SURAH AS-SOFFAT : AYAT 6-10

\"\"

ALLAH HIASKAN LANGIT DENGAN BINTANG, SYAITAN TIDAK BOLEH NAIK KE LANGIT & ADA YANG CUBA MENCURI MAKLUMAT DIPANAH DENGAN SYUHUB.

Full video : https://youtu.be/D7ycyXHXvik

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini dari langit yang di atas, kita turun ke bawah sikit, iaitu langit dunia yang dihias dengan bintang-bintang untuk kita.
  2. Dalam siri lepas kita telah baca tentang muqaddimah dan intisari surah. Kita juga telah dengar tentang sifat malaikat yang bersaf-saf (الصَّافَّاتِ), yang menghalau awan ke tempat turunnya hujan atau yang melarang manusia dari berbuat maksiat (الزَّاجِرَاتِ) dan malaikat yang membaca al-Quran (التَّالِيَاتِ).
  3. Kemudian ditakrirkan bahawa Allah adalah Tuhan kamu Yang Esa. Jika ada yang mendakwa ada tuhan yang lain maka itu adalah yang batil.
  4. Malaikat itu tapaknya adalah di langit, kemudian mereka turun untuk menjalankan tugas yang diperintahkan Allah s.w.t di langit dunia atau di bumi.

AYAT 6- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGHIASI LANGIT YANG DEKAT (PADA PENGLIHATAN PENDUDUK BUMI) DENGAN HIASAN BINTANG-BINTANG.} (AS-SOFFAT 37:6)

  1. Allah s.w.t hiaskan langit dunia, iaitu langit yang paling rendah dengan penduduk bumi. Dihiasi dengan bintang-bintang sebagai perhiasan yang indah.
  2. Bintang ini ada dua fungsinya:
    i- sebagai perhiasan kepada langit. Indah pada pandangan kita.
    ii- sebagai lontaran panah api kepada syaitan yang naik ke langit.
  3. Ada juga ulama\’ yang berkata: Allah menciptakan bintang untuk 3 perkara:
    i- dijadikan sebagai penghias langit,
    ii- sebagai pelempar syaitan,
    iii- dan sebagai tanda alam petunjuk arah untuk manusia.
  4. Maka sesiapa yang menggali, mengkaji dan belajar ilmu tentang bintang, selain dari 3 perkara tersebut, dia keliru, menyia-nyiakan masanya, dan membebani diri dengan sesuatu yang sama sekali dia tidak memiliki ilmu tentangnya.
  5. Yang dimaksudkan dengan memahami selain 3 hal tersebut adalah menggunakan bintang untuk ilmu astrologi (bukan astronomi), seperti zodiak atau ramalan bintang.
  6. Bintang ini namanya dalam al-Quran kadang disebut sebagai nujum (النُّجُومَ) kawakib (الْكَوَاكِبِ) atau masabih- lampu (مَصَابِيحَ). Ulama\’ kata semuanya boleh dipakai dan mempunyai makna yang sama.
  7. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, بِمَصَابِيحَ-} (QS. Al-Mulk: 5)

AYAT 7- {DAN (KAMI PELIHARA URUSAN LANGIT ITU) DENGAN SERAPI-RAPI KAWALAN DARI (MASUK CAMPUR) TIAP-TIAP SYAITAN YANG DERHAKA;} (AS-SOFFAT 37:7)

  1. Allah s.w.t juga menyatakan bahawa langit itu dijaga dan dikawal dengan rapi daripada syaitan yang jahat, yang cuba mencuri maklumat dari langit. Syaitan ini kerjanya begitulah kemudian akan dibawa turun kepada sekutunya di bumi iaitu tok bomoh, dukun, ahli sihir, ahli nujum dan seumpamanya.
  2. Mereka ini pada asalnya bebas naik turun ke langit seperti malaikat juga. Tetapi selepas kebangkitan Rasulullah s.a.w mereka tidak lagi mendapat keistimewaan ini bahkan dihalang dari menaikinya, dan akan dikejar dengan panah api jika terlepas naik!
  3. Firman Allah s.w.t lagi tentang panahan api ini:
    i- {Kami menjaganya dari setiap syaitan yang terkutuk, kecuali syaitan yang mencuri-curi (berita) yang dapat didengar (dari malaikat) lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang.\”} (Al-Hijr: 17-18).
  4. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka siksa neraka yang menyala-nyala.} (Al-Mulk: 5)

