SURAH SAAD : AYAT 12-16

\"\"

ALLAH SEBUT BEBERAPA UMAT DAHULU, PENGAJARAN BUAT MUSYRIKIN KEMUDIAN & KEBODOHAN MEREKA MINTA SEGERA AZAB.

Full video : https://youtu.be/7iw_aCuJGP4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t sebut tentang 6 kaum terdahulu yang telah Allah s.w.t binasakan lantaran kerana kekufuran mereka dan derhaka dengan cara azab yang berbeza-beza yang Allah pilih.
  2. Azab itu berbeza mengikut keadaan kekufuran dan suasana kehidupan mereka, ada yang tenggelam air, tenggelam dek bumi, tempikan suara yang dahsyat, angin kencang, dibalikkan bumi dan lain-lain.
  3. Yakni setiap kumpulan itu ada balasan tersendiri yang Allah pilih dan campakkan ke atas mereka!
  4. Munasabah ayat; Setelah Allah s.w.t menyebut jawapan kepada keraguan puak kafir yang tidak mahu beriman, sombong tidak mahu perhati kepada dalil-dalil yang dibawa, kerana mereka belum ditimpa azab. Seolah Rasulullah s.a.w hanya bercakap kosong.
  5. Maka dalam ayat ini, Allah s.w.t peringatkan kepada Quraisy dan kafir lain, bahawa kaum nabi-nabi terdahulu pun beginilah perangai mereka, sombong, angkuh, degil dan keras kepala.
    Kemudian apabila Allah s.w.t turunkan azab, mereka menyesal dengan penyesalan yang tidak berguna, manakala di Akhirat kelak bertambah tiada guna penyesalannya!
  6. Maka dalam ayat hari ini, Allah s.w.t bawakan kepada kita contoh-contoh beberapa kaum nabi terdahulu yang telah binasa dan ditimpa azab akibat menolak kebenaran itu!
    Supaya kita mengambil pengajaran dan iktibar!

AYAT 12 -{SEBELUM MEREKA ITU, KAUM NABI NUH, DAN AAD (KAUM NABI HUD), SERTA FIRAUN YANG MEMPUNYAI KERAJAAN YANG KUAT, TELAH JUGA MENDUSTAKAN RASUL MASING-MASING.} (SAAD 38:12)

  1. Allah s.w.t menceritakan bahawa sebelum mereka itu (قَبْلَهُمْ) iaitu kaum Quraisy ini, sudah ada kaum-kaum lain, yang juga telah mendustakan rasul-rasul masing-masing.
  2. Dalam ayat ini disebut kaum Nabi Nuh (نُوحٍ), kaum Aad, (وَعَادٌ) iaitu kaum Nabi Hud dan Firaun (فِرْعَوْنُ) yang mempunyai kerajaan yang besar (ذُو الْأَوْتَادِ)!
  3. Ulama\’ tafsir membincangkan pula makna (ذُو الْأَوْتَادِ): ada kata kerajaan besarnya, tempat dia bermain-main, tempat dia siksa dan azab orang, yang pentingnya waktu dia berkuasa.
  4. Kaum Aad ini adalah di sebelah Ahqaf, iaitu kawasan yang dilalui oleh kaum Quraisy pada setiap tahun dalam rehlah perniagaan mereka ke Yaman pada musim sejuk.
  5. Firman Allah s.w.t dalam surah lain:
    i- {(Demikian juga) kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka.)} (Asy-Syu\’araa\’ 26:105)

ii- {(Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).} (Asy-Syu\’araa\’ 26:123)

iii- {Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (ذِي الْأَوْتَادِ)}. (Al-Fajr 89:10)

AYAT 13 -{DAN JUGA THAMUD (KAUM NABI SOLEH), DAN KAUM NABI LUT, SERTA PENDUDUK AIKAH; MEREKALAH KUMPULAN-KUMPULAN (YANG MENENTANG KEBENARAN).} (SAAD 38:13)

  1. Juga kaum Thamud (ثَمُودُ) iaitu kaum nabi Soleh yang telah menyembelih unta mukjizat di Madain Soleh, diketuai Qudar – dan gengnya yang menyembelih unta.
  2. Kemudian kaum Lut a.s (لُوطٍ), kaum LGBT yang diterbalikkan bumi sebagai azab, dekat Laut Mati di sempadan Jordan & Palestin sekarang.
  3. Juga penduduk Aikah (أَصْحَابُ الْأَيْكَةِ) yang menyembah pokok besar bernama Aikah, sebuah kampung di Madyan.

