SURAH SAAD : AYAT 55-64

\"\"

BALASAN AZAB BAGI ORANG KAFIR, MEREKA BERKELAHI DALAM NERAKA & MINTA DIGANDAKAN AZAB ATAS KETUA PENYESAT.

Full video : https://youtu.be/kBPXOhF8Khw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah menceritakan tentang nikmat bagi orang yang bertaqwa, di mana tempat duduk mereka, menjadi ahli syurga yang mendapat nikmatnya yang tidak terhitung. Mereka mendapat sebaik-baik tempat kembali (لَحُسْنَ مَآبٍ).
  2. Maka pada kali ini adalah kisah lawannya, yang sebaliknya iaitu mereka yang mendapat seburuk-buruk tempat kembali (لَشَرَّ مَآبٍ).
  3. Maka kali ini kita akan bincangkan tentang episod yang buruk pula. Na\’uzubillah, kita berlindung dengan Allah dari keburukan perbuatan yang akan membawa kepada akibat yang buruk!

AYAT 55- {NIKMAT-NIKMAT INI (ADALAH UNTUK ORANG-ORANG YANG BERTAQWA). DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA BAGI ORANG-ORANG YANG ZALIM (DENGAN KEKUFURAN ATAU KEDERHAKAANNYA) SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI,} (SAAD 38:55)

  1. Sebelum ini Allah s.w.t menceritakan tentang orang yang bertaqwa yang mendapat nikmat anugerah yang tidak terbayang.
  2. Manakala bagi orang yang zalim, yang taghut dengan kufur dan derhaka kepada Allah s.w.t, bagi mereka seburuk-buruk tempat kembali (لَشَرَّ مَآبٍ).
  3. Makna taghut (لِلطَّاغِينَ) boleh membawa beberapa maksud:
    i- dengan makna orang zalim, kafir, derhaka kepada Allah s.w.t.

ii- orang yang membenarkan orang sembah dia.

iii- syaitan itu sendiri.

AYAT 56- {IAITU NERAKA JAHANNAM YANG MEREKA AKAN MENDERITA BAKARANNYA; MAKA SEBURUK-BURUK TEMPAT MENETAP IALAH NERAKA JAHANNAM;} (SAAD 38:56)

  1. Iaitu neraka Jahannam yang mereka akan menderita merasai azab bakaran di dalamnya.
  2. Itulah seburuk-buruk tempat menetap dan sedahsyat-dahsyat tempat kembali! (فَبِئْسَ الْمِهَادُ).
  3. Apabila mendengar tentang neraka dan azabnya kita hendaklah terus berdoa:
    {اللهم أجرنا من النار } – : \”Ya Allah, jauhkanlah kami dari api neraka.\”

AYAT 57- {INI SEJENIS AZAB SEKSA, MAKA HENDAKLAH MEREKA MERASAINYA, AIR PANAS YANG MENGGELEGAK DAN AIR DANUR YANG MENGALIR (UNTUK MINUMAN MEREKA);} (SAAD 38:57)

  1. Azab di dalamnya antaranya ialah air panas yang menggelegak (حَمِيمٌ) serta air danur (غَسَّاقٌ) iaitu darah, nanah, lendir dan air bisa yang keluar dari ahli neraka itu juga akibat dari siksaan yang dahsyat itu!
  2. Semua itu akan menjadi minuman para ahli neraka sebagai azab mereka juga.
  3. Jika kita takut mendengar tentang semua azab ini, maka takutlah juga untuk melakukan keburukan yang boleh membawa kepadanya!

AYAT 58- {DAN AZAB SEKSA YANG LAIN, YANG SERUPA BURUKNYA DAN DAHSYATNYA ADALAH BERBAGAI JENIS LAGI.} (SAAD 38:58)

  1. Serta pelbagai lagi jenis azab yang tidak terperi dan tidak tergambar buruk dan dahsyatnya ada berbagai jenis lagi.
  2. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum, (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka). (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.} (Ad-Dukhaan 44: 43-46)

ii-{Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum, Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu, Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,}. (Al-Waaqi\’ah 56: 52-54)

