SURAH AL-KAFIRUN : AYAT 1-6

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH PERINTAHKAN NABI S.A.W NYATAKAN PEGANGANNYA & ISYTIHAR BERLEPAS DIRI AGAMA KAFIR.

Full video : https://youtu.be/p70v1czJXj8?si=91nrjZ3XasCuo9Kf

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Ahad 03 Safar 1445H bersamaan 19hb Ogos 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Kafirun – سورة الكافرون.
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Kafirun – سورة الكافرون adalah surah ke-109 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang ketigapuluh-dua dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Kauthar – سورة الكوثر.
    Mengandungi 6 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Dalam surah ini Allah s.w.t perintahkan agar Nabi s.a.w nyatakan pegangannya dengan jelas & isytihar berlepas diri dari semua agama kafir, selain hanya dari agama Islam yang dipegangnya. Yakni berlepas diri daripada semua kesyirikan!

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Kafirun – سورة الكافرون yang bermakna {Orang-orang Kafir} kerana pada awal surah Allah s.w.t perintahkan Baginda Nabi s.a.w untuk menegaskan kepada kaum kafir umumnya tentang soal ibadat yang sebenarnya.
  2. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    i- dengan ayat pertamnya yang penuh { قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ} berdasarkan hadis Abdullah bin Abbas r.a yang akan disebut selepas ini.

ii- surah al-Ikhlas (الإخلاص).
iii- surah al-Ibadah (العبادة).
iv- surah ad-Din (الدين).

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menegaskan tentang amal ibadat secara Islam & menolak sebarang penyembahan dan amalan syirik.

Serta mengingatkan kita agar sentiasa tetap atas dasar tauhid & cara-cara beribadat yang betul menurut ajaran Rasulullah s.a.w.

  1. Sekalipun banyak godaan & tipu-helah dari pihak musuh Islam & orang-orang yang sesat untuk menjadikan kita menyeleweng dari jalan yang benar!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menunjukkan pemisahan yang mutlak antara orang yang mengEsakan Allah s.w.t & orang syirik kepada Allah.
    Tiada toleransi dalam bab ini- putus terus!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t perintahkan Nabi-Nya s.a.w untuk mengiklan mengisytiharkan bahawa bebasnya Baginda s.a.w daripada sebarang bentuk kekufuran!
  2. Menafikan bahawa ibadat kita ini ada kaitan dengan ibadat kafir!
    Menyatakan apa yang mereka sembah itu kufur & mereka sekali-kali bukan sembah Allah!
  3. Mengiklankan juga bahawa Rasulullah s.a.w tidak ada kaitan dengan agama puak kafir, masing-masing bawa diri.
    Walaupun kamu kata kamu betul, kami tetap kata kamu salah!
    Yakni umat Islam mesti bertegas bahawa semua agama lain selain daripada Islam adalah salah & tidak diterima di sisi Allah!

Walaupun mereka ajak ke arah kebaikan, itu hanya perbuatan tetapi tidak dari sudut agama & pegangan iktiqad!

  1. Jangan mudah-mudah kita mengatakan bahawa semua agama itu sama, semuanya mengajak ke arah kebaikan, keamanan dan toleransi!

Hati-hatilah pantau anak-anak kita hari ini agar jangan mudah terpengaruh dengan dakyah ini!

Batas antara iman & kufur mesti diperjelaskan! Jika tidak orang tidak tahu apa itu kufur & apa itu syirik!

MUNASABAH SURAH AL-KAFIRUN – سورة الكافرون DENGAN SURAH AL-KAUTHAR – سورة الكوثر SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Kauthar – سورة الكوثر:

  1. Dalam Surah Al-Kauthar Allah perintahkan Rasulullah s.a.w supaya ikhlaskan ibadat kepada Allah s.w.t- semua kerja buat kita, solat korban dan lain-lain hanya kepada Allah s.w.t semata!

ii- dalam surah al-Kafirun ini pula Allah s.w.t perintahkan supaya kita iklankan tauhid dan bebaskan diri daripada segala bentuk syirik!

Kita orang Islam dengan ibadat kita, mereka dengan ibadat mereka; kita tidak iktiraf ibadat mereka.

Jangan ada antara anak orang Islam yang mengatakan agama itu sama- sesiapa yang mengatakan sedemikian dia dikira tidak beragama!

