SURAH GHAFIR : AYAT 77-81

\"\"

SABAR MENGHADAPI GOLONGAN KAFIR, KISAH RASUL TERDAHULU MENJADI TELADAN & NIKMAT HAIWAN UNTUK MANUSIA.

Full video : https://youtu.be/qx20OhrGTdY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t perintah kepada Rasulullah agar bersabar kerana janji Allah untuk beri kemenangan itu pasti datang.
  2. Juga untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w, Allah bawa kisah rasul-rasul terdahulu, bagaimana kesusahan dan ujian yang mereka hadapi dalam menghadapi karenah dan perbuatan kaum masing-masing yang menentang.
  3. Kemudian Allah sebut nikmat yang dikurniakan kepada kita manusia melalui haiwan ternakan (الْأَنْعَامَ), yang boleh dijadikan sebagai makanan, tunggangan, pengangkut barang dan lain-lain faedah.
  4. Munasabah ayat: Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w supaya bersabar menghadapi tentangan kaumnya serta dibawa kisah-kisah rasul terdahulu untuk menenangkan hati Baginda s.a.w.
    Dalam ayat-ayat lepas dari awal surah Allah mulakan dengan kronologi ini:
    i- ayat 4- jangan terpedaya dengan kesenangan dan kemajuan puak kafir atas dunia ini.

ii- ayat 21- pertanyaan adakah kamu tidak berjalan di muka bumi ini dan melihat kesan kebinasaan umat terdahulu yang ingkar?

iii- ayat 51- jaminan dan janji Allah akan tolong rasul-rasul-Nya.

iv- ayat 55- sabar wahai Muhammad (s.a.w) janji Allah itu benar dan bantuan akan tiba, maka sabar dan banyakkan berisitighfar.

v- Maka datang ayat 77 ini untuk bersabar sekali lagi atas kejahatan orang kafir, bahawa Allah s.w.t akan tunaikan janji-Nya untuk membinasakan orang kafir serta memberi pertolongan kepada orang mukmin di dunia & Akhirat.

AYAT 77-{MAKA BERSABARLAH (WAHAI MUHAMMAD), SESUNGGUHNYA JANJI ALLAH (MENYEKSA MUSUH-MUSUHMU ITU) ADALAH BENAR; OLEH ITU KIRANYA KAMI PERLIHATKAN KEPADAMU SEBAHAGIAN DARI AZAB YANG KAMI JANJIKAN KEPADA MEREKA, ATAUPUN KAMI WAFATKANMU SEBELUM ITU, (MAKA TETAPLAH MEREKA AKAN MENERIMA BALASAN AZAB) KERANA KEPADA KAMILAH MEREKA AKAN DIKEMBALIKAN.} (GHAAFIR 40:77)

  1. Dalam ayat ini sekali lagi Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w agar bersabar kerana janji Allah s.w.t untuk menyiksa dan memusnahkan musuh-musuhnya dan musuh Allah adalah benar dan akan tiba!
  2. Ada azab yang dijanjikan berlaku dihadapan mata Rasulullah s.a.w semasa masih Baginda masih ada seperti kebinasaan dan kematian Abu Jahal dan pemuka-pemuka Quraisy yang lain dalam peperangan Badar pada 17 Ramadhan, tahun kedua Hijrah. Kemudian Abu Lahab yang mati di Makkah selepas itu.
  3. Ataupun jika Rasulullah s.a.w wafat sebelum itu, orang kafir itu tetap akan menerima balasannya dan kena azab yang dijanjikan! Serta mereka akan dikumpulkan balik kembali kepada Allah s.w.t di Akhirat kelak untuk mendapat perhitungan yang terakhir!
  4. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan jika Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) akan sebahagian dari balasan azab yang Kami janjikan kepada mereka, atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu, maka kepada Kamilah tempat kembali mereka; kemudian Allah yang memberi keterangan mengenai apa yang mereka lakukan.} (Yunus 10:46)
    ii- {Sama ada Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari azab yang Kami janjikan untuk mereka (yang ingkar) atau kami wafatkanmu sebelum melihatnya maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka.} (Ar-Ra\’d 13:40)
  5. Yakni mereka puak kafir itu tetap akan kena azab samada Nabi tengok atau tidak, selepas atau sebelum Nabi s.a.w mati, mereka tidak akan terlepas!

