SURAH SAAD : AYAT 41-44

\"\"

KISAH NABI AYYUB MENGADU KEPADA ALLAH, DIAJAR MENGELUARKAN AIR PENAWAR & ALLAH PUJI KESABARAN DAN IBADATNYA

Full video : https://youtu.be/4QGwJTcoYEo

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang kisah Nabi Ayyub a.s (أَيُّوبَ) yang mengadu kepada Allah s.w.t tentang sakitnya.
  2. Lalu Allah s.w.t mengajarnya untuk menghentak kakinya agar keluar air yang dapat menjadi penawar untuk sakitnya. Juga Allah s.w.t mengajar dia agar melepaskan sumpahnya berkenaan isterinya.
  3. Kemudian Allah s.w.t memujinya sebagai seorang yang sabar, sebaik-baik hamba dan seorang yang banyak kembali kepada Allah s.w.t.
  4. Kesinambungan ayat: Selepas menceritakan tentang kisah Nabi Daud dan Sulaiman a.s as. – dua orang rasul yang menjadi raja, mempunyai Kerajaan yang besar dan hebat, tetapi mereka adalah hamba yang amat bersyukur akan nikmat anugerah ke atas mereka.
  5. Maka di bawa pula cerita tentang Nabi Ayyub, seorang hamba yang amat penyabar walaupun ditimpa pelbagai ujian yang berat dalam hidupnya. Tetapi berkat kesabaran dan imannya, Allah s.w.t kabulkan doa dan rayuannya lalu dia disembuhkan dan dikurniakan kembali nikmat yang berganda sehingga berkembang biak pula semula harta & keturunannya.
    Kisah Nabi Ayyub yang agak panjang telah dibawa dalam Surah al-Anbiya\’ sebelum ini.

AYAT 41- {DAN (INGATKANLAH PERISTIWA) HAMBA KAMI: NABI AYUB KETIKA IA BERDOA MERAYU KEPADA TUHANNYA DENGAN BERKATA: \”SESUNGGUHNYA AKU DIGANGGU OLEH SYAITAN DENGAN (HASUTANNYA SEMASA AKU DITIMPA) KESUSAHAN DAN AZAB SEKSA (PENYAKIT)\”.} (SAAD 38:41)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut tentang seorang hamba-Nya iaitu Nabi Ayyub a.s. Dia berdoa dan mengadu kepada Tuhannya tentang kesusahan dan penyakit yang menimpanya.
    Dia juga kehilangan anak, keluarga dan kawan, harta dan kedudukan.
  2. Dia juga diganggu oleh syaitan yang menghasutnya dengan pelbagai bisikan untuk merosakkan imannya dan menggoyahkan kesabarannya!
  3. Merayu dan mengadu kepada Allah s.w.t tidak akan menghilangkan sifat kesabaran, tetapi hati-hati jika sekali kita mengadu kepada manusia, dibimbangkan akan mengurangkan darjat dan pahala kesabaran kita!
    Tetapi jika mengadu kepada hakim atau doktor, tidak sama mengadu kepada orang biasa- lihat kepada tujuan, keperluan dan maksudnya.
  4. Ada hadis Rasulullah s.a.w yang panjang menyatakan bahawa Nabi Ayyub ini ditimpa penyakitnya selama 18 tahun.
    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik R.A dari Nabi S.A.W, Baginda bersabda, \”Sesungguhnya Nabi Allah Ayyub A.S seorang nabi! Dia diuji dengan musibah tersebut selama lapan belas tahun, dimana keluarga dekat serta keluarga yang jauh telah menolaknya dan mengusirnya kecuali dua orang laki-laki dari saudara-saudaranya, dimana keduanya telah memberinya makan dan mengunjunginya.

Kemudian pada suatu hari salah seorang dari kedua saudaranya itu berkata kepada saudaranya yang satu, \’Demi Allah, perlu diketahui, bahawa Ayyub telah melakukan suatu dosa yang belum pernah dilakukan siapa pun di dunia ini.\’ Sahabatnya itu bertanya, \’Dosa apakah itu?.\’ Saudaranya tadi berkata, \’Selama lapan belas tahun Allah tidak merahmatinya, sehingga menyembuhkannya dari penyakit yang dideritanya.\’ (yakni mereka juga su\’ zon- buruk sangka kepadanya).

Ketika keduanya mengunjungi Ayyub A.S maka salah seorang dari kedua saudaranya itu tidak dapat menahan kesabarannya, sehingga ia menyampaikan pebualan tersebut kepadanya.

