SURAH FUSSILAT : AYAT 19-24

\"\"

KEADAAN ORANG KAFIR DALAM NERAKA, MARAHKAN ANGGOTANYA MENJADI SAKSI & TAKUTLAH MELAKUKAN MASIAT SEMUANYA JADI SAKSI.

Full video : https://youtu.be/vWCr-WqPrBU

MUQADDIMAH :

1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang keadaan orang kafir dalam neraka, dan mereka marahkan anggota badannya yang menjadi saksi ke atas perbuatan mereka.

2. Maka kita faham dari ayat-ayat ini bahawa anggota badan kita akan menjadi saksi buruk ke atas kita atau saksi baik untuk kita. Maka jangan kita berani buat maksiat dan benda mungkar kerana saksi kita adalah anggota badan kita sendiri, kemudian malaikat penulis suratan amalan kita serta surat amalan itu sendiri.

3. Maka marilah kita berhati-hati agar jangan anggota badan kita menjadi saksi ke atas kita (علينا) sebaliknya biarlah ia menjadi saksi kebaikan bagi pihak kita (لنا).

4. Munasabah ayat: Setelah diterangkan tentang balasan buruk di

dunia dan kebinasaan kaum terdahulu seperti kaum Ad & Thamud. Lalu diterangkan dalam ayat ini dan ayat-ayat berikutnya tentang azab neraka yang akan menimpa mereka di Akhirat pula.

5. Ini untuk melengkapkan satu amaran dan peringatan untuk diambil iktibar dan pengajaran.

Peringatan untuk golongan kafir bahawa setelah azab di dunia, ada pula azab di Akhirat. Maka beringatlah.

AYAT 19- {DAN (INGATLAH) HARI DIHIMPUN MUSUH-MUSUH ALLAH UNTUK DIBAWA KE NERAKA, LALU MEREKA DIJAGA SERTA DIATUR KEADAAN DAN PERJALANANNYA MASING-MASING.} (FUSSILAT 41:19)

1. Ingatlah pada hari paara kafir musuh Allah s.w.t dihimpun dan dibawa ke neraka untuk menerima balasan azab siksa.

2. Mereka dibawa samada ditolak atau diseret (يُحْشَرُ) dalam keadaan hina dan kasar, oleh malaikat penjaga neraka pula dalam keadaan bengis dan garang (يُوزَعُونَ).

3. Firman Allah s.w.t:

i- {Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.} (Maryam 19:86)

ii- {Pada hari mereka ditolak ke alam neraka Jahannam dengan penolakan yang sekasar-kasarnya,} (At-Tuur 52:13)

4. Setiap kali kita mendengar ayat-ayat tentang neraka dan azab siksa kita minta perlindungan dengan Allah s.w.t darinya sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w:

” اللهم أجرني من النار”

Maksudnya: “Ya Allah, lindungilah aku dari neraka.”

AYAT 20- {SEHINGGA APABILA MEREKA SAMPAI KE NERAKA, (MAKA) PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN SERTA KULIT-KULIT BADAN MEREKA MENJADI SAKSI TERHADAP MEREKA, MENGENAI APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (FUSSILAT 41:20)

1. Apabila mereka tiba di neraka, tiga anggota badan utama iaitu; pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi ke atas apa yang telah mereka kerjakan. Tiga anggota adalah panca-indera yang dapat mengesan dengan cepat.

2. Firman Allah s.w.t: {Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.} (Al-Israa\’ 17:36)

3. Ayat ini menjadi motivasi besar bagi kita untuk mengawal diri dari melakukan perkara yang tidak baik kerana anggota badan kita akan dipersoalkan dan menjadi saksi kepada kita sendiri.

4. Suasana di Akhirat ini banyak episod dan peringkatnya, pada awal pengadilan semua manusia dapat bercakap kemudian apabila mereka cuba menipu dan memberi alasan dan tidak mengakui, lalu Allah s.w.t tutup kunci mulut mereka dan menjadikan semua anggota lain dapat bercakap menjadi saksi ke atas tuannya sendiri. Tak dapat kelentong dan membuat alasan lagi.

5. Dalam ayat-ayat al-Quran selalu disebut pendengaran dulu sebelum mata, ini kerana pendengaran dulu yang berfungsi bagi seorang manusia bermula dari bayi lagi. Begitu juga dalam proses pembelajaran manusia akan gunakan pendengaran dulu sebelum mata dan lain-lain.

