SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 1-4

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH TURUNKAN AL-QURAN YANG BENAR FAKTANYA & KEBATILAN ANGGAPAN KAFIR BERHALA SEBAGAI PERANTARA.

Full video : https://youtu.be/3ja85veDM2U

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini, pagi Ahad 11 Rajab 1443H bersamaan 13hb Februari 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Az-Zumar – سورة الزمر.
  2. Surah Az-Zumar, adalah surah ke-39 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah Saad dalam juz ke 23. Ia mengandungi 75 ayat, yang membincangkan tentang dalil wahdaniyyah (Keesaan) Allah s.w.t dan bahawa Kebangkitan semula itu benar!
  3. Para ulama\’ tafsir mengatakan surah ini diturunkan di Makkah iaitu sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah maka ia adalah surah Makkiyyah. Tetapi ayatnya panjang berbeza dengan surah sebelumnya.
  4. Dinamakan Surah Az-Zumar (سورة الزمر), kerana Allah s.w.t menyebut perkataan Az-Zumar yang bermaksud kumpulan manusia yang berpuak-puak, yang berpasukan.
    Dalam ayat 71 & 73 diisebutkan perihal satu kumpulan (زُمَرًا) orang yang beriman yang dibawa ke syurga, dan satu kumpulan orang kafir (زُمَرًا) yang dibawa ke neraka.
    Dua kumpulan ini dibawa untuk menerima balasan masing-masing.
  5. Hadis riwayat dari UM Aisyah r.a:
    [عن عائشة أم المؤمنين:] كان رسولُ اللهِ ﷺ يصومُ حتى نقولَ ما يُريدُ أنْ يُفطِرَ، ويُفطِرُ حتى نقولَ ما يُريدُ أنْ يصومَ، وكان يَقرَأُ كلَّ ليلةٍ ببَني إسرائيلَ، والزُّمَرِ.
    شعيب الأرنؤوط (ت ١٤٣٨)، تخريج المسند 7٤٩٠٨ • صحيح دون قوله: \”كان يقرأ\” فحسن
    Maksudnya: Bahawa Rasulullah s.a.w pernah berpuasa sunat (dalam tempoh yang panjang) sehingga kami menyangka bahawa Baginda tidak akan berbuka terus, kemudian ada masanya Baginda tidak berpuasa (pada waktu yang lama juga) sehingga kami menyangka bahawa Baginda tidak akan berpuasa lagi.
    Dan Rasulullah s.a.w membaca pada setiap malam surah Bani Israil (al-Isra\’) dan surah az-Zumar.\” [HR Ahmad- Hasan].

Rasulullah s.a.w membaca dua surah tersebut dalam solat malamnya, bukan amalan sebelum tidur seperti surah al-Mulk.

  1. Hadis ini menjadi dalil surah ini namanya Surah Az-Zumar (سورة الزمر), sekaligus tentang kelebihannya yang menjadi pilihan Rasulullah s.a.w untuk dibaca dalam solat malamnya.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Sebahagian besarnya memperkatakan soal Tauhid dengan berbagai cara. Ini agar dapat meresap dan terpasak dalam hati manusia. Maka kita belajar al-Quran dan tauhid biar ada kesannya, memahami dan menghayatinya.
    Disertakan dengan pengajaran dan tamsil (contoh bandingan) yang menyedarkan hati agar dapat menerima dan mematuhinya.
  2. Allah s.w.t juga terangkan tentang keadaan orang beriman yang berhati murni, yang sentiasa menjauhkan syirik dan taat bulat-bulat kepada Allah.
    Bahawa mereka akan menerima berita yang menggembirakan sebaik saja mereka meninggal dunia. Orang beriman bila nak mati saja sudah akan nampak tempatnya nanti!

