SURAH AL-AHQAF : AYAT 33-35

\"\"

DALIL DIBANGKIT SEMULA, KEADAAN KAFIR DALAM NERAKA & SABARLAH PARA PENDAKWAH.

Full video : https://youtu.be/52le0jRl7KI

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang terakhir ini, pada Pagi Ahad 26 Zulqa\’dah 1443H, Alhamdulillah tamatlah surah al-Ahqaf dengan 12 siri kuliah.
  2. Antara perbincangan dalam siri ini ialah tentang dalil kuasa Allah s.w.t dalam aqidah Kebangkitan Semula.
  3. Diceritakan tentang keadaan golongan Kafir Dalam Neraka apabila mereka berdepan dengannya.
  4. Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w sebagai salah seorang rasul Ulul-Azmi untuk bersabar dalam berdakwah dan menghadapi tentangan & karenah kaumnya yang menentang.
  5. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t ceritakan dalam ayat-ayat yang lepas tentang Tauhid, Kenabian & Kebangkitan semula, maka ayat ini dibawa sebagai taqrir atau penetapan kepada isu Kebangkitan semula selepas mati (المعاد). Ini adalah 3 isu besar dalam al-Quran.

Allah s.w.t juga telah menjelaskan kandungan surah ini daripada asas agama dan cabang-cabangnya.
Allah juga memberi amaran agar jangan ingkari arahan Allah dengan menyebut beberapa contoh umat-umat terdahulu yang telah binasa.
Allah juga jelaskan betapa sesatnya mereka yang tidak mahu beriman & menyahut seruan Allah (ayat 32).

Maka ayat ini menjadi dalil akan Keesaan dan keagungan Allah s.w.t, berkuasa untuk menghidupkan balik manusia yang telah mati, yang dulu & yang kemudian akan dibangkitkan oleh Allah s.w.t serta mereka akan dibalas berdasarkan amalan mereka di dunia dulu!

AYAT 33- {MASIHKAH MEREKA INGKAR DAN TIDAK MAHU MEMIKIR SERTA MENGETAHUI BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH YANG TELAH MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI DENGAN TIDAK MENGALAMI KESUKARAN DALAM MENCIPTAKANNYA – BERKUASA MENGHIDUPKAN MAKHLUK-MAKHLUK YANG TELAH MATI? SUDAH TENTU BERKUASA! SESUNGGUHNYA IA MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-AHQAAF 46:33)

  1. Allah tanya tidakkah orang yang mengingkari bangkit semula serta tidak percaya tubuh yang hancur hidup semula; tidakkah mereka lihat sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi serta segala makhluk di dalamnya tanpa mengalami kesukaran & kepenatan??!!!

Segala perbuatannya berhikmah, susunannya teratur dan Allah s.w.t berkuasa untuk menjadikan secara kun-fayakun!

  1. Allah menjawabnya \’Bahkan\’ (بَلَى)- pasti Allah s.w.t berkuasa atas setiap sesuatu dan mereka yang ingkar itu sudah lihat & tahu semua tanda-tanda itu. Tiada yang dapat menghalang atua melemahkan-Nya.

AYAT 34- {DAN (INGATLAH) HARI ORANG-ORANG YANG KAFIR DIDEDAHKAN KEPADA NERAKA, (LALU DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”BUKANKAH (AZAB) NERAKA INI BENAR?\” MEREKA MENJAWAB: \”YA, BENAR, DEMI TUHAN KAMI!\” (SETELAH ITU) DIKATAKAN LAGI (KEPADA MEREKA): \”MAKA SEKARANG RASALAH AZAB SEKSA DENGAN SEBAB KAMU KUFUR INGKAR DI DUNIA DAHULU.\”} (AL-AHQAAF 46:34)

  1. Ingatlah apabila mereka didedahkan kepada neraka! Orang yang kufur itu ditanya dengan celaan dan tempelakan; lihatlah, apakah azab yang dijanjikan itu benar? Inilah azab yang kamu ingkari dulu!
  2. Ini adalah keadaan orang kafir yang setelah melihat sendiri azab di depan mata, baru mengakui kebenarannya.
    Apa yang mereka ingkari dan dusta atas dunia dulu telah berlaku dan dihadapi.
  3. Sekarang mereka mengakuinya dengan menjawab: \”Ya, benar, demi Tuhan kami!\” Mengakui tentang azab bahawa segalanya benar lalu bersumpah juga dengan nama tuhan! Pengakuan dan penyesalan yang tidak berguna lagi sekarang.
  4. Allah s.w.t berfirman kepada mereka; maka sekarang rasalah azab ini, dengan sebab kamu kufur, ingkar & keras kepala dengan kebenaran yang dibawa oleh Nabi semasa di dunia dulu.
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: \”Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: \”Benar, demi Tuhan kami!\” Allah berfirman lagi: \”Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar\”.} (Al-An\’aam 6:30)
  6. Kerana itu jika nak menyesal sekarang ini, semasa masih hidup atas dunia ini, bukan setelah di Akhirat semasa berdepan azab!!!!

