SURAH AL-AHZAB : AYAT 9-11

\"\"

NIKMAT PERTOLONGAN ALLAH S.W.T DALAM GHAZWAH AHZAB, TENTERA ALLAH S.W.T YANG TIDAK NAMPAK & UJIAN YANG SANGAT GAWAT.

Full video : https://youtu.be/nQ8JfvEMuxo

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri kita hari ini bermulalah tentang episod peperangan al-Ahzab.
  2. Allah s.w.t ajar dan mahu mendidik kita untuk sentiasa bersedia mempertahankan agama Allah dari serangan musuh Allah pada setiap masa.
    Samada melalui ketenteraan seperti perang Ahzab atau melalui media yang biasanya dimainkan oleh golongan munafiq.
    Semua strategi ini perlu diperkasakan samada untuk melawan media munafiq, kafir atau anak orang Islam sendiri yang terpengaruh dengan orang kafir samada golongan liberal atau sekular.
  3. Perlawanan dan peperangan ini berterusan, kerana itu Allah s.w.t rakamkan tentang peperangan Ahzab, satu peperangan yang besar dalam sejarah Islam ini di dalam al-Quran.
  4. Dalam bahasa Arab ia dikenali sebagai Ghazwah (peperangan). Namanya Ghazwah Ahzab atau Khandaq.
  5. Dalam sejarah Islam peperangan in terbahagi kepada dua:
    i- Ghazwah – peperangan besar yang dihadiri dan diketuai oleh Rasulullah s.a.w sendiri sebagai panglima perangnya.
    ii- Sariyyah – pasukan tentera kecil, Rasulullah hanya menghantar beberapa orang sahabat untuk pergi dan diketuai oleh sahabat yang dipilih.
  6. Ghazwah yang berlaku di Madinah (yakni dalam atau pinggir bandarnya) ada 3:
    i- Perang Uhud.
    ii- Perang Ahzab.
    iii- Pengepungan Yahudi Bani Quraizah.

AYAT 9- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, KENANGKANLAH NIKMAT ALLAH YANG DILIMPAHKANNYA KEPADA KAMU. SEMASA KAMU DIDATANGI TENTERA (AL-AHZAAB), LALU KAMI HANTARKAN KEPADA MEREKA ANGIN RIBUT (YANG KENCANG) SERTA ANGKATAN TENTERA (DARI MALAIKAT) YANG KAMU TIDAK DAPAT MELIHATNYA. DAN (INGATLAH) ALLAH SENTIASA MELIHAT APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-AHZAAB 33:9)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t mengingatkan orang yang beriman agar mengingati dan bersyukur atas nikmat Allah s.w.t yang menyelamatkan mereka semasa mereka diserang, digempur dan dikepung oleh tentera Ahzab.
  2. Menggikut majoriti ahli sejarah ia berlaku pada bulan Syawal Tahun ke5H bersamaan dengan 627M.
  3. Al-Ahzab bermakna gabungan pasukan tentera, kabilah, parti yang ramai. Kumpulan gabungan yang ramai;- iaitu kaum musyrikin Quraisy dari Makkah dengan yahudi Bani Nadhir dan Quraizah di Madinah yang menjadi duri dalam daging, serta gabungan beberapa kabilah lagi di sekitar Makkah dan Madinah yang berjumlah lebih daripada 10,000 orang.
  4. Quraisy di bawah pimpinanan Abu Sufyan bin Harbi saja terdiri 4000 orang temtera. Dengan kelengkapan perang yang lengkap dan bekalan yang banyak, serta haiwan 300 kuda dan 1500 ekor unta.
  5. Dalam keadaan gawat itu Rasulullah s.a.w hanya dapat mengumpul tenteranya seramai 3000 orang.
  6. Perancangan mereka itu adalah satu serangan habis-habisan untuk menghancurkan Madinah dan umat Islam, musnah dan tiada lagi selepas ini.
  7. Rasulullah s.a.w hanya sempat mengumpulkan seramai 3000 orang tentera setelah ditolak golongan musyrikin dan kaum yahudi yang bergabung dengan tentera Ahzab.
  8. Peperangan ini juga dikenali sebagai peperangan Khndaq yang bererti \”Parit\” yang digali sekeliling bandar Madinah di sebelah kawasan yang terdedah kepada musuh. Untuk menahan musuh yang berganda jumlahnya ini.
  9. Idea gali parit ini lahir dari idea seorang sahabat Salman al-Farisi selepas Rasulullah s.a.w mengadakan mesyuarat dengan para sahabat.
  10. Ukuran parit ini berbeza mengikut analisi yang dibuat oleh setiap ahli sejarah yang mengkajinya.
    Ada beberapa pendapat:
    i- Syeikh Muhammad Basyamil – Panjang lebih 5000 hasta, lebar 9 hasta & dalamnya 7 hasta yakni kadar kuda tidak lepas untuk melompatnya.
    ii- Syeikh Ghali Syanqiti – Panjang 2.7km, lebar 40 hasta & dalamnya 20 hasta .
    iiii- Syeikh al-Wakil – Panjang 2km lebih, lebar 5m & dalamnya 3m.
    Berbeza kerana hanya analisa, paritnya sudah tiada.
  11. Yang penting setiap 40 hasta digali oleh 10 orang sahabat. Mereka menggalinya dengan cangkul saja dan dengan mukjizat Rasulullah s.a.w selesai dalam tempoh beberapa hari saja.
  12. Berlakunya beberapa mukjizat sepanjang usaha ini yang Allah s.w.t berikan untuk menguatkan semangat dan jiwa juang para tentera muslim yang amat sedikit dan tidak seimbang itu agar tidak mudah goyah dan koyak.
    Antara kisah mukjizat yang berlaku ialah:-
    i- kambing Jabir yang hanya seekor cukup untuk menjamu seluruh tentera Islam yang sedang menggali parit masa itu, berjumlah dalam 1000 orang.
    Lihat Kisah Jabir di: Mukjizat Nabi S.A.W Makanan Sedikit Menjadi Banyak. Link: https://youtu.be/VlWGsn7mjwQ

