SURAH AS-SOFFAT : AYAT 1-5

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH BERSUMPAH DENGAN MALAIKAT & IKLAN WAHDANIYAH ALLAH S.W.T.

Full video : https://youtu.be/0L8oo9isg8s

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini, pagi Isnin 07 J. Thani 1443H bersamaan 10hb Januari 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah As-Soffat- (الصافات).
  2. Surah As-Soffat, adalah surah ke-37 dalam tertib susunan al-Quran dalam juz ke 23, mengandungi 182 ayat. Iaitu selepas surah Yaasin yang membincangkan tentang dalil wahdaniyyah (Keesaan) Allah s.w.t dan bahawa Kebangkitan semula itu benar!
  3. Dinukilkan para ulama\’ tafsir sepakat mengatakan surah ini diturunkan di Makkah iaitu sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah maka ia adalah surah Makkiyyah.
  4. Surah Makkiyyah biasanya ada 3 asas utama (أصول الثلاثة) perbincangan:
    i- Tauhid kepada Allah s.w.t (التوحيد)
    ii- Kebangkitan semua dan perhimpunan (البعث والحشر).
    iii- Kenabian Rasulullah s.a.w (الرسالة).
  5. Ayat-ayatnya juga pendek dan banyak menceritakan tentang sejarah nabi dan kaum terdahulu.
  6. Surah ini dinamakan surah As-Soffat, (الصافات) yang bererti makhluk-makhluk yang berbari (dalam saf), ini kerana perihal keadaan malaikat yang berbaris bersaf-saf bersiap siaga menunggu untuk menerima arahan dan perintah Allah s.w.t. untuk bertugas.
  7. Kata Ibnu Asyur: Namanya yang masyhur disepakati para ulama\’ Tafsir; nama surah ini ialah surah As-Soffat, sebagaimana yang ditulis dalam kitab-kitab Tafsir dan dalam mashaf al-Quran.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Bagi menegaskan dasar Tauhid, Allah s.w.t bersumpah ada awal surah ini Allah s.w.t bersumpah dengan jenis-jenis makhluk-Nya.
    Ulama\’ kata para malaikat yang mulia dengan sifatnya yang terpuji, amalan yang mulia dan hidup dengan teratur, itulah malaikat yang berbaris.
  2. Setelah menegaskan keesaan dan kekuasaan-Nya mencipta seluruh alam serta menceritakan perihal jin dan syaitan yang diusir dan direjam dengan api yang menyala-nyala.
    Maka Allah menyuruh Rasulullah s.a.w bertanya kepada golongan kafir yang mengingkari kehidupan semula dan tidak percaya tentang Kiamat; adakah diri mereka itu sukar untuk dicipta dan hidupkan balik oleh Allah s.w.t yang mencipta makhluk lain yang lebih besar daripada mereka seperti langit dan bumi.
  3. Allah menegaskan adalah mudah bagi-Nya untuk menghidupkan manusia kembali.
  4. Bagi menolak tuduhan golongan kafir kepada Rasulullah s.a.w, Allah menegaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bukanlah seorang yang gila atau penyair sebagaimana tuduhan mereka.
    Bahkan Nabi telah membawa kebenaran tauhid sebagaimana nabi-nabi yang terdahulu dan mengesahkan kebenaran tauhid mereka.
  5. Kemudian diceritakan keadaan orang yang beriman dan tentang nikmat kesenangan dan balasan baik bagi mereka.
  6. Kemudian Allah s.w.t ceritakan perihal nabi-nabi yang telah lalu a.s yang juga telah mendapat penentangan daripada golongan kafir pada zaman masing-masing.
    Serta kejayaan yang memihak kepada mereka akhirnya.
  7. Diceritakan khusus kisah nabi Ibrahim dan anaknya Ismail a,.s, kisah yang melambangkan pengorbanan dan taat setia yang agung dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t yang Maha Berkuasa.
  8. Surah ini diakhiri dengan memerintahkan Rasulullah s.a.w supaya janganlah menghiraukan golongan kafir yang menentangnya dan hendaklah bersabarlah sehingga tiba tempoh kemenangan yang telah dijanjikan Allah s.w.t.
  9. Mengenai kata-kata berupa syirik yang dilontarkan oleh pihak kafir, Allah s.w.t perintahkan Baginda dan umatnya supaya mengakui kesucian Tuhan Maha Esa yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, dari apa yang mereka katakan itu!
  10. Juga hendaklah mengucapkan salam sejahtera kepada sekelian rasul. Dan mengingati bahawa segala puji hanya tertentu untuk Allah s.w.t, tuhan Yang Memelihara dan Mentadbir seluruh alam!

