SURAH AL-HUJURAT : MUQADDIMAH

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH DENGAN SURAH SEBELUMNYA.

Full video : https://youtu.be/Dl3vhf3SwGs

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Rabu 26 Muharram 1444H bersamaan 24hb Ogos 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Hujurat-
    سورة الحجرات
  2. Surah Al-Hujurat, adalah surah ke-49 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah al-Fath dalam juz ke 26, mengandungi 18 ayat.
  3. Para ulama\’ tafsir sepakat (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini Madaniyyah, iaitu diturunkan di Madinah iaitu selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah, tidak mungkin turun di Makkah kerana namanya al-Hujurat.
  4. Dinamakan surah ini sebagai Surah al-Hujurat – سورة الحجرات yang bermakna (Bilik-bilik iaitu tempat tinggal para isteri Nabi s.a.w r.anhunna) kerana pada awal surah ini, iaitu ayat ke-4, Allah s.w.t telah menegur beberapa orang Badwi penduduk desa yang datang untuk bertemu Rasulullah. Mereka memanggil-manggil Rasulullah s.a.w dari luar biliknya dengan cara yang kurang hormat dan tidak sesuai. Kisah lanjut ada dalam ayat ke-14 surah ini.

Semua ulama\’ memanggil dan menulis namanya dengan surah al-Hujurat.

Ini kerana Rasulullah s.a.w tidak mempunyai rumah yang besar tetapi Baginda s.a.w hanya membuat bilik-bilik bagi setiap seorang isterinya di sekitar masjid Nabi s.a.w.

Boleh lihat bekas kedudukan & sejarah Hujurat dalam buku Madinah ini:
http://www.dartaibah.com/…

  1. Walaupun surah ini pendek tetapi ia mengandungi pengajaran yang besar, kerana iu sebahagian ulama\’ memanggilnya sebagai Surah al-Adab & al-Akhlaq (سورة الآداب والأخلاق) iaitu yang mengajar adab dan akhlak yang mulia. Tetapi bukan secara bertulis, namanya yang rasmi dan bertulis ialah Surah al-Hujurat – سورة الحجرات.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan akidah kepercayaan & keimanan, hukum-hukum serta adab peraturan berdasarkan akhlak yang terpuji serta larangan tentang perkara terkeji yang sewajibnya dijauhi. Ini supaya dapat membentuk masyarakat Islam yang diredhai oleh Allah Azza wa Jalla.
  2. Pada awal surah ini Allah s.w.t mengingatkan orang yang beriman agar jangan memandai-mandai melakukan sesuatu perkara sebelum mendapat hukum atau kebenaran dari Allah s.w.t & Rasul-Nya.

Hatta kita hari ini walaupun Nabi sudah wafat, kita tidak boleh memandai-mandai mereka-reka amalan ibadat yang tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w! Berhati-hatilah; nak reka fersyen pakaian, kereta, makanan dan lain-lain boleh! Tetapi tentang hukum-hakam dan ibadat dalam agama TIDAK sama sekali! Kita diarah ikut dalam IBADAT bukan menambah dan mereka yang baru.

  1. Kemudian diperintahkan agar JANGAN mengangkat suara apabila bercakap dengan Rasulullah s.a.w melebihi kadar suara percakapan Baginda.
  2. Mereka juga disuruh menyelidik kebenaran berita yang disampaikan kepada mereka oleh orang-orang yang fasiq supaya mereka terhindar dari melakukan sesuatu yang membahayakan orang lain.
  3. Dalam hal lain, jika ada dua kumpulan orang Islam yang bergaduh dan bertelagah, hendaklah didamaikan. Ini arahan Allah, bukan mengapi-apikan atau melagakan sesama Islam pula.
  4. Jika salah satu puak berlaku zalim kepada satu puak yang lain, hendaklah dilawan puak yang zalim itu sehingga dia kembali kepada perintah Allah. Apabila dia kembali patuh hendaklah didamaikan dengan adil antara dua pihak itu mengikut hukum Allah s.w.t!
  5. Lalu ditegaskan bahawa orang-orang Islam adalah bersaudara; maka sudah sewajibnya mereka bersatu-padu dengan aman damai.
  6. Kemudian Allah s.w.t memerintahkan orang Islam supaya sentiasa bersopan santun dan berakhlak mulia.

