SURAH AL-AHQAF : AYAT 4-6

\"\"

CELAAN TERHADAP KAUM MUSYRIKIN & GOLONGAN YANG PALING SESAT.

Full video : https://youtu.be/hq18-ZFSzlE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan celaan terhadap kaum musyrikin dengan menegakkan hujjah bahawa apa yang mereka faham tentang Allah dan tentang agama itu satu kebatilan yang perlu ditinggalkan dan kembali kepada Allah s.w.t.
  2. Allah nyatakan juga bahawa puak yang paling sesat adalah golongan musyrikin yang telah berdoa dan menyeru, beribadat kepada selain dari Allah s.w.t.
    *Tetapi ada juga dari kalangan orang Islam yang minta pertolongan kepada jin-jin dan dewa-dewa, ini juga satu kesesatan dan boleh membawa kepada syirik.
  3. Munasabah ayat: Apabila Allah s.w.t menetapkan kepada asas yang menunjukkan kepada kekuasaan Allah s.w.t serta sikap adil dan rahmat-Nya, Dia nyatakan lagi beberapa cabang perbincangan.
  4. Isu yang pertamanya ialah untuk menolak hujjah yang dibawa oleh penyembah berhala. Maka ayat 4-6 ini mendedahkan kebatilan syirik mereka.

AYAT 4- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD KEPADA ORANG-ORANG MUSYRIK YANG MENENTANGMU): \”SUDAHKAH KAMU MENGETAHUI KEKUASAAN DAN KELAYAKAN MAKHLUK – MAKHLUK YANG KAMU SERU DAN SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH? TUNJUKKANLAH KEPADAKU APAKAH YANG MEREKA CIPTAKAN DARI BAHAGIAN BUMI INI? ATAU ADAKAH MEREKA MEMPUNYAI SEBARANG PERKONGSIAN (DENGAN ALLAH) DALAM MENCIPTA DAN MENGURUSKAN LANGIT? BAWALAH KAMU KEPADAKU SEBUAH KITAB (DARI ALLAH) YANG LAIN DARI AL-QURAN INI, ATAU SEBARANG KETERANGAN YANG BERDASARKAN ILMU (PENINGGALAN ORANG-ORANG YANG TELAH LALU) KALAU BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR (TENTANG DAKWAAN KAMU ITU)!\”} (AL-AHQAAF 46:4)

  1. Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah untuk bertanya kepada puak kafir yang menentangnya: Apakah mereka tahu ada kelayakan dan kekuasaan (ada authority) bagi makhluk yang mereka seru & sembah selain dari Allah s.w.t itu???? Adakah mereka ada bahagian dalam pencipataan bumi ini?
  2. Kata Syeikh Syanqiti rhm.: Perkataan apa (مَا) di sini bermakna:
    i- dengan pertanyaan sungguh) ما الإستفهام), tunjukkan \”apakah\” bahagian atau sumbangan mereka dalam penciptaan alam ini?

ii- dengan erti apa (مَا)- soalan juga tetapi \”apa benda\”- apa yang telah mereka buat, tunjukkan kepada-Ku, apakah bahagian kuasa mereka???