KELEBIHAN SURAH :

  1. Rasulullah s.a.w membacanya pada rakaat kedua dalam solat witir;

Kata Abdullah bin Abbas r.a: Adalah Rasulullah s.a.w adakalanya solat witir 3 rakaat & membaca pada rakaat pertama
{ سَبِّحِ ٱسْمَ رَبِّكَ ٱلْأَعْلَى}
pada rakaat kedua membaca { قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ} dan membaca { قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ} pada rakaat ketiga. [HR at-Tirmizi].

  1. Dari Abu Hurairah r.a. berkata, \”Rasulullah S.A.W telah membaca surah ini (Qul ya ayyuhal kafiruun) pada rakaat pertama dan Qul huwallahu ahad) pada rakaat kedua dalam solat sunat Fajar.\” [HR Muslim].
  2. Dari Jabir bin Abdullah r.a:
    Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki yang membaca dalam solatnya pada rakaat pertama surah al-Kafirun, lalu Baginda bersabda, \”Orang ini adalah orang yang beriman kepada Tuhannya.\”
    Seterusnya membaca Qul-Huwallahu (surah Al-Ikhlas) pada rakaat keduanya, lalu Rasulullah bersabda, \”Orang ini benar-benar mengenal Tuhannya.\” [HR at-Tabarani].
  3. Surah ini juga elok dibaca ketika kita nak tidur untuk membebaskan diri daripada syirik. Naufal r.a berkata Rasulullah s.a.w memberitahu kepadanya:
    \”Jika kamu nak tidur bacalah surah al-Kafirun kemudian tidurlah. Ia akan membebaskan kamu dari syirik!\” [HR Abu Daud].

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”HAI ORANG-ORANG KAFIR!} (AL-KAAFIRUUN 109:1)

  1. Dalam surah ini Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w menyeru orang kafir itu secara direct- Katakan: Wahai orang-orang kafir selagi mereka berada dalam kekufuran!
  2. Yakni jika pasti mereka orang tidak beriman dan mahu menyeru mereka kepada tauhid. Kerana itu surah ini dipanggil juga surah Tauhid- surah bertegas!

AYAT 2- {\”AKU TIDAK AKAN MENYEMBAH APA YANG KAMU SEMBAH.} (AL-KAAFIRUUN 109:2)

  1. Apa yang nak kita katakan itu?? Aku tidak akan sembah sampai bila-bila apa yang kamu sembah itu, daripada segala sembahan & ibadat yang batil!
  2. Kita sembah Allah yang berkuasa & tidak akan sekali-sekali menyembah apa yang mereka sembah itu pada masa akan datang (future- مستقبل) nanti!

AYAT 3- {\”DAN KAMU TIDAK MAHU MENYEMBAH (ALLAH) YANG AKU SEMBAH.} (AL-KAAFIRUUN 109:3)

  1. Tidaklah kamu sembah apa yang aku sembah iaitu Allah sekarang ini.
    Kamu juga berkeras.
  2. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t mulakan dengan ayat yang sepatutnya kita mulakan- iaitu iklankan bebas dari segala bentuk syirik.

Kerana kaedahnya adalah- menolak benda yang rosak lebih afdhal daripada menarik benda yang bermanfaat!
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

  1. Maka ini lebih mendalam untuk menyatakan bahawa kita menyembah Allah s.w.t!
    Sesiapa yang mengaku menyembah Allah tetapi dalam bentuk syirik- tidak akan diterima sama sekali!
  2. Yakni mereka guna nama Allah tetapi bukan Allah yang hakiki seperti yang kita yakin.
    Mereka nak sembah Allah yang mereka dakwa ada anak, anak isteri dan lain-lain sifat batil!

AYAT 4- {\”DAN AKU TIDAK AKAN BERIBADAT SECARA KAMU BERIBADAT.} (AL-KAAFIRUUN 109:4)

  1. Aku tidak beribadat seperti yang kamu beribadat, yakni sekarang ini pun aku tidak sembah apa yang kamu sedang sembah ini!
  2. Ini bukan ulangan bagi Ayat 2 tapi menegaskan bahawa orang-orang Islam tidak sekali-sekali menyembah apa yang orang kafir itu sembah.
    Sekarang tidak sembah- akan datang pun tidak akan sembah!

