SURAH SABA\’ : AYAT 43-45

\"\"

PUAK KAFIR TUDUH NABI S.A.W PESONGKAN MEREKA, QURAISY BELUM PERNAH TERIMA KITAB & UMAT DAHULU LEBIH KUAT DARI MEREKA.

Full video : https://youtu.be/7cwYw8W_5TA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita masih lagi berdepan dengan kejahatan kaum kafir yang membuat pelbagai tuduhan kepada Rasulullah s.a.w.
    Allah s.w.t sebut di sini beberapa lagi kebejatan dan keburukan sifat mereka.
  2. Maka berlakulah pertembungan antara yang haq dan yang batil, yang tidak pernah padam semenjak adanya rasul sehingga ke hari kiamat.
  3. Maka kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w yang menerima al-Quran ini, yang menerima Sunnah Nabi s.a.w, mesti bangkit mempertahankan dua wahyu ini, berpandukan kepada kefahaman yang telah dihuraikan oleh ulama\’ kita para salafus-soleh dan ulama\’ mutakhir yang muktabar, yang berjalan di atas manhaj mereka, insya\’ Allah.
  4. Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t menyatakan bahawa kaum kafir musyrikin itu adalah penghuni neraka pada hari Kiamat kelak.
    Juga dikatakan kepada mereka rasakanlah azab neraka yang kamu dustakan dulu! Ayat perli untuk menambahkan lagi azab penyiksaan mental selain dari azab siksa fizikal.
  5. Dalam ayat hari ini pula Allah s.w.t nyatakan sebab kenapa mereka patut diazab!
    Begitulah apabila Allah s.w.t menyatakan sesuatu hukum atau azab akan dinyatakan terus sebabnya supaya tidak menimbulkan pertikaian dan orang dapat menerima kelogikannya. Ia juga menunjukkan keadilan Allah s.w.t.

AYAT 43 – {DAN APABILA DIBACAKAN KEPADA MEREKA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI YANG JELAS NYATA, BERKATALAH MEREKA (SESAMA SENDIRI): \”ORANG INI (MUHAMMAD) TIDAK LAIN HANYALAH SEORANG LELAKI YANG HENDAK MENGHALANG KAMU DARIPADA MENYEMBAH APA YANG TELAH DISEMBAH OLEH DATUK NENEK KAMU\”; DAN MEREKA BERKATA LAGI: (AL-QURAN) INI TIDAK LAIN HANYALAH KATA-KATA DUSTA YANG DIREKA-REKA\”; DAN BERKATALAH ORANG-ORANG YANG KAFIR TERHADAP KEBENARAN KETIKA DATANGNYA KEPADA MEREKA: \”INI TIDAK LAIN HANYALAH SIHIR YANG TERANG NYATA\”.} (SABA\’ 34:43)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t memberikan 3 sebab perbuatan jahat mereka yang menyebabkan mereka patut dan layak di azab itu.
  2. Apabila Rasulullah s.a.w. membacakan kepada orang-orang kafir ayat-ayat Al Quran yang jelas lafaznya, maknanya, hujah-hujah-Nya yang terang dan dalil-dalilnya yang kuat, yang menunjukkan kepada kebaikan, melarang dari keburukan, yang sesuai untuk manusia semuanya, mereka menolak dan mendustakannya!
    *Begitu juga apabila para pendakwah selepas Rasulullah s.a.w membacanya kepada kafir musyrikin lain pula seterusnya sehingga ke hari ini, mereka akan menerima reaksi dan penerimaan yang sama.
  3. Ayat al-Quran tiada yang tidak dapat difahami atau rumit, difahami oleh ahli bahasa pada masa itu, cuma orang yang keras kepala, tertutup hati dan tidak mengaji sahaja tidak akan faham.
  4. Tetapi mereka mendustakan orang yang membawanya.
    Tuduhan pertama: Mereka menuduh dengan mengatakan lelaki itu (Rasulullah s.a.w.) hanya ingin menghalang mereka dari apa yang disembah oleh nenek moyang mereka, perintah Baginda s.a.w. agar mereka menyembah dan beribadah hanya kepada Allah adalah agar mereka meninggalkan tradisi nenek moyang mereka.
  5. Mereka tidak kata untuk menyekat dari apa yang mereka sembah, yakni bukan mereka yang reka amalan itu, tetapi mereka dapat dari datuk nenek mereka dulu, bangkit asal, maka jangan kacau.
  6. Tuduhan kedua: Mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu tidak lain hanyalah buatan atau rekaan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Bukan dari Allah s.w.t.