ii- batu besar yang tidak dapat dipecahkan oleh orang ramai, lalu Rasulullah s.a.w pecahkan dengan tongkatnnya lalu terpancar cahayanya sehingga ke arah Yaman dan Syam, yang Rasulullah beritahu Yaman dan Rom akan jatuh nanti.
Untuk bacaan dan maklumat lanjut boleh baca buku Madinah- Kelebihan & Sejarah, m/s220-222. http://www.dartaibah.com/…

  1. Lalu dalam keadaan genting itu Allah s.w.t menyelamatkan mereka dengan menghantar:
    i- angin kencang, ribut pasir yang menyerang dan meruntuhkan khemah-khemah musuh, pasir dan debu masuk ke dalam mata mereka, terbalik bekas dan periuk makanan mereka, menjadikan haiwan mereka, kuda ketakutan dan hilang arah.

ii- Allah juga hantar tentera dari kalangan malaikat yang mereka tidak nampak untuk lihatnya. Ada ulama\’ kata perasaan takut yang Allah s.w.t campakkan ke dalam hati mereka menyebabkan mereka tidak sannggup lagi meneruskan serangan itu.

iii- Juga peranan Nuaim bin Mas\’ud al-Ghatafan yang telah memeluk Islam di saat genting ini, dan belum diketahui oleh kaumnya. Ia melakukan perang psikologi/ saraf dengan memecah-belahkan tentera Ahzab, melagakan mereka, antara Quraisy, yahudi dan lain-lain kabilah sehingga hilang kepercayaan antara satu sama lain.

  1. Dan ingatlah sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa mellihat apa yang kamu lakukan. Ulama\’ kata:
    i- bermula dari segi usaha kamu semua menggali parit, menghadapi kesusahan, kelaparan. tidak cukup alat kelengkapan, dan pelbagai ujian lagi.
    ii- menghadapi musuh yang ramai pula, jangan cuba belot dan lari dari perjuangan, jika mati akan gugur sebagai syahid. Insya\’ Allah.
    Jangan runsing Allah s.w.t melihat dan tahu semuanya perbuatan kamu!

