SURAH FATHIR : AYAT 36-37

\"\"

ORANG KAFIR AKAN KEKAL DALAM NERAKA, PENYESALAN YANG TIDAK BERGUNA & AMARAN KEPADA WARGA EMAS YANG LAGHA.

Full video : https://youtu.be/fL6X3b9E2jw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah menceritakan keadaan orang-orang yang berbahagia di dalam syurga, nikmat dan tempat tinggal yang mereka dapat. Mereka tidak lagi merasa kepenatan dan keletihan dunia ini samada mental & fizikal. Semua sifat negatif dan buruk atas dunia ini sudah tiada lagi.
  2. Maka dalam siri ini Allah s.w.t. berfirman menceritakan pula perihal orang-orang yang celaka di dalam neraka. Macamana mereka menjerit-jerit merayu untuk dihidupkan kembali dihantar ke dunia untuk beriman dan buat amal ibadat.
  3. Tetapi itu adalah penyesalan yang tidak berguna lagi,semuanya sudah terlambat.
  4. Daripada Aisyah R.anha meriwayatkan bahawa:
    أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلاَةِ:
    اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا،
    وَفِتْنَةِ المَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ
    Maksudnya: \”Adapun Rasullah S.A.W berdoa di dalam solatnya (selesai membaca tasyahhud akhir): Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung dengan -Mu daripada daripada fitnah al-masih al-Dajjal, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan dosa dan hutang.\” [Riwayat al-Bukhari (832)]

AYAT 36- {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR, BAGI MEREKA NERAKA JAHANNAM; MEREKA TIDAK DIJATUHKAN HUKUMAN BUNUH SUPAYA MEREKA MATI (DAN TERLEPAS DARI SEKSA), DAN TIDAK PULA DIRINGANKAN AZAB NERAKA ITU DARI MEREKA; DAN DEMIKIANLAH KAMI MEMBALAS TIAP-TIAP ORANG YANG MELAMPAU KUFURNYA.} (FATHIR 35:36)

  1. Orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat dan ajaran yang dibawa para rasul dan mengingkari pertemuan dengan Tuhan mereka, bagi mereka neraka Jahannam. Iaitu mereka akan disiksa dengan siksaan yang dahsyat.
  2. Mereka tidak dibinasakan dengan azab sehingga mereka mati dan dapat berehat dari azab itu. Keadaan mereka membuat mereka merasakan bahawa mati lebih baik bagi mereka, tetapi tidak ada jalan bagi mereka untuk mati atau diringankan azab. Bahkan mereka tidak mati dan tidak hidup di sana.
  3. Rasulullah s.a.w. bersabda, \”Adapun ahli neraka yang merupakan penghuni tetapnya, maka mereka tidak mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup.\” [HR Muslim no 185].
  4. Mereka tidak akan mati dan tidak juga diringankan dari mereka azabnya. Azab yang pedih sentiasa menimpa mereka pada setiap saat dan setiap waktu.
  5. Demikianlah Allah tegaskan bagaimana Dia membalas setiap orang yang sangat kafir. Itulah pembalasan bagi orang yang kafir kepada Tuhannya dan mendustakan rasul-Nya.

AYAT 37- {DAN MEREKA MENJERIT-JERIT DI DALAM NERAKA ITU (SAMBIL MERAYU): \”WAHAI TUHAN KAMI, KELUARKANLAH KAMI (DARI AZAB INI); KAMI AKAN MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG SOLEH, YANG LAIN DARI APA YANG KAMI PERNAH KERJAKAN. (LALU ALLAH MENEMPELAK MEREKA): \”BUKANKAH KAMI TELAH MELANJUTKAN UMUR KAMU DAN MEMBERIKAN MASA YANG CUKUP UNTUK BERFIKIR DAN BERINGAT PADANYA OLEH SESIAPA YANG SUKA BERFIKIR DAN BERINGAT? DAN KAMU PULA TELAH DIDATANGI OLEH RASUL (KAMI) YANG MEMBERI AMARAN OLEH ITU, RASALAH (AZAB SEKSA), KERANA ORANG-ORANG YANG ZALIM TIDAK AKAN BEROLEH SESIAPAPUN YANG DAPAT MEMBERIKAN PERTOLONGAN\”.} (FATHIR 35:37)

