SURAH AL-HUJURAT : AYAT 12-13

\"\"

LARANGAN BERSANGKA BURUK, TAJASSUS DAN MENGUMPAT & DIJADIKAN MANUSIA UNTUK BERTAARUF DAN BERTAQWA.

Full video : https://youtu.be/pjUQXeCMz9M

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t melarang kita dari Bersangka Buruk, Tajassus mencari keaiban orang dan Mengumpat.
  2. Susunan ayatnya cukup cantik, jika ayat sebelum ini Allah s.w.t larang dari bersangka buruk terhadap orang lain.
    Ini kerana bila ada sangkaan buruk akan timbul perasaan untuk mengintip dan mengorek yang kemudian akan bawa kepada mengata dan mengumpat pula! Inilah i\’jaz atau keajaiban al-Quran.
  3. Allah sebut bahawa Dijadikan Manusia pelbagai bangsa, kaum dan kabilah untuk Bertaaruf, berbaik-baik dan berkenalan, bukan untuk berbalah & bertelagah.
  4. Kemudian dinyatakan bahawa orang yang paling mulia & tinggi maqamnya di sisi Allah s.w.t ialah orang yang bertaqwa.
  5. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t larang dari memberi gelaran buruk atau mengejek orang tanpa niat menghina tetapi tersalah cakap atau buat salah.
    Maka dalam ayat ini Allah s.w.t ajar kita agar jangan mudah buruk sangka, ini kerana sangkaan ini akan menjadi satu tapak yang dibina untuk mencari kelemahan orang.

Maka Allah s.w.t larang awal-awal lagi dari bersangka buruk terhadap orang. Kerana bila ada sangkaan buruk kita akan buat tuduhan buruk terhadap orang pula!
Kecuali yang memang ada tanda-tanda atau bukti yang menunjukkan ke arah itu!

  1. Kerana itu surah ini juga dikenali sebagai surah Adab & Akhlak, kerana ia mengandungi adab etika tentang perhubungan kita dengan Allah, Rasulullah s.a.w & sesama makhluk.

AYAT 12- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JAUHILAH KEBANYAKAN DARI SANGKAAN (SUPAYA KAMU TIDAK MENYANGKA SANGKAAN YANG DILARANG) KERANA SESUNGGUHNYA SEBAHAGIAN DARI SANGKAAN ITU ADALAH DOSA; DAN JANGANLAH KAMU MENGINTIP ATAU MENCARI-CARI KESALAHAN DAN KEAIBAN ORANG; DAN JANGANLAH SETENGAH KAMU MENGUMPAT SETENGAHNYA YANG LAIN. ADAKAH SESEORANG DARI KAMU SUKA MEMAKAN DAGING SAUDARANYA YANG TELAH MATI? (JIKA DEMIKIAN KEADAAN MENGUMPAT) MAKA SUDAH TENTU KAMU JIJIK KEPADANYA. (OLEH ITU, PATUHILAH LARANGAN-LARANGAN YANG TERSEBUT) DAN BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH PENERIMA TAUBAT, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-HUJURAAT 49:12)

  1. Inilah seruan yang kelima kepada orang yang beriman yang ada dalam surah ini.
  2. Apabila Allah s.w.t mahu memberikan perintah atau larangan untuk ditaati atau ditinggalkan akan diseru khas kepada orang yang beriman.
    Jika kita orang yang beriman kita akan buka mata & telinga, lapangkan dada untuk menerima perintah Allah s.w.t & melaksanakannya.
  3. Jika ajaran umum akan diseru kepada seluruh manusia secara umum, samada yang beriman atau tidak akan diseru sebagai {Wahai manusia semua {يَاأَيُّهَا النَّاسُ}.
  4. Dalam ayat ini Allah s.w.t membawa beberapa larangan kepada yang beriman:
    i- jangan buruk sangka (الظَّنِّ).

ii- jangan mengintip dan mengorek mencari keaiban orang (وَلَا تَجسسوا).

iii- jangan mengumpat orang (وَلَا يَغْتَبْ).