AYAT 21- {DAN (SETELAH BERLAKU YANG DEMIKIAN), BERKATALAH MEREKA KEPADA KULIT-KULIT BADAN MEREKA: \”MENGAPA KAMU MENJADI SAKSI TERHADAP KAMI?\” KULIT-KULIT BADAN MEREKA MENJAWAB: \”ALLAH YANG BERKUASA MENJADIKAN TIAP-TIAP SESUATU PANDAI BERKATA-KATA – TELAH MENJADIKAN KAMI DAPAT BERKATA-KATA; DAN DIA LAH YANG MENCIPTAKAN KAMU PADA MULANYA, DAN KEPADANYALAH KAMU DIKEMBALIKAN (UNTUK MENERIMA BALASAN).} (FUSSILAT 41:21)

1. Setelah mendengar anggota mereka ini bercakap menceritakan segala rahsia mereka ini, puak kafir ini berkata dan memarahi kuli-kulit badan mereka!

2.Kulit mereka menjawab pula: {Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata;}. Maka tak perlulah kamu nak memarahi kami dan menafikannya lagi!

3. Ayat ini kembalikan segala sesuatu kepada Allah yang Maha Berkuasa. Allah yang mencipta kita pada awal dari tiada kepada ada, kemudian kepada Allah s.w.t jug akita akan kembali!

4. Bagaimana semua ini bercakap, tidak pelik, lihat saja kepada gajet-gajet kita yang canggih hari ini, dapat bercakap, menjawab soalan dan apa saja.

5. Firman Allah s.w.t:

i- {Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.} (An-Nuur 24:24)

ii- {Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.} (Yaa Siin 36:65)

6. Hadis riwayat Anas bin Malik r.a: Dia berkata, \”Kami sedang berada di sisi Nabi s.a.w , tiba-tiba Baginda tertawa.

Sabda Rasulullah s.a.w: \”Tahukah kamu mengapa saya tertawa? Kami menjawab, \”Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu\”.

Nabi S.A.W bersabda: \”(Saya tertawa) kerana adanya pembicaraan antara seorang hamba dengan Tuhannya\”.

Hamba berkata, \”Wahai Tuhanku, bukankah Engkau telah menyelamatkan aku dari kezaliman? \”Ya benar, kamu telah Aku selamatkan\”, jawab Tuhannya.

Hamba berkata, \”Sesungguhnya aku tidak akan mengizinkan atas diriku kecuali seorang saksi dari padaku\”.

Tuhannya menjawab, \”Cukup, kamu menjadi saksi atas dirimu dan para malaikat pencatat amal juga menjadi saksi\”.

Nabi S.A.W lalu berkata, \”Kemudian mulut hamba tadi ditutup, lalu anggota-anggota badan diperintahkan untuk berbicara, \”Bicaralah!\”.

Kata Nabi s.a.w lagi, \”Maka anggota-anggota badan itu berbicara (sesuai perbuatannya).” [HR Muslim].

7. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a tentang mimpi Nabi s.a.w yang panjang, di akhir cerita munafik yang mengaku beriman di Akhirat kelak. Lalu Allah s.w.t perintahkan malaikat agar tutup mulutnya dan diperintahkan agar anggotannya bercakap….” [HR Muslim].

8. Hadis paha anggota yang awal menjadi saksi.

عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ؛ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: \”إِنَّ أَوَّلَ عَظْمٍ مِنَ الْإِنْسَانِ يَتَكَلَّمُ يَوْمَ يُختَم عَلَى الْأَفْوَاهِ، فَخذُه مِنَ الرِّجل الْيُسْرَى\”.

Dari Uqbah ibnu Amir ra, bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya anggota tubuh manusia yang mula-mula berbicara di hari semua mulut dikunci adalah paha kaki kirinya. [HR Imam Ahmad dan lain-lain.]

Kulit berkata lagi: {Dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).}

10. Firman Allah s.w.t:

i- { Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).} (Al-Baqarah 2:28)

ii- {Hanyasanya orang-orang yang menyahut seruanmu itu ialah mereka yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran); sedang orang-orang yang mati Allah bangkitkan mereka semula (pada hari kiamat kelak), kemudian mereka dikembalikan kepadaNya untuk menerima balasan.} (Al-An\’aam 6:36)

iii- {Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat), kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan). (Ar-Ruum 30:11)

iv- {Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.} (Al-Maaidah 5:105)

AYAT 22- {\”DAN SEMASA KAMU BERSELINDUNG (KETIKA MELAKUKAN DOSA DI DUNIA DAHULU) BUKANLAH KERANA KAMU BIMBANGKAN PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN SERTA KULIT-KULIT BADAN KAMU MENJADI SAKSI TERHADAP PERBUATAN-PERBUATAN KAMU YANG BERDOSA ITU, AKAN TETAPI KERANA KAMU MENYANGKA BAHAWA ALLAH TIDAK MENGETAHUI KEBANYAKAN DOSA YANG KAMU LAKUKAN (SECARA BERSEMBUNYI ITU).} (FUSSILAT 41:22)

1. Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa manusia melakukan dosa secara tersembunyi kerana tidak percaya akan kebangkitan semula. Serta mereka tidak tahu bahawa segala anggota mereka akan menjadi saksi kepada mereka.

