SURAH SABA\’ : AYAT 1-2

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, SIFAT ALLAH MEMILIKI DAN MENGUASAI ALAM & SIFAT ILMU MENGETAHUI SEGALA PERKARA.

Full video : https://youtu.be/rDAfEWYvoas

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini Jumaat 21 R. Thani 1443H bersamaan 26hb November 2021 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Saba\’.
  2. Surah Saba\’, adalah surah ke-34 dalam tertib susunan al-Quran, dalam juz ke 22 dan mengandungi 54 ayat.
  3. Sepakat ulama\’ tafsir mengatakan surah ini diturunkan di Makkah maka ia adalah surah Makkiyyah.
    Ada pandangan yang mengatakan ia adalah Makkiyyah kecuali satu ayat iaitu ayat yang ke-6 adalah Madaniyyah.
  4. Surah ini dinamakan surah Saba\’, iaitu perihal penduduk sebuah kerajaan, Saba\’ yang besar yang ada disebut dalam ayat ke-15-21. Ia adalah kerajaan Ratu Balqis yang masyhur itu.
  5. Dalilnya; Diriwayatkan dalam beberapa Athar (kata-kata sahabat) yang menamakan surah ini dengan surah Saba\’:
    i- Dari Ibnu Durais diambil dari riwayat Ibnu Abbas r.a. dalam kitab Fadha\’il Quran
    (ابن الضريس, فضائل القران)
    ii- Imam as-Suyuthi juga menukilkan athar ini di dalam Kitabnya السيوطي الدر المنثور.

INTISARI KANDUNGAN :

  1. Pada awal surah ini Allah s.w.t menegaskan bahawa segala puji yang tertentu hanyalah bagi-Nya sebagai Pemiliki Dan Penguasa Alam ini yang melimpah rahmat-Nya kepada segala makhluknya, terutama kepada orang beriman yang taat, di akhirat kelak.
  2. Setelah menolak kefahaman kaum musyrikin yang tidak percaya kepada Nabi Muhammad s.a.w serta tentang kaum terdahulu yang telah menolak nabi-nabi yang diutus kepada mereka, maka ini amaran kepada kaum Quraisy jika mereka juga masih berdegil tidak mahu beriman, maka akan dibinasakan seperti kaum Saba di Yaman Tua yang telah kufur.
  3. Firman khas kepada Nabi Muhammad s.a.w bahawa Baginda diutuskan khas sebagai pembawa berita gembira kepada orang yang beriman dan membawa amaran kepada orang yang ingkar.
  4. Nabi s.a.w diperintahkan untuk menegaskan kepada manusia bahawa Allah s.w.t berkuasa meluaskan rezekinya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, juga menyempitkan kepada sesiapa yang dikehendaki juga.
    Tetapi ramai manusia yang tidak tahu hakikat ini. Ini kerana Allah s.w.t jualah yang mengetahui keadaan hamba-Nya.
  5. Arahan untuk besyukur kepada Allah atas rezeki yang kurniakan serta digalakkan untuk berderma fi sabilillah dan jangan takut miskin dengan sebab sedekah.
  6. Di akhir surah ditegaskan bahawa telah datang kebenaran al-Quran yang membawa segala kebaikan, sebaliknya perkara yang salah tidak dapat meberi kebaikan di dunia, usahkan untuk diulang di akhirat.
  7. Sebagai penutupnya digambarkan keadaaan orang yang bersalah pada hari Kiamat, yang cemas gerun dan gementar apabila melihat azab siksa yang disediakan untuk mereka.
  8. Bahkan semasa mereka diseret untuk pembalasa, mereka mengaku bahawa mereka beriman tetapi tiada gunanya kerana tempat beriman adalah di dunia, sedangkan mereka telah terpisah dari dunia dan tidak mungkin akan kembali lagi.

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH :

  1. Membatal dan meruntuhkan semua sekali asas-asas kefahaman syirik di atas dunia ini dan menolak sebarang jenis bentuk keraguan, maklumat salah yang dibuat dan disebar oleh kaum musyrikin.
  2. Menjelaskan kewajipan hujjah tauhid kepada Allah s.w.t dan benarnya Baginda Nabi s.a.w.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Surah ini dibuka dengan Alhamdulillah, yang menunjukkan bahawa Allah s.w.t sebagai Pemilik segala yang di langit dan di bumi, yang dipuji dunia akhirat dan betapa luasnya ilmu Allah s.w.t.
  2. Diceritakan orang musyrikin mengingkari Kebangkitan semula dan hari Kiamat, maka Allah s.w.t menjawab dan menghapuskan kefahama batil tersebut.
  3. Disebut secara ringkas kisah dua orang nabi Daud dan Sulaiman, yang merupakan bapa & anak.
  4. Allah s.w.t sebut tentang negara Saba\’ dan kesudahan yang terjadi kepada mereka.
  5. Menegakkan dalil keEsaan dan kekuasan Allah s.w.t, diarahkan untuk murnikan keaikhlan semata-mata kepada Allah s.w.t dalam ibadat, jangan campur aduk dengan syirik yang dapat meruntuhkan tauhid.
  6. Menyebut sebahagian suasana hari Kiamat dan dialog antara ketua dan pengikut kesesatan di dalam neraka, satu perbuatan yang tidak memberi faedah.
  7. Menolak kefahaman bahawa orang bangsawan, kaya, pembesar yang menyangka bahawa harta dan anak cucu mereka akan beri manfaat di akhirat.
  8. Mengajak orang kafir untuk berfikir dan tadabbur akan dakwah Rasulullah s.a.w.
  9. Memberi amaran kepada orang kafir akan akibat buruk jika mereka berterusan dalam kufur dan keras kepala terhadap Allah s.w.t.

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1 – {SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH YANG MEMILIKI DAN MENGUASAI SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI, DAN BAGINYALAH JUGA SEGALA PUJI DI AKHIRAT; DAN DIA LAH SAHAJA YANG MAHA BIJAKSANA, LAGI MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA. } (SABA\’ 34:1)

  1. Allah s.w.t. berfirman memuji diriNya, الْحَمْدُ لِلَّهِ Segala puji bagi Allah kerana sifat-sifat-Nya yang terpuji lagi sempurna, dan perbuatan-perbuatan-Nya juga terpuji. Segala pujian hanya khas dan sepenuhmya hanya kepada Allah s.w.t.
  2. Segala sesuatu yang ada di langit dan apa yang ada di bumi adalah milik dan ciptaan-Nya, berada di bawah kekuasaan dan aturan-Nya. Maka wajiblah kita bersyukur atas segala nikmat-Nya.
  3. Bagi-Nya segala puji di akhirat juga. Dialah Yang Memberi nikmat dan kurnia kepada penduduk dunia dan akhirat, Yang Memiliki dan Yang Menguasai kesemuanya. Bagi-Nyalah segala puji yang mutlak di dunia dan di akhirat.
  4. Firman Allah s.w.t: {Serta mereka berkata:\” Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya,}- (Az-Zumar 39:74)
  5. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan dua sifatnya: الْحَكِيمُ Pemilik, penguasa yang Bijaksana serta الْخَبِيرُ lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
  6. 5 Surah yang di mulai dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ – Segala puji bagi Allah:
    i- Al-An\’aam.
    ii- Al-Kahfi
    iii- Saba\’
    iv- Fathir.
    v- Al-Fatihah yang dibaca di awal al-Quran tapi isinya menunjukkan dua nikmat, awal kejadian dan hari akhirat nanti.
  7. Hikmatnya dua nikmat yang Allah berikan kepada kita :
    i- Isyarat kepada kejadian:
    {Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.} (Al-An\’aam 6:1)

ii- Isyarat untuk syukur kerana kekal atas dunia dalam keadaan aman:
{Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)} (Al-Kahfi 18:1)

iii- Isyarat kepada nikmat dunia & Akhirat:
{Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagiNyalah juga segala puji di akhirat; dan Dia lah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.} (Saba\’ 34:1)

iv- Isyarat kekal kedua di akhirat kelak:
{Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Faathir 35:1)

v- Isyarat kepada nikmat yang segera, wajib puji Allah sekarang ini sehingga ke hari Kiamat: {Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.} (Al-Faatihah 1:1-3).

AYAT 2- {IA MENGETAHUI APA YANG MASUK KE BUMI SERTA APA YANG KELUAR DARIPADANYA, DAN APA YANG TURUN DARI LANGIT SERTA APA YANG NAIK KEPADANYA; DAN DIA LAH JUA YANG MAHA MENGASIHANI, LAGI MAHA PENGAMPUN.} (SABA\’ 34: 2)

