SURAH SABA\’ : AYAT 51-54

\"\"

ORANG KAFIR MELIHAT AZAB, BERIMAN SETELAH TAMAT TEMPOH & SUDAH TIDAK BERGUNA SEGALA PENYESALAN.

Full video : https://youtu.be/mXVx4XxpcmI

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah hari ini adalah siri yang terakhir bagi surah Saba\’ ini, dalam siri ke-14 dengan empat ayat iaitu ke-51-54.
  2. Dalam siri ini adalah perbincangan tentang orang kafir apabila mereka berdepan dengan azab pada hari Kiamat. Sekarang ini terbukti benar 100% apa yang mereka dustakan dan ingkari dulu sudah jelas di depan mata.
  3. Lalu mereka segera mengaku mahu beriman kepada Allah s.w.t. Tetapi ini adalah beriman setelah tamat tempoh dan sudah tidak lagi berguna segala penyesalan.
  4. Munasabah ayat; setelah Allah s.w.t sebut dalam ayat-ayat yang lepas tentang ancaman untuk mereka yang mengingkari dakwah Nabi s.a.w, juga Baginda sendiri telah mengakui jika dia yang salah dia akan dihukum, juga dibawa segala dalil dan tanda yang jelas .
  5. Tetapi orang kafir itu tetap ingkar dan mendustakan Baginda s.a.w bahkan mereka memerli dan menanya-nanya bila dan mana azab yang dijanjikan? Kenapa tidak datang-datang kepada mereka.
  6. Lalu Allah s.w.t jawab dalam ayat berikutnya ini.

AYAT 51 – {DAN (SUNGGUH NGERI) JIKA ENGKAU MELIHAT (KEADAAN ORANG-ORANG YANG BERSALAH ITU) KETIKA MEREKA GELISAH TAKUT (MENYAKSIKAN AZABNYA) SERTA MEREKA TIDAK MENDAPAT JALAN MENGELAKNYA, DAN MEREKA PUN DIAMBIL DARI TEMPAT MEREKA BERADA UNTUK DIBAWA KE TEMPAT YANG DEKAT (AZAB).} (SABA\’ 34:51)

  1. Alangkah dahsyat dan ngeri sekiranya kamu wahai Nabi Muhammad s.a.w melihat keadaan orang-orang yang kafir atau yang mendustakan dan mengingkari ajaran Rasulullah s.a.w; apabila mereka terperanjat dan ketakutan sewaktu melihat azab yang pedih akan ditimpakan kepada mereka pada hari kiamat nanti.
  2. Bilakah waktunya keadaan gelisah takut (إِذْ فَزِعُوا) itu? Al-Qurtubi mengatakan ini adalah ketika:
    i- ketika di dunia lagi iaitu ketika tibanya maut.
    ii- azab dunia dalam peperangan,
    ii- dalam kubur, apabila menerima azab kubur,
    iv- ketika bangkit pada hari Kiamat dan melihat azab.
    v- Ibnu al-Jauzi kata ada ulama\’ kata: ketakutan tentera yang nak serang Ka\’bah apabila tiba di tempat kebinasaan mereka di Baida\’.
  3. Ulama\’ berkata semuanya tepat; tetapi ramai ulama\’ berpendapat yang paling tepat adalah ketika tibanya maut, ajal kematian mereka. Kerana Allah s.w.t sebut sebagaimana yang berlaku kepada orang yang sebelum mereka, yakni sesuailah maut yang sudah dilalui oleh mereka, jika azab atau Kiamat tiada siapa yang melepasinya lagi. Masya\’ Allah begitu.
  4. Inilah saat dihadiri malaikat, jika orang baik selain malaikat Maut, malaikat rahmat juga datang, jika orang yang celaka, malaikat azab yang hadir! Maka bermulanya episod penyesalan bagi seorang manusia samada yang kafir atau penderhaka dan pelaku maksiat yang masih lagi mengaku beriman!
  5. Tetapi malangnya ketika itu juga bermulanya saat pintu taubat dan penyesalan sudah ditutup. Tiada guna lagi kesedaran dan penyesalan pada hari itu!
  6. Jika nak menyesal, menyesal-lah sekarang ketika masih hidup, ketika masih sihat, ketika mampu untuk bertaubat dan kembali melakukan amal ibadat kebaikan sebagai bekalan nanti. Muhasabahlah diri kita dan hisablah amalan kita sendiri dulu sebelum kita dihisab oleh Allah s.w.t.
  7. Mereka tidak mungkin selamat dan mengelak dari kematian, tidak ada kemungkinan untuk selamat menjauhkan diri dari azab itu. Mereka tidak mempunyai tempat untuk lari dan tidak ada yang menolong atau melindungi mereka. Ianya adalah sangat dekat dengan mereka.
  8. Mereka semua akan berada keadaan terperanjat dan ketakutan, mereka diambil dari tempat yang dekat (مِنْ مَكَانٍ قَرِيبٍ) untuk dibawa ke neraka yang menyala-nyala. Mereka tidak jauh dari tempat azab itu!
  9. Kata ulama\’ maksudnya dekat ini ialah: (مِنْ مَكَانٍ قَرِيبٍ)
    i- dekatnya kematian bagi setiap manusia.
    ii- setiap benda yang akan datang dipanggil dekat kerana ia akan menghampiri dan tiba kepada kita. Menghampiri destinasi.
    iii- setiap benda yang telah berlalu dipanggil jauh. Kerana kita akan makin menjauhinya dan tidak mungkin akan kembali ke situ lagi!