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH:

  1. Antara objektif besar surah ini ialah menegakkan dalil atas Keesaan Allah s.w.t dan bahawa Kebangkitan semula itu benar.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t bersumpah dengan sekumpulan malaikat yang tersusun atur (bersaf-saf) menunjukkan keagungan Allah s.w.t.
  2. Allah s.w.t bawa beberapa dalil yang menunjukkan Keesaan Allah s.w.t.
  3. Menyebut tentang syaitan yang mengintai-intai di langit untuk mencari maklumat tetapi mereka direjam dengan panah api oleh para malaikat yang menjaga langit.
  4. Allah s.w.t ceritakan beberapa isu provokasi untuk meragukan umat Islam yang dimainkan oleh pihak yang tidak percaya kepada bangkit semula serta Allah batalkan hujjah merapu mereka.
  5. Allah sebut beberapa fenomena dan suasana hari Kiamat dan bagaimana keadaan orang kafir pada hari tersebut dan azab yang disediakan untuk mereka. Mereka berkelahi sesama mereka saling tuduh menuduh!
    Allah s.w.t juga sebut keadaan orang mukmin dan balasan nikmat yang disediakan untuk mereka serta perbualan dialog mereka dengan ahli neraka.
  6. Allah s.w.t sebut nama-nama sebahagian daripada para nabi.
    Dalam surah ini ada 8 nama, iaitu: Nuh, Ibrahim, Ismail, Musa, Harun, Ilyas, Lut a.s dan Yunus a.s.
  7. Allah s.w.t jelaskan betapa rosaknya akidah puak kafir yang mengatakan malaikat itu adalah anak perempuan Tuhan. Serta mereka mengaitkannya antara jin sebagai satu keturunan.
  8. Allah s.w.t menjelaskan kedudukan para malaikat dalam beribadat kepada Allah. Juga Allah janjikan kepada rasul-Nya dengan janji kemenangan dan pertolongan dari-Nya.
  9. Allah s.w.t akhiri surah ini dengan menyebut kesucian Allah s.w.t dan pujian kepada Allah, dan memberi salam kepada para rasul a.s.

KELEBIHAN SURAH :

  1. Ada disebut dalam hadis riwayat Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w nasihatkan para imam agar pendek dan ringankan bacaannya:
    \”Apabila salah seorang dari kamu menjadi Imam solat para makmum, maka ringankanlah bacaan surahnya. Kemudian Baginda s.a.w mengimami solat kami dan membaca surah As-Soffat.\” (H.R an-Nasa\’i dan Ahmad)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

AYAT 1- {DEMI (HAMBA-HAMBAKU) YANG BERBARIS DENGAN BERDERET-DERET } (AS-SOFFAT 37:1)

