SURAH GHAFIR : AYAT 1-3

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MU\’JIZAT PENURUNAN AL-QURAN & BEBERAPA SIFAT DAN NAMA ALLAH S.W.T.

Full video : https://youtu.be/vpwrbRW6ijc

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini, Pagi Ahad 17 Sya\’ban 1443H bersamaan 20hb Mac 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Ghafir – سورة غافر. Ia juga dikenali dengan nama Sural-Al-Mukmin (سورة المؤمن) di dalam al-Quran. Ia adalah sebuah surah yang mempunyai dua nama.
  2. Surah Ghafir, adalah surah ke-40 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah az-Zumar dalam juz ke 24. Ia mengandungi 85 ayat.
  3. Para ulama\’ tafsir sepakat (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini diturunkan di Makkah iaitu sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah maka ia adalah surah Makkiyyah.
  4. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah al-Mukmin (سورة المؤمن)- orang yang beriman, kerana diceritakan tentang seorang lelaki dari keluarga Firaun yang beriman dan menyembunyikan keimanannya pada zaman Firaun dari ayat 28 sehingga 45.

ii- Dinamakan Surah Ghafir (سورة غافر)- pula, kerana Allah s.w.t menyebut perkataan Ghafir di awal ayat ke3, yang bermaksud ; {Allah yang mengampunkan dosa}, kerana pada awal surah ini Allah telah menegaskan bahawa turunnya al-Quran ini dari Allah yang Maha Berkuasa lagi amat Mengetahui, Yang mengampunkan dosa dan menerima taubat. Dalam masa itu Allah juga keras siksaannya kepada mereka yang degil dalam kekufuran dan keingkaran mereka!

  1. Maka jelaslah surah ini mempunyai dua nama, kita biar tahu jangan keliru, ada kitab yang guna nama surah Mukmin, ada yang tulis nama Ghafir.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Membentangkan tentang soal benar & salah, soal iman dan kufur, soal dakwah menyiarkan agama Islam dan golongan yang menentangnya! Serta akhirnya soal perbuatan sombong dan angkuh dan bermaharaja-lela di atas muka bumi sebagaimana yang dilakukan oleh Firaun dan orang yang sepertinya. Serta azab Tuhan yang ditimpa sebagai pengakhiran mereka.
  2. Dalam memperkatakan soal tersebut, dibentangkan juga tentang pendirian orang beriman yang tetap patuh dan teguh mengerjakan amal bakti untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.
  3. Juga perihal malaikat yang mencintai orang yang beriman; serta mendoakan mereka, ibu bapa, anak dan isteri serta keturunan mereka semoga mereka diampuni dan diberi rahmat oleh Allah dengan limpahan rahmat-Nya.
  4. Setelah diterang tentang kebenaran hari Kiamat, maka Allah s.w.t perintahkan manusia agar sentiasa berdoa & beribadat kepada-Nya untuk kebaikan mereka sendiri dunia dan akhirat.
  5. Ibadat itu adalah satu cara yang dilakukan oleh seseorang untuk membuktikan kepercayaannya kepada kebesaran, kekuasaan dan kemuliaan Allah s.w.t. Serta melahirkan kesedarannya kepada kemiskinan, kehinaan dan kelemahan diri sendiri.
  6. Maka sesiapa yang sombong dan takabbur dari mengerjakan ibadat bermakna dia telah sombong daripada mengakui kebesaran Tuhan serta kelemahan dan kehinaan dirinya!
  7. Surah ini diakhiri dengan menerangkan bahawa orang yang kufur apabila melihat azab Allah akan mengakui beriman kepada Allah semata dan berlepas diri dari segala benda yang menyebabkan mereka syirik, tetapi ia sudah terlambat dan tiada faedah lagi!!!!

KELEBIHAN SURAH :

  1. Ia merupakan surah pertama yang dimulai dengan (حم) Ha Mim daripada tujuh surah dalam al-Quran. Dipangil surah yang tujuh ini (حواميم السبع) iaitu 7 surah yang bermula dengan (حم). Surah Ghafir sehingga Surah al-Ahqaf.

