SURAH AL-HUJURAT : AYAT 1-5

\"\"

LARANGAN MENDAHULUI PERINTAH ALLAH DAN RASUL-NYA, RENDAHKAN SUARA & SABAR.

Full video : https://youtu.be/kiiYJVDuUU0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t peringatkan kepada kita sikap seorang mukmin itu hendaklah meletakkan di depannya Allah & Rasulullah s.a.w. Yakni larangan Mendahului Perintah Allah Dan Rasul-Nya.
  2. Kemudian Allah s.w.t ajar adab dan peraturan bersama Nabi s.a.w, antaranya ialah rendahkan Suara apabila bercakap dengan Baginda dan sabar apabila menunggu mahu berjumpa dengannya. Ini adalah ujian dari Allah kepada mereka dan orang yang beriman selepas ini.
  3. Allah s.w.t tegur sikap sebahagian mereka yang tidak beretika, memanggil-manggil Rasulullah s.a.w dari luar rumahnya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU MEMANDAI-MANDAI (MELAKUKAN SESUATU PERKARA) SEBELUM (MENDAPAT HUKUM ATAU KEBENARAN) ALLAH DAN RASULNYA; DAN BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-HUJURAAT 49:1)

  1. Allah peringatkan kepada kita dengan menyeru kepada orang yang beriman.
    Ini adalah seruan pertama daripada 5 seruan (يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا) dalam surah ini. Ayat seruan yang bermaksud \’Wahai orang-orang yang beriman…\’ ini merupakan seruan dan ajakan khas oleh Allah S.W.T terhadap golongan yang beriman dengan-Nya.
  2. Kata Abdullah Ibnu Mas\’ud r.a: \”Apabila kamu semua mendengar firman Allah S.W.T yang berbunyi \'(يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا), maka dengarlah dengan teliti kerana padanya mengandungi kebaikan yang diperintahkan atau keburukan yang ditegah olehnya\”. [Athar Riwayat Abu Hatim dan lain-lain.]
  3. Sabab Nuzul ayat ini: Ada pendapat kata sebab turunnya ayat ini sebagaimana yang diriwayatkan Imam Bukhari bahawa ada satu rombongan Arab Badwi dari kabilah Bani Tamim ingin menemui Rasulullah s.a.w. Belum pun sempat Rasulullah s.a.w keluar menemui mereka, Umar al Khattab r.a dan Abu Bakar al-Siddiq r.a berselisih pendapat untuk melantik siapakah yang layak menjadi ketua di kalangan Bani Tamim.

Abu Bakar mencadangkan Qa\’ Qa\’ bin Ma\’bad, manakala Umar mencadangkan Al-Aqra\’ bin Habis.
Perselisihan itu berlaku sehingga tanpa disedari kedua-dua sahabat Rasulullah s.a.w yang mulia ini bertegang urat dan beradu pendapat sehingga terangkat suara mereka di hadapan Rasulullah s.a.w!

Lalu turunlah ayat permulaan surah Al-Hujurat tersebut. [HR Bukhari].

  1. Yakni sabarlah, kamu jangan gopoh sehinggakan mendahului Allah dan Rasul-Nya.
  2. Kata Ibnu Juzai rhm., maksud ayat ini (لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ) ada 3 pandangan:
    i- jangan cakap keluarkan pandangan sebelum Rasulullah s.a.w beri pandangannya.

ii- jangan muliakan atau mendahulukan orang lain jika Rasulullah s.a.w ada.

iii- jangan kamu melintasi Rasulullah s.a.w yakni jangan berjalan di hadapannya.