Kita pun beringatlah untuk menyandarkan sesuatu kepada Allah dan Rasulullah s.a.w kena pastikan bahawa ia adalah betul-betul sahih, ada riwayat dan sanadnya.
Kena melalui disiplin ilmu yang telah digariskan oleh Ahli Sunnah wal Jama\’ah.
Jangan kerana untuk menguatkan kata-katanya atau lebih teruk lagi jika untuk perniagaan.

  1. Tuduhan ketiga: Ketika Al-Quran yang membawa kebenaran itu datang kepada orang-orang kafir, mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu tidak lain hanyalah sihir yang nyata.
  2. Penolakan mereka terhadap kebenaran itu hanyalah sekadar ucapan yang tidak membawa kepada syubhat apalagi sampai hujah. Mereka tidak ada hujjah dan sandaran fakta sama sekali, hanya menyandarkan dan berpegang kepada amalan nenek moyang mereka dulu.

AYAT 44 – {DAN (TIDAK ADA SEBARANG ALASAN BAGI DAKWAAN MEREKA, KERANA) KAMI TIDAK PERNAH MEMBERI KEPADA MEREKA KITAB-KITAB UNTUK MEREKA MEMBACA DAN MENGKAJINYA, DAN KAMI JUGA TIDAK PERNAH MENGUTUS KEPADA MEREKA SEBELUMMU (WAHAI MUHAMMAD) SESEORANG RASUL PEMBERI AMARAN (MELARANG MEREKA MENERIMA AJARANMU).} (SABA\’ 34:44)

  1. Dakwaan mereka ini tidak ada hujjah dan sandaran kerana Allah tidak pernah menurunkan suatu kitab pun kepada bangsa Arab sebelum Al Quran, yang dapat mereka baca dan rujuk serta menjadi pegangan mereka.
  2. Allah juga tidak pernah mengutus seorang pemberi peringatan, samada seorang nabi atau rasulpun kepada mereka sebelum Nabi Muhammad s.a.w.
    Maka tidak ada pada mereka ajaran rasul tersebut atau perkataannya yang dapat mereka gunakan untuk membantah apa yang Rasulullah s.a.w bawa.
  3. Quraisy Makkah ini tiada Kitab dan tiada rasul, mereka hanya penyembah berhala semata dan hanya berpegang dan mengikut ajaran datuk nenek mereka.
    Lalu Allah s.w.t mengatakan batil apa yang mereka pegang itu.
  4. Kerana itu mereka tidak memiliki ilmu dan hujjah, juga tidak tahu membaca dan menulis.
    Apa yang mereka ada hanyalah amalan nenek moyang dan ajaran dari orang terdahulu sahaja.
  5. Sepatutnya apabila Allah memberi mereka anugerah ini, iaitu seorang nabi di kalangan mereka dan Kitab al-Quran dalam bahasa mereka, satu tamadun baru; mereka bersyukur dan menerimanya dengan gembira!
    Tetapi malangnya mereka mendustakannya, mengingkarinya, menolak dan menentangnya.

