SURAH FATHIR : AYAT 15-18

\"\"

SEMUA MAKHLUK BERHAJAT KEPADA ALLAH, SETIAP ORANG MEMIKUL KESALAHANNYA & ORANG YANG TAKUT ALLAH AKAN DENGAR NASIHAT.

Full video : https://youtu.be/s2ebZH1jXaw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah memperingatkan kepada kita tentang beberapa godaan dan hasutan yang berlaku dalam hidup manusia. Sesiapa yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, iman mereka akan semakin mantap.
  2. Allah s.w.t telah menunjukkan kepada kita dalil-dalil tanda kekuasan Allah s.w.t di langit dengan awan, angin dan hujan yang menghidupkan kembali bumi yang mati.
  3. Kemudian turun ke bumi masuk ke dalam laut melihat pula dalil kekuasaan Allah s.w.t di situ, mencari ikan segar dan mutiara terpendam, minyak yang berharga dan lain-lain rezeki nikmat yang Allah s.w.t sediakan untuk hamba-Nya.
  4. Allah s.w.t juga mengingatkan kita bahawa syaitan itu akan masuk menggoda manusia dengan cara tersendiri, melalui jalan yang kita tidak sedar. Ia akan masuk melalui lorong yang dibenarkan, yang sesuai mengikut kategori manusia. Ahli ibadat dengan caranya, ahli maksiat dengan jalannya pula!
    Ia tidak akan guna jalan no-entry!
    Contoh- tak akan ajak ahli ibadat ke disko atau ke konsert hiburan.
  5. Kemudian Allah s.w.t peringatkan juga bahawa sembahan sekutu itu lemah, yang tidak bernyawa dan tidak berkuasa lansung untuk memberi manfaat atau mudharat kepada para penyembahnya.
  6. Dalam ayat yang akan kita baca ini Allah s.w.t tunjukkan bahawa semua makhluk itu lemah dan faqir – iaitu berhajat kepada Allah s.w.t dalam semua perkara dan keadaan, masa & tempat!
    Terlalu banyak kelemahan dan kekurangan kita manusia sebagai makhluk!
    Amat berhajat kepada Allah s.w.t Tuhan Pencipta dan Pentadbir.

AYAT 15- {(OLEH KERANA ALLAH MENGUASAI SEGALA-GALANYA, MAKA) WAHAI UMAT MANUSIA, KAMULAH YANG SENTIASA BERHAJAT KEPADA ALLAH (DALAM SEGALA PERKARA), SEDANG ALLAH DIA LAH SAHAJA YANG MAHA KAYA, LAGI MAHA TERPUJI.} (FATHIR 35:15)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyeru wahai umat manusia (يَاأَيُّهَا النَّاسُ) – yakni seruan umum untuk semua kategori manusia atas muka bumi ini, yang kafir atau yang muslim.
    Permulaannya memang ditujukan kepada kafir Quraisy pada masa ayat ini turun kemudian kafir lain dan seluruh manusia selepasnya!
    Terpakai untuk semua bukan terhenti setakat mereka sahaja.
  2. Allah s.w.t. berfirman memberitakan tentang diri-Nya Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji dari selain Dia, semua makhluk berhajat (فقير) kepada-Nya dalam semua perkara. Mereka perlu kepada Allah dalam semua keadaan sedangkan Allah tidak memerlukan kepada mereka, makhluk yang dicipta-Nya.
  3. Kena ingat semua amal soleh, ibadat dan kebaikan yang kita kerjakan adalah untuk kebaikan kita sendiri, Allah s.w.t tidak berhajat atau perlu kepadanya selain untuk membalas kita kelak.
  4. Kekayaan Allah s.w.t itu mutlaq (الغني المطلق) dari segala sudut, tidak perlu kepada makhluk dan ibadat mereka, tidak berhajat kepada sesuatu di dunia dan akhirat.
  5. Allah s.w.t Maha Terpuji pada zat-Nya, nama-Nya, sifat-Nya kerana semua sifat-Nya Tinggi. Dia Maha Terpuji dalam semua perbuatan dan perkataan-Nya, juga dalam semua apa yang ditakdirkan dan yang disyariatkan-Nya. Dia juga Maha Terpuji atas segala nikmat-Nya kepada seluruh makhluk-Nya.
  6. Firman Allah s.w.t lagi:
    i- {Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal).} [Muhammad: 38].
    ii {Dan sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.}(Al-Hajj: 64)
  7. Dalam ketiga-tiga ayat ini Allah s.w.t menyatakan bahawa dia yang Maha Kaya (الْغَنِيُّ). Hanya Dia yang layak dipuja, dipuji dan disembah!

