SURAH AS-SOFFAT : AYAT 83-98

\"\"

KISAH NABI IBRAHIM A.S PEMILIK HATI SEJAHTERA, BERDEBAT DENGAN KAUMNYA & MEMECAHKAN BERHALA DAN DIA DIBAKAR.

Full video : https://youtu.be/hnCAxXNbw1A

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang Nabi Allah Ibrahim a.s. yang mempunyai hati yang sejahtera (قَلْبٍ سَلِيمٍ).
  2. Kemudian kisah tentang dia yang beriman dan berdakwah kepada kaumnya dengan berdebat kepada mereka.
  3. Setelah mereka tidak mendengarnya, dia memecahkan berhala mereka untuk memberi petunjuk.
  4. Malangnya ini menyebabkan mereka marah lalu menghukumnya dengan membakar dalam unggun api yang besar.
  5. Ini adalah episod kisah Nabi Ibrahim secara ringkas, yang panjang dan detailnya sudah diceritakan dalam Surah Ibrahim dan lain-lain sebelum ini.

AYAT 83-{DAN SESUNGGUHNYA DI ANTARA ORANG-ORANG YANG MENEGAKKAN (AJARAN YANG DIBAWA OLEH) NABI NUH IALAH NABI IBRAHIM. (AS-SAAFFAAT 37:83)

  1. Ayat ini adalah kesinambungan dari kisah Nabi Nuh dan zuriatnya yang berbaki dalam siri yang lepas. Iaitu antara zuriat dan pengikut agama yang dibawa oleh Nabi Nuh a.s ialah Nabi Ibrahim a.s.
  2. Kata ulama\’ dhomir dalam perkataan (شِيعَتِهِ) adalah kembali kepada nabi Nuh.

AYAT 84-{KETIKA IA MEMATUHI PERINTAH TUHANNYA DENGAN HATI YANG SUCI MURNI.} (AS-SAAFFAAT 37:84)

  1. Allah gambarkan Nabi Ibrahim sebagai seorang yang suci dan sejahtera hatinya (قَلْبٍ سَلِيمٍ).
  2. Iaitu hati yang suci, tauhid kepada Allah, bebas dari syirik dan keraguan, ikhlas tiada riyak, tiada syubhat dan waswas, syahwat dan hawa nafsu serta tiada perangai buruk seperti sifat benci, dendam dan hasad dengki kepada sesama Islam dan orang yang baik.
  3. Ulama\’ kata maksudnya perkataan datang kepada/mematuhi perintah Tuhannya (جَاءَ رَبَّهُ):
    i- Ibrahim sambut seruan Tuhannya dengan segera tidak bertangguh.

ii- ketika dicampakkan dalam Nabi Ibrahim mantapkan akidah masuk ke dalam api dengan yakin dan akidah mantap. Lalu Allah s.w.t firmankan kepada api agar sejuk dan selamat kepada Ibrahim.

  1. Firman Allah s.w.t:
    {\”Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,} (Asy-Syu\’araa\’ 26:88)
    \”Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);} (Asy-Syu\’araa\’ 26:89)
  2. Maksud hati yang sejahtera (قَلْبٍ سَلِيمٍ) ialah hati yang selamat daripada:
    i- sejatera daripada syirik. (kafir)
    ii- syak keraguan (munafiq)
    iii- syubhat (munafiq dan seumpamanya)
    iv- syahawat (semua manusia) – sifat dendam, hasad, benci dan lain-lain penyakit hati.
  3. Pemilik hati sejahtera juga bukan orang pasif, tidak bermaya dan hanya beribadat untuk dirinya sendiri saja. Mereka ialah penegak agama tauhid, penghapus kemungkaran dan segala yang tidak baik. Sebagaimana nabi Ibrahim a.s.

AYAT 85-{KETIKA IA BERKATA KEPADA BAPANYA DAN KAUMNYA: \”APA YANG KAMU SEMBAH?} (AS-SAAFFAAT 37:85)

  1. Ibrahim a.s berdakwah berdepan dengan bapanya sendiri, berhujjah dengan bapanya seorang pemahat berhala. Dia bertanya kepada mereka apa yang mereka sembah?
  2. Dia pemilik hati sejahtera, seorang yang tegas dan tidak berdolak-dalik lagi, dengan berani menyatakan kebenaran dan kesesatan mereka.

