SURAH MUHAMMAD : AYAT : 16-19

\"\"

MENDEDAHKAN TEMBELANG MUNAFIQIN, HATI MEREKA TERTUTUP & ORANG BENAR BERTAMBAH IMAN.

Full video : https://youtu.be/aGn5n4DG_XY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t mendedahkan tembelang kaum munafiqin, di mana mereka berpura-pura berada dalam majlis ilmu bersama Rasulullah s.a.w. mereka ada sekali tetapi tidak dengar apa yang disampaikan oleh Baginda.
  2. Ini samada mereka berbual-bual dan tidak fokus atau buat tidak dengar.
    Kita jangan buat begini dalam majlis ilmu. Allah s.w.t kata hati mereka telah tertutup.
  3. Kemudian Allah s.w.t bayangkan pula sifat orang mukmin yang apabila mendengar ayat-ayat Allah; makin bertambah keimanannya, makin mantap taqwanya dan makin meningkat amal kebaikannya.
    Semoga kita termasuk dalam golongan ini insya\’ Allah.

AYAT 16- {DAN DI ANTARA MEREKA (YANG HADIR DI MAJLISMU WAHAI MUHAMMAD, IALAH ORANG-ORANG MUNAFIK) YANG MENDENGAR AJARANMU (DENGAN SAMBIL LEWA), SEHINGGA APABILA MEREKA KELUAR DARI SISIMU BERKATALAH MEREKA (SECARA MENGEJEK-EJEK) KEPADA ORANG-ORANG YANG DIBERI ILMU (DARI KALANGAN SAHABAT-SAHABATMU YANG SETIA): \”APA YANG DIKATAKAN OLEH MUHAMMAD TADI?\” MEREKA (YANG MUNAFIK) ITU IALAH ORANG-ORANG YANG TELAH DIMETERAIKAN ALLAH ATAS HATI MEREKA, DAN IALAH ORANG-ORANG YANG MENURUT HAWA NAFSUNYA.} (MUHAMMAD 47:16)

  1. Ini adalah kisah orang munafiq yang berpura-pura baik. Allah dedahkan sifat sebenar mereka. Mereka hadir dalam majlis Rasulullah s.a.w tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat dari tazkirah, khutbah dan bacaan al-Quran Baginda.
  2. Mereka hanya mendengarnya dengan sambil lewa, atau berbual dan tidak mendengarnya terus kemudian apabila keluar dari majlis itu, mereka mengejek-ngejek pula orang yang beriman, sahabat Rasulullah s.a.w yang setia.
  3. Kata Ibnu al-Jauzi rhm., pertanyaan munafiq ini ada dua kemungkinan:
    i- memang mereka tidak tahu apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. Kerana mereka tidak percaya dan tidak beriman maka mereka tidak akan faham. Hati tertutup dan akal tersumbat.

ii- mereka bertanya kerana mahu memerli. Mengejek-ejek orang yang beriman (menganyi- Kelantan) dengan soalan yang bodoh dan main-main.

  1. Ada juga ulama\’ lain seperti Wahidi rhm. yang berkata: mereka tidak faham apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w kerana hati mereka telah ditutup oleh Allah s.w.t.
  2. Kata Ibnu Abbas r.a pula: Kaum munafiq itu apabila duduk dengan Rasulullah s.a.w, apabila selesai majlis mereka keluar dan bertanya, kerana mereka tidak ada hati, kerana pergi dengar sambil lewa, bukan untuk mengaji tetapi untuk memerli, maka tidak dapat ilmu. Mereka pergi dengan hati & minda yang tertutup maka tidak dapat apa-apa faedah.
  3. Hadis Rasulullah s.a.w: Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-\’As bahawa Rasulullah s.a.w berada di atas mimbar dan Baginda bersabda: \”Celakalah orang yang mendengar tetapi tidak mahu berfikir… celakalah bagi orang yang berterusan atas landasan yang salah walaupun dia tahu dia salah\”. [HR Ahmad, Bukhari & Baihaqi].
  4. Kita pun jangan jadi munafiq, apabila mendengar apa yang dibawa oleh Rasulullah tidak berasa semangat, tetapi apabila mendengar yang dibawa oleh orang lain yang dianggap pejuang Sunnah wal Jamaah, mereka terus percaya dan bersemangat walaupun ianya sesuatu yang didakwa diterima melalui mimpi-mimpi atau ajaran pelik dari syeik-syeikh mereka.
  5. Orang munafiq ini ialah mereka yang telah dicop oleh Allah di atas hati mereka sehinggakan mereka tidak akan mendapat manfaat dari apa yang mereka dengar, tidak akan faham kebenaran serta mereka adalah pengikut hawa nafsu yang batil dan sesat!
    Apa yang Nabi s.a.w ajar itu tidak diterima tetapi apa yang bercanggah dengan akal dan Syari\’ah diterima pula!
  6. Doa 4 permohonan:
    اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ \”