OBJEKTIF/MAQASID SURAH :

  1. Untuk membatalkan hujjah-hujjah golongan yang berbantah-bantah tentang ayat-ayat Allah s.w.t.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t mula pembukaan surah ini dengan memuji diri-Nya. Ini hak Allah s.w.t! Bukan seperti manusia yang tidak berhak untuk memuji dirinya sendiri.
  2. Menenangkan hati Rasulullah s.a.w dengan karenah yang dimainkan puak kafir yang menentang dan mendustakan Baginda s.a.w. Bahawa orang dulu juga sudah diuji & dicuba.
  3. Menerangkan tugas dan bertanggung-jawab para malaikat yang memikul Arasy. Ada yang tugasnnya beristighfar meminta ampun kepada orang yang beriman dan kaum keluarganya.
    Kuliah khas AAM tentang: Golongan yang Mendapat Doa Malaikat.
    https://youtu.be/SwqHYSv3-LA
  4. Mengajak manusia supaya ikhlaskan ibadat dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Memperingatkan tentang huru-hara hari Kiamat dan menyatakan pada hari itu tiada yang berkuasa kecuali Allah s.w.t!
  5. Menyebut secebis (sedikit) kisah ringkas tentang Firman, Haman dan Qarun. Juga tentang peranan seorang lelaki yang beriman dari kalangan keluarga Firaun yang memberi pertolongan besar kepada Nabi Musa a.s.
  6. Satu hikayat dari sudut perbincangan yang berlaku antara orang yang lemah dengan ketua-ketua yang besar dan berkuasa dalam neraka. Penjaga neraka kemudiannya memarahi mereka.
  7. Peringatan kepada dalil-dalil yang menunjukkan akan Keesaan Allah s.w.t dan Ketuhanan-Nya secara umum serta membatalkan segala jenis ibadat selaim kepada Allah s.w.t.
  8. Allah s.w.t sebut beberapa kategori nikmat agar manusia bersyukur kepada-Nya.
  9. Allah cerita tentang orang yang berdebat tentang ayat Allah tanpa ilmu. Allah s.w.t cela mereka dan menyatakan tempat akhir mereka yang buruk. Serta memerintahkan Rasulullah s.a.w agar sabar dan mengambil iktibar dari kisah rasul-rasul yang terdahulu.
  10. Allah s.w.t memberi amaran keras kepada kaum kafir Makkah bahawa mereka akan menerima pengakhiran sebagaimana kaum terdahulu yang ingkar itu, jika mereka kekal dalam kekufurun. Mereka tidak mati di Makkah tetapi mati Badar bersama Abu Jahal dan lain-lain penentang Rasulullah s.a.w.

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {HAA, MIIM.} (GHAAFIR 40:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah- المقطعة), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ح, م (Haa-Mim). Allah jadikan permulaan bagi beberapa surah dalam al-Quran (tujuh surah) yang dimulakan dengan Ha Mim, surah ini yang pertama.
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (mukjizat) al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk. Lemahnya makhluk untuk mengatasi, mencabar dan meniru al-Quran.
  3. Ia juga menggambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
  4. Maksudnya wallahu a\’lam. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.

AYAT 2- {TURUNNYA AL-QURAN INI DARI ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGETAHUI;} (GHAAFIR 40:2)

  1. Al-Quran ini turun dari Allah Yang Maha Kuasa (الْعَزِيزِ) yang amat gagah perkasa dan berkuasa ke atas setiap sesuatu, lagi Maha Mengetahui (الْعَلِيمِ) yang meliputi ilmu-Nya segala perkara, yang tiada sebarang kekurangan dan kecacatan.
  2. Al-Quran ini juga berfakta, benar, tidak bercanggah dan penuh hikmah, ini juga dalil sifat (الْعَلِيمِ) Allah s.w.t.
  3. Maka kita orang yang beriman wajib yakin dengan dua sifat Allah ini.