AYAT 45 – {DAN (KETAHUILAH BAHAWA) UMAT-UMAT YANG TERDAHULU SEBELUM MEREKA TELAH JUGA MENDUSTAKAN (RASUL-RASULNYA), SEDANG MEREKA (YANG MENDUSTAKANMU) ITU TIDAK: MENCAPAI SATU PERSEPULUH (DARI KEKAYAAN, KEPANDAIAN DAN KEKUATAN) YANG KAMI BERI KEPADA UMAT-UMAT YANG TERDAHULU ITU; SETELAH UMAT-UMAT ITU MENDUSTAKAN RASUL-RASULKU (MEREKA PUN DIBINASAKAN). DENGAN YANG DEMIKIAN PERHATIKANLAH BAGAIMANA BURUKNYA AKIBAT KEMURKAANKU (MENIMPA MEREKA).} (SABA\’ 34:45)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t bawa hujjah yang amat mantap. Iaitu membuat perbandingan untuk mencelikkan mata kaum Quraisy. Memberi peringatan agar mereka sedar diri jika tidak mahu menjadi seperti kaum terdahulu.
  2. Allah ceritakan bahawa umat terdahulu juga telah mendustakan para rasul mereka seperti aum Ad, Thamud, kaum Nabi Nuh, nabi Musa a.s dan banyak lagi yang telah musnah.
  3. Sedangkan apa yang Allah telah berikan kepada orang-orang kafir Makkah itu tidak sampai sepersepuluh pun dari segi ilmu, umur, kekuatan, kekayaan, tamadun, teknologi dan sebagainya yang telah Allah berikan kepada orang-orang terdahulu itu. Yakni nak dibandingkan dengan kaum terdahulu mereka amat lemah dan serba kekurangan.
  4. Tetapi semua kelebihan dan kekuatan itu tidak dapat menyelamatkan diri mereka dari azab Allah dan mereka tidak dapat menolaknya, bahkan Allah membinasakan mereka setelah mereka mendustakan rasul-rasul-Nya.
  5. Apatah lagi kamu wahai Quraisy yang hanya satu persepuluh dari kekuatan mereka itu, adakah kamu mahu kufur dan ingkar seperti mereka juga?
    Mahu menerima akibat seperti mereka juga?
  6. Firman Allah s.w.t: {(Nasib kamu hai orang-orang munafik) adalah sama dengan nasib orang-orang sebelum kamu (yang telah dibinasakan), mereka lebih kuat serta lebih banyak harta benda dan anak pinak daripada kamu; seterusnya mereka telah bersenang-senang dengan bahagian mereka; maka kamu pula telah bersenang-senang dengan bahagian kamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu itu bersenang-senang dengan bahagiannya; dan kamu pula telah memperkatakan (perkara yang salah dan dusta) sebagaimana mereka memperkatakannya.
    Mereka yang demikian, rosak binasalah amal-amalnya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan merekalah orang-orang yang rugi.} (At-Taubah 9:69)
  7. Maka ambil peringatanlah wahai kaum Quraisy, lihatlah bagaimana buruknya akibat kemurkaan Allah swt.
    Jika kamu tetap mendustakan, maka tunggulah akibat buruk yang akan menimpa kamu seperti apa yang menimpa umat dahulu.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 43 – {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata,} – Allah s.w.t nyatakan bahawa ayat-ayatnya adalah jelas nyata tiada yang tersembnyi.
    Kata ulama\’ jika ada orang musykil terhadap mana-mana hukum dalam al-Quran, ia bukanlah kerana kekurangan al-Quran, tetapi kerana lemahnya kefahaman, pemerhatian dan cara berfikirnya tentang ayat itu!
    Kita perlukan bantuan dan tujuk-ajar orang yang berilmu jika tidak faham, jangan pandai-pandai tafsirkan sendiri pula. Terdapat sebuah Mu\’jam – penjelasan al-Quran dari segi bahasa susunan seorang kafir, semoga dia mendapat hidayah.
  2. Ayat 43 – {apa yang telah disembah oleh datuk nenek kamu\”;} – mereka tidak kata apa yang kamu sembah; tetapi mengungkit dan menyandarkan kepada datuk nenek untuk membangkitkan sentimen pertahanan dan kepentingan perbuatan mereka itu.
  3. Ayat 43 – {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata, berkatalah mereka (sesama sendiri):} – ayat ini menunjukkan kedegilan dan keras kepala puak kafir, walaupun ayat ini jelas dan nyata mereka masih mengatakan ayat ini batil.
    Mereka buat tuduhan dan tohmahan bahawa Rasulullah mereka-reka ajaran ini untuk menjadi ketua, mencari pengaruh dan pengikut.
