SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 27-31

\"\"

AL-QURAN PENUH DENGAN BANDINGAN UNTUK DIFIKIRKAN, BANDINGAN SYIRIK DENGAN DUA AHLI SYARIKAT YANG BURUK PERANGAI & KITA SEMUA AKAN MATI DAN AKAN DIBICARAKAN.

Full video : https://youtu.be/aUoWJH2dbB4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t buat banyak perbandingan (mithal) dalam al-Quran untuk difikirkan oleh manusia.
  2. Antaranya ialah golongan syirik itu seperti seorang hamba yang dimiliki oleh dua orang tuan atau lebih!
    Bagaimanakah keadaannya? Adakah tenang dan aman?
  3. Allah s.w.t menegaskan bahawa Rasulullah s.a.w akan mati, kita semua juga akan mati.
    Kemudian semua orang akan dibicarakan di hadapan Allah pada hari Kiamat kelak.
  4. Allah s.w.t sudah banyak kali membawa faedah yang berulang dan bernilai dalam al-Quran ini. Salah satunya ialah perbandingan dan mithal dalam al-Quran dalam segala bentuk dan lapangan untuk manusia berfikir lalu mengambil faedah darinya.
  5. Dengan selesainya ayat 31 ini berakhirlah juz ke 23 dan akan kita masuk ke dalam juz 24 dengan ayat 32 dalam siri berikutnya, insya\’ Allah.

AYAT 27- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENGEMUKAKAN KEPADA UMAT MANUSIA BERBAGAI MISAL PERBANDINGAN DALAM AL-QURAN INI, SUPAYA MEREKA MENGAMBIL PERINGATAN DAN PELAJARAN.} (AZ-ZUMAR 39:27)

  1. Allah s.w.t memberi peringatan dan bandingan kepada manusia melalui al-Quran untuk mereka mengambil peringatan!
  2. Semua peringatan dan perbandingan Allah s.w.t telah sebut dan bawa berulang kali kepada manusia dalam perbagai bentuk dan semua sudut daripada apa yang mereka perlukan daripada contoh bandingan dan lain-lain.
  3. Sebagaimana yang Allah s.w.t gambarkan juga dalam surah ini:
    i- {Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
    (Al-An\’aam 6:38)

ii- {Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran.} (Al-Israa\’ 17:89)

  1. Ini kerana supaya manusia dapat:
    i- mengingati yang benar,
    ii- mengambil pengajaran,
    iii- meninggalkan kesesatan yang mereka berpagang dengannya.
  2. Tujuan Allah s.w.t bawa misal perbandingan ini supaya manusia mengambil peringatan dan pelajaran. Dalam al-Quran apabila dibawa sesuatu Allah s.w.t akan nyatakan sebab- tujuan dan matlamatnnya.

AYAT 28- {LAITU AL-QURAN YANG BERBAHASA ARAB, YANG TIDAK MENGANDUNGI SEBARANG KETERANGAN YANG TERPESONG; SUPAYA MEREKA BERTAQWA.} (AZ-ZUMAR 39:28)

  1. Salah satu sifat al-Quran itu ialah ianya dalam Bahasa Arab (عَرَبِيًّا).
    Kata ulama\’ tafsir keseluruhannya sebuah itu adalah dalam bahasa Arab.
    Kecuali sebutan nama-nama khas ada yang bukan Arab.
  2. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.} (Yusuf 12:2)
  3. Ini kerana pada waktu al-Quran diturunkan, Rasulullah s.a.w dikelilingi oleh kalangan pakar dan ahli sastera bahasa Arab yang fasih dan hebat dari sudut bahasa. Kaum Rasulullah s.a.w juga adalah bangsa Arab yang menggunakan bahasa Arab. Yakni bahasa lidah mereka.
  4. Jadi tiada alasan untuk mereka mengatakan tidak faham atau memperlekehkan bahasa al-Quran yang tinggi sastera dan fasih bahasannya ini, berfakta dan maklumat yang mudah difahami.
    Ini supaya mereka faham, beramal dan bertqwa takut kepada azab Allah s.w.t dengan cara mengikut arahan dan menjauhi larangan.
  5. Tetapi malangnya mereka buat-buat tak faham, lawan tetap lawan sehinggalah mereka mati tertawan!
  6. Sifatnya kedua adalah tidak ada penyelewengan (غَيْرَ ذِي عِوَجٍ). Iaitu Al-Quran semuanya berfakta, maklumat yang benar ilmunya, tiada yang auta atau palsu.
  7. Firman Allah s.w.t: {Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong):} (Al-Kahfi 18:1)
  8. Tujuan Allah s.w.t bawa turun al-Quran ini supaya mereka bertaqwa (لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ).
    Takut kepada kemurkaan dan azab Allah s.w.t, dengan cara mengikut arahan dan menjauhi larangan-Nya.
  9. Firman Allah s.w.t: {Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).} (Ad-Dukhaan 44:58)