AYAT 86-{\”PATUTKAH KAMU MENYEMBAH TUHAN-TUHAN YANG LAIN DARI ALLAH, KERANA KAMU MEMUTAR BELITKAN KEBENARAN SEMATA-MATA (BUKAN KERANA BENARNYA)?} (AS-SAAFFAAT 37:86)

  1. Wahai kaumku, patutkah kamu menyembah Tuhan lain selain dari Allah? Adakah kamu mahu putar pelik dan pesongkan kebenaran yang aku bawa ini, dengan cuba membenarkan perbuatan sesat kamu itu?

AYAT 87-{\”MAKA BAGAIMANA FIKIRAN KAMU PULA TERHADAP ALLAH TUHAN SEKAMU ALAM?\”} (AS-SAAFFAAT 37:87)

  1. Ibrahim bertanya kepada mereka apa yang mereka sangka dan agak Allah s.w.t akan buat apabila bertemu dengan mereka nanti? Yang mereka sembah selain daripada-Nya, Tuhan sekelian alam.

AYAT 88-{KEMUDIAN IA MEMANDANG DENGAN SATU RENUNGAN KEPADA BINTANG-BINTANG (YANG BERTABURAN DI LANGIT),} (AS-SAAFFAAT 37:88)

  1. Waktu itu sempena pesta besar penduduk kampungnya, mereka semua berkumpul untuk menyambutnya. Mereka mengajak Ibrahim untuk ikut serta pergi bersama mereka.
  2. Ibrahim pun mendongak merenung bintang di langit, seolah membaca sesuatu ilmu pada bintang itu, sebagaimana kepercayaan dan amalan kaumnya selama ini.

AYAT 89-{LALU BERKATA: \”SESUNGGUHNYA AKU MERASA SAKIT (TAK DAPAT TURUT BERHARI RAYA SAMA)\”.} (AS-SAAFFAAT 37:89)

  1. Lalu dia memberi alasan bahawa jika menurut bacaan bintang itu dia tidak dapat pergi, jika pergi akan ditimpa sakit.
  2. Ini hanyalah alasan Ibrahim untuk memberi helah dan alasan kepada kaumnya supaya mereka meninggalkan dia seorang sahaja di kampung itu. Ibrahim adalah seorang yang beriman dan mentauhidkan Allah s.w.t.

AYAT 90-{SETELAH (MENDENGAR KATA-KATANYA) ITU, MEREKA BERPALING MENINGGALKAN DIA.} (AS-SAAFFAAT 37:90)

  1. Setelah mendengar alasan ini, kaumnya pun percaya dan meninggalkannya, tidak memaksanya pergi.
  2. Hadis Rasulullah s.a.w tentang kisah Nabi Ibrahim s.a.w membuat alasan atau helah untuk menyelamatakan nyawa dan demi agamanya:

