SURAH AL-IKHLAS : AYAT 1-4

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH PERKENALKAN ZAT-NYA YANG MULIA & TIADA SEKUTU BAGI-NYA.

Full video : https://youtu.be/jjYBfaEwQYU?si=DT8mOTrz8rng6hWE

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Rabu 06 Safar 1445H bersamaan 23hb Ogos 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Ikhlas – سورة الإخلاص.
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Ikhlas – سورة الإخلاص adalah surah ke-112 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang ketigapuluh-lima dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Masad – سورة المسد.
    Mengandungi 4 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Surah ini dikembarkan dengan dua surah lagi iaitu al-Falaq & An-Nas & dikenali sebagai surah pelindung (السور المعوذات).

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Ikhlas – سورة الإخلاص yang bermakna {Ikhlas- Tauhid YANG Murni & Suci} kerana pada awal surah Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk menegaskan bahawa Dia adalah Tuhan Yang Esa (Ahad- satu), tiada bandingan-Nya.
  2. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    i- surah {قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ}.

ii- surah al- Asas, surah Tauhid, surah Al-Muqasyqisyah (yang menyembuhkan) kerana membebaskan dari penyakit syirik, surah Tajrid (mengosongkan) dan lain-lain.

Ulama\’ tafsir telah menyebut lebih daripada 20 nama baginya kerana kehebatan surah ini!

  1. Surah ini juga bersama dengan kembarnya 2 Qul lagi (al-Falaq & an-Nas) dikenali sebagai surah pelindung (السور المعوذات), kerana ia melindungi daripada penyakit syirik yang lebih besar bahayanya!

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Memberi kesedaran kepada hati kecil manusia akan iktiqad tauhid yang sebersih-bersihnya untuk dijadikan asas bagi ibadat & anutan bawaannya- dalam kehidupan.

Dengan demikian dia tidak akan memperhambakan dirinya selain kepada Allah semata-mata!

Juga tidak bertumpu semasa senang atau susah kecuali kepada Allah serta tidak menjadikan kata pemutus dalam segala urusan kehidupannya melainkan hukum Allah!

Dialah menjadi punca bagi segala keadaan, kekuasaan & ketetapan.

  1. Yakni nak selamat ikut apa yang Tuhan perintahakan, tidak mahu selamat ikut kehendak nafsu manusia yang bercelaru entah ke mana!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menyatakan sifat kemuliaan yang wajib bagi Allah iaitu sifat yang sempurna.
  2. Menyatakan perkara yang wajib kita bersihkan Allah s.w.t daripada segala sifat kelemahan & kekurangan & kesamaan (النقائض والأمثال) dengan makhluk.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Untuk mensabitkan Keesaan Allah s.w.t.
  2. Allah s.w.t mempunyai sifat yang sempurna, orang yang berhajat tidak akan cari yang lain & hanya akan meminta dengan Allah!
  3. Untuk membatalkan fahaman manusia yang mengatakan bahawa Allah itu seorang ayah atau dilahirkan oleh yang melahirkan.
  4. Mensucikan Allah s.w.t daripada sebarang persamaan, perumpamaan atau yang setara {كُفُوًا} dengannya.

MUNASABAH SURAH AL-IKHLAS – سورة الإخلاص DENGAN SURAH AL-KAFIRUN – سورة الكافرون SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Kafirun – سورة الكافرون:

  1. Dalam surah al-Kafirun sebelumnya; Allah s.w.t perintahkan kita untuk membebaskan diri daripada segala bentuk syirik.

ii- surah ini pula mengisbatkan tauhid kepada Allah s.w.t, bahawa segala sifat kesempurnaan bagi Allah yang tetap, yang kekal, yang suci dari segala sebarang syirik & persamaan.

  1. Kerana itu Rasulullah s.a.w selalu kembarkan dua surah ini dalam banyak solat sunatnya yang dua rakaat seperti: solat sunat fajar, tawaf, dhuha, mghrib, witir, musafir dan lain-lain.

