SURAH MUHAMMAD : AYAT 36-38

\"\"

HAKIKAT DUNIA PENUH TIPU DAYA, GALAKAN BERINFAQ & SESIAPA LARI ALLAH GANTI ORANG LAIN YANG BERJUANG.

Full video : https://youtu.be/i2rfH-JmTbM

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah ini adalah siri yang ke-10 dan terakhir bagi surah Muhammad ini.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang Hakikat Dunia yang Penuh Tipu Daya sehingga manusia lagha dan lalai dari tugasnya yang sebenar iaitu menyediakan bekalan untuk Akhirat.
  3. Allah s.w.t juga nyatakan galakan untuk berinfaq harta fi sabilillah.
  4. Juga diberi amaran bahawa sesiapa yang lari, enggan beriman dan bertaqwa, berjuang atau menderma, Allah akan ganti mereka dengan orang Lain Yang mahu Berjuang dan berinfaq!
  5. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah nyatakan tentang hakikat sebenar dunia lalu diterangkan dalam ayat ini bahawa kehidupan dunia dan kesenangan yang mereka puja-puja itu tidak akan kekal. Ia hanya hidup yang lagha dan main-main.

ii- Allah s.w.t juga telah menyebut supaya meninggalkan amalan yang dapat menggugurkan amalan mereka samada secara total atau sebahagian.

iii- Allah juga memerintahkan orang mukmin untuk terus berjuang menentang musuh yang menyekat orang dari beriman, jangan lemah dan menyerah kalah kerana Islam dan umatnya adalah yang tetinggi.

iv- Maka Allah s.w.t ingatkan dalam ayat ini pula tentang hakikat dunia dan agar orang mukmin berhati-hati akan perangkap syaitan yang akan beruasaha untuk menyekat mereka dari terus berjuang; iaitu dengan perangkap jalan main-main dan hiburan.
Maksiat juga akan menyekat jalan perjuangan, dan ia datang dari syahwat!

AYAT 36-{(INGATLAH) BAHAWA KEHIDUPAN DUNIA (YANG TIDAK BERDASARKAN IMAN DAN TAQWA) HANYALAH IBARAT PERMAINAN DAN HIBURAN; DAN JIKA KAMU BERIMAN SERTA BERTAQWA, ALLAH AKAN MEMBERIKAN KAMU PAHALA AMAL KAMU, DAN IA TIDAK MEMINTA KEPADA KAMU HARTA BENDA KAMU (MELAINKAN UNTUK MEMBERIKAN KAMU BARANG YANG LEBIH BAIK DARIPADANYA).} (MUHAMMAD 47:36)

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa hakikat dunia dan hidup manusia yang tidak bertaqwa dan beriman adalah ibarat seperti hiburan dan permainan yang sementara, hilang tanpa faedah, tidak memberi manfaat apabila seseorang meninggal dunia.
  2. Kehidupan yang kekal selama-lamanya adalah Akhirat.
    Jika manusia menyedari hakikat ini mereka tidak akan tergamak mementingkan dunia semata dan melupakan Akhirat. Pasti mereka akan mengisi kehidupan mereka dengan amal-amal yang dapat menyelamatkan mereka di Akhirat kelak serta menjauhkan perbuatan syirik dan maksiat.
  3. Maksudnya dua perkataan ini (sebagaimana dalam penjelasan yang lepas):
    i- main-main (لَعِبٌ) sesuatu yang tiada apa faedah dan hilang begitu saja.

ii- Manakala hiburan (لَهْوٌ) juga seolah seperti permainan tetapi ada masalah sedikit kerana ia akan berkait dengan perkara lain pula, boleh membawa kepada maksiat dan mungkar.

Yang penting keduanya tiada faedah lansung untuk Akhirat serta hanya sia-sia dan menghabiskan masa untuk dunia saja serta melekakan dari mengingati Allah

  1. Kata ulama\’ tafsir- Ar-Razi rhm.:
    i- permainan (لَعِبٌ) perkara yang kita buat tanpa keperluan, ianya suka-suka dan tidak memberi pulangan di Akhirat.

ii- manakala hiburan (لَهْوٌ) – sama seperti permainan juga tetapi ia akan melekakan kita serta mengganggu ibadat dan ingatan terhadap Akhirat kita!