  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu-sekutu, yang kamu seru dan sembah selain Allah? Tunjukkanlah kepadaku apa yang mereka telah ciptakan dari bahagian bumi ini?
    Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Atau pernahkah Kami memberi mereka sebuah Kitab (mengakui mereka menjadi kongsi Kami), maka (dengan itu menjadilah) perkongsian mereka berdasarkan keterangan yang terdapat dari Kitab itu? \”(Tidak ada sesuatu alasan pun) bahkan orang-orang yang zalim itu, terpedaya dengan kata-kata yang disebutkan oleh setengahnya kepada yang lain, kata-kata yang hanya menjanjikan perkara yang tidak benar.} (Faatir 35:40)
  2. Kemudian Allah suruh tanyalah lagi apakah yang kamu sembah itu ada juga bahagiannya samada dari segi penciptaan dan pentadbiran dengan apa yang ada di langit pula. Tunjukkan (أَرُونِي) bukti kepada-Ku jika mereka ada kelayakan.
  3. Kemudian bawalah (ائْتُونِي) Kitab lain selain atau sebelum al-Quran yang menyatakan ada Tuhan lain selain dari Allah. Yakni sebagai hujjah kepada dakwaan dan perbuatan kamu itu.
  4. Kata ar-Razi rhm.; Telah diketahui secara umum (mutawatir) bahawa semua Kitab yang terdahulu seperti Zabur, Taurat dan Injil, ajarannya semuanya melarang dan menegah penyembahan berhala juga! kerana ia juga datang dari sisi Allah Azza wa Jalla.
  5. Atau bawa sebarang keterangan dalil peninggalan dari ilmu orang yang terdahulu (أَثَارَةٍ مِنْ عِلْمٍ), datuk nenek kamu yang mereka jumpa dari Kitab lain bahawa dakwaan kamu itu benar.
  6. Kata Ibnu Jarir rhm.: Ulama\’ tafsir menyatkan bahawa maknanya:
    i- bawa ilmu bahawa tuhan yang kamu sembah itu telah mencipta langit dan bumi atau ada sekutu dengan Allah s.w.t dengan cara ilmu ramalan yang kamu biasa guna!

ii- atau cari ilmu lain, ilmu khas yang menyatakan demikian.
Kata Ibnu Kathir semua pandangan ini diterima.

  1. Maka jelaslah mereka itu dusta, karut dan sesat atas dakwaan yang mereka buat!

AYAT 5- {DAN TIDAK ADA YANG LEBIH SESAT DARIPADA ORANG YANG MENYEMBAH SESUATU YANG LAIN DARI ALLAH, YANG TIDAK DAPAT MENYAHUT ATAU MEMBERIKAN SEBARANG PERTOLONGAN KEPADANYA (DARI DUNIA) HINGGALAH KE HARI KIAMAT, SEDANG MAKHLUK-MAKHLUK YANG MEREKA SEMBAH ITU TIDAK DAPAT MENYEDARI ATAU MEMBERI LAYANAN BAIK KEPADA PERMOHONAN MEREKA.} (AL-AHQAAF 46:5)

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah telah menyatakan dalam ayat yang lepas bahawa penyembahan berhala itu sesuatu yang batil kerana ia tidak ada sekelumit kuasa pun, tidak boleh memberi manfaat dan darurat.

ii- Kemudian Allah bawa dalil yang lain pula yang menunjukkan batilnya dakwaan mereka itu, berhala adalah sesuatu yang kaku dan tepu, tidak bergerak, mendengar & melihat.

  1. Tidak ada benda lain yang disembah yang dapat memberi pertolongan kepada mereka selain dari Allah s.w.t. Tidak ada yang lebih sesat selain daripada seorang hamba yang menyeru kepada selain dari Allah kepada sesuatu yang tidak dapat bergerak, melihat dan mendengar!
  2. Timbul persoalan kenapa digunakan perkataan (مِمَّنْ) yang bererti siapa, sedangkan berhala-berhala itu bukan sesuatu yang berakal?
    Kata ulama\’ ini kerana:
    i- ia merangkumi semua sembahan yang disembah, bukan berhala saja, tetapi termasuk juga jin syaitan dan semua yang lain, maka digunakan (siapa) sebagai mewakili yang lain.

ii- ditujukan (siapa) kepada berhala yang kaku itu kerana mereka dakwa berhala itu berkuasa dan mampu membuata sesuatu kepada mereka, maka digunakan muamalah seolah berakal walaupun tidak sebagai satu perlian dan sindiran. Sebagaimana yang dilakukan oleh nabi Ibrahim a.s.

  1. Sedangkan sembahan itu tidak tahu apa yang yang dipinta dan dituntut dari mereka, hanya manusia penyembah itu yang seolah tidak berakal terhegeh-hegeh meminta dari sesuatu yang tidak bergerak apatah lagi berkuasa untuk melayan mereka!

