SURAH AL-AHQAF : AYAT 11-12

\"\"

KERAGUAN SYUBHAH PUAK KAFIR TAK MAHU BERIMAN & PERANAN AL-QURAN MENERANGKAN YANG BENAR.

Full video : https://youtu.be/BJrqm2XTrrA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan tentang puak kafir yang menimbulkan keraguan syubhah, kononnya tidak betul dakwah Nabi s.a.w kerana hanya diterima oleh para pengikut dari golongan yang miskin dan lemah. Sepatutnya mereka para pembesar dan penguasa yang terlebih dahulu menerimanya jika ia benar.
  2. Allah juga nyatakan al-Quran sebagai pengesah kepada benarnya Kitab dan ajaran para rasul yang terdahulu. Maka jika ada ajarannya yang bercanggah & bertentangan dengan al-Quran bererti ia telah diubah dan tukar oleh para ahlinya.
  3. Munasabah ayat: Ini suatu syubhah yang lain yang ditimbulkan olek kaum yang mengingkari Rasulullah s.a.w supaya orang yang ingin beriman menjadi ragu-ragu. Allah s.w.t nyatakan kesalahan puak kafir dalam keputusan yang mereka buat, adalah berpunca dari sikap mereka yang bangga dan kagum dengan diri mereka sendiri. Rasa diri mereka sempurna dan terpedaya dengan sangkaan bahawa agama tok nenek mereka itu betul.

Lalu mereka buat keputusan bahawa ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu tidak benar dan tidak baik, kerana golongan yang terawal memeluk Islam hanyalah dari golongan lemah dan miskin, serta hamba-hamba. Sedangkan mereka golongan yang berkuasa, kaya dan berkedudukan tidak dapat menerimanya.

  1. Firman Allah s.w.t tentang sifat mereka ini telah disebut dalam ayat 10 yang lepas.

AYAT 11- {DAN (KERANA SOMBONG ANGKUHNYA ORANG-ORANG KAFIR ITU) MEREKA BERKATA TENTANG KEPERCAYAAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN: \”KALAULAH (APA YANG DIBAWA OLEH MUHAMMAD) ITU PERKARA YANG BAIK TENTULAH MEREKA TIDAK MENDAHULUI KAMI MEMPERCAYAINYA (KERANA KAMILAH YANG SEPATUTNYA MENERIMA SEGALA KEBAIKAN)!\” DAN SETELAH MEREKA TIDAK DAPAT MENERIMA PETUNJUK AL-QURAN ITU, (MEREKA MEMUSUHINYA) LALU MEREKA MENCACINYA DENGAN BERKATA: \”AL-QURAN INI IALAH REKAAN DUSTA YANG SUDAH LAMA\”.} (AL-AHQAAF 46:11)

  1. Ayat ini menunjukkan betapa sombong, angkuh dan takabburnya puak kafir musyrikin itu serta bangga diri.
  2. Mereka berkata jika betul apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w itu pastilah mereka dulu yang akan beriman dan mengikutnya, mendahului puak yang lemah dan miskin itu! Mereka puak yang mulia dan terhormat pasti akan mengetahui kebenarannya!
  3. Maka mereka buat analisa yang salah sama sekali bahawa agama yang dibawa Rasulullah s.a.w itu adalah sesuatu yang tidak betul berdasarkan taraf pengikut dan bilangannya.
  4. Firman Allah s.w.t {Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): \”Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? \”(Allah berfirman): \”Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?\”} (Al-An\’aam 6:53)
  5. Amat buruk sekali sangkaan mereka ini, kerana apa yang betul dan benar adalah apa yang bertepatan dengan ajaran Allah s.w.t dan Rasul-Nya s.a.w.
  6. Mereka bukan setakat tidak mahu terima al-Quran, bahkan menghina dan mendustakan, mengatakan al-Quran sebagai satu rekaan lama orang dahulu yang ditimbulkan kembali oleh Rasulullah s.a.w. Mereka tuduh al-Quran sebagai satu dongengan orang dahulu!
  7. Ayat ini juga ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:
    {Dan mereka berkata lagi: \”Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)\”.} (Al-Furqaan 25:5)

AYAT 12- {(BAGAIMANA MEREKA TERGAMAK MENGATAKAN AL-QURAN INI REKAAN DUSTA YANG TELAH LAMA?) PADA HAL TELAH ADA SEBELUMNYA KITAB NABI MUSA YANG MENJADI IKUTAN DAN RAHMAT (KEPADA UMATNYA); DAN AL-QURAN PULA SEBUAH KITAB – YANG MENGESAHKAN KEBENARAN (KITAB-KITAB YANG TELAH LALU), – DITURUNKAN DALAM BAHASA ARAB UNTUK MEMBERI AMARAN KEPADA ORANG-ORANG YANG ZALIM, DAN BERITA GEMBIRA BAGI ORANG-ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN.} (AL-AHQAAF 46:12)

  1. Munasabah ayat: Puak kafir telah menimbulkan keraguan tentang benarnya al-Quran. Yakni jika al-Quran itu betul, takkan orang miskin dan lemah dulu yang beriman dengannya, pastilah mereka yang akan mendahuluinya.

