SURAH YAASIN : AYAT 71-76

\"\"

Allah Peringatkan Nikmat-Nya Kepada Kafir, Nikmat Unta Dan Haiwan Lain & Menenangkan Hati Nabi S.A.W

Full video : https://youtu.be/SHT8KwtKpec

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t peringatkan tentang nikmat-Nya yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita samada dari segi haiwan dan lain-lain.
  2. Semuanya menjadi tanda keagungan Allah s.w.t, supaya kita hamba-Nya ini kenal Allah, berhati-hati jangan lawan Allah serta sentiasa buat persiapan untuk hadapi hari Akhirat kelak.
  3. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t ceritakan kepada kita kedudukan orang kafir agar menjadi peringatan kepada kita orang mukmin dan pengajaran kepada orang kafir yang lain.
  4. Lalu Allah s.w.t peringatkan akan nikmat yang begini banyak yang menjadi tonggak kepada kehidupan kamu, tetapi tergamak kamu tetap tidak syukur kepada Allah s.w.t? Tetap kufur dan ingkar?
  5. Allah s.w.t telah berfirman sebelum ini dalam Yasin: 31: {Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).}

AYAT 71- {TIDAKKAH MEREKA MELIHAT DAN MEMIKIRKAN, BAHAWA KAMI TELAH MENCIPTAKAN UNTUK MEREKA BINATANG-BINATANG TERNAK, DI ANTARA JENIS-JENIS MAKHLUK YANG TELAH KAMI CIPTAKAN DENGAN KEKUASAAN KAMI LALU MEREKA MEMILIKINYA? (YAA SIIN 36:71)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t. berfirman menyebutkan nikmat yang telah Dia limpahkan kepada manusia.
  2. Allah s.w.t menyuruh orang kafir tengok dan berfikir akan nikmat Allah s.w.t itu. Allah s.w.t. telah menciptakan untuk mereka sebahagian dari makhluk yang telah Dia ciptakan, iaitu haiwan-haiwan ternak (أَنْعَامًا) seperti unta, lembu, kambing dan sebagainya.
  3. Binatang ternak ini adalah antara jenis makhluk yang Allah s.w.t cipta lalu menjadi milik manusia. Dengan kuasa-Nya Allah s.w.t. menjadikan mereka manusia dapat membela, memiliki dan menguasai haiwan-haiwan ternakan itu.

AYAT 72- {DAN KAMI JINAKKAN DIA UNTUK KEGUNAAN MEREKA; MAKA SEBAHAGIAN DI ANTARANYA MENJADI KENDERAAN MEREKA, DAN SEBAHAGIAN LAGI MEREKA MAKAN.} (YAA SIIN 36:72)

  1. Allah s.w.t. menjadikan haiwan-haiwan ternakan itu walaupun banyak menjadi tunduk, jinak, tidak liar dan sentiasa taat mengikuti apa yang mereka tuannya kehendaki. Allah permudahkan urusan manusia dalam mengawalnya.
  2. Allah s.w.t juga menjadikan berbagai manfaat dari haiwan-haiwan ternakan itu untuk mereka.
    i- ada yang menjadi kenderaan seperti unta dan kuda. (رَكُوبُهُمْ)
    ii- ada yang menjadi makanan saja seperti kambing dan lembu. (يَأْكُلُونَ)
    iii- ada yang boleh menjadi makanan dan tunggangan juga.
  3. Sebelum ada pengangkutan moden sekarang, pada zaman dulu unta terkenal sebagai bahtera padang pasir, sebagai pengangkutan untuk kaum Arab. Allah telah ciptakan sifat dan kejadiannya yang amat sesuai untuk hidup di padang pasir! Kejadian unta ini juga salah satu tanda dan dalil kekuasaan dan hikmah Allah s.w.t.

