SURAH SABA\’ : AYAT 34-39

\"\"

SIKAP PARA PEMBESAR TERHADAP RASUL, BERBANGGA DENGAN RAMAI ANAK & REZEKI ADALAH DARI ALLAH.

Full video : https://youtu.be/RjMNyhDMy-k

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t kisahkan sikap para pembesar, orang kaya dan hebat, sikap mereka terhadap para rasul-rasul a.s. Mereka sombong, takabbur dan bangga dengan banyaknya harta, ramainya anak keturunan, pangkat kedudukan, mewahnya hidup dan ramainya pengikut.
  2. Lalu Allah s.w.t peringatkan bahawa semua itu banyaknya harta, ramainya anak keturunan adalah rezeki yang Allah beri, bukan semata-mata yang mereka cari. Rezeki yang Allah beri, ada orang walaupun kaya dan isteri ramai, tetapi mandul, ada orang yang harta sedikit tetapi anak ramai. Itu semua rezeki Allah yang anugerahkan.
  3. Kerana itu jangan sombong dan takabbur dengan apa yang kita dapat atas dunia ini. Semua rezeki yang Allah bagi ada yang luas yang sempit. Orang yang kaya jangan sombong kepada yang miskin, semua saling bergantung dan memerlukan antara satu sama lain. Orang kaya perlu pekerja, orang miskin perlu upah alhamdulillah.
  4. Kesinambungan kisah kali ini dengan siri yang lalu ialah apabila dalam ayat 31 Allah sebut kata-kata kaum musyrikin kepada Rasulullah s.a.w: {Dan orang-orang yang kafir berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran ini dan tidak juga kepada Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya\”.}
    Mereka merujuk kepada kaum yahudi yang ada kitab Taurat, dan dalam Kitab Taurat itu ada disebut tentang sifat dan cerita tentang nabi akhir zaman yang betul-betul kena dan tepat dengan Nabi Muhammad. Mendengarnya mereka amat terkejut dan marah lalu terus menolak menafikan juga tentang kebenaran semua kitab-kitab lain!
  5. Mereka pada asalnya percaya kepada yahudi, ingin cari bukti untuk mendustakan Rasulullah s.a.w dan al-Quran, tetapi sebaliknya yang berlaku! Lalu dengan marah mereka mengumumkan bahawa mereka sekali-kali tidak akan percaya kepada Al Qur\’an dan kitab-kitab sebelumnya; Taurat dan Injil.

AYAT 34- {DAN KAMI TIDAK MENGUTUS KEPADA SESEBUAH NEGERI: SESEORANG RASUL PEMBERI AMARAN MELAINKAN ORANG-ORANG YANG BERADA DALAM KEMEWAHAN DI NEGERI ITU BERKATA: \”SESUNGGUHNYA KAMI TETAP MENGINGKARI APA YANG KAMU DIUTUSKAN MEMBAWANYA\”.} (SABA\’ 34:34)

  1. Allah menyatakan bahawa apabila setiap kali Dia mengutus Rasul-Nya kepada setiap negeri itu (قَرْيَةٍ), pasti orang kaya, pembesar negeri itu, iaitu golongan yang Allah panggil sebagai (مُتْرَفُون), akan menolak dengan angkuh dan sombongnya.
  2. Mereka terus tutup pintu hati dan perbincangan, tidak mahu dengar dan berfikir sebelum menolaknya. Setelah mereka tolak, ketepikan dan hina Rasulullah s.a.w dengan bermacam fitnah dan tuduhan jahat, sehingga kepada perancangan jahat untuk membunuhnya.
  3. Rasulullah s.a.w sebagai manusia yang punya hati dan perasaan pastilah akan terasa juga sedih dan kecewa, jadi Allah s.w.t turunkan ayat ini untuk menenangkan hati Baginda s.a.w.
  4. Bahawa bukan Baginda seorang saja yang menghadapi ujian ini, rasul-rasul lain sebelumnya juga menghadapi tentangan begini juga dari para pembesar dan orang kaya, diikuti oleh para miskin yang menjadi pak turut.
  5. Kerja para rasul yang diutuskan itu ialah memberi amaran kepada penduduk negeri tersebut, jika tidak mahu ikut dan tidak mahu beriman, maka tunggulah saat kehancuran.
  6. Tentang malangnya mereka golongan (مُتْرَفُون) bukan takut atau insaf, bahkan membalas balik dengan kata hinaan, cercaan dan kutukan kepada para rasul, dan mengumumkan dengan bangganya: {\”Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya\”.}
  7. Begitulah keadaan manusia hari ini, apabila ditegur- bukan hendak muhasabah dan berubah, bahkan orang yang diberi nasihat pula akan dikecam dan dihina!

