SURAH AN-NASR : AYAT 1-3

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH PERINTAHKAN NABI S.A.W BILA MENDAPAT KEMENANGAN BERTASBIH & BERISTIGHFARLAH.

Full video : https://youtu.be/cLS9oPaGmno?si=5fZGi6jsSU1DxbUA

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Isnin 04 Safar 1445H bersamaan 21hb Ogos 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah An-Nasr – سورة النصر.
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita ke syurga-Nya.
  3. Surah An-Nasr- سورة النصر adalah surah ke-110 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang ketigapuluh-tiga dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Kafirun – سورة الكافرون.
    Mengandungi 3 ayat yang pendek
    .
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Dalam surah ini Allah perintahkan Nabi s.a.w bila mendapat kemenangan supaya bertasbih & beristighfar kepada Allah s.w.t serta jangan sombong.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah An-Nasr – سورة النصر yang bermakna {Kemenangan & Pertolongan} kerana dalam surah ini Allah s.w.t perintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w, apabila Baginda berjaya mencapai kemenangan & menguasai Tanah Suci Makkah serta melihat manusia masuk ke dalam agama Allah secara beramai-ramai; maka hendaklah Baginda bersyukur dengan mematuhi perintah Allah yang melimpahkan rahmat-Nya itu juga memohon ampun kepada Allah.
  2. Inilah didikan Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w juga kita umatnya; apabila mendapat kejayaan hendaklah bersifat tawadhuk, bersyukur & jauhi dari sifat sombong & takabbur. Inilah yang sepatutnya kita sebagai orang Islam, banyak bersyukur kepada Allah s.w.t atas segala kemenangan & nikmat yang didapati.
  3. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    i- diambil sebahagian ayat pertamanya { إِذَا جَآءَ}
    ii- diambil penuh ayat pertamanya { إِذَا جَآءَ نَصْرُ ٱللَّهِ}

iii- surah at-Taudi\’ {التوضيع}- iaitu selamat tinggal. Ini kerana dalam surah ini ada isyarat kepada kewafatan Rasulullah s.a.w, Baginda akan meninggalkan dunia ini & umatnya,

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Mengajar kepada kita apabila mendapat apa yang kita mahu & usahakan;-apatah lagi jika dapat nikmat yang besar & kemennagan; janganlah kita lalai & lupa dari bersyukur dengan mengerjakan amal-bakti kepada Allah s.w.t yang mengurniakan apa yang kita hajati itu!
  2. Juga meminta ampun kepada Allah s.w.t jika ada salah-silap kita dalam mengerjakannya. Jangan angkuh & sombong tetapi tunjukkan kita tawaduk kepada Allah s.w.t dalam perkataan, perbuatan dan segala tindak-tanduk kita.
    Jangan menghina orang, perli kawan atau berdendam kepada orang yang tidak bersama kita dalam mencapai kemenangan itu!
  3. Ini yang Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah s.a.w ini juga kepada kita semua umatnya yang lain secara lansung juga agar sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah satu makluman & perisytiharan bahawa agama kita ini sudah sempurna!
    Perjuangan Rasulullah s.a.w sudah selesai, maka ia juga tanda bahawa Baginda s.a.w akan pergi.
  2. Inilah yang difahami oleh Sayyidina Abu Bakar r.a- apabila turun ayat bahawa agama ini sudah sempurna, beliau menangis kesedihan kerana tahu itu adalah tanda bahawa waktu Rasulullah s.a.w di dunia ini akan berakhir!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t janjikan kepada Rasulullah s.a.w kemenangan & Pembukaan Kota Makkah.
  2. Khabar gembira akan ramainya manusia akan masuk Islam- dengan berduyun-duyun.
  3. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w agar sentiasa bertasbih & beristighfar meminta ampun, bimbang jika ada kelemahan & kekurangan dalam bidang tugas yang dijalankan.

MUNASABAH SURAH AN-NASR – سورة النصر DENGAN SURAH AL-KAFIRUN – سورة الكافرون SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Kafirun – سورة الكافرون:

  1. Dalam surah al-Kafirun Allah s.w.t sebut pada akhirnya {Bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami} yakni berbezanya agama Islam dengan semua agama lain, tiada kesatuan dalam aqidah.
    Agama lain satu kumpulan sahaja iaitu kumpulan yang syirik kepada Allah s.w.t!

ii- dalam surah ini pula satu iklan perisytiharan bahawa agama kafir akan hilang lenyap dari muka bumi Makkah.
Sehinggakan Rasulullah s.a.w telah bersabda memberitahu bahawa tidak akan berkumpul dua agama di Semenanjung Tanah Arab.

iii- surah ini juga menyatakan kemuliaan Rasulullah s.a.w dengan kemenangan & pembukaan Makkah, kebenaran agama yang dibawa olehnya serta menjadi tanda isyarat kewafatan Baginda s.a.w.