Yakni Allah s.w.t beritahu mereka ini menolak hujjah yang menunjukkan akan kebenaran al-Quran tetapi tidak mengingkari hujjah yang sama tentang Taurat dan mereka tidak mengingkarinya- mereka percaya akan kebenaran Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s, bahkan puak Quraisy ini pergi berjumpa ahli kitab yahudi di Madinah, untuk merujuk kepada mereka untuk mencari dalil bagi melawan Rasulullah s.a.w.

Mereka rujuk ahli kitab dan minta point untuk tunjukkan bahawa dakwah Rasulullah s.a.w itu salah, minta hujjah untuk lawannya, yakni mereka jadikan kitab Taurat itu sebagai petunjuk yang boleh diterima.

Mereka tidak sedar sedangkan dalam Taurat itu sudah ada berita tentang kedatangan nabi akhir zaman, dengan sifat-sifatnya yang jelas dan nyata dalam kitab.

Allah nyatakan dalam al-Quran bahawa para ahli Kitab itu mengenali Rasulullah s.a.w melalui sifat-sifat dan ajarannya yang disebut dalam Taurat, sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri.

Jika kamu boleh terima taurat sebagai kitab petunjuk, maka kamu kena terimalah apa yang disebut dalam Taurat tentang kedatangan dan kebenaran Nabi s.a.w!

Analisa ini dibuat oleh Syeikh ar-Razi dalam kitab tafsirnya.

  1. Sebelum turunnya al-Quran sudah ada kitab Taurat yang diturunkan kepada bani Israil, yang menjadi petunjuk dan rahmat bagi yang beriman. Mereka juga wajib beriman dengan antara isi Taurat yang mengkhabarkan serta membenarkan tentang kedatangan seorang nabi penutup pada akhir zaman.
  2. Firman Allah s.w.t: {Jika demikian, adakah sama mereka itu dengan orang-orang yang keadaannya sentiasa berdasarkan bukti yang terdapat dari (benda-benda yang diciptakan oleh) Tuhannya, dan diikuti oleh Kitab Suci Al-Quran memberi kenyataan – sebagai saksi dari pihak Tuhan meneguhkan bukti yang tersebut; dan sebelum itu, kenyataan yang serupa diberi oleh Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya)? Orang-orang yang berkeadaan demikian, mengakui – menerima Al-Quran; dan sesiapa ingkar akan Al-Quran itu dari kumpulan-kumpulan kaum kafir, maka nerakalah dijanjikan menjadi tempatnya. Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu terhadap Al-Quran, kerana sesungguhnya Al-Quran itu adalah perkara yang benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak percaya kepadanya.
    Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat, Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): \”Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka\”. Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!} (Hud 11: 17-18)
  3. Kitab Al-Quran ini diturunkan dalam bahasa Arab, sifatnya adalah:
    i- membenarkan Kitab Taurat dan kitab-kitab lain sebelumnya seperti Injil & Zabur dan lain-lain.

Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab (لِسَانًا عَرَبِيًّا) dengan bahasa dan huraian yang jelas supaya orang kafir (kaum arab Quraisy) tidak banyak karenah dan tiada alasan, kerana ia dalam bahasa yang mereka fahami, bahasa ibunda mereka!
Inilah yang peliknya orang yang faham sebenarnnya tetapi dia buat-buat tak faham!

Firman Allah s.w.t {Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).
Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.} (Al-Maaidah 5:48)

ii- untuk memberi amaran (لِيُنْذِرَ) kepada orang-orang yang zalim, iaitu zalim yang paling besar di sini dengan makna syirik. Serta juga orang yang melakukan maksiat dan menzalimi sesama manusia.

Firman Allah s.w.t {(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.} (Al-A\’raaf 7:2)

iii- dan berita gembira (وَبُشْرَى) bagi orang-orang yang berbuat kebaikan. Iaitu Quran membawa khabar gembira dengan kebaikan di dunia dan Akhirat bagi orang yang benar dalam keimanan dan ketaatan mereka.

Firman Allah s.w.t: {Dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.} (Al-Kahfi 18:2)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 11- {Dan (kerana sombong angkuhnya orang-orang kafir itu) mereka berkata tentang kepercayaan orang-orang yang beriman: \”Kalaulah (apa yang dibawa oleh Muhammad) itu perkara yang baik tentulah mereka tidak mendahului kami mempercayainya (kerana kamilah yang sepatutnya menerima segala kebaikan)!\”}- maksud orang kafir yang mendahului mereka itu orang-orang yang miskin itu ialah mereka yang lemah dan dari golongan hamba seperti Bilal bin Rabah, Ammar, Suhaib, Khabbab dan seumpama mereka yang terawal memeluk Islam.