Hadis- Rasulullah s.a.w bersabda,
مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ
\”Siapa suka berjumpa dengan Allah, maka Allah suka berjumpa dengan-Nya. dan siapa yang benci dengan Allah maka Allah benci berjumpa dengannya.\” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

  1. Mereka yang demikianlah sifatnya ialah mereka yang berusaha mendengar perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut yang yang sebaiknya untuk diikuti pada hukum agama.
    Jangan dengar tetapi pilih yang buruk, yang baik dicampak ke tepi!
    Mereka itulah yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan berakal sempurna.
  2. Allah s.w.t menegaskan bahawa Dia telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain, tentang benarnya, indahnya yang berulang keterangannya dengan pelbagai cara.
    Yang apabila orang yang baik dan hidup hatinya mendengarnya, kulitnya menjadi seram sehingga naik bulu roma, kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka untuk menerima ajaran dan rahmat Allah.
  3. Kitab suci al-Quran ini adalah kitab hidayah petunjuk Allah s.w.t. Allah memberi hidayah Quran-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut undang-undang peraturannya.
  4. Maka sebaliknya sesiapa yang sesat kerana pilihannya yang salah maka tiada siapa yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya lagi!
  5. Mengenai golongan yang melampaui batas terhadap diri sendiri pula, disebabkan dengan perbuatan maksiat dan dosa, Allah s.w.t Yang Maha Melimpah-limpah rahmat-Nya, memerintahkan agar Rasulullah s.a.w menyampaikan kepada mereka agar jangan berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa kecuali dosa syirik yang tidak diampunkan!
    Lalu mereka diseru agar segera bertaubat dan berserah diri bulat-bulat kepada Allah s.w.t sebelum datangnya azab kerana sesudah itu mereka tidak akan diberikan pertolongan lagi!
  6. Surah ini diakhiri dengan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku di hari akhirat serta balasan yang akan diterima oleh orang yang beriman dan mereka yang kufur dengan cara berpasuk-pasukan iaitu az-Zumar (الزمر ).

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH :

  1. Mengisbatkan keesaaan Allah s.w.t dan membatalkan segala bentuk syirik.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t mahu sebut kedudukan al-Quran yang besar. Serta pujian kepada Allah s.w.t yang menurunkan al-Quran kepada Nabi-Nya s.a.w dengan benar dan tiada syak keraguan akannya.
  2. Allah perintahkan supaya beribadat ikhlas hanya kepada Allah dan menolak segala keraguan dan hujjah yang dibawa oleh orang kafir dan syirik. Allah s.w.t juga bawa beberapa dalil akan keesaan-Nya seperti penciptaan langit dan bumi, susun perjalanan matahari & bulan dengan begitu teratur.
    Menjadikan manusia serta pelbagai bahan kegunaan untuk manusia di atas muka bumi ini dan banyak lagi.
  3. Perbandingan antara keadaan orang kafir dan mukmin serta akhir kesudahan yang baik bagi orang yang sabar. Iaitu yang sabar dalam melakukan ketaatan, sabar dalam meninggalkan maksiat dan bersabar atas ujian yang menimpa.
  4. Menyebut beberapa Taujihiyyat- bimbingan & tunjuk ajar kepada orang beriman dan menyatakan kesudahan yang baik bagi mereka. Serta janji siksa dan azab bagi orang kafir dan azab yang disediakan bagi mereka.
  5. Menyatakan sebahagian dalil kuasa dan keesaan Allah s.w.t dalam qudrat dan wahdaniyyah.
  6. Allah s.w.t sebut Dia yang menurunkan al-Quran. Allah juga memuji al-Quran dan menyatakan sikap orang yang beriman apabila bersama al-Quran. Ya Allah jadikan kami ahli Quran, yang mencintai, belajar dan beramal dengannya!
  7. Allah s.w.t sebut juga sebahagian dari tanda-tanda kekuasan Allah s.w.t apabila menyatakan hujjah balas kepada dakwaan jahat puak orang kafir yang sesat dan menyatakan kesudahan yang buruk bagi mereka.
  8. Allah s.w.t sebut keadaan manusia ketika susah dan ketika senang!
    Apakah mereka ingat Allah s.w.t dalam semua keadaan.
    Apakah mereka kenal Allah s.w.t dan masjid semasa ini!
    Jangan kata ingat ketika susah sahaja tetapi ketika senang lupa!
  9. Beberapa ayat yang menyebut betapa luasnya rahmat Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Serta seruan agar segera berataubat kembali kepada Allah s.w.t sebelum menyesal pada hari Kiamat.
  10. Allah s.w.t bentangkan sebahagian keadaan yang akan berlaku pada hari Kiamat. Apakah keadaan dan apa yang disediakan bagi orang mukmin dan apa yang disediakan bagi orang kafir.

Diakhiri dengan tasbih para malaikat yang sentiasa mengelilingi Arasy, sentiasa bertasbih memuji Allah s.w.t
Serta diakhiri surah ini dengan pujian kepada Allah s.w.t Tuhan Pemilik seluruh alam ini!

