SURAH AD-DUKHAN : AYAT 17-24

\"\"

KISAH NABI MUSA DENGAN FIR\’AUN, SERAHKAN BANI ISRAEL & TENGGELAMNYA FIR\’AUN.

Full video : https://youtu.be/Ix26H_AjqVQ

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita kembali kepada kisah nabi Musa a.s berdepan Firaun. Nabi Musa a.s minta Firaun bebaskan bani Israil, serahkan mereka kepadanya.
  2. Tetapi apa boleh buat Firaun tetap angkuh dan sombong keras kepala, tidak menghiraukan dakwah dan permintaan nabi Musa a.s.
  3. Akhirnya Allah kata Dia tenggelamkan Firaun dan kuncu-kuncunya di dalam Laut Qalzum.
  4. Ini cerita Firaun dan Musa a.s pada zaman dulu. Kita juga kena menyelak sejarah lihat pada zaman kita ini, adakah juga orang yang angkuh sombong; lalu dibinasakan oleh Allah s.w.t!
  5. Sejarah akan sentiasa berulang cuma wataknya berbeza, zaman Musa a.s ada Firaun, zaman Rasulullah s.a.w ada Abu Jahal yang dikenali sebagai Firaun umat ini. Pada setiap zaman pasti ada watak Firaun, yang menjadi kewajipan kepada kita belajar dari sejarah, menjauhi perkara yang dimurkai Allah s.w.t, jangan berlaku sombong dan angkuh takabbur atas dunia ini kerana buruk akhir kesudahannya.
  6. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t menceritakan tentang kumpulan yang mendustakan Rasulullah s.a.w, Allah s.w.t bawa pula kisah nabi Musa a.s yang telah melalui ujian dan cabaran yang sama ini! Firaun dan kuncunya telah mati tenggelam dalam laut, maka kamu puak Quraisy jangan berani dan keras kepala, lawan juga Muhammad s.a.w, kamu juga akan menerima nasib yang sama, mati dan dibinasakan Allah s.w.t.

Inilah amaran kepada orang yang kemudian dengan apa yang telah berlaku iaitu kebinasaan orang yang terdahulu!

AYAT 17- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! SEBELUM MEREKA, KAMI TELAH MENGUJI KAUM FIRAUN, DAN MEREKAPUN TELAH DIDATANGI OLEH SEORANG RASUL (NABI MUSA) YANG MULIA,} (AD-DUKHAAN 44:17)

  1. Allah ceritakan tentang Firaun dan kaumnya dahulu yang telah diuji dengan diutuskan kepada mereka seorang rasul iaitu Musa bin Imran a.s, seorang rasul yang mulia.
  2. Pengikut Firaun namanya bangsa Qibti, manakala kaum nabi Musa a.s ialah bani Israil.
  3. Kata Imam al-Mawardi, maksud seorang yang mulia (رَسُولٌ أَمِينٌ) ini ialah:
    i- seorang rasul yang Allah s.w.t muliakan dia, sebagai seorang nabi yang terpilih oleh Allah.

ii- Musa a.s seorang yang mulia dari kalangan kaumnya kerana dia seorang nabi.

iii- Nabi Musa a.s mulia dari segi akhlaknya, jiwa yang kuat, pemaaf dan akhlak yang baik.

  1. Begitulah yang kita kehendaki semoga kita menjadi seorang yang mulia di sisi Allah s.w.t, serta mulia di kalangan kaum kita, terkenal sebagai seorang jujur dan amanah serta berperibadi mulia dengan sifat yang baik!
  2. Inilah sifat nabi Musa a.s yang terpilih oleh Allah untuk mendakwah Firaun yang zalim itu!