KELEBIHAN SURAH :

  1. Sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Utbah r.a bahawa Ibnu Abbas r.a telah bertanya kepadanya: \”Wahai Ibnu Utbah, tahukah engkau, apakah surah terakhir yang diturunkan?\” Ibnu \’Utbah menjawab, \”Ya, aku tahu,\”lantas membacakan Surah an-Nasr. Lalu dinyatakan oleh Ibnu Abbas dengan katanya, \”Benar.\” (HR Muslim)
  2. Kita katakan inilah kelebihan surah an-Nasr, sebagai surah yang terakhir dari al-Quran yang diturunkan dengan penuh & sempurna.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {APABILA DATANG PERTOLONGAN ALLAH DAN KEMENANGAN (SEMASA ENGKAU WAHAI MUHAMMAD BERJAYA MENGUASAI NEGERI MAKKAH),} (AN-NASR 110:1)

  1. Apabila Allah s.w.t memberikan kepadamu pertolongan wahai Nabi Muhammad s.a.w dengan kemenangan ke atas musuhmu & telah terlaksana perjuanganmu untuk pembukaan Kota Makkah.
  2. Kata ulama\’ makna dua perkataan ini berbeza:
    i- memberi pertolongan { نَصْرُ} ialah dengan kemenangan atas musuh.
    ii- manakala pembukaan {ٱلْفَتْحُ} pula ialah dapat menguasai negeri itu!
  3. Kata Imam al-Mawardi tentang maksud { نَصْرُ} pula ialah:
    i- Allah s.w.t beri pertolongan untuk mengatasi puak Quraisy.
    ii- kemenangan kepada Rasulullah s.a.w atas semua musuh yang menentangnya; mereka akan kalah.
    iii- ada yang kata Rasulullah s.a.w menang atas Quraisy bila buka Makkah, menang atas Hawazin apabila buka Taif.
  4. Imam Ibnu Kathir rhm. membuat kesimpulan: maksudnya pembukaan di sini hanya satu iaitu Pembukaan Kota Makkah.

Ini kerana kabilah-kabilah Arab lain sekitar Makkah memerhati akan perjuangan Rasulullah s.a.w- mereka membuat firasat bahawa jika Baginda berjaya menguasai kaumnya sendiri iaitu Quraisy & kota Makkah, maka sahihlah bahawa Baginda adalah seorang rasul & nabi, jika tidak dia hanya raja seperti raja-raja lain sahaja.

  1. Maka apabila Rasulullah s.a.w berjaya mengambil Makkah seluruh kabilah Arab di Semenanjung Tanah Arab memeluk Islam sebagaimana dalam ayat berikutnya!
  2. Kemudian tidak sampai dua tahun selepas itu, seluruh penduduk Semenanjung Tanah Arab semuanya memluk Islam, seluruh kabilah Arab berani menyatakan keislaman mereka.

AYAT 2- {DAN ENGKAU MELIHAT MANUSIA MASUK DALAM AGAMA ALLAH BERAMAI-RAMAI,} (AN-NASR 110:2)

  1. Selepas kemenangan itu kamu akan melihat manusia masuk dalam agama Allah dengan ramainya.
    Maksudnya manusia {ٱلنَّاسَ} di sini ialah kabilah Arab di sekitar Tanah Arab- bukan manusia dari seluruh pelusuk dunia lagi.
  2. Yakni mereka masuk Islam, agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w ini berduyun-duyun, satu puak selepas satu puak sehinggalah kewafatan Baginda.
  3. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a: Apabila turun ayat ini Rasulullah s.a.w bersabda:
    عن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال : أَتَاكُمْ أَهْلُ الْيَمَنِ هُمْ أَرَقُّ أَفْئِدَةً وَأَلْيَنُ قُلُوبًا، الْإِيمَانُ يَمَانٍ وَالْحِكْمَةُ يَمَانِيَةٌ
    \”Telah datang akan kamu semua penduduk Yaman. Mereka adalah yang paling santun dan lembut hatinya. Bermula iman itu di Yaman dan hikmah itu dibangsakan kepada Yaman.\” [HR Ahmad].

