SURAH FATHIR : AYAT 5-8

\"\"

PERINGATAN AKAN GODAAN DUNIA, JADIKAN SYAITAN MUSUH YANG NYATA & AMALAN JAHAT DIHIASI DENGAN KEHENDAK NAFSU.

Full video : https://youtu.be/wiiDSnRlosw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t peringatkan tentang bahaya godaan dunia dan waswas syaitan kepada manusia.
  2. Maka kita kena usaha melawan dan menjauhi syaitan kerana ia adalah musuh yang nyata lagi amat bahaya bagi manusia!
  3. Allah juga ingatkan bahawa setiap perkara yang buruk biasanya akan dhiasi dengan kehendak nafsu. Yang akan menjadikan yang buruk dan tidak elok nampak baik, pelik dan benar!
  4. Manakala perkara yang benar dan haq akan nampak susah dan payah, nafsu akan menolak dan tidak suka kepadanya!
  5. Setiap golongan baik atau jahat akan mendapat balasan yang setimpal dengan amalan masing-masing. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Mengetahui segala apa yang mereka kerjakan.

AYAT 5- {WAHAI UMAT MANUSIA, SESUNGGUHNYA JANJI ALLAH (MEMBALAS AMAL KAMU) ADALAH BENAR; MAKA JANGANLAH KAMU DIPERDAYAKAN OLEH KEMEWAHAN HIDUP DI DUNIA, DAN JANGANLAH SYAITAN YANG MENJADI SEBESAR-BESAR PENIPU ITU BERPELUANG MENYEBABKAN KAMU TERPEDAYA DENGAN (KEMURAHAN) ALLAH (LALU KAMU LALAI DAN MENDERHAKA).} (FATHIR 35:5)

  1. Sekali lagi dalam ayat ini lah s.w.t menyeru seluruh manusia secara umum iaitu (يَا أَيُّهَا النَّاسُ). Seruan ini untuk memberitahu dan mengingatkan manusia bahawa janji Allah s.w.t itu benar.
  2. Kata ulama\’ maksud janji Allah (وَعْدَ اللَّهِ) dalam ayat ini ialah:
    i- kebangkitan semula iaitu hidup kembali selepas mati. البعث
    ii- untuk membalas semua amalan yang baik atau buruk. الجزاء
    iii- Allah s.w.t akan memberi pertolongan kepada yang memerlukannya. النصر
    Dengan janji cukup syarat, Allah akan tolong, jika tidak Allah akan biarkan.
  3. Kesimpulannya semua apa yang Allah janjikan itu benar, (حَقٌّ) maka termasuklah kesemuanya!
  4. Kemudian Allah s.w.t memberi peringatan agar kamu jangan terpedaya, tergoda dengan kehidupan dunia.
  5. Kata ulama\’ pula tentang maksud maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia (فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ):
    i- menjadikan dunia tujuan utama.
    Peringatan agar jangan memasukkan dunia dalam hati. Jadilah seperti kapal di atas air, tetapi jangan menjadi seperti kapal yang dimasuki air, akan bawa mudharat.

ii- jangan terpedaya dengan kehidupan dunia yang nampak indah dan mewah.

iii- jangan terpedaya dengan godaan dunia yang nampak manis dan hijau.

iv- jangan terpedaya dengan keampunan dan kemurahan Allah s.w.t sehingga berani buat dosa dan maksiat serta tidak insaf & bertaubat.

v- jangan terpedaya dengan godaan dan hasutan syaitan.

  1. Firman Allah s.w.t: {Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.}
    {Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.} (An-Nisaa\’ 4: 119 & 120)

AYAT 6- {SESUNGGUHNYA SYAITAN ADALAH MUSUH BAGI KAMU, MAKA JADIKANLAH DIA MUSUH (YANG MESTI DIJAUHI TIPU DAYANYA); SEBENARNYA DIA HANYALAH MENGAJAK GOLONGANNYA SUPAYA MENJADI DARI PENDUDUK NERAKA.} (FATHIR 35:6)

  1. Ayat ini menyatakan tentang permusuhan syaitan dengan manusia, dan cara permusuhannya yang mesti diawasi sentiasa, kita mesti berusaha sepenuh tenaga dan usaha untuk melawan hasutannya.
  2. Ingatlah bahawa syaitan itu musuh kamu yang jelas lagi nyata. Bukan musuh biasa-biasa, ia adalah yang mesti dijauhi tipu dayanya, jangan pula kamu buat kawan dengannya.
  3. Pengikut syaitan sepenuhnya akan menjadi kafir. Tetapi orang beriman yang ikut syaitan, masih beriman tetapi pelaku dosa dan maksiat dikira separuh-separuh, separuh ikut syaitan separuh ikut Tuhan. Mereka tetap akan mendapat azab siksa berdasarkan ikitan mereka. Realitinya pengikut syaitan itu amat ramai!
  4. Ingatlah syaitan itu tidak pernah cuti dan rehat. Ia juga akan masuk melalui lorong yang sesuai dan dibenarkan, yang selesa dan mudah mengena, ia tidak akan masuk jalan no-entry. Seperti ahli ibadat dengan caranya, hasut supaya riyak, takabbur dan seumpamanya, ahli maksiat dengan jalannya pula!
  5. Ini kerana sebenarnya syaitan hanyalah mengajak golongan yang mengikutnya (حِزْبَهُ) supaya menjadi penduduk neraka, jadi untuk selamat kita kena jauhi dan lawannya!