AYAT 78-{DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENGUTUS BEBERAPA RASUL SEBELUMMU; DI ANTARA MEREKA ADA YANG KAMI CERITAKAN PERIHALNYA KEPADAMU, DAN ADA PULA DI ANTARANYA YANG TIDAK KAMI CERITAKAN KEPADA KAMU. DAN TIDAKLAH HARUS BAGI SESEORANG RASUL MEMBAWA SESUATU KETERANGAN ATAU MENUNJUKKAN SESUATU MUKJIZAT MELAINKAN DENGAN IZIN ALLAH; (MAKA JANGANLAH DIINGKARI APA YANG DIBAWA OLEH RASUL) KERANA APABILA DATANG PERINTAH ALLAH (MENIMPAKAN AZAB) DIPUTUSKAN HUKUM DENGAN ADIL; PADA SAAT ITU RUGILAH ORANG-ORANG YANG BERPEGANG KEPADA PERKARA YANG SALAH.} (GHAAFIR 40:78)

  1. Allah s.w.t bawa pula contoh-contoh rasul-rasul terdahulu untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w.
  2. Allah tegaskan bahawa sudah berapa ramai rasul-rasul diutuskan sebelum Rasulullah s.a.w, ada yang Allah sebut dan ceritakan tentangnya (25 orang rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w) dan ada yang Allah tidak ceritakan kepada Rasulullah s.a.w di dalam al-Quran (313 orang rasul keseluruhannya).
  3. Firman Allah s.w.t:
    {{Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur.
    Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).} (An-Nisaa\’: 163-164).
  4. Semua mukjizat dan keterangan dalil yang para rasul bawa itu diberikan oleh Allah s.w.t yakni hanya dengan kuasa dan keizinan dari Allah s.w.t. Bukan mereka boleh reka dan buat sendiri, semuanya adalah anugerah dari Allah s.w.t!
  5. Kerana itu janganlah kamu mengingkari dan mendustakan apa yang dibawa oleh para rasul, kerana apabila datang perintah Allah (menimpakan azab) diputuskan hukum dengan adil;
  6. Maka pada saat itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah yakni musnah dan binasa dek azab serta tiada keuntungan lansung bagi mereka.
  7. Ini semua menenangkan hati dan menguatkan semangat Rasulullah s.a.w- seperti apabila mendengar tentang cerita:
    i- Nabi Ibrahim a.s yang berdakwah kepada kaumnya dan bapanya sendiri pengukir berhala. Dia didustai oleh kaumnya lalu cuba dibunuh dalam api yang menjulang, tetapi Allah selamatkan Ibrahim dengan menjadikan api itu sejuk dan selamat bagi Ibrahim a.s
    ii- begitu juga kisah nabi Musa a.s yang diutus kepada Firaun yang amat zalim dan berkuasa pada waktu itu. Tetapi akhirnya dengan kuasa Allah s.w.t Musa a.s dan pengikutnya selamat manakala Firaun dan tenteranya yang binasa tennggelam dalam laut.
  8. Begitulah setiap rasul itu mempunyai mukjizat dan cabaran yang tersendiri dan mengikut keadaan dan zaman masing-masing.

AYAT 79-{ALLAH YANG MENJADIKAN BINATANG TERNAK BAGI KAMU; SEBAHAGIAN DI ANTARANYA UNTUK KAMU MENUNGGANGNYA, DAN SEBAHAGIAN LAGI UNTUK KAMU MAKAN.} (GHAAFIR 40:79)

  1. Setelah dibawa dalil tentang nikmat anugerah Allah s.w.t yang besar kepada manusia seperti kejadian siang & malam, langit dan bumi, dalam ayat ini Allah s.w.t bawa contoh nikmat yang ada dekat dengan kita.
  2. Iaitu Allah yang menjadikan binatang ternakan (الْأَنْعَامَ) seperti unta, lembu kerbau, kambig biri-biri dan seumpamanya dari golongan mereka ini.
    Haiwan ini ialah haiwan:
    i- yang dikenakan zakat serta
    ii- yang boleh disembelih sebagai korban walaupun pada waktu haji,
    iii- yang boleh dijadikan aqiqah, diyat & dam iaitu denda dalam ibadat dan sebagainya.
  3. Ini adalah ayat-ayat (آيات الامتنان) iaitu ayat di mana Allah s.w.t mengungkit nikmat yang diberi-Nya kepada manusia.
  4. Antara sebahagian kegunaannya ialah menjadi tunggangan, dan sebahagian lagi menjadi makanan serta nikmat lain sebagaimana dalam ayat berikutnya di bawah.