AYAT 18- {(YANG MEMBERITAHU KEPADA MEREKA DENGAN KATANYA): BERIKANLAH KEPADAKU WAHAI HAMBA-HAMBA ALLAH (APA-APA YANG MENANDAKAN KAMU MENERIMA KERASULANKU); SESUNGGUHNYA AKU INI SEORANG RASUL YANG AMANAH, YANG DIUTUSKAN KEPADA KAMU.} (AD-DUKHAAN 44:18)

  1. Nabi Musa a.s lalu pergi berjumpa Firaun dan minta Firaun untuk membebaskan kaum bani Israil daripada azab, dengan menjadikan mereka hambanya.
  2. Inilah tuntutan dan perjuangan Musa a.s untuk membebaskan kaum Bani Israil dari perhambaan dan penindasan Firaun dan kuncunya! Serahkan mereka kepada dia untuk menjadikan mereka orang yang beriman dan bebas.
  3. Ayat ini sama dengan firman Allah s.w.t ini:
    {\”Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: \”Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk agama Allah.} (Taha 20:47)
  4. Musa a.s juga menyatakan bahawa dia adalah seorang Rasul yang amanah, yang diutuskan Allah kepada mereka semua. Untuk menyampaikan apa yang diperintah Allah tanpa menambah atau mengurangkannya sedikitpun.

AYAT 19- {\”DAN JANGANLAH KAMU BERLAKU SOMBONG TAKBUR TERHADAP ALLAH; SESUNGGUHNYA AKU ADA MEMBAWA KEPADA KAMU MUKJIZAT YANG JELAS NYATA.} (AD-DUKHAAN 44:19)

  1. Nabi Musa a.s juga menyampaikan nasihatnya kepada mereka agar jangan berlaku sombong takbur terhadap Allah.
  2. Dia juga menyatakan bahawa sesungguhnya dia membawa kepada mereka mukjizat yang jelas nyata seperti tongkatnya menjadi ular & tangan yang bercahaya.
  3. Tetapi malangnya mereka tetap tidak percaya bahkan mengatakan itu adalah satu perbuatan sihir, yang menjadi amalan dan kemegahan kaum Firaun pada masa itu! Kerana itulah Allah s.w.t memberi mukjizat yang bentuknya seolah sihir kepada mereka.

AYAT 20- {\”DAN SESUNGGUHNYA AKU TELAH MEMOHON PERLINDUNGAN KEPADA TUHANKU DAN TUHAN KAMU, DARIPADA KAMU MEREJAM (ATAU MENYAKITI) DAKU.} (AD-DUKHAAN 44:20)

  1. Ayat ini kata ulama\’ nabi Musa a.s meminta pertolongan dengan Allah s.w.t dari sebarang hukuman Firaun iaitu segala bentuk rejaman atau lontaran samada secara fizikal seperti dengan batu atau kayu; atau dengan tuduhan dan fitnah secara lisan.
  2. Ulama\’ juga kata; kerana itu Musa a.s berani berlawan dengan Firaun kerana dia yakin Allah s.w.t akan menjaga dan melindunginya!

AYAT 21- {\”DAN SEKIRANYA KAMU TIDAK JUGA MAHU BERIMANKAN KERASULANKU, MAKA PUTUSKANLAH PERHUBUNGAN KAMU DENGANKU (JANGANLAH MENGGANGGU DAKU).\”} (AD-DUKHAAN 44:21)

  1. Musa a.s juga meminta agar Firaun biarkan dia, bebaskan dia berdakwah dalam negeri itu, jangan kacau dan khianat walaupun tidak mahu beriman kepadanya!
  2. Kata: Musa a.s kata jika Firaun ikut dakwahnya, maka dia akan bahagia dan tetap menjadi raja yang berkuasa, tetapi jika tidak mahu ikut jangan khianati dan sakiti dia pula!

AYAT 22- {(SETELAH NABI MUSA BERPUTUS ASA DARIPADA IMAN MEREKA), MAKA IA PUN MERAYU KEPADA TUHANNYA LALU BERKATA: \”SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG INI ADALAH KAUM YANG BERDOSA, (YANG TELAH SEBATI DENGAN KEKUFURANNYA, DAN BERHAKLAH MEREKA MENERIMA BALASAN YANG SEBURUK-BURUKNYA)\”.} (AD-DUKHAAN 44:22)

  1. Apabila nabi Musa a.s yakin bahawa tiada harapan lagi untuk Firaun dan kuncunya untuk beriman maka Musa a.s pun berdoa kepada Allah s.w.t.
  2. Kata Ibnu Kathir rhm.: Lamanya tempoh nabi Musa berdakwah dan berhujjah dengan Firaun manakala Firaun tetap dengan kufur dan ingkarnya, barulah nabi Musa a.s berdoa untuk dibinasakan Firaun!
  3. Nabi Musa a.s berani berdoa sebegini- kata mereka sebagai (قَوْمٌ مُجْرِمُونَ) kerana mereka ini sudah terkenal dan dikenal-pasti jenayah dan kekafiran (الکافرون) mereka, melakukan kerosakan dan kezaliman atas muka bumi ini.