  1. Hadis riwayat daripada Abu Hurairah r.a:

أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إِذَا حُضِرَ الْمُؤْمِنُ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ بِحَرِيرَةٍ بَيْضَاءَ ، فَيَقُولُونَ : اخْرُجِي رَاضِيَةً مَرْضِيًّا عَنْكِ إِلَى رَوْحِ اللهِ ، وَرَيْحَانٍ ، وَرَبٍّ غَيْرِ غَضْبَانَ فَتَخْرُجُ كَأَطْيَبِ رِيحِ مِسْكٍ حَتَّى إِنَّهُ لَيُنَاوِلُهُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا حَتَّى يَأْتُوا بِهِ بَابَ يَعْنِي السَّمَاءِ فَيَقُولُونَ : مَا أَطْيَبَ هَذِهِ الرِّيحَ الَّتِي جَاءَتْكُمْ مِنَ الأَرْضِ فَيَأْتُونَ بِهِ أَرْوَاحَ الْمُؤْمِنِينَ فَلَهُمْ أَشَدُّ فَرَحًا بِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ بِغَائِبِهِ يَقْدَمُ عَلَيْهِ فَيَسْأَلُونَهُ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ ؟ فَيَقُولُونَ : دَعُوهُ فَإِنَّهُ كَانَ فِي غَمِّ الدُّنْيَا فَإِذَا قَالَ أَمَا أَتَاكُمْ ؟ قَالُوا : ذُهِبَ بِهِ إِلَى أُمِّهِ الْهَاوِيَةِ وَإِنَّ الْكَافِرَ إِذَا حُضِرَ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ بِمِسْحٍ فَيَقُولُونَ : اخْرُجِي سَاخِطَةً مَسْخُوطًا عَلَيْكِ إِلَى عَذَابِ اللهِ فَتَخْرُجُ كَأَنْتَنِ رِيحِ جِيفَةٍ حَتَّى يَأْتُونَ بِهِ بَابَ الأَرْضِ فَيَقُولُونَ : مَا أَنْتَنَ هَذِهِ الرِّيحَ حَتَّى يَأْتُوا بِهِ أَرْوَاحَ الْكُفَّارِ.

Maksudnya: \”Bahawasanya Nabi S.A.W bersabda: Apabila seorang Mukmin nazak, datang kepadanya malaikat Rahmat dengan membawa sutera putih. Para Malaikat berkata: Keluarlah wahai roh dalam keadaan redha lagi diredhai kepada Allah, penuh rahmat serta tidak dimurkai Tuhan. Maka Roh tersebut keluar seperti bau misk(wangian) yang terbaik sehingga bau tersebut sampai ke pintu langit.

Para malaikat (di langit) berkata: \”Wanginya bau yang kamu bawa dari dunia! Mereka membawa Roh tersebut menemui roh-roh orang yang beriman. (Pada ketika itu) mereka(roh orang mukmin) terlalu gembira dengan kedatangan roh tadi.

Mereka bertanya kepadanya apa yang dilakukan oleh fulan ini,apa yang dilakukan oleh fulan ini? Para Malaikat berkata: Tinggalkan dia. Sesungguhnya dia pernah berada di dalam kesedihan dunia.
Lalu roh itu berkata: Apa yang menyebabkan kamu ke sini? Mereka menjawab: Dia telah dibawa dari ibunya.

Ketika mana orang kafir nazak, datang kepadanya malaikat azab dengan membawa guni. Lalu para Malaikat berkata: Keluarlah wahai Roh dalam keadaan murka lagi dimurkai serta (rasalah) azab Allah.
Maka Roh itu keluar seperti bau nanah (yang keluar dari bangkai mereput) sehingga bau tersebut sampai ke pintu dunia maka para malaikat berkata: Busuknya bau nanah ini sehingga mereka membawa roh-roh orang kafir.\” [HR Ibnu Majah, Ahmad & an-Nasaie]

AYAT 59- {(PENJAGA NERAKA BERKATA KEPADA KETUA-KETUA GOLONGAN KAFIR DAN PENDERHAKA ITU): \”INI IALAH SEROMBONGAN (ORANG-ORANG KAMU) YANG MASUK BERASAK-ASAK BERSAMA-SAMA KAMU\”. (KETUA-KETUA ITU BERKATA): \”MEREKA TIDAK PERLU DIALU-ALUKAN, KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA PUN AKAN MENDERITA BAKARAN NERAKA\”.} (SAAD 38:59)

  1. Apabila dicampakkan ke dalam neraka, datang penjaga neraka berkata kepada ketua golongan kafir dan penderhaka itu: Inilah rombongan atau kumpulan kamu yang disumbat masuk ke dalam neraka bersama kamu!
  2. Ketua-ketua itu menjawab: Tiada aluan untuk mereka! Kenapa mereka datang ke sini juga, neraka ini sudah sempit dan penuh dengan dahsyatnya!
    Mereka juga sesungguhnya akan menderita azab dan dibakar juga di sini!

