SURAH GHAFIR : AYAT 30-35

\"\"

SAMBUNGAN NASIHAT DARI KELUARGA FIR\’AUN YANG BERIMAN, BEBERAPA FAKTA DIKEMUKAKAN & GOLONGAN ANGKUH MENOLAK KEBENARAN.

Full video : https://youtu.be/_QHLv2bx69E

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah sambungan nasihat dari keluarga Fir\’aun yang beriman, yang menasihati Firaun agar jangan bunuh nabi Musa a.s dan fikir-fikirlah akan dakwahnya.
  2. Dia juga bawa contoh orang terdahulu yang lawan nabi mereka maka mereka binasa, maka dia bimbang jika mereka lawan Musa a.s mereka juga akan binasa.
  3. Dia juga bawa sejarah dan fakta tentang nabi Yusuf a.s yang mereka kenal dan tahu akan sejarahnya, apa yang berlaku apabila mereka mendustakan dan tak dengar katanya.
  4. Begitulah nasihat lelaki ini yang terpaksa menyembunyikan keimanannya untuk selamat, jika tidak dia dulu yang akan dibunuh oleh Firaun sebelum nabi Musa a.s.
  5. Ini adalah untuk maslahah dakwah, dia terpaksa sembunyikan keimanannya untuk menjaga diri.

AYAT 30-{DAN BERKATALAH PULA ORANG YANG BERIMAN ITU: \”WAHAI KAUMKU! SESUNGGUHNYA AKU BIMBANG KAMU AKAN DITIMPA (KEBINASAAN) SEBAGAIMANA YANG TELAH MENIMPA KAUM-KAUM YANG BERGABUNG (MENENTANG RASUL-RASULNYA)!} (GHAAFIR 40:30)

  1. Ayat ini membawa sambungan nasihat lelaki yang beriman dari kaum Fir\’aun itu. Jika diambil bermula dari ayat 28 lagi, ada 6 hujjah yang dibawa oleh lelaki ini kepada Firaun dan kaumnya:

i- { وَإِنْ يَكُ كَاذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُ – Kalau ia seorang yang berdusta maka dia lah yang akan menanggung dosa dustanya itu}

ii-{ وَإِنْ يَكُ صَادِقًا يُصِبْكُمْ بَعْضُ الَّذِي يَعِدُكُمْ – dan kalau ia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu.}

iii- { يَاقَوْمِ لَكُمُ الْمُلْكُ الْيَوْمَ ظَاهِرِينَ فِي الْأَرْضِ – Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi.}

iv- Dalam ayat 30 ini pula nasihat yang ke4: { إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ مِثْلَ يَوْمِ الْأَحْزَاب- Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa (kebinasaan) sebagaimana yang telah menimpa kaum-kaum yang bergabung (menentang Rasul-rasulnya}.

  1. Maksudnya kaum-kaum yang bergabung (الْأَحْزَاب) iaitu kaum terdahulu yang telah bergabung dalam menentang dakwah Rasul-rasulnya lalu telah binasa dek azab Allah s.w.t akibat perbuatan mereka itu.
  2. Apabila lelaki mukmin itu nampak Firaun seperti boleh dibawa berbincang, dia mula memberikan mereka hujjah-hujjahnya dengan nasihat dulu.
  3. Kemudian apabila nampak Firaun dan pengikutnya yang lain tidak boleh menerima nasihatnya dan mahu meneruskan rancangan mereka untuk membunuh Musa a.s, dia lalu menakutkan mereka dengan peringatan dan ancaman akan apa yang telah terjadi terhadap kaum terdahulu sebelum mereka.