4 Penduduk Aikah ini juga menjadi perbincangan ulama\’ tafsir apakah mereka ini kaum nabi Syua\’ib atau dua kaum yang berbeza, ada beberapa pendapat. Wallahu a\’lam.

  1. Tiga kaum ini adalah di sebelah Syam, kaum Quraisy juga melalui kawasan ini dalam rehlah perniagaan mereka ke Syam pada musim panas.
  2. Mereka inilah kumpulan (الْأَحْزَابُ) yang menentang kebenaran, mendustakan para rasul, yang berkumpul untuk kufur dan menolak agama Allah s.w.t!
  3. Malangnya semua kejahatan yang dibuat oleh umat terdahulu ini telah direcycle- dihidupkan-balik oleh syaitan, penyakit umat ini muncul semula dan telah menjadi amalan kebiasaan umat modern hari ini!

AYAT 14 -{TIDAK ADA SATUPUN DARI KAUM-KAUM YANG TERSEBUT, MELAINKAN TELAH MENDUSTAKAN RASUL-RASUL; MAKA BERHAKLAH MEREKA DITIMPA AZAB.} (SAAD 38:14)

  1. Semua kumpulan kaum ini telah mendustakan rasul-rasul mereka. Maka sudah selayaknyalah dan berhak bagi mereka dikenakan azab!
  2. Maka kamu puak yang menentang Rasulullah s.a.w juga hendaklah beringat dan berhati-hatilah!

AYAT 15 -{DAN ORANG-ORANG INI (YANG MENENTANG NABI MUHAMMAD), TIDAK MENUNGGU MELAINKAN SATU JERITAN SUARA YANG TIDAK AKAN BERULANG LAGI.} (SAAD 38:15)

  1. Kamu kaum kafir ini, jangan sombong, dengan sekali tiupan saja (tiupan sangkakala) pada hari Kiamat nanti, kamu semua akan mati binasa! Tiupan itu tidak perlu diulang beberapa kali, hanya sekali saja untuk mati semua, kemudian tiupan yang kedua, semua akan bangkit hidup semula.
  2. Tetapi jangan lupa, jika tidak sampai kepada Kiamat besar itu, kiamat kecil iaitu kematian akan tiba bagi setiap induvidu!
  3. Jika mati datang, biarlah persiapan kita untuk bertemu Allah s.w.t dengan hati yang sejahtera (قلب سليم) dan amal ibadat yang mencukupi sebagai bekalan!

AYAT 16 -{DAN MEREKA PULA BERKATA (SECARA MENGEJEK-EJEK): \”WAHAI TUHAN KAMI! SEGERAKANLAH AZAB YANG DITETAPKAN UNTUK KAMI, SEBELUM DATANGNYA HARI HITUNGAN AMAL (YANG DIKATAKAN OLEH MUHAMMAD ITU)\”.} (SAAD 38:16)

  1. Ini adalah keingkaran puak kafir terhadap Kebangkitan semula.
    Mereka ini pada asasnya ingkar kepada 3 perkara:
    i- kepada Keesaan Allah s.w.t. (التوحيد)
    ii- kepada kerasulan dan kenabian Nabi Muhammad s.a.w. (الرسالة)
    iii- kepada Kebangkitan semula. (البعث)
  2. Mereka berkata pula secara mengejek, memerli kerana mereka tidak percaya: Wahai Tuhan Kami, segerakanlah azab yang telah kamu tetapkan ke atas kami!
  3. Lama sudah kami dengar Muhammad (s.a.w) sebut dan mengancam, maka datangkan segera dan sekarang azab itu! Tidak perlu tunggu hari Kiamat (يَوْمِ الْحِسَابِ) yang dikata dan dijanjikan oleh Muhammad (s.a.w) kepada kami.
  4. Dalam ayat ini ada 4 asas kekufuran mereka:
    i- mereka kata Rasulullah s.a.w ahli sihir yang bohong (ayat 4).
    ii- adakah Tuhan ramai-ramai nak jadi satu (ayat 5).
    iii- adakah Muhammad yang buta-huruf itu ada al-Quran, ada Kitab? (ayat).
    iv- maka dalam ayat ini mereka cabar minta azab segera pula diturunkan ke atas mereka! Jika betul kamu benar. (ayat 12).
  5. Sama seperti kata-kata mereka dalam firman Allah s.w.t ini:
    {Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: \”Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya\”.} (Al-Anfaal 8:32).
  6. Inilah cabaran dan keangkuhan puak kafir yang rasa dia hebat dan kebal, keras kepala dan degil!
    Bukan mereka lansung tiada maklumat dan tanda, kerana sebelum ini apabila ditimpa kemarau panjang mereka pernah datang berjumpa Rasulullah s.a.w supaya dihilangkan azab itu!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 14 -{Tidak ada satupun dari kaum-kaum yang tersebut, melainkan telah mendustakan Rasul-rasul; maka berhaklah mereka ditimpa azab.}- kata ulama\’ tadabbur, ayat ini kita ambil yang majoriti, yang ramainya yang telah mendustakan para rasul, walaupun tidak dinafikan ada antara kaum rasul itu mereka yang beriman, seperti mereka yang naik bahtera nabi Nuh dari kalangan kaumnya, kaum bani Israil yang ikut Musa a.s dan lain-lain kaum nabi. Ayat ini Allah s.w.t cerita secara ghalib atau majoritinya begitulah.