AYAT 60- {PENGIKUT-PENGIKUT MEREKA MENJAWAB: \”BAHKAN KAMULAH YANG TIDAK PERLU DIALU-ALUKAN, KERANA KAMULAH YANG MEMBAWA AZAB SENGSARA INI KEPADA KAMI, MAKA AMATLAH BURUKNYA NERAKA INI SEBAGAI TEMPAT PENETAPAN\”.} (SAAD 38:60)

  1. Para pengikut yang mendengar kata-kata itu membalas pula: Bahkan kamulah (ketua) yang tidak perlu dialukan! Kerana kamulah kami menjadi sesat dan berbuat keburukan! Kerana kamulah kami mendapat azab siksaan ini, kerana kamu yang menyesatkan kami!
  2. Tiada guna lagi pertengkaran dan perbalahan itu, sesungguhnya neraka itu adalah seburuk-buruk tempak kembali bagi mereka semua!

AYAT 61- {MEREKA BERKATA LAGI: \”WAHAI TUHAN KAMI! SESIAPA YANG MEMBAWA AZAB INI KEPADA KAMI, MAKA TAMBAHILAH DIA AZAB SEKSA BERLIPAT GANDA DI DALAM NERAKA\”.} (SAAD 38:61)

  1. Mereka berkata lagi: Menyuruh Allah s.w.t menambah azab kepada para ketua itu berlipat kali ganda daripada azab mereka! Ini kerana mereka menyalahkan para ketua itu sebagai penyebab kepada nasib buruk mereka yang mendapat azab neraka sekarang ini!

AYAT 62- {DAN PENDUDUK NERAKA ITU TETAP AKAN BERTANYA SESAMA SENDIRI: \”MENGAPA KITA TIDAK MELIHAT ORANG-ORANG YANG DAHULU KITA KIRAKAN MEREKA SEBAGAI ORANG-ORANG JAHAT (LAGI HINA)?} (SAAD 38:62)

  1. Kemudian selepas selesai berbalah sesama mereka, mereka mencari-cari pula orang yang disifatkan oleh mereka sebagai orang yang jahat lagi hina, sesat dan menyeleweng semasa di atas dunia dulu!
  2. Orang yang dianggap oleh mereka yang hina dan jahat (الْأَشْرَارِ) itu adalah orang yang beriman dan mengikut rasul semasa di dunia dulu!
  3. Kita sesama Islam pun beringatlah, bimbang juga nanti kita mencari orang yang kita tuduh/anggap jahat, sesat dan tidak benar di dunia ini! Orang yang kita labelkan sesat atau buat ejekan & tuduhan!

AYAT 63- {\”ADAKAH KITA SAHAJA JADIKAN MEREKA EJEK-EJEKAN (SEDANG MEREKA ORANG-ORANG YANG BENAR)? ATAU MATA KITA TIDAK DAPAT MELIHAT MEREKA?} (SAAD 38:63)

  1. Selepas itu baru mereka berasa sedar dan tertanya-tanya; Adakah kita sahaja jadikan mereka ejek-ejekan, sedangkan mereka orang-orang yang benar???
  2. Kemudian mereka mengggosok mata mereka sambil berfikir lagi, adakah cuma kita yang tak nampak mereka? Sedangkan mereka ada pun.
  3. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: \”Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!\”} (Al-Mutaffifiin 83: 29-32)

AYAT 64- {SESUNGGUHNYA (SEGALA YANG DITERANGKAN) ITU ADALAH BENAR IAITU PERBALAHAN DAN CERCAAN PENDUDUK NERAKA SESAMA SENDIRI.} (SAAD 38:64)

  1. Sesungguhnya segala apa yang diceritakan ini benar- iaitu perbalahan dan cercaan penduduk neraka sesama mereka! Begitu juga pencarian mereka terhadap orang yang mereka cerca dan tuduh dulu!
  2. Maka marilah kita jaga diri kita, teruskan perjuangan atas landasan yang benar berdasarkan ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 55- {Dan Bahawa sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim (dengan kekufuran atau kederhakaannya) seburuk-buruk tempat kembali,}- dalam ayat ini dinyatakan bahawa bagi orang kafir dan zalim adalah seburuk-buruk tempat kembali (لَشَرَّ مَآبٍ), ini sangat bertentangan tentang tempat kembali orang mukmin & bertaqwa dalam ayat 49 sebelum ini, yang akan mendapat sebaik-baik tempat kembali (لَحُسْنَ مَآبٍ).

