SURAH ASY-SYURA : AYAT 47-50

\"\"

ARAHAN MENYAHUT SERUAN ALLAH, TUGAS NABI S.A.W AL-BALAGH & REZEKI ANAK ATAU MANDUL.

Full video : https://youtu.be/wUaziu8Fblk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan bincang tentang arahan Allah agar semua makhluk menyahut seruan Allah s.w.t
  2. Tugas Rasulullah s.a.w adalah menyampaikan (الْبَلَاغُ) dan membimbing manusia ke jalan Allah s.w.t.
  3. Juga tentang bahayanya golongan yang tidak syukur kepada Allah s.w.t ,
  4. Tentang kuasa Allah s.w.t menganugerahkan kepada manusia dari segi zuriat keturunan. Ada yang ada anak lelaki, perempuan dan keduanya serta ada juga yang mandul tidak mendapat anak.
  5. Munasabah ayat: Dalam siri yang lepas kita telah baca ayat-ayat yang menyebut tentang suasana hari Kiamat. Bagaimana puak kafir gerun, takut dalam keadaan hina menjeling takut kepada neraka.
  6. Maka Allah s.w.t menyeru kita orang beriman agar membuat penyekat dan dinding dari api neraka. Maka ayat-ayat ini mengajar kita bagaimana caranya untuk selamat dari azab neraka ini!

AYAT 47- {SAHUT DAN SAMBUTLAH SERUAN TUHAN KAMU (YANG MENGAJAK KAMU BERIMAN), SEBELUM DATANGNYA DARI ALLAH – HARI YANG TIDAK DAPAT DITOLAK; PADA HARI ITU TIDAK ADA BAGI KAMU TEMPAT BERLINDUNG (DARI AZABNYA), DAN TIDAK ADA PULA BAGI KAMU SEBARANG ALASAN UNTUK MENAFIKAN (KESALAHAN YANG KAMU TELAH LAKUKAN). (ASY-SYURA 42:47)

  1. Maka untuk selamat; pertama sekali kita dipinta supaya menyahut seruan Allah s.w.t supaya beriman. Ini semua sebelum datangnya hari yang tidak dapat dielak, ditolak atau lari darinya iaitu Hari Kiamat.
  2. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya azab Tuhanmu tetap berlaku; –
    Tidak ada sesiapapun yang dapat menolaknya;} (At-Tuur 52: 7-8)
  3. Pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung dari azabNya, dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan.
  4. Firman Allah s.w.t: {(Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): \”Ke manakah hendak melarikan diri?\”
    Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!
    Pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.} (Al-Qiaamah 75: 10-12)
  5. Untuk menunjukkan sifat keadilan-Nya Allah s.w.t telah hantar malaikat Kiraman Katibin untuk mencatat segala rekod amalan kita. Tidak ada alasan untuk menafikan atau menyembunyikan satu amalan walaupun sebesar zarrah! Tidak boleh nak ingkar atau nak bantah kerana segala dalil dan bukti sudah jelas terzahir!
  6. Ingatlah surat amalan yang akan dibentang untuk kita baca nanti, kita sendirilah yang akan menulisnya! Ingatlah, apa yang kita mahu baca di hadapan Allah s.w.t nanti, yang baik atau buruk? Pilih dan buatlah apa yang kamu nak baca.
  7. Kata ulama\’ ayat ini- {dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan} membawa dua maksud:
    i- tiada orang yang nak jadi saksi menafikan atau membela perbuatan seseorang itu.

ii- kamu sendiri tidak boleh nak ingkar dan menafikannya kerana rekod catatan telah jelas dan terperinci.

  1. Ini semua terbukti dan dapat kita fahami dengan teknologi CCTV atas dunia hari ini. Apatah lagi \”CCTV\” Allah s.w.t yang lebih berkuasa, lebih merangkumi dan meliputi semuanya, inilah dipanggil merasai muraqobah (pemantauan) Allah s.w.t. Tetapi manusia nampaknya lebih takut kepada CCTV dunia daripada muroqobah Allah s.w.t dan tayangan semula oleh malaikat nanti kerana itu mereka berani melanggar perintah Allah s.w.t!!!