  1. Kebanyakan sangkaan itu adalah satu dosa. Sangkaan yang dilarang itu adalah yang membahayakan & menyusahkan orang lain, tetapi jika sangkaan yang baik atau sebagai tujuan beringat, langkah berjaga-jaga dan tidak menyusahkan orang lain, dibenarkan.
  2. Kata Ibnu Jarir rhm.: Kamu jangan bersangka tidak baik terhadap orang yang beriman, dengan sangkaan yang tidak elok.
  3. Kebanyakan sangkaan itu ada yang buruk dan juga ada yang baik.
    Seperti firman Allah s.w.t: {Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: \”Ini ialah tuduhan dusta yang nyata\”.} (An-Nuur 24:12)

Ayat ini adalah tentang tuduhan jahat terhadap UM Sayyidah Aisyah r.a . Sebagai orang beriman sepatutnya kita letak sangkaan baik terhadap UM Sayyidah Aisyah r.a ketepikan sangkaan jahat & tepis tuduhan itu kerana dia isteri Nabi s.a.w, anak kepada Abu Bakar, takkan Allah s.w.t pilih untuk menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w seorang perempuan yang tidak tahu jaga diri.

Tetapi terdapat juga sebilangan orang Islam yang terperangkap dalam mainan & tipu daya jahat yang dimainkan oleh golongan munafiqin untuk memporak-perandakan rumah-tangga Rasulullah s.a.w.

  1. Kata Ibnu Atiyah rhm.: Allah s.w.t jatuhkan hukuman ke atas sangkaan itu sebagai berdosa sebahagiannya. Bermakna sebahagian lagi tidak berdosa.
  2. Sangkaan yang baik sesama manusia adalah digalakkan apatah lagi kepada Allah s.w.t, wajib kita bersangka baik!
  3. Kita kena tengok kepada tanda-tanda (قرينة) sebelum dapat dibuktikan kebenaran sangkaan itu.
    Kena ada saksi atau kesaksian yang dapat dipercayai atau dicurigai!
  4. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, sabda Nabi S.A.W:
    إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ، وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا ‏

Maksudnya: \”Jauhilah daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk merupakan dusta yang besar.
Dan janganlah melihat kesalahan orang lain, dan janganlah suka mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah saling membenci, dan janganlah memutuskan hubungan persaudaraan (atau berkonspirasi) akan tetapi jadilah kamu semua sebagai hamba Allah yang bersaudara.\” [HR al-Bukhari (6724)].

  1. Larangan kedua ialah mengintip mengorek mencari keburukan orang yang kita tidak nampak pada zahirnya.
  2. Hadis dari Ibnu Umar r.a, katanya, Rasulullah s.a.w. naik ke atas minbar dan bersabda dengan suara yang nyaring dan menyeru dengan kuat:
    \”Wahai sekalian manusia yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu menyakiti kaum muslimin, jangan kamu mengaib dan mencari-cari keaiban mereka.

Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka Allah akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari keaibannya, maka Allah akan mendedahnya sekalipun di rumahnya.\” [HR at-Tirmizi].
Yakni jika kita dedah rahsia orang, rahsia kita pun akan didedahkan orang juga.

  1. Tetapi ada beberapa tempat boleh mendedahkan keburukan untuk mengelakkan keburukan yang lebih besar!
    Kita boleh dedahkan dan laporkan kepada pihak yang berkuasa atau maklumkan kepada orang yang akan terkait secara lansung, wajib kita maklumkan.
  2. Mengumpat juga adalah satu dosa besar.
    Definisinya adalah sebagai hadis Rasulullah s.a.w ini.
    i- Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: \”Adakah kamu tahu apa itu ghibah (mengumpat)?\”

Mereka berkata: \”Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.

Baginda berkata: \”Engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya.\”

Dikatakan: \”Beritahu kepadaku, bagaimana sekiranya ada pada saudaraku itu apa yang aku katakan?

Baginda berkata: \”Sekiranya ada padanya apa yang kamu katakan, maka kamu mengumpatnya, jika tiada padanya apa yang kamu katakan maka kamu telah memfitnahnya.\” [HR Muslim].

ii- Hadis dari UM Aisyah r.a, dia berkata:
\”Aku pernah mengatakan kepada Rasulullah S.A.W, tentang badan UM Sofiyyah yang pendek. Lalu Rasulullah menegurku, \’Kamu telah melontarkan sebuah kalimat luar biasa, yang bila dilemparkan ke laut, nescaya akan bergelora laut tersebut.\” [HR Abu Daud].