AYAT 52 – {DAN (PADA KETIKA ITU) MEREKA BERKATA: \”KAMI SEKARANG BERIMAN KEPADA KEBENARAN YANG DI BAWA OLEH NABI MUHAMMAD (S.A.W)\”; (APA JALANNYA) DAN BAGAIMANA CARANYA MEREKA DAPAT MENCAPAI IMAN DARI TEMPAT YANG JAUH?} (SABA\’ 34:52)

  1. Apabila melihat azab, pada ketika itu mereka mula mengaku beriman kepada apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
  2. Ulama\’ kata maksud mereka mengaku beriman dengannya (آمَنَّا بِهِ) ini, adalah:
    i- beriman kepada Allah.
    ii- beriman percaya kepada bangkit semula.
    iii- beriman kepada Rasulullah.
    iv- beriman kepada al-Quran.
    *Semuanya betul. Tetapi berimanlah kepada siapa dan apapun, tidak berguna lagi, semuanya sudah terlambat, telah tamat tempoh masa yang diberikan!
    Iman juga mesti disertai dengan amal, jika mengaku beriman.
  3. Tidak mungkin lagi mereka boleh mencapai iman itu dari tempat yang jauh.
    (مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ) Yakni sudah jauh dari dunia- tempat untuk beriman, mereka sekarang sudah berada di akhirat atau sudah mati- tempat yang jauh kerana masa sudah tamat tempoh dan berlalu. Tidak mungkin lagi mereka akan undur ke belakang dan hidup kembali kepadanya, kamu sudah tinggalkan iman di dunia dulu!
  4. Di dunialah tempat setiap orang diberi kesempatan untuk beriman, semasa masih hidup! Sedang di akhirat atau sesudah mati bukanlah tempat untuk menerima pengakuan iman. Seandainya mereka beriman di dunia, tentu iman mereka diterima.
  5. Hadis Rasulullah s.a.w – \”Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya.\” [HR at-Tirmizi, dinilai hasan].
  6. Mereka telah melepaskan peluang, mensia-siakan waktu untuk beriman di dunia dulu, mereka menolak para rasul, para mendakwah yang datang membawa ajaran dan kebenaran bagi mereka.
  7. Kata Syeikh Syanqiti: Peluang itu adalah jauh sejauh-jauhnya, tidak mungkin lagi untuk kembali hidup di dunia dan berpeluang untuk beriman.
  8. Penyesakan adalah sekarang ketika masih hidup bukan selepas malaikat maut atau selepas melihat azab- nauzubillah!