Firman Allah s.w.t: {Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.} (Hud 11:40)
Maka para pendakwah kena sabar dan tekun, jangan peduli dengan orang yang ingar dan menentang, jika apa yang kita bawa itu benar dan bertepatan dengan al-Quran & Sunnah.
Para rasul dan nabi pun ada penentang dan dipertikaikan ajarannya dan dihina, maka jika setakat kita apa lebihnya.

  1. Ayat 14 -{Tidak ada satupun dari kaum-kaum yang tersebut, melainkan telah mendustakan Rasul-rasul; maka berhaklah mereka ditimpa azab.}- diambil faedah dari ayat ini, bahawa dahsyatnya azab yang Allah s.w.t timpakan ke atas mereka. Kerana Allah s.w.t sandarkan azab itu kepada dirinya sendiri (فَحَقَّ عِقَابِ).
    Cuba bayangkan ujian kecil atas dunia ini seperti banjir, kebakaran, kemalangan jalan raya dan lain-lain yang kita sudah rasakan dahsyat. Apatah lagi azab yang turun akibat kemurkaan Allah s.w.t! Na\’uzubillah.
  2. Ayat 14 -{Tidak ada satupun dari kaum-kaum yang tersebut, melainkan telah mendustakan Rasul-rasul; maka berhaklah mereka ditimpa azab.}- bila mereka dusta maka mereka berhak untuk menerima azab.
    Ulama\’ berkata (فَحَقَّ) huruf \’fa\’ ini adalah fa sababiyyah (فاء السببية), bermaksud sebab, kerana mereka derhaka, dusta, ingkar maka wajiblah ke atas mereka azab!
    Jika mereka tidak lawan rasul, maka tiadalah azab dan kebinasaan itu!
  3. Ayat 16 -{Dan mereka pula berkata (secara mengejek-ejek): \”Wahai Tuhan kami! Segerakanlah azab yang ditetapkan untuk kami,}- ayat ini menunjukkan bahawa puak kafir itu tahu ada Tuhan.
    Tapi jika setakat tahu saja ada, tidak memadai selagi mereka tidak ikrar.

Sebagaimana dalam komponen Syahadah kena ada 3 perkara baru dikira beriman:
i- kata dengan lidah, yakni ucap syahadah.
ii- tasdiq dengan hati, hati yakin dan percaya sepenuhnya.
iii- serta anggota kena beramal.

  1. Ayat 16 -{Dan mereka pula berkata (secara mengejek-ejek): \”Wahai Tuhan kami! Segerakanlah azab yang ditetapkan untuk kami,}- jika setakat mereka kata ada tuhan saja tetapi tidak mengakui ketauhidan dan Keesaan Allah s.w.t, yakni setakat akui ketuhanan rububiyyah, tidak uluhiyyah, maka mereka tidak akan keluar daripada kekufuran.

Dalam hidup kita, wajib hayati tauhid bagaimana hendak menyembah Allah s.w.t sebagaimana yang dikehendaki-Nya.
Kita kena murnikan tauhid kita, bukan setakat tahu ada tuhan saja (rububiyyah) tetapi tidak berpegang dan takrir dengan tauhid uluhiyyah (hanya menyembah Allah yang Esa) maka akan berlakulah kepincangan dalam hidup kita.

Semoga Allah s.w.t anugerahkan rahmat dan kesejahteraan dalam hidup dan aqidah kita supaya dapat bertemu dengan Allah dengan hati yang sejahtera.

Powered by BetterDocs