AYAT 48- {OLEH ITU, JIKA MEREKA BERPALING INGKAR, MAKA KAMI TIDAK MENGUTUSMU (WAHAI MUHAMMAD) SEBAGAI PENGAWAS TERHADAP MEREKA; TUGASMU TIDAK LAIN HANYALAH MENYAMPAIKAN (APA YANG DIPERINTAHKAN KEPADAMU). DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA APABILA KAMI MEMBERI MANUSIA MERASAI SESUATU RAHMAT DARI KAMI, IA BERGEMBIRA DENGANNYA; DAN (SEBALIKNYA) JIKA MEREKA DITIMPA SESUATU KESUSAHAN DISEBABKAN DOSA-DOSA YANG MEREKA LAKUKAN, MAKA (MEREKA SEGERA MEMBANTAH SERTA MELUPAKAN RAHMAT YANG MEREKA TELAH MENIKMATINYA, KERANA) SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU SANGAT TIDAK MENGENANG NIKMAT-NIKMAT TUHANNYA.} (ASY-SYURA 42:48)

  1. Jika manusia masih ingkar setelah mendengar dakwah dan apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w, Allah menyatakan bahawa Baginda tidak perlu runsing dan bimbang, tugasnya hanyalah menyampaikan (الْبَلَاغُ) bukan sebagai pengawas untuk menjaga amalan atau menentukan iman mereka!
  2. Kata Ibnu Asyur rhm.: Ini bermakna jika kaum kafir masih tidak mahu terima, bukanlah kerana Rasulullah s.a.w cuai tidak menjalankan tugasnya, Baginda juga tidak berdosa lagi, kerana telah menunaikan tanggung-jawabnya. Ayat ini untuk menenangkan hari Rasulullah s.a.w.
  3. Firman Allah s.w.t: {Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).} (An-Nisaa\’ 4:80)
  4. Begitulah hakikatnnya bukan senang mahu mengubah masyarakat daripada kebiasaan mereka, ibadat sudah jadi acara, walaupun apa dinyatakan yang kita ajar bahawa ini amalan yang sahih dari Rasulullah s.a.w.
  5. Firman Alllah s.w.t: {Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan (perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.} (Al-Maaidah 5:99)
  6. Kemudian Allah s.w.t nyatakan lagi dalam ayat ini bahawa manusia itu apabila diberi nikmat oleh Allah s.w.t mereka akan gembira dan lalai.
    Tetapi apabila mereka ditimpa kesusahan akibat perbuatan dosa mereka yang lalu, mereka terus membantah dan tidak kenang lagi nikmat dan melupakan rahmat yang mereka telah menikmatinya sebelum ini!
  7. Ada ulama\’ berpendapat inilah sikap orang kafir; tetapi ada ulama\’ kata tidak! Ini adalah sikap semua manusia, tidak kira yang kafir atau mukmin, Melayu atau Arab, sama sahaja. Apabila dapat nikmat gembira, apabila ditimpa kesusahan mereka akan resah gelisah, tidak syukur lagi kepada Allah s.w.t!
  8. Firman Alllah s.w.t: {Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.} (Ar-Ruum 30:36)

AYAT 49- {BAGI ALLAH JUALAH HAK MILIK SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI; IA MENCIPTAKAN APA YANG DIKEHENDAKINYA; IA MENGURNIAKAN ANAK-ANAK PEREMPUAN KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, DAN MENGURNIAKAN ANAK-ANAK LELAKI KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA.} (ASY-SYURA 42:49)