AYAT 8- {(DENGAN ITU) MEREKA TIDAK DAPAT MEMASANG TELINGA MENDENGAR (PERCAKAPAN MALAIKAT) PENDUDUK LANGIT, DAN MEREKA PULA DIREJAM (DENGAN API) DARI SEGALA ARAH DAN PENJURU,} (AS-SOFFAT 37:8)

  1. Setelah dihalang ini, langit dijaga rapi oleh para malaikat, mereka syaitan tidak dapat lagi mencuri dengar, memasang telinga mendengar rahsia penduduk langit.
  2. Rahsia itu ialah apabila malaikat bercakap sesama mereka tentang apa yang perintahkan oleh Allah s.w.t samada dari segi perundangan atau taqdir Allah s.w.t. apabila syaitan dengar inilah dia akan gunakannya untuk disampaikan pula kepada para sekutunya dari kalangan manusia di bumi.
  3. Tetapi kadang-kadang ada juga yang terlepas naik lalu mendapat sedikit maklumat. Ini kerana hikmat Allah s.w.t mahu menguji manusia hamba-hamba-nya apabila apa yang dikatakan oleh bomoh dan diramal oleh ahli nujum benar dan menjadi sungguh! Walaupun pun yang benar itu hanya 1 manakala yang bohong adalah 100. Maka terserlah di sini siapa yang mudah percaya atau teguh imannya.
  4. Firman Allah, yang menjelaskan kebiasaan jin syaitan mencuri berita dari langit:
    وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَاءَ فَوَجَدْنَاهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا *
    وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ فَمَنْ يَسْتَمِعِ الْآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَصَدًا

{\”Sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahasia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya).\”} (Al-Jin: 8-9)

  1. Firman Allah juga: {Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat.} (Asy-Syu\’araa\’ 26:212)
  2. Ulama\’ tafsir membincangkan pula apakah maksudnya bintang-bintang itu menjaga langit daripada gangguan syaitan?
    i- antara jumlah bintang-bintang itu dipanggil (شِهَابٌ)- meteor. Apabila dilontar dan kena syaitan ia menjadi berlubang dan lemah, tetapi tidak mati lagi.
  3. Hadis-hadis dari Rasulullah s.a.w tentang kawalan di langit ini:
    i- Riwayat dari U.M Aisyah r.a bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: \”Sesungguhnya para malaikat turun ke awan, lalu menyebutkan perkara yang telah ditetapkan di langit. Syaitan lalu berusaha mencuri berita tersebut (dengan memasang telinga mencuri dengar) hingga berhasil mendengarnya. Lalu ia membisikkannya kepada dukun, yang lalu mencampurnya (maklumat benar itu) dengan 100 kedustaan dari diri mereka sendiri.\” [HR Bukhari].
  4. Dari Ibnu Abbas r.a, beliau meriwayatkan,
    حَدَّثَنِي رِجَالٌ مِنَ الْأَنْصَارِ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّهُمْ كَانُوا جُلُوسًا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ، إِذْ رُمِيَ بِنَجْمٍ؛ فَذَكَرَ الْحَدِيثَ

\”Beberapa orang Ansar dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w bercerita kepadaku, bahwa mereka pernah duduk-duduk bersama Nabi s.a.w pada suatu malam. Tiba-tiba tiba-tiba sebuah meteor (bintang jatuh) menunjukkan cahaya yang menyilaukan. Rasulullah S.A.W kemudian bertanya kepada mereka apa yang menjadi kepercayaan orang-orang jahiliyyah dulu ketika ada fenomena bintang jatuh seperti itu.