AYAT 16- {JIKA IA MAHU, NESCAYA IA MEMBINASAKAN KAMU DAN MENDATANGKAN MAKHLUK YANG BAHARU.} (FATHIR 35:16)

  1. Allah s.w.t memberi amaran jika kamu berdegil, keras kepala tetap kufur dan ingkar, jika Dia menghendaki, nescaya Dia boleh memusnahkan atau membinasakan kamu semua, dan mendatangkan makhluk yang baru untuk menggantikan kamu.
  2. Maksud firman Allah s.w.t: { dan mendatangkan makhluk yang baru untuk menggantikan kamu, – وَيَأْتِ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ } ialah makhluk yang lebih mulia yang lebih baik dari kamu, yang akan taat dan patuh kepada-Nya.
  3. Ancaman ini bukan sekadar ancaman kosong, telah terbukti berapa ramai kaum terdahulu yang telah Allah s.w.t hapuskan, binasakan mereka terus dari atas dunia ini. Contoh: kaum Nabi Nuh a.s, kaum Lut a.s, kaum Ad & Thamud dan lain-lain.
  4. Tetapi bagi umat nabi Muhammad s.a.w yang membawa Rahmatan lil-\’Alamin, tidak begitu, Allah s.w.t tidak akan hapuskan mereka secara menyeluruh, tetapi mungkin secara kelompok dan sekumpulan seperti datangnya bala tsunami, kebakaran, gempa bumi, dan wabak penyakit, tetapi masih tidak ramai berbanding mereka yang terdahulu!

AYAT 17- {DAN (PERLAKSANAAN) YANG DEMIKIAN ITU TIDAKLAH SUKAR BAGI ALLAH.} (FATHIR 35:17)

  1. Untuk melakukan semua itu adalah sesuatu yang tidak sukar dan tidak payah sama-sekali bagi Allah s.w.t!
  2. Ini bukanlah satu benda yang terlarang (بِعَزِيزٍ) bagi Allah s.w.t kerana sempurnanya kuasa Allah s.w.t dan Maha Suci Dia daripada segala kekurangan.

AYAT 18- {DAN (KETAHUILAH), SESEORANG PEMIKUL TIDAK AKAN MEMIKUL DOSA PERBUATAN ORANG LAIN; DAN JIKA SESEORANG YANG BERAT TANGGUNGNYA (DENGAN DOSA), MEMANGGIL (ORANG LAIN) UNTUK MENOLONG MEMIKUL SAMA BEBANAN ITU, TIDAK AKAN DAPAT DIPIKUL SEDIKITPUN DARIPADANYA, WALAUPUN ORANG YANG DIMINTA PERTOLONGANNYA ITU DARI KERABATNYA SENDIRI. SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) HANYALAH MEMBERI PERINGATAN KEPADA ORANG-ORANG YANG TAKUT (MELANGGAR HUKUM-HUKUM) TUHAN SEMASA MEREKA TIDAK DILIHAT ORANG DAN SEMASA MEREKA TIDAK MELIHAT AZAB TUHAN, SERTA MEREKA MENDIRIKAN SEMBAHYANG. DAN SESIAPA YANG MEMBERSIHKAN DIRINYA (DARI SEGALA YANG DILARANG) MAKA SESUNGGUHNYA IA MELAKUKAN PEMBERSIHAN ITU UNTUK KEBAIKAN DIRINYA SENDIRI DAN (INGATLAH), KEPADA ALLAH JUALAH TEMPAT KEMBALI.} (FATHIR 35:18)

  1. Ayat ini adalah asas keadilan dalam Islam. Dosa sendiri masing-masing tanggung. Orang-orang yang tidak berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, iaitu kelak di hari kiamat semasa dilakukan perhitungan amal perbuatan. Masing-masing manusia memikul amal atau dosanya sendiri-sendiri.
  2. Jika seorang yang banyak dosanya memanggil orang lain untuk meminta tolong sama-sama memikul dosa-dosanya yang berat agar menjadi ringan, atau untuk memikul sebahagian dari dosa-dosanya, maka;
  3. Tidak sekali-kali akan dapat memikulkan untuknya sedikit pun walaupun yang dipanggilnya itu kaum kerabatnya. Iaitu walaupun yang dimintai pertolongannya itu adalah kerabatnya sendiri yang paling dekatpun seperti ayah atau anaknya, pasti tidak akan dapat menolong!
  4. Keadaan di akhirat adalah tidaklah seperti di dunia, di mana beban yang dipikul seseorang dapat dibantu dipikul oleh yang lain. Masing-masing orang pada hari itu sibuk dengan urusan dan keadaannya sendiri.
  5. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);} [Al-An\’aam 6:164]

ii- {Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).} [Al-Israa\’ 17:13]