  1. Kata pakar bahasa Abu Hilal al-\’Askari tentang perbezaan dua perkataan ini dari sudut bahasa:
    i- ada permainan (لَعِبٌ) tetapi ia tidak melekakan.
    ii- manakala (لَهْوٌ) pasti ia akan melekakan.
  2. Dinamakan (لَعِبٌ) & (لَهْوٌ) hiburan yang melekakan kerana ia melalaikan kita daripada perkara yang sepatutnya kita buat, sehingga cuai dari tugas yang sebenar dengan perkara lain yang tidak berfaedah!
  3. Sebagaimana firman Allah s.w.t: {Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh),} (At-Takaathur 102:1)
  4. Kata Syeikh Saa\’di pula\”
    i- permainan (لَعِبٌ) dengan tubuh atau secara fizikal.
    ii- manakala hiburan (لَهْوٌ) melalui hati.
  5. Yang penting dua perkataan ini adalah dua perkara yang berbeza kerana itu Allah s.w.t menyebut kedua-duanya!
  6. Firman Allah s.w.t lagi:
    i- {Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?} (Al-An\’aam 6:32)

ii- {Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak;} (Al-Hadiid 57:20).

  1. Kemudian Allah memberi jalan untuk selamat. Iaitu jika kamu beriman dan bertaqwa kepada Allah dengan meninggalkan suruhan dan larangan, seperti bangun menentang musuh-musuh Islam, Allah berjanji akan memberikan kepada kamu pahala yang besar.
  2. Firman Allah s.w.t: {Dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.} (A-li\’Imraan 3:179)
  3. Allah s.w.t juga menyatakan bahawa Dia tidak meminta harta kamu (untuk infaq dan lain-lain) melainkan untuk bekalan dan faedah kamu sendiri di Akhirat kelak!
  4. Ingatlah kain kafan tiada poket, harta tidak boleh pergi sekali dengan kita ke dalam kubur, tetapi kita boleh mengirim harta itu awal-awal lagi untuk menunggu kita di dalam kubur sebagai satu amal soleh dan kebajikan!

AYAT 37-{(TABIAT KAMU WAHAI MANUSIA) JIKA TUHAN MEMINTA KEPADA KAMU HARTA BENDA KAMU SERTA MENDESAK KAMU MEMBERIKANNYA, NESCAYA KAMU AKAN BERLAKU BAKHIL KEDEKUT, DAN KEBAKHILAN ITU AKAN MELAHIRKAN KEMARAHAN DAN KEBENCIAN KAMU.} (MUHAMMAD 47:37)

  1. Allah nyatakan bahawa adalah tabiat manusia itu jika Tuhan minta hartanya (untuk infaq) dia akan merasa sayang & bakhil. Maka Allah akan zahirkan sikap bakhil itu!
  2. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda: \”Bahawa sedeqah/infaq itu adalah tanda (برهان) orang yang beriman kepada Allah.\” [HR Muslim].

AYAT 38-{(INGATLAH), KAMU INI ADALAH ORANG-ORANG YANG BERTABIAT DEMIKIAN – KAMU DISERU SUPAYA MENDERMA DAN MEMBELANJAKAN SEDIKIT DARI HARTA BENDA KAMU PADA JALAN ALLAH, MAKA ADA DI ANTARA KAMU YANG BERLAKU BAKHIL, PADAHAL SESIAPA YANG BERLAKU BAKHIL MAKA SESUNGGUHNYA IA HANYALAH BERLAKU BAKHIL KEPADA DIRINYA SENDIRI. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA KAYA (TIDAK BERHAJAT KEPADA SESUATUPUN), SEDANG KAMU SEMUA ORANG-ORANG MISKIN (YANG SENTIASA BERHAJAT KEPADANYA DALAM SEGALA HAL). DAN JIKA KAMU BERPALING (DARIPADA BERIMAN, BERTAQWA DAN BERDERMA) IA AKAN MENGGANTIKAN KAMU DENGAN KAUM YANG LAIN; SETELAH ITU MEREKA TIDAK AKAN BERKEADAAN SEPERTI KAMU.} (MUHAMMAD 47:38)

  1. Ingatlah, walaupun Allah tahu kamu akan sayang dan bakhil akan harta kamu itu, tetapi dia mengajar kamu untuk menderma dan infaq fi-sabilillah, untuk kebaikan kamu jua!
  2. Ada antara kamu yang tetap bakhil enggan menginfaq, sedangkan sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Yang kerugian hanyalah dirinya sendiri!
  3. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t sebutkan bahawa ada di kalangan manusia yang bakhil, jika diminta bersedekah tidak mahu, maka Allah katakana apa yang diminta itu hanya sebahagian yang kecil sahaja,hanya sedikit seperti zakat hanya 1/40 saja dari jumlah harta yang perlu dikeluarkan. Allah nak uji manusia dengan infaq, jika kita sayang atau tidak harta itu, buatlah sekarang infaq sebanyaknya.
  4. Allah s.w.t itu Maha Kaya, tidak berhajat kepada harta dan bantuan kamu, sedangkan kamu manusia amat faqir iaitu perlu dan berhajat kepada Allah s.w.t dalam segenap perkara.
    Kita juga berhajat dengan harta kita untuk mengambil bekalan dan manfaat di Akhirat.
  5. Kemudian Allah sentapkan hati dengan memberi amaran jika kamu menolak & enggan beriman, bertaqwa dan berderma, Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; yang lebih baik daripada kamu, mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu yang menolak dan berpaling dari dakwah Islam.
  6. Yakni Allah ceritakan bahawa pejuang Islam dan orang yang membela agama akan sentiasa ada ada dan silih berganti, mereka tidak akan hilang dan pupus.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 36- {(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan;}- kata ulama\’ tadabbur, ayat ini Allah mahu didik kita agar:
    i- bersifat zuhud dalam kehidupan dunia, agar kita tidak menghabiskan masa dengan perkara yang seolah permainan, sesuatu yang melalaikan hati.