  1. Allah bagi peringatan lagi bahawa segala yang ada di langit dan di bumi, semuanya adalah milik Allah s.w.t dan di bawah kuasa-Nya.
  2. Allah s.w.t menciptakan apa yang dikehendakiNya. Antaranya adalah tentang rezeki anak- Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
  3. Munasabah ayat: Allah sebut manusia apabila terima nikmat gembira, apabila dapat musibah keluh-kesah. Maka dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa bagi Allah milik bumi dan langit, lalu mengingatkan manusia jangan terpedaya dengan perhiasan dunia, pangkat dan harta yang ada, ia hanya pinjaman untuk kita guna. Kerana ia hanya kecil sahaja bagi Allah s.w.t yang berkuasa dan Pemiliknya.
  4. Kata ulama\’; ayat ini juga sebagai:
    i- satu perkhabaran tentang luas dan besarnya milik & kuasa Allah s.w.t.
    ii- Allah nyatakan tentang kejadian manusia. Allah cipta ikut kehendak-Nya.
  5. Dalam ayat ini juga Allah s.w.t sebut bahawa Dia { يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا- Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya}. Yakni Allah sebut anak perempuan dulu kerana orang Arab Jahiliyyah pada masa itu benci dan tidak suka jika dapat anak perempuan. Hatta pada zaman ini ada juga yang terikut perangai jahiliyyah ini! Untuk mengingatkan mereka bahawa anak itu adalah anugerah (يَهَبُ) dari Allah s.w.t, lelaki atau perempuan, terimalah dengan penuh kesyukuran.
  6. Ayat ini menunjukkan luasnya ilmu dan kuasa Allah s.w.t dalam menyusun alam ini di bawah pentadbiran-Nya. Serta perkahwinan itu adalah salah satu susun atur perjalanan hidup atas dunia, ada lelaki & perempuan kena kahwin.
  7. Selepas kahwin melalui proses yang sama kemudian dapat rezeki anak, ada lelaki ada perempuan. Sama seperti air hujan yang turun menumbuhkan tumbuhan yang pelbagai jenis walaupun dari sumber air dan bumi yang sama. Itulah kekuasaan Allah s.w.t.

AYAT 50- {ATAU IA MENGURNIAKAN MEREKA KEDUA-DUANYA – ANAK-ANAK LELAKI DAN PEREMPUAN, DAN IA JUGA MENJADIKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA: MANDUL. SESUNGGUHNYA IA MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA KUASA.} (ASY-SYURA 42:50)

  1. Ada juga orang yang dikurniakan Allah kedua-dua jenis anak; lelaki dan perempuan. Ada perempuan saja, ada lelaki saja tetapi ada juga yang mandul, tidak dapat anak lansung.
  2. Ini semua adalah di bawah kuasa dan kehendak Allah s.w.t yang Maha Mengetahui- ilmunya meliputi lagi Maha Kuasa. Maka kita kena syukur, redha dan sabar atas apa saja ketetapan Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 47- {Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak; }- kata ulama\’ tadabbur- ayat ini mencela orang yang panjang angan-angan, bertangguh untuk bertaubat kembali kepada Allah. Yakni benda baik kena segerakan, jangan tangguhkan!

Ayat ini juga mengarahkan agar kita segera ambil setiap peluang yang datang, ini kerana menanggguhkan benda baik itu adalah satu penyakit yang akan membawa kerugian dan penyesalan.

Ayat ini juga menjadi dalil lemah-lembutnya Allah s.w.t kepada hamba-Nya, dia bagi peringatan dan ajaran dulu sebelum datang akibatnya!

  1. Ayat 48- {maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka;}- ayat ini juga menenangkan hati para pendakwah yang datang selepas Rasulullah s.a.w. Bahawa kerja mereka hanya menyampaikan, bukan di bawah kemampuan mereka untuk memberi hidayah, memastikan orang untuk beriman.