{AYAT 35 – {DAN MEREKA BERKATA LAGI: \”KAMI LEBIH BANYAK HARTA BENDA DAN ANAK PINAK, DAN KAMI PULA TIDAK AKAN DISEKSA\”.} (SABA\’ 34:35)

  1. Mereka kemudiannya membandingkan diri mereka dengan para rasul itu sambil berbangga dengan harta dan anak-anak yang banyak, pengikut yang ramai.
  2. Kemudian mereka membuat tanda aras sendiri, menyangka bahawa nikmat besar yang mereka miliki di dunia menunjukkan akan keredhaan Allah kepada mereka dan restu Allah kepada agama mereka. Dapat nikmat banyak kerana tuhan sayang kepada mereka!
  3. Lalu mereka juga menyangka bahawa tidak mungkin Allah akan mengazab mereka di akhirat kelak.
  4. Maka Allah s.w.t. menyanggah anggapan mereka itu. Dia berfirman kepada Rasulullah s.a.w. dalam ayat berikutnya ini;

{AYAT 36 – {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”SESUNGGUHNYA TUHANKU MEMEWAHKAN REZEKI BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, DAN DIA JUGA YANG MENYEMPITKAN (BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA); AKAN TETAPI KEBANYAKAN MANUSIA TIDAK MENGETAHUI (HAKIKAT ITU).} (SABA\’ 34:36)

  1. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w menjawab balik kata-kata mereka ini menyatakan bahawa Allah s.w.t memberikan rezeki-Nya sesiapa yang dikehendaki di atas dunia ini.
    Tidak semestinya apabila rezekinya sempit, orang miskin itu Tuhan tidak sayang atau orang kaya itu Tuhan sayang, bukan menjadi ukuran benar atau salah harta dan anak yang ramai.
  2. Allah s.w.t itu Maha Berkuasa dan Maha Kaya, yakni semua itu ada hikmahnya kerana Allah s.w.t jua yang maha Mengetahui keadaan hamba-Nya.
    Seperti bahawa mereka saling memerlukan antara yang kaya dan yang miskin.
    Dia meluaskan dan menyempitkan rezeki sesiapa yang dikehendaki-Nya.
  3. Tetapi kebanyakan manusia itu (أَكْثَرَ النَّاسِ) tidak tahu, tidak tahu hakikat agama, tidak kenal Allah, tidak bersyukur kepada Allah s.w.t akan segala nikmat kurniaan. Sedikit sekali hamba Allah yang bersyukur sebagaimana dua orang nabi yang menjadi raja, dikurniakan kekayaan dan kekuasaan tetapi amat banyak bersyukur iaitu Nabi Daud dan Sulaiman a.s.

{AYAT 37 – {DAN BUKANLAH HARTA BENDA KAMU DAN TIDAK JUGA ANAK PINAK KAMU YANG MENDAMPINGKAN KAMU DI SISI KAMI WALAU SEDIKITPUN, KECUALI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, MAKA MEREKA ITU AKAN BEROLEH BALASAN YANG BERLIPAT GANDA DISEBABKAN APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN; DAN MEREKA PULA DITEMPATKAN DALAM MAHLIGAI-MAHLIGAI (DI SYURGA) DENGAN AMAN SENTOSA.} (SABA\’ 34:37)