  1. Ulama\’ kata Allah s.w.t bersumpah dengan makhluk-Nya iaitu malaikat yang berbaris-baris (وَالصَّافَّاتِ) di langit, bersiap siaga menunggu perintah Allah.
  2. Majoriti ulama\’ tafsir mengatakan ketiga-tiga sifat yang disebut dalam 3 ayat pertama ini adalah tentang sifat malaikat. (وَالصَّافَّاتِ-(فَالزَّاجِرَاتِ)- فَالتَّالِيَاتِ).
  3. Bagi menegaskan dasar tauhid; Allah s.w.t bersumpah dengan jenis makhluk-Nya yang dimuliakan dengan sifat terpuji dan amalan mereka yang mulia. Majoriti ulama\’ kata kumpulan malaikat atau orang yang soleh.
  4. Hadis riwayat Daripada Jabir bin Samurah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda kepada kalangan sahabat Baginda (maksudnya): \”Mengapa kamu semua tidak berbaris seperti kalangan malaikat berbaris di hadapan Tuhan (Allah) mereka?\”
    Maka kami (sahabat) bertanya: \”Wahai Rasulullah, bagaimana kalangan malaikat berbaris di hadapan Tuhan mereka?\”
    Baginda S.A.W menjawab: \”Mereka menyempurnakan barisan yang di hadapan dan saling merapatkan barisan.\” [HR Muslim].
  5. Hadis riwayat Huzaifah r.a: Bahawa Rasulullah bersabda kita (ummat Nabi Muhammad s.a.w) ini diberi kelebihan 3 perkara yang tiada pada umat lain. iaitu:
    i- Allah jadikan saf (barisan) kita seperti saf para malaikat.
    ii- Bumi dijadikan sebagai tempat solat dan suci bagiku. Siapa saja dari umatku yang sampai waktu solat padanya, maka hendaklah ia melaksanakan solat.
    iii- Dijadikan tanah debunya bersih boleh digunakan untuk buat bersuci.
    [HR Muslim].
  6. Imam Syanqiti berkata, bagaimana malaikat itu bersaf:
    i- saf seperti saf solat, berbaris tersusun.
    ii- saf besusun dengan sayap mereka di langit menunggu perintah Allah s.w.t.

AYAT 2- {(HAMBA-HAMBAKU) YANG MELARANG (DARI KEJAHATAN) DENGAN SESUNGGUH-SUNGGUHNYA} (AS-SOFFAT 37:2)

  1. Dalam ayat ini disebut hamba-hamba-Ku iaitu para malaikat yang melarang, menghalang atau menghalau (فَالزَّاجِرَاتِ).
  2. Kata ulama\’ tafsir ayat ini bermaksud:
    i- malaikat yang halang manusia daripada berbuat kejahatan dan maksiat.
    ii- malaikat yang menolak awan ke tempat yang ditetapkan Allah s.w.t untuk turunnya hujan. (ini kata as-Sam\’ani rhm.)
    iii- Kata Ibnu Asyur: Maksudnya malaikat yang mempermudahkan urusan manusia.
  3. Manusia ini ada dua bisikan di telinganya; malaikat yang ajak manusia untuk buat kebaikan sedangkan syaitan ajak untuk buat kejahatan.

AYAT 3- {(HAMBA-HAMBAKU) YANG MEMBACA KANDUNGAN KITAB SUCI;} (AS-SOFFAT 37:3)

  1. Iaitu malaikat yang membaca (فَالتَّالِيَاتِ) ayat-ayat Allah s.w.t. ( ذِكْرًا)
  2. Kata ulama\’ Tafsir, maksudnya ada beberapa pandangan:
    i- malaikat yang membaca Kitab atau Kalam Allah s.w.t.
    ii- Ada juga yang kata maksudnya malaikat baca al-Quran.
    iii- ada kata khas malaikat Jibril yang membacakan wahyu Allah s.w.t kepada para rasul yang diutuskan.

Tetapi kenapa disebut lafaz jamak (plural) jika Jibril sahaja? Untuk menunjukkan kemulian dan kebesaran malaikat Jibril yang mempunyai ramai pembantu.

AYAT 4- {(SUMPAH DEMI SUMPAH) SESUNGGUHNYA TUHAN KAMU HANYALAH SATU} (AS-SOFFAT 37:4)

  1. Ini adalah sumpah untuk menguatkan, sesungguhnya tuhan kamu adalah Tuhan yang Esa. Yang tunggal, tiada sekutu bagi-Nya.
  2. Allah yang berhak disembah dipuja dan dilakukan ibadat hanya bagi-Nya, tiada sekutu bagi-Nya. Maka ikhlaskan ibadat kepada Allah s.w.t jangan buat syirik kepada-Nya sekali-kali!

