SURAH FATHIR : AYAT 32-35

\"\"

3 KATEGORI UMAT MUHAMMAD S.A.W, BALASAN ALLAH SEDIAKAN DI AKHIRAT & UCAPAN SYUKUR PARA AHLI SYUGA.

Full video : https://youtu.be/qC_YJ_d5mfE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan kepada kita 3 kategori umat Rasulullah s.a.w. Iaitu kelompok mereka yang sudah beriman dan menerima al-Quran.
  2. Allah s.w.t juga ceritakan balasan yang akan diberi kepada mereka ini mengikut kategori masing-masing.
  3. Kemudian tentang ucapan syukur ahli syurga apabila sudah merasai nikmat syurga yang dikurniakan kepada mereka.
  4. Dalam siri yang lepas kita telah dengar bahawa orang yang benar-benar takut kepada Allah s.w.t ialah para ulama\’ Rabbani yang betul-betul mengenal Allah s.w.t dengan ilmunya.
    Bukan yang hanya sekadar belajar dan tahu, pandai bercakap tanpa mencapai khasy-yah, takut yang sebenar kepada Allah.
  5. Kemudian Allah ceritakan bahawa Al-Quran itu diturunkan fungsinya sebagai menjaga dan mengawal (Muhaimin) kepada kitab-kitab yang terdahulu.

AYAT 32- {KEMUDIAN KAMI JADIKAN AL- QURAN ITU DIWARISI OLEH ORANG-ORANG YANG KAMI PILIH DARI KALANGAN HAMBA-HAMBA KAMI; MAKA DI ANTARA MEREKA ADA YANG BERLAKU ZALIM KEPADA DIRINYA SENDIRI (DENGAN TIDAK MENGINDAHKAN AJARAN AL-QURAN), DAN DI ANTARANYA ADA YANG BERSIKAP SEDERHANA, DAN DI ANTARANYA PULA ADA YANG MENDAHULUI (ORANG LAIN) DALAM BERBUAT KEBAIKAN DENGAN IZIN ALLAH. YANG DEMIKIAN ITU IALAH LIMPAH KURNIA YANG BESAR (DARI ALLAH SEMATA-MATA).} (FATHIR 35:32)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan bahawa al-Quran itu diwarisi oleh (أَوْرَثْنَا) orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; iaitu umat Nabi Muhammad s.a.w. Siapa yang Allah pilih dia menerima al-Quran dia akan mendapat hidayah pedoman.
    Siapa yang Allah tak pilih walaupun dia anak-beranak Nabi s.a.w mereka tidak dapat hidayah dan faedah dari al-Quran.
  2. Ulama\’ berbeza pendapat dalam apa yang dimaksudkan dengan kitab (الْكِتَابَ) dan ini:
    i- Kitab yang diturunkan kepada Nabi terdahulu, yang kita beriman dengannya semua.
    ii- ada ulama\’ kata ia khas untuk al-Quran.
  3. Manakala (عِبَادِنَا) ulama\’ kata adalah umat nabi Muhammad s.a.w!
  4. Umat yang menerima kitab ini adalah mereka yang telah beriman kepada Allah dan rasul tetapi mereka terbahagi kepada 3 golongan iaitu:
    i- {maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ) (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran)}- mereka cuai dalam agama, al-Quran hanya sekadar dibaca dan jadikan acara dalam majlis tertentu.
    Mereka beriman kepada Allah s.w.t tetapi mereka ahli maksiat.
    Mereka zalim dan menganiaya diri sendiri iaitu lebih banyak kesalahannya daripada kebaikannya, atau melakukan maksiat namun tidaklah sampai kufur. Inilah pandangan yang paling sahih kata para ulama\’, orang beriman yang bercampur-aduk antara kebaikan dan kejahatannya.