AYAT 35- {(JIKA DEMIKIAN AKIBAT ORANG-ORANG KAFIR YANG MENENTANGMU WAHAI MUHAMMAD) MAKA BERSABARLAH ENGKAU SEBAGAIMANA SABARNYA RASUL-RASUL \”ULIL-AZMI\” (YANG MEMPUNYAI KEAZAMAN DAN KETABAHAN HATI) DARI KALANGAN RASUL-RASUL (YANG TERDAHULU DARIPADAMU); DAN JANGANLAH ENGKAU MEMINTA DISEGERAKAN AZAB UNTUK MEREKA (YANG MENENTANGMU ITU). SESUNGGUHNYA KEADAAN MEREKA SEMASA MELIHAT AZAB YANG DIJANJIKAN KEPADA MEREKA, MERASAI SEOLAH-OLAH MEREKA TIDAK TINGGAL (DI DUNIA) MELAINKAN SEKADAR SATU SAAT SAHAJA DARI SIANG HARI. (PENERANGAN YANG DEMIKIAN) CUKUPLAH MENJADI PELAJARAN (BAGI ORANG-ORANG YANG MAHU INSAF). MAKA (INGATLAH) TIDAK DIBINASAKAN MELAINKAN KAUM YANG FASIK – DERHAKA.} (AL-AHQAAF 46:35)

  1. Dalam ayat penutup ini adalah motivasi kepada Rasulullah s.a.w serta para pendakwah semua umumnya, agar besabar dalam berdakwah dan menghadapi ujian hidup di dunia.
  2. Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk bersabar sebagaimana sabarnya Rasul-rasul \”Ulil-Azmi\” dari kalangan Rasul-rasul yang terdahulu sebelum daripadanya.
  3. Rasul Ulul Azmi (أولو العَزم)- adalah gelaran yang diberikan kepada para rasul yang memiliki kedudukan tinggi/istimewa kerana ketabahan dan kesabaran yang luar biasa, yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati dalam berdakwah menyebarkan agama Islam.

Perkataan ulul azmi berasal dari dua perkataan, iaitu ulul dan azmi:
i- ulu atau uli adalah memiliki,
ii- al-azmi bererti semangat, azam atau keteguhan hati yang kuat.

  1. Bilangan nabi & rasul yang ada riwayat adalah:
    i- nabi seramai 124, 000 orang,
    ii- rasul seramai 313 orang,
    iii- yang yang disebut dalam al-Quran 25 orang.

iv- Manakala yang ulul-azmi daripada mereka adalah 5 orang iaitu:

  1. Nabi Muhammad S.A.W
  2. Nabi Isa A.S
  3. Nabi Musa A.S
  4. Nabi Ibrahim A.S
  5. Nabi Nuh A.S

v- Sayyidul Anbiya\’ wal mursalin- ketua segala rasul & nabi ialah Muhammad s.a.w.

Menurut Ibnu Kathir, Allah s.w.t telah jelaskan nama mereka sebagaimana firman Allah s.w.t dalam dua ayat ini:
a- {(Teruslah bertaqwa kepada Kami) dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari Nabi-nabi (umumnya): perjanjian setia mereka, dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai Muhammad), dan dari Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta. Nabi Isa ibni Maryam; dan Kami telah mengambil dari mereka: perjanjian setia yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka);} (Al-Ahzaab 33:7)

b- {Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: \”Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya\”.} (Asy-Syuura 42:13)

c- serta dalil dari Hadis Syafaat yang panjang.

  1. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t tetapkan 3 perkara dalam al-Quran ini iaitu; Tauhid (التوحيد), Kenabian (النبوة) & Kebangkitan semula (المعاد), Allah s.w.t jawab semua keraguan yang ditimbulkan oleh puak kafir.