  1. Allah s.w.t mengetahui apa yang ada/masuk dalam bumi maksudnya seperti bilangan titisan air hujan yang jatuh dan tersebar masuk ke perut bumi, bilangan biji-bijian yang ditanam di seluruh permukaan bumi, haiwan yang tinggal di dalam tanah, harta karun, logam-logam galian dan sebagainya.
  2. Dia juga mengetahui apa yang keluar dari bumi, bilangannya, caranya dan jenisnya seperti tumbuhan, haiwan yang keluar dari sarangnya di bawah tanah, logam-logam galian dan sebagainya.
  3. Allah mengetahui apa yang turun dari langit seperti hujan, salji, embun rezeki dan sebagainya.
    Dia juga mengetahui apa yang naik ke langit seperti malaikat, ruh dan amal soleh.
  4. Allah s.w.t bawa di akhir ayat ini dua sifatnya iaitu:
    i- Dia lah jua yang Maha Mengasihani hamba-nya yang lemah, maka Dia tidak menyegerakan siksaan-Nya terhadap orang-orang yang tersalah dan berdosa.
    ii- lagi Maha Pengampun kepada mereka yang mahu bertaubat dan insaf, kembali kepada-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Surah Saba\’ adalah antara dari 5 surah yang dimulai الْحَمْدُ لِلَّهِ Segala puji bagi Allah. Kesemuanya adalah surah Makkiyyah.

Susunan surah-surah ini adalah dengan taufiq Allah s.w.t, bukan dengan sususan para sahabat, Rasulullah s.a.w yang mengajar tempat letaknya.
Pada setiap Ramdhan Rasulullah s.a.w akan mengulang bacaan (murajaah) al-Quran secara penuh dengan Jibril, dengan tertib ikut susunannya.
Pada tahun akhir hayatnya sebanyak dua kali, kemudian Rasulullah s.a.w mengajarnya kepada para sahabat r.anhum, yang menghafaz dan menjaganya pula.

Pada zaman khalifah pertama, Sayyidina Abu Bakar R.A, tercetus peperangan al-Yamamah pada tahun 12 hijrah (pendapat kebanyakan kitab sirah). Pertempuran besar melawan golongan murtad itu menyebabkan kematian 500 penghafaz al-Quran (dan pendapat paling banyak mengatakan 700 huffaz yang juga panglima perang meninggal dunia), menyebabkan timbul kebimbangan kepada Sayyidina Umar al-Khattab R.A.
Atas dasar itu, Umar berjumpa Abu Bakar dan mencadangkan al-Quran ditulis kerana bimbang akan hilang apabila ramai huffaz meninggal dunia dalam peperangan. Selepas berfikir panjang, Abu Bakar r.a bersetuju dengan cadangan itu, alhamdulillah.