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda:
لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَام إِلَّا ثَلَاثَ كَذَبَاتٍ ثِنْتَيْنِ مِنْهُنَّ فِي ذَاتِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَوْلُهُ {إِنِّي سَقِيمٌ} وَقَوْلُهُ {بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا} وَقَالَ بَيْنَا هُوَ ذَاتَ يَوْمٍ وَسَارَةُ إِذْ أَتَى عَلَى جَبَّارٍ مِنْ الْجَبَابِرَةِ فَقِيلَ لَهُ إِنَّ هَا هُنَا رَجُلًا مَعَهُ امْرَأَةٌ مِنْ أَحْسَنِ النَّاسِ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ فَسَأَلَهُ عَنْهَا فَقَالَ مَنْ هَذِهِ قَالَ أُخْتِي فَأَتَى سَارَةَ قَالَ يَا سَارَةُ لَيْسَ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مُؤْمِنٌ غَيْرِي وَغَيْرَكِ وَإِنَّ هَذَا سَأَلَنِي فَأَخْبَرْتُهُ أَنَّكِ أُخْتِي فَلَا تُكَذِّبِينِي فَأَرْسَلَ إِلَيْهَا فَلَمَّا دَخَلَتْ عَلَيْهِ ذَهَبَ يَتَنَاوَلُهَا بِيَدِهِ فَأُخِذَ فَقَالَ ادْعِي اللَّهَ لِي وَلَا أَضُرُّكِ فَدَعَتْ اللَّهَ فَأُطْلِقَ ثُمَّ تَنَاوَلَهَا الثَّانِيَةَ فَأُخِذَ مِثْلَهَا أَوْ أَشَدَّ فَقَالَ ادْعِي اللَّهَ لِي وَلَا أَضُرُّكِ فَدَعَتْ فَأُطْلِقَ فَدَعَا بَعْضَ حَجَبَتِهِ فَقَالَ إِنَّكُمْ لَمْ تَأْتُونِي بِإِنْسَانٍ إِنَّمَا أَتَيْتُمُونِي بِشَيْطَانٍ فَأَخْدَمَهَا هَاجَرَ فَأَتَتْهُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فَأَوْمَأَ بِيَدِهِ مَهْيَا قَالَتْ رَدَّ اللَّهُ كَيْدَ الْكَافِرِ أَوْ الْفَاجِرِ فِي نَحْرِهِ وَأَخْدَمَ هَاجَرَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ تِلْكَ أُمُّكُمْ يَا بَنِي مَاءِ السَّمَاءِ
Maksudnya: \”Nabi Ibrahim tidak pernah berhelah melainkan pada tiga perkara. Dua daripadanya melibatkan zat Allah.
i- Beliau berkata: \’Aku Sakit\’
ii- dan juga \’Bahkan yang lakukan adalah berhala yang besar\’.
iii- Dan satu lagi Nabi Ibrahim berhelah ketika Baginda dan isterinya Sarah datang kepada seorang raja yang bengis.
Dikatakan kepada raja tersebut: Di sini ada seorang lelaki dan seorang wanita yang elok rupanya. Maka raja tersebut mengutuskan seorang utusan kepada Nabi Ibrahim dan bertanya kepada Baginda Siapakah wanita ini?
Baginda menjawab: Ini adalah saudara perempuanku.
Kemudian Ibrahim mendatangi Sarah dan berkata: Wahai Sarah, tiada ada di atas muka bumi ini orang yang beriman melainkan aku dan engkau. Orang ini bertanya kepada aku maka katakan bahawa engkau adalah saudara perempuan. Jangan engkau bohongi apa yang aku katakan.
Apabila Sarah masuk menemui raja tersebut, dia mula mencuba memegang tangan Sarah. Maka tidak mampu (kerana tangannya menjadi keras). Maka raja tersebut berkata kepada Sarah: Doakanlah untuk aku dan aku tidak akan menyakiti engkau. Lalu Sarah pun berdoa dan tangan raja tersebut disembuhkan. Maka raja tersebut cuba untuk memegang Sarah buat kali kedua. Maka tangan raja tersebut menjadi lebih teruk daripada sebelumnya. Raja tersebut berkata: Berdoalah untuk aku. Aku tidak akan menyakiti engkau. Maka Sarah pun berdoa dan tangan raja tersebut disembuhkan.
Lalu raja tersebut memanggil pembantunya: Sesungguhnya kalian tidak bawa kepada aku manusia, akan tetapi yang kalian bawa adalah syaitan. Maka raja tersebut pun memberikan Hajar sebagai pembantu Sarah.
Kemudian Sarah datang bertemu Nabi Ibrahim yang mana pada ketika itu Baginda bangun melakukan solat. Lalu Baginda menunjukkan isyarat: Apa yang berlaku?. Allah telah membalas perancangan orang yang kafir dan berdosa dan raja tersebut memberikan Hajar sebagai pembantu.
Kata Abu Hurairah: Itulah ibu kalian wahai Arab.\” [HR Al-Bukhari (3358) & Abu Daud (2214)].