AYAT 80-{DAN KAMU PULA BEROLEH BERBAGAI FAEDAH PADA BINATANG TERNAK ITU, DAN SUPAYA KAMU DAPAT MEMENUHI SESUATU HAJAT YANG ADA DALAM HATI KAMU DENGAN MENGGUNAKAN BINATANG ITU; DAN DI ATAS BINATANG-BINATANG TERNAK ITU, SERTA DI ATAS KAPAL-KAPAL, KAMU DIANGKUT.} (GHAAFIR 40:80)

  1. Serta pelbagai lagi faedah lain daripada binatang ternakan ini yang kita dapat untuk memenuhi hajat & keperluan manusia yang diingininya.
  2. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan binatang-binatang ternak itu, Ia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain; dan daripadanya juga kamu makan.}

Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu, keindahan (yang menarik hati) ketika kamu membawanya balik untuk berihat (pada waktu petang), dan ketika kamu membawanya keluar (pada waktu pagi).
Dan binatang-binatang itu pula membawa barang-barang kamu ke mana-mana negeri yang kamu tidak dapat sampai kepadanya melainkan dengan menanggung susah payah. Sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya.} (Al-Nahl: 5-7)

ii- {Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.} (Al-Mu\’minuun 23:21)

iii- {Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?} (Yaa Siin 36:73)

  1. Kita dapat gunakannya untuk mengangkut barang-barang, menarik benda/alat berat, membawa kita sebagai kenderaan dan pengangkutan. Bahkan unta itu digelar sebagai (Bahtera padang pasir- سفينة الصحراء ).
  2. Unta ini adalah salah satu haiwan ciptaan Allah s.w.t yang amat ajaib dan pelik kejadiaanya. Terlalu banyak hikmah dan sebab disebalik penciptaanya, seperti mulutnya yang terkoyak, bulu matanya yang berlapis-lapis serta kakinya yang besar; semua ini dicipta khas untuk kehidupannya di padang pasir.
  3. Allah s.w.t suruh kita tengok,kaji dan fikir akan kejadian unta ini dengan firman-Nya: {(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?} (Al-Ghaasyiyah 88:17)

AYAT 81-{DAN IA MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU TANDA-TANDA KEBESARANNYA DAN KEKUASAANNYA (MELALUI RASUL-RASULNYA DAN PADA MAKHLUK-MAKHLUK YANG DIJADIKANNYA); MAKA DI ANTARA TANDA-TANDA KESEMPURNAAN ALLAH, YANG MANA SATU, YANG KAMU INGKARI?} (GHAAFIR 40:81)

  1. Semua itu adalah kejadian dan ciptaan yang Allah s.w.t ciptakan dan rancang dengan sebaiknya dan penuh hikmah! Menunjukkan kebesaran-Nya dan kekuasaan-Nya melalui Rasul-rasul-Nya yang diutus dan pada makhluk-makhluk yang dijadikan-Nya.
  2. Semua ini untuk berfikir, mengambil pengajaran dan iktibar bahawa nikmat Allah s.w.t ke atas kita ini begitu besar dan banyak, tidak terbatas dan tidak terhitung.
  3. Maka di antara tanda-tanda kesempurnaan Allah, yang mana satu, yang kamu ingkari? Iaitu orang kafir tetap menolaknya dan mengatakan semua itu adalah kejadian semulajadi.
  4. Kita orang yang beriman dan tahu akan kuasa Allah s.w.t tidak akan ingkar sesuatu apa-pun, semuanya Allah cipta dengan hikmah dan kebijasanaan-Nya. Kita akan ambil iktibar dan pengajaran bahawa nikmat Allah s.w.t itu amat besar!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 77-{Oleh itu kiranya Kami perlihatkan kepadamu sebahagian dari azab yang Kami janjikan kepada mereka, ataupun Kami wafatkanmu sebelum itu, (maka tetaplah mereka akan menerima balasan azab) kerana kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.}- musuh dan kafir yang Allah binasakan di depan mata Rasulullah s.a.w itu untuk mengguatkan lagi keimanan dan menenangkan hati Rasulullah s.a.w. Seperti kemusnahan Abu Jahal dan gengnya!