AYAT 53 – {PADA HAL MEREKA TELAH MENGINGKARINYA SEBELUM ITU, DAN MEREKA PULA SELALU MELEMPARKAN TUDUHAN-TUDUHAN BUTA TERHADAP KEBENARAN ITU DARI TEMPAT YANG JAUH? (SUDAH TENTU SALAH).} (SABA\’ 34:53)

  1. Padahal ketika hidup dulu, semasa masih di dunia merekalah yang paling kuat mendustai dan meningkarinnya!
  2. Mereka membuat banyak sekali tuduhan jahat semasa di dunia:
    i- Tiada kebangkitan semula selepas mati dan alam akhirat. Mereka mengatakan manusia dan haiwan sama selepas mati, hancur begitu saja.
    ii- mereka mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah penyihir, penyair, dukun, tukang ramal, orang gila dan banyak lagi tuduhan yang batil.
    iii- Mereka mengatakan bahawa Al-Qur\’an adalah sihir, syair dan rekaan.
  3. Semua tuduhan mereka itu hanyalah dengan sangkaan saja, bukan dengan keyakinan. Mereka menuduh dengan sesuatu yang tidak mereka ketahui dan dari tempat yang tidak mereka ketahui. Sekali lagi Allah s.w.t kata mereka membuat tuduhan itu dari tempat yang jauh, (مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ) yakni JAUH dari kebenaran.

AYAT 54 – {DAN DISEKATLAH DI ANTARA MEREKA DENGAN (IMAN) YANG MEREKA INGINI, SEBAGAIMANA YANG TELAH DILAKUKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG SAMA KEADAANNYA DENGAN MEREKA PADA MASA YANG LALU; SESUNGGUHNYA MEREKA DAHULU BERADA DALAM KEADAAN SYAK YANG MERAGUKAN.} (SABA\’ 34:54)