  1. Semua kisah ini ada terakam dalam al-Quran melalui firman Allah s.w.t ini:
    i- -{Lalu berkata: \”Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)\”.} (As-Saaffaat 37:89)

ii- {Ia menjawab: \”(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata\”.} (Al-Anbiyaa\’ 21:63)

  1. Selesailah dialog antara Ibrahim dan kaumnya, mereka pun meninggalkannya.

AYAT 91- {LALU IA PERGI KEPADA BERHALA-BERHALA MEREKA SECARA BERSEMBUNYI, SERTA IA BERTANYA (KEPADA BERHALA-BERHALA ITU, SECARA MENGEJEK-EJEK): \”MENGAPA KAMU TIDAK MAKAN?} (AS-SAAFFAAT 37:91)

  1. Selepas kaumnya pergi Ibrahim pun pergi ke tempat himpunan berhala itu dengan senyap-senyap lalu bertanya kepada berhala itu dengan niat mengejek dan memastikan kelemahan mereka.
  2. Mengapa kamu tidak makan? Pastilah berhala itu tidak menjawabnya kerana ia hanyalah batu ukiran ciptaan manusia, mata tidak berkelip mulut terkunci!

AYAT 92- {\”MENGAPA KAMU TIDAK MENJAWAB?\”} (AS-SAAFFAAT 37:92)

  1. Ibrahim bertanya lagi: Wahai berhala kenapa kamu tidak jawab????
    Saja ayat provokasi untuk menaikkan lagi semangat dan keyakinannya!

AYAT 93- {LALU IA MEMUKUL BERHALA-BERHALA ITU DENGAN TANGAN KANANNYA (SEHINGGA PECAH BERKETUL-KETUL).} (AS-SAAFFAAT 37:93)

  1. Lalu setelah semua pertanyaan ini tidak terjawab, Ibrahim pun mula memukul berhala itu dengan tangan kanannya sehingga pecah berketul-ketul.

AYAT 94- {(SETELAH KAUMNYA MENGETAHUI HAL ITU) MAKA DATANGLAH MEREKA BERAMAI-RAMAI KEPADANYA.} (AS-SAAFFAAT 37:94)

  1. Apabila kaumnya mendengar berita ini (tentang kemusnahan berhala mereka) mereka segera berlari pulang beramai-ramai.
  2. Mereka sudah mengesyaki siapa yang melakukan perbuatan ini dan terus mencari Ibrahim!

AYAT 95- { (BAGI MENJAWAB BANTAHAN MEREKA), IA BERKATA: \”PATUTKAH KAMU MENYEMBAH BENDA-BENDA YANG KAMU PAHAT?} (AS-SAAFFAAT 37:95)

  1. Lalu seperti ayat tadi, Ibrahim menyuruh mereka bertanya kepada seekor berhala besar yang ditinggalkan tidak dipecahkan! Mungkin ia yang memecahkan berhala-berhala lain ini!
  2. Ibrahim lalu menjawab tuduhan dan hujjah kaumnya. Patutkah kamu sembah apa yang kamu buat dan pahat sendiri? Ia tidak bercakap menjawab pertanyaanku!
  3. Hujjah ini adalah untuk menyedarkan mereka akan kebodohan dan kesesatan mereka menyembah sesuatu yang tidak dapat bercakap dan bergerak apatah lagi memberi manfaat dan darurat!

AYAT 96- {\”PADAHAL ALLAH YANG MENCIPTA KAMU DAN BENDA-BENDA YANG KAMU BUAT ITU!\”} (AS-SAAFFAAT 37:96)

  1. Sedangkan kamu semua dicipta oleh Allah s.w.t Tuhan yang mencipta kamu dan semua benda-benda yang kamu buat itu! Malangnya segala dakwah dan nasihat ini tidak memberi kesan kepada kaumnya!
  2. Setelah mereka yakin bahawa Ibrahimlah yang memecahkan berhala mereka lalu mereka pun buat keputusan dan hukuman.

