SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 5-6

\"\"

ALLAH CIPTAKAN LANGIT DAN BUMI DENGAN HIKMAH, SIANG DAN MALAM SILIH BERGANTI & KEAJAIBAN PENCIPTAAN MANUSIA.

Full video : https://youtu.be/krUr9h5orAA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t membawa dalil kekuasaan-Nya mencipta langit dan bumi dan malam melingkari siang dengan gelapnya.
  2. Allah s.w.t juga menceritakan keajaiban kejadian manusia dan haiwan serta 8 jenis yang mewakili jenis haiwan.
  3. Munasabah ayat: Dalam ayat {Ayat4} yang lepas Allah s.w.t telah membersihkan dirinya dan mensifatkan bahawa zat-Nya adalah Tunggal (الْوَاحِدُ) dan berkuasa (الْقَهَّارُ).
  4. Maka Allah menyatakan apakah kekuasaan-Nya itu dalam ayat seterusnya ini.
    Semua ciptaan-Nya itu ada faedah dan kegunaannya, bukan dicipta dengan sia-sia.

AYAT 5- {IA MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI DENGAN ADA FAEDAH DAN GUNANYA YANG SEBENAR; IA PULA MENJADIKAN MALAM MELINGKARI SIANG (DENGAN GELAPNYA), DAN MENJADIKAN SIANG MELINGKARI MALAM (DENGAN CAHAYANYA); DAN IA MENJADIKAN MATAHARI DAN BULAN BEREDAR MENURUT PERINTAHNYA, – TIAP-TIAP SATU DARI KEDUANYA, BEREDAR UNTUK SUATU MASA YANG TELAH DITETAPKAN. INGATLAH! DIA LAH YANG MAHA KUASA, LAGI YANG SENTIASA MENGAMPUNI.} (AZ-ZUMAR 39:5)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menceritakan beberapa kekuasaan-Nya iaitu:
    i- mencipta langit dan bumi serta apa yang ada antara keduanya. Ianya penuh dengan faedah dan manfaat dengan sebenarnya (بِالْحَقِّ).

ii- Allah juga yang mencipta malam dan siang, macamana malam melingkari (يُكَوِّرُ) siang dengan kegelapannya dan juga siang melingkari malam.

iii- Allah menjadikan matahari dan bulan beredar mengikut perintah-Nya dalam tempoh masanya yang ditetapkan Allah s.w.t juga.

  1. Semua ini menunjukkan bahawa semua yang disebutkan itu malam-siang, matahari-bulan semuanya bergerak dengan kuasa Allah s.w.t. Bila berlaku Kiamat semua ini akan berubah dan hancur musnah.
  2. Semua ini dalil kekuasaan Allah s.w.t yang dapat kita lihat, langit di atas kepala kita dan bumi yang di bawah kaki kita. Tidak perlu kita pergi jauh mencari dalilnya, ada di depan mat akita fungsi dan kesannya.
  3. Sebagaimana firman Allah s.w.t juga:
    i- {Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main; Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).} (Ad-Dukhaan 44: 38-39)

ii- {\”Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?\”} (Al-Mu\’minuun 23:115)

iii- {Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.} [Az-Zaariyaat 51:56].

Inilah dua makhluk yang ada taklif (kewajipan) iaitu jin dan manusia.
Manakala malaikat ia dicipta tanpa nafsu, untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t selamanya.

  1. Begitulah malam dan siang silih berganti, matahari dan bulan berjalan di atas paksinya, beredar mengikut perintah Allah sehingga suatu masa yang ditetapkan, iaitu hari Kiamat. Inilah tanda-tanda Allah s.w.t yang besar & tinggi.
  2. Allah s.w.t tutup ayat ini mengingatkan kita akan dua sifat-Nya; Dia lah Yang Maha Kuasa (الْعَزِيزُ), lagi Yang sentiasa Mengampuni (الْغَفَّارُ). Yakni walaupun Allah Maha Berkuasa untuk menghukum dan membinasakan makhluk-Nya yang kufur dan berdosa, TETAPI dalam masa sama Dia Maha Mengampun bagi mereka yang insaf dan bertaubat kembali kepada-Nya!
  3. Ayat berikutnya dalil kekuasaan Allah s.w.t yang ada dalam diri manusia itu sendiri.