2. Sabab nuzul (turunnya) ayat ini:

Berkata ibnu Mas’ud r.a; Berkumpul dekat Ka\’bah 3 orang, dua orang dari Quraisy dan seorang bani Thaqif dari Taif. Mereka adalah orang kampung yang kurang ilmu dan banyak lemak di perutnya.

Mereka sedangkan bercakap dan salah seorang di antara mereka berkata: \”Bagaimanakah pendapatmu, apakah Allah mendengar apa yang kita katakan?\”

Yang lainnya menjawab: \”Jika kita berbicara dengan nyaring Dia akan mendengar, tetapi jika kita berbisik tentu tidak.\”

Akan tetapi seorang lagi berkata: \”Jika Dia dapat mendengar ketika kita berbicara dengan nyaring pasti Dia mendengar bisikan kita.\”

Maka Allah menurunkan ayat ini (Surah Fussilat: 41: 22) sebagai penjelasan bahawa penglihatan, pendengaran dan kulit mereka akan menjadi saksi. [HR Muslim].

AYAT 23- {\”DAN SANGKAAN KAMU YANG DEMIKIAN, YANG KAMU SANGKA TERHADAP TUHAN KAMU, ITULAH YANG TELAH MEMBINASAKAN KAMU; (DENGAN SANGKAAN KAMU YANG SALAH ITU) MAKA MENJADILAH KAMU DARI ORANG-ORANG YANG RUGI!\”} (FUSSILAT 41:23)

1. Sangkaan mereka orang kafir itu; bahawa tiada Kebangkitan dan bahawa manusia tidak akan hidup semula, akan membinasakan mereka sendiri, dan mereka akan menjadi manusia yang rugi di akhirat kelak!

2. Kita yang sudah percaya adakah yakin sepenuhnya atau ada on-off juga? Persoalannya kemantapan kepercayaan kita itu setakat mana, adakah iman itu sentiasa mantap atau ada naik turunnya? Sepatutnya iman kita sama sahaja, ketika bersama siapa dan pada waktu mana pun!

AYAT 24- {OLEH ITU, SAMA ADA MEREKA BERSABAR MENDERITA AZAB ATAU SEBALIKNYA (MAKA SAMA SAHAJA) KERANA NERAKALAH TEMPAT TINGGAL MEREKA; DAN JIKA MEREKA MEMOHON PELUANG UNTUK MENDAPAT KEREDAAN ALLAH, MAKA MEREKA BUKANLAH LAGI DARI ORANG-ORANG YANG DITERIMA PERMOHONANNYA.} (FUSSILAT 41:24)

1. Sekarang ini (di Akhirat) sudah tidak ada lagi permohonan dan penyesalan, yang ada hanya pengadilan, keputusan dan hukuman.

2. Maka samada kamu sabar atau sebaliknya, sama saja, tiada pengampuan dan kemaafan lagi, jika nak menyesal dan insaf semasa masih hidup di atas dunia ini!

3. Firman Allah s.w.t:

i- {Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): \”Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah?

\”Mereka menjawab: \”Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu)\”.} (Ibrahim 14:21)

ii- {\”Rasalah bakarannya; kemudian sama ada kamu bersabar (menderita azabnya) atau tidak bersabar, sama sahaja (tidak ada faedahnya) kepada kamu, kerana kamu tidak dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah kerjakan\”.} (At-Tuur 52:16)

4. Jika mereka merayu dan memohon peluang untuk mendapat keampunan & keredhaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang layak diterima permohonannya.

5. Sebagaimana firman Allah s.w.t : {Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: \”Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Ia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari\”.

Malaikat penjaga neraka menjawab: \”Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?\”

Mereka menjawab: \”Ya, telah datang\”.} Malaikat itu berkata: \”Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja\”.} (Ghaafir: 49-50)

6. Azab ahli neraka ini ada dua dengan fizikal dan mental juga! Semuanya untuk menambah kesiksaan dan penghinaan!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 20- {Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.} – apabila ahli neraka datang ditutup mulut mereka dan semua angggota badan akan menjadi saksi kepada tuan badannya sendiri, saksi akan pembohongan mereka, mendedah dan membongkar segala rahsia mereka! Inilah yang kita bimbang jika percakapan dan perbuatan kita akan mengundang bala kepada kita di akhirat kelak!