ii- Allah peringatkan agar kita jangan menghabiskan masa & harta kita dengan benda yang lagha, hiburan dan main-main yang tidak akan memberi kelebihan & pulangan untuk Akhirat kita!

iii- juga amaran agar kita jangan terlalu cintakan dunia & kemewahan sehingga kita cepat menyerah kalah dalam perjuangan dan dakwah Islam.

  1. Ayat 38- {(Ingatlah), padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri.}- ayat ini melarang dari bersifat bakhil hatta untuk diri sendiri kerana ia akan merugikan.
    Nak beli makanan nak beli ubat pun sayang apatah lagi nak bersedekah!

Nak berbelanja untuk diri sendiri pun sayang, akhirnya hartanya akan ditinggalkan dan menjadi milik orang!

Sesungguhnya sesiapa yang bakhil dan enggan bersedekah itu berada dalam kerugian yang besar, kerana dia telah menghalang dirinya daripada mendapat pahala yang besar dan kebajikan yang banyak.

  1. Ayat 37-{(Tabiat kamu wahai manusia) jika Tuhan meminta kepada kamu harta benda kamu serta mendesak kamu memberikanNya, nescaya kamu akan berlaku bakhil kedekut, dan kebakhilan itu akan melahirkan kemarahan dan kebencian kamu.}- ayat ini menunjukkan Allah uji seseorang itu dengan harta kemudian uji dengan infaq iaitu kenakan peraturan kepadanya seperti untuk keluarkan zakat, nafkah dan lain-lain. Bial Allah uji dengan peperangan terserlah orang munafiq yang lari tidak mahu berjuang, manakala apabila Allah uji dengan harta terserlahlah sifat orang yang bakhil pula,

i- Hadis Rasulullah s.a.w tentang sedeqah yang paling baik:
Abu Hurairah r.a berkata:
\”Seorang laki-laki datang kepada Nabi S.A.W dan bertanya: \”Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?\”
Baginda menjawab:
\”Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir (bakhil), takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka janganlah kamu menunda-nundanya hingga tiba ketika nyawamu berada di halkummu. Lalu kamu berkata, si fulan punya ini dan si fulan punya itu. Padahal harta itu milik si fulan\”. (HR Bukhari No: 1330).

Iaitu ketika kita masih lagi sihat, tamak & sayang dan perlukan harta itu, bukan semasa sudah sakit dan tidak berdaya nak guna harta itu lagi!

  1. Ayat 36-{Dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).}- Allah kata Dia tidak minta pun harta manusia itu.
    Iklan itu hanya menggalakannnya untuk infaq fi-sabilillah untuk bekalan perang. Ajakan itu hanya sebagai satu galakan, siapa yang ada harta silalah berinfaq, jika tidak kamu akan rugi!
    Ada juga ulama\’ kata maksudnya tidak minta itu ialah tidak minta sekarang, tetapi untuk akan datang!
  2. Ayat 38-{Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.}- jika kamu berpaling, tidak mahu berdakwah, ajak orang kepada Sunnah, tidak mahu juga infaq dan berjihad maka Allah akan menukar kamu kepada orang lain. Islam ini akan sentiasa didokong oleh pejuang-pejuang yang ikhlas, jika kamu lari, tidak & mahu ikut akan ada penggantinya.

Maka ayat ini menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t untuk mencipta dan mengganti manusia silih berganti, tukar dari yang tidak baik kepada yang lebih baik, mengikut kuasa dan kehendak Allah s.w.t!

Kata Imam Mujahid rhm.: Allah tukar orang lain, maka orang yang datang kemudian, lebih baik baik dari yang dulu.

Islam ini bukan ekslusif, khas untuk sesuatu golongan saja, tetapi untuk semua yang berjuang kepada agama Allah dan menegakkan Sunnah Nabi s.a.w.

Alhamdulillah dengan khatamnya surah Muhammad ini, rezekikan kami semua kefahaman yang baik, kecintaan kepada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w untuk mendapat keampunan dan keredhaan-Mu dan syafaat Rasulullah s.a.w.

Powered by BetterDocs