AYAT 3- {MAKA UCAPKANLAH TASBIH DENGAN MEMUJI TUHANMU DAN MINTALAH AMPUN KEPADANYA, SESUNGGUHNYA DIA AMAT MENERIMA TAUBAT.} (AN-NASR 110:3)

  1. Allah s.w.t Rasulullah s.a.w supaya mebersihkan Allah s.w.t daripada segala kekurangan & cacat-cela sebagaimana yang dituduh oleh pihak kafir. Allah S.w.t Maha sempurna, berkuasa & gagah perkasa..
  2. Kita puji Allah s.w.t atas segala kurniaan-Nya kepada kita dan kita sifatkan-Nya dengan sifa kesempurnaan sebagai cinta kita kepada Allah & pengagungan ke atas-Nya.

Kita juga minta ampun supaya Allah s.w.t ampunkan kita jika ada tersalah sana-sini.

3. Hadis-hadis Rasulullah s.a.w:
i- UM Aisyah r.a meriwayatkan: Bahawa Rasulullah S.A.W dalam rukuk dan sujudnya memperbanyakkan bacaan:
\”سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي\”
Mahasuci Engkau, ya Allah, Tuhan Kami; dan dengan memuji kepada Engkau, ya Allah, ampunilah aku.

Lalu UM Aisyah bertanya: \”Wahai Rasulullah, aku telah melihatmu memperbanyak bacaan tasbih dan tahmid kepada Allah, tidak sekali-kali engkau pergi, datang, berdiri, atau duduk melainkan engkau membaca, \”Maha suci Allah dan dengan memuji kepada-Nya.\”

Rasulullah s.a.w menjawab: Allah s.w.t sudah mengkhabarkan kepadaku bahawa aku akan melihat tanda-tanda kemenangan & benarnya dakwahku ini melalui umatku!

Jadi apabila aku lihatnya ramainya manusia masuk Islam sesungguhnya aku telah diperintahkan untuk melakukannya, lalu Baginda membaca firman Allah ini:
{Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. (An-Nasr: 1), hingga akhir surah. [HR Bukhari & Muslim].

iii- Kisah riwayat Abdullah bin Abbas r.a:
Bahawa Sayyidina Umar Umar al-Khattab r.a suka membawanya, seorang sahabat Rasulullah yang masih muda masuk ke dalam majlis ilmu yang dihadiri oleh para sahabat yang berusia (senior) sehingga mendapat teguran dari beberapa orang dewasa.

Pada suatu hari, Saidina Umar membawa Ibnu Abbas menyertai suatu majlis ilmu yang disertai oleh sahabat-sahabat lain dari kalangan Ahli Badar yang sudah berusia untuk berbincang tentang Surah An-Nasr.

Umar bertanya, \”Bagaimana pendapat kamu semua tentang surah ini?\”
Lalu sebahagian daripada mereka menjawab bahawa ayat tersebut memerintahkan agar memuji Allah, meminta keampunan dari-Nya ketika diberi pertolongan dan kemenangan.

Umar kemudian bertanya kepada Abdullah bin Abbas, \”Wahai Ibnu Abbas, beginikah kamu menafsirkan ayat tadi?\”
Lalu Ibnu Abbas memberikan jawapan yang sungguh jauh berbeza daripada yang lain.
\”Surah tersebut adalah petanda kewafatan Rasulullah S.A.W sudah dekat\”, dan jawapan yang diberikan itu turut dipersetujui Saidina Umar Al-Khattab. [HR Bukhari].

Abdullah bin Abbas pernah didoakan oleh Nabi S.A.W ketika kecil agar diberikan kefaqihan dalam agama dan kemampuan untuk mentakwil sesuatu perkara. Doa tersebut menjadi kenyataan dan kebijaksanaannya turut terserlah melalui kisah ini.

Sayyidina Umar pula berbuat demikian kerana mahu memperkenalkan orang muda yang berilmu.

4. Kemudian Allah s.w.t menutup surah ini dengan menegaskan bahawa {Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.} Yakni Allah s.w.t bersifat dengan sifat-Nya yang Sempurna ini sejak azali bahawa Dia amat menerima taubat & sangat kasihan belas kepada hamba-hamba-Nya.

5. Firman Allah s.w.t juga:
{Kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmat-Nya.} (An-Nisaa\’ 4:16)

6. Ayat ini dan ayat-ayat terdahulu darinya mengajar kepada kita agar jangan lupa untuk bersyukur kepada Allah s.w.t yang mengurniakan apa yang kita hajati itu serta beristighfar meminta ampun kepada Allah s.w.t jika ada salah-silap kita dalam usaha yang kita jalankan itu.

7. Jangan lupa baca buku tentang Makkah & Madinah ini sebagai bekalan ilmu:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- { pabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),} – dalam surah ini Allah s.w.t asingkan perkataan dengan kalimah dan- {pertolongan Allah dan kemenangan}.

Ini untuk untuk menunjukkan bahawa dua perbuatan ini adalah perbeza iaitu:
i- pertolongan Allah {نَصْرُ}- Allah s.w.t beri pertolongn kepada maka kita dapat kemenangan.