\”Ya Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalku dari riya, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.\” (HR. Hakim (2/227)

AYAT 17- {DAN (SEBALIKNYA) ORANG-ORANG YANG MENERIMA PETUNJUK (KE JALAN YANG BENAR), ALLAH MENAMBAHI MEREKA DENGAN HIDAYAH PETUNJUK, SERTA MEMBERI KEPADA MEREKA (DORONGAN) UNTUK MEREKA BERTAQWA.} (MUHAMMAD 47:17)

  1. Manakala orang yang menerima petunjuk ke jalan yang benar, Allah memberi mereka dorongan dan petunjuk untuk bertaqwa serta beramal dengan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t.
  2. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah jelaskan tentang sifat kaum munafiq yang mendengar kebaikan yang dibawa oleh Rasulullah tetapi tidak mendapat manfaat dan tidak memberi kesan apa dalam jiwa mereka.
  3. Adapun orang yang mencari dan mahu kebenaran, bertambahlah ilmu dan iman mereka, mereka beramal atas kebenaran, tetap pendirian dan keimanan mereka, iaitu istiqomah atas landasan yang diredhai oleh Allah s.w.t.
  4. Serta diberi dorongan kepada mereka untuk bertaqwa kepada Allah dengan taufiq untuk beramal dengan apa yang diperintah kepadanya dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah Azza wa Jalla.
  5. Inilah dua sifat yang kita dapat pelajari daripada ayat ini, semoga kita termasuk dalam golongan yang bertambah keimanan dan amal solehnya.

AYAT 18- {(KIRANYA GOLONGAN YANG INGKAR MASIH TIDAK MAHU MENERIMA PERINGATAN YANG DIBERI KEPADANYA) MAKA TIDAK ADA LAGI YANG MEREKA TUNGGU MELAINKAN SAAT KIAMAT YANG AKAN DATANG KEPADA MEREKA SECARA MENGEJUT, KERANA SESUNGGUHNYA TELAH LAHIRLAH TANDA-TANDA KEDATANGANNYA. KALAULAH DEMIKIAN, MAKA BAGAIMANAKAH MEREKA DAPAT MENERIMA PERINGATAN YANG DIBERI KEPADA MEREKA – APABILA SAAT KIAMAT ITU DATANG KEPADA MEREKA?} (MUHAMMAD 47:18)

  1. Ini pula adalah ayat tentang kaum kafir yang menunggu hari Kiamat tanpa sedar dan tanpa membuat persiapan yang sepatutnya.
  2. Kiamat itu ada dua kategori:
    i- Kiamat individu atau Kiamat kecil iaitu kematian bagi setiap manusia.
    Tanda kematian seseorang manusia juga ada yang ditunjukkan dengan meningkat umur dan lemah tubuh badan, rambut beruban dan sebagainya.

ii- manakala Kiamat yang besar berakhirnya dunia ini, telah banyak juga Allah s.w.t nyatakan dalam al-Quran tanda-tanda dan alamat akan ketibaannya nanti.

  1. Hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: \”Antara tanda hampirnya kiamat ialah ilmu agama diangkat, tersebarnya kebodohan agama, arak diminum bebas dan zina berleluasa (HR Al-Bukhari & Muslim).
    Serta banyak lagi hadis-hadis yang menerangkan tentangnya.
  2. Jika mereka terus bersifat lalai dan lagha begitu, maka segala peringatan tidak akan memberi faedah kepada mereka, bila Kiamat dan kematian tiba segalanya akan dikatakan datang secara mengejut!

