SURAH SABA\’ : AYAT 3-6

\"\"

ALLAH ARAHKAN BERSUMPAH KIAMAT TETAP AKAN BERLAKU, BALASAN KEPADA 2 KUMPULAN & SIKAP ORANG BERIMAN TENTANG KIAMAT.

Full video : https://youtu.be/b2SgKMDLNRA

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Dalam siri ini adalah perbincangan tentang dalil yang menguatkan hujjah bahawa Kiamat itu pasti akan berlaku. Bahkan Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah s.a.w untuk bersumpah bahawa Kiamat itu pasti akan berlaku.
  2. Kemudian manusia terbahagi kepada dua golongan dalam menerima pembalasan masing-masing, bergantung kepada iman dan amal mereka di atas dunia ini. Ada yang bahagia dan ada yang celaka nasibnya.
  3. Hujjah ini disambut oleh orang yang berilmu bahawa benar apa yang difirmankan oleh Allah s.w.t dan benar apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Manakala golongan yang kufur terus ingkar dan tidak menerima hujjah ini.
  4. Dalam siri yang lepas kita telah dengar tentang 5 Surah yang di mulai dengan
    الْحَمْدُ لِلَّهِ – Segala puji bagi Allah iaitu:
    i- Al-An\’aam.
    ii- Al-Kahfi
    iii- Saba\’
    iv- Fathir.
    v- Al-Fatihah. Surah ini istimewa kerana menunjukkan dua nikmat dunia & Akhirat:

a- nikmat awal kejadian di atas dunia ini- {Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam}.(Al-Faatihah 1:2}.

b- dan nikmat yang kekal di Akhirat nanti dengan firman Allah: {Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat)}. (Al-Faatihah 1:4)

AYAT 3 – {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR BERKATA:\” HARI KIAMAT ITU TIDAK AKAN DATANG KEPADA KAMI\”. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”BAHKAN (TETAP DATANG). DEMI TUHANKU YANG MENGETAHUI SEGALA PERKARA YANG GHAIB, HARI KIAMAT ITU SESUNGGUHNYA AKAN DATANG KEPADA KAMU\”. TIADA TERSEMBUNYI DARI PENGETAHUANNYA BARANG SEBERAT DEBU YANG ADA DI LANGIT ATAU DI BUMI, DAN TIDAK ADA YANG LEBIH KECIL DARI ITU ATAU YANG LEBIH BESAR MELAINKAN SEMUANYA TERTULIS DI DALAM KITAB YANG TERANG NYATA. } (SABA\’ 34:3)

  1. Golongan kafir itu menolak hujjah yang dibawa oleh Rasulullah dan menafikan bahawa Kiamat akan berlaku ke atas mereka.
  2. Maka Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. membantah, menafikan ucapan mereka dan bersumpah tentang benarnya kebangkitan.
  3. Allah sebut perkataan: {\”Bahkan (tetap datang).} – بَلَى – sebagai penafian tegas kepada penafian mereka! Bukan hanya sekadar, tidak yang biasa – لا.
  4. Lalu Rasulullah s.a.w bersumpah Demi Allah yang mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang kepada mereka!
  5. Allah s.w.t. mengetahui semuanya, tidak ada sesuatu pun yang zahir atau ghaib dari-Nya walaupun sebesar zarrah, debu atau semut terkecil baik di langit mahupun di bumi, baik yang lebih kecil dari itu atau yang lebih besar dari itu.
  6. Rasulullah s.a.w bersumpah dalam ayat ini bahawa Kiamat itu akan berlaku! Ini untuk membatalkan penafian kaum kafir ini dengan tegasnya.
  7. Terdapat 3 tempat di dalam al-Quran yang Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah untuk bersumpah begini, firman Allah s.w.t:
    i- {\”Jawablah: \”Ya, demi Tuhanku! Sesungguhnya adalah ia benar! Dan kamu tidak sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya\”.} (Yunus 10:53)

ii- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku yang mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang kepada kamu\”.} (Saba\’ 34:3)

iii- {Katakanlah: \”Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang kamu telah kerjakan. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.} (At-Taghaabun 64:7)

AYAT 4 – { (KEDATANGAN HARI KIAMAT ITU) SUPAYA TUHAN MEMBALAS ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH; MEREKA ITU AKAN BEROLEH KEAMPUNAN DAN LIMPAH KURNIA YANG MULIA. } (SABA\’ 34:4)