AYAT 31-{\”(IAITU) SEPERTI KEADAAN KAUM NABI NUH, DAN AAD (KAUM NABI HUD), DAN THAMUD (KAUM NABI SOLEH), SERTA ORANG-ORANG YANG DATANG KEMUDIAN DARIPADA MEREKA (SEPERTI KAUM NABI LUT). DAN (INGATLAH) ALLAH TIDAK MENGHENDAKI BERBUAT KEZALIMAN KEPADA HAMBA-HAMBANYA.} (GHAAFIR 40:31)

  1. Kaum-kaum terdahulu ini ialah seperti kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud di Yaman Tua), dan Thamud (kaum Nabi Soleh di Mada\’in Soleh, Madinah), serta orang-orang yang datang kemudian daripada mereka seperti kaum Nabi Lut.
  2. Ramai yang melawat sebuah kubur yang dikatakan kepunyaan Nabi Hud di Yaman, entah betul atau tidak, masalahnya ziarah kubur itu Sunnah tetapi menggosok dan melampau memujanya adalah PUNAH!
  3. Apabila mereka sendiri zalim melawan dan menderhaka kepada rasul yang diutus kepada mereka, maka binasalah mereka! Mereka sendiri yang mengundang azab dan kebinasaan itu dengan perbuatan dusta dan mungkar mereka sendiri.
  4. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.} (Yunus 10:44)

AYAT 32-{\”DAN, WAHAI KAUMKU! SESUNGGUHNYA AKU BIMBANG KAMU AKAN DITIMPA AZAB SEKSA HARI (KIAMAT) YANG PADANYA MASING-MASING MENJERIT-JERIT MEMANGGIL (MEMOHON PERTOLONGAN),} (GHAAFIR 40:32)

  1. Ini adalah nasihatnya yang kelima:
    v- wahai kaumku, aku juga bimbang jika kamu akan ditimpa azab siksa pada hari Kiamat nanti (إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ يَوْمَ التَّنَادِ).
  2. Iaitu pada hari manusia bertempik menjerit memanggil meminta pertolongan, tetapi tiada guna lagi, tiada siapa dapat menghalang azab atau menolong.
  3. Nasihat ini ialah peringatan tentang alam akhirat pula, jika nasihat sebelum ini adalah tentang keadaan atau azab di dunia.

AYAT 33-{\”(IAITU) HARI KAMU BERPALING UNDUR MELARIKAN DIRI; PADAHAL SEMASA ITU TIDAK ADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MENYELAMATKAN KAMU DARI AZAB ALLAH. DAN (INGATLAH) SESIAPA YANG DISESATKAN ALLAH (DISEBABKAN PILIHANNYA YANG SALAH), MAKA TIADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADANYA.} (GHAAFIR 40:33)

  1. Apakah hari (يَوْمَ التَّنَادِ) itu? Iaitu hari kamu berpaling undur cuba melarikan diri; tetapi tiada siapa yang dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah yang akan menimpa.
  2. Firman Allah s.w.t juga: {Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat, dan lain-lainnya). Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan).} (At-Taariq 86: 9-10)
  3. Manakala sesiapa yang degil keras kepala, menolak kebenaran dan dia telah memilih jalan yang salah, maka maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya, tiada siapa boleh buka pintu hatinnya kecuali Allah!
  4. Selalulah ingat untuk benar-benar menghayati dan terasa bahawa kita berdoa dengan ikhlas apabila membaca ayat ini dalam setiap solat kita: { اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ – Tunjukilah kami jalan yang lurus.} (Al-Faatihah 1:6)
  5. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {Padahal sesiapa yang telah disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.} (An-Nisaa\’ 4:88)

ii- Firman Allah s.w.t: {Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.} (Al-A\’raaf 7:186)

  1. Hidayah itu ada dua kategori:
    i- hidayah irsyad- ini tugas para rasul dan pendakwah untuk menyampaikan dakwah kepada manusia, tunjuk kepada jalan Allah, kepada jalan kebenaran.

ii- hidayah taufiq- milik Allah semata-mata di bawah kuasanya, hanya Allah yang boleh buka pintu hati seseorang untuk menerima atau tidak, beriman atau kufur!

