SURAH QAF : AYAT 36-40

\"\"

PENGAJARAN UMAT YANG KUAT DIBINASAKAN, SABAR DALAM BERZIKIR PAGI DAN PETANG

Full video : https://youtu.be/sbBbNP1v5q0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan akibat buruk terhadap umat-umat terdahulu daripada kaum Quraisy dan kafir zaman kita ini sebagai iktibar kepada orang-orang terkemudian.
  2. Kemudian Allah nyatakan beberapa tanda keagungan & kekuasaan Allah s.w.t melalui penciptaan langit dan bumi.
  3. Allah juga perintahkan kita supaya kita bersabar melakukan ibadat seperti solat dan zikir pada waktu pagi petang kerana ia adalah penghubung kita dengan Allah, jiwa kita menjadi mantap & kuat serta sebagai alat penguat jiwa untuk mukmin yang beriman.
  4. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t mengingatkan hamba-Nya daripada terkena azab akhirat maka mulai ayat ini diingatkan kepada mereka juga agar tidak terkena azab di dunia juga!
    Allah nyatakan tentang bahayanya azab yang menimpa orang kafir di akhirat sehinggakan neraka minta tambah.
    Maka Allah juga peringatkan tentang azab di dunia seperti peperangan & bencana lain.
  5. Pada awal juga Allah telah maklumkan pendustaan yang dibuat oleh orang-orang terdahulu, Lalu dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan sebab-sebab kebinasaan mereka iaitu apabila mereka mendustakan akan binasalah!

AYAT 36- {DAN BERAPA BANYAK KAUM-KAUM (YANG INGKAR) YANG TERDAHULU DARIPADA ORANG-ORANG MUSYRIK MAKKAH ITU KAMI TELAH BINASAKAN. KAUM-KAUM ITU LEBIH KEKUATANNYA (DAN KEHANDALANNYA) DARIPADA MEREKA, LALU KAUM-KAUM ITU KELUAR MENCARI PERLINDUNGAN DI MERATA-RATA NEGERI. (MESKIPUN DEMIKIAN KEADAANNYA) DAPATKAH (MEREKA) MENYELAMATKAN DIRI?} (QAAF 50:36)

  1. Allah peringatkan sudah berapa banyak kaum terdahulu daripada orang-orang musyrik Makkah yang ingkar keras kepala tidak mahu beriman telah dibinasakan.
  2. Sedangkan mereka lebih kuat fizikalnya dan lebih handal teknologinya daripada kaum Quraisy.
  3. Sehinggakan mereka terpaksa lari keluar dari negeri mereka untuk mencari perlindungan (فَنَقَّبُواْ) atas muka bumi ini.
  4. Ulama\’ membawa dua pandangan tentang maksud (فَنَقَّبُواْ):
    i- keluar mengembara melarikan diri mencari tempat perlindungan setelah azab yang diturunkan oleh Allah.
    ii- pergi mengorek sana-sini, korek bukit dan gali tanah untuk buat tapak binaan atau becucuk tanam.
  5. Tetapi soalannya: Apakah mereka mampu menyelamatkan diri daripada kebinasaan & azab Allah?
    Jawapannya; Pastilah semua itu tidak dapat menyelamatkan mereka dari hukum & azab Allah s.w.t.

AYAT 37- {SESUNGGUHNYA (KETERANGAN-KETERANGAN DAN PERISTIWA-PERISTIWA) YANG TERSEBUT ITU, TIDAK SYAK LAGI MENGANDUNGI PENGAJARAN BAGI SESIAPA YANG MEMPUNYAI HATI (YANG SEDAR PADA MASA MEMBACANYA), ATAU YANG MENGGUNAKAN PENDENGARANNYA DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH (KEPADA PENGAJARAN ITU) DENGAN MENUMPUKAN HATI DAN FIKIRAN KEPADANYA.} (QAAF 50:37)

  1. Semua ini akan memberi faedah pengajaran kepada orang yang:
    i- orang yang ada hati & akal yang berfikir dan sedar.

ii- yang menggunakan pendengaran dengan bersungguh,

iii- dengan menumpukan perhatian dan fokus terhadap apa yang didengarinya.