Maka janganlah sesuatu puak; lelaki atau perempuan, mengeji, mengejek, mencemuh dan merendahkan orang lain, kerana mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Janganlah mereka menyatakan keaiban setengah yang lain dan jangan panggil-memanggil (menggelar) sesama sendiri dengan panggilan yang buruk.

  1. Juga dilarang dari menaruh sangkaan buruk kerana boleh membahayakan orang lain serta jangan mencari-cari kesalahan orang serta saling mengumpat orang lain.
  2. Setelah itu Allah s.w.t menyatakan dasar persamaan yang sejati. Dia telah mencipta umat lelaki dan perempuan, menjadikan mereka berbangsa-bangsa, berpuak dan bersuku-suku supaya berkenalan dan mengenali antara satu sama lain.

Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah s.w.t adalah orang yang paling bertaqwa, bukan kerana sebab bangsa, kaum atau keturunannya!

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH TAFSIR MUHARRAR :

  1. Objektif utamanya ialah memberi bimbingan kepada orang yang beriman kepada akhlak yang mulia iaitu:
    i- adab kepada Allah s.w.t.
    ii- adab kepada Rasulullah s.a.w.
    iii- serta adab dengan orang-orang yang beriman.
  2. Surah ini amat penting, kita kena sentiasa ulangkaji dan tadabburnya, sebar dan wacanakannya dalam masyarakat yang jika dilaksanakan dalam kehidupan ini banyak kebaikan yang boleh didapati!
  3. Kata seorang tokoh tafsir, Fakhruddin ar-Razi rhm.- Surah ini di dalamnya Allah s.w.t memberi bimbingan kepada orang mukmin untuk berakhlak mulia. Pertama sekali akhlak kepada Allah s.w.t, kepada Rasulullah s.a.w dan sesama makhluk.
  4. Manusia ini akan terbahagi kepada dua kategori iaitu:
    i- samada dia akan ikut jalan orang mukmin, yang taat & patuh serta akhlak mulia.
    ii- atau dia akan terkeluar dari jalan itu dan termasuk dalam jalan orang yang fasiq! Iaitu terikut melalui akhlak dan perangai buruk mereka.
  5. Cara untuk berakhlak sesama manusia:
    i- jika mereka ada di hadapan kita, bercakap baik, tunjukkan wajah senyum & layanan akhlak yang baik terhadap mereka.
    ii- jika tiada di hadapan, jangan kita mengata dan menggumpat mereka. Mengata di belakang walaupun di depan muka manis!
  6. Daripada dua kategori manusia ini terbahagi pula kepada 5 bahagian:
    i- yang berkait dengan haq Allah.
    ii- berkait dengan Rasulullah s.a.w.
    iii- yang berkait dengan orang jahat & fasiq.
    iv- yang berkait dengan orang mukmin yang ada bersama.
    v- orang mukmin yang tiada bersama di hadapan kita.
  7. Dalam surah ini Allah s.w.t sebut lima kali seruan
    { يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا }:
    i- Ayat 1- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.}- dalam ayat Allah s.w.t menyatakan siapa yang taat kepada Allah wajib taat kepada rasul. Kerana kita tidak akan tahu apa yang Allah s.w.t mahu kecuali melalui para rasul-Nya.

ii- Ayat 2- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.}- ayat ini menyatakan kewajipan kita sebagai umat Islam untuk menghormati Rasulullah s.a.w.

iii- Ayat 6- {Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.}- ayat ini memberi hukum bahawa wajib ke atas orang beriman agar jaga diri jangan mudah percaya kepada cerita-cerita yang diviralkan tanpa lebih-lebih lagi jika datang dari orang yang fasiq.

iv- Ayat 11- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.}- ayat ini mengajar kita agar jangan hina dan memberi gelaran yang buruk kepada orang lain. Yakni wajib tidak menyakiti orang Islam yang ada bersama kita, menyakiti depan-depan.

v- Ayat 12- {Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.} (Al-Hujuraat 49:12)- ayat ini menyatakan kewajipan kita sebagai orang mukmin jangan hina mukmin lain ketika mereka tiada dengan melakukan umpatan.