AYAT 6- {IA MENCIPTAKAN KAMU DARI DIRI YANG SATU (ADAM), KEMUDIAN IA MENJADIKAN DARIPADANYA – ISTERINYA (HAWWA); DAN IA MENGADAKAN UNTUK KAMU BINATANG-BINATANG TERNAK DELAPAN EKOR: (EMPAT) PASANGAN (JANTAN DAN BETINA). IA MENCIPTAKAN KAMU DALAM KANDUNGAN IBU KAMU (BERPERINGKAT-PERINGKAT) DARI SATU KEJADIAN KE SATU KEJADIAN. DALAM TIGA SUASANA YANG GELAP-GELITA. YANG DEMIKIAN (KEKUASAANNYA) IALAH ALLAH TUHAN KAMU; BAGINYALAH KEKUASAAN YANG MUTLAK; TIADA TUHAN MELAINKAN DIA; OLEH ITU BAGAIMANA KAMU DAPAT DIPESONGKAN (DARI MEMATUHI PERINTAHNYA)?} (AZ-ZUMAR 39:6)

  1. Allah yang menciptakan kamu dari diri yang satu iaitu nabi Adam a.s.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam).} (Al-An\’aam 6:98)
  3. Kemudian darinya (Adam) dicipta pula pasangannya (زَوْجَهَا) iaitu Hawa sebagai isterinya.
    Firman Allah s.w.t:
    {Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.} (An-Nisaa\’ 4:1)
  4. Hadis – Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا
    \”Nasihatilah para wanita dengan baik kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah (jaga, caknalah) akan para wanita\”. [HR al-Bukhari].

Hadis ini lebih kepada gambaran, tentang tulang rusuk itu, bandingan akan sifatnya.

Ini dalil bahawa para suami kena jaga dan nasihati para isteri yakni wanita dengan baik dan berhikmah agar tidak rosak jiwa dan perangainya.

  1. Siap dalil tentang penciptaan manusia, Allah s.w.t ceritakan pula tentang kejadian haiwan.
  2. Allah s.w.t ciptakan (أَنْزَلَ) untuk kamu pula haiwan ternakan (الْأَنْعَامِ) 8 jenis atau 4 pasang iaitu:
    i- unta jantan & betina.
    ii- lembu jantan & betina.
    iii- biri-biri jantan & betina.
    iv- kambing jantan & betina.
  3. Haiwan ini ialah haiwan ternakan yang jinak (الْأَنْعَامِ بهيمة), yang dipelihara oleh manusia untuk mengambil faedah dan kegunaan darinya. Seperti daging dan susu lembu, unta sebagai tunggangan dan pengangkutan, susu & daging kambing, bulu biri-biri dan lain-lain faedah yang banyak.
  4. Firman Allah s.w.t:
    i- (Binatang ternak itu) delapan ekor – (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): \”Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (Syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar\”.} (Al-An\’aam 6:143)

ii- {Dan dari unta dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari lembu dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad): \”Adakah yang diharamkan Allah itu dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya?
Ataupun kamu ada menyaksikan ketika Allah menyuruh serta menentukan kepada kamu (atau kepada datuk nenek kamu) dengan yang demikian ini?\” Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.} (Al-An\’aam 6:144)

  1. Allah menceritakan kamu semua diciptakan berperingkat demi peringkat, bermula dari dalam rahim ibunya. Prosesnya lama sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w ini:
  2. Hadis Kejadian Manusia.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بنِ مَسْعُوْدْ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: حَدَّثَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ الصَّادِقُ الـْمَصْدُوْقُ: (إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ یَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الـْمَلَكُ فَيَنفُخُ فِيْهِ الرٌّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَالله الَّذِيْ لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَايَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا). رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas\’ud r.a., beliau berkata Rasulullah S.A.W menceritakan kepada kami, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan.

\”Sesungguhnya seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk:
i- air mani,
ii- kemudian dia menjadi seketul darah selama tempoh itu,
iii- kemudian dia menjadi seketul daging selama tempoh itu juga,
iv- kemudian Allah mengutuskan kepadanya satu malaikat lalu dia meniupkan ruh padanya.

Malaikat itu disuruh oleh Allah dengan 4 kalimah; iaitu menulis rezekinya, ajalnya, amalannya, dan celaka atau bahagia janin tersebut.

Maka demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, sesungguhnya seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak tinggal antaranya dengan syurga kecuali sehasta, takdir yang telah ditulis mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia memasuki neraka.

Sesungguhnya seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga tidak tinggal antaranya dengan neraka kecuali sehasta, lalu takdir yang telah ditulis mendahuluinya lantas dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu dia memasuki syurga.\” (HR al-Bukhari dan Muslim).

  1. Kejadian penciptaan janin ini berlaku dalam tiga suasana yang gelap-gelita:
    i- dalam perut ibu.
    ii- dalam rahim ibu
    iii- dalam bungkusan tembuni.
  2. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (A-li\’Imraan 3: 5-6)

  1. Semua ini adalah dengan kekuasaan Allah s.w.t yang mutlaq yang tidak boleh dilawan dan dibantah! Tiada yang tersembunyi dari-Nya samada di langit atau di bumi! Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Berhak disembah dan dipuja-puji!
  2. Jadi bagaimana dengan semua dalil yang jelas dan keterangan hujjah ini kamu masih tidak berfikir dan tidak mahu terima lagi kekuasaan Allah s.w.t? Masih terpesong dari mematuhi arahan dan perintah Allah s.w.t!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 5- {Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya); dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, – tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.}- Allah membawa 3 dalil di atas iaitu; dalil kejadian langit, bumi dan siang & malam.