  1. Jika tidak cukup tiga syarat ini kita tidak akan mendapat ilmu walaupun hadir dalam majlisnya. Tidak akan mendapat faedah peringatan daripada al-Quran juga.
  2. Ini adalah cara manusia mendapat ilmu & untuk faedah daripada al-Quran melalui ayat-ayat yang dibaca!

AYAT 38- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA DALAM ENAM MASA, DAN KAMI TIDAK MENGALAMI SEBARANG SUSAH PAYAH.} (QAAF 50:38)

  1. Ini pula mengambil faedah melalui ayat-ayat tanda Allah yang dapat dilihat.
  2. Allah menyatakan dia telah mencipta langit dan bumi dalam enam masa JUGA Allah tidak mengalami sebarang penat lelah atau letih lesu.

Ayat ini menolak anggapan kaum yahudi yang mengatakan Allah memulakan penciptaan alam pada hari Ahad dan selesai menciptanya pada hari Jumaat & berehat pada hari Sabtu! Maha Suci Allah s.w.t daripada anggapan mereka yang sesat itu!

  1. Juga menolak pandangan kaum musyrikin Makkah yang syak dan ragu-ragu akan kebangkitan semula pada hari akhirat. Sedangkan Allah s.w.t yang telah mencipta langit bumi yang begitu besar ini sudah tentu berkuasa untuk menghidupkan semula orang mati untuk dihisab!
  2. Yakni sempurnanya kekuasaan mencipta manusia serta yang lebih besar daripadanya seperti langit & bumi.
  3. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya {Ayat 6 sehingga Ayat 10}- itu menunjukkan apa yang ada dalam Kitab Taurah yang ada di tangan yahudi tentang susunan penciptaan makhluk, yang mencipta langit dan bumi dalam 6 masa kemudian Dia berehat pada hari Sabtu. Ini kata-kata jahat dan tuduhan yang dibuat oleh yahudi terhadap Allah s.w.t.
  4. Kemudian turun ayat al-Quran {Ayat 15- Qaf}. Jadi Allah s.w.t membatalkan sangkaan & anggapan mereka yang mengatakan Allah s.w.t penat & lelah. Tiada penat & letih kerana sempurnanya kuasa & kekuatan yang Allah s.w.t miliki!

AYAT 39- {OLEH ITU BERSABARLAH (WAHAI MUHAMMAD) AKAN APA YANG DIKATAKAN OLEH MEREKA (YANG MENENTANGMU ITU), DAN BERTASBIHLAH SAMBIL MEMUJI TUHANMU (TERUTAMA) SEBELUM TERBIT MATAHARI DAN SEBELUM MATAHARI TERBENAM.} (QAAF 50:39)

  1. Dalam ayat ini Allah menyuruh Rasulullah s.a.w & kita umatnya untuk bersabar dalam apa yang dikata dan dibuat perangai oleh mereka yang kufur dan mendustakan segala ajarannya.
  2. Allah juga ajar bagaimana cara untuk kita bersabar ini, garis panduan dan tips untuk bersabar iaitu:
    i- bertasbih menyucikan Tuhanmu selepas subuh & selepas asar. Ini adalah zikir pagi petang selepas subuh dan asar yang ma\’thur dia ajar oleh Rasulullah s.a.w.
  3. Hadis-hadis Rasulullah s.a.w:
    i-Dari Jarir bin Abdullah r.a:
    كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ نَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ قَالَ ‏ \”‏ إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ

Maksudnya: Suatu hari kami duduk bersama Rasulullah S.A.W dan Baginda melihat kepada bulan pada malam bulan mengambang lalu bersabda: \”Kamu akan melihat Tuhan kamu sepertimana kamu melihat bulan ini, dan kamu tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya.\” [Sahih al-Bukhari (7434) dan Sahih Muslim (633)]