Ibnu Kathir menjelaskan maksudnya {tentulah mereka tidak mendahului kami mempercayainya }- ialah orang-orang yang lemah dan golongan hamba.

Antara adat/pegangan jahiliyyah yang buruk ialah; tanda tidak betulnya sesuatu itu, ianya diterima oleh golongan faqir dan lemah dahulu.

Ini adalah kepercayaan/analisa yang batil, kerana kebenaran itu bukan terhenti atas bilangan atau kedudukan pengikutnya! Bahkan apa yang benar itu ialah apabila kita ikut apa yang diperintah oleh Allah Azza wa Jalla dan ikut apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Ini adalah pegangan parameter yang diguna oleh jahiliyyah,maka janganlah kita mengikutnya juga!

Kata ulama\’: Kebenaran/perkara yang benar itu bukan bergantung kepada seseorang tokoh (percakapan, ajaran atau amalannya), tetapi seseorang itu dikenali dengan ajaran benar yang dibawanya!
Dia bawa dalil dari al-Quran, hadis yang sahih dan huraian para ulama\’ yang muktabar.

  1. Ayat 11- {Dan setelah mereka tidak dapat menerima petunjuk Al-Quran itu, (mereka memusuhinya) lalu mereka mencacinya dengan berkata: \”Al-Quran ini ialah rekaan dusta yang sudah lama\”.}- ayat ini sebagai peringatan dari Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w untuk bersedia menghadapi puak kafir yang pasti akan menentang, mencela dan menghinanya.
    Ini agar Baginda tidak lemah semangat dan kecewa, siapa yang tidak menerimanya maka dia tidak mendapat hidayah dari Allah, bukan silap Baginda s.a.w!

Antara tuduhan yang mereka buat, bahawa al-Quran itu:
i- dongengan orang yang terdahulu
ii- sihir yang nyata
iii- rekaan yang lama-lama, ditimbulkan kembali.

Maka para pendakwah kena bersedia juga menghadapi semua ini, walaupun dakwah yang kita bawa itu benar, tetap ada yang tidak akan menerima dan menentangnya!
Tetapi apa yang pelik dan karut itu pasti akan mudah diterima, kerana ia telah dihiasi oleh syaitan yang memperelokkannya!

  1. Ayat 12- {(Bagaimana mereka tergamak mengatakan Al-Quran ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya)}- sebelum al-Quran sudah ada kitab Nabi Musa a.s.
    Ayat ini untuk membatalkan anggapan mereka bahawa mustahil Allah s.w.t turunkan wahyu kepada Rasulullah s.a.w. yang mereka anggap tidak layak dan terpilih untuk menjadi rasul.

Sudah menjadi kenyataan dan sunnah Rabbaniyyah bahawa Allah s.w.t telah menurunkan beberapa buah kitab kepada nabi-nabi yang terdahulu!
Kamu puak Makkah percaya apabila yahudi mengaku bahawa mereka ada kitab, tetapi kenapa kamu tidak percaya dan tidak boleh terima apabila Muhammad s.a.w dari kaum kamu sendiri, anak kamu sendiri mengatakan ada Kitab? Ini satu kepincangan dan kejahilan yang besar!

Kata Imam Abu Ja\’far al-Bakir: Senjata orang yang jahat perangai ialah kata-katanya yang buruk!

Kitab al-Quran ini membenarkan apa yang sudah ada dalam kandunga kitab yang terdahulu dari sudut ketuhanan dan ketuanan Allah s.w.t. Tugasnya membenarkan dan mengawal selia kitabyg terdahulu.

  1. Ayat 12- {diturunkan dalam bahasa Arab}- Allah s.w.t menambah kemuliaan al-Quran itu dengan bahasa Arab. Ini kerana ia adalah lughah (bahasa) yang paling fasih, enak didengar di telinga, disukai kepada manusia, kerana ia lebih mulia, lebih fasih dan mendalam berbanding dengan Taurat & Injil.
  2. Ayat 12- {untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.}- ayat ini mengatakan bahawa puak kafir itu zalim serta terus diberitahu bahawa berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.
    Ini menunjukkan satu keadaan yang berlawanan, baik lawannya zalim.

Maka para ulama\’ membuat analisa bahawa risalah yang dibawa oleh para rasul a.s itu ada dua kategori:
Memberi amaran keras & membawa khabar gembira.

Ini kerana manusia juga terbahagi kepada dua kategori:
i- golongan yang taat- dapat khabar gembira atas istiqomah mereka.

ii- golongan yang ingkar dan buat maksiat- dapat amaran keras!

Insya\’ Allah kita tunggu penjelasan lanjut sambungannya dalam siri yang akan datang.

Powered by BetterDocs