Para sahabat menjawab mereka biasanya mengatakan (anggapan jahiliyyah) pada malam itu seorang bayi hebat telah lahir atau seorang lelaki hebat meninggal dunia.

Rasulullah s.a.w lalu bersabda menjelaskan: \”Bintang jatuh itu tidaklah dilontar dengan sebab kematian seseorang dan tidak pula kerana lahirnya seseorang. Akan tetapi Tuhan kita \’Azza wa Jalla jika Dia memutuskan suatu perkara maka para malaikat pemikul \’Arasy bertasbih, sehingga malaikat penghuni langit yang di bawahnya juga bertasbih. Suara tasbih tersebut bergema turun sehingga tiba ke langit dunia.

Para malaikat yang berada di bawah \’Arasy bertanya, Apa yang difirmankan oleh Tuhan kamu? Mereka pun mengkhabarkan firman itu, lalu para malaikat penghuni langit saling mengkhabarkannya sampai kepada malaikat penghuni langit dunia. Maka para jin mencuri dengar firman tersebut dan menyampaikannya kepada para wali dibawahnya (dukun dan seumpamanya). Maka mana-mana maklumat yang benar akan berlaku sungguh, tetapi mereka pembohong, mereka akan menokok-tambahnya dengan pembohongan.\” [HR. Muslim no. 2229 di dalam Sahihnya].

  1. Hadis riwayat Ibnu Abbas lagi: \’\’Pada mulanya, kaum jin boleh mendengar wahyu dan maklumat dari langit, mereka tidak dihalanng untuk ke atasnya dan mendengar kata-kata malaikat lalu mereka menambahkannya dengan 10 kali ganda; apa yang didengarnya adalah benar, namun apa yang ditambahkannya adalah kebohongan.

Namun apabila Rasulullah S.A.W diutuskan, mereka tidak dapat lagi mendengar maklumat itu. Bahkan, jika ada golongan jin yang cuba naik mendapatkan maklumat ia akan dilempar dengan panah-panah api (tahi bintang/meteor) sehingga membakar segala apa yang ada padanya lalu tembus.
Lalu golongan jin melaporkan hal itu kepada ketua mereka iblis. Ia berkata; \’\’Pasti ada sesuatu telah terjadi kerana hal ini tidak pernah berlaku. Lalu ia mengirimkan pasukan tenteranya untuk pergi menyiasat, lalu mereka terjumpa Rasulullah S.A.W yang ketika itu sedang solat malam di Wadi Nakhlah, (jalan balik ke Makkah dari Taif). Mereka pun segera kembali memberi laporan kepada iblis dan ia berkata, \’\’Inilah peristiwa yang sedang terjadi di bumi yang menyekatkan kita tersekat di langit!\’\’ [HR at-Tirmizi & Ahmad, hadis sahih].

Inilah hadis yang menceritakan benda ghaib yang mudah untuk kita percayai dan terima kerana dari Rasulullah s.a.w! Jika orang lain macamana nak percaya kerana tiada autoriti!

  1. Firman Allah s.w.t: {dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru,}- kata ulama\’ adakah sebelum Rasulullah s.a.w diutus mereka syaitan ini bebas dan tidak dilontar?
    Ulama\’ berpendapat sudah ada, cuma tidak kuat, hanya selepas Rasulullah s.a.w dibangkitkan barulah kawalan di langit bertambah rapi dan lontaran panah bertambah kuat walaupun ada yang terlepas. Ini kerana Allah s.w.t mahu menguji keimanan dan kepercayaan manusia terhadap ramalan dan tukang sihir!