  1. Kata al-Qurtubi rhm. kesimpulannya adalah semua yang di atas. Yakni semuanya kena mendahulukan Nabi s.a.w samada dalam perkara Akhirat atau dunia.
  2. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan menjadi kewajipan kepada kita untuk mendahulukan Sunnah Rasulullah s.a.w sebelum mengambil pandangan yang lain.
    Firman Allah s.w.t:
    i- {Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.} (An-Nisaa\’ 4:65)

ii- {Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: \”Kami dengar dan kami taat\”, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.} (An-Nuur 24:51)

  1. Hadis dari Anas bin Malik r.a: \”Maka siapa yang tidak menyukai (berpaling dari) sunnahku, maka dia bukanlah dari golonganku.\” [HR Bukhari].
  2. Arahan utamanya iaitu tinggalkan larangan dan buat apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t!
    Itulah tembok/dinding Allah s.w.t.
  3. Allah juga menyeru agar bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Dia juga mengetahui apa yang ada di dalam hati-hati kamu.
  4. Kesimpulan ayat ini seperti mana kata Imam asy-Syanqiti rhm.: Adalah jelas larangan dalam mendahulukan Allah & Rasul_nya s.a.w termasuk dalam perkara peraturan perundangan hidup! Apa yang Allah kata haram jangan kita kata halal!
  5. Tiada agama dan Syari\’ah kecuali dari Allah & tiada peraturan kecuali yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

AYAT 2- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU MENGANGKAT SUARA KAMU MELEBIHI SUARA NABI, DAN JANGANLAH KAMU MENYARINGKAN SUARA (DENGAN LANTANG) SEMASA BERCAKAP DENGANNYA SEBAGAIMANA SETENGAH KAMU MENYARINGKAN SUARANYA SEMASA BERCAKAP DENGAN SETENGAHNYA YANG LAIN. (LARANGAN YANG DEMIKIAN) SUPAYA AMAL-AMAL KAMU TIDAK HAPUS PAHALANYA, SEDANG KAMU TIDAK MENYEDARINYA.} (AL-HUJURAAT 49:2)

  1. Ayat ini pula adalah adab dan akhlak apabila berdepan dengan Rasulullah s.a.w.:
    i- Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi,

ii- dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain.

  1. Larangan ini agar amal-amal kita tidak terhapus pahalanya, sedang kita tidak menyedarinya!
    Ini adalah amaran besar kepada para sahabat dan kita semua.
  2. Hadis dari Anas bin Malik r.a., katanya:
    Pada suatu ketika, seorang sahabat bernama Thabit bin Qais r.a tidak kelihatan di masjid. Rasulullah s.a.w bertanya tentangnya kepada Sa\’ad bin Mu\’az yang menjadi jirannya.

Sabdanya: \”Wahai, Abu \’Amar! Kenapa Thabit tidak pernah kelihatan, bagaimanakah dia, apakah dia sakit?\”
Jawab Sa\’ad, \”Thabit itu jiranku, setahuku dia tidak sakit!\”
Kata Anas, \”Lalu itu Sa\’ad menziarahi Thabit di rumahnya, dan menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w menanyakannya.\”

Thabit berkata: \”Aku tidak keluar dari rumah kerana setelah turun ayat:
{Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi}, kerana aku takut untuk bertemu dengan Nabi saw.

Kata Thabit kepada Sa\’ad lagi: \”Ayat itu turun. Kamu semua tahu bahawa aku orang yang paling tinggi suaranya di hadapan Nabi. Kerana itu aku merasa diri ku ini penghuni neraka.\”

Sa\’ad menyampaikan cerita Thabit itu kepada Nabi s.a.w lalu Baginda bersabda: \”Tidak! Sesungguhnya dia penghuni syurga!\” [HR Bukhari & Muslim].
Ini kerana dia bukan meninggikan suara kerana tidak beradan tetapi kerana memang suaranya kuat!

  1. Kata Ibnu al-Jauzi maksudnya { dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya } ada dua pandangan:
    i- jangan kuatkan suara apabila bercakapa di hadapan Rasulullah s.a.w.

ii- jangan panggil dengan namannya tetapi panggillah dengan jawatannya- Ya Rasulullah, Ya Nabi Allah!