AYAT 73- {DAN MEREKA BEROLEH BERBAGAI FAEDAH DAN KEGUNAAN PADA BINATANG TERNAK ITU DAN JUGA BEROLEH MINUMAN; MAKA MENGAPA MEREKA TIDAK MAHU BERSYUKUR?} (YAA SIIN 36:73)

  1. Terdapat juga banyak faedah dan kegunaan (مَنَافِعُ) yang lain selain makanan dan tunggangan dari binantang itu seperti:
    i- dapat memanfaatkan kulit dan bulunya sebagai pakaian menghangatkan badan.
    ii- peralatan rumah tangga, perhiasan dan kegunaan lain.
    iii- Air susunya boleh diminum. (وَمَشَارِبُ)
    iv- Air kencingnya unta boleh dijadikan ubat.
    Semua itu sebagai kesenangan dan nikmat untuk manusia.
  2. Semua haiwan ini adalah satu nikmat dan keperluan yang amat besar yang Allah sediakan bagi manusia, tetapi masih ramai lagi manusia yang kufur akan nikmat ini dan kufur terus tidak beriman!

AYAT 74- {DAN TERGAMAK MEREKA MENYEMBAH BEBERAPA TUHAN YANG LAIN DARI ALLAH, (DENGAN HARAPAN SEMOGA MEREKA MENDAPAT PERTOLONGAN (DARI MAKHLUK-MAKHLUK ITU).} (YAA SIIN 36:74)

  1. Setelah mendapat nikmat yang begitu besar ini, setelah melihat tanda-tanda kekuasaan Allah yang begitu jelas; tergamak kamu menyembah dan menyekutukan Allah s.w.t dengan benda lain yang amat lemah dan tidak berdaya.
  2. Mereka berbuat demikian, iaitu menyembah dan melantik sebagai tuhan, dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan dari makhluk-makhluk itu! Sedangkan sifatnya seperti ayat berikutnya ini;

AYAT 75- {BENDA-BENDA YANG MEREKA SEMBAH ITU TIDAK DAPAT SAMA SEKALI MENOLONG MEREKA, SEDANG BENDA-BENDA ITU SENDIRI MENJADI TENTERA YANG AKAN DIBAWA HADIR (PADA HARI KIAMAT, UNTUK MEMBERI AZAB SEKSA) KEPADA MEREKA.} (YAA SIIN 36:75)

  1. Sedangkan apa yang mereka sembah itu, berhala-berhala itu tidak dapat menolong mereka, penyembahnya! Ia tidak dapat mendatangkan suatu kebaikan pun bagi mereka dan tidak dapat pula menolak suatu keburukan pun dari mereka.
  2. Bahkan berhala-berhala itu lebih lemah, lebih hina, lebih rendah, dan lebih kecil. Ia tak mampu untuk membela walaupun terhadap dirinya sendiri.
  3. Sedangkan berhala-berhala itu menjadi tentera yang disediakan untuk mereka dan akan dibawa hadir juga di akhirat kelak.
  4. Ulama\’ menafsirkan maksud ayat ini dengan berkata:
    i-semasa di dunia hakikatnya mereka yang seolah menjadi tentera menjaga berhala-berhala itu!

ii- di akhirat kelak berhala-berhala itu dibangkitkan juga, serta masuk bersama mereka ke dalam neraka dan akan menjadi bahan bakar mereka. Ini untuk menambahkan azab dan kehinaan bagi penyembahnya!

AYAT 76- {MAKA JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) BERDUKACITA DISEBABKAN TUDUHAN-TUDUHAN MEREKA (TERHADAPMU). SESUNGGUHNYA KAMI SEDIA MENGETAHUI APA YANG MEREKA SEMBUNYIKAN DAN APA YANG MEREKA NYATAKAN.} (YAA SIIN 36:76)

  1. Allah s.w.t peringatkan Rasulullah s.a.w agar jangan sedih dan dukacita dengan segala tuduhan jahat kaum musyrikin terhadap Baginda seperti gila, ahli sihir, tukang nujum atau penyair!
  2. Dalam ayat sebelum ini Allah s.w.t telah menafi dan membatalkan tuduhan orang kafir bahawa Rasulullah itu seorang penyair serta mencabar kaum musyrikin itu untuk membawa sesuatu yang sebanding dengan al-Quran. Pastilah mereka gagal dan tidak berdaya.
  3. Kemudian Allah s.w.t peringatkan sebagai satu amaran: bahawa Allah s.w.t. mengetahui semua yang tersembunyi atau nyata,.
  4. Kelak Dia akan membalas semuanya dengan balasan yang setimpal. Tiada sesuatu pun dari perbuatan mereka, baik yang besar mahupun yang kecil, tersembunyi dari-Nya.
  5. Ayat ini juga menjadi dalil bahawa kita wajib bersyukur kepada Allah s.w.t. Syukur itu pula terdiri daripada beberapa kategori.
  6. Hadis Nabi s.a.w apabila orang buat baik balaslah dengan kebaikan juga, jika tidak mampu cukuplah dengan berdoa kebaikan kepadanya.