Ayyub A.S menjawab, \’Aku tidak mengetahui apa yang kamu berdua bincangkan, kecuali Allah Ta\’ala telah memberitahukan; bahawa aku diperintah untuk mendatangi dua orang laki-laki yang berselisih supaya keduanya mengingat Allah. Sedang aku akan kembali ke rumahku dan menutup diri dari keduanya, kerana tidak suka menyebut nama Allah, kecuali dalam kebenaran.\’\”

Nabi S.A.W bersabda lagi, \”Setiap kali Ayyub A.S pergi menunaikan hajatnya maka isterinya akan memegang tangannya sehingga selesai. Suatu hari isterinya terlambat datang dan pada waktu itulah Ayyub A.S menerima wahyu: {\’Hentakkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandi dan minum.\’} (Saad: 42).

Apabila isterinya datang untuk menemuinya, dia berasa hairan dan tidak mengecami Nabi Ayyub, kerana dia telah berubah rupa dimana Allah telah menyembuhkan penyakit yang dideritainya, dan rupanya sangat tampan seperti asal dulu.

Lalu isterinya bertanya kepadanya: \’Semoga Allah memberkatimu, apakah engkau melihat nabi Allah yang sedang diuji? Demi Allah, bahawa aku melihatnya mirip denganmu ketika dia sihat.\’

Ayyub A.S menjawab, \’Sesungguhnya aku ini adalah dia.\’

Ketika itu di hadapannya terdapat dua buah raga iaitu raga gandum dan barli.
Kemudian Allah menghantar dua buah awan, dimana ketika salah satunya menaungi raga gandum, maka tercurah padanya emas hingga penuh, sedangkan pada raga barli tercurah perak hingga penuh.\”
(HR. Abu Ya\’la, 3617, yang disahihkan al-Hakim (2/581-582) dan Ibnu Hibban (2091) serta al-Albani dalam kitab Sahih-nya no. 17).

  1. Banyak cerita Israiliyyat yang meceritakan kisah tidak sahih tentang Nabi Ayyub ini.
    Kononnya ditimpa penyakit kulit, yang jijik dan kotor, serta banyak kisah yang semuanya tidak tepat.

AYAT 42- {(MAKA KAMI KABULKAN PERMOHONANNYA SERTA KAMI PERINTAHKAN KEPADANYA): \”HENTAKKANLAH (BUMI) DENGAN KAKIMU\” (SETELAH IA MELAKUKANNYA MAKA TERPANCARLAH AIR, LALU KAMI BERFIRMAN KEPADANYA): \”INI IALAH AIR SEJUK UNTUK MANDI DAN UNTUK MINUM (BAGI MENYEMBUHKAN PENYAKITMU ZAHIR DAN BATIN) \”.} (SAAD 38:42)

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa doa dan pengaduan nabi Ayyub itu dikabulkannya. Lalu sebagaimana dalam cerita hadis di atas Allah s.w.t memerintahkannya menghentak kakinya ke bumi, maka terpancar keluar air penawar untuk menyembuhkan penyakitnya.
  2. Maka Allah s.w.t ajar lagi nabi Ayyub untuk mandi dan minum dengan air itu sehingga sembuhlah penyakitnya dan dia kembali pulih seperti asal.
    Allah s.w.t juga gantikan kembali kepadanya segala yang hilang dulu dari segi kesihatan, harta dan keluarga.
  3. Firman Allah s.w.t: {Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).} (Al-Anbiyaa\’ 21:84)
  4. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, \”Ketika Nabi Ayyub sedang mandi dalam keadaan telanjang, tiba-tiba muncul belalang dari emas. Lalu Nabi Ayyub mengumpul dan memasukannya ke dalam baju. Maka Tuhannya memanggilnya, \’Wahai Ayyub, bukankah Aku sudah memberimu rezeki dan nikmat sebagaimana kamu lihat?\’ Ayyub menjawab, \’Benar, Tuhanku. Tetapi aku tidak pernah merasa puas dari limpahan berkah-Mu.\” [HR Bukhari].

AYAT 43- {DAN KAMI KURNIAKAN (LAGI) KEPADANYA – KELUARGANYA, DENGAN SEKALI GANDA RAMAINYA, SEBAGAI SATU RAHMAT DARI KAMI DAN SEBAGAI SATU PERINGATAN BAGI ORANG-ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA (SUPAYA MEREKA JUGA BERSIKAP SABAR SEMASA DITIMPA MALANG).} (SAAD 38:43)