Banyak riwayat tentang ini, maka jelaslah hikmahnya.
Allah s.w.t mahu kita bebaskan diri kita daripada perbuatan yang buruk & syirik kepada Allah s.w.t!

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

KELEBIHAN SURAH- ADA 13 KESEMUANYA :

  1. Pahala bacaannya menyamai satu pertiga (1/3) al-Quran.
  2. Allah s.w.t perintahkan kita baca 3 Qul (المعوذات) ini setiap kali selepas solat.
  3. Tidak ada diturunkan kelebihan seperti 3 surah ini samada dalam Taurat, Injil & al-Quran sendiri! Mengatasi segala surah lain.
  4. Sesiapa yang baca 3 Qul ini pada waktu pagi & petang, akan selamat daripada banyak perkara!
  5. Apabila sakit & tidak sihat Rasulullah s.a.w membacanya sendiri.
  6. Rasulullah s.a.w membenteng dirinya apabila mahu tidur dengan 3 Qul ini! Baca dan sapu pada sleuruh tubuhnya.
  7. Sesiapa yang berdoa dengan isi kandungan surah ini; dia telah berdoa dengan nama Allah yang Maha Agung.
  8. Sesiapa yang sayang, suka kepada surah ini- (baca, hayati & tadabbur- bukan suka saja) akan masuk syurga!
  9. Sesiapa yang sayang, suka membaca surah ini- Allah s.w.t akan sayang kepadanya kerana ia sifat Allah yang penuh Rahmah.
  10. Rasulullah s.a.w mendengar seorang sahabat membaca surah ini & bersabda: Dia akan masuk syurga!
  11. Rasulullah s.a.w mendengar seorang sahabat membaca surah ini pada rakaat kedua dalam solat sunat fajar lalu bersabda: Hamba ini beriman kepada Tuhannya!
  12. Rasulullah s.a.w membaca surah ini dalam akhir witirnya.
  13. Rasulullah s.a.w membaca surah ini dalam solat sunat fajarnya.
    Banyak lagi kelebihannya- ini kita hanya pilih sedikit daripada hadis-hadis yang sahih!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”(TUHANKU) IALAH ALLAH YANG MAHA ESA;} (AL-IKHLAS 112:1)

  1. Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk kata & perkenalkan Allah, Tuhannya kepada alam seluruhnya!
  2. Iaitu Allah Tuhan yang Esa, Yang Tunggal dalam Zat-Nya & sifat-Nya yang mulia.
  3. Tidak ada sekutu, tidak ada yang setara & setaraf dengan-Nya.

AYAT 2- {\”ALLAH YANG MENJADI TUMPUAN SEKALIAN MAKHLUK UNTUK MEMOHON SEBARANG HAJAT;} (AL-IKHLAS 112:2)

  1. Allah yang sempurna sifat-Nya, yang berhajat kepada-Nya seluruh makhluk dalam alam ini! Ia menjadi tempat tumpuan untuk memohon segala doa.
  2. Makna tempat tumpuan {ٱلصَّمَدُ} ini ialah:
    i- tempat tumpuan permohonan, tempat pergantungan.
    ii- ketua yang semua makhluk bergantung kepada-Nya.
    iii- tempat diangkat segala permohonan & meminta hajat.
  3. Ada ramai juga ulama\’ salaf seperti Ibnu Abbas, Ibnu Mas\’dd, al-Hasan al-Basri kata makna {ٱلصَّمَدُ} ini ialah yang tiada rongga padanya (لا جوف له), yang tidak makan & tidak minum.
    *Kedua tafsir ini betul belaka.
  4. Kesimpulannya kata Imam Ibnu Kathir tentang makna {ٱلصَّمَدُ} ini ialah tempat tumpuan, permohonan, tempat pergantungan, tempat memohon hajat, Dia juga yang tidak berongga, yang tidak makan & minum!