Maka dibawa ayat ini sebagai nasihat & motivasi untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w kerana puak kafir sentiasa menentang & menyakiti hati Baginda s.a.w.
Ini kerana apa yang menimpa Baginda adalah kerana Allah iaitu menjalankan perintah dakwah Allah s.w.t. Maka bersabarlah sebagaimana golongan ulul azmi yang mempunyai kekuatan jiwa dan semangat yang jitu dari kalangan rasul-rasul yang terdahulu.

  1. Selain dari bersabar, Allah s.w.t juga berpesan kepada Rasulullah s.a.w supaya jangan gopoh dan mahu menyegerakan sesuatu yang bukan pada masanya lagi. Seperti berdoa meminta azab yang segera ke atas kaumnya yang menentang. Kerana tarikh bila azab akan datang telah ditentukan oleh Allah s.w.t dan di bawah kuasanya.

SABAR adalah satu sifat yang amat tinggi darjat & kelebihannya.
Manakala GOPOH adalah punca terjadinya kehinaan kepada manusia.

  1. Firman Allah s.w.t: {Oleh itu, janganlah engkau segera marah terhadap mereka yang ingkar itu, kerana sesungguhnya kami hanya menghitung hari yang sedikit sahaja bilangannya untuk mereka.} (Maryam 19:84)
  2. Bila azab itu datang, mereka akan merasa seperti seolah-oleh tidak pernah hidup & mendapat nikmat atas dunia ini. Cuma hidup seolah satu saat sahaja pada siang hari.
  3. Kata Syeikh al-Biqa\’i: Apabila mereka mahu mati di dunia mereka sudah dapat melihat tempat mereka di dalam neraka, lalu di Akhirat akan melihatnya pula di depan mata!
    Mereka sudah mula merasa penyesalannya semasa di atas dunia lagi dekat nak mati itu. Sudah tiada suara untuk melahirkan kesakitan dan kedahsyatan itu, kerana sudah terlampau ngeri & sakit.
  4. Kata ar-Razi: Rasulullah s.a.w sudah diberi khabar bahawa azab itu sudah dekat, akan datang tidak lama lagi. Setiap orang akan bertemu dengan azab yang akan menimpa ke atas mereka.
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).} (Yunus 10:45)
  6. Al-Quran in menjadi peringatan (بَلَاغٌ) dari Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya.
  7. Kata Syeikh Ibnu al-Jauzi rhm., Allah sifatkan al-Quran sebagai (بَلَاغٌ) ini maknanya:
    i- menyampaikan kepada manusia maklumat yang akan terjadi.

ii- tazkirah, maklumat, nasihat dan penjelasan dari Allah s.w.t. Yang diberi sebagai peringatan kepada manusia, jika kamu tak ambil juga malanglah!

  1. Kata Syeikh Ibnu Jarir pula, (بَلَاغٌ) ini maknanya waktu kamu hidup atas dunia yang sekejap, satu tempoh yang akan menyampaikan manusia kepada ajalnya.
  2. Dunia kita ini penuh dengan nafsu & syhawat, penuh dengan godaan, ia adalah medan ujian Allah ke atas hamba-Nya. Siapa yang ambil bekalannya di atas dunia ini dia akan selamat di Akhirat, siapa yang tidak maka dia akan binasa. Kita yang sudah belajar ini cukuplah penjelasan (بَلَاغٌ) dari Allah menjadi pengajaran dan iktibar bagi kita semua.
  3. Sebagai penutup ayat Allah s.w.t menekankan bahawa manusia itu tidak akan dibinasakan selepas pejelasan diberi kecuali mereka yang fasiq yang derhaka; iaitu kaum yang lari keluar dari landasan iman, menyalahi perintah Allah, maka mereka berhak menerima azab itu!

Fasiq di sini bererti yang keluar dari agama dan ketaatan kepada Allah.

Boleh juga digunakan kepada ahli maksiat yang masih beriman.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 33- {Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam menciptakannya – berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}- dalam ayat ini Allah bertanya adakah mereka masih mahu ingkar dan tidak mahu berfikir setelah mengetahui bahawa Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tanpa apa-apa kesukaran dalam menciptakannya.

Ayat ini menjadi dalil tentang hidup balik selepas mati, Allah s.w.t mampu dan tidak lemah untuk melakukannya. Dia Yang Berkuasa mencipta langit dan bumi yang begitu besar, susun atur yang hebat, tidak akan lemah untuk menghidupkan semula manusia.