Ya Allah jadikanlah wajah kami bercahaya di dalam syurga & rezekikan kami agar dapat memandang wajah-Mu yang Mulia!

ii- Hadis- sabda Rasulullah s.a.w: Jika kamu mampu menunaikan solat sebelum naik matahari (subuh) dan sebelum terbenamnya (asar) maka lakukanlahnya. Kemudian Baginda ayat al-Quran ini.\” [HR Bukhari].

  1. Daripada Abu Musa al-Asy\’ari R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
    مَنْ صَلَّى البَرْدَيْنِ دَخَلَ الجَنَّةَ
    Maksudnya: \”Barangsiapa yang menunaikan dua solat yang sejuk akan masuk syurga.\” [Riwayat al-Bukhari (574) dan Muslim (635)]
  • Imam Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) berkata ketika mensyarahkan hadith ini, solat yang dimaksudkan adalah solat Fajar dan Asar berdasarkan hadis Jabir r.a ini:

صَلاَةٍ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا
Maksudnya: \”Solat sebelum terbit dan sebelum terbenamnya matahari.\” [Riwayat al-Bukhari (554)]

  1. Semua ini menunjukkan kepada pentingnya untuk solat & berzikir pada waktu pagi & petang.

AYAT 40- {SERTA BERTASBIHLAH KEPADANYA PADA MALAM HARI DAN SESUDAH MENGERJAKAN SEMBAHYANG.} (QAAF 50:40)

  1. Juga pada waktu malam dan selepas solat juga ada zikir dan bacaannya sebagaimana yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Kenapa kita nak pilih dan amal yang diajar dan dibawa oleh orang lain berbanding dengan Baginda s.a.w?
  2. Hadis dari Rasulullah s.a.w:
    i- Apabila terjaga pada waktu malam:
    Dari Ubadah ibn as-Somit r.a dari Nabi s.a.w, Baginda bersabda; Barangsiapa terbangun di malam hari kemudian membaca:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، اَلْحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ
Maksudnya: Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan pujian. Dia-lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Segala Puji bagi Allah, Maha Suci Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.
Kemudian dia mengucapkan: اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي (Ya Allah, ampunilah dosaku) atau lalu berdoa maka doanya akan diterima. Jika ia berwudhu lalu solat, maka solatnya akan diterima.\” [HR Bukhari].

ii- tasbih selepas solat: Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
\”Sesiapa bertasbih (سبحان الله) sebanyak 33 kali, bertakbir (ألله أكبر) tiga 33 kali, dan bertahmid (الحمد لله) 33 tiga kali, kemudian mengucapkan:

لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَئٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: (Tiada Tuhan selain Allah satu sahaja. Tiada mempunyai sekutu. Dia mempunyai kerajaan dan perlu dipuji, dan Dialah Yang amat berkuasa terhadap sesuatu.)
Setiap kali selesai solat fardhu, maka akan diampunkan dosanya (yang kecil) meskipun sebanyak buih di lautan.\” [HR Muslim].

  1. Malang dan rugilah nasib kita hari ini jikat tidak membaca zikir-zikir yang ma\’thur sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Makanan dan benda lain kita nak cari yang halal & original; tetapi dalam amal ibadat & zikir kita tidak mahu pula yang ori dari Sunnah Nabi s.a.w!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 37- {Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.}- kata ulama\’ syarat seorang itu hendak mendapat ilmu mesti terkumpul tiga perkara atau sifat ini:
    i- hati yang hidup
    ii- telinganya betul-betul mendengar apa yang disampaikan.
    iii- hadir secara mental & fizikal, hatinya fokus & tumpukan perhatian.
    Jika tidak kita tidak akan mendapat faedah atau ilmu.
  2. Ayat 37 juga- Ada yang terhalang daripada mendapat ilmu kerana tidak mendengar betul-betul apa yang dicakapkan.
    Contoh: Orang bagi link Kuliah dia tidak mahu dengar bahkan terus mengatakan bahawa sesat jika belajar tafsir al-Quran atau tadabbur, sedangkan dia tidak mahu lansung cuba dengar dan perhatikan kepada apa yang disampaikan!