Kata ulama\’ tadabbur: Suratan amalan yang kita akan baca di hadapan Allah nanti, kitalah penulisnya!

Maka jika nak baca yang baik tulis (buatlah) kebaikan yang banyak, jika tidak sebaliknya!

2.Ayat 21- {Dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).}- harus kita menggunakan dalil aqli untuk memahami keesaan & kekuasaan Allah s.w.t. Seperti bila ada dunia ini pasti ada Penciptanya.

Kita dulu tiada sekarang ini ada, maka siapa penciptanya?

Dalam bab tauhid & aqidah kita tidak boleh hanya ikut (taqlid) orang tetapi hati kita sendiri mesti yakin dan beriman.

Contoh:

i- Adakah kamu beriman? Ya. Mana dalil ada Tuhan? Ayah aku beritahu!

Ini tidak jadi dan tidak mantap imannya.

ii- Jawapan sepatutnya: Aku yakin ada Tuhan dengan adanya alam ciptaan-Nya ini.

Allah juga kata kepada-Nya juga kita akan kembali. Ayat ini menjadi hikmah kepada penciptaan makhluk. Allah cipta kita kemudian Allah uji kita untuk melihat siapa di antara kita yang paling baik amalannya.

Oleh kerana kita yakin kita akan kembali kepada Allah maka buatlah persiapan yang sepatutnya!

Firman Allah s.w.t: {Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.} (Al-Baqarah 2:223)

3. Ayat 22- {\”Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).}- kamu sebenarnya tidak takut sekiranya anggota kamu akan menjadi saksi kepada kamu kerana dia tidak beriman tidak percaya maka dia tidak takut dan berani buat segala larangan dan maksiat kepada Allah s.w.t.

Kata ulama\’ pendidikan: Asas pancaindera kita untuk merasa ini ada tiga jenis iaitu: Telinga (pendengaran), mata (penglihatan) & kulit (sentuhan).

Golongan kafir berani buat segalanya kerana mereka tidak percaya dan yakin bahawa Allah s.w.t tahu, lihat dan dengar segalanya! Maka kita yang percaya ini jangan buat seolah-olah tidak tahu juga.

4. Ayat 23- {\”Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!\”} – ayat ini sebagai satu peringatan bagi orang mukmin hilang dari kepalannya bahawa Allah s.w.t itu Maha Mendengar Maha Melihat, jangan lupakan ini jika tidak kita akan hilang pedoman, keluar dari radar dan terpesong dari jalan yang benar, berani buat maksiat dan mungkar.

Kata Imam al-Hasan al-Basri rhm: Ada beberapa kaum, mereka telah dilaghakan oleh angan-angan. Sehinggakan mereka mati tanpa membawa apa-apa kebajikan. [Riwayat At-Tobarani]

Terlalu banyak angan-angan lalu menangguh-nangguh taubat dan amal ibadat sehingga datang kematian dan keluar dari dunia dalam keadaan tiada amalan dan kebajikan baginya.

5. Pengajaran dari ayat 23 ini juga- apabila manusia terlalu meletakkan pengharapan yang tinggi kepada Allah dengan mengharapkan rahmat dan keampunan Allah sehingga berani buat dosa dan maksiat. Lalu kamu tak beramal dan jadilah kamu orang yang tinggi angan-angan.

Antara sebab kesesatan dalam bab aqidah juga adalah rosaknya cara pemikiran, mudah percaya kepada benda pelik-pelik walaupun ianya bertentangan dengan Syari\’ah.

Maka seharusnya kita atas dunia kena letak kaedah ini, kita harus berada antara takut dan harap (خوف و رجاء).

Jangan terlalu takut sehingga menjadi manusia was-was menggigil tak tentu pasal. Juga jangan terlalu harap keampunan dan rahmat Allah sehingga berani buat maksiat dan tangguhkan taubat.

Kena ingat kerja syaitan yang mahu seleweng manusia, dengan menampakkan ramai orang soleh mati dalam keadaan buruk, manakala ahli maksiat mati dalam keadaan baik pada akhirnya.

Sehingga manusia hilang kepercayaan dan identiti, sehingga salah sangka kepada Allah s.w.t!

Wallahu a\’alam.

Powered by BetterDocs