AYAT 9- {UNTUK MENGUSIR MEREKA; DAN MEREKA PULA BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK PUTUS-PUTUS.} (AS-SOFFAT 37:9)

  1. Allah s.w.t menyatakan bahawa tujuan panah syihab itu (شِهَاب) ialah untuk mengusir syaitan daripada naik ke langit lalu mencuri dengar rahsia.
  2. Bagi syaitan itu pula azab yang berterusan (عَذَابٌ وَاصِبٌ).
    Ulama\’ kata ini adalah di akhirat kelak. Manakala semasa di dunia ini apabila kena panah itu mereka hanya akan menjadi lemah dan sakit sahaja.
  3. Kata ulama\’ juga apabila mereka kena panah itu mereka akan sakit sehingga ke hari Kiamat, ia luka tetapi tidak mati lagi. Ia akan menjadi lemah di dunia ini akibat kena bahan panahan api tadi.
  4. Tetapi di akhirat kelak mereka akan mendapat balasan yang berterusan dan berkekalan, yang tiada akhir lagi.

AYAT 10- {KECUALI SESIAPA DI ANTARA SYAITAN-SYAITAN ITU YANG CURI MENDENGAR MANA-MANA PERCAKAPAN (MALAIKAT), MAKA IA DIBURU DAN DIIKUTI (DENGAN REJAMAN) API YANG MENJULANG LAGI MENEMBUSI.} (AS-SOFFAT 37:10)

  1. Syeikh Syanqiti berkata langit memang dijaga rapi, tetapi ada juga seekor dua syaitan yang terlepas naik sehingga dapat mencuri dengar maklumat, lalu diberikan kepada sekutunya dari kalangan ahli nujum dan sihir. Maka berlakulah seperti yang kita dengar dalam hadis tadi.
  2. Syaitan ini ada 3 kategori:
    i- yang tidak sempat naik lansung ke langit.
    ii- yang sempat naik tetapi kena panah dan menjadi lemah.
    iii- yang sempat naik dan curi dengar sedikit kemudian lari turun tanpa kena panah.
    Ini semua untuk menguji kita, maka berlakulah apa yang diceritakan tentang tukang sihir dan ahli nujum itu.
  3. Apakah maksud rejaman api yang menjulang (شِهَابٌ ثَاقِبٌ) lagi menembusi itu? Ibnu Abbas r.a berkata syaitan itu kena panah dan menembusinya lalu dia menjadi lemah dan tidak akan dapat naik lagi ke langit. Tetapi dia tidak akan mati lagi, hidup sehingga ke hari Kiamat!
  4. Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda,

إِذَا قَضَى اللَّهُ الْأَمْرَ فِي السَّمَاءِ ضَرَبَتْ الْمَلَائِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ كَأَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صَفْوَانٍ ، فَإِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ؟ قَالُوا لِلَّذِي قَالَ : الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ . فَيَسْمَعُهَا مُسْتَرِقُ السَّمْعِ وَمُسْتَرِقُ السَّمْعِ هَكَذَا بَعْضُهُ فَوْقَ بَعْضٍ ، فَيَسْمَعُ الْكَلِمَةَ فَيُلْقِيهَا إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ثُمَّ يُلْقِيهَا الْآخَرُ إِلَى مَنْ تَحْتَهُ حَتَّى يُلْقِيَهَا عَلَى لِسَانِ السَّاحِرِ أَوْ الْكَاهِنِ ، فَرُبَّمَا أَدْرَكَ الشِّهَابُ قَبْلَ أَنْ يُلْقِيَهَا وَرُبَّمَا أَلْقَاهَا قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُ ، فَيَكْذِبُ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ ، فَيُقَالُ أَلَيْسَ قَدْ قَالَ لَنَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا كَذَا وَكَذَا ؟ فَيُصَدَّقُ بِتِلْكَ الْكَلِمَةِ الَّتِي سَمِعَ مِنْ السَّمَاءِ

\”Apabila Allah menetapkan suatu ketetapan di langit maka para malaikat mengepakkan sayap mereka kerana tunduk khusyuk mendengar terhadap firman-Nya, seperti layaknya suara rantai yang digesek di atas batu. Setelah rasa takut itu dicabut dari hati para malaikat, mereka bertanya-tanya: \’Apa yang telah difirmankan oleh Tuhan kamu?\’ Malaikat yang mendengar menjawab, \’Dia berfirman yang benar. Dan Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.\’ Bisikan malaikat ini didengar oleh jin pencuri berita.