AYAT 3- {YANG MENGAMPUNKAN DOSA, DAN YANG MENERIMA TAUBAT; YANG BERAT AZABNYA; YANG MELIMPAH-LIMPAH KURNIANYA; TIADA TUHAN MELAINKAN DIA; KEPADANYALAH TEMPAT KEMBALI.} (GHAAFIR 40:3)

  1. Allah s.w.t juga bersifat dengan Yang Mengampunkan dosa (غَافِرِ الذَّنْبِ), memaafkan menghapuskan dosa-dosa hambanya serta Yang Menerima taubat (وَقَابِلِ التَّوْبِ),
  2. Ini adalah dua sifat yang amat memberi rahmat, harapan dan ruang yang luas kepada manusia, hamba-Nya yang telah tersalah, terseleweng daripada kebenaran untuk kembali ke pangkal jalan.
  3. Firman Allah s.w.t: Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.} (Asy-Syuura 42:25).
  4. Hadis Rasulullah s.a.w:
    Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud; \”Bahawasanya Allah S.W.T menerima taubat seseorang hamba-Nya selama rohnya masih belum sampai ke halkum\”. [HR at-Tirmizi].
    Ini adalah Kiamat individu, iaitu kematian masing-masing akan menutup pintu taubat bagi setiap manusia.
  5. Hadis; Nabi S.A.W bersabda maksudnya: \”Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah pada siang hari dan membentangkan tangan-Nya pada siang hari menerima taubat orang yang bersalah pada malam hari, hingga matahari terbit dari barat.\” [HR Muslim].
    Ini adalah Kiamat sebenar yang besar dan umum bagi seluruh manusia yang masih hidup pada waktu itu.
  6. Pintu taubat kepada Allah terbuka luas bagi umat manusia sehingga pada saat nyawa berada pada halqum atau pada saat matahari terbit dari barat. Saat untuk bertaubat tidak boleh dilengah-lengahkan kerana kematian semakin mendekati manusia setiap detik.
  7. Manakala satu lagi sifat Allah ini untuk memberi amaran dan menakutkan manusia daripada melanggar perintah Allah s.w.t; Yang Berat azab-Nya (شَدِيدِ الْعِقَابِ). Dahsyat, ganas dan berat
    sekali azab siksaan Allah kepada mereka yang berhak menerimanya.
  8. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).} (Al-Maaidah 5:2)

ii- {Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).} (Al-Hijr 15: 49-50)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t sebut dua-dua jenis sifat-Nya, yang memberi harapan dan memberi amaran peringatan.
  2. Hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, \”Sekiranya orang mukmin mengetahui siksaan yang disediakan Allah, nescaya tidak ada seorangpun yang merasa mampu masuk syurga-Nya. Andaikan orang kafir mengetahui rahmat yang dikurniakan Allah, pasti tidak akan ada seorang pun yang berputus asa dari syurga-Nya.\” [HR Muslim].
  3. Allah s.w.t juga Yang Melimpah-limpah kurnia-Nya (ذِي الطَّوْلِ). Allah s.w.t Yang Amat Kaya, Yang Amat luas kurniaan, rahmat dan nikmat serta limpah kurnia-Nya.
  4. Firman Allah s.w.t: {Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.} (Ibrahim 14:34).
  5. Serta tiada Tuhan melainkan Dia; kepadaNyalah tempat kembali (الْمَصِيرُ), Kepada Allah tempat kembali segala makhluk untuk menerima pembalasan masing-masing, yang baik dibalas baiklah manakala yang buruk amat berat siksaannya!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 1- {Haa, Miim.} sehingga Ayat 3}- mengandungi beberapa point, Allah s.w.t menyebut dalam ayat-ayat ini bahawa Dia menurunkan al-Quran kemudian Dia sebut enam atau lapan sifat-Nya. Sifat & nama ini yang mengandungi kandungan al-Quran di dalamnya.

Kita hitung satu-satu:
i- pertama Allah sebut nama Allah s.w.t & sifat-Nya. Dalam ayat ini ada enam atau lapan sifatnya. Seperti (الْعَزِيزِ) (الْعَلِيمِ).
ii- Dalam al-Quran ada cerita tentang perkara ghaib, yang lepas serta yang akan datang.
Dalam ayat ini ada disebut tentang Kiamat dan pembalasan.
iii- Ada cerita Allah sebut tentang nikmat Allah. (ذِي الطَّوْلِ).
iv- dalam al-Quran ada cerita tentang azab-Nya. (شَدِيدِ الْعِقَابِ)
v- Cerita tentang hukum Allah s.w.t. (إِلَيْهِ الْمَصِيرُ),
vi- mengajak manusia untuk bertaubat. (وَقَابِلِ التَّوْبِ),
vii- keEsaan Allah s.w.t, (لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ)
viii- hukum pembalasalan. (غَافِرِ الذَّنْبِ),
Seolah ayat ini mengandungi semua point yang ada dalam al-Quran, merangkumi semua yang disebut di atas itu.