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {TURUNNYA KITAB AL-QURAN INI DARI ALLAH, YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AZ-ZUMAR 39:1)

  1. Turunnya kitab al-Quran ini dari Allah s.w.t, kepada Rasulullah s.a.w.
  2. Dia-lah Allah, Tuhan yang sifat-Nya:
    i- Yang Maha Kuasa, (الْعَزِيزِ).
    ii- lagi Maha Bijaksana, (الْحَكِيمِ).
  3. Maka pastilah al-Quran itu penuh dengan kesempurnaan dan kebenaran, penuh hikmat tanpa sia-sia.

AYAT 2- {SESUNGGUHNYA KAMI MENURUNKAN AL-QURAN INI KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) DENGAN MEMBAWA KEBENARAN; OLEH ITU HENDAKLAH ENGKAU MENYEMBAH ALLAH DENGAN MENGIKHLASKAN SEGALA IBADAT DAN BAWAANMU KEPADANYA.} (AZ-ZUMAR 39:2)

  1. Al-Quran ini mengandungi kebenaran, cerita yang benar, hukum-hakam yang adil serta pegangan yang benar tentang Allah & Tauhid. Juga tentang perbuatan syirik yang menyeleweng, yang menyimpang dari jalan Allah. Al-Quran menceritakan segalanya kepada kita.
  2. Oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata dengan mengikhlaskan kepada-Nya segala ibadat dan bawaan kamu. Yakni kita dah kenal tuhan, maka sembahlah Allah s.w.t, bukan yang lain.
  3. Al-Quran adalah sumber hidayah, mengandungi maklumat yang benar iaitu perjalanan agama yang benar ini.
    Jika nak tahu apa yang Allah s.w.t perintahkan dan larang kita (hukum-hakam), maka belajarlah al-Quran. Hayati dan fahaminya bukan setakat baca, kempen dan slogan sahaja!
    Amal amali (praktikal al-Quran itu penting).
  4. Jangan tunggu ada masa saja baru nak baca al-Quran. Kita kena peruntukkan satu masa khas, untuk beri masa yang cukup kepada al-Quran.

AYAT 3- {INGATLAH! (HAK YANG WAJIB DIPERSEMBAHKAN) KEPADA ALLAH IALAH SEGALA IBADAT DAN BAWAAN YANG SUCI BERSIH (DARI SEGALA RUPA SYIRIK). DAN ORANG-ORANG MUSYRIK YANG MENGAMBIL SELAIN DARI ALLAH UNTUK MENJADI PELINDUNG DAN PENOLONG (SAMBIL BERKATA): \”KAMI TIDAK MENYEMBAH ATAU MEMUJANYA MELAINKAN SUPAYA MEREKA MENDAMPINGKAN KAMI KEPADA ALLAH SEHAMPIR-HAMPIRNYA\”, – SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENGHUKUM DI ANTARA MEREKA (DENGAN ORANG-ORANG YANG TIDAK MELAKUKAN SYIRIK) TENTANG APA YANG MEREKA BERSELISIHAN PADANYA. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG TETAP BERDUSTA (MENGATAKAN YANG BUKAN-BUKAN), LAGI SENTIASA KUFUR (DENGAN MELAKUKAN SYIRIK).} (AZ-ZUMAR 39:3)