  1. Lalu Allah s.w.t kurniakan kembali kepadanya keluarga yang hilang atau pergi darinya dulu.
  2. Ini ada pelbagai pendapat, ada kata mereka pergi semasa dia sakit dan kembali selepas dia sembuh. Ada ulama\’ kata Allah s.w.t gantikan terus anak-anak yang lain, yang baru seumpama bilangan yang awal. Wallahu a\’lam.
  3. Ini sebagai satu rahmat dari Allah s.w.t dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang berakal kepada Allah s.w.t supaya bersabar semasa ditimpa ujian dan kesusahan, insya\’ Allah akan mendapat balasan baik.
  4. Para rasul yang ditimpa ujian mereka bersabar dan berdoa kepada Allah, mereka semua diuji bukan sekejap, Nabi Ayyub ini sakitnya 18 tahun, Nabi Yusuf terpisah dari bapa keluarganya ada yang kata selama 40 tahun, Nabi Musa a.s melawan Firaun juga bertahun-tahun lamannya.
  5. Kemenangan dan kejayaan itu tidak datang dengan segera, maka kita manusia biasa ini juga kena banyak bersabar dan jangan mengharap agar doa kita segera dimakbul dan hilang ujian dengan cepat!

AYAT 44- {DAN (KAMI PERINTAHKAN LAGI KEPADANYA): \”AMBILLAH DENGAN TANGANMU SEIKAT JERAMI KEMUDIAN PUKULAH (ISTERIMU) DENGANNYA; DAN JANGANLAH ENGKAU MEROSAKKAN SUMPAHMU ITU\”. SESUNGGUHNYA KAMI MENDAPATI NABI AYUB ITU SEORANG YANG SABAR; IA ADALAH SEBAIK-BAIK HAMBA; SESUNGGUHNYA IA SENTIASA RUJUK KEMBALI (KEPADA KAMI DENGAN IBADATNYA).} (SAAD 38:44)

  1. Ada satu peristiwa semasa dia sakit yang menyebabkan nabi Ayyub terasa hati dan marah kepada isterinya, lalu dia bersumpah jika dia sembuh nanti, akan memukul isterinya dengan 100 pukulan atau sebatan!
  2. Tetapi selepas dia sembuh, dia tidak sampai hati untuk melakukan sumpahnya itu, ini kerana isterinya itu seorang yang solehah dan setia sebenarnya.
    Silap faham berlaku kerana kemarahannya yang tidak sabar pada waktu itu.
  3. Maka Allah s.w.t beri jalan dan mengajarnya untuk melepaskan sumpahnya itu. Iaitu dengan mengumpul 100 ikat jerami yang lembut lalu memukul isterinya itu dengan satu pukulan. Lalu dia telah menunaikan sumpahnya dengan tidak memudharatkan isterinya.
  4. Kemudian Allah s.w.t memuji lagi Nabi Ayyub a.s dengan mengatakan bahawa:
    i-Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar (صَابِرًا);
    ii- Dia adalah sebaik-baik hamba (نِعْمَ الْعَبْدُ);
    iii- dan sesungguhnya dia sentiasa rujuk kembali (أَوَّابٌ) kepada Allah dengan ibadatnya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 41- {Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya}- ayat ini menunjukkan perbezaan yang ketara antara nabi Daud & Sulaiman a.s yang penuh dengan nikmat dan kekuasaan; dengan nabi Ayyub a.s. yang diuji dengan penyakit dan kehilangan milik.

i- Ini kerana Allah s.w.t mahu memberi pengajaran kepada Rasulullah s.a.w agar bersabar dalam menghadapi segala karenah jahat dan kezaliman para musyrikin Quraisy yang menentangnya.

ii- mengadu kepada Allah s.w.t tidak menghilangkan darjat sabar. Sebagaimana nabi Ayyu ini serta Nabi Ya\’kub yang juga mengadu kepada Allah s.w.t tentang kesedihan dan dukacitanya.

iii- para nabi dan rasul itupun sebagai manusia tidak memilik kuasa atau memberi manfaat atau darurat untuk menyelamatkan diri mereka atau orang lain, tiada daya untuk mengelak daripada ujian tanpa pertolongan atau kurnia dari Allah s.w.t.

2. Seorang ulama\’, Umar ibnu Sakan rhm. bercerita: Pada suatu hari aku sedang duduk bersama seorang tokoh ulama\’ tabi\’in yang besar bernama Sufyan bin Uyainah rhm.
Tiba-tiba datang seorang lelaki dari Baghdad, Iraq bertanya kepadanya analisa tentang pandangan dua orang ulama\’ ini:

i- Kata Mutarrif rhm.- adalah lebih baik aku diberi kesenangan dan nikmat kemudian aku bersyukur daripada aku diberi bala ujian lalu aku bersabar. Yakni dia tidak mahu ditimpa bala dan ujian.

ii- manakala seorang lagi ulama\’ yang bernama Abu al-Ala\’ rhm. pula berdoa: Ya Allah, aku redha untuk diriku apa yang Engkau redhai! Yakni jika diberi ujian aku akan sabar menghadapinya.