  1. Dengan ayat ini Allah membatalkan fahaman orang kafir (bahkan sebahagian orang Islam pun), bahawa tanda Allah s.w.t sayang ialah dengan banyak harta, ramai anak, ramai pengikut! Tidak sama sekali, Allah s.w.t menafikannya.
  2. Hadis dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, \”Sesungguhnya Allah tidak melihat pada bentuk rupa dan harta benda kamu. Akan tetapi, Allah hanyalah melihat pada hati dan amalan kamu.\” [HR Muslim].
  3. Manusia yang beriman dan beramal soleh itu yang Allah sayang, Allah tidak lihat kepada zahir rupa paras manusia, Allah nilai hamba-Nya melalui:
    i- hati kita; ikhlas atau tidak kemudian
    ii- dengan amalan zahir kita; adakah bertepatan dengan Sunnah Nabi s.a.w atau tidak. Inilah juga neraca untuk amalan soleh.
  4. Kita ambil pendekatan yang ringkas dan mudah:
    i- untuk amalan hati dan tasauf kita boleh baca dan rujuk kepada Kitab Riyadhus-Solihin, kitab murni untuk baiki akhlak dan sifat perangai secara umumnya.
    ii- kemudian kita suka berzikir maka rujuklah kitab Perisai Muslim sebagai panduan, jika dah khatam, nak tambah lagi ambil pula kitab al-Azakr yang disusun oleh Imam an-Nawawi.
    *Serta banyak lagi kitab-kitab lain untuk dipelajari jika kita ada masa dan peluang.
  5. Dengan masa kita yang terhad ini, jika kita dapat mengamalkan Sunnah yang diajar oleh Rasulullah sepenuhnya, setakat yang mampu sudah cukup untuk memenuhi timbangan amal kita. Tidak perlu kita cari yang lain, yang pelik-pelik yang tidak pasti dari mana sumbernya.
  6. Allah kata mereka ini akan mendapat balasan yang berlipat ganda atas apa yang telah mereka kerjakan. Amal kebaikan ini dilipat-gandakan pahalanya menjadi sepuluh kali ganda sampai tujuh ratus kali ganda, bahkan berapa kali gandaan yang banyak, tanpa had (unlimited) yang tidak diketahui kecuali oleh Allah s.w.t.
  7. Mereka juga akan ditempatkan dalam bilik-bilik (الْغُرُفَاتِ) yang tertinggi di dalam syurga dalam keadaan aman sentosa. Yakni aman dari segalanya, aman dari rasa takut dan kematian, aman dari perasaan cemburu dan hasad dengki, aman dari penyakit dan kesakitan. Mereka mendapat berbagai nikmat dan kesenangan.
  8. Firman Allah s.w.t tentang bilik-bilik (الْغُرُفَاتِ ) dalam Syurga ini:

i- {Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat bilik-bilik (الْغُرْفَةَ) di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya.} (Al-Furqaan 25:75)

ii- {Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) bilik-bilik (غُرَفٌ) yang bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.} (Az-Zumar 39:20)

  1. Hadis riwayat dari Abu Said al-Khudri r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Sesungguhnya penghuni tingkat-tingkat syurga tertinggi itu dilihat oleh penghuni tingkat syurga di bawahnya bagaikan bintang-bintang yang berkelipan di ufuk langit timur dan barat (berbezanya tingkat syuga berdasarkan amalan mereka di dunia dulu).
    Sahabat bertanya: \”Wahai Rasulullah, adakah itu darjat untuk para nabi-nabi yang tidak akan sampai orang biasa?\”
    Rasulullah menjawab: \”Bahkan, ya! Tetapi juga untuk semua lelaki (dan perempuan) yang beriman dengan Allah dan membenarkan apa yang dibawa oleh para rasul a.s, mereka juga akan berada di tingkat itu.\” [HR Bukhari & Muslim].
    *Ya Allah jadikan kami penghuni bilik-bilik Syuga yang penuh nikmat ini!
  2. Satu hadis lagi menceritakan tentang siapakah yang layak untuk bilik-bilik ini:
    Rasulullah s.a.w. bersabda, \”Sesungguhnya di dalam syurga benar-benar terdapat bilik-bilik yang tinggi, bahagian luarnya terlihat dari bahagian dalamnya dan bahagian dalamnya terlihat dari bahagian luarnya.\”
    Seorang sahabat bertanya, \”Untuk siapakah bilik-bilik itu?\” Rasulullah s.a.w. menjawab, \”Bagi orang yang bertutur kata baik, memberi makan (orang-orang fakir miskin), rajin berpuasa, dan gemar solat di malam hari ketika manusia sedang tidur.\” [HR Ahmad & At-Tabarani, Hasan, Sahih].
  3. Penjelasan tentang sifat-sifat ini:
    i- Ingat bercakap baik dan lemah-lembut bukan hanya setakat itu saja, mesti benar, tidak auta atau menipu, terutama dalam agama.
    ii- memberi makan kepada orang samada menjamu atau memberi bahan mentah, atau menyumbang tenaga menyediakan jamuan.
    iii- rajin melakukan ibadat puasa yang sunat disamping yang wajib.
    iv- bangun beribadat pada waktu malam pada ketika orang lain sedang tidur.