AYAT 5- {\”DAN KAMU PULA TIDAK MAHU BERIBADAT SECARA AKU BERIBADAT.} (AL-KAAFIRUUN 109:5)

  1. Wahai puak kafir selagi kamu berterusan dengan pegangan syirik kamu: Kamu juga tidak akan sembah apa yang aku sembah selagi kamu kufur & syirik kepada Allah!
  2. Ayat ini menunjukkan penafian terus, tiada kompromi!
  3. Perbincangan- apakah ayat ini boleh digunakan untuk semua kafir atau kafir yang sudah diketahui oleh Rasulullah s.a.w melalui wahyu dari Allah bahawa mereka akan kufur selamanya?

JAWAPAN :

1- Macamana kita nak tahu, perkara ini hanya Rasulullah s.a.w saja tahu melalui wahyu dari Allah s.w.t!

ii- Tetapi untuk sekarang kita boleh kata- aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah itu sekarang & pada masa akan datang pun!

Kamu pun sekarang tidak sembah apa yang aku sembah & pada masa akan datang pun selagi kamu terus berada dalam kekufuran ini!

Tetapi jika kamu Islam kamu akan bersama kami menyembah Allah!

Kerana itu ulama\’ tafsir berkata dua ayat ini tidak berulang tetapi menunjukkan akan tempoh zaman!

  1. Berapa kali Allah s.w.t ulang perkataan { وَلَآ}- dan tidak- yakni sekarang pun tidak sembah hatta kemudian pun!
    Semuanya ada makna tersurat & tersirat yang perlu kita korek.

AYAT 6- {\”BAGI KAMU AGAMA KAMU, DAN BAGIKU AGAMAKU\”.} (AL-KAAFIRUUN 109:6)

  1. Wahai puak kafir, bagi kamu agama kamu, agama yang aku berlepas diri darinya, iaitu agama kufur terhadap Allah Azza wa Jalla!
  2. Bagi aku agama Islam, agama tauhid, agama yang mengesakan Allah s.w.t.
  3. Yakni selepas kita berdakwah, berusaha mengajak, kempen dan kerana bukan di bawah kuasa kita untuk buka pintu hati manusia lain! Kita tidak ada kemampuan tetapi kita kena usaha untuk menunjukkan jalan yang benar!
  4. Ayat ini mengajar kepada kita erti ketegasan dalam tauhid!
    Jangan dok main keluk-kelek iaitu tidak tegas pendirian & mudah terpengaruh!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Hai orang-orang kafir!}
    Kata ulama\’- ayat ini merangkumi semua jenis orang kafir yang tidak beriman kepada Allah s.w.t- apa jenis sekalipun, samada yang ada kitab atau musyrikin penyembah berhala, api kayu, ada nama seperti yahudi atau Nasrani, majusi atau komunis atau tidak ada nama; atau atheis yang tidak percayakan adanya Tuhan!

ii- Surah ini adalah satu manhaj Islam yang tegas iaitu tiada komproni dalam agama- wajib berlepas diri secara mutlaq dari agama & segala sembahan mereka itu, sekarang atau pada masa depan!

  1. Terdapat 5 surah yang bermula dengan kaliam \”Katakan\” {قُلْ} ini:
    i- surah Jin
    ii- surah al-Kafirun ini.
    iii- surah al-Ikhlas
    3 surah ini adalah Allah perintahkan Rasulullah s.a.w katakan & sampaikan kepada umatnya!
  • 2 surah kemudian itu juga dipanggil surah al-Ikhlas- iaitu bebas dari segala bentuk syirik & Ikhlas dari sudut iktiqad.

iv- surah al-Falaq.
v- surah an-Nas.
2 surah ini pula dibaca untuk kita minta perlindungan dari Allah s.w.t (al-Mu\’awizataini) dari segala perkara buruk!

  1. Ayat 1- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Hai orang-orang kafir!}
    Kata ulama\’ tadabbur seperti ar-Razi rhm.: Dalam dunia ini tiada perkataan yang lebih dahsyat & buruk daripada kalimah ini!
    Wahai kafir! Ia adalah buruk bagi semua orang semuanya!

Maka kita orang Islam jangan sekali-kali mudah nak mengkafirkan orang lain!