AYAT 7- {ORANG-ORANG YANG KAFIR, BAGI MEREKA AZAB YANG BERAT; DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA BERAMAL SOLEH, BAGI MEREKA KEAMPUNAN DAN PAHALA YANG BESAR.} (FATHIR 35:7)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t membawa dua jenis golongan manusia yang berlainan.
  2. Golongan pertama adalah pengikut syaitan itu; iaitu orang yang kafir kepada Allah s.w.t, yang pasti akan mendapat azab yang begitu dahsyat.
  3. Allah s.w.t itu Maha Pengampun, masih ada peluang & ruang untuk hamba-hamba-Nya kembali ke jalan yang Allah redhai! Jika kita tidak mengambil peluang dan mengisi ruang ini maka kitalah manusia yang akan kerugian! Kita tidak mahu menjadi golongan ini, na\’uzubillah.
  4. Dua perkara yang Allah s.w.t berikan kepada kita:
    i- peluang ialah- semasa kita masih hidup, pintu taubat masih terbuka, pintu dan lorong untuk kembali kepada Allah s.w.t masih ada.
    ii- ruang pula- isi dengan melakukan kebajikan sebanyak dan semampu mungkin!
    Ketaatan dan ibadat kepada Allah s.w.t dan jaga muamalat dan bantuan kebaikan sesama manusia.
    Tidak zalim; jaga ikatan ukhuwwah sesama Islam serta kemanusian sesama manusia umumnya.
  5. Manakala kumpulan kedua ialah yang melawan syaitan, yang beriman dan taat, serta beramal soleh.
    Amal soleh ialah perlu penuhi 2 syarat ini; ikhlas beribadat kepada Allah s.w.t dan ikut Sunnah Nabi s.a.w yang SAHIH, bukan yang palsu, bukan ikut orang, apatah lagi yang direka dan ikut logik akal sendiri.
  6. Insya\’ Allah kita termasuk dalam golongan ini yang berjaya melawan syaitan. Pagi ini Alhamdulillah kita telah berjaya dengan melakukan solat subuh dan sedang mengikuti Kuliah sekarang! insya\’ Allah kita teruskan perlawanan ini
  7. Bagi mereka ini keampunan dan pahala yang besar.
    Apakah maksudnya pahala yang besar ini (وَأَجْرٌ كَبِيرٌ). Ulama\’ kata:
    i- pahala dunia maksudnya- Allah s.w.t permudahkan urusan ibadat kita, menjadi mudah dan manis (suka) rajin untuk beribadat. Serta akan diberi kefahaman yang baik tentang agama, melalui jalur Rasulullah s.a.w dan para ulama\’ yang muktabar.
    ii- Kemudian pahala besar di Akhirat itu balasan syurga yang tiada bandingan nikmatnya, yang kekal abadi.

AYAT 8- AYAT 8- {MAKA (FIKIRKANLAH) ADAKAH ORANG YANG DIPERELOKKAN KEPADANYA AMAL BURUKNYA (OLEH SYAITAN) LALU IA MEMANDANGNYA DAN MEMPERCAYAINYA BAIK, (BOLEHKAH DISIFATKAN SEBAGAI ORANG YANG MENJALANKAN PERATURAN YANG DITETAPKAN ALLAH UNTUK MEMBERI HIDAYAH KEPADANYA, ATAU SEBALIKNYA)? KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MENYESATKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, DAN IA JUGA MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA. OLEH ITU, JANGANLAH ENGKAU MEMBINASAKAN DIRIMU (WAHAI MUHAMMAD) KERANA MENANGGUNG DUKACITA TERHADAP KESESATAN MEREKA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN APA YANG MEREKA KERJAKAN.} (FATHIR 35:8)

  1. Ayat ini menunjukkan bagaimana syaitan memperdayakan manusia dengan perangkap besarnya. Apakah ianya?
  2. Satu benda yang tidak baik tetapi syaitan hiaskannya menjadikan manusia menyangkanya benar dan baik!
    Seperti orang-orang kafir dan orang-orang penderhaka, mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk, dengan keyakinan bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah perbuatan baik.