AYAT 10- {MASA ITU IALAH MASA TENTERA MUSUH DATANG MELANGGAR KAMU DARI SEBELAH HULU DAN DARI SEBELAH HILIR (TEMPAT PERTAHANAN) KAMU; DAN MASA ITU IALAH MASA PEMANDANGAN MATA KAMU TIDAK BERKETENTUAN ARAH (KERANA GEMPAR DAN BINGUNG) SERTA HATI PUN RESAH GELISAH (KERANA CEMAS TAKUT), DAN KAMU MASING-MASING PULA MENYANGKA TERHADAP ALLAH DENGAN BERBAGAI-BAGAI SANGKAAN.} (AL-AHZAAB 33:10)

  1. Dalam ayat ini sehingga ayat 24 nanti. Allah s.w.t menggambarkan kegawatan dan kecemasan yang dihadapi oleh Rasulullah dan kaum muslimin Madinah, apabila datang tentera musuh mengepung mereka dari sebelah hulu dan hilir (timur dan barat), dari segala arah pertahanan mereka.
    Iaitu Quraisy dari arah Makkah (dekat Qiblatain) dan Yahudi dari arah belakang (sebelah Quba\’), seolah terkepung dari segala arah dan sudut!
  2. Pada waktu itu keadaan mereka amat panik, tidak tetap lagi penglihatan, mata terbeliak, terpana melihat musuh datang dari berbagai arah. Hati mereka amat gementar seolah naik menyesak sampai ke kerongkong. Dahsyatnya perasaan takut dan perasaan gentar mereka pada waktu itu.
  3. {\”Dan kalian menyangka terhadap Allah dengan berbagai persangkaan.\”}- pada waktu juga timbul sangkaan mereka terhadap Allah dengan bermacam-macam prasangka, seperti menyangka bahawa Allah tidak akan memenangkan agama-Nya dan tidak akan meninggikan kalimat-Nya.
  4. Sepatutnya serangan datang hanya dari sebelah pihak saja, tetapi apabila yahudi menkhianati perjanjian damai dengan kaum muslimin selama ini dan bergabung dengan musyrikin Quraisy, manakala golongan munafiq penduduk Madinah pula terus memainkan perang saraf dan mental, merendahkan lagi semangat tentera Islam.

AYAT 11- {PADA SAAT ITULAH DIUJI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, DAN DIGONCANGKAN PERASAAN DAN PENDIRIANNYA DENGAN GONCANGAN YANG AMAT DAHSYAT.} (AL-AHZAAB 33:11)

  1. Pada masa itulah orang-orang yang beriman diuji dengan satu goncangan yang amat kuat! Perasaan dan pendirian mereka teruji, goyah atau mantap agar jelas kelihatan, siapa yang ikhlas dalam imannya dan siapa yang tidak akhirnya.
  2. Kata imam al-Mawardi maksud goncangan ialah ketakutan yang amat dahsyat dalam hati para muslimin. Ada juga yang kata goyah iman mereka pada masa itu.
  3. Lalu Allah s.w.t bawa arahan supaya tetap pendirian, jangan hiraukan ancaman dan tetap teguh melawan.
  4. Pada ketika itu anak panah seperti hujan yang turun dari langit, mereka terpaksa berlindung hatta untuk ke tandas. Tidak ramai sahabat yang terkorban tetapi seorang sahabat yang besar Saad bin Muaz r.a, terkena panah ini sehingga membawa kepada kematianya selepas itu.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 9- {Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu} – kenapa Allah s.w.t sebut ianya sebagai nikmat di sini? Kerana keadaan mereka pada masa itu amat gawat, takut dan mencemaskan. Lalu Allah s.w.t hantar pertolongannya dengan pelbagai cara sehinggalah musuh berundur dan lari balik tanpa korban yang ramai.
    Tidakkah ini satu nikmat yang amat besar, yang patut disyukuri!!!

Selepas peperangan ini Rasulullah s.a.w membuat satu kenyataan mukjizat bahawa selepas dari peristiwa ini orang kafir tidak akan serang lagi Madinah, bahkan kita yang akan keluar menyeru berdakwah, jika mereka menentang kita akan perangi! Sehingga ke hari ini tidak berlaku peperangan dengan orang kafir di Madinah.