  1. Hikmah dari kebangkitan itu adalah supaya Allah memberi balasan nikmat kepada kaum mukmin iaitu mereka yang beriman dan beramal soleh!
  2. Syarat untuk menjadi amal soleh:
    i- ikhlas diri kerana Allah s.w.t.
    ii Mengikut ajaran dan Sunnah Nabi s.a.w.
  3. Jangan kita berani-berani kata; benda baik apa salahnya kita buat, biarpun tiada dari ajaran Rasulullah s.a.w! Kita berjalan atas landasan wahyu dan Sunnah Nabi s.a.w insya\’ Allah selamat.
  4. Mereka akan memperoleh keampunan terhadap dosa-dosa mereka, samada dosa itu dihapuskan terus atau disembunyikan dalam rekod amalan itu. Dalilnya sebagaimana dalam sebuah hadis yang panjang, seseorang yang tidak jumpa rekod amalan buruknya. [HR Bukhari}
  5. Mereka mendapat limpah kurnia yang mulia – وَرِزْقٌ كَرِيمٌ kerana balasan syurga yang kita dapat semuanya tidak sepadan dengan amalan yang kita buat. Mereka mendapat semua yang diharapkan dan apa yang dijanjikan Allah s.w.t.
  6. Kita berdoa untuk termasuk dalam golongan yang layak mendapat keampunan dan limpah kurnia ini. Ini cara Nabi s.a.w apabila membaca/melalui ayat yang membawa berita tentang nikmat dan balasan baik serta syurga! Begitu juga sebaliknya berdoalah minta berlindung kepada Allah s.w.t apabila membaca atau mendengar ayat-ayat tentang azab dan neraka.

AYAT 5- {DAN (SEBALIKNYA) ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MENENTANG DAN MEMBATALKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI SAMBIL MENYANGKA DAPAT MELEPASKAN DIRI (DARI HUKUMAN KAMI), – MEREKA ITU AKAN BEROLEH AZAB DARI JENIS AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA. } (SABA\’ 34:5)

  1. Manakala kumpulan kedua yang kesar kepala, yang sentiasa berusaha mentang dan membatalkan apa saja dalil keterangan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
  2. Mereka menyangkakan Allah s.w.t tidak boleh ambil tindakan ke atas mereka, mereka ingat mereka akan selamat dan terlepas dari hukuman.
  3. Bahkan sebaliknya, pasti sekali mereka itu akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya!

AYAT 6 – {DAN ORANG-ORANG YANG DIBERI ILMU PENGETAHUAN, MENGETAHUI (DENGAN YAKIN, BAHAWA KETERANGAN-KETERANGAN) YANG DITURUNKAN KEPADAMU DARI TUHANMU (MENGENAI HARI KIAMAT DAN LAIN-LAINNYA) ITULAH YANG BENAR SERTA YANG MEMIMPIN KE JALAN ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA TERPUJI.} (SABA\’ 34:6)