Firman Allah s.w.t:
{Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} [At-Taubah:102]

ii- {dan di antaranya ada yang bersikap sederhana (وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ)}- dia taat dan tidak buat maksiat dan dosa besar, tetapi dia tidak banyak amalannya hanya yang wajib saja, yang sunatnya tidak buat dan amat sedikit. Yakni orang yang berpegang dengan yang wajib dan meninggalkan yang haram.
Adhwa\’ul-Bayan: Orang yang taat tak buat maksiat tetapi tidak banyak amalan-amalan tambahan lain. Amalan sunnahnya, tidak setinggi orang lain.
Ada juga yang kata; mereka ada dosa dan maksiat yang sikit dan kecil-kecil walaupun dosa besar mereka tidak buat.

iii- {dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah.} (وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ)- Di antara mereka ada yang lebih cepat berbuat kebaikan dengan izin Allah. orang yang menunaikan yang fardhu dan jaga yang sunatnya. Apabila dia dengar satu-satu amalan itu dia akan istiqomah, tidak akan tinggalkannya lagi. Samada solat sunat rawatib, dhuha, witir dan lain-lain.

  1. Ulama\’ menafsirkan maksud orang mendahului orang lain dalam buat kebaikan ini (سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ):
    i- orang yang bertaqwa itu orang yang mendahului orang lain dalam buat kebaikan.
    ii- Mereka adalah orang-orang yang kebaikannya sangat banyak dan jarang berbuat kesalahan.

iii- adalah orang yang apabila mendengar tentang amal kebaikan atau sunnah Nabi s.a.w, dia bersegera mengamalkannya.

iv- maksudnya adalah orang yang bersegera dan bersungguh-sungguh sehingga dia mendahului yang lain, dia mengerjakan yang wajib dan menambah dengan yang sunat, serta meninggalkan segala yang haram, syubhah dan yang makruh.
Mereka berlumba-lumba sunguh-sungguh untuk berbuat kebaikan tanpa bertangguh dan tunggu lagi! Amalan mereka mendahului orang lain!

  1. Tetapi kena ingat kamu jadi orang yang baik itu semuanya dengan izin Allah s.w.t! Kata-kata dengan izin Allah ini agar kita jangan sombong dan berasa kita baik, agar ingat semuanya dengan taufik dari Allah s.w.t. dan pertolongan-Nya. Tugas kita adalah istiqomah yang mempermudahkan beramal.
  2. Tentang balasan mereka ulama\’ mengatakan: Orang yang zalim kepada diri sendiri itu adalah dibawah kehendak dan kuasa Allah s.w.t, mungkin Allah s.w.t akan mengampunkannya atau diberi azab dulu sehingga bersih dari dosanya lalu diampunkan dan keluar dari neraka kerana dia memang asalnya beriman!
  3. Sentiasalah kita berdoa untuk menjadi ahli syurga dan dilindungkan dari azab neraka:
    اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ
    Ertinya: Ya Allah, aku mohon kepada-Mu syurga, dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka.

AYAT 33- {(BALASAN MEREKA IALAH) SYURGA – SYURGA \” ADN \”, YANG MEREKA AKAN MASUKINYA; MEREKA DIHIASKAN DI DALAMNYA DENGAN GELANG-GELANG TANGAN DARI EMAS DAN MUTIARA; DAN PAKAIAN MEREKA DI SITU ADALAH DARI SUTERA.} (FATHIR 35:33)

  1. Bagi mereka syurga \’Adni, iaitu syurga yang kekal. Adni (عَدْنٍ) itu bukan nama syurga tetapi sifatnya iaitu yang kekal, apabila masuk ke dalamnya tidak akan keluar lagi, kekal abadi selama-lamanya! Syurga \’Adn adalah syurga yang menjadi tempat tinggal yang kekal.
  2. Di dalamnya mereka diberi perhiasan gelang-gelang dari emas dan mutiara baik lelaki mahupun wanita. Tiada lagi larangan dan sekatan sebagaimana atas dunia ini.
  3. Pakaian mereka di dalamnya adalah sutera, juga untuk lelaki dan perempuan juga. Akhirat adalah tempat pembalasan bukan tempat taklif seperti di dunia.
  4. Apa sebab banyak disebut gelang-gelang emas (أَسَاوِرَ مِنْ ذَهَبٍ) di dalam syurga? Kita tengok dalam faedah ayat di bawah nanti.