Ini adalah penyakit yang menimpa sebahagian dari penuntut ilmu.
Kata Syeikh Ibni Abil-Bar rhm: Walaupun seorang itu cerdik otaknya tetapi jika tidak mendengar dan fokus betul-betul kepada ilmu atau maklumat yang diberikan, maka dia akan terhalang dari mendapat manfaat darinya!
Jadi 3 perkara itu mesti ada untuk mendapat ilmu.

  1. Ayat 38- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, dan Kami tidak mengalami sebarang susah payah.}- ayat ini mendidik kita supaya tidak gopoh dalam melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan.

Contohnya Allah mencipta langit & bumi dalam masa, manusia sehingga 9 bulan dikandung ibunya dan dan seumpamanya.
Sedangkan Allah s.w.t boleh saja menciptanya dalam sekelip mata dengan berkata:{ ‌كُن ‌فَيَكُونُ} iaitu: {Jadi, maka jadilah!}

Tetapi tidak, Allah s.w.t memberinya tempoh dan masa yang yang dikehendaki-Nya.
Kena sabar dan jangan gopoh, lakukan perancangan dulu sebelum bertindak.

  1. Ayat 40- {Serta bertasbihlah kepadaNya pada malam hari dan sesudah mengerjakan sembahyang.}- ulama\’ kata ini menunjukkan kelebihan berzikir pada dua waktu ini (‌بُكۡرَةٗ وَأَصِيلٗا). Kita disunatkan untuk berzikir pada waktu pagi selepas solat Subuh & pada waktu petang selepas solat Asar.

Inilah waktu yang paling afdhal (‌بُكۡرَةٗ وَأَصِيلٗا) juga zikir selepas solat serta panjangkan sujudmu untuk berdoa di dalamnya.
Selepas solat fardhu kita siapkan zikir selepas solat, kemudian terus baca zikir pagi selepas subuh begitu jug apada waktu asar.

  1. Ayat 39- {Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu), dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu }- kemudian Allah s.w.t memerintahkan kita supaya bersabar menghadapi ujian karenah kaum kafir dan yang menentang.

Bagaimanakah cara kita bersabar?
Dengan banyak berzikir dan ini adalah dalil bahawa zikir & tasbih alat itu adalah untuk ketenangan & kesabaran.

Sebagaiman dalam surah Toha apabila nabi Musa a.s diarahkan untuk pergi berdakwah kepada Firaun, Nabi Musa a.s minta tujuh perkara, semuanya berkait dengan zikir kepada Allah, alat kekuatan jiwa & kesabaran, bukan senjata fizikal seperti senjata, baju besi atau tunggangan yang pantas! Allahu Akbar!

Firman Allah s.w.t:
\”Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas\”. Nabi Musa berdoa dengan berkata: \”Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; \”Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; \”Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, \”Supaya mereka faham perkataanku; \”Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. \”Iaitu Harun saudaraku; \”Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, \”Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, \”Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,} (Taha 20: 24-33)

Sabar itu ada dua:
i- jangan mudah menggelabah & mengamuk apabila musuh menghina Islam dan membuat fitnah buruk terhadap kita dengan tujuan menyekat dakwah kita!

ii- sabar berdakwah menyatakan yang benar, ajak manusia kepada Allah, agar ikut Sunnah Nabi s.a.w yang sahih, jangan jemu dan malas sama sekali!

Ya Allah jadikan kami dari kalangan hamba-Mu yang sentiasa bersabar dan banyak berzikir kepada-Mu.

Powered by BetterDocs