Teguran AMM untuk semua agar jangan mudah-mudah mengkafirkan orang, tingalkan perangai buruk ini, tingkatkan ukhuwwah Islamiyah, jika nak tegur- tegur dengan baik & berhemah bukan mengata di sana, mengata sini!

Perjuangan ini telah dimulakan oleh Allahyarham ayahndanya TG Hj Abdul Rahman. Telah dipangil nasihat beberapa orang para pendakwah pada waktu itu agar menjauhi sifat buruk ini.

Kita WAJIB terangkan kepada masyarakat batas antara iman & kufur tetapi TIDAK mengkafirkan orang!
Kerana kita akan dipertanggung-jawabkan di hadapan Allah s.w.t nanti!

Sifat ghuluw (melampau) ini ada di dalam mana-mana kumpulan, nak komen rumah orang lain, periksa juga dulu rumah kita sendiri.

Persoalan:
Kenapa Allah s.w.t kata wahai orang kafir {يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ} bukan wahai orang musyrikin?


JAWAPAN :

ini kerana kalimah kafir ini merangkumi segala jenis & bentuk kafir! iaitu semua orang yang tidak beriman, tidak menyembah Allah; samada kafir yang zahir atau yang batin, kafir yang sombong takabbur.

  1. Ayat 3- {\”Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.}- sekarang ini kamu tidak sembah Allah & akan datang pun kamu tidak akan sembah Allah! Ini adalah penafiaan mutlaq.

Tidak ada toleransi kerana kita sembah Allah, mereka sembah berhala atau selainnya!

Ayat ini tidak berulang tetapi menta\’kidkan bahawa; sekarang pun kamu tidak sembah- bahkan pada masa akan datang punkamu tidak akan sembah!

Dalam ayat ini Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w membebaskan diri dari segala bentuk syirik!

  1. Ayat 6- {\”Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku\”.}

Kita kena iklan & isytihar bawa masing-masing bawa diri dengan pegangan masing-masing.

Ini adalah langkah yang terakhir, kita dakwah dan sampaikan dulu jika mereka tidak terima juga baru kita ucapkan ayat ini!

Jangan terus jumpa orang kafir kita gunakan ayat ini!

Persoalan: Kenapa Allah s.w.t tutup surah ini dengan ayat ini?
Ayat-ayat sebelumnya adalah membebaskan diri daripada sebarang bentuk syirik & menolak segala agama lain serta segala bentuk amalan lain!

Maka ayat ini menegasakan jika kamu tidak mahu juga tinggalkan syirik, tidak mahu masuk Islam maka terserahlah kepada kamu!

Kita wajib berdakwah, jika mereka terima alhamdulillah, mereka tidak terima kita tidak boleh paksa orang kafir untuk memeluk Islam!

Kita wajib tegas dalam semua perkara agama, kita orang agama kena tegas dalam bab Aqidah.

Terutamanya para pemimpin Islam wajib menegaskan kepada orang kafir bahawa hanya agama Islam yang benar & terima, agama selain Islam tidak diterima; jika kamu tidak mahu terima itu terserah kepada kamu.

YANG PENTING KESIMPULANNYA :

Kita mesti iklan isytihar pendirian, mesti tegas dalam pegangan, mesti nyatakan bahawa apa yang mereka pegang itu salah, tetapi kita sesama Islam jangan kafirkan orang lain!

Boleh baca Kitab Mastika Hadis Jilid 1 terbitan JAKIM- di akhirnya ada bab khas tentang perkara-perkara yang membatalkan Aqidah.
Inilah kenyataannya sekarang, orang tidak tahu batasan antara iman & kufur!
Baca di link:
PERKARA YANG MEYEBABKAN ROSAKNYA IMAN
http://abuanasmadani.blogspot.com/…/perkara-yang…

Kita berdoa kepada Allah s.w.t dengan nama Allah yang indah, dengan sifat-Nya yang maha tinggi, kami telah tadabbur surah al-Kafirun, dengan ini kami mengiklankan bebasnya kami dari sebarang bentuk penyembahan syirik!

Berikan kekuatan tauhid, mantapkan aqidah kami & perelokkan amal ibadat kami serta jauhkam kami dari sebarang bentuk syirik!

Powered by BetterDocs