AYAT 23- {LALU (DIPERINTAHKAN KEPADANYA): \”BAWALAH HAMBA-HAMBAKU (PENGIKUT-PENGIKUTMU) KELUAR PADA WAKTU MALAM, KERANA SESUNGGUHNYA KAMU AKAN DIKEJAR (OLEH FIRAUN DAN ORANG-ORANGNYA).} (AD-DUKHAAN 44:23)

  1. Allah s.w.t perintahkan nabi Musa a.s untuk membawa keluar kaumnya pada waktu malam hari. Tetapi beringat dan bersegeralah kerana sesungguhnya kamu tetap akan dikejar dan dicari oleh Firaun dan tenteranya
  2. Dalam surah ini Allah hanya ceritakan secara ringkas sahaja kisah Musa a.s ini kerana sudah banyak dalam surah lain yang lebih panjang dan terperinci.
  3. Allah s.w.t jelaskan dalam ayat-ayat ini:
    i- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: \”Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar memgembara pada waktu malam, kemudian pukulah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam\”.} (Taha 20:77)

ii- {(Allah berfirman): Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: \”Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan tenteranya)\”.
(Setelah mengetahui keadaan itu) maka Firaun mengutus (orang-orangnya) ke bandar-bandar (negeri Mesir), untuk mengumpulkan (tenteranya),
(Sambil berkata kepada mereka): \”Sesungguhnya orang-orang (Musa) itu adalah segolongan kecil,
\”Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah;
\”Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga\”.} (Asy-Syu\’araa\’ 26: 52-56)

  1. Akhirnya apabila Musa a.s dan pengikutnya sampai di tepi laut yang luas, manakala tentera Firaun di belakang mereka, Allah s.w.t memerintahkan nabi Musa a.s untuk memukul air laut dengan tongkatnya, lalu laut pun terbelah, menjadi satu lorong yang kering dan selamat untuk mereka menyeberanginya!

AYAT 24- {\”DAN TINGGALKANLAH LAUT ITU DALAM KEADAAN TENANG – TERBELAH, KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA (YANG MENGEJARMU ITU) IALAH TENTERA YANG AKAN DITENGGELAMKAN (SEHINGGA BINASA)\”.} (AD-DUKHAAN 44:24)

  1. Yakni setelah Musa dan kaumnya melalui lorong dalam laut itu dan selamat tiba diseberangnya, Allah s.w.t perintahkan Musa a.s agar biarkan saja laut itu tetap terbuka dan berlorong begitu, jangan tutupnya kembali!
  2. Ini kerana supaya Firaun dan tenteranya juga ikut masuk ke dalam laut untuk mengejar mereka, bila tentera Firaun semua sudah masuk dan berada di tengah-tengahnya, Allah s.w.t akan tutup kembali air laut, lalu jadilah mereka tentera yang ditenggelamkan sehingga binasa.
  3. Itulah akhir kesudahan bagi kaum yang sombong dan takabbur. Selepas itu Allah s.w.t kekalkan jasad Firaun untuk menjadi contoh pengajaran bagi manusia selepasnya.
  4. Firman Allah s.w.t: {Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: \”Pukulah laut itu dengan tongkatmu\”. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.
    Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ.
    Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya.
    Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya).} (Asy-Syu\’araa\’ 26: 63-66)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 17- {Dan demi Sesungguhnya! Sebelum mereka, Kami telah menguji kaum Firaun, dan merekapun telah didatangi oleh seorang Rasul (Nabi Musa) Yang mulia,}- dalam ayat ini Allah s.w.t buat bandingan tentang kaum yang terdahulu iaitu Firaun dan kaumnya yang menentang rasul-nya dengan kaum Quraisy yang menentang Rasulullah s.a.w pada waktu itu di Makkah.