  1. Perhatian & Peringatan:
    Tetapi kena ingat dosa yang berkaitan, yang ada hubung-kait dengan kita, tetap ada iaitu dosa yang bersebab, ayat al-Quran ini wajib dipasang dengan hadis Rasulullah s.a.w ini: Diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah R.A, sabda Nabi S.A.W:
    ومن سن في الإسلام سنة سيئة كان عليه وزرها ووزر من عمل بها من بعده من غير أن ينقص من أوزارهم شيء‏
    Maksudnya: \”Sesiapa yang memulakan suatu pekerjaan yang jahat di dalam Islam maka ke atasnya dosanya (yang dia buat) dan dosa mereka yang beramal dengannya selepasnya, tanpa dikurangkan daripa dosa mereka sedikit pun.\” [HR Muslim]
    Hadis ini wajib dipasang sekali dengan ayat ini.
  2. Contoh dosa berkaitan:
    i- Seorang suami/bapa/ketua keluarga/pemimpin yang ada kuasa; bertanggung-jawab bagi pendidikan dan asuhan, menasihati, menyuruh isteri, anak-anaknya & yang dibawah jagaannya untuk solat, menutup aurat dan patuh kepada semua ajaran Islam dan meninggalkan larangannya, jangan jadi dayus dan hanya biarkan, dia akan disoal esok.

Tetapi jika dia sudah menjalankan tugasnya memberi nasihat dan peringatan dengan sepenuh usaha dan setakat kemampuan kuasanya, maka sudah terlepaslah amanah dan tggungjawabnya!

ii- Masyarakat yang tengok orang buat masksiat dan hanya biarkan tanpa tegur dan ingkarinya, lapor kepada pihak berkuasa dan seumpamanya.
Apatah lagi jika pihak berkuasa/pemerintah atau penganjur majlis atau maksiat itu sendiri!

iii- sebagaimana atas dunia ini- penjamin hutang yang menyanggupinya dengan sedar dan rela, maka dia akan kena juga hukumnya secara sah mengikut undang-undang.
Tetapi jika hanya kaum keluarga yang tidak tahu apa-apa kita tidak boleh letakkan beban hutang itu atas kepala mereka, itu satu kezaliman!