  1. Betapa besarnya sebuah kalimah yang kita lontarkan kepada orang, apatah lagi jika kita menghina dan memburukkanya.
  2. Kerana itu jika ada yang kita tidak bersetuju dengan perbuatan, sifat atau idealogi & pendapat seseorang, jangan kita hina fizikal atau peribadinnya, kritik pemikirannya bukan body!
  3. Allah s.w.t tanya; sukakah kamu untuk memakan daging saudara kamu yang telah mati! Yakni dosa mengumpat ini seumpama begitulah, pastilah kamu akan membencinya!
  4. Ia cukup merbahaya kerana mengumpat boleh menghilangkan pahala kita,kita akan jadi muflis di Akhirat, akan diberikan kepada orang yang kita umpat dan hina itu!
    Alangkah ruginya kita beri pahala kepada orang yang kita tidak sayang, patutnya kita beri kepada orang yang kita sayang seperti ibu bapa dan anak-anak!
  5. Oleh itu, patuhilah larangan-larangan Allah dan bertaqwa kepada-Nya.
    Jangan buat semua perkara yang ayat melarang itu.
  6. Tetapi jika tersilap & tersalah melakukan perbuatan yang dilarang ini menghina atau mengejek orang, jangan leka untuk terus bertaubat kerana sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

AYAT 13- {WAHAI UMAT MANUSIA! SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENCIPTAKAN KAMU DARI LELAKI DAN PEREMPUAN, DAN KAMI TELAH MENJADIKAN KAMU BERBAGAI BANGSA DAN BERSUKU PUAK, SUPAYA KAMU BERKENAL-KENALAN (DAN BERAMAH MESRA ANTARA SATU DENGAN YANG LAIN). SESUNGGUHNYA SEMULIA-MULIA KAMU DI SISI ALLAH IALAH ORANG YANG LEBIH TAQWANYA DI ANTARA KAMU, (BUKAN YANG LEBIH KETURUNAN ATAU BANGSANYA). SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA (AKAN KEADAAN DAN AMALAN KAMU).} (AL-HUJURAAT 49:13)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyeru semua manusia secara umumnya, bahawa manusia itu walaupun berbeza bangsa kaum dan kabilah, mereka dijadikan untuk berkenalan, berbaik dan saling bantu-membantu!
  2. Munasabah ayat ini: Setelah Allah s.w.t nyatakan dalam ayat sebelumnya tentang persaudaraan dalam agama {إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ }. Ini adalah persaudaraan atau kemanusiaan yang lebih umum. Kita berkenalan dan berbaik untuk tunjukkan kebaikan Islam kemudian berdakwahlah kepadanya.
  3. Kamu tidak perlu berbangga dengan keturunan dan kaum kamu, kerana Allah s.w.t nyatakan sekali lagi bahawa sesungguhnya semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya.
  4. Hatta yang mengaku keturunan Nabi s.a.w jika tidak selari amalan dan ilmunya dengan ajaran Allah s.w.t & Sunnah Rasulullah s.a.w bukanlah akan menjadi orang yang mulia bahkan sebaliknya!
  5. Hadis- siapakah orang yang mulia:
    Dari Abu Hurairah R.A, ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W ditanya, \”Siapakah orang yang paling mulia?\”
    \”Yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertakwa di antara mereka,\” jawab Rasul.

Orang tersebut berkata, \”Bukan itu yang kami tanyakan.\”
\”Manusia yang paling mulia adalah Yusuf, nabi Allah, anak dari Nabi Allah, anak dari nabi Allah, anak dari kekasih-Nya,\” jawab Baginda s.a.w.

Orang tersebut berkata lagi, \”Bukan itu yang kami tanyakan.\”
\”Apa dari keturunan Arab?\” tanya Baginda.
Mereka menjawab, \”Iya betul.\”

Rasulullah s.a.w bersabda, \”Yang terbaik di antara kamu di masa jahiliyah adalah yang terbaik dalam Islam jika dia itu fakih (faham agama).\” (HR Bukhari).

  1. Di akhir ayat Allah menekankan bahawa sesungguhnya:
    i- Allah Maha Mengetahui, akan keadaan dan amalan kamu.

ii- lagi Maha Mendalam PengetahuanNya, bukan setakat tahu tetapi amat menyeluruh dan terperinci.

  1. Jangan suka menggilap diri & memuji diri sendiri untuk mencari pengaruh, jangan teperangkap dengan permainan syaitan!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 12- {Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan}- maka jika sangkaan buruk itu dilarang { اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ}, bererti kita kena bersangka baik dengan orang.
    Ini kerana bersangka buruk sesama muslim akan membawa kepada tuduhan dan keburukan yang banyak.
    Ini kerana asal orang Islam & mukmin itu adalah baik, sehinggalah kita jumpa dalil & bukti yang menyatakan sebaliknya!