Tiga dalil yang besar untuk menunjukkan betapa Allah s.w.t yang Dia-lah Yang Maha Kuasa, kuasa mutlaq dan penuh. Yang perlu kita takuti dan geruni untuk ingkar dan melanggar perintah-Nya.

Tetapi dalam masa yang sama Allah s.w.t bawa satu lagi sifat-Nya yang membawa harapan dan peluang kepada manusia iaitu lagi Yang sentiasa Mengampuni, luas rahmat dan kasihan-belas-Nya.
Jika kamu tersilap dan bersalah, masih ada harapan, boleh minta ampun dan maaf!

Munasabah kepada sifat Allah Yang sentiasa Mengampuni ini juga menunjukkan akan rahmat Allah s.w.t apabila kita mati nanti, yakni apabila habis tempohnya ajal kita dan usia dunia ini, apabila matahari dan bulan habis tempohnya! Yakni apabila kita mati jangan takut, kerana itu apabila masih hidup inilah kita kena bertaubat dan minta pengampunan Allah s.w.t!

  1. Ayat 5- {Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar;} – perkataan yang sebenarnya ini (بِالْحَقِّ) untuk menunjukkan bahawa Allah s.w.t yang mencipta semua langit dan bumi ini dan menolak fahaman puak falsafah dan atheis bahawa dunia ini terjadi secara tabi\’i (nature) begitu saja tanpa Pencipta.
    Alam ini dicipta oleh Allah s.w.t, Tuhan yang wujud dan berkuasa.

Begitu juga perkataan malam melingkari (وَيُكَوِّرُ) siang & siang melingkari malam pula menunjukkan dalil bahawa bumi ini bulat dan keduanya bergilir silih berganti.

  1. Ayat 5- {Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya);- pertukaran malam dan siang ini menunjukkan sempurnanya kuasa penciptaan Allah s.w.t yang menjadikan malam dan siang silih berganti, membawa manfaat yang banyak, penuh hikmah dan faedah kepada manusia.

Allah s.w.t suruh kita fikir dan bayangkan jika:
Firman Allah s.w.t: {Katakanlah: \”Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?\”} (Al-Qasas 28:71)

Ini semua ilmu tadabbur untuk berfikir dan meyakinkan akan kekuasaan dan hikmah kebijaksaan Allah s.w.t dalam semua kejadian penciptaan-Nya ini!

  1. Ayat 6- {Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya – isterinya (Hawa);- Allah s.w.t cipta kamu dari diri yang satu, Adam kemudian (ثُمَّ) dicipta Hawa.
    Kenapa kemudian yang bermakna selepas? Bukankan Hawa dicipta dari Adam, sebelum anak-cucu Adam lagi.
    Kata ulama\’: Perkataan kemudian (ثُمَّ) ini adalah susunan (tertib) dalam bentuk cerita (akhbar) bukan dalam turutan mengadakan.

Ayat ini juga untuk menolak fahaman puak Atheis (ملحدة), antaranya seperti Teori Darwin yang mengatakan manusia ini berasal dari monyet kemudian berevolusi berkembang menjadi manusia.

  1. Ayat 6- {dan Ia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak delapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina).} – dalam ayat ini Allah s.w.t menggunakan perkataan (أَنْزَلَ) yang bermaksud diturunkan dalam bahasa Arab.
    Adakah ini bermakna haiwan itu turun dari langit???

Ulama\’ tafsir beri dua pandangan:
i- kerana binatang itu tidak boleh hidup tanpa rumput dan tumbuhan, tumbuhan itu pula hidup tumbuh dengan air hujan yang turun dari langit.
Maka kerana itu digunakan perkataan (أَنْزَلَ)- diturunkan dari langit iaitu air, asalnya. Yakni dinamakan musabbab itu dengan sebabnya.

ii- diterjemahkan (أَنْزَلَ) terus dengan maksud Allah s.w.t mengadakan, menciptakan seperti dalam Kitab Tafsir kita ini, bukan dengan diturunkan.

Ayat ini juga menunjukkan kejadian haiwan bukan seperti kejadian manusia.
Haiwan itu dicipta terus secara berpasang-pasang, yang jantan dan betina dicipta secara berasingan, masing-masing dicipta, menjadi lapan jenis haiwan. Manakala manusia bermula dari Adam, kemudian Hawa dijadikan selepas Adam, dari tulang rusuknya.

3 Kegelapan dalam penciptaan manusia pula menunjukkan dalil ilmu dan kekuasaan Allah s.w.t yang amat meliputi dan sempurna dalam semua perkara.
Rahsia dalam perut ibu hanya Allah s.w.t yang tahu sehinggalah kita dilahirkan.

Kita yakin dan percaya bahawa Allah s.w.t ciptakan kita dengan tujuan yang besar, untuk beribadat kepada-Nya.
Ya Allah jadikanlah kami hamba-Mu yang soleh dan solehah, sentiasa tunduk beribadat kepada-Mu.

Powered by BetterDocs