SURAH GHAFIR : AYAT 47-50

\"\"

GOLONGAN KAFIR SALING BERBANTAH DALAM NERAKA, MEREKA MERAYU KEPADA MALAIKAT & SEMUA KERJA MEREKA SIA-SIA.

Full video : https://youtu.be/GYUVKfAyzT0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan kepada kita tentang golongan kafir; iaitu pengikut dan ketuanya saling berbalah di dalam neraka.
  2. Mereka juga cuba merayu kepada malaikat kalau boleh diringankan azab, segera tamat atau kembali hidup semula.
  3. Tetapi Allah telah nyatakan bahawa semua rayuan, keinsafan dan kesedaran mereka itu semuanya adalah kerja yang sia-sia. Tiada siapa yang akan mendengarnya.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t ceritakan tentang Firaun dan pengikutnya yang diazab pagi petang siang malam dalam kubur. Maka dalam ayat ini ialah tentang penyesalan puak kafir yang menyesal tidak sudah-sudah di dalam neraka. Mereka juga berkelahi dan saling menuduh.
  5. Peringatan untuk kita yang masih hidup ini, jika mahu berdoa, merayu memohon kepada Allah s.w.t., lakukanlah ketika masih hidup ini. Insaf bertaubat dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t.
  6. Bagaimana kita nak faham tentang ayat 46 yang menceritakan tentang azab kubur ke atas Firaun. Sedangkan mayat Firaun masih lagi tidak masuk dalam kubur, ada di Mesir bahkan masih di bawa ke sana sini di seluruh dunia sebagai bahan kajian.
  7. Jadi para ulama\’ buat kesimpulan bahawa walaupun jasad tidak masuk kubur dalam tanah seperti biasanya, tetapi rohnya tetapi diazab. Sama seperti mayat orang yang mati di dalam laut, di makan haiwan buas, hancur kemalangan, kena bakar dan lain-lain, walaupun di mana jasad berada, rohnya tetap kena azab kubur!
    Dinamakan azab kubur kerana secara ghalibnya manusia yang mati akan ditanam dan masuk kubur!
    Jadi tiada siapa yang dapat lari dari azab kubur.

AYAT 47-{DAN (INGATKANLAH PERKARA YANG BERLAKU) SEMASA ORANG-ORANG YANG KAFIR DAN YANG MENDERHAKA BERBANTAH-BANTAHAN DALAM NERAKA, IAITU ORANG-ORANG YANG LEMAH (YANG MENJADI PENGIKUT) BERKATA KEPADA PEMIMPIN-PEMIMPINNYA YANG SOMBONG TAKBUR: \”SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENJADI PENGIKUT-PENGIKUT KAMU, MAKA DAPATKAH KAMU MENOLAK DARI KAMI SEBAHAGIAN DARIPADA AZAB NERAKA INI?\”} (GHAAFIR 40:47)

  1. Allah s.w.t memberitahu kepada Rasulullah s.a.w tentang keadaan puak kafir yang berbantah-bantah dan berbalah di dalam neraka. Iaitu orang yang lemah dan menjadi pengikut berkata kepada mereka yang menjadi pemimpin mereka dulu di dunia, ketua yang sombong dan takabbur.
  2. Mereka berkata: Dapatkah kamu menolong kami dengan mengurangkan azab kami ini? Sedangkan semasa di dunia kamu yang berkuasa dan mempengaruhi (kecek/hasut) kami sehingga kami mendapat nasib malang ini!

AYAT 48-{ORANG-ORANG YANG SOMBONG ANGKUH ITU MENJAWAB: \”SEBENARNYA KITA SEMUA MENDERITA BERSAMA-SAMA DALAM NERAKA (TIDAK ADA JALAN UNTUK KITA MELEPASKAN DIRI), KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MENETAPKAN HUKUMANNYA DI ANTARA SEKALIAN HAMBANYA.\”} (GHAAFIR 40:48)

  1. Pemimpin yang sombong dulu itu menjawab: Tidakkah kamu lihat kita sama-sama dibakar kena azab dalam neraka ini? Usah berharap lagi, tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri!
  2. Allah s.w.t telah menetapkan hukuman ke atas hamba-Nya dengan adil, masing-masing menerima balasan yang setimpal ke atas setiap perbuatan mereka dulu! Maka kamu terimalah azab, tiada siapa yang dizalimi dan dikurangi amalannya!
  3. Yakni mereka mengakui akan hukuman Allah ini, orang yang bertaqwa dan baik syurgalah tempatnya manakala mereka yang kufur dan ingkar sombong dulu, nerakalah balasannya!