  1. Ayat 9- {Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu} – jika kita mahu memberi tazkirah kepada orang kena beri penerangan dengan lengkap agar lebih memberi kesan kepada mereka.
    Dalam ayat ini apabila Allah suruh kaum mukmin ingat akan nikmat-Nya, lalu dijelaskan terus apakah nikmat itu – {Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.} – maka lengkaplah peringatan dan tazkirah itu. Betapa tanpa pertumpahan darah dan memakan korban yang besar tentera musuh lari balik sendiri.
  2. Ayat 10- {dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.} – ayat ini Allah s.w.t tujukan kepada orang yang beriman, ini kerana tahap keimanan para sahabat pada masa itu ada pelbagai martabat. Ada yang memang sudah mantap dan teguh seperti Abu Bakar, Umar r,a dan lain-lain, ada yang baru masuk Islam maka iman mereka masih belum mantap. Apabila diasak pula dengan propaganda kaum munafiq pastilah akan berlaku kecelaruan dan datang fikiran yang tidak sepatutnya dalam hati mereka sedikit sebanyak.
  3. Ayat 9- {lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya.} – angin itu adalah betul-betul mukjizat Rasulullah s.a.w. kerana laluan angin itu tidak pergi ke sebelah parit tentera Islam hanya ke sebelah parit tentera kafr, sejuk dan memedihkan mata, terbalik habis khemah dan tumpah segala periuk bekas makanan!
  4. Ayat 9- {lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya.} – angin itu telah memisahkan tentera Ahzab, kerana mereka berkumpul dan datang dengan sebab hawa nafsu (الهوى) untuk memusnahkan kaum muslimin lalu Allah hantar hawa- angin)- (الهواء ) juga untuk memusnahkan dan memecah-belahkan mereka.
  5. Ayat 9- {lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya.} – angin dan malaikat adalah antara tentera Allah s.w.t yang kita tidak nampak.
    Tentera Allah s.w.t ada bermacam-macam, hanya Dia yang tahu dan nampak, biasanya hanya kecil seperti burung ababil, nyamuk, kutu dan lain-lain.
    *Ada orang tanya adakah covid ini tentera yang Allah hantar kerana ia mampu menutup pusat maksiat dan dalam masa tutup masjid juga membuat wanita menutup aurat? Kita kata boleh jadi, wallahu a\’lam.
  6. Ayat 10- { dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), – ayat ini menggambarkan betapa takutnya dan cemasnya tentera Islam pada masa itu, mata terbeliak dan hati naik ke halkum, dan seumpamanya.
    Ini menunjukkan bahawa ketakutan dan kecemasan yang tabi\’i bagi manusia adalah normal seperti takut kepada tentera musuh, kepada haiwan liar, kepada haiwan berbisa dan lain-lain bukan salah dan syirik.
    Tetapi takut yang luar tabi\’i dan bergantung atau menyeru kepada yang selain dari Allah itu adalah salah.

Minta tolong sesama manusia yang pakar dalam bidangnya seperti tukang rumah, doktor, tukang masak, minta orang angkat barang dan lain-lain itu bukan syirik. Pendeknya akal orang yang berkata begini!!!

  1. Ayat 10- { dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.}- apabila terlalu takut akal fikiran kita tidak akan tenang dan rasional, akan datang pelbagai sangkaan dan perasaan yang tidak dapat di kawal. Inilah yang dikatakan diuji orang mukmin!
  2. Ayat 10 lagi- keadaan orang mukmin pada ketika itu memang tidak stabil, tetapi apabila keadaan pulih, mereka akan kembali tenang lalu dapat berfikir dengan cara yang baik, rasional dan waras semula.
  3. Ayat 11- {Pada saat itulah diuji orang-orang yang berimanهُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ – } -Allah s.w.t kata pada saat itu diuji orang beriman itu – walaupun Allah s.w.t yang menguji mereka itu tetapi Dia tidak kata begitu.
    Ini kerana apabila Allah s.w.t nak beri benda baik Dia akan sebut dan nisbahkan kepada diri-Nya ini sebagai satu pujian. Tetapi apabila diberi benda tak baik seperti ujian Allah tidak akan nisbahkan kepada diri-Nya- maka disebut orang mukmin DIUJI – bukan disebut Allah s.w.t yang menguji mereka, padahal memang Dia-lah yang menguji itu!

Ya Allah tambahkanlah kami ilmu dan kefahaman untuk kami beramal dengannya-
رب رب زدني علما وارزقني فهما

Powered by BetterDocs