AYAT 97- { (SETELAH TAK DAPAT BERHUJAH LAGI, KETUA-KETUA) MEREKA BERKATA: \”BINALAH UNTUK IBRAHIM SEBUAH TEMPAT (UNTUK MEMBAKARNYA), KEMUDIAN CAMPAKKAN DIA KE DALAM API YANG MENJULANG-JULANG ITU\”.} (AS-SAAFFAAT 37:97)

  1. Mereka sudah tidak ada hujjah lagi lalu membuat keputusan untuk membakar Ibrahim dalam unggun api yang besar menjulang maraknya.
  2. Bukan api biasa yang kecil, ulama\’ kata mereka buat binaan yang besar dan tinggi, lalu dimasukkan api di dalamnya. Kerana api terlalu besar dan panas, mereka pun tidak mendekatinya, lalu terpaksa membuat lastik yang besar untuk membidas masuk Ibrahim ke dalam api itu!

AYAT 98- {MAKA MEREKA (DENGAN PERBUATAN MEMBAKAR NABI IBRAHIM ITU) HENDAK MELAKUKAN ANGKARA YANG MENYAKITINYA, LALU KAMI JADIKAN MEREKA ORANG-ORANG YANG TERKEBAWAH (YANG TIDAK BERJAYA MAKSUDNYA).} (AS-SAAFFAAT 37:98)

  1. Perancangan jahat mereka untuk membunuh Ibrahim a.s tidak berdaya, kerana Allah s.w.t telah menghalangnya!
  2. Lalu Allah s.w.t berfirman peritahkan api untuk menjadi sejuk dan selamat bagi Ibrahim. Jikat tidak selamat pasti Ibrahim akan mati kebekuan pula dalam api itu!
  3. Hadis mauquf riwayat dari Ibnu Abbas r.a, beliau berkata,
    حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ
    (Cukuplah Allah sebagai Penolong kami, dan Dialah sebaik-baiknya pelindung),
    i- kalimat inilah yang diucapkan Nabi Ibrahim A.S tatkala beliau dilemparkan ke dalam unggun api.

ii- Kalimat ini pulalah yang pernah diucapkan Rasulullah s.a.w ketika orang musyrik pada waktu itu mengatakan, \”Sesungguhnya orang-orang Quraisy telah berkumpul untuk menyerang kamu, maka takutlah kepada mereka!\”
Namun, perkataan ini justeru menambah keimanan mereka lalu menjawab, \”Cukuplah Allah sebagai Penolong kami, dan Dialah sebaik-baik Pelindung.\”

Firman Allah s.w.t: {Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: \”Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya\”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: \”Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)\”.} (Aa-li\’Imraan 3:173). [HR Bukhari (4563)].

  1. Kita pun bila ada apa-apa masalah selalulah ucapkan doa ini kerana Allah-lah sebaik-baik Pelindung, dan Dialah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
    حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ
    (Cukuplah Allah sebagai Penolong kami, dan Dialah sebaik-baiknya pelindung).
  2. Allah s.w.t tegaskan bila orang kafir nak buat tipu daya yang mereka sangka mereka akan menang dan berjaya menghapuskan Ibrahim, sedangkan Allah s.w.t akan jadikan mereka sebagai orang kalah dan tidak berjaya mencapai tujuan maksudnya itu!
  3. Kisah Ibrahim yang dicampakkan ke dalam api telah banyak diceritakan dalam ayat-ayat lain. Bagaiman Allah s.w.t berfirman kepada api agar: {\”Berubahlah engkau menjadi dingin dan berikan keselamatan bagi Ibrahim!\”}.
    Maka api menjadi sejuk dan selamat bagi Ibrahim, bukan sejuk sahaja yang boleh membinasakan juga.
  4. Sebelum ini kita dengar Allah s.w.t bawa dalil tentang api yang menyala dari pokok yang hidup dan tidak kering, begitu jugalah Allah berkuasa menjadikan api menjadi sejuk dan selamat untuk Ibrahim a.s.
  5. Inilah kisah tafsir yang amat ringkas, tentang kisah nabi Ibrahim a.s. ini kerana kita sudah banyak bincangkan kisahnya dalam surah-surah yang lepas.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Tonggak agama dan ajaran Nabi Ibrahim ialah:
    i- Ayat 84- {Ketika ia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni.}- paksi atau tonggak ajaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s ialah hati yang sejahtera . Hati yang sejahtera inilah yang akan mengumpulkan segala sifat dan akhlak yang baik, bermula dengan tauhid, bersih hati dari sifat buruk, bersih dan jauh dari syirik, waswas, syubhat, keraguan dan seumpamanya.