AYAT 3- {\”IA TIADA BERANAK, DAN IA PULA TIDAK DIPERANAKKAN;} (AL-IKHLAS 112:3)

  1. Allah s.w.t tidak beranak & tidak pula diperanakkan!
    Tiada ibu bapa & tiada anak.
    Ini kerana Allah s.w.t tidak berhajat kepada semua itu.
  2. Yang perlu & berhajat kepada ibu & anak ini ialah kita manusia.
    Kita juga diuji dengan ibu bapa & diuji juga dengan karenah anak-anak kita.
    Apakah mereka menjadi sebab untuk kita ke syurga atau sebaliknya!
  3. Yakni Allah s.w.t tidak beranakkan satu pun samada dari kalangan jin, manusia atau malaikat.
    Tiada siapa juga yang memperanakkan-Nya. Allah s.w.t yang terawal tiada yang sebelum-Nya. Dia juga terakhir tiada siapa selepas-Nya. Jika semua makhluk mati atau binasa hanya Allah s.w.t yang kekal.
  4. Ayat ini ditafsir dengan firman Allah s.w.t ini:
    i- {Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagi-Nya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan.
    Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Ia dari apa yang mereka sifatkan!
    (Dia lah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri? Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.} (Al-An\’aam 6: 100-101)

ii- {Dia-lah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.} (Al-Hadid 57: 2-3)

Yakni Allah s.w.t yang Maha berkuasa & bagi-Nya lah segala sesuatu.

  1. Hadis-
    i- Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Allah s.w.t telah berfirman dalam hadis Qudsi: \”{Anak Adam mendustakan-Ku padahal itu tidak sepatut baginya, anak Adam menghina-Ku padahal itu tidak sepatut baginya.

Adapun pendustaannya kepada-Ku iaitu perkataannya:
Allah tidak akan membangkitkanku sebagaimana Ia menciptakanku, padahal tidaklah awal penciptaan lebih mudah bagi-Ku dari membangkitkan.

Adapun penghinaannya kepada-Ku iaitu perkataannya: Allah mengambil anak, padahal Aku Maha Esa dan Akulah tempat bergantung, aku tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada sesuatu apapun yang setara dengan-Ku.}\” [HR Bukhari].

ii- Sabda Rasulullah s.a.w:

اللهُمَّ أَنْتَ الْأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ،
وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ

\”Ya Allah, Engkaulah Al-Awwal, tidak ada sesuatu pun yang mendahului-Mu.
Ya Allah, Engkaulah Al-Akhir, tidak ada sesuatu setelah-Mu.
Ya Allah, Engkaulah Az-Zahir, tidak ada satu pun yang di atas-Mu.
Ya Allah, Engkaulah Al-Batin, tidak ada yang samar (tersembunyi) dari-Mu.\” [HR. Muslim no. 2713].

  1. Jika ada pegangan agama yang mengatakan Allah ada anak atau ada pasangan, Allah satu daripada tiga, kita boleh terus katakan & cop bahawa ini adalah sajaran sesat, ajaran syirik yang menyeleweng & terpesong!

AYAT 4- {\”DAN TIDAK ADA SESIAPAPUN YANG SERUPA DENGANNYA\”.} (AL-IKHLAS 112:4)

  1. Tidak ada sesiapa atau sesuatu apapun yang setara, sebanding, setaraf, satu kedudukan dengan Allah s.w.t!
  2. Kerana itu jangan takut apabila kita berbincang tentang Allah, samada Allah s.w.t sendiri atau Rasulullah s.a.w menyebut satu sifat Allah yang Maha mulia; kita sebutnya juga kerana kita semua tahu bahawa tiada yang sama atau sebanding dengan Allah s.w.t!
  3. Kerana semua itu kita tahu & kita pegang kaedah ini sebagaimana yang diajar oleh Allah s.w.t dalam memahami sifat-Nya yang mulia & tinggi itu:

{لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ}-

{Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan DIA dan DIA-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.} [Asy-Syura 42: 11].