AYAT 6- {DAN APABILA MANUSIA DIHIMPUNKAN (UNTUK DIHITUNG AMALNYA PADA HARI AKHIRAT), MENJADILAH SEGALA YANG DISEMBAH ITU MUSUH KEPADA ORANG-ORANG YANG MENYEMBAHNYA, DAN SEGALA YANG DISEMBAH ITU JUGA TIDAK MENGAKUI SERTA MENDUSTAKAN PENYEMBAHAN MEREKA KEPADANYA.} (AL-AHQAAF 46:6)

  1. Pda hari Kiamat nanti, apabila dihimpunkan bersama, mereka akan berbalah sesama mereka! Saling tuduh menuduh dan berlepas diri.
  2. Munasabah ayat:- setelah Allah nyatakan bahawa apa yang mereka sembah itu tidak dapat memberi apa-apa manfaat kepada mereka di dunia, maka Allah nyatakan juga apabila dihimpunkan manusia di Akhirat kelak untuk di hisab pada hari Kiamat nanti, menjadilah segala yang disembah itu musuh kepada yang menyembahnya. Semua mereka yang disembah juga juga menafikan, mendustakan, tidak mengaku dan berlepas diri dari perbuatan para penyembahnya.
  3. Firman Allah s.w.t: {\”Perbuatan kamu menyembah berbagai berhala, tidak menyembah Allah itu, hanyalah kerana menjaga hubungan kasih mesra di antara kamu masing-masing dalam kehidupan dunia ini; kemudian pada hari kiamat kelak setengah kamu akan membantah setengahnya yang lain, dan setengah kamu pula akan melaknatkan setengahnya yang lain; dan (kesudahannya) tempat kembali kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan\”.} (Al-\’Ankabuut 29:25)
  4. Kata Syeikh al-Qurtubi, pada hari itu: Malaikat yang diangggap sebagai anak Tuhan tidak mengaku dan marah kenapa manusia menyembahnya, jin dan syaitan juga lari berlepas diri dari yang menyembahnya, semua tidak mengaku dan berlepas diri, saling laknat-melaknati satu sama lain. Akhirnya semua mereka itu berada dalam laknat Allah dan kecelakaan kerana tidak beriman kepada Allah.
  5. Maka kita yang beriman ini jagalah keimanan dan pergantungan hati kita hanyalah kepada Allah s.w.t. Nabi dah ajar nak minta pertolongan dan perlindungan hanya dari Allah s.w.t, jangan minta kepada yang lain. Putuskan segala pergantungan kepada yang lain selain dari-Nya, jika tidak kita akan menjadi manusia yang sesat dan kerugian, yang tidak mengikut perintah Allah Azza wa Jalla.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 4- {Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik yang menentangmu): \”Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk-makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah?}- dalam ayat ini kata ulama\’ Allah s.w.t mengajar cara untuk mengambil dalil.

i- pertama Allah guna dalil untuk berfikir dengan akal (دليل العقلي). Cuba kamu fikir apa yang kamu sembah itu, apakah mereka berkuasa buat bumi, buat langit? Apakah mereka ada kuasa dan bahagian dalam penciptaan keduanya? Kamu fikirlah sendiri! Sedangkan kamu sudah tahu semua benda itu tidak berakal dan kaku (jumud).

ii- Kemudian Allah gunakan dalil dari apa yang didengar (دليل السمعي)- yakni bawalah pula bukti dari apa yang kamu dengar dari kitab-kitab yang terdahulu, jika ada.

Lalu terbuktilah dari ayat ini puak kafir itu dalam kekufuran mereka tiada hujjah dan dalil lansung samada dari segi akal atau pendengaran. Yang adanya hanyalah hawa nafsu yang merosak dan memusnahkan.

  1. Ayat 4- {Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini?}- di sini Allah s.w.t isbatkan bahawa Dia adalah sebaik-baik Pencipta. Kerana itu menjadi dosa dan bahayanya mengukir patung-patung.

Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a, dia berkata aku mendengar Nabi S.A.W bersabda:
إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ القِيَامَةِ المُصَوِّرُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di Hari Kiamat ialah orang yang membuat gambar (patung). [HR al-Bukhari (5950)

Maka seolah dikatakan manusia juga membuat atau mencipta, apa bezanya dengan Allah s.w.t yang mencipta???

Jawapan:
i- Yang dikata Allah mencipta itu ialah daripada tiada kepada ada dengan kuasa-Nya, daripada satu benda lain kepada lain. Seperti manusia dari tiada kepada ada.

ii- Manakala maksudnya manusia mencipta/mereka-reka sesuatu dengan keizinan Allah hanyalah sekadar:
a- mereka boleh tukar sifat sesuatu menjadi benda yang lain, seperti dari besi menjadi bekas, kereta atau pesawat. Besi itu logam yang sudah ada dan ia adalah ciptaan Allah, manusia tidak akan dapat membuat besi. Mereka hanya membuat sesuatu daripada besi itu sahaja.

b- dari satu bentuk kepada bentuk yang lain. Dari pasir, tanah atau batu yang sudah sedia ada kepada patung atau bangunan. Manusia tidak pandai dan reka atau cipat pasir tanah itu.

c- manusia hanya setakat mengolah benda yang sedia ada kepada yang lain, seperti dari beras menjadi nasi, dari tepung menjadi kek dan kuih serta lain-lain. Manakala Allah s.w.t yang mencipta dan mengadakan semua bahan-bahan itu daripada ketiadaannya.

  1. Ayat 4- {Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik yang menentangmu): \”Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk – makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah?} – Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah s.a.w supaya berhujjah dengan puak kafir, jangan guna akta. Cara berhujjah dan berdebat dengan puak kafir dengan bawa apa yang dapat melemahkan mereka sehingga mereka mengakui kelemahan mereka dan tidak dapat menjawabnya.

Seperti dalam ayat ini tiga kali Allah s.w.t cabar dengan hujjah \’akli dan sam\’i semuanya:
Tunjukkan kepadaku (أَرُونِي),
bawa kepadaku (ائْتُونِي),
atau bawa sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (أَثَارَةٍ مِنْ عِلْمٍ).

Contoh: Kisah TG Haji Abdul Rahman rhm. yang berhujjah dengan seorang guru non-muslim. Ada dalam siri yang lalu.

  1. Ayat 4- {Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) yang lain dari Al-Quran ini,}- tidak perlu cakap, banyak bawa Kitab jika ada yang dapat menyokong dakwaan mereka itu.
    Kerana itulah jenayah paling dahsyat ialah perbuatan ahli kitab para pendeta yahudi dan Nasrani yang menyembunyi dan mengubah hukum dan ajaran yang ada dalam kitab mereka.
  2. Ayat 5- {Sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak dapat menyedari atau memberi layanan baik kepada permohonan mereka.}- Allah katakan bahawa berhala sembahan itu tentang apa yang dibuat dan dipanggil oleh puak kafir itu teradap mereka, mereka tidak tahu apa (غَافِلُونَ).

Persoalan dalam ayat ini, kenapa Allah s.w.t gunakan uslub perkataan bagi yang berakal (غَافِلُونَ) sebagaimana juga kalimah (من, هم) kepada berhala yang kaku dan tidak berakal itu?

Jawapan:
i- apabila orang kafir menyembah berhala itu, sudah pasti mereka menganggap ia boleh memberi manfaat dan mudart. Maka sesuailah kita pun berinteraksi seolah mereka itu (berhala) itu berakal. Ini untuk mematikan hujjah mereka yang menyeru berhala-berhala itu.

ii- kerana sembahan itu ada juga yang berakal seperti malaikat, Isa, Uzair, jin & syaitan, maka kita utamakan yang berakal daripada yang tidak berakal seperti logam dan batu kayu itu, dengan menggunakan uslub itu.

iii- semua itu sebagai satu perlian (ayat sarkastik) dari Allah s.w.t kepada para penyembah yang sesat itu!

Alhamdulillah selesai kita belajar tafsir dan tadabbur dalam tiga ayat ini.

Powered by BetterDocs