AYAT 49-{DAN BERKATALAH PULA ORANG-ORANG YANG ADA DALAM NERAKA KEPADA MALAIKAT-MALAIKAT PENJAGA NERAKA JAHANNAM: \”POHONKANLAH KEPADA TUHAN KAMU, SUPAYA IA MERINGANKAN SEDIKIT AZAB SEKSA DARI KAMI, BARANG SEHARI\”.} (GHAAFIR 40:49)

  1. Mereka penghuni neraka mencuba nasib lagi ,merayu pula kepada malaikat penjaga neraka Jahannam agar tolong minta memohon kepada Allah s.w.t agar meringankan sedikit azab seksa ke atas mereka, walaupun sehari.

AYAT 50-{MALAIKAT PENJAGA NERAKA MENJAWAB: \”BUKANKAH KAMU TELAH DIDATANGI RASUL-RASUL KAMU DENGAN MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN (YANG MENYATAKAN AKIBAT PERBUATAN DERHAKA KAMU)?\” MEREKA MENJAWAB: \”YA, TELAH DATANG\”. MALAIKAT ITU BERKATA: \”JIKA DEMIKIAN, MAKA BERDOALAH KAMU SENDIRI. DAN DOA PERMOHONAN ORANG-ORANG YANG KAFIR PADA SAAT INI HANYA MENYEBABKAN MEREKA BERADA DALAM KEADAAN DUKACITA DAN KECEWA SAHAJA\”.} (GHAAFIR 40:50)

  1. Malaikat penjaga neraka menjawab dengan menempelak dan mengingatkan mereka: Tidakkah sudah sudah datang kepada kamu rasul-rasul yang diutus Allah s.w.t dengan membawa keterangan-keterangan yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu ini, maka neraka adalah tempatnya?
  2. Mereka menjawab dan mengakuinya: Bahkan sudah ada datang kepada kami rasul-rasul! Tetapi kami mendustakan mereka dan menolak ajarannya.
  3. Malaikat berkata lagi: Jika begitu kamu berdoalah sendiri kepada Allah s.w.t, kami tidak mahu berdoa kepada kamu yang ingkar dan takabbur dulu!
  4. Tetapi malangnya doa para kafir di dalam neraka ini adalah sia-sia, tidak akan kesampaian doa mereka, tidak akan tercapai cita-cita mereka, rayuan mereka tidak akan berguna! Allah s.w.t tidak akan sama-sekali menerima doa mereka ini.
  5. Ini kerana sudah terlambat, jika nak berdoa dan insaf, berdoalah semasa masih hidup atas dunia ini! Kita yang masih ada di atas muka bumi ini menyesal dan berdoalah sekarang sebelum nyawa dicabut oleh malaikat maut!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 47-{Dan (ingatkanlah perkara yang berlaku) semasa orang-orang yang kafir dan yang menderhaka berbantah-bantahan dalam neraka,}- ahli neraka berbalah sesama mereka, antara pengikut dan ketua yang mempengaruhi mereka.
    Dalam ayat ini adalah peringatan kepada para pemimpin, ketua dan presiden apa saja hendaklah berusaha menjaga diri kiat aagar sunat berada di atas landasan yang benar dan diredhai lah s.w.t.

Ini kerana mereka ini ada pengaruh, perbuatan mereka akan diikuti oleh orang lain! Maka jangan sekali-kali guna pengaruh ini untuk menyesatkan orang lain. Jika orang sesat dan kufur kerana mereka, maka mereka akan menanggung dosa orang yang dipengaruhinya itu, inilah dosa bersebab.

Firman Allah s.w.t: {Dan sesungguhnya mereka akan menanggung beban-beban dosa mereka dan beban-beban (dosa orang-orang yang mereka sesatkan) bersama-sama dengan beban-beban dosa mereka sendiri; dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat kelak tentang apa yang mereka pernah ada-adakan secara dusta itu.} (Al-\’Ankabuut 29:13)

Sesiapa yang taat kepada sesama makhluk untuk melakukan maksiat kepada Allah s.w.t, maka dia juga akan termasuk dalam kalangan orang yang binasa. Kerana itu jangan sekali-kali, tidak boleh melakukan ketaatan kepada makhluk dalam melakukan maksiat kepada Allah s.w.t, samada bapa, suami, ketua pejapat, pemimpin dan siapa saja.

Dosa pengikut yang mengikut dan orang yang diikutnya; balasannya sama-sama di dalam neraka! Ini kerana kita sendiri yang pilih untuk ikutnya, seperti para pengikut ajaran sesat, pasti akan dikira juga!

