SURAH ASY-SYURA : AYAT 29-35

\"\"

TANDA KUASA ALLAH, LIMPAHAN KURNIAAN-NYA & BAHTERA BELAYAR DI LAUTAN.

Full video : https://youtu.be/uT62a4ATv-c

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan beberapa tanda kekuasaan-Ny dalam penciptaan langit dan bumi serta isi keduanya.
  2. Juga Allah sebut punca manusia ini dibinasakan adalah kerana mereka derhaka kepada Allah s.w.t.
  3. Juga nikmat anugerah yang dilimpahkan kepada kita, antaranya bagaimana bahtera, kapal yang besar boleh terapung dan bergerak di atas lautan yang luas.
  4. Munasabah ayat; Dalam ayat yang lepas (ayat 28) Allah ceritakan tentang nikmat turunnya hujan yang menunjukkan kepada kekuasaan Allah s.w.t. Kemudian dalam ayat hari ini Allah s.w.t bawa pula dalil-dalil tanda kekuasaan Allah s.w.t mencipta makhluk yang besar seperti langit dan bumi, serta isi kandungan keduanya yang dapat dirasai oleh manusia!

Allah juga ceritakan tentang kadar rezeki manusia yang tidak sama, mengikut kehendak dan hikmat yang diketahui oleh Allah s.w.t.

AYAT 29- {DAN DI ANTARA TANDA-TANDA KEKUASAANNYA IALAH KEJADIAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG IA BIAKKAN PADA KEDUANYA DARI MAKHLUK-MAKHLUK YANG MELATA; DAN IA MAHA KUASA MENGHIMPUNKAN MEREKA SEMUANYA APABILA IA KEHENDAKI (MELAKUKANNYA).} (ASY-SYURA 42:29)

  1. Ayat in menunjukkan keagungan & kekuasaan Allah dalam pencipata dua makhluk yang besar iaitu langit dan bumi serta segala isi kandungan keduanya.
  2. Kata Ibnu Kathir maksud isi kandungannya termasuk; manusia jin, haiwan, malaikat, tumbuhan, bukit bukau dan segalanya.
  3. Allah s.w.t juga berkuasa untuk mengumpulkan balik semuanya ini pada hari Kiamat kelak.
  4. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).} (Al-An\’aam 6:38)

ii- {Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;} (At-Takwiir 81:5)

  1. Ayat ini tentang lengkap dan sempurnanya kuasa Allah yang ditunjukkan kepada kita.

AYAT 30- {DAN APA JUA YANG MENIMPA KAMU DARI SESUATU KESUSAHAN (ATAU BALA BENCANA), MAKA IA ADALAH DISEBABKAN APA YANG KAMU LAKUKAN (DARI PERBUATAN-PERBUATAN YANG SALAH DAN BERDOSA); DAN (DALAM PADA ITU) ALLAH MEMAAFKAN SEBAHAGIAN BESAR DARI DOSA-DOSA KAMU.} (ASY-SYURA 42:30)

  1. Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan tentang nikmat turunnya hujan, kejadian langit & bumi serta isi kandungannya.
  2. Dalam ayat ini pula dinyatakan keadaan sebaliknya iaitu sesuatu kesusahan atau bala bencana yang akan menimpa, untuk mengingatkan kepada manusia bahawa orang senang itu tidak akan sentiasa senang begitu juga orang susah bukan akan selalu susah.
  3. Musibah, bala bencana dan kesusahan ini adalah disebabkan apa yang manusia lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa terhadap Allah s.w.t.
  4. Tetapi dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu itu, ini kerana jika Allah s.w.t nak ambil-kira semua dosa manusia, maka tidak akan tinggal baka manusia atas muka bumi ini kecuali binasa semuanya.
  5. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.} (Fathir 35:45)
  6. Hadis riwayat Abu Sa\’id al-Khudri R.A dan Abu Hurairah R.A; bahawa Nabi S.A.W bersabda, \”Tidaklah menimpa seseorang Muslim sama ada letih, sakit, kerisauan, kesedihan, kesusahan atau kebimbangan bahkan tusukan duri sekali pun melainkan Allah S.W.T akan menjadikan semua itu sebagai kaffarah kepada dosa-dosanya.\” [HR Bukhari & Muslim].
  7. Allah beri kita ujian untuk:
    i- menyedarkan kita yang lagha, lalai dari mengingati Allah s.w.t.
    ii- untuk mengangkat darjat.
  8. Hadis: Rasulullah S.A.W bersabda: \”Bala berterusan akan menimpa orang Mukmin lelaki dan perempuan sama ada pada dirinya sendiri, anaknya atau hartanya (yang menyebabkan dosa-dosanya sentiasa gugur) sehingga dia bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan dia tidak mempunyai apa-apa dosa.\” (HR at-Tirmizi)