ii- Ayat 85-{Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: \”Apa yang kamu sembah?} – ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa keluarga terdekat dan anak-anak tidak semestinya akan mendapat faedah daripada kebaikan seorang bapa atau keluarga yang alim dan beriman. Begitulah adakalanya orang lain yang memberi sokongan tetapi keluarga sendiri yang menghalang!

iii- Ayat 98- { lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya).}-siapa yang lawan dan menentang kebenaran akan kecundang dan tewas! Begitulah orang -orang yang membawa kerosakan di muka bumi ini akan dihina oleh Allah s.w.t. seperti Firaun, Abu Jahal dan lain-lain. Maka jika kita mahu membawa kebenaran al-Quran dan Sunnah kena sabar, pasti akan ada tentangan dan halangan dari yang ingkar dan melawan kebenaran! Sabarlah akan ada pertolongan Allah s.w.t akan tiba maka tetapkanlah hati kamu atas perjuangan kebenaran.

  1. Ayat 83-{Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim.}- ayat ini menjadi dalil bahawa asas agama semua nabi-nabi itu satu. Asas tauhid yang sama iaitu menyembah dan beribadat kepada Allah s.w.t semata-mata. Setiap seorang menegak dan membenarkan ajaran nabi yang terdahulu walaupun mungkin berbeza hukum dan Syari\’ahnya. Ibrahim adalah penyokong (شِيعَتِهِ) serta penyambung keturunan dan agama nabi Nuh. Nuh, Hud, Saleh kemudian Ibrahim dan Lut a.s datang bersama.

Susunannya dapat dilihat dalam frman Allah s.w.t ini: {Dan wahai kaumku! Janganlah permusuhan kamu terhadapku menyebabkan kamu ditimpa bala bencana sebagaimana yang telah menimpa kaum Nabi Nuh, atau kaum Nabi Hud, atau kaum Nabi Soleh. Dan kaum Nabi Lut pun tidaklah jauh dari kamu (kamu sedia mengetahui apa yang telah menimpa mereka).} (Hud 11:89)

Kita juga umat Muhammad s.a.w Allah s.w.t telah tetapkan untuk ikut di atas agama Nabi Ibrahim a.s yang dibawa oleh Nabi Ismail ke Makkah. Sehingga kepada Rasulullah s.a.w walaupun Syari\’at adalah berbeza.

  1. Ayat 84-{Ketika ia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni.}- Ibrahim datang bertemu kepada Allah, Tuhannya! Ayat ini menunjukkan penjagaan dan pembelaan khas Allah s.w.t. terhadap nabi Ibrahim a.s. -Nabi Ibrahim telah mendapat inayah pertolongan dari Allah walaupun dia seorang diri berdepan dengan ayah dan kaumnya yang menentang. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa terhadapnya.
  2. Ayat 85-{Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: \”Apa yang kamu sembah?}- kita boleh nisbahkan satu kaum itu kepada nabi-nya walaupun mereka tidak beriman. Ini kerana mereka memang asalnya ada hubungan keluarga seperti bapanya dan kaumnya. Maka ia adalah satu nisbah kerana KETURUNAN bukan kerana nisbah kepada pegangan dan agama. Ibrahim pun masih memanggil bapanya dengan panggilan yang penuh hormat dan kasih-sayang: \”wahai bapaku.\”
  3. Ayat 88-{Kemudian ia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit),} & Ayat 89-{Lalu berkata: \”Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)\”.}- ayat ini menunjukkan kepada satu hujjah atau jawapan berlapik/berbelit (تورية). Ibrahim tidak berbohong kerana:
    i- dia memang akan sakit nanti kerana manusia tidak akan sihat selamanya.

ii- Juga boleh jadi maksudnya sakit hati atas kekufuran mereka, bukan sakit fizikal badan.

Ini dibenarkan untuk maslahat menjaga agama dan nyawa, jika terdesak boleh jadi wajib! Tetapi bukan bohong saja-saja untuk menyelamatkan diri daripada kesalahan atau perbuatan tidak baik yang tiada faedah.

Powered by BetterDocs