  1. Hadis riwayat Ibnu Abbas- r.a Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Manusia yang paling Allah s.w.t benci itu ada tiga kumpulan iaitu:
    i- Mulhid – pelaku kejahatan maksiat di Tanah Haram.
    ii- menghidupkan kembali amalan jahiliyah yang telah mati dan dihapuskan dalam Islam.
    Atas nama kebudayaan, adat atau apa saja.
    iii- menumpahkan darah orang tanpa hak!\” [HR Bukhari].
  2. Jelaslah dalam Islam dosa peribadi masing-masing tanggung cuma dosa bersebab akan mengalir juga kepada penganjur atau pengajarnya!
    Ingatan khas kepada para peguam, jangan bela orang yang kita tahu dengan yakin salah dan zalim, kerana jika dia selamat dan menang kerana hujjah kita, kita juga akan turut terpalit sama dengan kejahatan dan kezalimannya.
  3. Rasulullah s.a.w telah meletakkan asas dalam perkara ini!
    Sabdanya: \”Aku menjatuhkan hukuman berdasarkan apa yang aku dengar hujjahmu.\”
    Baginda tidak menggunakan wahyu kerana wahyu akan terhenti selepas kewafatannya. Bagaimana para sahabat dan orang lain selepas Baginda akan berhukum?
    Lalu Baginda menunjukkan jalan biasa, jalan mendengar keterangan, bawa bukti & hujjah.
    Siapa yang menang walaupun dia tahu dia salah, dia akan mengambil sepotong api neraka kelak!
  4. Tetapi jangan lupa sebaliknya juga, pahala jariyah yang berterusan juga ada dalam Islam.
    Sesiapa yang menganjurkan kebaikan dan amal soleh dalam Islam, menghidupkan kembali Sunnah Rasulullah s.a.w dan ibadat yang dilupakan, jika dibuat orang lain, setiap yang ikutnya kita akan dapat pahalanya yang berterusan juga!
  5. Sesungguhnya orang yang dapat kamu beri peringatan, orang yang dengar kata, taat dan ikut hukuman, hanyalah orang-orang yang takut dan beriman kepada Tuhannya secara ghaib, walaupun mereka tidak pernah melihat-Nya.
    Secara ghaib (بِالْغَيْبِ) juga ialah orang-orang yang takut kepada Allah di waktu rahsia atau terang-terangan, di depan orang ramai atau tiada.
  6. Wajib kepada ibu bapa untuk mantapkan aqidah kita, anak cucu kita dengan kefahaman dan penghayatan, bukan setakat dihitung saja.
    Pasakkan dalam hati anak-anak perasaan taqwa, agar menjadi manusia yang takut kepada Allah s.w.t!
  7. Mereka juga yang mendirikan solat. Mereka inilah yang mahu menerima peringatan dan mendapat manfaat darinya. Mereka mendirikan solat kerana taat kepada perintah Allah dan dengan sempurna sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
  8. Firman Allah s.w.t juga: {Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan.
    Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.} (Yaa Siin 36:11)
  9. Sesiapa yang menyucikan dirinya & membersihkan jiwanya dari dosa maksiat dan berbagai sifat buruk seperti riya\’, sombong, dusta, menipu, membuat tipu-daya dan akhlak tercela lainnya, serta menghiasi dirinya dengan akhlak mulia seperti ikhlas, tawadhu\’, jujur, bersikap lembut, dan jujur dan telus sesama manusia (tidak menipu), dari hasad dengki dan dendam, serta akhlak buruk lainnya, maka sesungguhnya dia menyucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri.
  10. Buku cadangan untuk melembutkan hati, pembersihan jiwa dan keinsafan diri boleh baca buku: Penawar Bagi Hati, yang boleh didapati di- http://www.dartaibah.com/…
  11. \”Dan kepada Allah tempat kembali.\” Iaitu hanya kepada-Nyalah segala urusan dan semua makhluk dikembalikan.
    Allah s.w.t telah berfirmah:
    {\”Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,\”
    \”Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);} [Asy-Syu\’araa\’: 88-89].
  12. Kata ulama\’ maksudnya hati yang sejahtera (بِقَلْبٍ سَلِيمٍ) itu ialah:
    i- hati yang suci dari syirik besar & kecil
    ii- sejahtera daripada penyakit syahwat dan syubhat.
  13. Semoga Allah s.w.t anugerahkan kepada kita kefahaman yang baik dan bersihkan hati dan jiwa kita daripada segala kekotoran yang boleh membawa kepada kerugian di Akhirat kelak!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 15- {wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara),} – ayat ini menetapkan bahawa sesungguhnya manusia itu fakir (أَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ) yakni sentiasa berhajat dan memerlukan kepada Allah s.w.t. Fakir dari segenap sudut, bermula dari awal kejadian, semasa hidup atas dunia samada dalam kekuatan, kesihatan, rezeki nikmat, menolak mara-bahaya, fakir kepada pendidikan dan tarbiyyah dan lain-lain.
    Yang paling besar ialah fakirnya kita kepada ketuhanan & ilmu, yakni fakir dalam segala-galanya!
  2. Ayat 15- {wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara),} – ayat ini pula menunjukkan kita fakir dan sangat berhajat bergantung kepada Allah s.w.t. Jika ada orang yang bergantung kepada makhluk maka orang itu orang tidak cerdik!
    Apatah lagi makhluk yang sudah mati dan di dalam kubur!
  3. Ayat 15- { sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.}- Dia yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji pada zat-Nya, nama-Nya, sifat-Nya Yang Terpuji. Sesiapa yang tidak puja dan puji Allah s.w.t bermakna dia tidak sayang kepada Allah s.w.t.
    Sayang kepada Allah bukan hanya dengan mengaku saja, pasti buktikan dengan amal perbuatan dan perkataan yang mencerminkannya!
    Lidah akan bergerak berdasarkan hati, bila hati ingatkan Tuhan, lidah akan bergerak. Bila hati terkunci akan terkuncilah juga yang lain-lain!
    Ya Allah bukakanlah kunci hatiku agar sentiasa ingat kepada-Mu dalam semua keadaan!
  4. Ayat 18- {orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan,} – orang yang mendengar nasihat Nabi s.a.w dan dapat manfaat darinya adalah orang yang beriman dan orang yang takut kepada Allah s.w.t. Dia buka telinganya untuk dengar, kemudian hatinya gerun dan terkesan kepada Allah s.w.t, kemudian lidah dan anggotanya bergerak melakukan ibadat ketaatan dan kebaikan kepada Allah s.w.t dan sesama manusia!
  5. Ayat 18- {Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri}- sesiapa yang membersihkan dirinya maka dia telah telah membersihkan hatinya dari dosa dan maksiat, dan semua itu untuk kebaikan dirinya sendiri.
    Marilah kita kembali kepada Allah s.w.t, bersih kita untuk diri kita sendiri!
    Kerana itu orang melakukan dosa dan maksiat dikatakan orang yang zalim kepada dirinya sendiri, kerana dengan dosa itu dia akan diazab.
    Orang yang bersihkan dirinya akan menyelamatkan dirinya sendiri!
  6. Ayat 18- {Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri}- ayat ini menggalakkan kita untuk menjadi baik dan membersihkan jiwa kita.
    Kata ulama\’ untuk mencapai akhlak dan jiwa yang mulia kita kena cari (كسب) bukan tunggu pemberian (وهب) dari Allah.
    Untuk baiki bersihkan diri kena usaha, bukan tunggu Allah s.w.t tukar hati kita begitu saja untuk jadi baik!