  1. Ayat 48-{Orang-orang yang sombong angkuh itu menjawab: \”Sebenarnya kita semua menderita bersama-sama dalam neraka (tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri),}- kata ulama\’ tadabbur- ayat ini datang setelah Allah s.w.t cerita tentang keluarga Firaun yang masuk ke dalam neraka (Ayat 46).
    Maka ayat ini menjadi hujjah bahawa keluarga Firaun diazab di alam barzakh, tak kira samada jasad mereka masuk di dalam kubur atau tidak. In kerana mereka semua binasa dengan tenggelam di dalam laut!
    Bahawa azab kubur di alam Barzakh itu berlaku, tiada siapa yang terlepasnya.

Maka kita sentiasalah baca doa ini, doa yang dibaca pada akhir solat:
Doa selepas membaca tasyahud akhir sebelum Salam:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian dan aku berlindung denganMu daripada fitnah Al-Masih Dajjal.
[Al-Bukhari 2/102 dan Muslim 1/412]. Dari App Perisai Muslim !

  1. Ayat 48-{Orang-orang yang sombong angkuh itu menjawab: \”Sebenarnya kita semua menderita bersama-sama dalam neraka (tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri), kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan hukumanNya di antara sekalian hambaNya.\”}- kenapa Allah s.w.t sebutkan mereka ini juga sebagai hamba-Nya? Sedangkan mereka ini adalah orang ahli neraka, mereka yang derhaka dan kufur kepada-Nya?

Ini kerana hamba Allah ada dua kategori:
i- semua makhluk di langit dan bumi seluruhnya secara umum adalah hamba Allah s.w.t secara alamnya.
Sebagaimana firman Allah s.w.t: { Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.} (Maryam 19:93)

ii- perhambaan secara sah iaitu perhambaan Syari\’ah yang diizinkan oleh Allah s.w.t. Iaitu hamba Allah yang beriman! Alhamdulillah kita termasuk dalam golongan ini dan semoga terus berada di dalam keredhaan Ahlah s.w.t.

  1. Ayat 50-{Malaikat penjaga neraka menjawab: \”Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?\” Mereka menjawab: \”Ya, telah datang\”.}- ini menunjukkan bahawa azab itu ada dua jenis iaitu:
    i- azab secara fizikalnya, dibakar diazab di pukul badannya secara jasmani

ii- azab secara mental- samada dengan celaan, perlian hinaan dan lain-lain. Perkataan yang dapat menambahkan penyesalan, sakit hati dan kesedihan.

Firman Allah s.w.t: {Dan mereka berkata: \”Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka\”.} (Al-Mulk 67:10)

Ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah s.w.t tidak akan mengazab atau menghukum mana-mana kaum sebelum dihantar rasul membawa petunjuk dan ajaran dakwah kepada mereka.

Firman Allah s.w.t: {Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).} (Al-Israa\’ 17:15)

  1. Ayat 50-{Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja\”.}- ayat ini menceritakan kepada kita bahawa doa orang kafir yang sudah berada di dalam neraka tidak akan diperkenankan dan tidak mungkin mereka akan keluar dari neraka!

Pebincangan: Banyak sudah kita baca dalam ayat-ayat sebelum ini seperti dalam surah Yunus 22-23 dan lain-lain- bahawa orang kafir itu apabila di dalam keadaan bahaya dan bencana, mereka menyeru nama Allah, ikhlas berdoa memohon keselamatan dari Allah! Tetapi selepas selamat mereka kembali kufur dan ingkar!

Maka dalam ayat-ayat ini seolah Allah s.w.t terima da mereka lalu mereka selamat?
Jawpannya: Allah s.w.t bukan terima doa ini sebagai satu perkenan doa (يُسْتَجَابُ), cuma Allah s.w.t lepaskan mereka (أَنْجَاهُمْ) daripada tenggelam dan lain-lain kesusahan, takdirnya mereka tidak mati di dalam laut.

Isu ini sangat halus tetapi ketara, macamana Allah s.w.t mahu perkenankan doa orang kafir, sedangkan doa orang yang derhaka pun Allah s.w.t tidak terimanya!

Hadis- seorang lelaki berdoa tetapi melakukan benda haram .
Rasulullah S.A.W bersabda:

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

\”Seorang lelaki yang telah lama berjalan dan jauhnya perjalanan yang ditempuh, sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Dia menadahkan tangannya ke langit lalu berdoa: \”Wahai Tuhan ku! Wahai Tuhanku!\” Padahal, makanannya dari sumber yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana mungkin Allah SWT akan memperkenankan doanya?\” (Riwayat Muslim) [HR

Powered by BetterDocs