{AYAT 38 – {DAN ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MENENTANG DAN MEMBATALKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI SAMBIL MENYANGKA DAPAT MELEPASKAN DIRI (DARI HUKUMAN KAMI), MEREKA ITU AKAN BERADA DI DALAM AZAB SEKSA.} (SABA\’ 34:38)

  1. Manakala orang yang sebaliknya, mereka yang berusaha menentang ayat-ayat Allah iaitu mereka yang berusaha menghalang-halangi jalan agama, enggan mengikuti rasul-rasul, menyekat manusia dari jalan Sunnah Rasulullah s.a.w dan tidak percaya kepada ayat-ayat al-Quran.
  2. Mereka menyangka dan menganggap dapat menggagalkan atau melepaskan diri dari azab hukuman Allah, sedangkan mereka itu akan dimasukkan ke dalam azab. Mereka semuanya akan mendapat balasan yang sesuai dengan amal perbuatan mereka masing-masing.

{AYAT 39 – {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”SESUNGGUHNYA TUHANKU MEMEWAHKAN REZEKI BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DI ANTARA HAMBA-HAMBANYA, DAN IA JUGA YANG MENYEMPITKAN BAGINYA; DAN APA SAHAJA YANG KAMU DERMAKAN MAKA ALLAH AKAN MENGGANTIKANNYA; DAN DIA LAH JUA SEBAIK-BAIK PEMBERI REZEKI\”.} (SABA\’ 34:39)

  1. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk berkata lagi kepada mereka bahawa semua rezeki itu dari Allah s.w.t, samada banyak atau sedikit, kaya atau miskin, luas atau sempit, semua atas kehendak dan aturan Allah s.w.t!
  2. Serta jangan takut untuk mendermakan harta kamu di jalan Allah, Dia akan menggantikannya!! Samada harta itu bertambah semua secara zahir atau harta yang ada itu akan menjadi berkat dan mencukupi. Cara Allah ganti rezeki itu bermacam-macam mengikut kehendak-Nya.
  3. Beberapa hadis tentang galakan untuk bersedeqah dan balasannya;
    i- Hadis Qudsi: Rasulullah s.a.w bersabda bahawa: \”Allah s.w.t. berfirman, \”Berinfaklah kamu, maka Aku akan menggantinya kepadamu.\”\” [HR Bukhari & Muslim].

ii- Hadis dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Tidak akan berkurangan harta yang kamu sedekahkan itu.\” {HR Muslim].

iii- Rasulullah s.a.w bersabda: Bahawa setiap pagi hari ada dua malaikat yang salah satunya berdoa, \”Ya Allah, berikanlah kerosakan kepada orang yang kikir,\” sedangkan yang lain mengatakan dalam doanya, \”Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak.\” [HR Bukhari & Muslim].