  1. Maka kita hendaklah sentiasa memohon kepada Allah s.w.t agar diberi hidayah petunjuk dari-Nya, yang tidak dapat diberi oleh sesiapa pun! Kena ingat semasa kita baca al-fatihah itu, jadikan ia sebagai satu doa kita yang amat tulus dan ikhlas! Bukan sebagai bacaan yang tidak dihayati!

Minta sungguh-sungguh: {اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ}- Ya Allah tunjukkan kami yang lurus, jalan yang Engkau redhai, jalan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w!

AYAT 34-{\”DAN DEMI SESUNGGUHNYA! NABI YUSUF TELAH DATANG KEPADA KAMU DAHULU DENGAN MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN (YANG MEMBUKTIKAN KERASULANNYA), MAKA KAMU TETAP JUGA DALAM KERAGUAN MENGENAI APA YANG DISAMPAIKANNYA KEPADA KAMU SEHINGGA APABILA IA MATI, KAMU BERKATA: ALLAH TIDAK AKAN MENGUTUSKAN LAGI RASUL SESUDAHNYA; DEMIKIANLAH ALLAH MENYESATKAN SESIAPA YANG MELAMPAU KEDERHAKAANNYA, LAGI YANG RAGU-RAGU KEPERCAYAANNYA (TERHADAP BALASAN TUHANNYA),} (GHAAFIR 40:34)

  1. Nasihat lelaki beriman itu lelaki: Ingatlah tentang peristiwa dulu, tentang Nabi Yusuf yang telah membawa datang kepada kaumnya dengan bukti kenabian dan kerasulannya yang jelas dan nyata, tetapi kamu tetap juga meragui tentang apa yang dibawanya!
  2. Kemudian apabila nabi Yusuf telah meninggal dunia mereka mengatakan tidak akan ada lagi rasul yang akan diutus oleh Allah. Yakni mereka kata tiada lagi rasul selepas Yusuf.
  3. Demikianlah sesiapa yang melampau kederhakaannya serta ragu-ragu tidak percaya akan balasan azab yang disediakan oleh Allah, mereka tidak akan menerima hidayah dari Allah dan akan berada di dalam kesesatan selamanya!
  4. Al-Quran adalah satu mukjizat Rasulullah s.a.w yang kekal dan paling agung di atas dunia ini.

AYAT 35-{\”(IAITU) ORANG-ORANG YANG MEMBANTAH MENGENAI MAKSUD AYAT-AYAT ALLAH DENGAN TIDAK ADA SEBARANG BUKTI YANG SAMPAI KEPADA MEREKA (DARI PIHAK YANG DIAKUI BENARNYA). (BANTAHAN YANG DEMIKIAN) BESAR KEBENCIANNYA DAN KEMURKAANNYA DI SISI HUKUM ALLAH DAN DI SISI BAWAAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN. DEMIKIANLAH ALLAH METERAIKAN ATAS HATI TIAP-TIAP ORANG YANG SOMBONG TAKBUR, LAGI BERMAHARAJALELA PENCEROBOHANNYA!\”} (GHAAFIR 40:35)

  1. Kemudian diingatkan pula tentang orang yang melawan dan membantah menolak ayat-ayat Allah dengan tidak ada sebarang bukti bahawa mereka dari pihak yang benar.
  2. Mereka ini yang membantah dan menafikan ayat Allah; akan mendapat kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan bagi orang-orang yang beriman.
  3. Kemudian Allah akan cop di atas hati orang angkuh sombong (قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ) lagi bermaharajela melakukan kezaliman dan melampaui batas akan hukum lah s.w.t!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 30-{Dan berkatalah pula orang yang beriman itu: \”Wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa (kebinasaan) sebagaimana yang telah menimpa kaum-kaum yang bergabung (menentang Rasul-rasulnya)!}- ayat ini menunjukkan sikap pendakwah. Dia mengulang seruan dan dakwah kepada kaumnya, berapa kali dia menyatakan kebimbangan dan menyeru mereka tanpa penat dan putus harap. Sabar dan ulang lagi mudah-mudahan akhirnya mereka akan mendengar dan masuk ke dalam hati mereka.