  1. Apabila kita belajar aqidah dan kita isbat sifat Allah YANG Maha Melihat, mendengar dan sebagainya kita terima & diam.
    Tetapi kenapa apabila datang hadis Rasulullah s.a.w yang mengatakan Allah s.w.t turun di langit dunia- kita terkejut & menolaknya dengan alasan serupa makhluk????? Sedangkan kaedahnya sudah jelas bahawa- {لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ }.
  2. Kita mestilah yakin & jangan celaru- sepertimana para sahabat menerima, akur, yakin & isbat dengan apa yang disebut Allah Azza wa Jalla & apa Rasulullah s.a.w khabarkan, mereka tidak banyak bertanya atau cuba mentakwilkannya!
  3. Surah yang pendek ini menetapkan Keesaan Zat Allah s.w.t, Keesaan sifat Ketuhanan-Nya & Keesaan Perbuatan-Nya.

i- surah ini sebagaimana ia menetapkan sedemikian, ia juga memberi kesedaran kepada hati kecil manusia akan iktiqad, kepercayaan tauhid yang sebersih-bersihnya!

ii- ini supaya ia menjadi asas kepada ibadatnya, iktiqadnya, bawaannya dalam kehidupan.

iii- maka dia tidak akan memperhambakan dirinya kecuali kepada Allah semata-mata & tidak bertumpu pada masa senang & susah melainkan kepada Allah semata-mata.

Serta tidak menjadikan kata pemutus dalam segala urusan hidupnya melainkan hukum Allah yang ialah yang menjadi punca segala keadaan, ketetapan & kekuasaan.

iv- tauhid yang sedemikian adalah asas yang awal pertama yang wajib diiktiqad dipegangi seseorang semasa lidahnya mengucap \”La Ilaha illal-Lah.\”

Ucapan yang dikehendaki sentiasa disebut walaupun dengan hati- sebenarnya tauhid yang sedemikian suci bersihnya sudah diikuti dengan segala perbuatan & sifat yang mulia.

v- Ini kerana undang-undang peraturan Allah s.w.t telah menetapkan bahawa iktiqad kepercayaan memberi kekuasaan & pengaruh yang berkesan kepada segala pegangan & amal perbuatan.

Maka baik-buruk yang terdapat pada pegangan & amal perbuatan seseorang adalah berpunca dari baik-buruknya aqidah kepercayaan.

Yakni jika kita yakin betul-betul kepada Allah s.w.t kita tidak akan buat perkara yang membawa kemurkaan Allah s.w.t kepada kita.

Kata ulama\’ salaf: Jangan tanya dosa itu besar atau kecil- tetapi tanya kepada siapa kita derhaka itu!

Inilah surah al-Ikhlas yang besar kelebihannya, yang sekurang-kurangnya 8 kali sehari kita baca- 5x selepas setiap solat fardhu- dalam zikir pagi & petang serta sebelum tidur.

Ya Allah ya Tuhan kami dengan nama-Mu yang maha indah & sifat-Mu yang Maha tinggi, jadikanlah kami orang yang ikhlas dalam beriman & beramal kepada-Mu.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;}-

Allah mulakan surah ini dengan arahan- { قُلْ} Qul- Katakan!
Perintah ini dibawa supaya kita memberi perhatian kepada apa yang mahu dikatakan selepas ini! { هُوَ ٱللَّهُ أَحَد}

Dalam surah yang mulia ini Allah s.w.t menafikan bahawa Allah s.w.t mempunyai Usul (ibu bapa ke atas), Furu\’ (anak keturunan) dan kawan-kawan sebanding.

Allah s.w.t dibersihkan daripada semua kelemahan & sifat yang tidak setara baginya ini!

Adapun malaikat juga tidak beranak & diperanakkan tetapi mereka ada yang sebanding dengan mereka iaitu sesama malaikat yang ramai.