AYAT 31- {DAN KAMU TIDAK AKAN DAPAT MELEMAHKAN KUASA ALLAH (DARIPADA MENIMPAKAN KAMU DENGAN BALA BENCANA, WALAUPUN KAMU MELARIKAN DIRI DI MANA SAHAJA) DI MUKA BUMI (ATAU DI LANGIT); DAN KAMU JUGA TIDAK AKAN BEROLEH SESIAPAPUN YANG LAIN DARI ALLAH. – SEBAGAI PELINDUNG ATAU PEMBERI PERTOLONGAN.} (ASY-SYURA 42:31)

  1. Jangan kamu sangka Allah s.w.t lemah dan tidak berdaya untuk menimpakan azab bala ke atas kamu. Tidak mungkin ada makhluk dapat lari daripada kekuasaan Allah s.w.t.
  2. Juga tiada siapa yang boleh bantu dan tolong kamu kecuali dengan kuasa Allah s.w.t samada di atas dunia atau lebih-lebih di Akhirat kelak!
    Kamu boleh beli doktor dan ubat yang mahal tetapi kamu tidak boleh beli kesembuhan, hanya Allah asy-Syafi yang dapat beri kesembuhan dan pertolongan!
  3. Yakni kita boleh minta pertolongan dan bantuan manusia dalam bab keduniaan, tetapi pergantungan hati dan kuasa mutlaknya di sisi kekuasaan Allah s.w.t!

Ayat 32- {Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan.} (Asy-Syura 42:32)

  1. Antara tanda kekuasaan Allah s.w.t yang amat hebat dan dapat kita lihat ialah bagaimana kapal-kapal yang besar tinggi seperti gunung, boleh belayar laju merempuh lautan bergerak di atas air.

AYAT 33- {JIKA IA KEHENDAKI, IA MENGHENTIKAN TIUPAN ANGIN, MAKA TINGGALLAH KAPAL-KAPAL ITU TERAPUNG-APUNG DI MUKA LAUTAN. SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN MENGANDUNGI TANDA-TANDA (YANG BESAR PENGAJARANNYA) BAGI TIAP-TIAP SEORANG (MUKMIN) YANG SENTIASA BERSIKAP SABAR, LAGI SENTIASA BERSYUKUR.} (ASY-SYURA 42:33)

  1. Dulu kapal-kapal ini belayar bergerak dengan angin, maka Allah kata jika Allah mahu menghentikan tiupan angin maka tinggalah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan.
    Atau zaman sekarang jika enjin rosak dan mengalami masalah.
  2. Sesungguhnya semua ini mengandungi tanda pengajaran bagi setiap mukmin agar sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.

AYAT 34- {ATAU (JIKA IA KEHENDAKI) IA BINASAKAN KAPAL-KAPAL ITU DISEBABKAN DOSA-DOSA YANG DILAKUKAN OLEH ORANG-ORANGNYA, (LALU SETENGAHNYA DIBIARKAN MATI LEMAS) DAN (SETENGAHNYA DISELAMATKAN DENGAN JALAN) IA MEMAAFKAN SEBAHAGIAN BESAR DARI DOSA-DOSA MEREKA.} (ASY-SYURA 42:34)

  1. Allah nyatakan lagi, Dia juga berkuasa untuk membinasakan kapal-kapal itu dengan sebab dosa-dosa yang dilakukan oleh penumpangnya. Samada kapal itu tenggelam lalu mereka lemas atau ada juga yang berjaya diselamatkan.
  2. Allah s.w.t tegaskan sekali lagi bahawa Dia memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa mereka.
    Berapa banyak kita lihat orang kafir yang diakhir usianya menjadi muslim dan mati dalam iman. Begitulah amalan itu di akhir yang akhirnya, kerana itu kita sentiasa berdoa kepada Allah agar diberi pengakhiran yang baik (Husnul-Khatimah).