AYAT 34- {DAN (SEBAGAI BERSYUKUR) BERKATALAH MEREKA: \”SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH, YANG TELAH MENGHAPUSKAN PERASAAN DUKACITA DARI KAMI; SESUNGGUHNYA TUHAN KAMI MAHA PENGAMPUN, LAGI SENTIASA MEMBERI BALASAN YANG SEBAIK-BAIKNYA (KEPADA ORANG-ORANG YANG TAAT);} (FATHIR 35:34)

  1. Ucapan ahli syurga ini sebagai tanda syukur atas segala nikmat itu: \”Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita dari kami.\”
  2. Ulama\’ membincangkan apa pula maksudnya dukacita ini, antaranya:
    i- huru hara hari Kiamat, kesakitan maut, tanggung-jawab, masalah, penyakit, tugas dan segala pekerjaan atas dunia ini.
  3. Secara umumnya segala hal-hal yang menakutkan dan merunsingkan. Allah telah melenyapkan dan menyelamatkan mereka dari apa yang kita takutkan dan kita cuba elakkan, iaitu kesusahan-kesusahan di dunia dulu dan di akhirat.
  4. Allah Maha Pengampun (لَغَفُورٌ) Dia mengampuni segala kesilapan dan hamba-Nya. Dia Maha Mensyukuri (شَكُورٌ) kerana Dia menerima amal kebaikan hamba-Nya dan membalasnya

AYAT 35- {TUHAN YANG TELAH MENEMPATKAN KAMI DI TEMPAT TINGGAL YANG KEKAL, DENGAN LIMPAH KURNIANYA SEMATA-MATA. KAMI TIDAK AKAN MERASA PENAT LELAH DI SITU, DAN KAMI JUGA DI SITU TIDAK AKAN MERASA LETIH LESU\”.} (FATHIR 35:35)

  1. Ayat ini masih lagi ucapan ahli syurga yang begitu bersyukur dengan segala nikmat dan balasan yang Allah s.w.t berikan! Dia melipat-gandakan, dan memberikan kurnia-Nya melebihi amal yang dilakukan hamba-Nya dan melebihi yang dicita-citakan.
  2. Betapa besarnya balasan dan limpah kurnia Allah s.w.t, jika hanya bersandarkan amalan yang kita lakukan saja tidak akan cukup dan sepadan untuk mendapat nikmat kurnia yang begitu besar itu!
  3. Seseorang tidak akan masuk syurga semata-mata kerana amalannya, bahkan seorang hamba masuk ke dalam syurga dengan rahmat kurnia Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda:
    لَنْ يُنْجِيَ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ قَالَ رَجُلٌ : وَلَا إِيَّاكَ ؟ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ : وَلَا إِيَّايَ ، إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللَّهُ مِنْهُ بِرَحْمَةٍ
    Maksudnya: \”Amalan salah seorang dari kamu tidak akan menyelamatkannya. Seorang lelaki berkata: Walaupun engkau wahai Rasulullah? Nabi S.A.W menjawab: Walaupun aku akan tetapi Allah limpahi aku dengan Rahmatnya.\” [HR Muslim (5165)]
  4. Tetapi ini bukan alasan untuk tidak melakukan amalan soleh dan menuruti segala perintah Allah. Untuk mendapatkan rahmat Allah perlu untuk menjalankan apa yang telah diperintahkan dan memperbanyakkan amal kebaikan.
    Amalan itu sebagai kunci yang wajib ada cuma balasannya atas limpah kurnia Allah s.w.t.
  5. Di dalam syurga kita tidak akan berasa letih dan tiada juga merasa lesu. Tidak ada lagi beban atau kewajiban agama.
    Di syurga tidak ada lagi kelelahan baik bagi badan secara fizikal dalam menikmati kesenangannya yang begitu banyak, mahupun bagi mental; perasaan dan hati.