  1. Allah s.w.t gambarkan keadaan mereka di dalam neraka amat mengerikan. Mereka bertempik, menjerit memekik di dalam neraka itu, memohon kepada Tuhan mereka, \”Ya Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari neraka, nescaya kami akan mengerjakan amal soleh yang berlainan dengan yang telah kami kerjakan dahulu.\”
  2. Lalu mereka ditempelak, dikecam balik, apakah kamu sedar apa yang kamu cakapkan dan lalui ini? Bukankah kamu telah diberi tempoh dan masa yang panjang di atas dunia dulu? Allah s.w.t telah lanjutkan umur mereka kepada usia yang lanjut, yang jika mereka gunakannya untuk berfikir mereka akan dapat manfaat dan beramal soleh.
  3. Umur manusia ini ada 3 fasa:
    i- fasa umur bebas – sebelum baligh, tidak dicatat amalannya.
    ii- baligh sehingga umur 40 tahun, ini sepatutnya sudah matang dalam pemikiran dan tindak-tanduk.
    iii- umur 40-60 tahun adalah umur yang patut sudah insaf dan habis berfikir dah.
  4. Hadis riwayat dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda,
    أَعْذَرَ اللَّهُ إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أَجَلَهُ حَتَّى بَلَّغَهُ سِتِّينَ سَنَةً
    Maksudnya: \”Allah memberi uzur kepada seseorang yang Dia akhirkan ajalnya, sehingga sampai usianya 60 tahun.\” (HR. Bukhari 6419).
  5. Kata Imam al-Qurtubi: Sesiapa yang umurnya sampai 60 tahun tidak boleh lagi dia minta uzur bahawa tak pandai baca al-Quran, tidak pandai solat, tidak boleh belajar, lemah buat ibadat, tidak tahu ini salah dan sebagainya. Kerana ini umur sudah dekat nak mati, umur kembali kepada Allah, tempoh sudah habis maka Allah s.w.t tarik balik keuzuran yang diberi selama ini!
  6. Daripada Abi Bakrah R.A berkata, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah S.A.W lalu bertanya: \”Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik?.\” Rasulullah S.A.W menjawab: مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ
    Maksudnya: \”Siapa yang usianya dan baik amalannya. Sedangkan orang paling buruk adalah mereka yang panjang umurnya tetapi buruk amalannya.\” [HR at-Tirmizi].
  7. Ada juga orang yang telah menggunakan umurnya untuk berfikir dan mengambil peringatan, lalu dia telah memenuhi tempoh umur yang diberi kepadanya dengan kebaikan dan mendapat faedah darinya.
  8. Allah s.w.t mengatakan bahawa dia telah menghantar kepada mereka seorang pemberi peringatan- nazir (النَّذِيرُ). Allah sudah hantar para nabi dan rasul untuk datang memberi tunjuk ajar dan pengajaran.
  9. Ulama\’ mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan nazir (النَّذِيرُ) ini ialah:
    i- Rasulullah s.a.w bagi umat kita hari ini dan rasul-rasul terdahulu untuk umat mereka masing-masing.
    ii- Al-Quranul Karim, sebagai kitab panduan dan Syari\’ah.
    iii- Ada ulama\’ juga mengatakan bahawa nazir dalam ayat ini ialah uban, sakit dan luruh gigi yang menandakan usia tua. Iaitu tanda Fizikal ke atas tubuh badan kita sendiri.
  10. Maka dengan meningkat umur dan usia ini dengan segala tanda dan hujjah yang ada, kita sepatutnya sudah insaf, sudah kenal Allah s.w.t, kembali ke jalan Allah, sentiasa muhasabah diri dan membetul serta membaiki apa yang tidak kena dan kurang. Bersedia untuk bekal akhirat dengan beribadat kepada Allah s.w.t, bukan lagi sibuk mengejar dunia dan perhiasaanya. Cuba qada balik apa yang telah terlepas semasa muda dulu, bertaubat dan insaf, perbetulkan apa yang silap.
  11. Kata ulama\’: Kita berjalan kepada Allah s.w.t dengan hati; tetapi berjalan menuju manusia dengan kaki!