  1. Maka pada ketika itu dihalangi antara mereka dengan apa yang mereka ingini, iaitu beriman kepada Allah, dan kembali ke dunia untuk bertaubat dan beramal soleh. Ia tidak mungkin didapati, tidak ada gunanya lagi dan tidak ada jalan untuk dikabulkan.
  2. Ulama\’ juga membawa beberapa pendapat tentang maksud apa yang mereka ingini (مَا يَشْتَهُونَ):
    i- mereka ingin beriman tetapi tidak dapat lagi.
    ii- mereka inginkan kelazatan dunia mengikut keinginan syahwat, tetapi selepas kematian mereka terhalang dari semua ini.
    iii- ada yang kata terhalang dari cita-cita mereka untuk kembali ke dunia.
    iv- terhalang dari ingin taubat, balik ke dunia dan buat amal baik.
  3. Ibnu Kathir berkata semua pendapat ini boleh dikumpul dan benar semuanya, kerana mereka memang terhalang daripada semua itu, ingin hidup semula, ingin bertaubat, ingin beriman, ingin keazatan hidup dunia, semua tidak mungkin akan dapat, mereka pasti akan terhalang dari semua itu!
  4. Sebenarnya tidak ada pertentangan di antara kesemua pendapat tersebut, kerana sesungguhnya adakalanya dihalangi antara mereka dengan apa yang diingini oleh mereka di dunia ini, juga antara mereka dengan apa yang dicari mereka di akhirat, mereka tidak akan mendapatkannya.
  5. Maka marilah kita ambil faedah semasa masih ada peluang ini, bertaubat beristighfar kembali kepada Allah, pertingkatkan amalan dan ibadat sebanyak dan sebaik mungkin, agar kita tidak menyesal di akhirat nanti!
  6. Begitulah juga keadaan mereka ini sama dengan orang kafir sebelum itu, umat-umat terdahulu yang serupa dan sefahaman dengan mereka, yang kufur dan mendustakan rasul-rasul yang diutus kepada mereka.
  7. Sebab mereka semua menjadi begitu adalah kerana mereka tiada keyakinan kepada Allah s.w.t, keyakinan kepada Rasulullah s.a.w, kepada kebangkitan semula.
  8. Semasa di dunia, mereka sentiasa berada dalam keraguan yang mendalam. Mereka sangat ragu kepada apa yang disampaikan kepada mereka, seperti hari kebangkitan dan pembalasan. Maka keraguan ini membawa mereka kepada kafir dan ingkar akhirnya!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 52 – {(apa jalannya) dan bagaimana caranya mereka dapat mencapai iman dari tempat yang jauh?}- iman itu adalah satu benda ghaib, Allah mahu menguji kita. Kita beriman kepada Allah sedangkan kita tidak pernah melihat-Nya, ini adalah satu perbuatan yang terpuji. Manakala nikmat yang paling besar di dalam syurga nanti ialah kita akan dapat melihat wajah Allah s.w.t.
    Allah s.w.t memuji orang yang beriman secara ghaib ini:
    {Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.} (Al-Baqarah 2:3)
  2. Ayat 52 – {(apa jalannya) dan bagaimana caranya mereka dapat mencapai iman dari tempat yang jauh?}- kenapa Allah s.w.t kata Akhirat itu tempat yang jauh dari dunia? Kata ulama\’ ini kerana:
    i- semua benda yang lepas itu adalah dikira jauh, maka kehidupan kita di dunia adalah benda yang jauh kerana pada masa itu kita sudah mati maka kita telah jauh tinggalkan dunia dan tidak mungkin kembali lagi!
    ii- tetapi bagi orang yang beriman ia adalah dekat. Jauh bagi orang yang tidak beriman. Seperti orang yang tidak suka kepada sesuatu atau seseorang, ia akan jauh hati dan menjauhkan diri juga.
    iii- hikayat ini berlaku pada hari Kiamat. Maka pastilah dunia itu sudah jauh berlalu dari mereka sekarang ini.
    iv- akhirat itu tempat yang jauh dari dunia.
  3. Ayat 53 – {dan mereka pula selalu melemparkan tuduhan-tuduhan buta terhadap kebenaran itu dari tempat yang jauh? (sudah tentu salah).}- mereka yang membuat tuduhan dan pendustaan itu mereka tidak cuba mendekatkan diri kepada apa yang dibawa yang dikatakan salah itu! Cuba dengarkan, cuba dekat dan dengar apa dakwah yang nak disampaikan. Begitulah juga orang yang membuat tuduhan jahat ini, mereka seolah melempar batu dari jauh dan dari dalam gelap.
  4. Ayat 54 – {sesungguhnya mereka dahulu berada dalam keadaan syak yang meragukan.}- kerana itu ada ulama\’ kata jika seseorang itu dalam syak dan keraguan boleh membawa kepada kekafiran. In kerana makna iman itu adalah satu simpulan kepercayaan yang teguh dalam hati! Jika ragu-ragu macamana boleh dikatakan beriman!
  5. Ayat 54 – {Dan disekatlah di antara mereka dengan (iman) yang mereka ingini,} – ketika itu mereka terhalang dari apa yang mereka mahukan. Kita di atas dunia sekarang inipun sudah banyak terhalang dari apa yang kita inginkan, apa yang kita nak tak dapat buat, tak dapat makan dan lain-lain. Apatah lagi di akhirat kelak.

Diriwayatkan Ibnu Umar r.a seorang sahabat yang sangat menjaga dan mengikut Sunnah Nabi s.a.w. \”Pada suatu hari dia minum air sejuk kemudian dia menangis dengan sesungguh hatinya. Apabila ditanya kenapa? dia kata:
Aku teringat kepada satu ayat dalam Kitab Allah: {{Dan disekatlah di antara mereka dengan apa yang mereka ingini,}, ketika itu aku faham bahawa ahli neraka yang kepanasan mereka tidak ingin atau hendak yang lain kecuali air yang sejuk ini! Kemudian dibaca ayat al-Quran ini: {Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): \”Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu\”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: \”Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir\”.} (Al-A\’raaf 7:50)
Maka Ibnu Umar terus menagis sambil berkata mereka sudah terhalang dari kehendak mereka.\”
Kita pada hari ini belum terhalang sepenuhnya walaupun sudah ada sekatannya. Seperti masin, manis dan lain-lain, kita sudah terhalang dek penyakit yang ada. Sebelum mati inipun kita sudah terhalang, bagaimana jika kita mati dalam keadaan tidak beriman, dalam keadaan hati kotor dan tidak betul-betul bertaubat, masih di dalam dosa dan maksiat! Kita baca ayat ini biarlah kita juga menangis dan teringat kepada nasib kita di akhirat kelak!