  1. Kita kena ingat hak yang wajib dipersembahkan kepada Allah s.w.t adalah ibadat dan ketaatan yang murni daripada segala bentuk syirik, riya\’ dan takabbur.
    Kita ikhlas beribadat semata-mata kerana Allah s.w.t dan mengikut cara yang diajar oleh Rasulullah s.a.w!
  2. Hadis – dari Abu Umamah al-Bahili r.a: Seorang lelaki datang dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Apa hukum seorang lelaki yang keluar berjihad kerana mahu dua-dua (dunia dan akhirat), pahala kerana Allah s.w.t dan juga kerana mahu nama, disebut orang? Maka apa yang dia dapat? Rasulullah s.a.w menjawab: \”Jika begitu dia tidak akan dapat apa-apa.\”
    Sahabat itu mengulang sebanyak tiga kali soalannya.
    Rasulullah s.a.w menjawab yang sama juga sebanyak tiga kali: \”Jika begitu dia tidak akan dapat apa-apa\”, kemudian menambah pada yang ketiga: \”Saudara, sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan menerima mana-mana amalan kecuali yang betul-betul ikhlas kerana Allah s.w.t dan melakukannya semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.\” [HR an-Nasa\’ie].
  3. Alhamdulillah inilah motivasi hidup kita, wajib sentiasa perbetulkan niat, muhasabah diri jika ada amalan sesuatu yang tidak kena, lari dari landasan, mahu menyeleweng, maka cepat-cepat perbetulkannya!
  4. Hujjah puak kafir yang menyembah selain daripada Allah itu pula: Bahawa mereka menyembah berhala semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t melalui berhala itu kononnya!
  5. Yakni mereka kata mereka bukan tidak percaya kepada Tuhan, mereka tahu ada Allah, cuma berhala itu sebagai orang tengah, sebagai orang tengah yang akan menyampaikan hajat mereka.
  6. Kita orang mukmin orang tengah kita ialah Rasulullah s.a.w, para sahabat, tabi\’in dan ulama\’ yang benar yang menyampaikan dari Rasulullah s.a.w kepada jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Ini hanya orang tengah untuk kita memahami agama, TETAPI bukan orang tengah untuk meminta memohon pertolongan kepada Allah! Ini kena terus direct kepada Allah s.w.t!
  7. Sesungguhnya Allah s.w.t akan menghukum antara orang yang beriman (murni tauhid) dan yang syirik, serta yang antara keduanya (yang kata sebagai perantaraan kepada Allah) dengan hukuman yang berbeza.
  8. Allah s.w.t sekali-kali tidak akan memberi taufik, petunjuk jalan yang benar kepada mereka yang sentiasa berdusta kepada Allah s.w.t, yang mendakwa bermacam kepalsuan atas nama Allah, tuduhan yang bukan-bukan lagi sentiasa kufur dengan melakukan syirik Allah s.w.t!

AYAT 4- {KALAULAH ALLAH HENDAK MEMPUNYAI ANAK, TENTULAH IA MEMILIH MANA-MANA YANG DIKEHENDAKINYA DARI MAKHLUK-MAKHLUK YANG DICIPTAKANNYA; MAHA SUCILAH IA (DARI MENGHENDAKI YANG DEMIKIAN). DIA LAH ALLAH, YANG MAHA ESA, LAGI YANG MENGATASI KEKUASAANNYA SEGALA-GALANYA.} (AZ-ZUMAR 39:4)

  1. Allah s.w.t menegaskan JIKA Allah s.w.t ada anak, pasti Dia akan memilih mana-mana makhluk yang dikehendaki-Nya. Tidak perlu tunggu kamu beri atau pilih seperti malaikat, anak perempuan dan lain-lain yang tidak sepatutnya kepada Allah s.w.t, yang kamu pun tidak mahu!
  2. Maha Suci Allah (سُبْحَانَ اللَّهُ) dari memerlukan semua itu, Dia tidak perlu anak atau isteri atau apa saja seperti makhluk lain ciptaan-Nya!
  3. Allah s.w.t yang Maha gagah Perkasa (الْقَهَّارُ), kuasa-Nya mengatasi segala makhluk yang ada di atas muka bumi ini serta segala perkara/urusan yang ada atas dunia ini!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 1- {Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} – Kitab al-Quran ini turun dari Allah s.w.t Yang Maha Kuasa (الْعَزِيزِ), lagi Maha Bijaksana (الْحَكِيمِ). Allah s.w.t sebut dua sifatnya ini apabila menyatakan tentang al-Quran yang diturunkannya.

Sebagaimana dalam firman Allah s.w.t:
{Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.} (Al-Baqarah 2:269)

Maksudnya: Al-Quran ini datang dari Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana, maknanya tidak ada keraguan di dalamnya, Allah s.w.t tidak menjadikan semuanya dengan sia-sia, undang-undang dan hukum-hakamnya sempurna dan lengkap dalam segala aspek kehidupan manusia. Ini supaya kita yakin dan percaya ia datang dari Allah al-Hakim!

  1. Ayat 2- {Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya.}- ibadat yang dimaksudkan di sini ialah yang berkait dengan agama, dosa dan pahala. Maka menjadi kewajipan bagi seorang manusia untuk betul-betul ikhlaskan amal ibadatnya agar ia diterima oleh Allah s.w.t!