Contohnya:
i- Bagi orang kafir dengan menyembah patung yang tidak hidup, yang mereka reka dan buat sendiri, ahli ajaran sesat yang jika akal waras lihat sangat karut dan sesat, serta lain-lain perbuatan yang mereka anggap baik dan benar.

ii- Manakala bagi orang yang beriman dibuka lorong bid\’ah buat amal kebajikan yang disangka baik sedangkan sebenarnya ia tiada dalam sunnah dan ajaran Rasulullah s.a.w. Seperti ahli zikir akan cenderung untuk berzikir dengan zikir yang pelik hatta melompat menari berpusing-pusing dalam masjid, bermain dengan mimpi dan keramat dan seumpamanya! Syaitan akan masuk melalui lorong yang dibenarkan.

  1. Allah s.w.t bertanya pula: Maka fikirkanlah, apakah orang yang diperelokkan (dihias, dicantikkan) oleh syaitan amalannya yang buruk, maka dia meyakini dan menganggap pekerjaan itu baik, sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan atau diberi petunjuk oleh Allah?
    Pasti tidak kerana orang yang ikut syaitan adalah kumpulannya manakala yang lawan syaitan adalah golongan yang ikut Allah s.w.t!
  2. Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Jika nak dapat hidayah kita kena ikut jalan yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t dan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w., jangan ikut jalan syaitan!
  3. Kata ulama\’: Berapa ramai orang yang ingin mencari kebenaran tetapi tidak berjumpa dengan jalan yang betul!
    Mereka terperangkap dengan syaitan dan ikut lorong yang telah dihiasi syaitan. Betapa ramai pengikut ajaan sesat dan bid\’ah kerana ia telah dihiasi oelh syaitan dengan apa yang hawa nafsu suka.
  4. Maka jangan engkau, wahai Muhammad s.a.w biarkan dirimu berada dalam kebinasaan kerana kesedihan akan mereka, iaitu orang-orang yang sesat, di mana amal buruk mereka terasa indah dan syaitan menghalangi mereka dari kebenaran. Janganlah kamu merasa kecewa dengan hal tersebut.
  5. Tugas Rasulullah s.a.w (dan kita semua sebagai pendakwah sehingga ke akhir zaman) hanyalah menyampaikan, samada mereka menerima atau mendapat hidayah itu urusan Allah s.w.t, dan Allahlah yang akan memberikan balasan terhadap perbuatan mereka.
  6. Rasulullah s.a.w sudah wafat, sekarang tugas ini telah jatuh kepada kita yang berilmu untuk menyampaikan kebenaran dan mencegah kebatilan kepada masyarakat! Jika telah jalankan tugas dan tanggung-jawab serahkannya kepada Allah s.w.t, kita tidak akan ditanya lagi sebagai orang yang diberi ilmu! Natihahnya atas Allah s.w.t.
  7. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat, maka Dia akan membalas semuanya dengan balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka.
    Ayat ini menyatakan bahawa perbezaan balasan yang tersebut menunjukkan keadilah Ilahi dan hikmahnya!
  8. Kita berdoa agar Allah s.w.t sentiasa memberi kita taufiq, hidayah dan istiqomah atas jalan ini. Ini kerana jalan Sunnah ini yang jalan berliku, tidak dihiasi oleh syaitan maka ia akan bertentangan dengan kehendak hawa nafsu.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 5- {Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia,} – kata ulama\’ ini menunjukkan kewajipan kepada manusia agar jangan terikat hati ini dengan dunia, Dunia boleh ambil, gunakan untuk tujuan perjalanan dan bekalan kita ke akhirat. Tetapi janganlah sampai ia masuk ke dalam hati dan terpedaya dengannya! Zuhudlah kamu di atas dunia ini.
  2. Ayat 5- {Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia,} – tidak layak bagi orang yang mempunyai kedudukan yang tingi untuk ikut yang rendah.
    Akhirat itu kekal abadi sedangkan dunia itu hanya sementara dan akan musnah nanti, jadi kenapa kita nak lebihkan dunia daripada akhirat?
    Kerana nikmat yang hanya sementara sanggupkah kita tinggalkan nikmat yang kekal abadi dan berpanjangan di akhirat nanti?
    Kata ulama\’: Nikmat dunia hanya sejengkal dan sekejap tetapi balasannya amat besar! Seperti nikmat lidah & faraj.
    Nikmatnya hanya sekejap tetapi dosanya (seperti mengumpat atau berzina) akan membawa ke neraka!
  3. Ayat 5- {Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia,} – bukan kita tidak boleh ambil dunia dan tinggalkannya terus, cuma jangan lupakan nasib kita di Akhirat nanti. Kena ambil perhatian besar kepada Akhirat yang akan menjadi tempat kembali kita semua nanti!
  4. Ayat 6- {Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya);}- dalam ayat ini kemuncak amaran dan peringatan Allah s.w.t kepada manusia tentang bahaya syaitan! Ia adalah musuh yang besar bagi kamu, maka Allah s.w.t perintahkan untuk jadikan ia sebagai musuh kamu, yang mesti dijauhi sedaya upaya, bukan main-main!