AYAT 29- {ALLAH MEMBERIKAN SATU MISAL PERBANDINGAN: SEORANG HAMBA LELAKI YANG DIMILIKI OLEH BEBERAPA ORANG YANG BERKONGSI YANG BERTENTANGAN TABIAT DAN KEMAHUANNYA; DAN SEORANG HAMBA LELAKI YANG LAIN HANYA DIMILIK OLEH SEORANG SAHAJA; ADAKAH KEDUA-DUA HAMBA ITU SAMA KEADAANNYA (TENTULAH TIDAK SAMA). UCAPLAH: \”ALHAMDULILLAH\” (SEBAGAI BERSYUKUR TERHADAP PENJELASAN SOAL TAUHID ITU) BAHKAN KEBANYAKAN MEREKA (YANG MUSYRIK) TIDAK MENGETAHUI (HAKIKAT TAUHID).} (AZ-ZUMAR 39:29)

  1. Allah s.w.t membawa perbandingan analogi tentang syirik dengan membawa contoh seperti:
    i- seorang hamba/pekerja yang dimiliki oleh beberapa orang boss/pemilik syarikat atau rakan kongsi yang ramai, yang bertentangan tabia\’t dan kemahuan.

ii- seorang hamba lain yang menjadi milik kepada seorang tuan sahaja. Boss hanya satu sahaja!

Adakah hamba abdi itu sama keduanya? Dalam menjalani tugas hariannya adakah tenang tenteram, tidak mengalami konflik dan pertembungan?

  1. Ini adalah misal yang menggambarkan kaum kafir musyrikin yang menyembah banyak tuhan yang pelbagai-bagai, ada berhala ada batu ada kayu dan lain-lain. Pastilah mereka tidak berasa tenang, resah gelisah dan tenteram, sentiasa dalam kekeliruan dan tidak tahu kepada yang mana satu tuhan yang banyak itu hendak dituju pemujaan dan permintaan mereka! Mereka juga tidak tahu apa perkara-perkara yang disukai dan yang tidak disukai.
  2. Sebaliknya orang mukmin yang beriman dan menyembah Allah s.w.t yang Esa akan tetap berada dalam keadaan tenang tenteram. Ini kerana mereka sudah mengetahui dengan jelas apa yang disukai atau diredhai Allah s.w.t lalu mereka melakukannya, dan apa yang dibenci atau dimurkai Allah lalu mereka menjauhinya. Begitulah kita sepatutnya sebagai orang mukmin semuanya jelas, jangan Allah suruh lain kita buat lain, Nabi suruh pergi kanan kita pilih kiri!
  3. Dalam ayat ini Allah s.w.t buat bandingan yang cukup mudah untuk difahami! Seorang yang punyai ramai ketua atau hanya seorang ketua, pasti lain keadaannya.
  4. Maka jawapannya: Pastilah tidak akan sama sekali antara orang musyrikin yang menyembah banyak tuhan dengan seorang mulhid, ahli tauhid yang menyembah Allah yang Esa!
  5. Maka kita ucapkan: Alhmadulillah! Segala puji bagi Allah, yang telah menjelaskan masalah ini dengan nyata. Setelah batalnya, batilnya perkataan yang mensyirikkan Allah s.w.t, dan sabit jelas bahawa yang benarnya hanya Allah s.w.t YANG ESA sahaja, walaupun masih ramai manusia lain yang tidak nyata bagi mereka iaitu puak kafir.
  6. Di antara orang beriman pula, kita beringat, cara kita beristidlal, ada yang semata-mata ikut apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w tanpa menambahnya.
    Ada juga yang pandai-pandai pusing dan tambah, yang menyebabkan agama ini dirempuh masuk dengan pelbagai jenis perkara.
  7. Maka berhati-hatilah, kita semak balik apa yang kita lakukan, periksa balik maklumat yang kita dapat, agar kita tidak terperangkap dengan mainan syaitan yang mahu menyesatkan kita!