  1. الْحَمْدُ لِلَّهِ Segala puji bagi Allah- melalui ayat ini Allah s.w.t mengajar kepada kita bagaimana cara untuk kita memuji Allah s.w.t, ini semua untuk faedah kita juga, lagi banyak kita puji dan ingat Allah s.w.t akan bertambah keimanan kita dan Allah s.w.t akan ingat kepada kita juga.
  2. Ayat 1 – {Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai} – Allah s.w.t kembarkan di sini pujian dan kekuasaan-Nya sebagai Pemilik langit dan bumi ini! Sifat Allah s.w.t itu sudah sempurna tapi bila dikembarkan bertambah mantap.
    Aku puji Allah, siapa Allah? Iaitu Allah yang memiliki dan Mengusai!
    Jangan kita tersasar minta pertolongan atau pujaan kepada makhluk lain selain daripada Allah s.w.t, mantapkan tauhid & aqidah kepada Allah s.w.t semata.
  3. Ayat 1 – {Dan bagiNyalah juga segala puji di akhirat;} – di akhirat nanti segala puji dan kerajaan hanya bagi Allah s.w.t juga, tiada lagi yang lain yang boleh dipuji seperti di atas dunia ini, mungkin sekarang ada kerajaan dan negara lain, seperti kerajaan Saba\’ yang disebut selepas ayat ini.
  4. Ayat 1 – {Dia lah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.} – dikembarkan dua sifat ini iaitu hikmat kebijaksaan dan ilmu, ini supaya manusia yakin bahawa Allah s.w.t membuat undang-undang peraturan-Nya dengan hikmat dan ilmu.
    Sebagaimana tidak mungkin seseorang menjadi bijak tanpa ilmu.
    Jadi apakah kita tidak yakin dengan kebijaksanaan dan hikmah Allah s.w.t lalu mencari peraturan & undang-undang lain?
  5. Ayat 1 – {Dia lah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.} – Allah sebut pujian untuk-Nya, juga Dia Penguasa kemudian ditutup ayat ini dengan dua sifat-Nya ini- menunjukkan sempurnanya ciptaan Allah s.w.t – kerana Allah s.w.t yang buat dengan penuh hikmah dan ilmu-Nya yang mantap. Yang zahir dan yang batinnya sama, semua itu di bawah ilmu, hikmah & iradah (kehendak) Allah s.w.t yang Maha Bijaksana dan Mendalam Pengetahuan-Nya. Ini adalah keyakinan kita terhadap susun atur yang dibuat oleh Allah s.w.t yang cukup sempurna & mantap.
  6. Ayat 1 – {Dia lah sahaja Yang Maha Bijaksana,} – menetapkan kebijaksanan Allah s.w.t dalam bab tersusun dan teraturnya ciptaan kauni (ciptaan makhluk dan alam) seperti langgit di atas, bumi di bawah dan seumpamanya.
    Juga dalam bab Syar\’i – undang-undang dan peraturan ciptaan Allah s.w.t yang di Syariatkan.
    Maka jika kita pertikaikan hukum hakam yang Allah s.w.t tetapkan, maka seolah kita mengaku lebih bjiak daripada Allah s.w.t, tidak percaya bahawa Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
  7. Ayat 2- {Dia lah jua yang Maha Mengasihani, lagi Maha Pengampun.} – Allah s.w.t perkenalkan sifat-Nya yang Maha Mengasihani, lagi Maha Pengampun. Ayat ini menggalakkan manusia yang tak bermaya, yang rasa lemah dan bersalah, agar janganlah kamu takut dan bimbang kerana itulah sifat Allah s.w.t.
  8. Ayat 2- {Ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya,}- kata ulama\’, ayat ini tafsil (penjelasan) kepada ayat pertama – {Dia lah sahaja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.} – ayat pertama ini menyatakan sifat Allah secara ringkas, maka ayat kedua menghurai dan menjelaskan dengan lebih terperinci apakah ilmu Allah s.w.t yang Maha Mendalam itu.
    Allah s.w.t mengetahui segala yang masuk yang keluar, yang naik yang turun dilangit dan bumi semuanya.
    Ayat kedua sebagai penjelasan terperinci (huraian) kepada ayat pertama yang sebagai point.
  9. Ayat 2- {Dia-lah jua yang Maha Mengasihani, lagi Maha Pengampun.} – Ayat Ini Mempunyai dua petunjuk:
    i- galakan kepada orang kafir supaya bertaubat dari syirik, kamu masuk Islam Allah s.w.t akan maafkan semua kesalahan yang lepas.
    Manakala bagi orang Islam juga jangan bimbang kita ada Tuhan yang Maha Mengasihani, lagi Maha Pengampun maka sentiasalah memohon keampunan dan rahmat-Nya.

ii- kenapa ayat ini seolah terbalik dari kebiasaan ayat al-Quran yang lain yang biasanya menyebut Ghafur dulu. الرَّحِيمُ الْغَفُورُ – ada 8 tempat dalam al-Quran yang datang dengan ayat begini, iaitu الْغَفُورُ- Maha Pengampun dulu sebelum sifat lain.

Maka kenapa ayat ini disebut Rahim dulu sebelum Gahfur? الرَّحِيمُ الْغَفُورُ .
Ulama\’ kata kerana ada munasabah yang istimewa iaitu:
i- kerana susunan ayat, disebut tentang langit, bumi yang ada manfaat dan kepentingan kepada manusia, ini sebagai kesan dari rahmat Allah s.w.t Yang Maha Mengasihani الرَّحِيمُ.
Pelbagai nikmat yang telah Allah kurniakan untuk manusia seperti hujan, tumbuhan dan lain-lain.
Kemudian bila dapat nikmat ini ada manusia yang kufur dan syukur.

ii- Jika kufur dan salah guna nikmat yang Tuhan beri itu, kamu lagha dan lupa seketika, maka tidak mengapa, kembalilah ke pangkal jalan, bertaubat dan insaflah kerana Allah Maha Pengampun, الْغَفُورُ akan memaafkan kamu!.

iii- Allah s.w.t mulakan surah ini dengan sifat rahmat-Nya untuk memberitahu bahawa rahmat Allah mendahului kemurkaan Allah s.w.t. maka kerana rahmat Allah itu luas, sebagai manusia jangan kita putus harap dan kecewa, kita ada Allah yang Maha Mengasihani lagi Maha Pengampun.

Inilah ilmu tadabbur yang indah, kenapa Allah s.w.t buat susunan begini, semuanya ada hikmat dan maksud yang tersirat di sebaliknya. Kita yakin Allah s.w.t yang Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya, dari segi susun atur-Nya dan perundangan-Nya serta Allah s.w.t yang Maha Mengasihani, lagi Maha Pengampun dari segi kerja buat kita!

Powered by BetterDocs