KATA-KATA ULAMA\’ :

i- al-Fudahil bin Iyadh rhm.; Dia mencerca nafsunya dan menyeru agar takut kepada Allah. Janganlah kamu menjadi orang yang mengutuk dan mencerca syaitan di depan orang ramai, tetapi kamu menjadi teman kepadanya ketika sunyi!
Yakni ketika orang tak lihat buat dosa dan maksiat, dan ikut ajaran syaitan! Kena lawan syaitan secara zahir dan batin!

ii- Ibnu as-Sammaki: Pelik sekali manusia ini yang derhaka kepada Allah s.w.t yang menberi kebaikan kepada dirinya, tetapi dia ikut dan taat kepada syaitan, musuhnya dan makhluk yang telah dilaknat Allah s.w.t iaitu syaitan.

  1. Ayat 6- {Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya);} – ayat ini juga menjadi dalil untuk kita menentang pendakyah yang membawa ajaran sesat yang mengikut hasutan syaitan. Mereka ini biasanya mempunyai pengikut yang ramai, kita tengok pun tidak tergamak tetapi pengikutnya sudah menjadi pentaksub membuta tuli.
    Ingatlah kadang-kadang Allah s.w.t berikannya sokongan itu sebagai satu istidraj, bukan kerana suka!
  2. Ayat 7- {Orang-orang yang kafir, bagi mereka azab yang berat;} – amaran kepada orang yang ikut syaitan bagaimana siksaan yang akan Allah s.w.t jatuhkan ke atas mereka. Samada yang kafir terus atau penderhaka pelaku dosa dan maksiat!
  3. Ayat 8- {Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik,}- ayat ini memberi amaran kepada manusia agar jangan terjebak dan cari jalan yang membawa kebinasaan dan kesesatan tanpa sedar. Niat baik nak belajar tetapi mengikut jalan atau guru yang sesat dan salah. Pastikan dulu manhajnya, dakwaan saja tidak boleh diterima jika tidak dibuktikan.
  4. Ayat 5- {dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).} – kata ulama\’ ada dua tipu daya (يَغُرَّنَّكُمْ) dalam ayat ini:
    i- dia sendiri yang terpedaya dengan dirinya sendiri. Sombong, angkuh dan takabbur dengan dirinya.
    Contoh orang yang bawa ajaran yang tidak betul tetapi dia rasa benar kerana ramainya pengikut dan penyokong!
    Syaitan itu visinya bukan segera dan cepat, ia memakan masa bertahun-tahun, mula-mula mungkin hanya bercanggah, lama-lama akan terpesong dan sesat terus!

ii- terpedaya dengan mainan dan hasutan syaitan!
Syaitan akan cuba test dulu manusia ini, dia campakkan ajaran yang salah dan sesat, pengikut yang fanatik & taksub akan sambut dan terimanya manakala yang insof dan sedar akan tahu bahawa amalan ini bercanggah dengan Sunnah lalu menolaknya.

  1. Ayat 5- {maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia,}- boleh kita guna dan ambil nikmat dunia, tetapi jangan terpedaya dengannya, Allah bukan kata jangan guna nikmat dunia! Sekadar bubuh dunia dalam poket bukan sehingga masuk di dalam hati!
    Contoh orang kaya dan mewah, jika alat dan harta yang ada digunakan juga untuk tujuan mencari bekalan akhirat maka ia adalah sesuatu yang baik dan memberi faedah. Ini kerana Allah s.w.t apabila dia memberi nikmat kepada hamba-Nya, Dia suka untuk melihat ianya digunakan dan disyukuri! Guna boleh, jangan terpedaya!
  2. Ayat 8- {Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka.}- ulama\’ kata Rasulullah itu seorang manusia yang ada perasaan dan hati, maka pastilah dia akan berasa sedih dan dukacita apabila kaumnya menolak dakwahnya dan tidak mahu beriman.
    Jadi Allah s.w.t berpesan memperingati Baginda s.a.w agar jangan sedih dan dukacita, teruskan tugas, berdakwah menyampaikan kebenaran, yang lainnya serahkan kepada Allah s.w.t!

Kita pun teruskan dakwah kita, orang terima atau tidak, tugas kita hanyalah menyampaikan, dan tidak menjadi kewajiban kita memastikan mereka beriman atau mendapat hidayah.
Allahlah yang akan memberikan balasan terhadap amal mereka dan amal kita juga.

Powered by BetterDocs