Hadis Rasulullah s.a.w: Baginda lihat semasa Mi\’raj dulu ada Nabi yang tiada lansung pengikut bersamanya, ada yang ada 2-3 orang dan ada juga yang ramai sekali pengikutnya. [HR Bukhari & Muslim]
Jika mereka yang bertaraf Nabi pun tiada pengikutnya dan ditolak, apatah lagi kita manusia biasa.

Ingatlah cabaran untuk berdakwah kepada mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w ini sangat besar cabaran dan halangannya.
Kerana itu jangan minta hidayah dengan nabi dan manusia lain, hanya Allah s.w.t saja yang boleh memberinya!

  1. Dan (ingatlah) sesungguhnya apabila Kami memberi manusia merasai sesuatu rahmat dari Kami, ia bergembira dengannya; dan (sebaliknya) jika mereka ditimpa sesuatu kesusahan disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan, maka (mereka segera membantah serta melupakan rahmat yang mereka telah menikmatinya,}- Ayat ini menjelaskan bahawa manusia ini apabila mereka dapat walaupun sedikit daripada habuan dunia, mereka sangat bergembira bahkan terpedaya lalu masuk dalam hati mereka dua sifat yang merosakkan:
    i- ujub- bangga diri, rasa bijak manakala orang lain semua bodoh!

ii- al-Kibr iaitu takabbur.
ini akan menyebabkan lemah pegangannya dengan Akhirat, orang mukmin sebaliknya, kena berpegang dengan apa yang diajar oleh Allah s.w.t!

  1. Ayat 49- {Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.}- kita tidak boleh nak pilih nak anak lelaki atau anak perempuan, kerana anak adalah satu anugerah (hibah) dari Allah s.w.t. Hibah adalah satu pemberian/anugerah tanpa bayaran, maka kita tidak boleh pilih.

Maka kita percaya dan yakinlah akan susun atur yang telah ditetapkan-Nya! Maka kita akan redha dan bersyukur, tidak akan jadi tidak puas hati dan tidak bersyukur.

  1. Ayat 50- {Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan} manakala Ayat 49- {Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.} – Ini Allah s.w.t mahu kita berfikir, Dia beri kepada kita anak lelaki atau perempuan maka tidak boleh pilih, kemudian Allah kata ada yang Dia bagi kedua-duanya, anak lelaki atau perempuan berpasangan (يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا)

Ini menunjukkan asalnya perkataan (زوج) dengan makna pasangan, boleh guna dua-dua untuk lelaki atau perempuan. Kemudian untuk membezakannya ahli Feqah tambah menjadi (زوجة) untuk isteri.

Ayat ini juga menunjukkan sempurnanya kuasa Allah s.w.t itu, kerana Allah jadikan dari pati air mani yang sama itu, benih yang berbeza-beza, ada lelaki ada perempuan. Pilihan anak ini adalah dari ketetapan Allah s.w.t. bukan dengan sebab pilihan atau hasil usaha kita. Tiada cara untuk menentukannya, bukan di bawah pilihan kita lagi, kerana ia adalah anugerah dari Allah s.w.t! Sebab tidak akan memberi kesan.

Motivasi: Maka jangan sedih bagi mereka yang ada anak perempuan ramai kerana para Nabi a.s biasanya adalah Abul-Banat- iaitu bapa kepada anak perempuan. Seperti nabi kita sendiri Rasulullah s.a.w, anak lelakinya mati kecil semuanya, manakala anak perempuannya sempat hidup bersama Baginda, berkahwin dan mempunyai anak.

Penciptaan manusia ada 4 jenis:
i- Adam a.s dicipta dari tanah, bukan dari lelaki atau perempuan, tiada ayah atau ibu.

ii- Hawwa\’- dijadikan daripada lelaki tanpa perempuan/ibu.

iii-semua makhluk- manusia biasa selain daripada Nabi Isa daripada perempuan & lelaki.

iv- Nabi Isa a.s dijadikan dari ibunya yakni wanita sahaja tanpa lelaki.

Alhamdulillah tamatlah perbincangan kita untuk hari ini.

Powered by BetterDocs