Sangkaan itu ada dua kategori:
i- menyangka baik terhadap orang yang baik adalah dituntut.
ii- menyangka tak baik terhadap orang yang baik adalah dilarang.

  1. Ayat 12- {dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang;}- ini adalah larangan kedua dalam ayat.
    Maksudnya (تَجَسَّسُوا) ini mengintip-ngintip mengorek mencari kesalahan & keaiban orang lain.

Ia berbeza dengan perkataan (تَحَسَّسُوا) yang bermaksud mengintip mengintai mencari maklumat sebagaimana arahan Nabi Ya\’kub a.s kepada anak-anaknya untuk mencari maklumat tentang Nabi Yusuf, dalam firman Allah s.w.t ini:
{Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin)}-
{ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ} (Yusuf 12:87)

Kata al-Auza\’ei rhm.: Ia juga termasuk kita mengintai mencuri dengar percakapan dua orang lain.!
Perbuatan jahat ini termasuk merakam rahsia dalam mesyuarat tertutup kemudian disebarkan didedahkan maklumat yang sepatutnya menjadi rahsia khas!
Pada zaman ini tiada lagi yang dapat dirahsiakan atau ditutup.

  1. Ayat 12- {dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.}- ini adalah larangan daripada mengumpat { وَلَا يَغْتَبْ}. Maka di sini wajib kita menjaga kehormatan diri dan mempertahankan maruah saudara kita apabila dia tiada dalam majlis atau grup yang mengatanya.
    Jika dia ada sekali biarlah dia sendiri melawan dan membela dirinya, bukan salah kita lagi!

Mengumpat {يَغْتَبْ} adalah sebagaimana yang Rasulullah s.a.w nyatakan dalam hadisnya:
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

Maknanya: \”Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?\”
Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya.

Nabi S.A.W bersabda: \”Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.\” [HR Muslim (2589)]

Yakni mengatakan sesuatu yang ada pada diri saudara kita yang dia tidak suka dibelakangnya, tetapi jika ia tidak benar akan menjadi fitnah pula. Kedua-duanya adalah satu dosa besar, masuk di bawah kategori makan daging manusia yang sudah mati!

  1. Ayat 13- {Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan}- dalam ayat ini Allah sebut dua kali:
    i- Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu {إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ} dari lelaki dan perempuan.

ii- dan Kami telah menjadikan kamu {وَجَعَلْنَاكُمْ} berbagai bangsa dan bersuku puak.

Kata ulama\’; ayat ini menjadi isyarat bahawa kita tidak boleh berbangga dengan keturunan, kerana bukan dari sebab hasil usaha kita tetapi semua itu adalah pilihan dan ciptaan Allah s.w.t! Allah yang pilih kita untuk lahir dalam keturunan mana, maka kita kena bersyukur bukan takabbur!

Kabilah-kabilah itu Allah cipat untuk kita berkenalan bukan untuk berkelahi!
Fitrah manusia itu berbeza, tidak mungkin untuk dijadikan manusia itu SATU sahaja!
Untuk lebih memahami kenapa ada perbezaan di kalangan manusia boleh baca buku ini: http://www.dartaibah.com/…

  1. Ayat 13- {Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)- pahala tidak dibina atas keturunan dan darjat, tetapi dibina atas iman dan amal!
    Maka sesiapa yang nak jadi orang baik dan mulia, hendaklah dia menjadi orang yang bertaqwa.
    Ini kerana Allah terima amalan dari orang yang bertaqwa, nak jadi mulia- jadilah orang yang bertaqwa, kerana akan masuk syurga orang yang bertaqwa.

Firman Allah s.w.t:
i- {قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ}- {Bahawasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;} (Al-Maaidah 5:27)

ii- {Dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;} (A-li\’Imraan 3:133)

Maka kerana ini Allah s.w.t ajar kepada kita semua larangan di atas, kerana boleh jadi orang yang kita hina dan rendahkan itu lebih mulia daripada kita di sisi Allah s.w.t!
Ini kerana ada manusia yang tidak dikenali oleh ahli bumi tetapi mulia di sisi Allah & ahli langit!

Marilah kita menjadi orang yang dimuliakan di bumi & di langit.

Powered by BetterDocs