Andaikata jika Allah s.w.t hantar bencana besar ke atas kaum atau negara kafir yang jahat yang mengancam Islam, boleh kita bersyukur dan bergembira dengan kejadian itu. Tidak cela orang mukmin yang bergembira dengan bala ke atas kafir yang jahat.

  1. Ayat 78-{Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelummu; di antara mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya kepadamu, dan ada pula di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu.}- rasul yang Allah sebut dalam al-Quran itu kerana kisahnya ada iktibar untuk kita ambil pengajaran dan tauladan. Ada rasul yang Allah tidak sebut terus nama atau kisahnya, tetapi kita tetap kena wajib percaya.

i- Rasul pertama selepas Adam a.s ialah Nabi Nuh a.s.
Dalilnya adalah firman Allah s.w.t: {Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur.} (An-Nisaa\’ 4:163)

ii-Manakala rasul yang terakhir adalah Nabi kita Muhammad s.a.w.

Ada rasul yang kita tahu dan ada maklumat tentangnya, ada yang kita tidak tahu, cuma namanya saja disebut.

  1. Ayat 78-{Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah;}- ayat ini juga untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w yang telah diasak oleh musyrikin Quraisy, mencabar kebenaran Baginda dengan menuntut untuk menjadikan bukit Safa di Makkah sebagai emas, buat sungai dan tali air serta lain-lain permintaan yang di luar akal dan kuasa manusia.

Allah s.w.t memberitahu Rasulullah s.a.w bahawa Allah boleh buat semua itu, tetapi jika mereka tidak beriman juga mereka akan dibinasakan semuanya.
Rasulullah s.a.w tidak mahu begitu, tidak mahu mereka mati dalam keadaan kafir tetapi mahu mereka beriman dan mati dalam iman kepada Allah s.w.t.

Allah tegaskan di sini bahawa mukjizat itu bukan dari kuasa atau rekaan Nabi sendiri tetapi dari Allah s.w.t!

  1. Ayat 78-{Kerana apabila datang perintah Allah (menimpakan azab) diputuskan hukum dengan adil;}- ayat ini mengajar kepada kita erti keimaman apa yang diputuskan oleh Allah s.w.t samada siksa atau azab maka itu benar, jangan dipertikaikan. Ini kerana hukuman dan keputusan yang datang dari Allah s.w.t tidak akan zalim bahkan penuh dengan keadilan.

Persoalan: Kenapa apabila datang azab/bala pada sesuatu tempat, semua yang ada mati juga walaupun mereka orang soleh atau tidak? Ini kerana tidak logik untuk menyelamatkann mereka saja, seperti banjir yang melanda sesuatu tempat pasti semua yang rendah dan setempat akan terlibat.

Ini juga mungkin kerana bila kemungkaran berleluasa di situ tetapi orang berilmu dan soleh tidak menegur dan mengingkarinya!

Tetapi walaupun sama-sama mati misalnya, yang kafir mati dalam kesesatan dan akan mendapat balasan azab, manakala yang beriman mati dalam keredhaan Allah s.w.t dan akan mendapat ganjaran pahala di Akhirat kelak.

  1. Ayat 80-{Dan kamu pula beroleh berbagai faedah pada binatang ternak itu,}- Allah sebut bahawa pada haiwan ternakan itu ada banyak lagi manfaatnya, cuma yang Allah sebut sebahagiannya saja.

Menunjukkan bahawa manfaat itu banyak lagi dan umum, boleh kita gunakannya sebagaimana yang kita kehendaki dalam pelbagai bentuk selagi tidak menyakiti dan mendera haiwan.

Untuk bercakap tentang nikmat yang Allah beri kepada kita melalui haiwan ini panjang sekali, maka cukuplah apa yang ada sebagai isyarat kepada yang lainnya.

Powered by BetterDocs