AYAT 19- {OLEH ITU, MAKA TETAPKANLAH PENGETAHUANMU DAN KEYAKINANMU (WAHAI MUHAMMAD) BAHAWA SESUNGGUHNYA TIADA TUHAN YANG BERHAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH, DAN MINTALAH AMPUN KEPADANYA BAGI SALAH SILAP YANG ENGKAU LAKUKAN, DAN BAGI DOSA-DOSA ORANG-ORANG YANG BERIMAN – LELAKI DAN PEREMPUAN; DAN (INGATLAH), ALLAH MENGETAHUI AKAN KEADAAN GERAK-GERI KAMU (DI DUNIA) DAN KEADAAN PENETAPAN KAMU (DI AKHIRAT).} (MUHAMMAD 47:19)

  1. Munasabah ayat: Apabila Allah s.w.t sebut tentang Kiamat maka Allah tekankan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Alla, bahawa tiada orang lain yang tahu kecuali Allah bilakah Kiamat itu akan tiba. Maka kita kena belajar dan mantapkan akidah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, benar-benar beriman.
  2. Sebagaimana hadis riwayat Usman bin Affan r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang mati dan dia tahu dan beriman bahawa: \”Tiada tuhan melainkan Allah\’, nescaya dia akan memasuki syurga.\” [HR Muslim].
  3. Untuk selamat juga kita hendaklah sentiasa meminta ampun kepada Allah s.w.t serta kepada orang yang beriman lain. Rasulullah s.a.w sentiasa berdoa memohon keampunan kepada umatnya. Boleh rujuk buku Perisai Muslim untuk doa-doa yang sering dibaca oleh Baginda s.a.w.
  4. Firman Allah s.w.t: {Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): \”Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!\”} (Al-Mu\’minuun 23:118)
  5. Hadis Ummul Mukminin Aisyah r.a minta supaya Rasulullah s.a.w mendoakan untuknya.
    Katanya: Pada suatu hari ketika saya melihat Nabi S.a.w dalam keadaan tenang, saya pun berkata; \’Wahai Rasulullah, doakan saya.
    Maka Baginda s.a.w terus berdoa:
    اللهم اغفر لعائشة ما تقدم من ذنبها وما تأخر، وما أسرت وما أعلنت،

Maksudnya: \”Ya Allah, ampunilah dosa-dosa Aisyah, baik yang telah dilakukan mahupun yang belum dilakukan, dosa yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi mahupun secara terang-terangan.\”

Mendengarnya UM Aisyah ketawa hingga hingga kepalanya terjatuh di pangkuannya.
Rasulullah s.a.w berkata kepadanya; \’Apakah doaku membuatmu gembira?\’
Aisyah menjawab; \’Bagaimana saya tidak gembira dengan doamu.\’

Rasulullah kemudian berkata; \’Demi Allah, itu adalah doaku untuk umatku setiap selesai solat.\’ [HR Bazzar & Ibnu Hibban].

  1. Antara doa yang sering juga Rasulullah s.a.w baca untuk umatnya ialah sebagaimana doa dalam solat jenazah. Boleh lihat dalam Perisai Muslim.
    http://www.dartaibah.com/…
  2. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan memberi peringatan bahawa Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri hamba-Nya di dunia dan Dia juga yang menetapkan keadaan mereka di akhirat kelak. Apabila mendengar amaran ini jangan kita berani lagi melanggar perintah Allah s.w.t, semoga kita menjadi orang yang Allah s.w.t letakkan di dalam Syurga-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 16- {Dan di antara mereka (yang hadir di majlismu wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaranmu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisimu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek)}- ayat ini menunjukkan bahawa dalam dunia Islam ini ada satu kumpulan yang dipanggil golongan munafiq.
    Mereka hadir majlis ilmu bukan untuk mencari kebenaran, bukan untuk belajar, tidak mendapat faedah manfaat tetapi untuk mencari kesilapan dan mengejek-ngejek orang yang berilmu dan kebenaran. Mereka adalah pengikut hawa nafsu dan telah tertutup hati mereka daripada beriman dan menerima kebenaran.
  2. Ayat 17- {Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.}- ayat ini menjadi hujjah menunjukkan bahawa iman itu berrtambah dan berkurangan. Inilah pegangan ahli sunnah wal-Jamaah. Banyak juga dalam ayat-ayat al-Quran lain yang menyebut tentang ini, iman itu bertambah apabila kita bertaqwa dan beramal soleh begitu juga sebaliknya.