    Kita nak ingat dan betulkan hati dengan muhasabah diri sendiri, pertingkatkan ilmu dan ibadat kita bukan hanya setakat itu sahaja. Persiapan kita biar cukup.
  12. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan mengatakan, jika kamu tidak ambil cakna peringatan juga: Maka rasakanlah azab neraka ini sebagai pembalasan dari perbuatan zalim kamu di atas dunia dulu yang tidak mahu beriman serta mendustai dan menentang para nabi dan rasul.
  13. Maka pada hari ini kamu tidak akan dapati seorang penolong pun yang dapt menyelamatkan kamu dari azab, siksaan dan kesakitan yang menimpa kamu sekarang.
  14. Ayat ini memberi peringatan kepada kita, jika umur sudah mendekati 60 tahun atau sudah melepasinya, tetapi masih lagi lagha dan degil maka sudah tidak ada keuzuran, tempohnya sudah cukup! Insaflah, menjadi satu bukti buat seorang hamba apabila dapat menitiskan air mata kerana takutkan Allah SWT serta mengenangkan dosa yang pernah dilakukan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 36- {Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam;}- ayat ini menunjukkan neraka itu kekal abadi tidak musnah! Maka bagaimana pula dengan penghuninya? Hanya Allah s.w.t yang mengetahuinya! Maka ke atas kita untuk minta perlindungan daripadanya.
  2. Ayat 36- {Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam;} – ayat ini lawan atau sebaliknya kepada tiga kategori golongan manusia yang beriman dalam ayat ke-32 sebelum ini.
    Tentang 3 golongan manusia yang beriman tetapi berbeza tingkatannya.
    Ahli neraka juga berbeza dia punya tingkatan, tahap azab dan siksaannya mengikut kejahatan dan perbuatan buruk mereka.
  3. Ayat 36- {Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam;} – dalamnya susunan balaghah (sastera) al-Quran, apabila Allah s.w.t sebut tentang perkara yang baik akan disebut juga akibat yang sebaliknya, disebut tentang syurga kemudian tentang neraka pula.
    Sebelum ini disebut tentang perihal orang yang mendapat balasan baik, maka dibawa pula cerita tentang orang yang mendapat baslan siksa agar kita berfikir dan sentap!
  4. Ayat 36- {dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.}- setiap kufur itu berbeza maka setiap jenis kafir itu azabnya juga berbeza.
  5. Ayat 36- {mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa),} – mereka tidak akan mati yakni tidak akan berhenti dan rehat daripada azab itu!
    Azab yang berterusan tidak akan selesai.
    Firman Allah S.W.T:
    إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
    Maksudnya: {Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Surah al-Nisa\’: 56)
  6. Ayat 36- {dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka;}- tidak juga diringankan dari mereka azabnya. Azab yang pedih sentiasa menimpa mereka pada setiap saat dan setiap waktu, azabnya tidak dikurangkan. Ia juga menunjukkan kepada kepelbagaian azab neraka dan tahapnya. Juga menunjukkan bahawa azab orang beriman yang masuk ke dalam neraka lebih ringan daripada azab orang kafir! Tetapi kita tetap minta perlindungan daripada neraka!
  7. Ayat 37- {Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): \”Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini);} – ahli neraka bertempik meraung meratap minta ampun dan penyesalan. Tetapi tiada faedah lagi jeritan dan rayuan ini!
    Maka kata ulama\’ marilah kita menjerit merayu (bermunajat) kepada Allah s.w.t setiap malam semasa masih hidup di atas dunia ini.
    Marilah kita menangis dan menyesal semasa hidup sebelum tiba waktu yang tiada faedah dan gunanya lagi!