Setiap ayat ini mengandungi hukum dan ajaran baru yang wajib kita lumatkan kefahaman dan amalkan dalam kehidupan!

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t mahu mengajar orang mukmin tentang kewajipan mereka terhadap Allah s.w.t & Rasulullah s.a.w.
  2. Allah s.w.t perintahkan orang mukmin untuk pastikan kebenaran sesuatu maklumat dan berita yang sampai kepadanya. Jangan gopoh percaya atau terus sebar, pastikan dulu kesahihannya sebelum share serta lihat apakah ada keperluan untuk menyebarnya.
  3. Allah s.w.t menyatakan tanda-tanda yang zahir tentang limpah kurnia-Nya kepada orang yang beriman.

4, Juga menyatakan kewajipan ke atas orang mukmin apabila berlaku pertelingkahan antara mereka, wajib mendamaikan antara dua pihak itu. Jika ada yang tak dengar kata, pihak berkuasa wajib lawan mereka sehingga mereka akur.

  1. Allah s.w.t larang dari memerli, bersangka buruk, mengintip serta mengumpat orang lain.
  2. Allah s.w.t juga beri arahan bimbingan kepada manusia semua bahawa Allah s.w.t jadikan mereka berpasangan lelaki dan perempuan untuk saling mengenal, bekerjasama dan mencari pasangan, bukan untuk berkelahi.
  3. Allah s.w.t juga menolak sebahagian dakwaan orang badwi yang mengaku beriman, sedangkan iman belum mantap dan belum masuk sepenuhnya dalam hati mereka, cukuplah sekadar mengaku menerima Islam dulu.
  4. Allah s.w.t cela orang yang mengungkit ke atas Allah dan rasul. Ini kerana hidayat itu milik dan anugerah Allah s.w.t. jika kita beriman kita ucap alhamdulillah.
  5. Surah yang mulia ini diakhiri dengan ilmu Allah, bahawa Allah s.w.t mengeathui segala perkara, yang kita tak nampak yang ada di langit dan di bumi, juga apa yang ada dalam hati kita, ilmu-Nya meliputi segala sesuatu.

MUNASABAH SURAH DENGAN SURAH-SURAH SEBELUMNYA :

  1. Surah al-Hujurat ini sebelumnya adalah surah al-Fath. Keindahan susunannya; Dalam surah yang lepas Allah s.w.t menyatakan kena perangi kafir yang menentang Islam. Dalam surah ini Allah s.w.t nyatakan hukuman kepada pemberontak iaitu orang-orang yang memberontak dalam negara Islam, menjadi kewajipan kepada pemerintah untuk memerangi mereka, tidak boleh dibiarkan, kerana membawa bahaya.
  2. Allah s.w.t akhiri surah al-Fath dengan janji kepada orang yang beriman dan beramal soleh dengan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Kemudian dimulai surah ini dengan seruan Allah s.w.t kepada orang yang beriman {يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا}. Sebagai peringatan kepada mereka bahawa kamu mesti beradab kepada Allah & rasul-Nya dengan taat kepada perintah dan larangan-Nya.
  3. Di dalam kedua-dua surah ini (al-Fath & al-Hujurat) adalah tentang kemuliaan dan memuliakan Rasulullah s.a.w khususnya di awal surah. Ini bermakna Allah redha kepadanya, maka menjadi kewajipan kepada kita untuk redha kepada seluruh Sunnah Nabi s.a.w yang mulia.
  4. Dalam siri yang lepas kita sudah sebut tentang ciri-ciri keistimewaan Rasulullah s.a.w antaranya maksum dari kesalahan dan dosa.

Boleh baca buku-buku ini untuk mengetahui banyak kelebihan Baginda & akhlak Rasulullah s.a.w yang mulia:
i- 41 Kelebihan Nabi S.A.W.
http://www.dartaibah.com/…

ii- Sehari Dalam Kehidupan Nabi S.A.W
http://www.dartaibah.com/…

Powered by BetterDocs