Inilah perlunya kewajipan bagi para pendakwah untuk memberi dua-dua ajaran dan peringatan kepada masyarakat dan pendengar, kena ada targhib (galakan) dan tarhib (ancaman peringatan), supaya orang ramai bukan hanya suka untuk berbuat kebaikan tetapi dalam masa yang sama meninggalkan keburukan, maksiat dan segala apa yang dilarang oleh agama.
Kena ada dua-dua supaya manusia ada harapan dan takut kepada Allah s.w.t!

  1. Ayat 64- {Sesungguhnya (segala yang diterangkan) itu adalah benar}- yakni perbalahan antara ahli neraka ini benar-benar akan terjadi!
    Ketua dan pengikut saling salah-menyalahkan, tuduh-menuduh sebagai penyebab kepada kesesatan dan azab satu sama lain! tetapi semua perbalahan dan tuduhan ini sudah tidak ada guna lagi!
    Nak insaf dan berbalah semasa masih hidup atas dunia ini!
  2. Ayat 55- {Nikmat-nikmat ini (adalah untuk orang-orang yang bertaqwa). Dan Bahawa sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim (dengan kekufuran atau kederhakaannya) seburuk-buruk tempat kembali,}- menunjukkan orang yang bertaqwa lawannya orang yang taghut. Al-Quran ini amat lengkap dalam penyampaian dan pendidikannya.
    Cerita dan misalnya sentiasa berkembar, sebut yang bertaqwa sebut yang taghut, sebut yang baik ada yang buruk, yang positif ada yang negatif, yang benar kemudian pasti diceritakan yang salah atau tidak benar!
    Ini agar kita manusia tidak tertanya-tanya, jika ini salah, apa yang betul? Jika ini sesat mana jalan yang lurus dan benar?

Kata Sayyidina Umar r.a: Akan terungkai ikatan Islam dalam diri anak-anak, siapa yang membesar dalam Islam, dia tidak kenal jahiliyyah (yakni tak kenal apakah amalan dan iktikad yang salah).

Dalam masyarakat Islam hari ini sudah bercampur gaul antara adat dan agama, budaya & sunnah yang sahih, dengan amalan jahiliyyah yang tidak benar.
Kita sudah bertukar balik yang adat dan budaya tidak benar disangka benar. Iaitu adat dan budaya yang bukan dari Islam, yang dari budaya kaum dan agama lain.

Maka kita kena ajar dan bagi pendidikan buat anak-anak kita generasi baru ini agar mereka tidak tertukar dan salah asuhan & ajaran!

  1. Ayat 62- {Dan penduduk neraka itu tetap akan bertanya sesama sendiri: \”Mengapa kita tidak melihat orang-orang yang dahulu kita kirakan mereka sebagai orang-orang jahat (lagi hina)?}- sesungguhnya orang yang di dalam neraka ingat balik apa yang mereka buat di atas dunia dulu!
    Apa kezaliman dan kejahatan yang mereka buat kepada orang yang beriman dan benar dulu! Hatta sesama Islam yang membuat tuduhan dan kezaliman akan mendapat balasannya!
    Ingatan ini juga untuk menambahkan lagi siksaan dan kehinaan kepada mereka.
  2. Ayat 64- {Sesungguhnya (segala yang diterangkan) itu adalah benar iaitu perbalahan dan cercaan penduduk neraka sesama sendiri.}- semua perbalahan itu benar-benar berlaku dalam neraka! Mereka semua sudah berada dalam neraka, ketua dan pengikutnya dan pasti akan mendapat azab.

Tetapi alasan dan keuzuran mereka menyalahkan orang lain itu tidak diterima lagi. Ini kerana Allah s.w.t sudah berjanji tidak akan mengazab ummat ini kecuali setelah diberi peringatan dan ajaran dakwah disampaikan!
Allah sudah menghantar segala dalil dan hujjah, melalui risalah dan dakwah para rasul dan nabi, tetapi mereka sendiri yang menolak dan mengecamnya!

Mereka tidak ikut ajaran Syari\’ah Allah s.w.t dan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah, hujjah sudah sampai kepada mereka, cuma mereka sendiri yang tidak mahu terima dan ikut kebenaran! Maka sekarang rasalah azab balasan yang telah dijanjikan dulu!

Firman Allah s.w.t:
i- {(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja\”.} (Az-Zukhruf 43:22)

ii- {Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): \”Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.} (Al-Ahzaab 33:66)

Powered by BetterDocs