  4. Ayat 43 – { dan berkatalah orang-orang yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: \”ini tidak lain hanyalah sihir yang terang nyata\”.}- apabila tiada hujjah untuk melawan hujjah Rasulullah s.a.w mereka menuduhnya sebagai ahli sihir pula. Pandai dan petah bercakap sehinggakan kata-kata Baginda seolah sihir bagi mereka, yang dapat menarik minat orang ramai mempercayai dan mengikutnya.
    Contoh penjual ubat dan penceramah yang memang berbakat dalam berbicara.
  5. Ayat 43 – { dan berkatalah orang-orang yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: \”ini tidak lain hanyalah sihir yang terang nyata\”.} – dalil ayat ini (لَمَّا جَاءَهُمْ) {ketika datang kepada mereka} – menunjukkan bahawa orang kafir itu tidak cuba berfikir atau menilai dulu, tolak terus secara spontan dan tidak fikir panjang! Tutup terus hati, akal dan mindanya!
    Begitu juga kita hari ini, sepatutnya dengar dulu sebelum menilai dan melabel seseorang, jangan terus menolak dan tidak mahu dengar.
    Begitu juga orang yang sedap berceramah kita dengar walaupun hebat caranya tengok pula isinya adakah bertepatan dengan cara Allah dan Rasul-Nya.
  6. Ayat 43 – { dan berkatalah orang-orang yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: \”ini tidak lain hanyalah sihir yang terang nyata\”.} – puak kafir menolak kebenaran.
    Kata ulama\’ siapa yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah berbohong maka dia telah kafir!
    Jangan silap faham tentang istilah hadis palsu, itu bukan dari Rasulullah s.a.w, ia palsu kerana direka kemudian disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.
  7. {Ayat 44 – {Dan (tidak ada sebarang alasan bagi dakwaan mereka, kerana) Kami tidak pernah memberi kepada mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya}- Allah s.w.t kata sebelum ini, mereka ini tidak diberi kitab atau diutus rasul, sepatutnya mereka gembira dan bersyukur dengan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w bukan menentangnya. Ayat ini menunjukkan anugerah yang Allah s.w.t berikan kepada kaum Quraisy yang tidak pernah mereka dapat sebelum ini. Bukan seperti orang di Syam atauPalestin yang sudah biasa dengan anugerah ini, hatta Syam dipanggil bumi Anbiya\’.
    Kita pun begitu juga apabila datang orang membawa kebenaran, kaji dulu sebelum keji!
  8. Ayat 44 – {dan Kami juga tidak pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pemberi amaran (melarang mereka menerima ajaranmu).} – tidak ada diutus kepada bangsa Arab seorang nabi selepas Nabi Ismail a.s dan sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Yakni tiada nabi lain antara dua zaman itu di bumi Arab.
    Walaupun sebahagian ahli sejaah kata ada seorang Nabi, ulama\’ menafikan,tiada asal bagi dakwaan ini.
    Sabda Rasulullah s.a.w: \”Tiada nabi antara aku dan Nabi Isa.\” [HR Muslim]
    maka antara dua zaman itu dipanggil zaman ahli-Fatrah, zaman terputus wahyu dan nabi sekejap.
  9. Ayat 45 – {setelah umat-umat itu mendustakan Rasul-rasulKu}- Allah s.w.t sebut di sini {rasulku} (رُسُلِي) sedangkan dalam ayat sebelumnya diguna sighah \”kami\’- {dan Kami juga tidak pernah mengutus kepada mereka}- (وَمَا أَرْسَلْنَا) kena ingat ini untuk menunjukkan kebesaran dan kemulian Allah s.w.t, bukan bermakna tuhan itu ramai!! seperti bahasa orang besar dan raja-raja yang menggunakan kata \’Kami\’ juga.
  10. Ayat 45 {Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu (menimpa mereka).}- dalam ayat ini Allah s.w.t tidak sebut tentang perbuatan jahat mereka yang fizikal terhadap Rasulullah, cuma tentang pendustaan, tuduhan, tohmahan dan lain-lain perbatan mulut/lidah.
    Ini bererti ingkar itu boleh jadi dengan hati atau dengan perbuatan.
    Keduanya dikira perbuatan ingkar yang buruk.

Powered by BetterDocs