  1. Beringatlah kerana kita tidak mahu gugur amalan kita tanpa kita sedar akibat dari perbuatan kita sedangkan kita tidak sedar.
  2. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Ada orang yang bercakap tetapi dia tidak tahu kesan akan percakapannya itu, maka dia akan dicampakkan ke dalam neraka yang lebih jauh dari timur & barat.\” [HR Bukhari & Muslim].
  3. Antara perkara yang bahaya ialah orang yang membuat pujian yang melampau terhadap Rasulullah s.a.w. Baginda ada kedudukan mulia dan tarafnya yang khas & tertentu sebagaimana yang diajarnya sendiri, tetapi jangan kita melampau dalam memuja Baginda kerana Baginda s.a.w pernah melarangnya:

\”Janganlah kamu memujiku melampau-lampau seperti Nasrani memuji Putera Maryam. Aku hanyalah hamba Allah. Katakan bahawa aku adalah seorang hamba Allah dan Rasul-Nya.\” (HR Bukhari)

Contoh lagu Aghisna Ya Rasulullah (أغثنا يا رسول الله) tolonglah kami Ya Rasulullah- tidak kena dan tidak tepat kerana meminta pertolongan secara lansung dari Rasulullah s.a.w yang telah wafat dan tiada lagi di atas dunia ini! Jika ulama\’ tegur itu pastilah ada masalah dan kekeliruan di situ, maka kita jauhilah ia!

  1. Boleh baca adab ziarah Madinah secara ringkas dalam buku Madinah:
    http://www.dartaibah.com/…
  2. Kita beradablah dalam berinteraksi dengan Rasulullah s.a.w samada semasa Baginda masih hidup atau setelah Baginda wafat.
  3. Untuk lebih mengenali Rasulullah s.a.w melalui kehidupan sehariannya boleh baca pula: http://www.dartaibah.com/…

AYAT 3- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MERENDAHKAN SUARANYA SEMASA MEREKA BERADA DI SISI RASULULLAH (S.A.W), – MEREKALAH ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERSIHKAN ALLAH HATI MEREKA UNTUK BERTAQWA; MEREKA BEROLEH KEAMPUNAN DAN PAHALA YANG BESAR.} (AL-HUJURAAT 49:3)

  1. Allah s.w.t puji mereka yang beradab dan merendahkan suaranya di hadapan Rasulullah s.a.w kerana hormat dan memuliakannya.
  2. Allah katakan bahawa merekalah:
    i- orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa;

ii- mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.

  1. Mereka ini ikut arahan dan perintah Rasulullah s.a.w bukan hanya beradab saja. Allah s.w.t uji hati kita dalam menyayangi Rasulullah s.a.w dengan menyintai juga Sunnah Nabi s.a.w.
    Orang yang benar-benar sayang Rasulullah ialah yang ikut ajaran dan Sunnahnya!
  2. Hadis dari al-Miswar bin Mahramah & Marwan Ibnu Hakam: Bahawa salah seorang wakil Quraisy pada hari Perjanjian Hudaibiyah ialah Urwah bin Mas\’ud.

Lalu Urwah pun kembali kepada kaumnya Quraish lalu berkata, \”Wahai orang-orang Quraisy, sesungguhnya aku telah berkunjung kepada Kisra, Parsi, dan an-Najasyi di istana-istana mereka, tapi tak ku dapati seorang raja pun yang sayangnya melebihi sayangnya Muhammad terhadap pengikutnya, sehingga pengikutnya menyerahkan apa saja yang diminta olehnya. Buanglah prasangka buruk kamu.\”

Urwah menyebut demikian kerana kaum kafir Quraish menyangka kedatangan Rasulullah S.A.W adalah untuk berperang, tetapi setelah melihat bagaimana para sahabat melayan Nabi S.A.W , dia tahu baginda S.A.W adalah seorang yang berakhlak mulia. Urwah telah menyaksikan betapa hormat dan setianya para sahabat terhadap Nabi S.A.W .

Kata Urwah: \”Demi Allah, tidaklah Rasulullah S.A.W membuang ludah kecuali jatuh pada tapak tangan salah seorang di antara mereka, maka ia mengusapkannya ke wajah dan kulitnya sendiri.

Jika Rasulullah S.A.W memerintahkan mereka, maka mereka bersegera melakukannya. Jika ia berwudhu, maka mereka hampir-hampir berkelahi kerana memperebutkan bekas air wudhunya. Jika ia berbicara, maka mereka merendahkan suara mereka dan mereka tidak berani menatap wajahnya secara langsung kerana begitu hormat kepadanya.\” [HR Bukhari].
Itulah sikap para sahabat yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w.

  1. Hadis riwayat dari \’Amru bin al-\’Ash: \”Semenjak aku masuk Islam, tidak ada orang paling aku cinta melebihi cinta kepada Rasulullah s.a.w. Dan tidak ada orang yang paling terhormat di mata ku melebihi Baginda. Sebab itu, aku tak kuasa menatapnya demi untuk memuliakannya. Sehingga andaikan aku diminta orang untuk menggambarkan bentuk Baginda, aku tak sanggup, kerana aku tak pernah mengangkat pandanganku kepada Baginda.\” [HR Muslim].

6.Begitu sekali penghormatan para sahabat kepada Rasulullah s.a.w, maka janganlah kita hari ini apabila menziarahi makam Baginda bersikap sewenang-wenangnya tanpa adab, apatah lagi berselfie dan membuat content!

AYAT 4- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MEMANGGILMU DARI LUAR BILIK-BILIK (TEMPAT AHLIMU, WAHAI MUHAMMAD), KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGERTI (ADAB DAN TATA TERTIB).} (AL-HUJURAAT 49:4)

  1. Allah s.w.t menegur sikap mereka yang tidak beradab yang datang mahu berjumpa Rasulullah s.a.w di rumahnya, mereka memanggil-manggilnya untuk keluar.
  2. Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah beberapa orang Badwi penduduk desa yang datang mengadap Rasulullah s.a.w di Madinah, perihal mereka akan diterangkan dalam ayat ke-14 nanti, insya\’ Allah.
  3. Munasabah ayat: Mereka yang memanggil Nabi s.a.w di sebalik biliknya adalah mereka yang kurang adab, kerana Allah s.w.t memerintahkan untuk memuliakan Rasulullah s.a.w. Tetapi mereka ini Allah kata juga sebagai orang yang tidak tahu dan tidak berakal, maka kita sebagai orang yang cerdik dan berakal, yang tahu janganlah buat begitu juga!!!
  4. Orang yang buat perangai begini, kebanyakannya adalah orang yang tidak tahu (أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ) mereka yang memang gaya hidupnya kasar & tidak beradab. Bukan maksudnya tiada akal seperti gila itu.
  5. Kata an-Nasaiburi, Allah kata kebanyakan mereka itu (أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ) adalah ramai dan dikira semua. Kerana ramai orang yang tidak berapa tahu adab & etika, bukan mereka tidak mahu beradab dengan Rasulullah s.a.w seperti kerana menang gaya hidup mereka kasar dan kurang etika.
  6. Ini kerana akal itu ada dua maksudnya (عقل) iaitu:
    i- akal bijak (عقل الرشد) untuk pandai buat tindakan. Lawannya orang yang tidak cerdik (السفة).

ii- akal secara umum (عقل التكليف) seperti orang yang aqil baligh maka kena taklif lawannya gila (الجنون).

AYAT 5- {DAN KALAULAH MEREKA BERSABAR MENUNGGU SEHINGGA ENGKAU KELUAR MENEMUI MEREKA, TENTULAH CARA YANG DEMIKIAN LEBIH BAIK BAGI MEREKA; DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-HUJURAAT 49:5)

  1. Jikalah mereka sabar dan menunggu sekejap, Rasulullah s.a.w akan keluar sendiri bila Baginda bersedia, tidak perlu melaung-laung memanggilnya.
  2. Begitu juga kita hari ini jika mahu pergi berjumpa ustaz atau guru-guru, kena ikut jadual dan waktu mereka.
    Jika waktu mereka berehat jangan ganggu, kita tunggu dan sabar sehingga mereka selesai dan keluar. Yang pasti, mesti mereka akan keluar untuk solat lima waktu jika tidak tahu waktu lain.
  3. Di akhir ayat Allah sebut bahawa Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Jika ada tersalah dan tersilap maka beristighfarlah memohon keampunan Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 1- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya;}- ayat ini mengandungi adab kita dengan Allah s.w.t dan adab dengan Rasulullah s.a.w. Wajib kita mengikut hukum Allah- apa yang Allah kata halal jangan kita kata haram pula!

Begitu juga adab dengan Rasulullah s.a.w, menghormati Baginda dengan mengikut Sunnahnya dan beramal dengan hadis dan Sunnah Baginda yang sahih!

Kerana itu kita wajib menghormati disiplin ilmu, jika ulama\’ hadis kata itu hadis palsu jangan kita kata tidak mengapa pula! Jangan kita buat dan guna ia seperti gigi palsu!
Ini kerana menipu atas nama Nabi s.a.w adalah satu dosa yang bahaya!

Amallah zikir-zikir dan doa yang ma\’thur dan warid dari Rasulullah s.a.w. Pelajarilah dan hayatilah Sunnah Nabi s.a.w yang sudah ada di hadapan kita, tak perlu cari yang pelik-pelik dari orang lain!

Banyak sudah usaha team Abu Anas supaya para jemaah boleh beramal dengan Sunnah Nabi s.a.w yang sahih. Pelbagai pamphlet dan buku-buku serat dibuka medsos mengikut peredaran zaman ini insya\’ Allah.

Terbaru: Link untuk video-video pendek Abu Anas Madani:
https://www.youtube.com/channel/UC6G8bbRYvQqVdzz5KeMrNlw

  1. Ayat 2- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya..}- ulama\’ buat dalil dengan ayat ini bahawa ini juga larangan untuk kita mengangkat suara dekat kubur Nabi s.a.w. Juga apabila membaca hadis-hadisnya jangan dengan suara kuat dan bertempik-tempik.

Menghormati Rasulullah s.a.w selepas kewafatannya sebagaimana ketika dia masih hidup juga. Kalam Nabi s.a.w yang sahih, walaupun selepas Baginda wafat, kita dengar seolah semasa dia masih hidup.

Apabila dibaca hadis Nabi s.a.w dengarkanlah dengan hormat bukannya diiringi muzik, yang menjadi perkara yang khilaf di kalangan ulama\’ akannya. Begitu juga doa dan ayat al-Quran janganlah diiringai dengan muzik!!!!!

Semua kita sayang kepada Rasulullah, tetapi jangan melampau dan ghuluw, memuliakan juga replika-replika yang tiada manfaat dan syafaat dari Baginda s.a.w.

  1. Ayat 4- {Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).} – ayat ini menjadi dalil bahawa manusia mesti bersifat tawadhuk di hadapan Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t ajar kepada orang yang nak ziarah Rasulullah s.a.w (juga makamnya) kena ada adab & etika, buanglah segala adab jahiliyyah zaman dahulu.
  2. Ayat 2- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya..}- Janganlah kamu mengangkat suara kamu di hadapan Rasulullah s.a.w kerana dibimbangi gugur amalan kita.
    Kata ulama\’ ini dalil bahawa ada perbuatan yang boleh menggugurkan amalan soleh kita tanpa kita sedari.

Maka Allah s.w.t bagi amaran tentang perkara ini. Kita kena hati-hatilah dan periksa diri selalu. Antaranya ialah penyakit hati seperti riya\’, takabbur, sum\’ah, ujub dan lain-lain.

Begitu juga orang yang melangar dan merubah Sunnah Nabi s.a.w. amat bahaya kerana mereka akan terhalang dari sampai ke kolam Nabi s.a.w.

  1. Ayat 3- {Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah (s.a.w), merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa}- ialah mereka yang Allah s.w.t uji hatinya dengan arahan dan larangan.
    Siapa ikut arahan, beradab dengan Nabi s.a.w itulah orang yang telah dibersihkan hatinya.

Yakni ciri-ciri orang yang bertaqwa dan orang yang Allah bersihkan hatinya ialah dengan cara ikut arahan Allah, ikut Sunnah Nabi s.a.w, tinggalkan benda munkar & bid\’ah, maka itulah orang yang dibersihkan hatinya oleh Allah s.w.t.

Ya Allah jadikanlah kami orang yang bersih hatinya, yang ikut perintah & larangan-Mu dan ikut Sunnah Rasulullah s.a.w.

Powered by BetterDocs