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 34- { orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: \”Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya\”.} – peringatan agar jangan menjadi orang kaya yang sombong dan takabbur (مُتْرَفُون). Orang kafir akan bertambah kufur manakala orang beriman juga kena hati-hati. Rasulullah s.a.w melarang agar jangan terlalu sombong dan terlalu menikmati kemewahan kerana dibimbangi akan menjadi sombong dan tidak syukur kepada Allah s.w.t, lalu menentang dakwah Nabi s.a.w dan mengingkari Sunnahnya.
  2. Ayat 36 – {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).} – ini menunjukkan bahawa banyak atau sedikit harta di dunia ini bukan tanda Allah sayang atau benci, orang itu betuk atau salah. Ia hanya satu ujian untuk Allah s.w.t lihat, betapa ramai orang kaya yang sombong dan jahat, juga betapa ramai orang miskin yang bersyukur dan bertaqwa. Begitu juga yang sebaliknya!
    Begitu juga ramai atau sedikit pengikut bukan tanda benar atau salah seorang pendakwah itu. Tandanya ialah lihat kepada ilmu yang diajarnya itu.
  3. Ayat 36 – {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya);- rezeki itu di bawah kuasa Allah.
    Ayat ini mengajar kepada kita agar jangan menuntut rezeki kepada selain dari Allah. Wajib kita berusaha tetapi kena ingat bahawa Pemberi Rezeki itu Allah s.w.t! Berusaha kemudian bertawakkal-lah kepada Allah s.w.t.
    Hadis Rasulullah s.a.w: \”Seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah S.W.T. kepadanya. Maka takutlah kepada Allah S.W.T. dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah S.W.T. tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan cara ketaatan.\” [Ibnu Majah & at-Tabarani].
  4. {Ayat 37 – {Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun,}- banyaknya harta dan ramainya anak bukan dalil seorang itu dekat dan baik kepada Allah s.w.t. Yang mendekatkan kita kepada Allah s.w.t ialah melalui iman dan amal soleh!
  5. Ayat 34- {Dan Kami tidak mengutus kepada sesebuah negeri: seseorang Rasul pemberi amaran} – dalam ayat ini Allah sebut rasul yang diutus itu hanya sebagai naziran (نَذِيرًا) pemberi amaran, tidak ada basyiran (بَشِيرًا)- pemberi khabar gembira. Ini menunjukkan kelebihan kita umat Nabi Muhammad s.a.w kerana Rasulullah s.a.w. itu sifat dan dakwahnya membawa dua-dua khabar gembira dan amaran.
    Manakala dakwah Nabi dahulu, banyak khabar amaran, khabar gembira tidak banyak kerana puaknya amat keras kepala.
  6. Ayat 37 – {maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda} – pahala kebaikan untuk iman dan amal soleh akan berganda, minima 10x ganda, pertengahan 700x ganda, maksimumnya tanpa hisab, unlimited. Masya\’ Allah.
  7. Ayat 39 – {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya} – ayat ini menunjukkan sempurnanya ketuanan Rububiyyah Allah s.w.t dan kesultanan kuasa -Nya mutlak. Dia boleh bagi rezeki luas, atau sempit; tidak boleh dipertikaikan kenapa dia kaya kenapa aku miskin!
    Tetapi manusia tidak begitu, seperti kita hari ini yang rezeki/harga barang itu boleh jadi naik turun dan atas pemerintah bertanggung-jawab untuk memantau secara adil.
  8. Ayat 39 – {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya} – ayat ini menunjukkan nikmat Akhirat tidak menafikan nikmat atas dunia ini. Allah berkuasa memberinya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, ada orang soleh yang hidupnya mewah dan senang atas dunia, serta akan menikmati pula nikmat dalam syurga nanti. Ada orang yang miskin dan susah di dunia dan di akhirat nanti baru senang.
    Yang kita tidak mahu miskin dunia dan di akhirat nanti miskin juga, inilah orang yang amat malang!!

Kisah tauladan: Sahabat yang kaya Abdur Rahman bin Auf r.a yang Allah s.w.t luaskan rezekinya, apa yang dia sentuh akan beroleh untung berganda-ganda, sehinggakan dia sering menangis takut apa yang diperolehinya dari nikmat dunia ini akan memberi kesan kepada akhiratnya nanti.

  1. Ayat 39 – {Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya;}- ayat ini menggalakkan kita untuk berinfaq, sesiapa yang buat kebaikan Allah s.w.t jamin akan mengganti atau membalasnya, maka kita jangan takut habis harta untuk menderma.
    Maka sesiapa yang diluaskan rezekinya, marilah kita turun padang dari keselesaan hidup, balik ke kampung masing-masing, cari keluarga dan kaum kerabat yang memerlukan bantuan, jiran yang miskin, keluarga yang susah.
    Selain dari mendapat pahala bersedekah, juga pahala berbuat baik kepada kaum keluarga dan merapatkan silaturrahim. Program NGO dan lain-lain itu boleh diteruskan juga cuma kita cuba utamakan kaum keluarga yang susah dulu.
    Bagi yang bakhil Allah s.w.t telah memaksanya dengan tetapkan 1/40 dari harta si kaya untuk orang miskin sebagai zakat.
  2. Ayat 39 – {dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki\”.} – Allah-lah sebaik-baik dan yang betul-betul memberi rezeki.
    (وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ)
    Kita manusia hanya penyampai kepada rezeki yang Allah bagi.
    Walaupun dalam beberapa ayat ada kewajipan kepada ketua keluarga untuk memberi rezeki kepada tanggungan di bawahnya:
    i- Firman Allah s.w.t untuk suami: {dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.} (Al-Baqarah 2:233)
    ii- Firman Allah s.w.t untuk bapa: {dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan),} (An-Nisaa\’ 4:5)

Tetapi Pemberi rezeki yang sebenar adalah Allah Azza wa Jalla yang sebaik-sebaik pemberi rezeki!
Kerana itu kita jangan sombong dan takabbur, kita hanya tolong menyampaikan dan berkongsi rezeki yang Allah berikan untuk kita.

Powered by BetterDocs