AYAT 35- {(BERLAKUNYA YANG DEMIKIAN SUPAYA NYATA KEKUASAAN KAMI) DAN SUPAYA ORANG-ORANG YANG MEMBANTAH AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI MENGETAHUI, BAHAWA MEREKA TIDAK AKAN DAPAT JALAN MELEPASKAN DIRI (DARI AZAB SEKSA).} (ASY-SYURA 42:35)

  1. Allah s.w.t memperingatkan lagi agar melihat kepada dalil-dalil dan bukti yang Allah bawa ini!
    Jangan berbantah-bantah membantah ayat-ayat keterangan Allah s.w.t.
  2. Sekali-kali orang kafir yang membantah dalil keterangan ini dulunya, tidak akan dapat melepaskan dirinya dari azab siksaan Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 29- {Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata;}- ulama\’ tadabbur kata semua makhluk langit bumi manusia haiwan menjadi tanda keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t. tetapi tidak akan menjadi tanda KECUALI kepada orang-orang yang betul memerhatinya dan bertadabbur berfikir mengenainya.

Maksud (دَابَّةٍ)- ialah haiwan yang hidup- melata di atas muka bumi.
Manakala di langit adakah ada juga ini? Adakah malaikat termasuk dalam golongan (دَابَّةٍ)?
Jawapan- malaikat tidak masuk dalam (دَابَّةٍ) ini tetapi dia termasuk dalam golongan yang bergerak.

  1. Ayat 30- {Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa);} – ayat ini mengajar kita apabila kena musibah kita kena muhasabah periksa diri kita sendiri.
    Bukan tengok kepada orang atau menuduh orang lain.
    Periksa dimana kelemahan kita, apa kecuaian kita, bala datang untuk koreksi diri kita.

Syeikh Abu Sulaiman Ad-Darani r.h ditanya kenapa orang yang cerdik dia tidak marah dan mencela orang buat tidak baik kepadanya?
Jawab mereka: Celaan itu terjadi kerana dosa atau perbuatan mereka. Lalu beliau membaca ayat ini.

Musibah itu boleh dianggap sebagai khabar gembira dan pemberi amaran.
i- musibah itu sebagai hukuman atas perbuatan salah dan dosa kita, lalu di Akhirat kelak akan selamat, kerana Allah tidak akan menghukum hamba-Nya dua kali.

ii- ayat ini mahu mengisbatkan semua perkara yang terjadi ada sebab.
Musibah dan azab kerana maksiat.
Nikmat dan senang kerana taat.

  1. Ayat 31- {dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah. – sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.}- ayat ini mengajar kita manusia agar meminta tolong hanya dengan Allah s.w.t bukan dengan makhluk. Allah ajar bahawa tidak ada (wali) yang menjaga, memimpin, memantau kita selain daripada Allah Azza wa Jalla.
  2. Ayat 33- {Jika Ia kehendaki, Ia menghentikan tiupan angin (الرِّيحَ)}- dalam ayat ini disebut angin dengan nama.
    Dalam al-Quran biasanya ada beza antara lafaz & (الرياح) yang bererti angin-angin yang kecil.

Biasanya dalam al-Quran dibezakan antara penggunaan:
i- (الرِّيحَ) untuk angin besar yang membawa bala ,angin ribut dengan
ii- (الرياح) angin kecil yang sepoi bahasa bawa nikmat dan kenyamanan.

  1. Ayat 33- {Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.}- bila Allah sebut nikmat kepada kita Dia ajak kita supaya bersyukur, manakala apabila disebut tentang bala diajarnya kita supaya bersabar!

Semua ayat ini bagi orang yang mempunyai sifat sabar & syukur, sabar atas ujian, bala musibah dan syukur atas nikmat kurniaan Allah s.w.t!

Kerana itu kata ulama\’ Iman itu ada dua belah/bahagian:
i- separuhnya sabar
ii- separuhnya lagi syukur.

Sabar itu pula ada 3 jenis:
i- sabar melakukan ketaatan
ii- sabar meninggalkan maksiat
iii- sabar menghadapi musibah.

Ya Allah jadikanlah kami orang yang sabar dan syukur dalam segenap keadaan.

Powered by BetterDocs