambah maklumat. Antaranya \”Sirah an-Nabawiyah\”, karangan Syeikh Dr. Ali Muhammad Ash-Shallabi dari Libya, bekas pelajar Universiti Islam Madinah yang semasa dengan Dr Abu Anas Madani.
Buku Madimanah Munawwah, Kelebihan & Sejarah oleh DAAM.

Powered by BetterDocs