Inilah teknik dakwah yang baik:
i- ketika berdakwah sabar, tawadhuk, berhemah dan gunakan ayat & perkataan yang baik dan lembut.

ii- juga sabar apabila dikecam dikutuk oleh orang yang menentang dan menghentam! Tidak perlu membalas dan bertindak balas seperti mereka juga.

  1. Ayat 31-{\”(Iaitu) seperti keadaan kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), dan Thamud (kaum Nabi Soleh), serta orang-orang yang datang kemudian daripada mereka (seperti kaum Nabi Lut).- ayat ini mengajar untuk memberi peringatan untuk mengambil pengajaran dan iktibar dengan apa yang berlaku kepada umat terdahulu, jangan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh orang yang terdahulu!

Sebagaiman kata ulama\’: Orang yang cerdik ialah orang yang mengambil iktibar dan pengajaran dari apa yang berlaku ke atas orang lain. Manakala orang yang malang ialah yang dijadikan iktibar oleh orang lain!

  1. Ayat 34-{\”Dan demi sesungguhnya! Nabi Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa keterangan-keterangan (yang membuktikan kerasulannya),- orang beriman itu menyebut tentang Nabi yusuf, ini menunjukkan kaumnya kenal dan tahu sejarah Nabi Yusuf a.s.
    Ayat ini mengajar kepada kita untuk sentiasa menyebut dan mengajar tentang sejarah umat terdahulu, Orang yang faham kena faham dan tahu maklumat bukan sekadar baca saja sejarah yang berlaku.

Bukan saja sejarah luar yang jauh, tetapi sejarah negara sendiri dan kaum masing-masing, kita kena ada ilmu, maklumat dan pengatahuan tentang sejarah negara dan rakyatnya yang terdahulu agar kita boleh faham dan mengambil pelajaran dan pengajaran dalam hidup kita pula. Jangan sampai kita pula menjadi bahan sejarah dan contoh buruk.

  1. Ayat 35-{(Bantahan yang demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan di sisi bawaan orang-orang yang beriman.}- sebagai orang beriman semua benda yang dibenci Allah dan Rasul-Nya wajib kita benci juga, apa yang Allah dan Rasul suka wajib kita sukanya juga. Jangan anggap biasa dan tidak mengapa buat atau lawan sesuatu yang Allah dan Rasul-Nya benci. Kita sebagai orang beriman mesti ada perasaan benci terhadapa perkara munkar dan maksiat.

Hadis inkar munkar- Rasulullah s.a.w sebut tiga darjatnya: \”Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kekuasaannya); jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (menasihatinya); dan jika ia tidak mampu juga, maka dengan hatinya (merasa tidak senang dan tidak setuju), dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.\” (HR Muslim)

Jangan sampai benda munkar sudah dinormalisasikan, menjadi sesuatu yang biasa dalam hidup & Masyarakat, tidak dikecam atau dibenci!

  1. Ayat 35- {Demikianlah Allah meteraikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!\”}- dari ayat ini menjadi kewajipan kepada kita agar TIDAK menjadi manusia yang angkuh dan sombong, menolak tidak mahu menerima apa yang ada dalam al-Quran & Sunnah Rasulullah s.a.w.

Tidak harus seseorang menolak apa yang ada dalam al-Quran dengan guna hujjah akal. Ramai manusia sekarang mendahulukan akal dari naqli iaitu apa yang dibaw aoleh Allah dan Rasul, dan apa yang dihuraikan oleh ulama\’ Salafus-Soleh. Para ulama\’ salaf dulu mereka tidak akan mendahulukan akal untuk menolak dalil naqli.

Jika tidak kita akan menjadi orang yang dicop oleh Allah s.w.t atas hatinya sebagai seorang yang sombong dan angkuh- wal \’iyazubillah!

Powered by BetterDocs