AYAT 5: {TUHAN (YANG MENCIPTA SERTA MENTADBIRKAN) LANGIT DAN BUMI DAN SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA, DAN TUHAN (YANG MENGATUR) TEMPAT-TEMPAT TERBIT MATAHARI.} (AS-SOFFAT 37:5)

  1. Allah itu adalah Tuhan yang mencipta, mentadbir langir dan bumi serta yang ada di antara keduanya. Pencipata dan Pemilik tujuh lapis langit dan bumi serta di antaranya.
  2. Ia juga Tuhan yang menyusun atur tempat terbit matahari.
    Kata ulama\’ ini ialah maksud (الْمَشَارِقِ) – tempat terbit matahari.
  3. Kata Imam al-Mawardi (الْمَشَارِقِ) tempat terbit matahari itu ada 360 tempat dalam setahun, begitu juga tempat jatuhnya (maghrib).
    Inilah yang dikatakan matahari itu tempoh pusingannyna adalah setahun manakala bulan pula pusingannya adalah sebulan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 1- {Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret }- Allah s.w.t bersumpah dengan makhluk-Nya.
    Kata ulama\’ apabila Allah s.w.t bersumpah dengan sesuatu, ini menunjukkan kebesaran atau kemuliaan makhluk itu, apatah lagi Pencipta-Nya, lagi besar dan agung.
    Allah s.w.t tidak bersumpah dengan sesuatu benda kecuali Dia mahu kita lihat kepada makhluk itu!
    Dalam ayat ini makhluk-Nya adalah malaikat, yang kita tidak nampak, tetapi kita hanya beriman dengannya, secara iman beriman dengan benda ghaib! Kerana itulah semua rukun iman itu beriman dengan benda ghaib!
  2. Ayat 1- {Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret }- Allah s.w.t bebas bersumpah dengan apa saja yang Dia kehendaki. Ini kerana Dia Pencipta dan Pemilik semua makhluk itu!
    Tetapi tidak bagi kita manusia sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w:
    Dari Ibnu Umar ra berkata, \”Bahwa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: \”Barangsiapa yang bersumpah, maka janganlah ia bersumpah kecuali dengan menggunakan nama Allah.\” [HR. Muslim].

Allah s.w.t juga berhak dan boleh memerintahkan makhluk-Nya untuk berbuat apa saja seperti memerintah malaikat sujud kepada Nabi Adam; Nabi Ibrahim untuk sembelih anaknya dan seumpamanya. Ini menunjukkan mulianya Nabi Adam serta Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail a.s

  1. Ayat 1- {Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret}- Malaikat disebut dengan lafaz muannas (perempuan) As-Soffat (وَالصَّافَّاتِ)- Persoalan; kenapa digunakan lafaz muannas, bukan lafaz muzakkar untuk lelaki? Inilah sebab kaum kafir kata malaikat itu perempuan dan anak perempuan tuhan
    Jawapannya: Ini kerana para malaikat itu ramai dan berjemaah setiap jenisnya ada tugas tersendiri. Maksudnya kumpulan malaikat yang ramai dan berbaris-baris serta sibuk dengan tugas masing-masing.

Bahkan Allah s.w.t juga telah sebut malaikat ini dengan sighah lelaki (muzakkar) dalam ayat 5, surah asy-Syura iaitu: {para malaikat itu bertasbih (وَالْمَلَائِكَةُ يُسَبِّحُونَ) kepada Tuhan mereka.}
Maka kita jangan pening dan waswas seperti golongan kafir pula!

  1. Ayat 3- {(Hamba-hambaKu) yang membaca (فَالتَّالِيَاتِ) kandungan Kitab Suci;}- ini menunjukkan malaikat itu telah berdiri untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Malaikat juga membaca Al-Quran, lalu menunjukkan kepada kemuliaaan al-Quran yang menjadi bacaan para malaikat.
  2. Ayat 4- {(Sumpah demi sumpah) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu}- sesungguhnya Tuhan kamu Tuhan yang Esa. Untuk menyatakan kepentingan tauhid. Allah s.w.t telah bersumpah dengan malaikat. Untuk menyatakan tauhid ini benar, Allah s.w.t bawa tiga lafaz mu\’akkidah (penguat):
    i- sumpah.
    ii- kuatkan dengan lafaz inna- sesungguhnya (إِنَّ).
    iii- lafaz (لَوَاحِدٌ) la-hanyalah; menguatkan akan Keesaan Allah s.w.t.

Alhamdulillah tamatlah perbincangan kita yang ringkas ini dengan 5 faedah yang dapat dikutip insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs