SURAH FATHIR : AYAT 29-31

\"\"

3 SIFAT ORANG TAKUT KEPADA ALLAH; BACA QURAN, SOLAT DAN INFAQ & MENGHARAPKAN PAHALA DARI ALLAH S.W.T.

Full video : https://youtu.be/1rYOVS4p8Y4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri sebelum ini (ayat 28) Allah s.w.t telah sebut bahawa orang yang benar-benar takut kepada Allah s.w.t ialah para ulama\’ Rabbani yang beramal dengan ilmu mereka bagi meningkatkan keimanan kepada Allah s.w.t.
  2. Apakah sifat dan ciri mereka itu?
    Pasti semua orang ingin mengenalnya.
    Kita akan cuba mengorek dan mengambil contoh darinya melalui ayat-ayat ini insya\’ Allah.
  3. Maka dalam siri ini Allah s.w.t sebutkan 3 sifat mereka iaitu:
    i- membaca al-Quran,
    ii- mendirikan solat dengan sempurna dan
    iii- infaq harta fi sabilillah.
    iv- Semua ini dibuat dengan ikhlas mengharapkan pahala dari sisi Allah s.w.t.

AYAT 29- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG SELALU MEMBACA KITAB ALLAH DAN TETAP MENDIRIKAN SEMBAHYANG SERTA MENDERMAKAN DARI APA YANG KAMI KURNIAKAN KEPADA MEREKA, SECARA BERSEMBUNYI ATAU SECARA TERBUKA, MEREKA (DENGAN AMALAN YANG DEMIKIAN) MENGHARAPKAN SEJENIS PERNIAGAAN YANG TIDAK AKAN MENGALAMI KERUGIAN;} (FATHIR 35:29)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t sebutkan 3 sifat orang yang takutkan kepada Allah s.w.t iaitu:
    i- selalu membaca al-Quran; ini amalan lidah.
    ii- mendirikan solat dengan sempurna; ini amalan anggota.
    iii- infaq harta fi sabilillah; ini amalan harta.
    Yakni lengkap dalam dirinya sebagai seorang yang takut kepada Allah s.w.t.
  2. Inilah sifat orang yang takut (خشية) kepada Allah s.w.t samada dari kalangan ulama\’nya yang tinggi ilmunya mahupun dari kalangan manusia biasa yang tahap takutnya sudah mencapai (خشية) tahap ini.
  3. Orang yang takutkan Allah s.w.t selalu membaca al-Quran: diikuti dengan tafsirannya, berfikir apa yang Allah s.w.t mahu sampaikan dan ayat itu, tidak tinggalkan walaupun satu lafaz pun dalam al-Quran kecuali mereka kaji & cari maknanya.
    Mereka beramal dengan segala hukum-hakam dan undang-undang al-Quran serta mempercayai dan yakin semua cerita dan maklumat yang telah disampaikan dalam al-Quran.
  4. Mereka juga mendirikan solat dengan cara yang sempurna, atas landasaan yang jelas sebagaimana yang diperintahkan Allah s.w.t, jaga yang fardhu dan yang sunatnya.
  5. Mereka juga memberikan nafkah dari harta yang dimiliki secara sembunyi tanpa diketahui orang lain.
    Tetapi adakalanya secara terang, mengikut keadaan dan keperluan. Yang eloknya secara sembunyi, kerana ia lebih hampir kepada ikhlas dan penjagaan hati.
    Tetapi macam zakat boleh dimaklumkan supaya tidak menimbulkan fitnah dan persoalan.
  6. Hadis jangan kamu dengki kecuali kepada dua golongan:
    i- Sabda Rasulullah S.A.W:
    لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
    Maksudnya: Perasaan hasad (ghibtah) itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya. [Sahih al-Bukhari (73)]
    ii- Sabda Rasulullah S.A.W:
    لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَقُومُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَهُوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ
    Maksudnya: Perasaan hasad itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur\’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah S.W.T) sepanjang malam dan siang\”.
    [Sahih al-Bukhari (7529) dan Sahih Muslim (815)].
    Ini bukan hasad dengki- ia dipangil (الغبطة) – ingin dapat sesuatu seperti orang lain itu untuk buat kebaikan sepertinya.
  7. Tetapi ingat; hati-hati dalam mengharapkan kekayaan, apakah apabila ada harta ia akan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t? Atau akan membuatkan kita makin jauh dengan Allah s.w.t? Apakh kita akan buat kebaikan infaq fi sabilillah dengannya atau akan akan menjadi tamak bakhil?
  8. Segala amal perbuatan soleh mereka ini adalah kerana mereka itu mengharapkan pahala yang tidak putus-putus.
    Allah gambarkan ia seolah perniagaan yang tidak akan rugi. Ia adalah perdagangan yang paling tinggi dan paling utama keuntungannya, iaitu mendapat keredhaan Allah, mendapat pahala-Nya yang banyak dan selamat dari kemurkaan dan siksaan-Nya.
  9. Tidak salah mengharapkan pahala dari Allah apabila kita ikhlas dalam melakukan amalan, tidak ada maksud atau niat yang lain.

AYAT 30- {SUPAYA ALLAH MENYEMPURNAKAN PAHALA MEREKA DAN MENAMBAHI MEREKA DARI LIMPAH KURNIANYA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI SENTIASA MEMBALAS DENGAN SEBAIK-BAIKNYA (AKAN ORANG-ORANG YANG BERSYUKUR KEPADANYA).} (FATHIR 35:30)

  1. Mereka buat semua amalan dan ibadat itu untuk meraih dan mengejar pahala yang dijanji dan ditawarkan oleh Allah s.w.t!
    Kita buat semuanya ikhlas kerana Allah serta mengharapakan apa yang dijanjikan sebagaimana yang telah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w!
  2. Tetapi bukan setakat itu saja pahala yang dapat, bahkan Allah s.w.t akan menambahnya lagi mengikut kehedak dan limpah kurnia-Nya, iaitu melipat-gandakannya dengan tambahan-tambahan yang tidak pernah terdetik dalam hati kita, lebih daripada yang kita layak: .
    Firman Allah s.w.t:
    i- {Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.} (Al-Baqarah 2:261)

ii- {(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.} (An-Nuur: 37-38)

  1. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan ayat: \”Sesungguhnya Dia Maha Pengampun Maha Mensyukuri\”, iaitu:
    i- Allah Maha Pengampun (غَفُورٌ), iaitu pemaaf terhadap kesalahan dan dosa-dosa hamba-Nya.
    Jika kita tersilap atau tergelincir sikit soal hati, terus beristighfar insaf dan kembali kepada Allah, insya\’ Allah, Allah ampunkan.
    ii- Dia Maha Mensyukuri (شَكُورٌ), iaitu suka membalas, mudah menerima kebaikan dan amalan hamba-Nya walaupun sedikit. Dia tetap akan membalas amal perbuatan mereka dengan banyak betapapun kecilnya amal perbuatan mereka.

Contoh- sedekah rm1 dapat balasan 700 gali ganda, solat sunat 12 rakaat dapat mahligai dalam syurga, buang halangan tengah jalan dapat pahala yang tidak disangka dan lain-lain. Inilah yang dikatakan Allah Maha Pengampun dan Maha Mensyukuri.

AYAT 31- {DAN AL-QURAN YANG KAMI WAHYUKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) IALAH YANG BENAR (SEGALA-GALANYA) YANG TETAP MENGESAHKAN KITAB-KITAB YANG DITURUNKAN SEBELUMNYA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI DENGAN SEDALAM-DALAMNYA AKAN KEADAAN SEKALIAN HAMBANYA, LAGI MAHA MELIHAT DAN MEMERHATIKAN.} (FATHIR 35:31)

  1. Inilah kitab Al Qur\’an yang telah Kami wahyukan kepadamu wahai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah kebenaran (الْحَقُّ), kerana kandungannya benar serta mebuktikan kebenaran kitab yang sebelumnya.
  2. Semua yang ada dalam al-Quran adalah benar. Ia juga membenarkan serta mengawal-selia (مهيمن) kepada segala kitab-kitab Samawi yang terdahulu.
  3. Dalil-dalil sebelum ini, dari surah ini:
    i- {Ayat 9 (angin), ayat 11 (penciptaaan manusia) dan ayat 27 (tengok hujan yang turun) } sebelum ini, semuanya adalah dalil Tauhid tentang keEsaan dan Qudrat kekuasaan Allah s.w.t.

ii- Manakala ayat 31 ini adalah asas yang kedua dalam usul beragama iaitu ar-Risalah (kerasulan) Nabi s.a.w. yakni Allah s.w.t nyatakan apa yang Kami wahyukan kepadamu itu benar dan kita umatnya membenarkan apa yang disampaikan oleh Nabi s.a.w, dari segi dosa pahala perintah & larangan semua benar!

  1. Al-Quran membenarkan kitab-kitab dan rasul-rasul sebelumnya, kerana kitab-kitab dan rasul-rasul sebelumnya memberitakan tentang kedatangan kitab Al-Quran itu dan kedatangan rasul yang membawanya.
  2. Tidak boleh hanya terima kitab dahulu seperti kaum yahudi dan Kristian.
    Wajib beriman kepada al-Quran juga, seseorang tidak boleh dikatakan beriman kepada kitab-kitab sebelumnya jika dia tidak beriman kepada Al-Quran. Ini kerana dengan kafir kepadanya maka bererti kafir kepada semua kitab yang diturunkan sebelumnya.
  3. Sabda Rasulullah s.a.w: \”Jika Nabi Musa masih hidup lagi, dia tidak boleh lagi guna kitab Taurat (yakni Syari\’ahnya), tetapi kena guna al-Quran.\” [HR Ahmad].
  4. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan firman-Nya: { Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya, lagi Maha Melihat dan memerhatikan.}
  5. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Mengetahui lagi Maha Melihat keadaan hamba-hamba-Nya. Allah Maha Mengawasi terhadap mereka, lagi Maha Mengetahui siapa di antara mereka yang berhak mendapat keutamaan yang lebih daripada yang lainnya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 29- {Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka,} – ini ialah tentang pahala orang yang baca al-Quran.
    Orang yang betul-betul baca Quran dia akan baca dengan lidahnya lalu beramal dengan semua anggotanya yang lain seperti mendirikan solat dan infaq fi sabilillah.
    Kata seorang ulama\’ yang bernama Mutarrif (مطرف): ayat ini menunjukkan kelebihan kepada para pembaca al-Quran (قراء) dan darjat mereka yang tinggi.
    Baca saja (tilawah) pun sudah dapat pahalanya sendiri walaupun pun tidak faham dan belum tadabbur. Ini kerana membaca itu jalan untuk bertadabbur dan cuba memahaminya. Tetapi kena usaha memahaminya bukan hanya cukup setakat baca saja, kena belajar dan berguru, kena upgrade!
  2. Ayat 29- {serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka,} – orang yang bagi nafkah kepada orang jangan mengungkit pemberiannya. Kena ingat Allah Pemberi rezeki yang kita dapat semuanya, kita hanya tolong membahagikannya. Lalu kita kena hilangkan sifat bakhil menjadi orang pemurah, dermakan harta yang ada kerana kita hanyalah penyampai saja!
  3. Ayat 29- {serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka,}- ayat ini memberi pengajaran bahawa sedekah itu ada yang disembunyikan ada yang boleh dizahirkan mengikut kesesuaian dan keadaan seperti zakat atau menunaikan amanah orang seperti pihak NGO.
    Tetapi biar berpada jangan melampau sehingga mengaibkan penerima, membawa kepada riya\’ dan seumpamanya!
    Walaupun yang afdhal dan utamanya yang tersembunyi untuk menjauhkan dari riya\’ dan tidak ikhlas.
  4. Ayat 29- {mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;}- kata ulama\’ untuk mengharapkan (رجاء) sesuatu perkara biarlah kena pada tempatnya.
    Kita buat amal lalu harapkan pahala itu norma dan harus, tetapi jika tidak buat apa-apa tetapi mengharapkan pahala itu angan-angan kosong. Buat dan amal dulu, sedekah, solat, baca al-Quran, baru mengharapkan (رجاء) pahala.
  5. Ayat 29- {mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;}- ayat ini mengajar kita untuk ikhlaskan hati dalam segala amalan. Jangan kita sedekah nak suruh orang kata pemurah, solat untuk orang kata warak, tolong orang supaya orang kata kita baik, TIDAK sekali-kali, tetapi buat semua ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t!
  6. Ayat 29- {Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka} – ayat ini sambungan dari ayat ke 28- {ulama\’ yang takutkan Allah s.w.t}. Takut itu amal hati (qalbi), jika nak tahu adakah dia betul-betul takut maka lihat kepada angota zahirnya, dia membaca al-Quran; ini amalan lidah, mendirikan solat; ini amalan anggota, infaq harta fi sabilillah; ini amalan harta.
    Maka tiga perkara dalam ayat 28 ini adalah amalan zahir, ianya bergantung kepada setakat mana seorang itu mengagungkan kedudukan Allah s.w.t dan bagaiman kasihan belas mereka sesama manusia.
    Maknanya iman dan ilmu itu terpancar melalui penampilan, sifat, perkataan, perbuatan dan amalan seseorang.
    Jangan dakwa iman hanya dalam dada/hati.
  7. Ayat 29- {Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah} – ayat ini menunjukkan bahawa:
    i- kita mesti berusaha mencari ilmu Syari\’ah, bukan hanya baca saja.
    Ini kerana dalam al-Quran itu ada tauhid, aqidah, akhlak, taklif (keberatan Syara\’- perintah & larangan) dan hukum hakam perundangannya.
    Arahan untuk menuntut ilmu kerana Al-Quran bukan untuk dibaca saja tetapi untuk diamalkan.
    ii- Allah s.w.t juga guna kata kerja sekarang (present tense) – (مضارع) iaitu (يَتْلُونَ) menunjukkan kena sentiasa baca dan amal bukan hanya yang lepas saja.
  8. Ayat 29- {mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;}- yakni mengharapkan pahala berterusan yang tidak putus-putus.
    Kita nak pahala yang kita buat di atas dunia ini berterusan sehingga ke dalam kubur dan ke akhirat, yakni pahala \’Jariyah\”.
    Contoh kita ajar orang solat atau baca al-Quran. Selagi orang itu buatnya, kita juga dapat pahalanya berterusan.
    Kata pendakwah:
    Manusia yang bahagia ialah yang tuannya mati tetapi pahalanya tidak mati manakala manusia yang celaka adalah sebaliknnya, dosanya jariyah juga (berterusan) na\’uzubillah!
  9. Ayat 30- {Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. } – ayat ini membawa beberapa makna:
    i- kita boleh buat amal ibadat dengan mengharapkan pahala dari Allah s.w.t, tidak salah. Memamg Rasulullah s.a.w telah beritahunya.
    ii- Allah s.w.t jamin pahala untuk amal ibadat yang ikhlas dan tidak riya\’.
    iii- Allah s.w.t akan beri pahala dengan limpah kurnia-Nya. Setiap orang dapat pahala yang telah dijanjikan ikut skimnya, serta tambahannya, unlimited, kita tidak tahu cuma harapkannya sentiasa.
  10. Ayat 30- {Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).}- dalam ayat ini sebagai penutup Allah s.w.t bawa dua sifat-Nya yang dengannya tertegaknya langit dan bumi, serta amat menenangkan hati manusia dan:

i- Allah Maha Pengampun (غَفُورٌ)- maka jika kita tersalah tersilap dan terus insaf bertaubat, Allah s.w.t akan ampunkan.

ii- lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (شَكُورٌ)- jika kita buat baik. Allah s.w.t akan berterima-kasih dan memberi pahalanya kepada kita.

Maka kita kena ambil perhatian, lakukan amal ibadat sebaik mungkin serta ikhlaskan niat semata-mata kerana Allah jika tersilap terus kembali dan memohon keampunan dari Allah s.w.t yang Maha Pengampun insya\’ Allah mudahan tidak hilang pahala amalan kita!

Powered by BetterDocs