Sabda Rasulullah s.a.w: \”Sesiapa yang telah berbuat baik kepada kamu, maka balaslah dia (kerana kebaikannya). Lalu jika kamu tidak mendapatkan sesuatu yang boleh digunakan untuk membalasnya, maka doakanlah dia, sampai kamu merasai bahawa diri kamu telah membalas kebaikannya.\” (HR Abu Daud)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 71- {Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak}- ayat ini menunjukkan manfaat yang besar ialah apabila kita memiliki sesuatu harta itu, atau juga jika mendapat manfaat dan faedah darinya.
  2. Ayat 71- {yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?}- hendaklah kita sedar segala ilmu dan usaha yang kita buat adalah dibawah kuasa dan kehendak Allah s.w.t. Hakikatnya semuanya dengan kurniaan dan rezeki Allah s.w.t, yang rezekikan tanaman dan ternakan kita hidup dan membiak.
  3. Ayat 71- {lalu mereka memilikinya?} – kata ulama\’ ayat ini menunjukkan penyempurnaan kepada nikmat! Bila kita hanya dapat nikmat tapi bukan hak kita, belum sempurna nikmat, bila kita dapat milikinya sendiri barulah rasa sempurna. Seperti tidak sama duduk di rumah sewa dengan memilik rumah sendiri, memiliki tanah dan kebun-kebun dan lain-lain. Begitulah Allah bagi kita kuasa dan hak untuk memilik haiwan itu, samada untuk makan dan guna dengan apa cara, atau jualnya untuk dapat duit dan lain-lain.
  4. Ayat 72- {Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka;}- Allah permudahkan urusan kita dengan haiwan itu, haiwan yang besar dan gagah ikut dan dengar kata tuannya. Permudahkan untuk memelihara dan menjaganya, menggunanya samada sebagai tunggangan atau jagaan juga sebagai sumber minuman dan makanan.
  5. Ayat 72- {Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka;}- segala makhluk dan perbuatan itu dengan izin Allah. Kena ingat semua perkara wajib kita nisbahkan kepada Allah s.w.t, kita buat itu ini semuanya dengan kuasa yang Allah s.w.t anugerahkan.
  6. Ayat 72- {dan sebahagian lagi mereka makan.}- ini menunjukkan hukuman boleh dan harus kita menyakiti haiwan itu untuk kemaslahatan seperti disembelih untuk di makan, cop tanda tertentu, kasi binatang dan seumpamanya. Tetapi bukan saja-saja menyiksanya!
  7. Ayat 73- {Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman;}- kenapa disebut khas tentang minum susu (مَشَارِبُ) dari haiwan itu? Sedangkan sudah disebut bagi kamu pelbagai faedah dan manfaat yang lain? Ini kerana minum susu itu adalah satu keperluan dan nikmat besar bagi orang yang hidup di padang pasir. Ia mampu mengenyangkan dan memberi tenaga, susu sebagai salah satu makanan utama mereka.
  8. Ayat 74- {Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah,}- artinya berlaku syirik di sini, semua nikmat Allah mereka tidak fikir dan syukur. Mereka tahu ada Tuhan yang mencipta bumi dan memberi rezeki segalanya tetapi mereka tetap menyembah tuhan lain. Inilah yang dikatakan syirik.
  9. Ayat 74- {Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah,}- persoalan di sini bolehkah kita kata/panggil tuhan kepada makhluk lain? Boleh secara umum tetapi Tuhan yang batil. Bagi kita pastilah Allah s.w.t itu Tuhan yang haq!
  10. Ayat 74- {Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).}- orang yang buat syirik ini, yang pilih ajaran batil ini cari sebab, yakni mereka menyembah berhala-berhala itu dengan niat dan harapan agar benda tersebut dapat membantu mereka, menghindarkan mereka dari azab Allah, memberi mereka rezeki dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Sedangkan semua itu hanyalah satu sangkaan dan kepercayaan yang benar-benar sesat dan batil!

Powered by BetterDocs