  1. Ayat 2- {Turunnya Al-Quran ini dari Allah}- ayat ini meyatakan Maha Tinggi Allah s.w.t daripada segala makhluk dan al-Quran itu bukan makhluk! Kerana ia turun dari Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t yang berkata-kata, maka ia adalah dari Kalamullah, sifatnya ialah (تَنْزِيلُ الْكِتَابِ مِنَ اللَّهِ).

Kitab yang diturunkan yang tertulis;
i- Pertamanya tertulis di Lauh Mahfuz,
ii- kemudian yang diturunkan oleh malaikat kepada Rasulullah s.a.w
iii- kemudian al-Quran yang ada di tangan kita sekarang, semuanya adalah Kalamullah! Walaupun kertas adalah makhluk, tetapi al-Quran itu sendiri bukan kerana ia adalah Kalamullah!

  1. Ayat 2- {dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;}- dua nama ini mengandungi dua sifat, iaitu sifat qudrat & ilmu. Iaitu Allah s.w.t mencipta semua makhluk ini yang lemah dan mememerlukan-Nya.

Kata Imam Ahmad bin Hanbal ayat ini juga mengisbatkan taqdir Allah s.w.t kerana Allah s.w.t yang menetapkan berlakunya perkara ini sehingga ke hari Kiamat. Ayat-ayat al-Quran ini mengjar kepada kita isu Aqidah, Ketuhanan & Kenabian.

  1. Ayat 3- {Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat;}- ayat ini ada dua dimensi; galakan & peringatan (ترغيب و ترهيب), pengharapan dan takut (الرجاء والخوف), ada janji baik iaitu syurga dan janji buruk (الوعد والوعيد) iaitu azab siksa bagi yang derhaka.

Ayat ini juga menggalakkan kita agar sentiasa beristighfar, bertaubat dan meminta ampun kepada Allah.
Kerana kita telah kenal siapa Allah, maka rugilah jika tidak mengambil peluang yang diberi oleh Allah s.w.t ini!

  1. Ayat 3- {Yang Berat azabNya;} – ayat ini memeberi amaran keras agar jangan berani, jangan cuba-cuba untuk melanggar perintah Allah s.w.t! Allah itu baik tetapi jangan sekali-kali untuk ambil peluang untuk derhaka kepada Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah al-Hijri 49-50.

Dua perkara ini mesti seiring dan ada bersama; galakan dan peringatan (ترغيب و ترهيب), harapan dan takut (الرجاء والخوف). Dalam ayat ini ada dua-dua balasan untuk orang yang baik (ذِي الطَّوْلِ) dan balasan untuk orang yang derhaka (شَدِيدِ الْعِقَابِ).

Hadis Rasulullah s.a.w:
عن أبي هريرة، رضي اللَّهُ عنه، قَالَ: قَالَ رسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم: \”لَمَّا خَلَقَ اللَّهُ الخَلْقَ، كَتَبَ في كِتَابٍ، فَهُوَ عِنْدَهُ فَوْقَ العَرْشِ: إِنَّ رَحْمتي تَغْلِبُ غَضَبِي\”
Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi S.A.W bersabda, \”Tatkala Allah menciptakan makhluk-Nya, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas \’Arasy, \”Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku.\” [HR Bukhari & Muslim].

Alhamdulillah, atas rahmat Allah ini, Allah telah maklumkan bahawa Dia Maha Pengampun juga Yang Amat Keras siksaan-Nya. Maka kita ambil yang tengah-tengah antara Khauf (takut) dan Raja\’ (berharap), jangan kecewa dan jangan berani!

Powered by BetterDocs