Dalam ayat ini Allah sebut bahawa Dia tidak susah untuk mencipta makhluk (وَلَمْ يَعْيَ); ayat ini memberi peringatan kepada kita agar menyifatkan Allah s.w.t dengan sifat-Nya sebagai pencipta yang Maha Berkuasa dan yang Maha Sempurna. Dia mampu untuk menghidupkan balik manusia, tidak lemah untuk melakukan apa yang dikehendaki-Nya.

  1. Ayat 34- {(Setelah itu) dikatakan lagi (kepada mereka): \”Maka sekarang rasalah azab seksa dengan sebab kamu kufur ingkar di dunia dahulu.\”}- Allah s.w.t kata rasakanlah azab (فَذُوقُوا الْعَذَابَ) yang pedih ini.Rasa ini biasanya digunakan untuk rasa makanan.

Tetapi makna \”rasa\” di sini bukan hanya dengan mulut atau lidah, tetapi rasa dengan semua keadaan dan tanggunglah siksaan itu secara fizikal. Diperluaskan penggunaan perkara \’rasa\’ untuk semua balasan yang diberi.

  1. Ayat 35- {(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul \”Ulil-Azmi\” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu);}- Allah bawa dalam al-Quran banyak kisah-kisah rasul terdahulu yang banyak mengalami ujian untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w dan para pendakwah sekalian. Jangan mudah koyak dan putus-asa dalam menghadapi cabaran dakwah. Apa yang penting kita ada sumber yang kuat dari al-Quran, hadis Nabi yang sahih dengan huraian ulama\’ yang muktabar.

Jadi Allah suruh Rasulullah s.a.w lihat kepada perjuangan, cabaran dan kekuatan semangat para rasul Ulul-Azmi ini menghadapinya.
Bagaimana mereka melalui perlawanan dan tentangan itu.
Siapa yang mantap jiwanya, kuat imannya, tinggi semangatnya insya\’ Allah tidak akan goyah perjuangannya, musuh tidak akan berani melawan. Siapa yang kuat semangatnya, kental jiwanya (ulul-azmi), akan kuatlah imannya. Kekuatan jiwa akan merubah segalanya.

  1. Ayat 35- {Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari.}- seolah mereka tak tingal atas dunia kecuali beberapa saat.

Ayat ini kata ulama\’ tadabbur: Mengikut kadar ketamakan dan kecintaan kepada dunia, redha kita nk jadi pengikutnya; kita akan rasa berat nak taat kepada Allah, payah nak kejar Akhirat dan menjadi seorang yang zuhud.

Cukuplah kita menjadi seorang yang zuhud atas dan ini dengan hanya memahami ayat ini!
Zuhudlah kita daripada perkara-perkara yang akan menyusahkan kita di Akhirat kelak.

Orang yang mengejar dan dan mengumpulkan kekayaan dulu hanya berasa sekejap saja hidupnya atas dunia ini, sedikit sangat atau seperti tiada lansung nikmat yang mereka dapat atas dunia ini. Maka janganlah kita menjadi orang yang menyesal di Akhirat kelak.

  1. Ayat 35- {Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari.}- menunjukkan masa atas dunia ini sangat pendek! Sepanjang manapun umur kita ianya sangat pendek dan sebentar berbanding dengan umur dunia yang telah berlalu dan akan datang. Apatah lagi berbanding dengan hari Akhirat yang panjang dan kekal abadi.

Kita mahu nikmat & kesenangan yang sementara atau yang kekal?
Jika mahu nikmat yang kekal maka bersabarlah sekejap dan sedikit atas dunia ini, jangan biarkan dunia itu masuk dalam hati kamu cukuplah hanya di tangan.

Ayat 35- {Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik – derhaka.}- ayat ini memberi khabar gembira bagi orang yang beriman dan soleh. Tiadalah ayat yang lebih memberi harapan untuk mendapat rahmat Allah lebih kuat daripada ayat ini! Kerana yang akan binasa adalah orang fasiq!

Jika kita sudah menjadi orang baik, orang mulia & soleh, ahli Quran dan Sunnah Nabi s.a.w, maka insya\’ Allah kita akan selamat.

Alhamdulillah tamatlah surah kita ini semoga kita mendapat segala faedah pengajarannya insya\’ Allah.

Semoga kita diberi rezeki untuk terus meneroka dan tadabbur al-Quran dalam siri yang akan datang.

Powered by BetterDocs