Apabila Allah s.w.t sandarkan pertolongan ini kepada dirinya- maka ia nenunjukkan satu bantuan yang besar & luar-biasa kepada Rasulullah s.a.w. Ia terbukti apabila Rasulullah s.a.w masuk ke Makkah dengan aman, tanpa ada tentangan yang besar hanya sedikit & orang Makkah menyerah & pasrah.

ii- dan kemenangan {وَٱلْفَتْحُ}- ini ialah pembukaan iaitu kita menang & dapat menguasai sesuatu negeri.
Ia bermaksud Pembukaan Kota Makkah sebagaimana firman Allah s.w.t dalam ayat ini juga:
{Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,} (Al-Fath 48:1)

  1. Ayat 1- {Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),}-
    Allah s.w.t ceritakan dalam ayat ini khabar yang akan berlaku pada masa akan datang- iaitu tentang pembukaan Kota Makkah & orang Arab akan berduyun-duyun masuk Islam.

Maka ini menjadi salah satu tanda kenabian, bahawa benarnya dakwah Rasulullah s.a.w!

Maka apabila ia berlaku sungguh maka ia adalah satu yang benar, hanya orang mendustakan tidak nampak kebenaran ini!

Ayat ini juga mengandungi satu lagi maksudnya yang tersirat iaitu bahawa waktu kewafatan Rasulullah s.a.w sudah hampir- hanya beberapa sahabat yang tinggi firasatnya seperti Abu Bakar, Umra & Ibnu Abbas r.anhum memahami maksudnya ini.

Maka Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk banyak bertasbih & beristighfar dan bertaubat walaupun Baginda s.a.w tidak ada dosa kerana Baginda s.a.w akan bertemu dengan Allah s.w.t!

Apabila dekat nak mati, sudah banyak tanda kematian, maka kita yang banyak dosa ini, lebih-lebih lagi kena banyakkan bertasbih & beristighfar. Sibukkan diri dengan meminta ampun kepada Allah Azza wa Jalla.

Apabila selesai kita buat sesuatu pekerjaan Allah s.w.t suruh kita beristighfar seperti selepas solat, selepas haji dan lain-lain.
Ikutlah zikir seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w bukan ikut kebiasaan orang ramai atau orang terdahulu!

  1. Ayat 2- {Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai,}
    Digunakan lafaz *Alah\” sebab khusus agama Allah- bukan agama Tuhan lain- ini kerana jika kata Tuhan mungkin orang akan salah faham, penyembah berhala pekong akan mengaku Tuhan mereka!

Apabila sudah sebut Allah- sudah jelas, ini kerana nama Allah menunjukkan kepada yang Maha Agung & hanya khusus untuk Allah Azza wa Jalla. Bukan agama lain atau Tuhan lain, tiada ruang lagi untuk silap faham atau untuk spinnya!

  1. Ayat 3- {Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.})
    Ayat ini menunjukkan kelebihan tasbih & tahmid- kita kembarkan dua zikir ini.

Inilah kempen dan galakkan kita kepada masyarakat agar banyak bertasbih banyak memuji Allah s.w.t:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ
وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّه

Kata UM Aisyah r.a: apabila turun ayat ini Rasulullah s.a.w banyak membacanya dalam rukuk & sujud Baginda ketika solat. [HR seperti di atas].

  1. Ayat 3- {Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.})- kata para ulama\’:
    Semua pekerjaan & perkara yang besar diakhiri dengan beristighfar kepada Allah seperti selepas solat & haji.

Selepas solat Rasulullah s.a.w terus beristighfar selepas memberi salam:
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ
sebanyak 3 kali.

Ayat ini juga menandakan hampirnya ajal Rasulullah s.a.w, maka Allah menyuruh Baginda membuat persiapan.

Kita ini lebih dekat dengan kematian, tetapi kenapa masih lalai & lagha, masih tiada persiapan?

{Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.})-
Jangan bimbang Tuhan kamu ini bersifat dengan pemaaf & maha penerima taubat.

Maka bertaubatlah kepada Allah s.w.t dalam setiap perkara, yang zahirnya yang batinnya, yang besar & yang kecilnya.
Alhamdulillah.

Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau telah memberi pertolongan kepada Nabi kami Rasulullah s.a.w dengan kemenangan & pembukaan; dan Baginda telah beristighfar & bertasbih kepada-Mu.

Berilah hidayah kepada kami untuk sentiasa beristighfar, bertasbih kepada-Mu, sentiasa bertaubat, basahkan lidah kami dengan zikir yang dianjurkan ini serta akhirkan hidup kami dengan husnul-khatimah.

Powered by BetterDocs