Sedangkan jika dibandingkan Firaun dengan kaum Quraisy, Firaun lebih hebat dan banyak peninggalannya.
Ini supaya kita mengambil iktibar dan pengajaran, siapa yang lawan Allah dan rasul-Nya mereka akan dibinasakan dan meninggalkan kesan dan nama yang amat buruk! Firaun dan Abu Jahal adalah contoh yang telah lalu, zaman kita inipun ada watak-watak seperti mereka yang angkuh dan takabbur

  1. Ayat 18- {(Yang memberitahu kepada mereka dengan katanya): Berikanlah kepadaku wahai hamba-hamba Allah}- dalam ayat ini kenapa Musa a.s berkata (أَدُّوا) serahkan kepadaku dengan lafaz jamak (ramai)?
    Ini kerana Musa a.s bukan bercakap dengan Firaun seorang tetapi dengan para menteri & pembesar Firaun juga. Ini kerana Firaun itu keras kepala maka Musa a.s bercakap juga penasihat-penasihatnya.

Nabi Musa a.s juga menggunakan psikologi dengan memanggil bani Israil sebagai (عِبَادَ اللَّهِ) hamba Allah, yakni bukan hamba Firaun dan kaumnya, Firaun bukan tuhan mereka walaupun dia mengakuinya.

Allah s.w.t gunakan dua-dua perkataan (عِبَادَ اللَّهِ) hamba Allah dan juga kaum bani Israil (بَنِي إِسْرَائِيلَ) untuk kaum nabi Musa a.s ini sebagaiman firman-Nya dalam surah asy-Syura\’:
{\”Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami\”.} (Asy-Syu\’araa\’ 26:17)

Sebabnya dia buat begitu: Kerana dia adalah rasul yang diutus Allah!

  1. Ayat 19- {\”Dan janganlah kamu berlaku sombong takbur terhadap Allah;}- ini adalah larangan dari bersikap sombong dari menerima perintah Allah Azza wa Jalla. Itulah sifat keras kepala dan sombong terhadap Allah!

Manusia hari ini juga sombong dengan bermain-main dan tidak yakin dengan hukum Allah s.w.t!
Bila orang beritahu sesuatu perbuatan/amalan itu tidak baik, maka cubalah belajar dan selidik bukan terus menolak dan menafikannya!
Atau yang lebih buruk terus memberikan label dan gelaran kepada yang menegur pula!

  1. Ayat 22- {(Setelah Nabi Musa berputus asa daripada iman mereka), maka ia pun merayu kepada Tuhannya lalu berkata: \”Sesungguhnya orang-orang ini adalah kaum yang berdosa, (yang telah sebati dengan kekufurannya, dan berhaklah mereka menerima balasan yang seburuk-buruknya)\”.}- kenapa nabi Musa a.s menyifatkan Firaun itu sebagai orang yang berdosa (قَوْمٌ مُجْرِمُونَ)?

Ini kerana ada setengah kafir itu yang menjalankan perintah agamanya dengan taat, ada yang fasik dalam agamanya dan sebagainya.
Maka nabi Musa a.s mengatakan Firaun itu seorang yang berdosa (jahat) kerana dia adalah seorang yang syirik kepada Allah dengan mengaku sebagai tuhan serta bersifat zalim dengan menyiksa dan menindas bani Israil.

  1. Ayat 23- {Lalu (diperintahkan kepadanya): \”Bawalah hamba-hambaku (pengikut-pengikutmu) keluar pada waktu malam,}- kenapa Allah s.w.t perintahkan Musa a.s bawa keluar pengikutnya pada waktu malam?
    ini kerana biasanya orang yang takut akan keluar secara senyap-senyap apabila gelap, tiada orang yang nampak dan melihat!

Takut itu pula ada dua dimensi:
i- takut kepada musuh.
Seperti Musa a.s yang takut kepada Firaun lalu waktu malam adalah lebih selamat kerana gelap dan tenang, orang lain sedang tidur dan berada dalam rumah masing-masing.

ii- takut menyusahkan (masyaqqah) haiwan tunggangan dan mereka sendiri juga daripada kepanasan matahari pada waktu siang.

Malam juga adalah waktu yang tenang dan baik untuk bermunajat kepada Allah s.w.t!

Powered by BetterDocs