Persoalannya sekarang, yang mana lebih baik, diberi nikmat lalu syukur atau diberi ujian lalu sabar?

Sufyan rhm. terdiam sebentar, kemudian dia berkata: Kata-kata Mutarrif, senang dan syukur lebih aku suka. Ini kerana:
i- Dalam kes Sulaiman a.s dan Daud yang diberi nikmat dan kesenangan, Allah s.w.t berfirman: {Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat).}

ii- Manakala waktu Allah s.w.t ceritakan pula tentang Ayyub, Allah berfirman pula: {Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya).}
Maka aku dapati sama sifat dan syukur, kedua-duanya dipuji Allah s.w.t iaitu (لَزُلْفَى وَحُسْنَ مَآبٍ) maka aku pilih untuk syukur!

Kita pula kena bersedia untuk terima dua-dua keadaan- jika Allah s.w.t bagi nikmat wajib syukur, jika diberi ujian pula wajib sabar!

3. Ayat 43- {Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya – keluarganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami}- ayat ini memberi peringatan kepada kita untuk bersabar apabila diberi ujian. Sesiapa yang bersabar akan dapat kemenangan!
Nabi Ayyub a.s apabila dia sabar, Allah s.w.t gandakan lagi kembali nikmatnya dari segi kesihatan, keluarga, harta dan anak -pinak.

Bagi orang yang sedang ditimpa ujian dan kesusahan, berdoalah dari hati yang ikhlas, ia adalah DOA yang mustajab insya\’ Allah. Jangan hanya dengan kata-kata atau upah orang pula!

4. Ayat 41- {Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: \” Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)\”.}- dalam ayat ini dinyatakan dua perkara kesusahan yang menimpa nabi Ayyub dalam doanya, bahawa dia telah diganggu dengan syaitan dengan dua perkara:
i- dukacita dan sedih (بِنُصْبٍ) – dari sudut perasaan dan hati; dia ditinggalkan oleh keluarga dan kawan, hilang harta, kedudukan, kesenangan hidup dan seumpamanya.
ii- azab badan (عَذَابٍ), yakni badannya sakit ditimpa penyakit secara fizikal!

Maka nabi Ayyub mengadu kedua-duanya kepada Allah s.w.t. Kita pun jika ditimpa kesusahan boleh mengadu dengan terperinci kepada Allah s.w.t.

Ulama\’ juga kata berdasarkan ayat ini; Kita juga boleh bertawasul dalam doa kita, dengan keadaan kita yang ditimpa kesusahan.

5. Ayat 42- {(Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): \”Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu \” (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air,}- kenapa Allah s.w.t suruh Nabi Ayyub hentakkan kakinya?
Sedangkan jika Allah s.w.t mahu boleh saja dikeluarkan air secara begitu saja.
Begitu juga nabi Musa a.s yang diarahkan untuk memukul tongkatnya ke batu untuk keluarkan air, pukul tongkat juga untuk membelah laut dan lain-lain.

Semua ini kerana Allah s.w.t mahu mengajar kita manusia bahawa setiap perkara yang berlaku kena ada sebabnya, bukan kun fayakun sebagaimana perbuatan dan kuasa mutlak Allah s.w.t!

Seperti pelajar yang nak hadapi peperiksaan, kejayaan atau kelulusan tidak akan datang tanpa usaha, kena belajar dan mengulangkaji pelajarannya.

6. Ayat 44- {Dan (Kami perintahkan lagi kepadanya): \”Ambilah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah (isterimu) dengannya; dan janganlah engkau merosakkan sumpahmu itu.}- Nabi Ayyub telah berniat untuk pukul isterinya sebanyak 100 kali sebatan, tetapi kerana dia seorang yang baik dan solehah, lalu Allah ajar cara helah untuk menyempurnakan sumpahnya tanpa menyakiti isterinya.
Iaitu dengan mengikat 100 batang jerami yang lembut atau 100 batang lidi yang kecil lalu memukulnya dengan sekali pukulan, jadi cukuplah juga 100 pukulan sebagaimana sumpahnya!

Dalam bab Feqah, boleh guna helah dengan hikmah ketika diperlukan dalam suasana yang betul-betul diperlukan. Jangan main-main dan sentiasa mencari helah untuk melepaskan diri saja-saja tanpa keperluan!

Allah s.w.t tutup setiap episod kisah para rasul ini dengan memuji mereka dengan ayat ini:
{Dia adalah sebaik-baik hamba (نِعْمَ الْعَبْدُ); sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya) (إِنَّهُ أَوَّابٌ).}

Maka kita wajib INGAT bahawa sebaik-baik hamba ialah yang sentiasa kembali bertaubat dan mengingati Allah s.w.t. tidak kira samada dia seorang nabi atau manusia biasa.

Powered by BetterDocs