Jin pencuri berita susunan duduknya bertingkat-tingkat, (jin yang bawah menjadi penopang bagi jin yang di atasnya, bertingkat terus ke atas sehingga ke langit). Jin yang paling atas mendengar ucapan malaikat, kemudian disampaikan ke jin bawahnya, dan seterusnya, hingga jin yang paling bawah menyampaikannya kepada tukang sihir atau dukun.

Terkadang syaitan pengintip berita itu terkena api sebelum sempat menyampaikan berita itu kepada jin yang berada di bawahnya.
Terkadang pula syaitan itu sempat menyampaikan berita itu sebelum terkena api. Lalu dengan berita yang didengarnya itulah tukang sihir atau dukun membuat seratus kedustaan.

Orang-orang yang mendatangi tukang sihir atau dukun pun mengatakan, \”Bukankah pada hari ini dan itu, dia telah mengkhabarkan kepada kita bahawa akan terjadi demikian dan demikian?\” Akibatnya, tukang sihir dan dukun itu pun dipercayai kerana satu kalimat yang benar yang, telah didengarnya yang dicuri dari langit. (HR. Bukhari 4800).

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 6- {Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang.}- menunjukkan penjagaan Allah s.w.t terhadap manusia, langit sebagai penutup atas kepala kita dihiasi supaya cerah dan dapat menjadi pedoman, petunjuk arah. Cuba bayangkan jika langit gelap gelemat dan suram? Pastilah sukar bagi para musafir dan mereka yang terpaksa berada di luar rumah mencari arah dan cahaya.
  2. Ayat 6- {Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang.}- Allah s.w.t jadikan bintang-bintang itu fungsinya ada yang zahir dan batin.
    i- zahir sebagai perhiasan langit yang kita nampak.
    ii- yang batinnya sebagai pelontar syaitan, ini kita tidak nampak.
  3. Persoalannya: Allah jadikan golongan jin dan iblis syaitan daripada api. Jadi bagaimana lontaran panah api boleh membakar dan menyakiti syaitan yang dicipta dari api itu juga?

Jawapannya ada beberapa pendapat:
i- asal kejadian jin dinisbahkan kepada api tetapi mereka bukan api yang hakiki; sama seperti kita manusia yang dinisbahkan berasal dari tanah, tetapi kita bukan tanah secara hakiki lagi.
ii- syaitan itu hanyalah api yang lemah manakala panahan malaikat itu api yang kuat dan sangat berkuasa.
iii- jin itu walaupun daripada api tetapi ia adalah api jin, bukan api biasa yang menyala dan panas seperti lontaran itu.

  1. Ayat 7- {Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka;}- syaitan itu makhluk yang degil dan keras kepala, (gedebey), tidak dengar kata dan takut kepada ancaman dan tidak mengambil pengajaran kepada apa yang telah berlaku Yang ini kena panah yang lain pula cuba naik. Mereka adalah makhluk halus yang ringan dapat turun naik ke langit dengan mudah dan cepat.
  2. Ayat 10- {Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi.}- syaitan itu ada yang terlepas naik, ini semua adalah dengan kuasa dan kehendak Allah.
    Mana yang terlepas maka ia akan diburu dan dilontar dengan panah api sehingga menembusinya. Ini menunjukkan syaitan itu berjisim tetapi jisim yang halus, ia boleh masuk ke dalam salur darah manusia sehingga ke hati! Mereka juga dapat turun naik ke langit dengan mudah.

Powered by BetterDocs