  1. Ayat 54 – {Dan disekatlah di antara mereka dengan (iman) yang mereka ingini,} – kata ulama\’ terhalangnya dari apa yang dikehendaki oleh nafsu ini adalah termasuk dalam satu penyiksaan bagi manusia! Semua orang boleh bayangkannya, bagaimana orang yang dikurantin kerana penyakit di rumah saja, atau jika dikurung dalam penjara dan lain-lain halangan di atas dunia ini. Itu baru atas dunia dan sementara sahaja, cuba bayangkan pula azab neraka di akhirat kelak yang begitu dahsyat dan tiada pengakhiran, na\’uz billah!
  2. Ayat 54 – {sebagaimana yang telah dilakukan kepada orang-orang yang sama keadaannya dengan mereka pada masa yang lalu;}- ayat ini dalil kepada boleh menggunakan Qiyas sebagai satu hujjah dalam agama.
    Undang-undang Syari\’ah ini sumbernya ada 4 iaitu:
    i- al-Quran
    ii- hadis Rasulullah s.a.w.
    ii- Ijma\’ ulama\’.
    iv- al-Qiyas.
  3. Ayat 54 – {sebagaimana yang telah dilakukan kepada orang-orang yang sama keadaannya dengan mereka pada masa yang lalu;}- isyarat untuk ambil iktibar dan pengajaran dari orang yang terdahulu, yang baik atau yang buruk. Biar menjadi sebutan baik untuk menjadi panduan, jangan menjadi sebutan buruk yang dijadikan sempadan!
  4. Ayat 52 – {dan bagaimana caranya mereka dapat mencapai iman dari tempat yang jauh?}- gambaran untuk orang mencari sesuatu yang tidak mungkin untuk dapat! Gambaran dari mencari taubat selepas ianya ditutup! Sama seperti orang/pelajar yang menyesal selepas mendapat keputusan corot, tiada guna lagi, sepatutnya belajar dan berusaha sebelum peperiksaan. Inilah juga satu contoh penyesalan yang tiada gunanya! Dari tempat yang sangat jauh (مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ) tidak mungkin undur semula!
  5. Ayat 52 – {dan bagaimana caranya mereka dapat mencapai iman dari tempat yang jauh?}- Allah s.w.t buat gambaran dengan keadaan mereka ini, dibandingkan orang yang membuat tuduhan dan tohmahan melulu ini seperti orang yang melempar atau melontar dari tempat jauh (مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ) yang tidak dapat dilihat. Orang yang buat tuduhan dalam gelap, tuduhan jarak jauh yang tidak akan kena targetnya! Gambaran kepada perangai orang kafir dulu yang tuduh nabi macam-macam dan perangai orang sekarang yang buat tuduhan dan label kepada orang yang dia tidak suka; seumpama buat lemparan dari tempat yang jauh!

Alhamdulillah tamatlah tafsir surah Saba\’ dengan pertolongan Allah dan taufiq-Nya, semoga kita sentiasa istiqomah, al-Quran menjadi panduan hidup kita; membaca, bertadabbur dan beramal dengannya.
Semoga al-Quran masuk dalam hati dan minda kita, buat kajian berfikir dengannya, lalu mendapat faedah dan keindahannya, seperti orang yang menyelam de dasar laut, bukan hanya setakat berenang dipermukaan laut saja.

Powered by BetterDocs