Kata ulama\’ Fudhail bin Iyadh, syarat qabul (diterima) ibadat itu mesti:
i- ikhlas kepada Allah s.w.t.
ii- bertepatan dengan Sunnah Nabi s.a.w.

Kenapa dalam surah ini ada dua ayat yang seolah bertentangan maknanya?
i- Lafaz {Kami turunkan (أَنْزَلْنَا)} ayat 2 – anzal- bermakna al-Quran itu turun sekaligus.
ii- manakala dalam ayat 1- {{Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah – تَنْزِيلُ } tanzil ini maknanya al-Quran turun secara berperingkat.

Penjelasan:
i- Yakni mula-mula al-Quran turun sekaligus semuanya dari Lauh Mahfuz ke langit dunia. Malaikat bawa turun sebuah al-Quran yang sempurna dari Lauh Mahfuz lalu disimpan di langit dunia.
ii- Kemudian ia turun secara berperingkat dari langit dunia kepada Rasulullah s.a.w di bumi. Iaitu ia diturunkan oleh malaikat Jibril kepada Baginda s.a.w secara berperingkat, mengikut keperluan suasana dan keadaan Rasulullah s.a.w dan umatnya.
Maka dua ayat ini tidak bercanggah dan bertentangan maksudnya.

  1. Ayat 3- {Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).}- kata ulama\’ tadabbur; ayat ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t larang dari sifat mendustakan dan kufur!
    Rasulullah SAW bersabda, \”Jauhilah pembohongan, kerana pembohongan membawa kepada keburukan, dan keburukan akan membawa kepada neraka. Dan sungguh, jika seseorang berbohong dan terbiasa dalam pembohongan, sehingga di sisi Allah ia akan ditulis sebagai seorang pembohong.\”

\”Dan hendaklah kamu benar & jujur, sebab jujur membawa kepada kebaikan, dan kebaikan akan membawa kepada syurga. Dan sungguh, jika seseorang berlaku jujur dan terbiasa dalam kejujuran sehingga di sisi Allah ia akan ditulis sebagai orang yang jujur & benar.\” (HR Abu Daud).

Ini juga menunjukkan sesiapa yang benar akan mendapat petunjuk hidayah dari Allah s.w.t. Seorang lelaki dan perempuan yang sentiasa bercakap benar, Allah s.w.t akan menulisnya sebagai seorang yang BENAR!

  1. Ayat 3- {Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong}- Manusia ini secara semulajadinya akan tunduk kepada sesuatu yang dia rasa besar dan berkuasa, seperti puak kafir yang merasakan ada makhluk lain yang berkuasa atas dunia ini, kerana itu mereka menyembah selain dari Allah s.w.t. Kita orang mukmin kita yakin bahawa Allah s.w.t yang Maha berkuasa maka kita sembah Allah s.w.t! Kita jangan sekali-kali merasai ada sesuatu kuasa lain di alam ini!

Kata ulama\’ tafsir: Puak Musyrikin Makkah pada zaman Rasulullah s.a.w, juga mengakui akan kewujudan Allah s.w.t, cuma mereka meyembah berhala dengan iktikad sebagai orang tengah, perantaraan antara mereka dengan Tuhan!

Berhala sebagai orang tengah untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Sedangkan berhala itu tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk memberi manfaat atau darurat apatah lagi sebagai perantaraan kepada Allah s.w.t!

Untuk selamat kita ikutlah jalan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w, Baginda tidak mengajar kita mengambil perantaraan.
Dan jika nak berdoa dan meminta permohonan, minta terus kepada Allah s.w.t, tanpa perantaraan atau orang tengah.

  1. Ayat 3- {sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya.}- sesungguhnya Allah s.w.t akan bagi hukuman bagi orang syirik dan tidak melakukan syirik. ini kerana orang yang syirik akan berpegang dengan pandangannya itu. Caranya kita kena buka minda mereka dulu untuk melihat kebenaran, perbetulkan fikiran bahawa faham dan perbuatan mereka itu salah. Masalahnya mereka tidak rasa mereka salah, bahkan kita pula yang akan dikatakan salah dan dipukul oleh mereka dengan hujjah mereka.

Allah s.w.t tidak memberi petunjuk kepada orang yang kufur dan syirik, semua itu akan membawa mereka ke neraka.

Kita kena yakin bahawa apa yang Allah s.w.t turunkan itu adalah hak dan benar, apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu adalah sesuatu benar yang maka kita ikutlah!

Powered by BetterDocs