Bersalahan dengan fahaman puak Murji\’ah yang sesat, yang mengatakan iman itu hanya satu tahap sahaja. Cukup dengan mengucap kalimah dua syahadah maka buatlah apa yang kamu mahu!

  1. Ayat 17- {Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.}- ini juga memberi pengajaran bahawa sebaliknya juga orang yang buat maksiat akan menjadi sebab kepada lupa ilmu dan hilang keberkatan dan hidayah.
    Kata ulama\’:
    من عمل بما علم
    Sesiapa yang beramal dengan apa yang dia belajar, dengan ilmu yang dia ada;
    Allah s.w.t akan buka dalam hatinya ilmu yang dia tidak tahu lagi!

Kerana itu kita kena belajar dan tambah ilmu, siapa nak ilmu kena beramal, Allah akan tambahkannya.

  1. Ayat 18- {(Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya) maka tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya.}- ayat ini mengajar kepada kita agar sentiasa membuat persiapan untuk menghadapi saat kematian yang mengejut. Kematian adalah Kiamat kecil bagi setiap individu. Maka sesiapa yang mati tanpa ada persiapan akan sangat rugi!

Allah s.w.t itu sangat Adil, Dia telah memberi banyak tanda-tanda akan kematian dan Kiamat ini kepada manusia.

  1. Ayat 19- {Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah,}- kata ulama\’ ilmu itu mesti mantap dalam hati dan terpancar melalui perbuatan anggota.

Jalan untuk mendapat ilmu bagi mengenali Allah kena melalui beberapa cara:
i- sentiasa tadabbur mengkaji meneliti nama-nama, sifat-sifat Allah s.w.t serta makhluk ciptaan Allah yang menunjukkan kepada kesempurnaan dan keagungan-Nya.

ii- Ilmu yang kita mesti tahu bahawa Allah s.w.t yang Esa dan Tunggal yang mentadbir dan menyusun atur alam ini. Bahawa kuasa itu milk Allah maka Dialah yang berhak kita sembah.

iii- ilmu bahawa semua yang kita dapat samada yang zahir atau batin, semuanya adalah nikmat dari Allah s.w.t, Dia yang memberinya kepada kita, nikmat iman, nikmat beragama, nikmat kefahaman dan nikmat material seluruhnya. Maka kita akan sayang dan bersyukur kepada Allah dengan sesungguhnya.

iv- kita dengar janji Allah kepada orang yang baik dan murni tauhidnya, nikmat dan kemengangan yang disediakan maka kita tahulah yang memberi pertolongan itu hanyalah Allah Azza wa Jalla, tiada yang lain tempat kita bergantung.

v- kita juga kena kenal musuh-musuh Allah. Iaitu agama-agama, kefahaman dan ideologi yang sesat, kerana jika kita tidak kenal benda sesat kita akan hanyut bersamanya.

Kata Sayyidina Umar al-Khattab r.a: Simpulan ikatan iman itu terburai satu persatu, sesiapa yang membesar dalam Islam tidak kenal jahiliyyah.
Maka kita kena kenal juga jahiliyyah agar kita dapat mengelakkannya.

vi- semua kitab-kitab Allah mengajar supaya tauhid kepada Allah s.w.t serta jauhkan diri daripada taghut.

*Inilah antara dalil-dalil yang kita kena belajar agar kita menjadi orang yang kenal Allah lalu natijahnya kita akan sentiasa berdoa meminta ampun kepada-Nya, agar keredhaan Allah dunia dan Akhirat menjadi milik kita.
Insya\’ Allah semoga kita menjadi orang yang mendapat petunjuk dan bertambah keimanannya.

Powered by BetterDocs