AYAT 35- {TUHAN YANG TELAH MENEMPATKAN KAMI DI TEMPAT TINGGAL YANG KEKAL, DENGAN LIMPAH KURNIANYA SEMATA-MATA. KAMI TIDAK AKAN MERASA PENAT LELAH DI SITU, DAN KAMI JUGA DI SITU TIDAK AKAN MERASA LETIH LESU\”.} (FATHIR 35:35)

  1. Ayat 32- {Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami;}- ini adalah limpah kurnia yang amat besar kepada umat nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana Allah s.w.t wariskan al-Quran ke atas mereka!
    Pusaka atau warisan adalah sesuatu yang kita terima tanpa usaha, maka kena hargainya.Tetapi al-Quran bukan hanya sebagai koleksi dan simpanan, mesti dibaca dan diamalkan!
  2. Ayat 32- {Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami;}- ayat ini memberi khabar gembira kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana asalkan kamu orang yang beriman, kamu akan masuk ke syurga akhirnya walaupun kamu dari golongan mana dalam ayat ini.
    Tetapi kita berdoa agar kita menjadi golongan yang ketiga yang berlumba buat kebaikan dan masuk syurga tanpa disentuh oleh api neraka- na\’uzubillah.
  3. Ayat 32- {maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan}- amalan manusia itu berbeza, ada yang kuat dan baik amalannya, ada yang sederhana, ada yang bercampur aduk kebaikan dan maksiat. Ulama\’ kata ini menunjukan iman itu naik dan turun, manusia juga berbeza mengikut tingkatan amalannya.
  4. Ayat 32- {dengan izin Allah} – ayat ini mengingatkan agar kita tidak tertipu dengan amalan dan terpedaya dengan diri sendiri, kerana seseorang itu tidak akan sampai ke tahap seperti itu kecuali dengan taufik dari Allah s.w.t. dan pertolongan-Nya. Dengan izin Allah s.w.t kita menjadi seorang yang beriman, bertaqwa dan kuat melakukan amal soleh!
  5. Ayat 32- {Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).}- ia adalah apa yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita; iman dan taufiq untuk beramal dengannya. Allah s.w.t wariskan kita al-Quran, kita baca, beramal dengannya dan sebarkan ilmunya.
    Kata ulama\’: Musibah terbesar bagi orang beriman ialah terhalangnnya dari sujud dan beribadat kepada Allah s.w.t!
  6. Ayat 33- {(Balasan mereka ialah) Syurga – syurga \” Adn \”}- \’Adn ertinya adalah tempat tinggal, syurga yang menjadi tempat tinggal yang kekal bukan namanya.
  7. Ayat 33- {mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara}- kenapa banyak disebut ahli syurga dipakaikan gelang perhiasan?
    Kata ulama\’ ini kerana menunjukkan bahawa ahli syurga itu hanya bersenang-lenang, tidak buat kerja lagi samada yang berat atau ringan.
    Hanya menikmati nikmat dan segala kemudahan perhiasan yang disediakan.
  8. Ayat 34- { Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat);}- sifat Allah s.w.t yang melayakkan kita ke syurga walaupun kita ada tersilap dan tersalah buat dosa. Allah s.w.t sebaik-baik Pembalas dengan beri kita syurga.
  9. Ayat 34- {yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami;} – jika sudah tiada dukacita, pastilah nikmat dan kegembiraan saja yang ada dalam syurga.
  10. Ayat 35- {Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu\”.}- inilah sifat syurga yang menunjukkannya kekal-abadi, negeri yang tidak ada tempoh dan limit!
    Masuk ke dalamnya tidak akan keluar lagi!
    Ulama\’ kata ini adalah antara nama syurga (دَارَ الْمُقَامَةِ)- negeri yang kekal.

Nabi s.a.w suruh kita selalu doa minta syurga. Salah satu doa yang Nabi ajar di dalam solat iaitu selepas tahiyat akhir sebelum salam:
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ
(Ya Allah sesungguhnya aku memohon pada-Mu syurga, dan aku berlindung dengan-Mu daripada neraka) [HR Abu Daud & Ibnu Majah]

Doakan juga kepada saudara kita yang ditimpa musibah banjir di seluruh negara. Semoga Allah selamatkan kita dan mereka semua dan bersabar di atas ujian yang menimpa.

Powered by BetterDocs