RASULULLAH S.A.W bersabda bermaksud: \”Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka untuk selama-lamanya: mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang bermalam dalam rangka berjaga di jalan Allah.\” (HR at- Tirmizi).

Ada ulama\’ salafussoleh menyatakan, \’menangislah kerana takutkan Allah SWT, jika tidak dapat menangis, maka perlu berusaha juga untuk menangis.\’

Menangislah kita di atas kubur, bukan di dalam kubur, bersedekahlah sekarang kerana kain kafan itu tiada poket, bacalah al-Quran sekarang bukan tungggu dibaca oleh orang, masuklah masjid dengan berdiri, bukan dengan melentang!

  1. Ayat 37- {Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir?}- ulama\’ kata berfikir lepas mati tiada faedah, waktu untuk kita insaf dan menyesal adalah sekarang, waktu dengar al-Quran, dengar hadis dan mencari ilmu. Sesiapa yang mengingati adalah orang yang berfikir dan ingat kepada Allah s.w.t, bukan selepas mati!
  2. Ayat 37- { Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu,} – telah datang peringatan kepada kita; melalui Nabi, al-Quran dan hadis-hadis peninggalannya, melalui fizikal kita yang sudah lemah, pelbagai penyakit sudah datang menyerang! Ayat ini menunjukkan rahmat Allah s.w.t kepada kita, dihantarnya dulu peringatan dan amaran kepada kita agar kita sedar dan mengambil pengajaran. Jika kamu degil juga, masih lagha tidak ambil pengajaran juga maka tunggulah penyesalan di akhirat nanti!

Tazkirah seorang ulama\’ salaf di kubur selepas menanam jenazah, kepada orang ramai dan kaum keluarga yang ada:
\”Tahukah kamu apakah yang sangat dihajati oleh mayat ini sekarang?\”
Orang ramai menjawab: \”Ya syeikh! Mayat ini sekarang nak hidup semula kembali ke dunia untuk melakukan amal ibadat, solat, sedekah dan seumpamanya!\”
Jawab Syeikh: \”Benar! Tetapi baginya telah tamat tempoh untuk semua itu, kamu yang masih ada tempoh ini kenapa masih menangguhkannya lagi?\”
Semua orang menangis mendengar jawapan ini.
Tepat sekali kita yang masih hidup dan ada tempoh ini masih lagi lagha dan menangguh-nangguhkan taubat dan keinsafan!
Ya Allah sedarkanlah kami agar jangan termasuk dalam golongan ini.

  1. Ayat 37- {orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan\”.}- Allah kata tidak ada bagi orang zalim penolong.
    Kateori zalim itu banyak antaranya:
    i- zalim yang paling besar iaitu kafir,
    ii- kemudian zalim kepada diri sendiri dengan buat dosa dan maksiat serta
    iii- zalim dengan khianat kepada orang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w: \”Dan berhati-hatilah terhadap doa orang yang dizalimi, kerana tidak ada penghalang antara doanya dengan Allah.\” (HR. Bukhari dan Muslim).
Maka dalam ayat ini Allah s.w.t tegaskan semua jenis golongan orang yang zalim ini di akhirat kelak tidak akan adanya baginya penolong, tidak akan selamat daripada azab dan hukuman Allah s.w.t.

Ya Allah, janganlah kami termasuk dalam golongan orang yang zalim, panjangkan umur kami dalam kesihatan & ketaatan kepada-Mu, jangan panjangkan umur kami dalam maksiat kepada-Mu dan akhirkan usia kami dengan beriman, berfikir dan mendekatkan diri kepada-Mu, dalam Husnul-Khatimah!

Powered by BetterDocs