Fahaman ini menolak semua fahaman pegangan puak yahudi, Nasrani, majusiyah dan segala pegangan puak kafir yang sesat itu cukup dengan hanya surah ini!

  1. Kedua-dua surah Qul-Huwallah & Qul Ya Ayyuhal-Kafirun:
    Dikenali sebagai surah al-Ikhlas kerana keduanya mengandungi dua jenis Aqidah yang kita tidak akan selamat kecuali berpegang dengan keduanya!

i- Tauhid ilmu & kepercayaan { التوحيد العلمي الاعتقادي}- Allah tiada sekutu.
Iaitu bahawa Allah s.w.t itu bersih daripada segala kekurangan & bentuk syirik seperti ada ayah, ada anak dan seumpamanya.

ii- Tauhid tumpuan & pergantungan { التوحيد القصدة والإرادة}- kita tidak akan sembah kecuali Allah, tidak akan beribadat kecuali kepada Allah.

Rasulullah s.a.w mengajar kita agar selalu membaca surah ini dalam solat-solat sunat agar makin kuat & mantap keimanan tauhid kita, tidak mudah goyah & waswas!

Kena bezakan antara takut & pergantungan hati (seperti sifat khauf, mahabbah, raja\’) dengan takut naluri seperti takut kepada harimau, ular dan sebagainya atau permintaan yang biasa seperti minta tolong sesama makhluk dalam urusan dunia.

  1. Surah al-Ikhlas yang mulia, ini menafikan beberapa perkara ke atas Allah s.w.t:
    i- menafikan sebarang bentuk persamaan dengan Allah s.w.t! {وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ}

ii- menafikan segala kelemahan & kekurangan. { لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ} Tidak beranak & tidak diperanakkan kerana orang yang nak anak ialah orang yang lemah & berhajat!

Allah s.w.t tidak berhajat & perlu kepada sesiapa sekalipun.

  1. Ayat 1- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;}- kalimah Esa { أَحَدٌ} ini tidak boleh diisbatkan kepada benda yang lain, satu apa-pun kecuali kepada Allah s.w.t semata-mata.

Ini kerana hanya Allah s.w.t yang sempurna dalam sifat & perbuatan-Nya. Hanya Allah yang Tunggal & Esa.

Manakala untuk perkataan Allah tempat tumpuan { ٱلصَّمَدُ}- mesti ada alif & lam- iaitu makrifah kerana ia sifat Allah dan hanya Allah s.w.t tempat tumpuan & memohon segala permintaan.

Dia-lah ketua, Dia-lah tempat segala permohonan, Dia-lah yang berhak & layak dipuja-puji.

  1. Ayat 4- {\”Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya\”.}-

Allah s.w.t tidak ada persamaan dengan sesiapapun- walaupun kita baca Allah sebut tangan, mata, Allah berkata-kata dan seumpamanya yang Allah sendiri sebut.
Puak mujassimah yang sesat kata Allah s.w.t itu berjisim seperti makhluk!

Bagi kita Allah s.w.t tidak ada sekutu dalam sifat-Nya, Zat-Nya & perbuatan-Nya
{وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ}
hanya ketunggalan bagi Allah s.w.t.

Kita nafikan dari Allah s.w.t itu segala bentuk syirik, partner, pasangan dan sebagainya.

Inilah surah tauhid kepada Allah Azza wa Jalla!

Ya Allah ya Tuhan kami dengan nama-Mu yang maha indah & sifat-Mu yang Maha tinggi, murnikanlah hati kami dengan tauhid yang suci semurni-murninya kepada-Mu.

Jauhkanlah kami dari segala bentuk syirik kepada-Mu.

Mantapkanlah aqidah & keimanan kami & anak cucu keturunan dengan aqidah yang tinggi & murni kepada-Mu.
Berilah kami taufiq hidayah untuk beramal kepada-Mu, mengikut al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.

Powered by BetterDocs