AYAT 30- {SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) AKAN MATI, DAN SESUNGGUHNYA MEREKA JUGA AKAN MATI.} (AZ-ZUMAR 39:30)

  1. Ayat ini adalah episod baru pula, bahawa semua manusia akan mati dan akan bertemu kembali di hadapan Allah dengan semua perkara yang telah kita lakukan ini!
  2. Setelah puak kafir tetap kekal dengan kekufurannya, keras kepala tidak mahu menerima kenyataan dan sombong tidak mahu menerima kebenaran.
    Maka Allah s.w.t menegaskan bahawa kita semua akan mati!
  3. Allah s.w.t katakan kepada Rasulullah s.a.w bahawa Baginda pasti akan mati, begitu juga semua pengikut dan penentang kamu dari umatnya, yang beriman dan yang kufur, semuanya akan mati.
  4. Terdapat 3 ayat dalam al-Quran yang menceritakan tentang bahawa Rasulullah s.a.w akan wafat. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).} (A-li\’Imraan 3:144)

Persoalan tentang hadis bilangan para nabi seramai 124 ribu orang. Ulama\’ hadis kata itu sahaja maklumat yang ada jadi kita sebut kerana itu sahaja yang disebut dalam kitab-kitab.

ii- {Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati. Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.} (Al-Mu\’minuun 23: 15-16)

iii- {Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya? Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.} (Al-Anbiyaa\’ 21: 34-35)
Nabi kita s.a.w sudah wafat, tetapi dia hidup di alam barzakh.
Bagaimana caranya para nabi dan syuhada\’ hidup di alam barzakh hanya Allah yang maha mengetahui.

AYAT 31- {KEMUDIAN, SESUNGGUHNYA KAMU SEMUA, PADA HARI KIAMAT, AKAN BERTENGKAR BERHUJAH DI HADAPAN TUHAN KAMU.} (AZ-ZUMAR 39:31)

  1. Ayat ini adalah satu amaran! Kamu semua akan bertengkar dan berhujjah (تَخْتَصِمُونَ) di hadapan Tuhan nanti. Iaitu kamu semua yang berasa betul & hebat, jika terus degil dan kerasa kepala di dunia ini, tak mengapa kita tunggu di hari Akhirat kelak!
  2. Kita semua akan berhujjah (تَخْتَصِمُونَ) di hadapan Allah s.w.t, kita akan lihat siapa benar dan siapa yang sesat, Allah s.w.t akan menjatuhkan hukuman-Nya!
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- { Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya (فِيهِ يَخْتَلِفُونَ).} (Al-Baqarah 2:113)

ii- {(Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya (فِيهِ يَخْتَلِفُونَ).} (As-Sajdah 32:25)

  1. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Az-Zubair bin Al-Awwam r.a, dia berkata: Ketika turunnya ayat 30 dan 31 Surah al-Zumar (di atas), Zubair bertanya: \”Wahai Rasulullah, apakah perkara yang terjadi di antara kita di dunia akan diungkit kembali di samping dosa-dosa peribadi?\”
    Baginda S.A.W menjawab:

نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَّ عَلَيْكُمْ حَتَّى يُؤَدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقٍّ حَقُّهُ

Maksudnya: \”Ya, benar. Semuanya akan diungkit semula sehingga setiap orang memperoleh hak yang semestinya.\”

Maka az-Zubair berkata: Demi Allah sesungguhnya urusan di Akhirat sangat berat! [HR at-Tirmizi (3236), Ahmad (1434) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (10638)]

  1. Kerana itu sepatutnya jika kita ada kes, kita selesaikan segera semasa hidup di atas dunia ini.
    Tetapi apa boleh buat, jika orang keras kepala, tidak mahu tunduk mengalah dan mahu guna kuasa yang dia ada, maka tak mengapalah kita jumpa di mahkamah Allah s.w.t yang Maha Agung!
  2. Maka sabarlah para pejuang, pendakwah dan pencinta Sunnah, segala tuduhan dan tohmahan ini tidak akan berlalu begitu saja, kita semua akan bertemu dan diadili dalam perbicaraan di hadapan Allah s.w.t kelak, insya\’ Allah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 27- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran ini,}- kata ulama\’ Allah s.w.t sebut beberapa perbandingan dalam al-Quran ini supaya kita membuat kajian dan mengambil peringatan.

i- Ini adalah di antara keistimewaan dan kelebihan (mazaya) al-Quran. Untuk menarik perhatian manusia supaya tadabbur al-Quran, kaji contoh-contoh itu dari sudut bahawa al-Quran itu mukijizat dan dari sudut balaghah yang tinggi.
Maka sepatutnya para guru, pendakwah, asatizah kena banyak membuat analogi perbandingan untuk memahamkan masyarakat akan apa yang hendak kita sampaikan. Kerana ini adalah uslub contoh yang dibuat oleh al-Quran.

ii- {supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran.}- supaya mereka sedar dan ingat. Ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t mencipta dan membuat sesuatu itu semuanya ada sebab, kebijaksanan, hikmah, manfaat dan faedah yang amat besar, tiada yang saja-saja atau sia-sia! Ini fahaman kita ahli Sunnah wal-Jamaah.
Golongan Jahmiyah mengatakan Allah s.w.t menjadikan makhluk ini dengan kuasa-Nya sahaja tiada hikmat atau manfaat apa, fahaman yang batil dan tidak tepat sekali!

  1. Ayat 28- {laitu Al-Quran yang berbahasa Arab,}- Allah s.w.t puji al-Quran kerana bahasa Arab ini adalah bahasa yang paling fasih.
    Kata ulama\’ tafsir:
    i- Ini juga menunjukkan tiada lafaz A\’jami (bukan Arab) dalam al-Quran kecuali nama khas seperti nama tempat dan nama orang (para nabi & rasul).

ii- Ayat ini juga menunjukkan kepada kita akan besar dan mulianya kedudukan bahasa Arab. Jangan kita rasa lekeh dan tidak berguna untuk mempelajarinya.

  1. Ayat 28- {yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.}- yakni tiada sebarang isi kandungannya yang terpesong (غَيْرَ ذِي عِوَجٍ), yang tidak betul dari segenap sudut; samada lafaz yang salah, gaya bahasa yang tidak fasih atau fakta/maklumat yang tidak benar!

Allah s.w.t juga memuji al-Quran dari segala sudut. Allah s.w.t gunakan lafaz (عِوَجٍ) – lafaz nakirah (umum bukan khas) yang menunjukkan satu penafian yang menyeluruh- lansung tiada sebarang kesalahan atau yang terpesong, tiada fakta yang tidak kemas atau terseleweng dalam al-Quran ini.

  1. Ayat 30- {Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.}- ini adalah satu peringatan bahawa kita semua akan mati! Ini adalah peringatan kepada kita bahawa mati itu pasti, samada yang mukmin atau yang kafir. Kemudian kita akan bertemu dengan Allah s.w.t.
    Ini kerana mati adalah akhir peringatan bagi orang lalai, yang lupa, orang yang terpengaruh dengan dunia, orang tak fikir, bila mati baru terngadah.

Hatta orang kafir percaya dan yakin akan kematian; ini kerana mereka telah lihat orang sebelum mereka yang telah tiada, Tetapi mereka tidak percaya dengan kebangkitan semula.
Kita yang mukmin ini percaya akan kebangkitan semula, tetapi kekuatan jiwa untuk membuat persiapan menghadapi kebangkitan semula ini berbeza; ada yang masya\’ Allah sudah buat persiapan yang rapi jika mati sekarang pun sudah bersedia. Ada yang on-off, ketika insaf ingat ketika lagha kembali terpedaya dengan dunia!

Tadabbur: Dalam ayat ini Allah s.w.t kata kita semua akan mati.
Timbul persoalan tidakkah bertentangan dengan ayat ini bahawa para syuhada\’ itu tidak akan mati?

Firman Allah s.w.t {Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.} (Al-Baqarah 2:154

Macamana kita nak faham, Rasulullah s.a.w sendiri akan mati tetapi dikatakan para syuhada\’ tidak mati, sedangkan Baginda lebih mulia dan afdhal daripada mereka?

Jawapan: Para syuhada\’ itu memang sudah mati dengan kematian dunia ini, hakikatnya mati yang sama dengan semua orang lain, meninggalkan dunia ini. Kerana itu dikira isteri mereka adalah janda, harta pusaka telah dibahagikan. Jika tidak mati macamana boleh semua itu. Inilah juga kematian yang diceritakan tentang Rasulullah s.a.w juga.

Cuma yang dikatakan tidak mati itu ialah kerana mereka hidup di alam barzakh, roh mereka hidup. Kerana itu bila mereka mati syahid, jasadnya dikebumikan, manakala rohnya hidup di dalam burung hijau yang beterbangan di bawah Arasy, Allahu Akbar. Allah s.w.t juga nyatakan ia adalah satu kehidupan yang kita tidak tahu macamana ianya!

Sama juga dengan Rasulullah s.a.w yang mengatakan dalam hadisnya bahawa setiap salam yang yang disampaikan kepadanya, malaikat akan bawa salam itu kepadanya dan Baginda akan menjawabnya. Begitu juga para nabi lain, kisah bagaimana Rasulullah s.a.w melihat nabi Musa a.s sedang solat. Inilah yang dikatakan hidup di alam barzakh, tetapi kita tidak tahu bagaimana caranya mereka hidup itu!

Sedangkan mati meninggalkan dunia ini sudah berlaku ke atas Baginda dan semua para anbiya\’ dan syuhada\’ itu! Tetapi yang pasti para nabi dan rasul itu hidup di alam barzakh, para syuhada\’ itu hidup di alam barzakh, bumi dan ulat tidak akan menyentuh jasad mereka! Bagaiamana caranya wallhu a\’lam.

  1. Ayat 31- {Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu.}- kemudian kita semua akan bertemu di hadapan Allah s.w.t, dan akan berlaku perbicaraan yang terakhir, siapa salah siapa benat akan terbongkar di sana.

Jika kita yakin dengan ajaran yang kita bawa dan pegang itu yang benar dan sahih, bertepatan dengan ajaran Allah s.w.t, Sunnah Nabi s.a.w, ajaran para ulama\’ salafus-soleh, maka teruskan perjuangan, walaupun kita dihina, diperli, diancam dan dihalang disekat, kita yakin kita akan mendapat pembelaan Allah s.w.t nanti!

Tetapi jika ajaran yang dibawa itu memang sesat dan salah, seluruh ulama\’ atas dunia ini menghukumnya sesat, jika dia masih mahu pertahankannya, maka itu bukan lagi membela hujjah, itu berdegil keras kepala namannya.

Allah s.w.t sebut perkataan (تَخْتَصِمُونَ) menunjukkan akan ada perbicaraan di akhirat kelak!
Kita akan jumpa dan Allah s.w.t yang akan putuskan apa yang kita kelahi di atas dunia ini dan tidak dapat diputuskan.
Kerana semua itu adalah benda rahsia, tiada siapa dapat memutuskannya di atas dunia ini!

Ingat jangan mudah membuat tuduhan, kadang-kadang tuduhan yang dilemparkan itu bukan kecil, boleh membawa kepada tohmahan kafir atau sesat yang amat berat sekali!
Ingat di depan nanti ada perbicaraan di hadapan Allah s.w.t!

Maka hati-hati dan waspasa dengan perangkap dan permainan syaitan, benci kepada orang jangan melampau, kita benci dengan ilmu bukan dengan emosi.
Kasih kepada orang juga jangan melampau, kita kasih dengan ilmu bukan dengan perasaan.

Powered by BetterDocs