Kisah Sayyidina Umar r.a yang tegas dan gagah perkasa, diakhir usianya ada kesan lurah aliran air mata dipipinya, menangis kerana taku kepada Allah s.w.t!

Hati boleh diubah dengan syarat kita yang mahu berubah, matlamat dan objektif kena jelas dan benar.
Kekuatan jiwa (قوة العزيمة) untuk berubah adalah permulaan yang baik, hadis kata; penyesalan itu taubat!
Kita kena mulakan penghidupan baru dengan keinginan jiwa untuk berubah, jika tidak hanya sia-sia!

  1. Ayat 15- {kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara),}- Allah s.w.t letakkan kefakiran kita itu kepada Allah s.w.t, sandarkan kepada nama-Nya sendiri (إِلَى اللَّهِ).
    Ini kerana kefakiran manusia itu ada dua kategori:
    i- semua makhluk ini kafir atau muslim, berhajat kepada kuasa dan pentadbiran Allah s.w.t, ketuanan (Rububiyyah) Allah s.w.t. sebagai pentadbir dunia ini, pemberi rezeki dan semua urusan.

ii- Kefakiran kita kepada ketuhanan (Uluhiyyah) Allah s.w.t. Inilah kefakiran yang digunakan oleh para nabi, rasul dan hamba yang soleh, inilah kefakiran yang memberi manfaat dunia dan akhirat.
Kita fakir kepada ketuhanan Allah s.w.t, maka kita tidak sembah dan minta pertolongan & perlindungan selain daripada-Nya!
Semoga ini sentiasa terpasak dalam jiwa, kita menjadi orang yang takut kepada Allah semasa sunyi atau terang!

  1. Ayat 15- {sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.}- Allah s.w.t bawa sifatnya yang ma\’ruf (dikenali) di sini, (الْغَنِيُّ) Yang Maha Kaya, maksudnya kekayaan Allah s.w.t yang meliputi segalanya, kekayaan yang Mutlaq! Lalu Allah s.w.t kembarkan dengan sifat-Nya lagi Maha Terpuji (الْحَمِيدُ) yakni kaya yang terpuji!
    Kaya yang haq dengan sebenarnya dan maha terpuji dan pemurah, bukan kaya bakhil atau dengan cara yang batil!
  2. Ayat 18- {Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; – ayat ini menunjukkan sempurnanya keadilan Allah s.w.t, dimana dosa orang lain tidak akan ditanggung oleh orang lain KECUALI dosa bersebab seperti dalam hadis di atas tadi.
    Contoh penganjur majlis maksiat/pesta mungkar dan lain-lain kejahatan yang mengajak orang ramai ikut serta seperti yang dihurai tadi! Juga orang yang memula dan menyebarkan fitnah, tuduhan dan tohman kepada orang lain tanpa hak & kebenaran, tunggulah di akhirat kelak!
  3. Ayat 18- { orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan,} – orang yang betul-betul mendapat manfaat dari peringatan ini ialah takut kepada Allah s.w.t zahir & batin.
    Jika betul-betul batinnya (hati) takut kepada Allah s.w.t, zahirnya juga akan terserlah, tidak akan buat maksiat dan langar perintah Allah s.w.t. Dia akan mendirikan solat dengan sempurna, taat kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya secara Mutlaq!
    Bukan kata taat kepada Allah s.w.t tetapi tidak ikut semua perintah-Nya; itu adalah taat yang palsu!

Powered by BetterDocs