  1. Ahli Ilmu atau orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan adalah hamba-hamba Allah yang diberi taufik olehNya.
  2. Siapakah orang yang diberi ilmu ini? Sebahagian mufassir mengatakan bahawa mereka adalah:
    i- orang-orang yang beriman dari kalangan Ahli Kitab.
    ii- sahabat Nabi s.a.w.
    iii- orang yang beriman dari golongan awal di Makkah.
    Kata ulama\’ – adalah semua orang yang beriman dari dulu kini dan selamanya!
  3. Semua orang beriman, semua ahli ilmu mereka tahu dan meyakini bahawa al-Quran itu adalah wahyu yang datang dari Allah s.w.t. itu adalah benar, apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu benar, mengenai hari kiamat dan lain-lain adalah benar.
  4. Al-Quran itu membawa petunjuk ke jalan yang benar, jalan yang dipuji oeh Allah s.w.t, maka kita kena belajar dan memahami al-Quran, barulah kita akan menjadi orang yang benar.
  5. Kata ulama\’ semua yang berkait dengan al-Quran itu adalah yang terbaik, termulia, teratas dan terhebat:
    i- Al-Quran sebaik-baik kitab yang datang dari Allah s.w.t.
    ii- dibawa turun olah malaikat Jibril – ketua malaikat, malaikat yang tebaik.
    iii- turun pada malam Lailatul Qadar, malam yang terbaik.
    iv- turun dalam bulan Ramadhan, bulan yang terbaik.
    v- turun kepada Rasulullah s.a.w, manusia yang paling mulia, penutup segala nabi & rasul.
  6. Maka jika nak jadi golongan yang terhebat maka kita jadilah golongan atau ahli al-Quran, orang yang baca, faham dan beramal dengannya!
  7. Hadis tentang ahli al-Quran ini:
    عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ قَالَ هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ
    Ertinya: \”Dari Anas bin Malik R.A, Nabi S.A.W bersabda: \”Sesungguhnya Allah mempunyai \’ahli\’ dari kalangan manusia. Para sahabat bertanya: \”Wahai Rasulullah! Siapakah mereka itu?\” Baginda berkata: \”Merekalah ahli al-Quran iaitu \’ahli\’ Allah dan golongan pilihan-Nya.\” (HR. Ibnu Majah)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 3 – {Dan orang-orang yang kafir berkata:\” Hari kiamat itu tidak akan datang kepada kami\”. Katakanlah (wahai Muhammad): \”Bahkan (tetap datang).} – Allah sebut bahawa orang kafir menafikan tentang Hari Kiamat ini, lalu Allah s.w.t mengajar Rasulullah s.a.w untuk bersumpah bagi menguatkan hujjah. Penafian yang tegas ke atas penafian mereka. Kita telah sebut di atas, ada tiga tempat dalam al-Quran Allah s.w.t suruh Nabi s.a.w bersumpah untuk menguatkan hujjah; Surah Yunus: 53, Saba\’: 3, At-Taghabun: 7.
  2. Ayat 3 – {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku } – ayat ini menunjukkan harus bersumpah bahkan ada ketikanya wajib untuk bersumpah apabila ada hajat dan keadaan memerlukan. Dalilnya kita ambil dari arahan Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w ini.
  3. Ayat 3 – {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku }- ayat ini menunjukkan bahawa akan datang hari Kiamat dan Allah s.w.t telah kuatkan hujjahnya dengan lafaz sumpah ini- dalil yang boleh nampak seperti turunnya hujan lalu tumbuhnya pokok-pokok. Hikmat Allah s.w.t kepada hamba-Nya diceritakan tentang Kebangkian semula untuk menunjukkan keadilan Allah s.w.t bahawa tidak akan terlepas orang yang melakukan kezaliman dan kejahatan di atas muka bumi ini!
  4. Ayat 3 – {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku} – apabila Rasulullah s.a.w disuruh untuk bersumpah maka ini adalah mengambil peluang untuk berdakwah, memberi huraian dan penjelasan kepada kaum kafir. Begitulah para pendakwah bila ada peluang untuk sampaikan dan jelaskan tentang sesuatu isu, terus masuk, ambil peluang untuk jelaskan tentang sesuatu isu yang dihadapi masyarakat seperti masalah aqidah, muamalat, arak, pergaulan bebas, khurafat dan lain-lain.
  5. Ayat 4 – { (Kedatangan hari kiamat itu) supaya Tuhan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh; } – ketika Allah s.w.t kembarkan dua sifat ini beriman dan beramal soleh ,dalam satu ayat, maka ia terpisah, amal dalam hati, amal dengan anggota. Bila berpisah ia bersama pula- seperti Wahai orang yang beriman, maka pastilah orang yang beriman itu akan beramal soleh, maka ia bersama!
    Kaedah mudahnya:
    i- apabila disebut bersama ia terpisah & tersendiri.
    ii- apabila tidak disebut bersama atau terpisah – ia adalah bersama pula.
  6. Ayat 4 – {mereka itu akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.}- Allah s.w.t bawakan bersama Ayat 5- {mereka itu akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} – untuk menunjukkan kita hidup ini atas dunia ini ada dua landasan, takut & harap. Bukan hanya sebelah sahaja, wajib kena kembar bersama antara takut kepada Allah dan mengharapkan rahmat Allah.
    i- wajib takut akan ancaman siksa Allah s.w.t lalu akan menghalang kita dari melanggar perintah-Nya dan
    ii- berharap kepada pengampunan-Nya apabila tersalah, segera insaf dan bertaubat.
  7. Ayat 5- {Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami}- ayat ini memberi amaran keras untuk mereka yang mahu berbuat begitu, menentang dan mahu hapuskan dalil-dalil Allah s.w.t. Biasanya apabila dilarang dengan sesuatu benda pasti ada arahannya pula!
  8. Ayat 6 – {Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan,} – ayat ini memberi satu kedudukan kepada orang yang berilmu, mereka ada kelebihannya. Sesiapa yang memahami sunnah Nabi & al-Quran (ada ilmu) maka ma\’rifat (pengetahuannya) tentang Allah akan lebih tinggi, maka lebih mantap dan teguh keimanannya.
  9. Ayat 6 – {Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan,} – ayat ini memberi isyarat kepada seseorang insan agar jangan kagum dengan ilmunya sendiri, ini kerana Allah s.w.t yang anugerahkan kepada kita kefahaman dan ilmu.
    Hadis Rasulullah s.a.w: \”Sesiapa yang Allah s.w.t mahukan kebaikan untuknya, maka Allah s.w.t akan berikannya kefahaman ILMU agama!\” [HR Bukhari].
    Antara tanda seseorang itu syukur dengan ilmunya ialah dengan beramal dan menyampaikan ilmunya, serta akan lekat dalam hati insya\’ Allah.
  10. Ayat 6 – { (al-Quran) itulah yang benar serta yang memimpin ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.} – maka sesiapa yang mencari petunjuk selain dari al-Quran, maka dia akan sesat jalan dan tak jumpa kebenaran.
    Al-Quran itulah segalanya, fardhu ain, muamalat, feqah, tauhid, sains, sejarah dan sebagainya.
    Al-Quran itu sebagai sumber yang asli dari Allah s.w.t dan disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

Powered by BetterDocs